Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 10
[Siri YTDT ini diterbitkan kembali untuk mengimbau hilangnya satu dunia
orang melayu angkara pencak 'wira dunia ketiga' presiden Umno yang direstui
oleh ahli Umno sekian lama. Hari Wilayah Persekutuan 1/2/2001 hanyalah hari
yang ada menjadi tiada bila orang melayu berketuakan penyamar dari Kerala.
Penyerahan tergesa-gesa Putra Jaya itu menampakkan sesuatu yang tidak kena,
tambah lagi DUN bersidang selepas tandatangan istana. Rupa-rupanya itu
semua hadiah termega diktator tua untuk anak-anak kesayangannya. Lihatlah
sendiri siapa yang terlalu gembira....- Editor]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 10 : OTAK DI LUTUT BERALIH KE MANA?
OTAK DI LUTUT BERALIH KE MANA?
Pada hari Khamis 16 November, 2000; Kerajaan Selangor telah meluluskan
Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan Putrajaya 2000 bagi membolehkan
Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, selama-lamanya. Daripada
42 penyokong kerajaan hanya seorang tidak hadir, iaitu Dato Seri Abu Hassan
Omar yang bercuti. Semua wakil BN yang hadir telah menyokong, sedangkan
enam ahli pembangkang yang diketuai oleh Datuk Dr. Mohd. Hassan Ali telah
bertindak keluar dewan jam 4.42 petang kerana membantah penyerahan
berkenaan.
Kita sengaja merakamkan perkara ini sebagai satu catatan bersejarah kerana
sebelum ini saya sudah mencadangkan agar perkara ini dibuka semula satu hari
nanti sebagai satu perkara yang tidak sah kerana tidak direstui oleh rakyat
Selangor.
Inilah kali kedua kerajaan Selangor menyerahkan wilayahnya kepada Kerajaan
Persekutuan selepas melepaskan Kuala Lumpur sebagai ibu negara pada 1974.
Sebagai pampasan menyerahkan tanah seluas 4,390 hektar itu kerajaan
Selangor menerima sebanyak RM200 juta, selain bayaran tahunan berjumlah 7.5
juta selama-lamanya. Pampasan ini telah disetujui oleh Sultan Selangor dan
anaknya yang menjadi Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah.
Bayaran pampasan ini sudah mengambil kira jumlah cukai pintu yang tidak
lagi dikutip Majlis Daerah Sepang (MDS) yang dianggarkan sebanyak RM7 juta
setahun. Berdasarkan perjanjian itu, Selangor menerima peruntukan sebanyak
RM800 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan kampung di
pinggir Putrajaya dan Cyberjaya. Peruntukan itu digunakan bagi menjayakan
Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), bakinya digunakan dalam RMK-9 untuk
membangunkan kawasan sekitar pinggir Putrajaya, yang diselenggarakan
Jawatankuasa Perundingan Pembangunan yang bakal ditubuhkan. Jawatankuasa
itu dipengerusikan Ketua Pengarah Ekonomi, JPM dan Setiausaha Kerajaan
Selangor sebagai timbalan serta dianggotai empat wakil Kerajaan Selangor dan
empat wakil Kerajaan Persekutuan.
Selain itu Kerajaan Persekutuan menyerahkan 26 keping tanah seluas 10.163
hektar di Morib untuk dibangunkan sebagai projek Kerajaan Selangor yang
dijangka dijadikan pusat peranginan. Dalam hal ini kita tentu mahu bertanya
berapakah agaknya kos yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan ketika
mengambil alih tanah kepunyaan Selangor itu dulu?
Mengikut perjanjian, bilangan wakil Kerajaan Selangor dalam Perbadanan
Putrajaya akan ditambah daripada seorang kepada dua wakil, berdasarkan
peruntukan Seksyen 5(1) Akta Perbadanan Putrajaya 1995.
Daripada 4,390 hektar itu, 3680 hektar adalah tanah ladang, tanah hak milik
individu (312.61 hektar) yang membabitkan pampasan berjumlah RM753.3 juta
manakala bayaran premium bagi tanah kerajaan seluas 396.82 hektar adalah
62.3 juta. Bagi tujuan penyelarasan dan pengemasan sempadan, beberapa
kawasan tambahan juga diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan membabitkan
540 hektar, mengikut Pengambilan Tanah 1960 menggunakan sempadan semula
jadi. Penyerahan itu bermakna semua hak dan kuasa mentadbir akan
dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan, malah sebahagian daripadanya sudah
diserahkan melalui Perbadanan Putrajaya.
