| Laman Webantu KM2A1: 3693 File Size: 37.3 Kb * | 
| Siri 2 MMM: Yang Terdesak dan Tersedak By Marhain Tua 30/1/2001 8:22 am Tue | 
| Siri MMM  [Kekalahan BN untuk memenangi hati orang melayu dalam pemilu yang lepas 
menyebabkan Mahathir mengatur strategi baru melambung beberapa isu dengan 
lebih kerap lagi dengan harapan rakyat akan terikut-ikut, terpukau dan tertipu. 
Dia sanggup menipu rakyat demi menyelamatkan kroni. Tahun lepas sahaja mereka 
berhari raya dengan gembira sekali kerana saham dapat dijual dengan mahalnya, 
hutang berbilion dibeli dengan  mudahnya, bank masuk dicelak ketiaknya, dan 
Putra Jaya terserah dengan rasminya. Rakyat hanya layak mendapat kenaikkan  
harga sahaja dan hutang negara yang semakin menggunung tingginya.   
  Pak -MT- mengajak pembaca berfikir kenapa Mahathir mengarang buku  
'Malay Dilema' di dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu, sedangkan dia 
boleh menulisnya dalam bahasa melayu.  Memang Mahathir bermuslihat di situ 
kerana perjuangan sebenarnya bukan untuk orang melayu, jika tidak dia akan 
menulis dalam bahasa melayu dulu.   Mahathir kini sudah terdesak kerana kesedaran rakyat sudah semakin memuncak. 
Maka dia mengugut dan menutup media, dan kini melantik lebih banyak barua untuk 
memastikan minda rakyat terus terputar. Dia terlalu ego diri sehingga Jepun pun 
mahu diajarnya, inikan pula rakyat Malaysia. Media sanggup melapurkan isu yang 
lebih banyak yang tidak berguna dari yang berguna sehingga Bernama ikut 
berdongeng sama. Itu semua putar alamnya... 
- Editor]        Orang Melayu di Malaysia sudah menunjukkan kepada seluruh dunia apa ertinya  
kesabaran. Nilai hidup yang berpandukan Al-Quran, semakin difahami  rakyat  
Malaysia yang lain sehingga mereka pun mengamalkannya ke satu tahap yang  
menakjubkan. Semua ini berpunca daripada kerenah Mahathir dan juga UMNO  
yang disokong dengan jayanya oleh semua parti komponen dalam Barisan Nasional.  
  Pilihanraya umum (pemilu) yang terakhir berlangsung pada 1999. Kini, tiga belas  
bulan sudah berlalu sejak pemilu itu. Tetapi, apakah yang sudah dilalui oleh rakyat 
negara ini sejak itu yang boleh menjadi kebanggaannya? Jawabnya memadai 
dengan satu perkataan sahaja: TIADA. Tidak ada satu pun bendanya! Malahan, 
setiap dua minggu sekali rakyat akan disogok dengan cerita sensasi yang menjadi 
isu perbincangan dan omongan kosong yang melalaikan. Isu perbincangan itu 
adalah laksana 'flavour of the week' ataupun 'Rasa Minggu Ini' yang 
dianjurkan oleh bistro menjual aiskrim di negara maju untuk menarik para 
pelanggan untuk terus membeli di kedai itu.   
  Demikianlah yang disogokkan oleh Mahathir kepada rakyat Malaysia sebagai 
santapan rohani mereka sejak BN menang pemilu dulu. Semua sogokan itu adalah 
satu putar-belit minda yang amat pintar, yang hanya setara dengan putar-belit 
yang dilakukan oleh negara dan kuasa-kuasa besar untuk terus mengawal 
negara-negara Arab dan Afrika. Tujuan putar-belit mereka itu adalah bertujuan 
supaya rantau Timur Tengah dan Afrika terus mencelaru agar harga minyak 
sentiasa naik meninggi dan alat kelengkapan perang yang canggih-canggih 
sentiasa diminati untuk dibeli. Dengan lain perkataan, negara-negara yang 
bercakaran sesama sendiri adalah disebabkan mereka terjebak ke dalam 
perangkap yang memang dipasang oleh kuasa besar yang mahukan mereka 
berperangai terus begini.    Satu ketika dulu, tidak ramai di kalangan rakyat marhaen yang mahu mempercayai 
apa yang dikatakan oleh orang lain, bahawa Mahathir dan segelintir pemimpin 
UMNO sedang giat memutarkan minda orang Melayu. Ketika penulis ini 
memulakan tulisannya dengan penuh kiasan, segala sindiran tajam tulisan itu 
sebenarnya ditujukan kepada gelagat Mahathir memutar minda orang Melayu. Di 
situlah munculnya satu siri tulisan yang disebut 'Suasana Lebaran Pencetus 
Minda'. Ia memberi gambaran seolah-olah apa yang ditulis itu adalah laksana 
suis di dinding yang mampu menyalakan 'api elektrik dalam kaca pemikiran setiap 
insan sama ada orang Melayu ataupun rakyat Malaysia, yang membacanya.'  
