Laman Webantu KM2A1: 3634 File Size: 11.9 Kb * |
TJ MT MGG: Memperingati Tun Abdul Razak - 25 Tahun Kemudiannya By M.G.G. Pillai 23/1/2001 12:38 am Tue |
MGG1601 [Rencana ini mengimbau pemergian Tun Abdul Razak, salah seorang
perdana menteri Malaysia yang cukup berjasa kepada negara. Beliau
seorang pakar strategis yang amat dihormati semua kaum di negara ini.
Beliau bukan seorang yang sempurna, tetapi itu tidak mengapa kerana
beliau telah melakukan apa yang terbaik buat semua, bukan buat Umno
sahaja. Malangnya pemimpin hari ini sudah mengumnokan semua yang ada,
sehingga sampin sekolah pun ditukarkan warna. Jangan terkejut jika
satu hari nanti murid sekolah ditemui tidak bernyawa angkara kerbau
yang buta warna. - Editor (terkenang bermain di tepian sungai)]
(Tulisan ini termuat dalam HARAKAH edisi 1-15 Februari dan berada di
pasaran pada 17 Januari 01) Memperingati Tun Abdul Razak - 25 Tahun Kemudiannya Oleh: MGG Pillai Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, 53,
meninggal dunia kerana penyakit mononucleosis, dan bukannya leukemia
seperti yang dicatatkan oleh New Straits Times. Dia menghembuskan nafas
terakhir di sebuah hospital di London pada 14 Januari 1976. Ketika itu
Malaysia sudah kukuh dengan arus politik yang menekankan ketuanan
Melayu. Inilah arus gelombang yang terus mengalir, tetapi sudah
robak-rabik dan compang-camping kerana digugat dan diliwat.
Kebijaksanaan Tun Razak itu bukanlah disebabkan beliau seorang ahli
generasi aristokrat ataupun ningrat Melayu, ataupun seorang ahli
politik yang mudah diajak berbicara semata-mata. Dia merupakan seorang
ahli politik yang sedar apa sebenarnya yang baik untuk Malaysia dan
itulah yang direncanakannya agar dapat dicapai oleh rakyatnya walaupun
dia sudah lama meninggal dunia. Dia tidak memperibadikan politik,
ataupun menghampakan amanah yang diserahkan kepadanya oleh rakyat
jelata, baik yang gadang mahupun yang kecil. Itu sebabnya dia berusaha
dengan segala keperitan melakar satu wawasan untuk Malaysia yang
diimpikannya sejak dia menjadi timbalan perdana menteri selepas
kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos, 1957.
Sebagai seorang anak lelaki kepada seorang pemimpin aristokrat, Tun
Razak memegang jawatan Dato Shah Bandar Sungai Pahang. Pangkat
aristokrat itu adalah satu warisan budaya yang tidak menjanjikan beliau
menjadi kaya raya. Untuk mengungkit kisah kemiskinan beliau ketika
berkaki ayam ke sekolah rendahnya dulu tentu bererti memperlekehkan
satu ketokohan memori indah yang mewarnai dirinya dan juga sejarah
bangsanya. Kalau dibandingkan keadaan hidup di waktu itu, hidupnya bolehlah
dianggap lumayan juga, kerana faedah kebesaran yang ada dan warisan
yang dinikmatinya memberikan tarikan istimewa ketika British masih lagi
berkuasa. Dia masuk menjadi penuntut Raffles College di Singapura pada
1939, di waktu anak-anak rakyat biasa memang tidak punya peluang
memasuki maktab itu. Kalaulah bapanya seorang rakyat biasa, tentunya
dia tidak akan dikenali. Namun peluang yang diberi diterimanya dengan
balasan yang bijak bistari. Dalam satu laporan menghargainya pada 14 Januari 01, The New Straits
Times, telah melakukan satu kesilapan memperlekehkannya kerana
menonjolkan keperibadiannya dan bukan kejayaannya. Akhbar itu cuba
tetapi gagal melakukannya untuk menonjolkan Tun sebagai seorang yang
baik hati yang memang disanjung oleh negaranya. Dia adalah seorang
insan yang mempunyai ketokohan yang melampaui semua itu. Sepatutnya
akhbar itu mencuba untuk menilai segala pengorbanannya.
Tun telah menganjurkan satu projek pembangunan di waktu negara masih
membangun. Selama dua puluh tahun rencana itu mampu bertahan sehingga
terbentuk satu sistem yang tersusun rapi. Malangnya segala usaha itu
hancur berkecai oleh tindak-tanduk kerakusan seorang insan yang
memegang jawatan yang pernah disandang oleh Tun itu, untuk satu waktu
yang lebih lama lagi dari tempoh yang dipegangnya. Sebagai seorang pakar
strategi yang bijaksana dia berjaya menarik sokongan parti pembangkang
untuk menganggotai Barisan Nasional selepas pemilu 1969 dulu,
sehinggakan Barisan itu mampu berdiri kukuh pada 1973 untuk menjadi satu
parti komponen yang besar dan berpadu. Kaedah yang sama cuba ditiru oleh
perdana menteri yang ada sekarang, berdasarkan semangat Ketuanan Melayu.