Dalam artikel berjodol "Bila Otak Ada Di Lutut" saya ada menyarankan agar
rakyat Selangor tidak menerima persetujuan yang dicapai oleh dua kerajaan
ini kerana rakyat tidak pernah mempersetujui sebarang rencana menjual tanah
Selangor kepada apa yang dikatakan Kerajaan Persekutuan. Malahan, terlalu
banyak cerita misteri di sebalik siapakah sebenarnya yang menerima nikmat
penjualan ini. Adakah Kerajaan Selangor ataupun segelintir manusia rakus
yang menyorok di belakang perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan
Selangor yang kini merangkap Yang Di Pertuan Agong dan anaknya yang menjadi
Pemangku Raja Selangor. Ironisnya, dua insan yang merencana penjualan tanah
dengan harga yang terlalu mengaibkan kebijaksanaan rakyat Selangor hanya
duduk diam sebagai saksi sahaja. Eloklah dirakamkan di sini, Dato Seri Abu
Hassan Omar dan juga Dato Dr. Mohd. Hassan Ali mempunyai latar-belakang
kelulusan dalam perancangan bandar. Raja Kelentong adalah berkelulusan
bidang perubatan sedangkan Mohamad Khir dalam bidang pergigian.
Semua rakyat Selangor seharusnya jangan merelakan penjualan tanah ini kerana
terlalu banyak muslihat di sebaliknya yang satu hari nanti akan terserlah
juga segala kejijikannya. Kita boleh ambil iktibar bahawa disebabkan
kerakusan juga makanya segala cerita jijik itu masih tidak diketahui oleh
rakyat Selangor, secara menyeluruhnya sehingga kini.
Satu Hektar Tanah Di Putrajaya Boleh Cecah RM200 Juta.
Pada hari Rang Undang-Undang Penyerahan Tanah Putrajaya itu diluluskan,
menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Pandikar Amin Mulia ada membuat
pengemuman betapa harga setiap hektar tanah di pusat pentadbiran negara di
Putrajaya dijangka mencecah sehingga RM200 juta pada tahun 2020. Ini bererti
dalam masa 19 tahun lagi harga tanah seluas 4390 yang dijual murah oleh
ahli politik hingusan terbaru Selangor di atas nasihat memanda Raja
Kelentong boleh mencapai harga yang bersamaan dengan 4390 x 200 juta. Saya
tidak mahu memberikan jawapannya kerana dalam penulisan saya yang lalu saya
hanya menyebut beratus ribu juta ataupun beribu bilion. Yang nyata,
pembayaran RM200 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada 7
November dulu adalah bersamaan dengan harga satu hektar tanah pada tahun
2020 nanti.
Bayangkan pula berapakah harga tanah yang dipunyai oleh orang individu yang
seluas 312.61 hektar itu. Siapakah gerangannya mereka yang disebutkan
indvidu itu?
Soalnya sekarang siapakah yang menipu siapa dalam hal ini. Malahan, apakah
rakyat Selangor masih lagi mahu memberikan kepercayaan mereka kepada semua
wakil parti Barisan Nasional yang telah bersetuju sebulat suara dalam
meluluskan Rang Undang-Undang yang dibentangkan? Kalau harga yang dijangka
naik dalam tempoh sembilan belas tahun boleh menjadikan Selangor sebuah
negara yang terkaya, walaupun tidak mempunyai industri petroleum dan gas,
kenapakah wakil rakyat yang dilantik itu sanggup meluluskan Rang
Undang-Undang itu? Bukankah ini bererti mereka sudah mengkhianati rakyat
yang melantik mereka di pemilu ke-10 dulu?
