Laman Webantu KM2A1: 3789 File Size: 37.8 Kb * |
Siri 4 MMM: Bermulanya Sandiwara Mega ? By Marhain Tua 14/2/2001 7:54 pm Wed |
MMM4 [Mahathir memang suka mengejutkan orang, begitu juga Ibrahim Ali yang
sering melompat ke kanan dan ke kiri. Pelbagai teori sudah menjelma tetapi
hakikatnya tetap sama. Umno mahu menagih sokongan yang telah terpupus di
dunia. Sebab itulah BBM dibiarkan sedangkan ia perlu didaftarkan dan harus
didenda mengikut akta hasutan. Malah mungkin BBM yang terlebih dahulu
menghilang dari dunia kerana GPMS sendiri sudah senyap walaupun berahli
sejuta. Lagipun Ibrahim Ali akan melompat selagi kosong perutnya. Takkan
kita boleh lupa siapa dia yang sebenarnya? Dia akan berhenti bila kenyang
dan terlena. Dia langsung tidak ambil perduli nasib rakyat yang teraniaya.
Itu semua tektik 'kutuk diri sendiri' ilham Reagan dan Mao yang tersepit
dan akhirnya kecundang juga. Putrajaya menelan belanja lebih RM 25 bilion dan 'wetland' untuk burung
bermain berasmara sahaja mencecah RM 50 juta. Takkan mahligai cuma RM 17
juta sahaja? Apakah burung lebih istimewa dibela dari semua rakyat jelata,
termasuk PM juga? Mengapa tidak dibina 3 mahligai yang serupa? Perbelanjaan
berjuta Wetland menunjukkan Putrajaya tidak sesuai sehingga terpaksa
disesuaikan pula sehingga sanggup berhutang untuk burung bergembira.
Kalau rakyat lantakklah meraung dan menangis pun mereka tidak akan kira.
Malah mereka di dera dijalanraya dengan saman yang tidak sepatutnya kerana
dana negara sudah semakin tiada. Tetapi VIP terkecuali pula.
Mahathir sanggup menoda institusi membela rakyat seperti BERNAS membeli
roti Gardenia dan FELCRA membeli tanah Utusan yang sudah kepupusan wang.
Dia mencuri dana dan mendera rakyat demi pembangunan kroni. Kini
harga Proton naik lagi tetapi harga kelapa sawit teramat ngeri. 'Wira
Dunia Ketiga' ini sebenarnya wira yang mencuri dunia di siang hari,
patutlah Ibrahim Ali melompat lagi, dan lagi dan lagi....
- Editor] Dua minggu hampir berlalu, masyarakat Melayu masih terpukau dan terpaku kepada kejadian
penubuhan Badan Bertindak Melayu (BBM). Badan yang ditaja oleh selebriti pencen UMNO itu
pada mulanya dikatakan mahu mengerakkan satu gelombang kesedaran di kalangan orang Melayu
betapa martabat Melayu mesti dimuliakan. Namun apabila ia dilancarkan di PWTC ia bertukar
wajah menjadi satu wacana mengganyang seorang Perdana Menteri. Apakah sebenarnya yang
terjadi sedangkan hampir semua yang hadir adalah ahli sebuah parti yang teragong dalam
sejarah tamaddun orang Melayu. Walaupun untuk hampir dua dekad pucuk kepimpinannya adalah
insan-insan yang naik melonjak dengan cara menukar irama untuk bertandak dalam peraturan
berpolitik mereka sehingga mampu terus menang tanpa perlu banyak berjuang.
Majlis BBM itu berjalan seperti yang dijangkakan di mana antara 3,000 hingga 4,000
manusia yang rata-ratanya ahli UMNO yang hadir. Bermulalah ucapan yang hangat-hangat
mengganyang UMNO di bawah kepimpinan Mahathir. Kabinet Mahathir dan Majlis Tertinggi UMNO
'diwakili' secara tidak rasmi oleh Khalid Yunus dan Drs. Sulaiman Mohamad. Badan korporat
Melayu diwakili oleh Tan Sri Awang Had Salleh. Selepas perhimpunan, ketiga-tiga insan
ini sibuk mengeluarkan kenyataan betapa mereka sudah disilapkan minda hingga menghadirkan
diri di situ. Tetapi, rakaman ucapan mereka menunjukkan mereka bukannya dipukau untuk
hadir dan setelah hadir mereka tidak pula dipaku untuk terus membatu di majlis itu.