  Ramai orang yang bertanya kenapakah 'Suasana Lebaran Pencetus Minda'? 
Jawapannya terletak kepada kemampuan orang Melayu berfikir sebelum episod 
Anwar Ibrahim dibaham sehingga matanya lebam.  Sebelum episod itu, minda 
orang Melayu berada di satu landasan yang disediakan oleh UMNO dan digilap 
oleh Mahathir, sehinggakan otak orang Melayu itu menjadi satu otak yang 
disebut 'One-Track-Mind'. Laksana seekor kuda yang disungkup sebahagian 
besar matanya, ia hanya mampu memandang ke hadapan untuk berlari tangkas 
dengan arahan. Sungkupan yang dipasang di kepalanya itu tidak akan 
membenarkan kuda itu melihat apa yang berada di daerah lain di persekitarannya 
kerana dia hanya perlu berlari untuk sampai ke garis penamat perlumbaan.   
  Demikianlah jijiknya kerja-kerja yang dilakukan  sehingga orang Melayu itu pada 
keseluruhannya berada dalam satu situasi seolah-olah dipukau oleh si diktator 
tua ini sejak dua puluh tahun yang lalu. Hanya kini, dan baru kini, orang Melayu  
tersedar daripada keadaan yang memukau itu setelah begitu lama terperosok di 
satu sudut kehidupan mereka yang penuh kepalsuan yang kini mesti disusuli 
dengan seribu tandatanya. Alangkah aibnya perkara ini apabila ia terpaksa 
dibincangkan secara terbuka oleh orang Melayu itu keseluruhannya sedangkan 
secara berkumpulan, masyarakat Melayu bukannya masyarakat sembarangan. 
Inilah masyarakat yang mempunyai raja dan sultan, jeneral dan soldadu, 
mahaguru dan wira silatnya, para cendekiawan dan para pengikutnya, penyajak, 
penyair, karyawan, wartawan yang pandai menulis; golongan ulama dan umarak 
dan bermacam lagi jenis manusia yang bergelar Melayu.   
  Tertipunya Orang Melayu   Penipuan yang dilancarkan secara licik ke arah minda orang Melayu bermula dengan buku 'Malay Dilemma'. Inilah buku yang ditulis di tengah-tengah kegawatan minda orang Melayu. Inilah hasil tulisan yang pertama sekali disogokkan kepada orang Melayu yang berjaya mencuit minda mereka untuk berfikir dan menilai kembali diri mereka yang bergelar 'Melayu'. Tulisan yang tajam telah mencuit perasaan sehinggakan para pembaca buku itu mudah rasa tertekan bukan kepada sesiapa tetapi kepada kepimpinan bangsanya. Bayangkanlah makna tulisan yang kita sedut daripada buku itu: 
 Demikianlah kata pengantar yang dinukil oleh Mahathir dalam bukunya yang 
diterbitkan pada pertama kalinya di tahun 1970, yakni selepas tercetusnya 
peristiwa Mei 13, 1969. Peristiwa tragis itu berlaku di Kuala Lumpur, 12 tahun 
selepas negara mencapai kemerdekaannya. Itulah peristiwa yang masih belum 
jelas kepada generasi ini akan sebab musababnya yang sebenar kerana ramai 
orang yang aktif ketika meletusnya peristiwa itu sudah lama pergi. Yang masih 
tinggal dan faham sangat akan cerita sebenar penyebab peristiwa itu masih lagi 
sanggup berdiam diri.  Hanya segelintir yang masih hidup dan masih tahu cerita 
sebenarnya seperti MGG Pillai, A. Samad Said, Hamzah Husin, Pak Melan, Pak 
Shahnon dan beberapa wartawan dan penulis pencen yang masih lagi bersikap 
menyendiri. Malahan ramai bekas tentera RMAD battalion Ke-5 yang tahu cerita 
sebenar peristiwa itu kerana mereka yang mula-mula sekali dikerah 
mententeramkan ibukota. Kapten Abdul Aziz yang bertugas di Kampung Baru 
sudah lama pergi.    Namun, peristiwa Mei 13 itu telah melonjakkan nama Mahathir ke arena 
antarabangsa dengan terbitnya buku beliau 'The Malay Dilemma' yang 
kemudiannya dialih-bahasakan dengan tajuk 'Dilema Melayu'. Buku itu 
diharamkan sebaik sahaja ia muncul, tetapi penulis seperti juga ramai rakyat 
Malaysia telah pergi ke sebelah tambak untuk mencarinya. Hampir semua buku 
yang dibeli oleh rakyat Malaysia ketika itu semuanya dibawa masuk secara 
bersahaja tanpa ada sesiapa yang melakukan kawalan untuk menyekatnya.  