Kalau kita ambil kira bayaran tahunan sebanyak 7.5 juta selama-lamanya yang
didasarkan taksiran cukai cukai pintu yang tidak lagi dikutip oleh Majlis
Daerah Sepang, ia sudah tentu mampu mencuit minda seorang rakyat marhaen
untuk memahami betapa mudahnya putarbelit politik yang direncana oleh dua
doktor yang terbabit dalam kelentongan ini. Apakah kadar tanah tidak naik
selepas ini? Bagaimanakah pula mereka mampu menipu ataupun memujuk semua 41
orang wakil rakyat BN untuk meluluskan Rang Undang-Undang itu?
Penipuan Besar Yang Sudah Lama Berlaku
Sempena penyerahan tanah Selangor secara tipu-helah kepada Kerajaan
Persekutuan saya merasa bertanggungjawab untuk merakamkan dan juga
mendedahkan satu rahsia mengenai satu lagi projek tanah Selangor yang satu
hari nanti akan pasti dijadikan satu isu hangat untuk diambil-alih oleh
Kerajaan Persekutuan juga. Hanya, masanya sahaja yang belum sesuai kini,
tetapi besar kemungkinannya ia akan berlaku juga. Dalam pendedahan ini,
kita mungkin selitkan sedikit beberapa peristiwa yang membuatkan rakyat
Malaysia, terutama sekali orang Melayu tertipu sekian lama oleh satu
program menyonglap dan memutarkan minda rakyat di negara ini. Saya fikir
sudah sampailah masanya untuk melakukan pendedahan ini sebagai memenuhi satu
amanah orang yang menceritakannya kepada saya sejak lama dulu lagi.
Pendedahan ini adalah bersangkutan dengan tapak tanah yang kini dijadikan
lapangan terbang terbaru di negara ini. Inilah lapangan terbang yang
dikenali dengan nama KLIA (Kuala Lumpur International Airport) yang
diura-urakan akan ditukarkan kepada nama Mahathir Mohamad International
Airport, pada satu hari nanti. Malahan cadangan ini pernah disebut oleh
Shariff Jajang ketika beliau menjadi ahli parlimen kawasan Sepang satu
ketika dulu. Selepas cadangan itu dibuat, suasana politik bertukar dan kita
fikir cadangan itu akan tinggal satu kenangan semata-mata. Ia tidak mungkin
terlaksana memandangkan potensi ekonomi KLIA yang semakin merosot.
- Pembikinan KLIA
Semua orang disogokkan dengan satu kenyataan bahawa "kita membina lapangan
terbang KLIA yang baru dengan harga yang lebih murah kalau dibandingkan
dengan lapangan terbang Hong Kong. Sedangkan kapasiti KLIA adalah dua kali
ganda besarnya daripada Hong Kong. Kita boleh jangkakan bahawa KLIA akan
menjadi satu lapangan terbang yang penting di rantau ini." Demikianlah yang
kerap diucapkan oleh Raja Kelentong setiap kali dia berceramah di forum
bertaraf antarabangsa dan juga setiap kali dia berkempen di dalam negara.
Tapak KLIA itu sebenarnya pada satu ketika dulu merupakan satu ladang swasta
yang bernama Elmina Estate. Satu ketika dulu, ladang itu di kelilingi
kawasan berpaya dan berlopak-lopak kerana ia pernah menjadi kawasan
peninggalan lombong bijih timah. Apabila projek bijih selesai, kawasan yang
meminggiri Ladang Elmina itu dijadikan projek pemeliharaan khinzir ataupun
babi dan juga tapak pembikinan samsu haram. Suasana kawasan projek haram itu
telah membuatkan pengurusan Elmina Estate menghadapi banyak masalah dalam
pengurusan tenaga manusia kerana pekerja ladang yang asal sudah ramai
berpindah keluar untuk bekerja di bandar.
Untuk dipendekkan cerita, tuanpunya tanah akhirnya telah menjual tanah itu
kepada seorang wanita yang tidak diketahui oleh umum mempunyai wang yang
banyak untuk membelinya. Wanita Melayu ini memang dikenal baik oleh Raja
Kelentong, walaupun satu ketika dulu dia bersuamikan seorang rakyat
Peranchis yang pernah bekerja di negara ini sehinggakan menghasilkan seorang
anak perempuan daripada perkahwinan mereka yang singkat. Sehinga kini pun
tidak ramai rakyat di negara ini yang mengetahui kenapa Elmina Estate itu
dibeli oleh wanita itu. Hanya Raja kelentong tahu jawapannya kerana dia
telah menggalakkan wanita itu membelinya dengan rencana untuk menjadikan
sebahagian tapak tanah itu menjadi satu lapangan terbang yang baru.