Secara tiba-tiba muncul sesalan di hati, kerana telah menghadirkan diri. Mungkin perasaan
'takut-takut berani' ketika berada di PWTC itu sudah bertukar kepada 'berani-berani
takut' sebaik sahaja berada dalam mercedez yang digunakan dengan belas ikhsan seorang
diktator tua. Melainkan Tun Ghafar Baba yang mengajak masyarakat Melayu berpijak di bumi nyata dengan
memberi penekanan kepada kehidupan harmonis dalam sebuah negara yang berbilang bangsa,
pemidato yang lain membuat ucapan berapi mereka dengan memberi penekanan kepada sikap
kepimpinan seorang diktator tua. Mungkin disebabkan perbezaan usia di antara mereka
dengan Tun Ghafar Baba membuatkan besarnya perbezaan dalam tema ucapan. Ataupun mungkin
kerana kebanyakan mereka yang muda itu belum lagi membalun harta negara secukupnya
sehingga mampu dibantu dengan berjuta ringgit untuk menutup hutang yang membebankan.
Menghimpunkan manusia dengan disediakan kenderaan untuk mengangkut mereka adalah satu
kerja yang berat yang hanya mampu dilakukan oleh manusia yang cukup kudrat. Menghimpunkan
pemidato yang mampu berucap dengan segak dan mencetuskan suasana yang hangat adalah satu
kerja berat juga. Apatah lagi kalau semua pemidato itu diberikan ingatan bahawa ucapan
mereka mesti jauh menyimpang daripada agenda rasmi perhimpunan. Agenda forum ialah 'Tak
Akan Melayu Hilang Di Dunia'. Tetapi, bagaimanakah boleh berlaku di mana sebilangan
besar pemidato itu menghabiskan masa mengganyang Mahathir bin Mohammad, seorang Perdana
Menteri yang mereka gelarkan sebagai Wira Dunia Ketiga dan seorang presiden parti yang
sungguh bijaksana? Apakah dengan mencemoh dan menghina Mahathir secara terbuka mereka
dapat jaminan orang Melayu tidak akan hilang di dunia? Apakah terdapat banyak makna
kepada perkataan 'DUNIA' itu? Bagaimanakah UMNO mahu terus subur kalau ahli-ahlinya
termasuk ahli majlis tertinggi dan bekas timbalan perdana menteri serta beberapa Melayu
yang bergelar dan pernah berpangkat tinggi-tinggi sanggup mengganyang secara terbuka
presiden parti mereka? Apakah tindakan UMNO seterusnya apabila melihatkan video dan
rakaman ucapan majlis itu dijual secara bebas di jalanraya di seluruh negara? Apakah UMNO
sebagai sebuah parti terbesar di negara ini tidak terasa terhina dengan segala pengaiban
yang dilakukan terhadap pucuk kepimpinannya?
Ramai yang bertanya hingga kini, apakah sebenarnya agenda BBM itu sebenarnya?
Bagaimanakah satu kumpulan ahli UMNO yang berpangkat dan bergelar mampu bersuara lantang
mengutuk parti mereka sendiri. Kalau orang lain berbuat demikian, sudah tentu si
pemidato itu tidak lagi boleh bernafas lega di rumahnya. Sudah tentu dia ditangkap
dibawah Akta Hasutan Negara; dan rumah, pejabat serta keretanya digeledah sama.
Apakah bezanya segala kutukan dan cemohan yang mereka ucapkan itu dengan cakap-cakap
Marina Yusuf ketika berkempen dulu? Bagaimanakah Marina Yusuf boleh didakwa dan
didenda sebanyak RM5000 kerana menyuarakan sesuatu yang sebahagian besar rakyat
negara ini sudah tahu? - Langkah Silat Ibrahim Ali?
Nama Badan Bertindak Melayu tercetus sebaik sahaja muncul ura-ura GPMS (Gabongan
Pelajar Melayu Semenanjung) menjelajah seluruh tanahair mengganyang Suqui yang membuat
tuntutan 17 Fasal kepada Perdana Menteri. Saya pernah menulis dan mengatakan bahawa
tindakan GPMS itu adalah 'Perasa Minggu Itu' kerana itu adalah satu muslihat politik
untuk memperlekehkan Pergerakan Pemuda UMNO. Tuntutan Suqui dibuat kepada Perdana
Menteri pada bulan Oktober, 1999. Tetapi, Pemuda UMNO mula naik berang pada akhir tahun
2000 dan GPMS menyerang Suqui pada awal 2001. Ibrahim Ali mula membuat pengumuman
penubuhan BBM itu di hadapan sebuah masjid di Pasir Puteh. Mungkin dia naik
semangat untuk memimpin 'bekas pelajar maktab dan universiti' untuk mengganyang
masyarakat Cina setelah dicuit oleh gelagat Dato Suhaimi Presiden GPMS yang
dikatakan 'sudah menerima ikrar lebih satu juta ahli silat PERKASA dan beberapa
pertubuhan Melayu yang akan turut serta.' Soalnya ketika itu, bagaimanakah Suhaimi
mampu mencuit hati satu juta Melayu sedangkan Pergerakan Pemuda UMNO tidak mampu
menggamit sokongan (30) tiga puluh orang pemuda UMNO untuk mengiringi Aziz Sikh ketika
dia berlagak celupar diatas tembok pagar? Kita masih belum tahu apakah Badan
Bertindak Melayu (BBM) itu sudah diluluskan pendaftarannya sebagai sebuah badan NGO?