Setelah membaca buku itu, saya berpendapat ketika itu adalah satu kesilapan 
besar kerajaan Perikatan (ketika itu) mengharamkan buku itu. Malahan saya 
memberikan pendapat kepada ramai kawan-kawan ketika itu, ada satu mesej 
tersorok dalam penulisan buku itu yang menunjukkan si penulisnya mahu 
menonjolkan perwatakannya.    Ketika saya mengeluarkan pendapat begitu, ramai cendekiawan Melayu yang 
tidak bersetuju. Mereka berpendapat saya merasa cemburu kerana Mahathir 
sanggup menulis bukunya dengan cara itu, sedangkan mereka beranggapan, 
Mahathir ikhlas mahu menyedarkan orang Melayu.  Di waktu itu saya 
menjelaskan, kalau Mahathir benar-benar mahukan bangsa Melayu sedar akan 
keadaan mereka ketika itu buku 'The Malay Dilemma' seharusnya tidak muncul 
dulu. Ia seharusnya didahului oleh buku 'Dilema Melayu'. Dengan lain perkataan, 
tujuan Mahathir sebenarnya menulis 'The Malay Dilemma' bukannya untuk 
menarik perhatian orang Melayu, dia mempunyai agenda yang lebih besar dari itu. 
  Penulisan saya kali ini merupakan bahagian kedua dalam siri terbaru yang 
berjodol  'Siri MMM'. Adalah tidak patut kalau saya menulis untuk mengupas 
buku 'Dilema Melayu' selepas ia ditulis tiga puluh tahun yang lalu. Namun, buku 
itu saya anggap satu buku yang baik untuk dijadikan satu rujukan kalau sesiapa 
mahu menilai pemikiran Mahathir satu ketika dulu dengan Mahathir yang kini 
menjadi dilemma orang Melayu.    Mahathir menerbitkan 'The Malay Dilemma' setelah beliau kalah dalam pemilu 
1969 dulu. Selepas itu dia telah menuduh Tunku Abdul Rahman Putra kerana 
kekalahan UMNO yang besar dalam pemilu itu. Salah satu alasannya ialah 
menuduh Tunku kerana terlalu memberi muka kepada kaum Cina.  Saya telah 
menulis hal ini dengan panjang lebar satu ketika  dulu dengan mengambil sedutan 
daripada buku tulisan Almarhum Tunku yang menolak dan menafikan segala 
tuduhan Mahathir itu. Namun, saya masih teringat kata-kata Tunku yang 
mengatakan betapa Mahathir telah cuai ketika menjadi wakil rakyat kerana terlalu 
sibuk berniaga dengan rakan Cina beliau sehingga mengabaikan kawasan 
parlimennya. Kata-kata Almarhum Tunku itu tidak perlu diselidik akan 
kesahihannya kerana setelah menjadi perdana menteri pun Mahathir menemui 
rakyat marhaen di kawasan pilihanrayanya ketika majlis jamuan hari lebaran 
sahaja. Ironisnya dia terus memenangi pilihanraya di Kubang Pasu tanpa 
takut-takut sejak menjadi presiden parti. Rupanya, kunci rahsia kemenangannya 
itu sudah pun diketahui kini.   Sejak menjadi perdana menteri, Mahathir telah malakukan satu proses 
membangunkan negara dengan belanja yang berbilion ringgit, seolah-olah wang 
itu adalah sebahagian daripada warisan bapanya. Rintihan rakyat marhaen yang 
memerlukan wang yang sungguh banyak itu, tidak kedengaran langsung kerana 
kepintaran kerajaan Mahathir menindas segala rintihan mereka. Para pemimpin 
parti pembangkang yang cuba sedaya upaya melaungkan rintihan rakyat marhaen 
ditekan, ditangkap dan dipenjarakan. Suku-sakat pemimpin pembangkang yang 
bertindak tegas menyanggah kepimpinannya pun turut disakat dan didera untuk 
melemahkan semangat mereka. Hingga ke hari ini masih ramai lagi pemimpin 
pembangkang yang merasakan deraan itu.   
