Laman Webantu KM2A1: 3644 File Size: 7.8 Kb * |
TAG MT 6: Apa Sepatutnya Ajinomoto Lakukan di Indonesia (AsiaWeek) By Warren Caragata 24/1/2001 11:29 am Wed |
TAG 006 [Melabel sesuatu yang haram sebagai halal bukan hanya Ajinomoto Indonesia
sahaja. Malah ada yang tidak berlabel yang dijual secara timbang borong di
negara kita. Sentimen keugamaan sanggup diketepikan demi mengaut keuntungan.
Kita perlu melihat isu ini dengan lebih jauh. Bukan setakat makanan sahaja.
Bagaimana pula dengan ideologi barua yang mahu mentafsir semula ugama dan
al Quran kerana kununnya supaya ia sesuai. Atau menghukum seseorang
berdasarkan bukti barua belaka. Atau yang mengatakan judi tidak ada dalam
kitab yang mereka baca, begitu juga politik/siasah Islam? Bagaimana pula
dengan label Malaysia sebuah negara Islam sedangkan lari dari memberi
kenyataan mahkamah adalah satu kesalahan besar di sisi Islam! Islamkah
negara kita jika pemimpin hanya memilih-milih yang sesuai sahaja untuk
dipraktikkan, tetapi yang mengancam kedudukkan mereka sengaja mereka
perapkan? Sila Baca Komen Pak -MT- di penghujung rencana ini. - Editor]
(What Ajinomoto Should have Done In Indonesia)
Oleh: Warren Caragata Asiaweek Monday January 15, 2001. Syarikat gergasi Jepun yang mengeluarkan bahan perasa; AJINOMOTO telah
ditangkap menggunakan bahan khinzir untuk mengeluarkan MSG dengan
berlabelkan 'HALAL' pada produk itu. Sepatutnya syarikat itu telah
menggunakan Tylenol untuk meredakan keadaan. Tylenol memang mujarab
untuk menenangkan sakit kepala, kesan daripada masalah yang melanda
penduduk Indonesia di mana 80% daripada jumlahnya beragama Islam yang
menegah umatnya memakan apa juga hidangan yang mengandungi daging jenis
itu. Preskripsi Tylenol itu tentu mampu membantu syarikat menangani
isu itu dan boleh menjadi satu ingatan kepada semua para eksekutif
syarikat di mana juga mereka berada mengenai cara yang sepatutnya
dilakukan bila berdepan dengan masalah yang sama.
Sepatutnya mereka meniru tindakan Johnson & Johnson, pengeluar terkenal
ubat penahan kesakitan itu ketika syarikat itu menghadapi masalah pada
1982. Ketika itu ramai pembeli yang mati kerana memakan Tylenol yang
telah disuntik dengan racun pembunuh. Ketua pegawai operasi, James
Burke telah mengambil balik semua Tylenol yang dijual di seluruh dunia,
bukan sahaja yang terjual di Amerika Syarikat yang ketika itu memang
disuntik dengan racun itu. Tindakan itu memang mengakibatkan syarikat
kerugian besar. Tetapi ia telah menyelamatkan jenama ubat itu dan
menjadikan Johnson & Johnson lebih terkenal kerana bingkas dan berani
bertindak ketika diserang krisis. Dulu, Bridgestone/Firestone dan kini Ajinomoto menunjukkan bahawa mereka
belum matang menangani masalah besar seperti yang dihadapi itu. Kalaulah
Ajinomoto meniru tindakan Johnson & Johnson dulu, mereka tidak perlu
menghadapi sebarang masalah besar. Majlis Ulama Nasional Indonesia,
yang memberikan perakuan kepada kesahihan makanan halal, telah menjumpai
betapa syarikat itu telah menukar proses pengeluarannya dengan
menggunakan enzaim yang diperolehi daripada khinzir - dan tidak lagi
daripada lembu - untuk mengeluarkan MSG (Mono Sodium Glutamate).
Walaupun tidak ada daging khinzir yang terbabit secara terus dalam
pemprosesan itu, Majlis itu telah memberitahu Ajinomoto betapa
pengeluarannya tidak lagi sesuai untuk dijual kepada orang Islam.