Ibrahim Ali tentu masih ingat lagi apa yang pernah diucapkannya di Pasir Mas juga pada
10/10/1999. Ketika itu dia berpangkat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tugasnya ialah mengawasi perjalanan mahkamah di mana Ketua Hakim Negara ialah Tun Eusoff
Chin dan Ketua Peguam Negara ialah Tan Sri Mokhtar yang lebih dikenali dengan
panggilan 'Mokhtar Dugong'. Saya ingin rakamkan satu ucapan Ibrahim yang dibuatnya di
Pasir Mas dan dirakamkan oleh The Star bertarikh 11/10/1999 (muka surat 2 - The Nation)
Demikianlah yang dirakamkan oleh The Star. Itulah yang diucapkan oleh Ibrahim Ali
menjelang pemilu 1999 dulu ketika dia masih bergelar timbalan menteri. Kini, dia sudah
tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti dan masih mampu mengumpulkan beberapa
pemimpin UMNO untuk berpidato dan mengganyang presiden parti mereka. Tetapi,
bagaimanakah Ibrahim Ali mampu mengumpulkan beberapa pemidato yang sanggup mengganyang
Mahathir dan UMNO? Tajuk forum ialah 'Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia'. Majlis ditaja
dengan begitu hebat sekali termasuk kenderaan khas kepada pelajar universiti dan
pakaian yang dihias dengan gambar keris terhunus.
Dr. Mahathir telah membuat komen mengenai perjumpaan BBM itu dengan mengatakan ia
tidak ada kena mengena dengan UMNO. Ini yang membuat orang Melayu tertanya-tanya,
apakah muslihat sebenarnya Ibrahim Ali dan beberapa pemimpin UMNO yang sudah pencen
menaja majlis itu. Kita tidak mahu membazirkan masa mengupas apa yang berlaku dengan BBM
itu, kerana sejarah sudah pun menjadi saksinya. Tetapi, kita berani berkata bahawa majlis
BBM itu adalah sebahagian sandiwara mega oleh segelintir orang Melayu yang sedang
tersedak dan terdesak dalam hidup mereka. Walaupun Dr. Mahathir kini semakin lantang
berkata bahawa dia masih tidak faham apa sebenarnya hasrat BBM itu, kita masih
berpendapat bahawa penajaan Forum 'Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia' tidak akan
berlangsung tanpa Ibrahim Ali mendapatkan 'restu' seorang diktator tua. Dengan kata
mudah, Ibrahim Ali menaja forum BBM itu dengan ihsan dan arahan pihak tertentu
kerana mereka percaya dalam kerja-kerja seperti ini Ibrahim Ali memang mempunyai
status 'pakar' untuk melakukannya. Lagipun, menaja satu forum yang terpaksa mengangkut
hadirin dengan kenderaan serta memberikan cenderamata berupa pakaian bukannya boleh
ditaja dengan cakap-cakap dan air liur sahaja.
- Taktik Menepuk Air Di Dulang
Semua orang tahu, ekonomi negara semakin menjerut kerajaan pimpinan Mahathir. Pelbagai
pendedahan yang melibatkan wang negara untuk menyelamatkan para kroni sudah mula disoal
secara serius oleh rakyat marhain. Ketika Ibrahim Ali rancak mencanang tajaan BBM
itu Mahathir sedang sibuk bersuka-sukaan menyambut Hari Wilayah di Putrajaya. Para
pekerja di Putrajaya lebih suka memanggil bandar itu dengan akronim 'BAR' bererti
Bandar Airmata Rakyat. Satu ketika dulu Putrajaya ataupun BAR dikatakan menjadi pusat
pentadbiran sahaja. Kemudian, Mahathir menyebut ia akan dijadikan satu pusat bandar yang
memerlukan RM25 bilion untuk membinanya. Wang sebanyak itu dicari dengan mengeluarkan
kertas pinjaman berupa bon-bon yang perlu dibayar balik oleh rakyat. Pengisytiharaan
Putrajaya sebagai wilayah persekutuan telah disambut dengan warna-warni dan belanja yang
sungguh tinggi. Keesokan harinya Wetland dirasmikan dengan belanjanya mencecah RM50
(limapuluh) juta. Tujuan Wetland ialah untuk tempat persinggahan burung dan unggas
yang berhijrah daripada kawasan yang bermusim sejuk untuk mencari pancaran suria
sambil makan dan minum dengan ihsan rakyat Malaysia.