  Contoh tekanan yang sedang dikenakan ialah tindakan polis khas yang 
mengekori pemimpin muda di pihak pembangkang yang kerap dipanggil ke balai 
polis untuk siasatan sedangkan segala aktiviti pemimpin muda ini memang 
sentiasa dirakamkan dan pergerakan mereka memang sentiasa diawasi.  Mahathir 
dan para juaknya terus menggunakan taktik mengugut keselamatan para 
pemimpin muda ini secara sengaja tanpa memikirkan 'trauma' dan tekanan yang 
ditanggung oleh keluarga para pemimpin itu.   
  Saya tahu beberapa keluarga pemimpin muda pembangkang yang hidup dalam 
keadaan tertekan. Ramai anak-anak kecil mereka yang menjadi takut apabila 
melintas balai polis setelah melihatkan bapa dan datuk mereka yang terpaksa 
menghadirkan diri   di balai untuk 'siasatan lanjut'.  Malahan, ada golongan 
kanak-kanak yang tersentak dan mudah terdesak setiap kali telefon di rumah 
mereka berdering.  Semua ini adalah kesan bunyi telefon yang terlalu kerap 
berdering setiap kali akan munculnya gerakan pihak pembangkang berhimpun 
secara aman. Ada sahaja pihak yang menelefon untuk mengetahui sama ada si 
anu bin ataupun binti si anu ada di rumah di waktu himpunan rakyat marhaen 
hampir dilancarkan.  InsyaAllah satu hari nanti kita akan tulis satu artikel khas 
mengenai dilemma pemimpin Melayu moden seperti ini untuk pengetahuan para 
pembaca.   Cerita penderaan mental seperti ini diceritakan sendiri kepada saya oleh pegawai 
polis yang ditugaskan membuat kerja-kerja itu dan juga oleh beberapa ahli 
keluarga pemimpin muda parti pembangkang. Kebanyakan cerita pegawai polis ini 
menunjukkan betapa mereka sendiri pun merasa tertekan dengan tugas ini kerana 
mereka pun sedar bahawa perlembagaan menjamin hak rakyat marhaen 
berhimpun secara aman. Mahathir menidakkannya dan tegahannya itu disokong 
dengan taksubnya oleh segelintir pegawai atasan polis dan juga sistem 
kehakiman negara yang sudah lama reput.  
  Kenapakah Mahathir sanggup mendera bangsanya sendiri? Inilah soalan yang 
kerap bermain di kebanyakan fikiran rakyat marhaen di negara ini. Tidak kiralah 
sama ada mereka itu ahli UMNO ataupun ahli pembangkang. Ataupun mereka 
pelajar di universiti ataupun para petani. Soalannya amat jelas sekali, apakah yang 
Mahathir mahu lagi? Kenapakah Mahathir sanggup mendera bangsanya sendiri 
dan juga rakyat Malaysia secara umumnya dengan segala sekatan-sekatan yang 
menghalang kebebasan bersuara dan bergerak dengan bebas? Kalau Malaysia 
dikatakan sudah hampir setanding dengan beberapa negara maju kenapakah 
sistem membenarkan rakyat bebas membuat pilihan mereka seperti yang 
dilakukan oleh negara maju tidak dibenarkan kepada rakyat negara ini? 