Sepatutnya di waktu itu, Ajinomoto bertindak ala Johnson & Johnson dan
menarik semua barangan yang masih terjual di kedai-kedai. Sebaliknya,
syarikat Jepun itu terus mengeluarkan barangnya dan masih melabelkan
keluaran itu dengan tanda 'HALAL', sedangkan kandungannya memang sah
'HARAM' kepada orang Islam. Akhirnya pada bulan Disember, Majlis Islam itu telah membuat pengumuman
yang mengejutkan. Kerajaan bertindak dan mengarahkan syarikat menarik
balik sekitar 3,000 ton perasa itu daripada kedai. Enam orang pegawai
syarikat ditangkap dan dibebaskan kemudiannya. Mereka berkemungkinan
didakwa kerana melanggar undang-undang perlindungan konsumer
Indonesia. Kilang itu telah diarahkan tutup dan polis telah diarahkan
mengawalnya sebagai berjaga-jaga kalau-kalau ada konsumer Islam yang
marah dan menyerang kilang itu. Di Tokyo, saham Ajinomoto terus
merudum. Kini, syarikat itu telah menempah iklan yang luas di semua akhbar di
seluruh Indonesia; 'PT Ajinomoto Indonesia dengan ikhlasnya memohon maaf
kepada rakyat Indonesia keseluruhannya, terutama sekali umat Islam,
kerana keluaran kilang, yang telah mencetuskan kegusaran di kalangan
rakyat - sesuatu yang kami benar-benar tidak jangkakan,' demikian
kata-kata iklan itu. Penjualan MSG yang menggunakan bahan khinzir kini,
menekan Ajinomoto sehinggakan imej korporatnya turut tercemar. Semakin
banyak syarikat Jepun yang menjadi gusar kalau-kalau masalah Ajinomoto
itu merebak menjangkiti syarikat mereka pula. Masalah Ajinomoto mungkin
terpalit kepada mereka kalau-kalau sentimen anti-Jepun meledak. Sentimen
seperti ini memang mudah meletup di Indonesia.
Jepun merupakan pelabur asing terbesar di Indonesia. Ia sudah dituduh
memihak kepada Marubeni, dalam kemelut yang menghantui si pemiutang
Chandra Asri, sebuah kompleks petroleum di Jawa barat. Pada tahun yang
lalu, bank Agen Pemulihan Indonesia (Indonesian bank Restructuring
Agency) telah menukar perjanjian lama di antara Chandra Asri dengan
Marubeni Corp, untuk memihak kepada syarikat Jepun yang memberikan
hutang itu. Pengkritik di Indonesia tidak puas hati dengan perjalanan
agensi itu. Seorang pegawai tinggi agensi itu telah meletakkan jawatan
dengan menuduh kerajaan Indonesia sengaja memihak kepada kerajaan Jepun.
Inilah keadaannya di Indonesia. Politik mudah campur tangan dalam kisah
perdagangan seperti yang terjadi kepada Ajinomoto. Presiden Abdulrahman
Wahid (Gus Dur) yang merupakan seorang 'kiai' telah menyatakan bahawa
barangan Ajinomoto adalah halal kerana ia hanya menggunakan enzaim yang
diproses daripada khinzir. Majlis agama Islam tidak bersetuju dengan
pendapatnya. Wahid juga mengatakan bahawa skandal itu telah digunakan
oleh puak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaannya. Keadaan
kerajaannya memang sudah tenat, kerana itu dia membuat kenyataan seperti
itu setiap hari. Masalahnya terletak kepada keengganan Ajinomoto menarik balik semua
barangannya sebaik sahaja masalah itu tercetus. Ajinomoto sepatutnya
tidak menunggu untuk menilai dan berharap nasib akan menyebelahinya.
Mungkin di satu hari nanti tercetus lagi krisis seperti ini. Semua
eksekutif syarikat yang dihantui kemelut begini akan mencari jawapannya
mengikut kaedah Tylenol itu. -Warren Caragata- Bagaimana dengan peket Ajinomoto yang diimpot oleh Malaysia daripada Indonesia dan Singapura yang menerimanya daripada Jakarta?. Bagaimana pula dengan bahan kasar yang digunakan oleh Ajinomoto Malaysia???? Pergilah ke kedai borong dan mintalah Ajinomoto yang berpeket. Anda boleh membelinya yang berisi dalam peket tetapi tidak ada sebarang jenama di sana. Halalkah barang itu? Anda tidak perlu Tylenol untuk mengetahui jawapannya. Mungkinkah isu Ajinomoto akan muncul seandainya isu perpaduan Melayu gagal diterima oleh orang melayu? -MT- |