Rakyat marhaen sudah lama sedar, setiap kali regim Mahathir mengumumkan kos pembinaan
sesuatu projek yang tidak digemari rakyat, harga sebenarnya diperam sahaja. Harga
bayangan yang difikirkan dapat diterima rakyat akan diumumkan. Contohnya ialah kos
membina Mahligai Airmata Rakyat (MAR) yang dikatakan hanya berharga RM17 juta sahaja.
Tetapi, kita diberitahu harga membuat pagar dan anak-anak tangga menuju ke mahligai itu
mencecah lebih banyak lagi daripada angka yang disebutkan itu.
Akhbar perdana tidak pun menyebut harga membina 'Wetland' itu. Kita dapat tahu harga itu
daripada akhbar bukan Melayu. Tetapi kalau kita lihat gambar yang ditunjukkan oleh akhbar
perdana UMNO itu ada ditunjukkan sekitar 11 ekor angsa sedang beristirehat di situ.
Pembinaan 'wetland' sudah bermula lebih tiga tahun dan sebelum para petugas kerajaan
berpindah bekerja di BAR itu, tempat itu adalah tenang setenangnya. Bagaimanakah selama
tiga tahun dulu sehingga kini, masih tidak banyak burung yang turun untuk bermain-main di
kawasan itu? Kalau burung pun enggan turun di situ kenapakah Mahathir sanggup
membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 juta duit rakyat marhaen untuk menyediakan tempat
untuk burung beromen? Mahathir dan para juaknya tidak boleh memberikan alasan
mengadakan wetland itu untuk menanam flora dan fauna kerana negara sudah ada hutan
simpan. Sebenarnya apa yang dikatakan 'wetland' itu adalah satu kawasan lapang yang mempunyai
perairan dan tanah berpaya untuk burung turun dan mencari makan. Kawasan seperti ini
bersepah di merata negara. Malahan, setiap kali selesai musim menuai, seluruh jelapang
padi adalah kawasan yang bertaraf 'wetland'. Di Malaysia yang terdapat banyak kawasan
bekas perlombongan, pembikinan 'wetland' lengkap dengan menara meninjau adalah lambang
pembikinan projek yang membazirkan wang rakyat marhaen. Bagaimanakah mahathir tergamak
membina wetland di BAR itu dengan tujuan 'untuk rakyat menikmati keadaan di mana
burung-burung boleh turun untuk mencari makan'? Apakah Mahathir akan mencari seorang
insan yang tahu ilmu Nabi Sulaiman untuk mampu bercakap-cakap dengan burung di angkasa
agar turun ke bumi di situ sahaja?
Sebagai satu alasan yang bersifat saintifik ditonjolkan pula bahawa Wetland adalah
bersifat menapis kekotoran yang turun daripada dua anak sungai yang dihalakan ke situ,
sebelum air itu masuk ke dalam tasik buatan manusia. Alangkah dangkalnya alasan ini.
Apakah air yang disedut daripada tasik itu tidak ditapis lagi dan dicampurkan kimia
(alum/chlorine) sebagai pengawetnya? Kalau mahu dikurangkan cemaran air daripada dua
anak sungai itu kenapa tidak diambil jalan mudah untuk menentukan sungai berkenaan berada
dalam keadaan yang bersih dan jernih?
Cuba kita fikirkan masak-masak kos sebenar membuat Wetland itu dengan keperluan rakyat
untuk hidup selesa sedangkan keadaannya yang semakin menyesakkan nyawa. Bayangkan sendiri
apa yang ditanggung oleh majoriti rakyat marhaen kini. Harga komoditi sudah menurun
sehingga ribuan anak-anak di luar bandar tidak mampu membayar yuran peperiksaan mereka.