Kenapakah Mahathir menyekat kebebasan akhbar sehinggakan akhbar parti 
pembangkang tidak boleh dibaca oleh rakyat secara bebas?  Kalau TV dan radio 
serta akhbar perdana dibiayai dengan bebasnya oleh kerajaan kenapakah rakyat 
dinafikan hak membaca terbitan parti pembangkang? Mahathir terlalu bangga 
dengan mencemuh kerajaan negara maju tetapi kenapakah dia tidak memberi 
peluang untuk rakyat mengetahui apakah kebetulan segala cemuhannya itu 
dengan membaca akhbar yang bebas?   Kebajingan Mahathir Yang Paling Besar  
  a) Ego   Mahathir mempunyai ego yang besar dan inilah penyebab kegagalannya. Dia 
mahu melaksanakan satu kepimpinan untuk membawa Malaysia ke hadapan 
setara dengan negara maju yang sentiasa dikritiknya. Dia mahu buktikan apa 
yang ditulisnya dalam Dilema Melayu boleh diperbetulkan seperti yang pernah 
dikritiknya di zaman Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn. Tetapi, dia gagal 
segagal-gagalnya.  Egonya yang terlalu besar membuatkan dia tertipu dalam 
segenap perancangannya. Tetapi, sebagai menepati unsur penipuan, apabila 
seorang pemimpin yang tidak ikhlas mengalami kegagalan dalam usahanya 
memimpin, dia akan terus berbohong dan menipu untuk menutup kegagalannya. 
Berulanglah penipuan itu sehinggakan dia terpaksa menggunakan kekerasan 
untuk menunjukkan sesuatu untuk menutup penipuan itu agar kelihatan bukan 
satu penipuan lagi. Inilah penyebabnya kepimpinan Mahathir itu gagal dan ini juga 
yang menjerumuskan Malaysia ke kancah kemuflisan yang semakin nyata 
jurangnya.    Apabila seorang pemimpin mempunyai ego yang besar ia perlu mempunyai satu 
pasukan pembantu yang setia; tidak kiralah apa jenis kesetiaan yang ada pada 
mereka.  Di sinilah munculnya sekumpulan insan bajingan yang sanggup 
melakukan apa saja kerja kejijikan untuk memuaskan ego tuannya. Inilah yang 
dirakamkan oleh sejarah manusia sejak zaman Firaun dulu.  Untuk mengekalkan 
kuasa, kumpulan bajingan memerlukan wang ringgit dan juga kuasa menekan 
rakyat marhaen. Kuasa menekan ini  berbentuk kuasa mengenakan deraan yang 
boleh  dilakukan oleh pihak polis dan kehakiman dengan mudah dan kuasa 
penguat-kuasaan yang boleh dilakukan oleh semua institusi kerajaan yang sudah 
diperibadikan. Inilah yang berlaku sejak dua puluh tahun yang lalu. Tidak ada satu 
institusi kerajaan yang terlepas daripada cengkaman Mahathir dan kumpulan 
bajingannya. Sedikit demi sedikit Mahathir berjaya memperibadikan semua 
institusi kerajaan itu menjadi satu jentera 'psychological warfare' (peperangan 
saraf) untuk memutar minda rakyat marhaen untuk mempercayai segala urusan 
nya membalun harta negara.    b) Kerakusan   Sejarah akan merakamkan pemerintahan Mahathir sebagai satu era di mana seorang pemimpin yang dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi terbuka sanggup menipu rakyatnya dengan semangat kerakusan yang tidak ada tolok bandingnya. Mahathir sudah menunjukkan betapa rakusnya beliau di sepanjang pemerintahan nya. Cuba perhatikan proses keutamaan itu. 
 Di sebalik itu dia menggalakkan Malaysia membazirkan wang untuk menguruskan 
perusahaan padi di Afrika. BERNAS ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja 
itu. Di waktu yang sama orang Melayu tidak dibenarkan menanam padi yang 
menghasilkan beras wangi di negara ini kerana dikatakan akan mencetuskan 
penyakit. Muslihat sebenar ialah BERNAS mahu memonopoli pengimportan 
beras wangi dan menjualnya dengan harga yang tinggi di negara ini. Tinggallah 
petani Melayu dengan beras yang berkualiti rendah yang hanya menjadi makanan 
orang yang kelas bawahan semata. Kenapakah BERNAS dibiarkan membuat 
perdagangan seperti itu sedangkan usaha  pengurusan itu mencekik bangsa 
Melayu?  Pada 14 Januari yang lalu BERNAS membeli 30% ekuiti syarikat roti 
Gardenia Sdn. Bhd. dengan belanja RM54.81 juta.   
