Laman Webantu KM2A1: 3799 File Size: 6.3 Kb * |
BH: Tiada Badan Pantau Pelaburan Tabung Haji By Karim Sulaiman 16/2/2001 7:27 pm Fri |
[Politik sudah mencemarkan Tabung Haji patutlah ia gagal berfungsi untk jemaah
haji tetapi lebih banyak berfungsi untuk menghidupkan kroni. Dengan tercetusnya isu
ini Mahathir sekali lagi terpaksa menyembunyikan diri, begitu juga para menteri.
Kalau Tabung Haji pun sanggup dicemari, apakah mereka ini boleh diharapkan lagi
untuk menjaga dana rakyat yang banyak lagi? Tabung Haji asyik bermain saham yang
berisiko tinggi dan masih samar halal-haramnya demi sang kroni. Patutlah berkatnya
telah berkurang walaupun sudah berbilion mengumpul wang. Ia sudah lesap dan menghilang
di dalam pasaran yang sudah merudum teruk sekarang. Terpaksalah rakyat menunggu masa
yang lebih panjang untuk menunaikan ibadah haji yang diimpikan. Tetapi kroni dapat
tersenyum panjang kerana sesak nafas terus berkurang sebaik sahaja menerima suntikkan
ehsan tabung haji yang 'berwawasan'. http://www.emedia.com.my/z/Current_News/
BH/Friday/Frontpage/20010215231004 Oleh Karim Sulaiman KUALA LUMPUR, Khamis - Ketiadaan badan khas untuk mengawal selia dan memantau
pelaburan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dikatakan satu daripada faktor agensi itu yang
kini kerugian dan boleh menjejaskan lagi kedudukannya sebagai badan kewangan Islam yang
kukuh. Bekas Pengerusi dan Pengarah Besar Tabung Haji, Tan Sri Hanafiah Ahmad, berkata agensi
itu memerlukan satu badan, undang-undang atau peraturan bagi memastikannya melabur
secara berhemat, berdaya maju dan menguntungkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Tabung Haji diletakkan dalam Akta Perbankan
dan Institusi Kewangan (Bafia) supaya kegiatannya dapat dikawal selia dan dipantau dengan
lebih dekat oleh Bank Negara. Perkara itu, katanya, boleh dilakukan dengan memecahkan fungsi Tabung Haji kepada dua
iaitu sebagai sebuah bank dan satu lagi selaku badan berkanun kerajaan, khusus untuk
mengendalikan urusan haji umat Islam negara ini.
Beliau berkata, ketika ini kegiatan pelaburan Tabung Haji tidak dikawal selia dan dipantau
dengan teliti oleh mana-mana pihak menyebabkan banyak projeknya tidak berdaya maju.
"Tabung Haji adalah badan kewangan Islam gergasi, tetapi tidak mempunyai asas kukuh untuk
menampung kedudukannya sekarang dan pada masa depan. Ini disebabkan tiada badan yang
boleh mengawal selia atau memantau simpanan dan pelaburannya.
"Kita bimbang jika sistem seperti itu tidak diwujudkan, Tabung Haji akan kerugian atau mungkin
ditutup," katanya kepada Berita Harian, hari ini. Akhbar ini hari ini melaporkan gesaan supaya Tabung Haji mengkaji semula pelaburannya,
terutama projek yang tidak berdaya maju, bagi mengelak kerugian berterusan hingga terpaksa
membayar dividen rendah kepada penyimpannya.
Tabung Haji mengisytiharkan dividen 5.5 peratus kepada 4,032,829 pendepositnya bagi tahun
lalu berbanding sekitar lapan peratus sebelumnya. Malah, lembaga itu terpaksa menjual
sahamnya dalam Nestle untuk dibeli semula oleh anak syarikatnya bagi membayar dividen 8
peratus pada 1998, Hanafiah yang kini Pengerusi TH Ladang (Sabah dan Sarawak) Sdn Bhd, anak syarikat
Tabung Haji, berkata keadaan berbeza ketika penubuhan Tabung Haji sebagai badan
berkanun mengikut Akta 1969 apabila sistem kawal selia dan pemantauan diwujudkan dalam
urusan agensi itu. Ketika itu, Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Menteri, manakala ahli Panel Pelaburan pula
dilantik oleh Perdana Menteri sendiri. Pengarah Besar dan Pengerusi pula dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong. Dengan adanya struktur itu, Ahli Lembaga Pengarah tidak boleh bertindak sesuka hati dalam
membuat pelaburan kerana tindak tanduk mereka diawasi dan dipantau Panel Pelaburan.
Bagaimanapun, mengikut Akta Lembaga Tabung Haji (1995), semua kuasa melantik Ketua
Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah terletak di tangan Menteri.
Hanafiah berkata, bagi mengatasi masalah sekarang, Tabung Haji perlu diletakkan dalam Bafia.
"Perkara ini boleh dilakukan dengan memecahkan fungsi Tabung Haji kepada dua iaitu
menjadi bank dan badan berkanun kerajaan yang mengendalikan urusan haji untuk umat
Islam," katanya. Beliau berkata, cadangan memisahkan fungsi Tabung Haji hampir sama dengan bentuk asal
agensi itu sebelum menjadi badan berkanun pada 1969.
Sebelum itu, wujud dua badan berasingan iaitu Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di
Pulau Pinang pada 1951 dan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji yang dilancarkan
pada 1963. Kedua-dua badan itu digabungkan pada 1969 menjadi Lembaga Urusan dan
Tabung Haji. Katanya, pemisahan fungsi itu dapat dilakukan sekarang kerana wujud sistem perbankan Islam
yang membolehkan umat Islam menyimpan wang tanpa riba untuk ke tanah suci.
"Ketika Tabung Haji ditubuhkan, negara tidak mempunyai bank atau sistem perbankan Islam
seperti sekarang dan mereka yang hendak menunaikan haji perlu menyimpan dalam Tabung
Haji. "Tetapi, kita kini mempunyai Bank Islam, Bank Muamalat dan kaunter perbankan Islam, yang
membolehkan umat Islam menyimpan wang tanpa riba," katanya sambil mengesyorkan
Bahagian Simpanan, Pengeluaran dan Simpanan Tabung Haji sekarang dijadikan bank.
Hanafiah berkata, satu lagi bahagian Tabung haji dijadikan badan berkanun kerajaan yang
mengendalikan urusan haji umat Islam. Melalui cadangan itu, katanya, umat Islam boleh menyimpan wang dalam mana-mana bank
Islam, termasuk bank kendalian Tabung Haji yang dicadangkan itu, manakala pengendalian
urusan mereka ke Tanah Suci dikendalikan badan berkanun.
"Dengan status bank tadi, Tabung Haji boleh duduk di atas asas kukuh dan mengembangkan
institusinya, termasuk dalam pelaburan. Melalui cara ini juga, ada badan mengawal kegiatan
bank bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan atau pelaburan yang kurang berhemat,"
katanya. |