Bagaimana pula dengan nasib para penjaja Melayu di bandar-bandar yang ditekan oleh para
petugas dan penguatkuasa? Bagaimana pula dengan nasib pemandu di jalanraya yang dihenyak
oleh saman polis yang menjela panjangnya? Manakah logiknya menyaman seorang pemandu
kerana memandu lebih sekitar 90ksj di kawasan yang hadnya ialah 80 ksj di lebuhraya
antara Kuala Lumpur dan Kajang. Sedangkan di kebanyakan kawasan perkampungan di mana
hanya ada satu lorong untuk sehala, had laju ialah 90ksj? Cuba perhatikan kawasan
berhampiran rumah tol. Anda diperlukan memperlahankan kelajuan kereta yang hadnya 110 ksj
menjadi 80 ksj dan akhirnya 60 ksj sebaik sahaja tiba di rumah tol itu. Semua itu hanya
mampu dilakukan dengan menggunakan brek kereta dan bukan dengan secara melepaskan pedal
minyak. Cuba bayangkan apa yang akan jadi kalau kereta lari pada 110 ksj dan mahu masuk
ke kawasan 80 ksj. Kita perlu menekan brek yang mungkin menyusahkan orang belakang dan
juga mengakibatkan kerosakan kereta. Di tempat itulah si 'penyangak berunifom' memasang
lukahnya. Keadaan begini berlaku lebih daripada satu ratus dua puluh tempat di seluruh
negara. Inilah caranya regim Mahathir mahukan rakyat menyumbang kepada perbendaharaan
negara kerana keadaannya yang sudah kering kontang.
Soalnya sekarang kita dapat melihatkan kereta-kereta mewah berlari seperti menggila di
kawasan yang ada had kelajuannya. Cuba perhatikan apakah kelajuan kereta yang membawa
Mahathir dan keluarga istana. Tidak ada satu pun yang mengikut hadlaju yang diwartakan.
Apakah ini dinamakan satu keadilan sedangkan kita dipaksa membayar tol dan mengikut had
laju pula? Kenapakah raja-raja dan para menteri tidak dikenakan tol? Kini, pihak polis
sedang giat mengutip saman yang tertunggak di seluruh negara. Untuk memudahkan rakyat
marhaen, pihak polis memberi diskaun kepada saman itu. Tindakan ini adalah menyalahi
undang-undang. Lantas Paklah membuat pengumuman bahawa diskaun itu adalah tidak benar.
Tetapi, apabila kita pergi membayar saman itu, pihak polis akan mengatakan bahawa diskaun
diberikan kepada semua jenis kesalahan lalulintas. Yang menjadi pokoknya di sini,
kenapakah kerajaan sanggup mendera rakyat dengan saman polis yang tinggi?
Menyedari masalah itu Mahathir dan pemikir regimnya merancang membuat beberapa projek
untuk terus memutarkan minda rakyat. Yang pertama sekali dilakukannya ialah persis yang
dilakukan oleh Ronald Reagan ketika kerajaan Repablikan diganyang oleh rakyat Amerika
Syarikat. Reagan sudah sampai ke penghujung tempoh pertama kekuasannya dan dia bercadang
untuk bertanding sekali lagi untuk tempoh yang kedua. Rakyat Amerika gelisah ketika itu
kerana Reagan banyak berbelanja untuk Projek 'Star Wars'. Ekonomi semakin merudum dan
pengangguran semakin ketara. Setiap hari ada sahaja demonstrasi aman di jalan raya yang
dilancarkan seluruh negara (dengan tajaan Parti Republican juga). Dia gunakan bermacam
jenis kumpulan: kulit hitam, Hispanic, veteran perang Vietnam, persatuan seniman filem
dan TV, persatuan kelasi kapal dan sebagainya. Apakah yang Reagan lakukan selepas itu?
Dia pergi di depan TV dan berucap dengan menggunakan beberapa keratan dan sedutan
daripada Kitab Injil. Dia mengkritik kerajaannya sendiri dan dengan demikian dia menarik
simpati rakyatnya kerana dia berkata 'saya pun manusia biasa seperti anda juga.'
Taktik yang sama pernah dilakukan di China ketika Revolusi Kebudayaan sedang memuncak.