Bermulalah satu projek mega di tapak itu dan kerajaan pusat pun terpaksa
berbelanja besar untuk membeli tanah berkenaan dengan harga yang sungguh
tinggi sekali. Sedangkan, kalau projek lapangan terbang itu mahu didirikan,
bukankah logik kalau tanah kosong peninggalan projek bijih timah itu diambil
kembali dan dibangunkan. Harganya mungkin tidak sampai setengah daripada kos
sebenar yang dibelanjakan untuk membina KLIA. Ironisnya, sehingga kini,
dalam menyebut kos pembinaan KLIA itu, rakyat masih samar-samar dengan kos
sebenar pembelian tanah Elmina Estate itu yang dijadikan tapak lapangan
terbang. Kenapakah agaknya dan siapakah yang menipu siapa pula?
Betulkah Elmina Estate Tapak yang Paling Sesuai?
Kalau kita mahu pergi ke KLIA tentu kita terpaksa menyusuri lebuhraya yang
diuruskan oleh "Elite" yang membawa kita menikmati pemandangan indah tanah
lapang selepas kita keluar daripada pintu tol USJ. Kalau kita perhatikan
keadaan tanah lapang di kiri dan kanan lebuh raya itu sehinggalah kita
sampai ke satu simpang untuk memasukki Putraya dan Cyberjaya (di sebelah
kiri) kita akan nampak satu kawasan tanah lapang yang kini diusahakan untuk
projek perumahan. Tanah ini dikatakan dipunyai oleh Usahawan Muda yang
kebetulan merupakan adik kepada wanita Melayu kaya yang membeli Elmina
Estate dulu. Tapak tanah ini sungguh canggih kerana mempunyai satu kawasan
lombong lama yang luas dan kawasan sekeliling lombong itu sudah lama mampat
dan padat dan sesuai untuk dibina bangunan rumah di atasnya. Kalau dibina
lapangan terbang di situ pun memang kawasan itu lebih canggih lagi daripada
kawasan KLIA yang terbina kini.
Kita tahu, setiap projek perlombongan yang sudah pupus lama tidak melayakkan
pengusaha perlombongan itu kepada tanah yang telah diusahakannya. Dia tidak
layak memilikki tanah lombong yang sudah dihentikan operasinya. Tanah itu
terpaksa dipulangkan balik kepada kerajaan yang mengeluarkan lesen
perlombongan itu. Ini bererti kawasan yang diusahakan sebagai tapak
perumahan yang dinamakan "Taman Perdana" itu sepatutnya telah diambil balik
oleh Kerajaan Selangor. Tetapi, kenapakah di sekeliling tanah perumahan itu
kini ditanam dengan tanaman jangka panjang seperti belimbing besi dan juga
tanaman kontan yang lain. Siapakah yang sebenarnya mempunyai nikmat kepada
tanah yang sungguh berharga itu? Khabarnya tuan punya projek ini merupakan
seorang terpelajar juga kerana kerap mengikuti Perdana Menteri ke luar
negara. Malahan, dia kerap juga mempengerusikan forum bertaraf antarabangsa
di mana Raja Kelentong kerap menjadi tetamu khas dengan ucaptamanya.
Kita dapat menjangkakan, pemilihan Elmina Estate yang kemudiannya dijadikan
sebahagian tapak KLIA dan berdekatan dengan Gelanggang Formula 1, serta
pembinaan Putrajaya di kawasan yang berdekatan, sekaligus membuatkan si
wanita itu wanita Melayu terkaya di dunia ini. Adik lelakinya yang
mengusahakan projek perumahan di kawasan berdekataan Stesen R&R Dengkil itu
menjadikan dua beradik ini satu pasang usahawan Melayu yang tidak mudah
ditandingi oleh semua usahawan Melayu bertaraf Kelas F di negara ini.
Alangkah bertuahnya dua beradik itu !!!!