  Tujuan pembelian saham Gardenia itu ialah: 'selaras dengan  strategi jangka 
panjang untuk memperkukuhkan  rangkaian pengedarannya melalui usaha sama 
strategik dengan syarikat pengeluar produk makanan tempatan dan 
antarabangsa.' Demikian alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohd Nor 
Abdul Rahim, Pengerusi Kumpulan Bernas. Bolehkah masuk akal alasan itu? 
Siapakah yang dulu wujud di negara ini dengan rangkaian pasaran yang 
menyeluruh seantero negara?  Bernas ataupun Gardenia? Jawapannya  ialah 
BERNAS.   Kemudian alasan yang kedua menyebut Mohd. Nor berkata: 'Satu gagasan 
pengedaran tempatan yang efisien, digabungkan dengan rangkaian perniagaan 
antarabangsa akan membantu mengukuhkan kedudukan Kumpulan Bernas di 
pasaran khususnya bagi menghadapi cabaran globalisasi.'  Cantik sungguh 
alasan itu. Tetapi, bukankah Bernas sudah lama mempunyai 'rangkaian kukuh di 
pasaran luar negara termasuk Thailand, China, Myanmar dan Pakistan'?  
  Gardenia Sdn Bhd. adalah dipunyai oleh Ben Foods (M) Sdn. Bhd. dan 
Gardenia International (S) Pte Ltd (GIPL).  Kedua-dua syarikat ini adalah anak 
syarikat milik penuh QAF. QAF adalah  merupakan 47 peratus milik Salim Group 
dari Indonesia, pengeluar  terbesar di dunia bagi tepung dan mi segera dengan 
jenama Indomie dan Indofood. Siapakah tuanpunya Salim Group? Bukankah ini 
manusia yang terkenal di Indonesia sebagai pemegang proksi semua perniagaan 
bekas presiden Suharto? Apakah benar salah seorang anak tuan punya Salim 
Group adalah juga merupakan isteri kepada salah seorang  anak lelaki pemimpin 
negara ini? Apakah kemungkinannya dengan membeli saham-saham dalam Salim 
Group ini Malaysia melalui Bernas berkemungkinan membeli saham-saham yang 
sebenarnya kepunyaan Pak Suharto dan anak-anaknya?  
  Apabila disebut Salim Group tentu kita teringat kisah ladang kelapa sawit yang 
besar-besar di Indonesia yang dibeli dengan menggunakan wang Tabung Haji 
dan juga Guthrie yang merupakan milik PNB. Dengan lain perkataan harta 
kepunyaan Salim Group di Indonesia pun cuba diselamatkan oleh Mahathir 
dengan menggunakan wang ringgit hasil titik peluh orang Melayu dan umat Islam 
di negara ini? Kini sudah timbul berita di Indonesia  bagaimana tanah 
perladangan yang dibeli itu diduduki oleh orang tempatan tanpa sebarang 
amaran. Mereka mendakwa tanah itu dulu adalah pesaka warisan keluarga 
mereka. Apakah yang akan jadi dalam hal ini akhirnya. Apakah Guthrie dan 
Tabung Haji akan berperang dengan orang tempatan yang mengambil 
sebahagian tanah mereka secara  sesuka hati itu?  
  Kerakusan Mahathir yang terbaru ini adalah disebabkan dia sudah tidak lagi 
mempunyai jalan lain untuk membalun harta negara yang sebenarnya milik rakyat 
negara ini. Dia sudah seleweng royalty minyak rakyat Terengganu dengan 
bertopengkan konsep Wang Ihsan. Dia sudah tipu rakyat Kelantan dengan 
menyalurkan gas dan petroleum ke negara Thai di mana 'Terminal' (pangkalan 
minyak dan gas)  di negara itu dikendalikan oleh anaknya sendiri.  Bayangkan gas 
daripada Kelantan disalurkan ke Thailand dulu dan dibawa masuk ke Kedah melalui 
saluran paip. Kenapakah paip itu tidak dibina secara terus daripada Kelantan ke 
Kedah? Apakah muslihat sebenar  taktik perniagaan itu. Kenapakah pihak 
pembangkang sanggup diam membisu dalam hal ini? Kenapakah Sultan Kelantan 
dan juga Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai penasihat diraja Kelantan) sanggup 
membisu dalam perkara ini?  Bayangkan kalau gas Kelantan disalurkan ke Gurun 
melalui tanah KESEDAR, berapa banyakkah industri kecilan menggunakan bahan 
gas itu dapat dibangunkan di wilayah Kesedar untuk kebaikan ekonomi orang 
Melayu? Di manakah cerdik pandai Kelantan seperti Wan Azmi, Hassan KUB, 
Dolah Komunis, Cikgu Husin Serama dan lain-lain lagi yang sanggup 
membiarkan Mahathir menipu rakyat jelata Kelantan dalam hal ini? Kalaulah gas 
paip itu dibina secara terus sudah tentu pemasanganya dilakukan di pinggir 
Lebuhraya Timur Barat. Sekaligus ekonomi kawasan seperti Banding, Gerak, 
Klian Intan, Baling, Kulim dan sebagainya ikut meletup sama.  Tetapi Mahathir 
tidak mahu ambil kira semua itu kerana dia mementingkan  kemewahan anaknya 
sebagai pedagang antarabangsa yang menerima ihsan seorang bapanya. Kerana 
Mirzan dan adik beradiknya, Mahathir sanggup meminggirkan masa depan orang 
Melayu di Kelantan, Hulu Perak dan Kedah. Malangnya perkara ini masih tidak 
disedari oleh majoriti orang Melayu di negara ini.   