Pada tahap awalnya pergerakan yang diterajui oleh Mao Zee Dong itu nampak berjaya. Tetapi
di tahap pertengahannya rakyat marhaen hampir memberontak. Mao dan 'Kumpulan Empat' telah
melancarakan satu program 'mengutuk diri sendiri'. Dengan cara ini para professional yang
ditangkap dan dikerah menghadiri sessi putaran minda itu menjadi keliru sehingga mampu
mengaku bahawa mereka telah memusuhi rakyat. Revolusi Kebudayaan di China adalah mainan
orang politik dalam parti Komunis China mengganyang para cendikiawan China agar mereka
mampu memegang kuasa memerintah negara. Bayangkan, apabila Timbalan Presiden parti Deng
Xao Peng boleh dikena deraan dan dihukum menjadi pencuci jamban. Dia bernasib baik kerana
rakyat marhaen yang bersamanya tidak membenarkannya membuat kerja itu, cukup dengan
memikul satu batang penyapu bersih setiap hari sebagai satu lakonan semata-mata. Cukup
untuk setakat berdiri di pintu tandas untuk menjadi gambaran bahawa dia menjalani proses
hukuman yang keras. Kenapa Putar Belit Mega? Kita dapat buat penilaian akan keresahan rakyat marhaen di luar bandar yang terdesak
hidupnya. Masyarakat luar bandar hari ini bukannya serupa dengan masyarakat luar bandar
sebelum merdeka dulu. Yang dikatakan masyarakat luarbandar Melayu hari ini adalah mereka
yang menghuni rancangan tanah kelolaan agensi persekutuan seperti FELDA, RISDA ataupun
FELCRA. Kemudian, ada pula penempatan yang dikelolakan oleh kerajaan negeri-negeri
seperti KESEDAR, KETENGAH, PERDA dan bermacam 'DA' lagi, kerana 'DA' itu bererti
'Development Authority'. Hampir semua institusi ini sedang nazak kerana harga komoditi
yang rendah dan pengurusan yang lemah. Satu ketika dulu institusi ini masyhur dan gah
kerana tenaga pengurusannya adalah golongan professional yang amanah. Tetapi, selepas
Tun Abdul Razak meninggal dunia ramai professional ini melepaskan jawatan mereka kerana
tidak tahan dengan kerenah orang politik yang bersikap, lebih pandai daripada sepatutnya.
Kesannya ialah terdapatnya pegawai yang pandai mengampu orang politik yang menjadi
pegawai utama kepada badan-badan ini. Akhirnya, korupsi mula bersarang dan agensi-agensi
ini kebanyakannya menjadi pincang kerana orang yang mengurus di atas tidak tahu apa
ertinya pertanian negara. Mereka fikir pertanian adalah satu ilmu pengetahuan yang boleh
diamalkan oleh graduan BA sastera sahaja. Lihat apa yang terjadi kepada FELCRA kini?
Kemana perginya Dato' Mustapha Juman seorang lulusan BA Kajian Melayu? Dia digantung
kini kerana kes rasuah. Tempatnya diganti oleh seorang Dato' lagi yang tidak pun ada
pengetahuan berkenaan pertanian. Itu sebabnya FELCRA sanggup berbelanja besar membeli
hartanah kepunyaan Kumpulan Utusan. Kalau pembelian itu tidak dibuat, alamat Utusan
terdedah kepada kancah kemuflisan. Soalnya sekarang, kenapakah wang FELCRA digunakan
untuk membeli hartanah Utusan? Apakah gunanya kerja-kerja haram-jadah ini sedangkan para
peneroka FELCRA memerlukan bantuan untuk hidup lebih selesa lagi? Kenapakah wang sejumlah
RM35 juta (kalau saya tidak silap) tidak digunakan untuk memberi pinjaman pelajaran mudah
kepada setiap anak peneroka yang layak menerimanya, tanpa faedah dan tanpa susah-susah
mereka meredah tangga bank dan institusi pinjaman lain? Jawapannya ialah kalau FELCRA
tidak membeli hartanah Utusan itu akan malulah Zainuddin Maidin yang kini bergelar
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan.