Soalnya sekarang kenapakah cerita kejayaan dua usahawan unggul Melayu ini
tidak pernah ditonjolkan dalam certia-cerita dongeng kejayaan usahawan
Melayu di TV dan radio kerajaan? Kenapakah nama mereka berdua ini boleh
dilupakan oleh semua akhbar media perdana yang menyokong kerajaan. Mereka
berdua ini telah mampu menjadi usahawan Melayu bertaraf global tanpa bantuan
dan panduan daripada MARA, NPC dan institusi kerajaan yang lainnya. Alangkah
elok kalau mereka ini diajak bercakap di program Selamat Pagi Malaysia agar
semua rakyat tahu apakah formula yang mereka gunakan untuk menjadi usahawan
Melayu yang paling berjaya di negara ini. Saya pernah berbual mengenai hal
ini dengan beberapa teman-teman lama. Ada seorang kawan yang ketawa dalam
hal ini. Dia kata, kerajaan lebih berminat membesarkan cerita francais
berniaga nasi lemak yang menelan belanja lebih satu juta daripada projek
usahawan yang beratus juta yang dilakukan oleh wanita Melayu Ladang Elmina
itu. Memang, satu ketika dulu sebelum SUKOM dilancarkan ada berita hangat
mengenai francais nasi lemak yang dibuka secara rasmi oleh Tok Pa penasihat
kementerian kewangan negara. Apakah agaknya kemajuan francais itu, kini?
Kadangkala kita merasa pelik juga kenapakah MARA tidak mampu memimpin orang
Melayu mencapai kejayaan seperti yang dicapai oleh dua orang adik beradik
ini. Yang si kakak mampu membeli Elmina Estate yang kemudiannya menarik
minat seorang perdana menteri untuk menjadikannya tapak KLIA. Adiknya yang
si lelaki itu pula berjaya menguruskan banyak industri berat-berat yang
tidak mudah dikendalikan oleh orang Melayu. Oleh kerana usahawan berdua itu
adalah orang Melayu yang berjaya, tentu kita mahu menyarankan agar ibu dan
bapa mereka menerima pingat anuegerah ibubapa mithali untuk abad ini. Tentu
sekali Perdana Menteri dan isterinya boleh ditentukan sebagai pemberi hadiah
istimewa itu.
Dalam hal ini rakyat marhaen masih tertunggu-tunggu akan cerita kejayaan
beberapa syarikat yang mengendalikan projek perubatan di negara ini. Ada
satu syarikat yang menguruskan perkhidmatan doktor perubatan untuk institusi
besar-besar seperti TNB, KWSP dan Telekom, dan banyak lagi. Kalau saya tidak
silap nama syarikat itu ada terselit perkataan Medicare. Pengerusinya
seorang berpangkat doktor juga, tetapi kedoktorannya adalah dibidang
pendidikan, sedangkan perniagaan itu merangkumi kes perubatan. Tuanpunya
besar syarikat itu ialah salah seorang adik kepada wanita Melayu yang
terkaya ini.
Satu ketika dulu, semua institusi besar mempunyai panel doktor mereka
sendiri. Tetapi panel itu kini sudah bertukar kerana adanya Syarikat
Medicare ini. Ramai orang lebih selesa menyebutnya dengan perkataan
"Mediocre" sahaja kerana sebaik sahaja mereka dipilih memberikan khidmat
perubatan itu, mereka menerima wang pendahuluan di antara satu juta hingga
dua juta daripada setiap institusi besar-besar itu. Sebaik sahaja menerima
wang pendahuluan, para pengarah telah membeli kereta mercedes baru
sedangkan kakitangan di pejabat hanya merupakan seorang kerani merangkap
penyambut tetamu yang terpaksa bekerja terkonteng-konteng untuk satu tempoh
yang lama.
Tujuan utama menggalakkan syarikat Mediocre ini ialah untuk "mempercepatkan
dan menyelaraskan pembayaran kepada panel doktor kerana satu ketika dulu
proses membayar mereka dikatakan satu kerja yang lembab." Impaknya kini,
pembayaran masih lembab malah lebih lembab dari dulu. Kos perubatan yang
dikenakan oleh doktor semakin naik kerana mereka terpaksa menanggung risiko
bayaran yang semakin lembab tanpa peluang untuk membantah ataupun mengungkit
hal itu kerana takut disenarai-hitamkan. Sekali lagi kita bertanya kenapakah
masalah yang dihadapi oleh semua panel doktor yang berurusan dengan Mediocre
ini tidak pernah dibangkitkan?