  Sikap kerakusan yang berlebihan itu membuatkan Mahathir memilih sekumpulan 
Cina yang haprak sebagai rakan niaganya. Dia seolah-olah mempelajari taktik ini 
daripada Suharto dengan menggunakan Salim Group yang satu ketika dulu 
adalah seorang pembekal makanan kecilan di kem tentera. Cuba perhatikan 
semua peniaga Cina yang diberi muka oleh Mahathir. Siapakah mereka sebelum 
itu? Pemilihan mereka oleh Mahathir adalah sesuatu yang sudah lama dibenci 
oleh majoriti peniaga Cina yang besar-besar. Tetapi mereka sanggup berdiam 
selamba kerana cuba mengolah sistem  menang-menang dalam hal itu. Mereka 
membiarkan sahaja taktik yang digunakan oleh Kumpulan KEJAM (Kelab Elit Jin 
Alam Mahathir) untuk mempunyai hampir semua projek mega di negara ini 
dengan harga kontrak yang berlipat kali ganda tingginya daripada harga 
pasaran. Mereka tahu ahli perniagaan Cina kecil-kecilan dapat  menumpang 
kenikmatan besar yang diberikan oleh Mahathir kepada Kumpulan KEJAMnya.  
Kini, hampir semua (saya ulang balik perkataan SEMUA) projek mega yang ditaja 
oleh Mahathir dengan wang rakyat marhaen dan diberikan kepada Kumpulan 
KEJAM itu sudah lingkup. Siapakah yang akan merana dan menanggung 
bebannya kalau bukan rakyat Malaysia juga?  
  Kelentongan Mega   Ada satu peribahasa Cina: 'Kalau tahu curi makan, mesti tahu sapu mulut.' 
Mahathir amat faham akan bidalan Cina ini. Kerana itu dia galakkan projek 
'Malaysia Boleh'. Ini yang membuatkan MGG Pillai sebut Malaysia sudah 
bertukar menjadi 'Bolehland'. Saya terjemahkan dengan panggilan 
'Darulboleh'.  Untuk melalaikan rakyat marhaen agar terus berangan-angan 
Mahathir anjurkan projek 'Malaysia Boleh' seperti mengelilingi dunia secara solo 
dengan kapal layar, mendaki Everest, Terjun di Kutub Utara dengan Proton Wira 
dan Terjun di Kutub Selatan. Semua ini adalah kerja bodoh kerana ia 
membabitkan wang rakyat marhaen. Apa faedahnya yang boleh dinilai sekarang? 
Berapa ramaikah anak Malaysia yang memenangi pingat di Olimpik setakat ini? 
Berapa ramaikah saintis Malaysia yang memenangi hadiah Nobel?  