Rakyat marhaen di luar bandar semakin sedar betapa Kementerian Pertanian telah gagal
menjalankan peranannya secara berkesan hanya selepas Dato' Effendi Norwawi menjadi
Menteri Pertanian kerajaan pusat. Sedangkan sebelum itu orang yang paling lama menjadi
menteri pertanian ialah seorang bekas menteri besar di Kedah di mana padi ditanam di atas
bumbung dan lembu dan kambing dipelihara untuk pertandingan haiwan cantik. Tetapi Sanusi
Junid bertindak begitu kerana mengikutkan rentak dan ragam perdana menterinya. Bukankah
Mahathir pernah berkata: "Kalau mahu maju kita mesti meloncat ke arah negara
berindustri. Segala keuntungan daripada industri itu boleh digunakan untuk membeli
keperluan makanan kita." Itu sebabnya Sanusi taja projek para petani khayal mencari
uban dan petani lelaki mengorat isteri. Semua itu adalah ekoran projek 'Malaysia Boleh'
yang mengkhayalkan sehingga para pelajar universtiti digalakkan membuat 'Jalur Gemilang
terpanjang' dan digantung di tembok besar China. Kerana itu kita lihatkan ada pelajar
universiti membuat 'sirih junjung tertinggi dan terbesar di dunia', dan memasak 'lemang
terpanjang di dunia'. Semuanya bertaraf dunia. Tetapi, kalau orang China mahu, disuruhnya setiap rakyat
menyediakan sekeping bendera, seluruh Malaysia ini boleh ditudungnya. Sekarang kita
mahu tanya Hisyamuddin Husin, apakah yang jadi kepada bendera yang tergantung di tembok
China itu? Adakah sesiapa yang menjaganya? Apakah kemungkinannya rakyat China
mengambilnya dan dibuat sebagai 'wallpaper' di tandas mereka ataupun di kandang ternakan
mereka? Kalau mereka pasang di tandas sendiri, tidak mengapalah kerana syaitan yang
menjadi saksi. Tetapi kalau mereka pasang di kandang ternakan mereka, apakah jenis
ternakan yang paling banyak di sana? Begitu juga dengan projek memasak lemang terpanjang.
Saya syorkan penaja projek itu pergi ke Batu Sembilan, Jalan Cheras hinggalah ke Bukit
Dukong. Tanya penjual lemang di sana berapa batang lemang yang mereka bakar setiap hari.
Kalau dikumpulkan semua yang mereka bakar itu, jawabnya rekod universiti dalam hal itu
boleh jadi bahan untuk memalukan diri.
Projek yang ditaja dengan duit kementerian, kerajaan negeri dan juga para penyumbang
swasta yang mempunyai agenda tersirat mereka itu, adalah projek yang menghayalkan orang
Melayu semata-mata. Satu ketika dulu pelajar universiti digalakkan membuat projek berbudi
kepada desa. Projek itu dihentikan kerana didapati pelajar maktab dan universti sudah
memukau minda orang luar bandar untuk menyedari apakah sebenarnya hak mereka. Untuk
menentukan golongan mahasiswa berada dalam keadaan 'subservient' regim Mahathir
menentukan bahawa semua VC HEP (Vice Chancellor Hal Ehwal Pelajar) adalah orang UMNO
totok. Sayang, orang-orang semacam ini sudah buta hatinya kepada apa ertinya kemajuan
bangsa. Malahan di UiTM VC yang terbaru Dr. Ibrahim Shah sanggup berkata dengan lantang
bahawa hanya persatuan pelajar di UiTM merupakan persatuan pelajar yang menyokong
kerajaan. Dia lupa ketika belajar di ITM dulu, dia adalah seorang ketua persatuan pelajar
yang banyak mengecam kerajaan.
Mahathir terpaksa teruskan memutar minda rakyat marhaen kerana dia berada di satu tahap
yang tertekan. Mahathir memerintah negara setelah banyak memberi penekanan kepada sistem
kehidupan di Jepun. Tetapi, di Jepun, seorang perdana menteri yang sudah gagal segagalnya
seperti Mahathir, sudah lama meletakkan jawatannya. Apakah lagi projek Mahathir yang
menunjukkan kejayaannya? MAS sudah lingkup tetapi dia masih membenarkan Tajuddin Ramly
menguruskannya. Kenapa tidak dipanggil balik Dato Kamaruddin dan Dato Aziz Abdul Rahman
yang dulu menerajui MAS sebelum ianya diswastakan? Bagaimana pula dengan dua syarikat LRT
yang diambil balik itu? Siapa pula yang menguruskannya sekarang? Kini, kita disogokkan
dengan berita bahawa Proton membuat keuntungan. Tetapi, kenapakah harga kereta keluaran
proton dinaikkan? Rakyat marhaen masih marah dengan hal ini tetapi tidak ada akhbar yang
menuliskannya. Rakyat mahu tahu kenapakah kereta KIA buatan Korea menjadi kereta paling
popular di negara ini? Dulu, semua orang kata Rafidah Aziz membenarkan IP (Import Permit)
kepada menantunya. Kini, baru kita tahu bahawa Naza Motors yang diberikan lesen khas ini
berpengerusikan seorang insan yang baru sahaja bersara sebagai setiausaha khas kepada
perdana menteri. Harga kereta proton adalah yang termahal di negara ini apabila
dibandingkan dengan kereta buatan asing. Kita disogokkan dengan ucapan agar berkorban
menyokong kereta buatan sendiri. Tetapi kenapakah dibenarkan IP untuk membawa masuk
kereta asing? Di Korea, semua rakyatnya termasuk para diplomat tidak dibenarkan membawa
balik kereta asing ke negara sendiri. Di Jepun, semua rakyatnya yang bertugas di negara
asing diarahkan menggunakan kereta buatan negara sendiri.