Kisah balun membalun harta rakyat dan pemberian projek secara program khas
tanpa perlu ditender dulu, merupakan kemuncak "kegemilangan pemerintahan
Raja Kelentong yang direstui oleh para pemimpin UMNO." Pemimpin parti
komponen BN hanya angguk sahaja sebagai bersetuju, kerana mereka pun
mempunyai peluang lain yang memberikan kenikmatan yang hampir sama. Inilah
yang membuatkan UMNO semakin reput dan semakin dibenci oleh orang Melayu.
Inilah juga yang menyebabkan mereka yang sedang berkuasa di atas itu mahukan
kekuasaan itu terus berkekalan, kalau boleh sehingga nyawa bercerai daripada
badan.
Raja Kelentong sudah memegang kuasa selama lebih dua puluh tahun. Dia tidak
akan melepaskan kuasa itu kerana alasan yang sebenarnya hanya dia sahaja
yang tau. Tetapi, rakyat marhaen di bawah sudah tidak sabar lagi dengan
kerakusannya dan kerakusan yang ditonjolkan oleh anak-anak, para kroni dan
juga para pemimpin parti yang dipimpinnya. Rakyat sudah merasakan, bahawa
kerana kerakusannya itu dia sudah tidak lagi mampu hidup di alam nyata.
Apatah lagi untuk menyedari segala kerja jijik yang dilakukan oleh
segelintir pemimpin Barisan Nasional. UMNO yang dikatakan pejuang ketuanan
Melayu dan penegak syiar Islam di rantau ini sudah kecundang dalam tugasnya
sehinggakan proses memurtadkan orang Islam yang dilakukan oleh orang lain,
seolah-olah dibiarkan begitu sahaja. Apakah kerana semua kerja-kerja jijik
yang dilakukan selama ini menyebabkan UMNO terpaksa bersidang khas untuk
meluluskan beberapa pindaan terhadap perlembagaan mereka?
Banyak lagi cerita pelik-pelik yang ada sangkut paut dengan wanita Melayu
terkaya di dunia ini. Tetapi, semua cerita itu tidak menjadi berita hangat
dan tidak menjadi isu besar sedangkan kerakusannya dan juga adik-adiknya
saling tak tumpah dengan kerakusan Raja Kelentong. Namun, manusia boleh
merancang dan Allah pun merancang juga. Cuma kuasa veto perancangan manusia
itu ada di tangan Allah SWT sahaja.
Kerakusan wanita Melayu terkaya itu dan adik-beradiknya dijangka akan mula
terserlah sedikit demi sedikit secara bersiri dan secara tidak dirancang
oleh mana-mana manusia. Semua itu mungkin ada kena mengena dengan penyerahan
tanah rakyat Selangor yang kini disebut Putrajaya kepada Kerajaan
Persekutuan. Sekaligus, semua kerakusan wakil-wakil rakyat dan segelintir
pegawai kerajaan yang berkuasa membantu mereka akan terserlah juga. Secara
tidak langsung kisah bagaimana seorang menteri besar mampu melarikan
beberapa kilo wang besar-besar ke luar negara akan menjadi babak
ulang-tayang kepada rakyat Selangor juga. Sekaligus kita akan faham, kalau
otak yang pada asalnya dikurniakan oleh Allah kepada manusia dan diletakkan
di kepala itu dibiarkan untuk turun ke kepala lutut, kerakusan dan kegilaan
untuk membalun harta rakyat mampu membolehkan otak yang berada di di situ
beralih ke tempat lain juga. Ada orang yang berkata ia boleh beralih ke
bontot, tetapi saya lebih selesa berkata ia mudah beralih ke kaki, kerana
apabila kerja membalun harta rakyat dilakukan secara terang-terangan orang
yang berotak begitu tentu sudah bersedia untuk angkat kaki untuk lari. Jika
tidak, apa gunanya membeli tanah di negara asing dengan berjuta ringgit
harganya sedangkan harga tanah dalam kawasan negeri Selangor boleh dibeli
dengan kadar 0.93 sen sekaki persegi?
-Marhaintua-
18.11. 2000.
|