  Disebabkan Projek Malaysia-Boleh, kita lihat semalam Universiti Kebangsaan 
menaja pembikinan lemang terpanjang untuk dimasukkan dalam Buku Rekod 
Malaysia. Alangkah bodohnya kerja itu sehinggakan sampai ke tahap pemikiran 
orang di menara gading.  Di  waktu yang sama ada rakyat miskin di Kedah yang 
masih tidur dalam bekas kandang kambing (di Alor Star). Ada rakyat Kedah yang 
cacat yang terpaksa diusung dengan besen plastik kerana usaha mendapatkan 
kerusi roda daripada kebajikan masyarakat ditolak sebanyak empat kali. Begitu 
juga dengan keadaan seorang pelajar yang masih belajar dan tidak diberikan 
kerusi roda. Apabila kisahnya dijadikan perhatian umum, berlarilah menteri besar 
Kedah dengan satu kerusi roda dengan iringan kamera TV untuk menunjukkan 
keihsanannya.   Di Kedah, kalau kita mahu lihat keadaan orang kampung yang susah-susah 
pergilah ke Baling dan masuklah kampung di situ dan lihatlah berapa daifnya 
kehidupan mereka. Malahan, kalau kita pergi ke kawasan setinggan di sekitar Alor 
Star kita tidak akan percaya bahawa kumpulan manusia yang daif begitu boleh 
wujud sedangkan itu adalah negeri Kedah, negeri kelahiran seorang perdana 
menteri.      Demikianlah secebis kisah mengenai perjalanan Malaysia berperdana menteri 
seorang bajingan  yang lebih  tiga tahun dulu saya panggil sebagai manusia 
berhati syaitan. Kini dia sibuk mahukan orang Melayu bersatu padu. Dia sanggup 
melihat orang Melayu bersatu sehinggakan sanggup PAS menjadi ahli komponen 
BN semula semata-mata untuk menentukan orang Melayu tidak berpecah lagi. 
Tetapi orang Melayu faham itu adalah satu penipuan dan sandiwara kerana di 
sudah lama terdesak.    Semalam, Hamid Othman bekas menteri agama di Jabatan Perdana menteri 
membuat pengumuman akan tugas barunya untuk menyatukan umat Islam di 
negara ini.  Alahai, apa sudah jadi dengan usaha menyatu-padukan orang  
Melayu sehinggakan kini mahu disatu-padukan umat Islam pula? 'Inilah kerja 
yang mesti dilakukan kerana Al Quran ada berkata apabila berlaku perpecahan di 
antara umat Islam, usaha menyatu-padukan mereka mesti dilakukan.' Demikian, 
Pak Hamid bercerita panjang di TV dan akhbar perdana.  Kita tahu, Hamid 
Othman tidak akan melakukan tugas itu kalau tidak direstui oleh Mahathir. Kita 
juga tahu taktik terbaru Hamid Othman itu dicetuskan setelah melihat PAS 
bersikap dingin dengan konsep penyatuan orang Melayu. Kita tahu Hamid 
Othman menonjolkan semua ini setelah Mahathir bukan sahaja dalam keadaan 
terdesak. Mahathir sudah tersedak di setiap waktu mahu makan ataupun mahu 
tidur.   Konsep menyatu-padukan Orang Melayu dicetuskan setelah Mahathir menerusi 
Mohamad Taib (Mat Tyson) gagal menonjolkan konsep Melayu Baru.  Konsep 
Melayu Baru terkubur tanpa batu nisannya walaupun usaha melancarkan seminar 
antarabangsa telah ditaja sehingga ke Arab Saudi.  Kemudian Konsep Perpaduan 
Melayu pun kantol juga apabila Parti Keadilan yang mula-mula sekali menolaknya. 
Sebaik sahaja PAS menolak pelawaan Mahathir itu muncul pula Konsep 
Penyatuan Ummah.   Di satu pihak pula dan berjalan seiring sudah diwujudkan pula satu badan 
bertindak  yang ditaja oleh bekas pemimpin pemuda UMNO dan dipengerusikan 
oleh Mazlan Haron. Khabarnya pejabat  badan bertindak ini mempunyai alamat 
yang sama dengan alamat Ibrahim Ali. Menerusi penubuhan 'Badan Bertindak 
Melayu' (BBM) mereka mahu melancarkan projek 'Takkan Melayu Hilang Di 
dunia' Tergelak betul saya dibuatnya. Tentu sekali para askar pencen di 
perkampungan turut tergelak sama. Apa lagi selepas ini gamaknya? Sebelum 
Mazlan Haron dan para setiakawannya yang mahu melancarkan 'Takkan Melayu 
Hilang Di Dunia' saya ingin tanya dulu beberapa soalan:  
  
 Akan berlakukah pula satu gabungan untuk menentukan segala juak dan kroni 
tidak akan turut tersedak seperti Mahathir, kerana mereka pun sudah lama 
terdesak juga?    -marhaintua-   |