Septutnya Malaysia menjadi sebuah negara di mana para petaninya mempunyai kadar hidup
yang antara tertinggi di dunia. Kalau para petani di European Union boleh hidup
senang-lenang sedangkan mereka menghadapi cuaca dan iklim yang bermusim, kenapakah petani
Malaysia tidak boleh menandingi mereka? Apa guna berbelanja besar untuk membuat hanya
satu kawasan wetland sedangkan wang sebanyak itu sudah mampu memodenkan industri
pertanian dan perikanan menjadi industri yang menghasilkan barangan ekspot yang
berkualiti di seluruh dunia? Kalau petani kecil-kecilan di India boleh menternak kerbau
dan lembu dan melelongnya seminggu sekali untuk disembelih dan diekspot ke negara ini,
kenapakah orang Melayu di kampung dan rancangan tanah tidak dilatih dan diatur untuk
membekalkan ternakan itu? Kenapakah perkampungan orang asli di Tasik Temenggor
dibiarkan berpadi-huma sedangkan mereka boleh diajar menternak ikan di sangkar jaring
untuk dibekalkan ke bandar-bandar?
Mahathir gagal sebagai Perdana Menteri kerana dia tidak ada mandat yang sebenar untuk
menjadi pemimpin negara. Belum ada seorang pun perdana menteri negara ini sebelum
Mahathir yang naik tanpa memenangi jawatan presiden UMNO secara bertanding. Inilah asas
mandat rakyat yang ditipu oleh Mahathir secara bulat-bulat. Berkat doa orang miskin akan
melaratlah hidup Mahathir dan ahli kabinetnya menanggung bebanan hukum karma. Orang
Melayu terutamanya, masih tidak lupa bagaimana Zainur Zakaria dinafikan kemenangan
sedangkan Shahrizat sudah menangis terisak-isak. Begitu juga dengan kekalahan calon BA
yang lain di Lembah Kelang. Mereka sudah menang sebenarnya sebelum peti undi hantu datang
menjelma. Semua calon UMNO yang menang dengan cara undi tipu dan undi hantu sedar betapa
mereka tidak boleh lari daripada kebenaran. Inilah yang mereka hadapi setiap hari dan
fikirkan setiap kali mereka menerima gaji bulanan mereka. Inilah juga yang terpaksa
dihadapi oleh anak-anak dan saudara-mara mereka apabila disindir oleh teman-teman
mereka. Sepandai-pandai Mahathir dia masih tidak pandai lagi kerana dia sibuk mencanang untuk
membangunkan negara Malaysia dan bangsa Melayu. Dia lupa bahawa sesuatu bangsa itu hanya
boleh menjadi satu bangsa yang besar kalau rohaninya sudah kukuh dan teguh. Orang Melayu
di bawah pimpinan Mahathir mempunyai rohani yang ampuh. Selagi rohani dan jiwa orang
Melayu itu ampuh, selagi itulah kehidupan orang Melayu itu akan terumbang-ambing
keadaannya. Mahathir mungkin sudah sedar akan perkara ini tetapi kesedaran itu sudah
terlambat munculnya. Dia sedar bahawa orang Melayu sudah muak dengannya. Tetapi dia tidak
sanggup meletakkan jawatannya kerana tahu tempatnya selepas itu ialah di sebuah kamar
yang berjejari besi. Mungkin Daim di kamar sebelah kanan dan Megat Junid di sebelah
kiri. Untuk mengelakkan dirinya daripada dihambat oleh hukum karma yang menghantuinya Mahathir
membiarkan apa juga rencana yang boleh melambatkan proses penghukuman rakyat ke atasnya.
Dia mahu melengahkan proses itu. Kalau boleh, dia mahu putar balik jarum jam negara ini.
Kalau boleh, dia mahu semua orang terpukau dan mengakui bahawa hanya dialah pemimpinnya
yang menjolokkan orang Melayu naik ke atas.
Apakah cerita yang masih hangat itu yang mendorong ramai pemimpin UMNO untuk mengganyang
Mahathir secara terbuka? Apakah ini bermakna drama yang panjang berbentuk satu sandiwara
mega sudah pun bermula? Siapakah heronya dan siapakah pula bajingannya? Siapa pula
sutradaranya? -Marhaintua-
|