Sayang, kilat tidak mudah memancar di tempat yang sama secara berulang,
apatah lagi terhadap UMNO yang semakin malang.
Tun adalah seorang insan yang berwibawa yang muncul tepat pada waktunya,
seperti juga dengan ramai lagi rakyat Malaysia ketika negara berada di
ambang kemerdekaan. Dia adalah salah seorang di kalangan segelintir
kumpulan kecil aristokrat yang berkhidmat dengan kerajaan ketika masih
berusia lingkungan tiga puluhan dan naik menerajui kedudukan tinggi
dalam negara yang baru merdeka dengan segala cabaran yang belum pernah
dilalui dan dapat difikirkan bebannya.
Ketika Tengku Abdul Rahman merancang kabinet pertama beliau, ada dua
orang calon untuk menjadi timbalan perdana menteri dan juga merangkap
timbalan presiden UMNO. Mereka adalah Tun Razak dan Tun Ismail bin Dato'
Abdul Rahman. Tun Razak menang; Tun Ismail berlepas ke luar negara untuk
menjadi duta Malaysia pertama di Amerika Syarikat. Dia kekal di sana
sehinggalah Malay bertukar nama menjadi Malaysia. Namun, dia
melepaskan jawatan itu untuk bebas beberapa tahun dan masuk berkhidmat
semula selepas tercetusnya keributan Mei 13. Dia dilantik oleh Tengku
untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Tun mempunyai satu visi yang jelas untuk berkhidmat kepada bangsanya
setelah dibekalkan satu pengalaman yang dinaungi oleh tradisi
berkhidmat tanpa mementingkan diri sendiri. Dia telah menggerakkan
satu tindakan dengan sokongan pemimpin Romania ketika itu, Nicolae
Ceascescu untuk menjalin hubungan dengan Beijing. Pada tahun 1974 dia
melawat China untuk merasmikan hubungan diplomatik itu.
Rakyat amat menghormati Tun, tetapi dia juga tidak berapa rapat dengan
mereka kerana pada lahiriahnya beliau adalah seorang insan yang pemalu,
yang merasa lega dan selesa ketika berada di kalangan para sahabatnya.
Dia mudah mengharapkan sokongan lapisan para pekerja awam, ahli politik
dan kakitangannya. Di antara mereka termasuklah bekas ketua setiausaha
perbendaharaan, Tan Sri Zain Azrai Zainal Abidin, Tan Sri Abdullah Ahmad
yang menjadi setiausaha politiknya dan Encik Abdullah Majid, setiausaha
akhbar yang kini berusia 70-an dan sedang terbaring disebabkan serangan
angin ahmar yang membuatkan beliau tidak mampu berkata-kata.
Ketika Tun Razak meninggal dunia, para pengumpatnya telah menuduh para
juaknya sebagai tali barut komunis. Kerana itu Abdullah Ahmad dan
Abdullah Majid ditahan di bawah akta I.S.A untuk enam tahun lamanya.
Tan Sri Zain dihantar menjadi Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, satu
tindakan pantas yang dilakukan oleh biras dan juga penggantinya, Tun
Hussein Onn. Tengku Abdul Rahman memang selalu mencurigai keikhlasan dan sikap lurus
bendul Tun Razak dalam cara beliau berpolitik. Keraguan itu tertumpu
kepada jiran mereka Singapura. Kerana itu apabila Singapura keluar
daripada gagasan Malaysia pada 1965, Tengku bertindak untuk
memperbetulkan keadaan. Tun Razak dan Mr. Lee Kuan Yew pernah menuntut
di Raffles College di waktu yang sama. Perhubungan mereka adalah satu
jalinan yang tidak setara kerana Lee Kuan Yew mampu mengatasinya.
Tetapi, Tengku mempunyai kepintaran untuk menguasai Lee Kuan Yew dalam
hubungan mereka berdua. Inilah satu kepintaran yang memang diakui oleh
Lee dalam tulisan 'memoir'nya. Apakah sikap Tun itu sesuatu yang
merupakan tindakan untuk mengganyang Tengku? Kemunculan pertengahan
60-an telah menunjukkan betapa beliau bertindak untuk meminggirkan
Tengku. Inilah waktunya Tengku mula bergantung-harap kepada Tun Ismail
yang ketika itu merupakan seorang ahli parlimen di kerusi belakang
sahaja. Versi apa yang sebenarnya berlaku masih belum terbuku lagi. Ia tidak
menyerupai apa yang diberitahu secara lisan di waktu ini. Sebagai
seorang wartawan politik kepada Malay Mail ketika itu, saya mempunyai
beberapa versi berbeza daripada rekod rasmi negara. Di antara
pengalaman saya itu termasuklah satu peristiwa bersejarah di satu pagi
di kediaman rasmi Tun di Seri Taman. Sebelum hari itu meninggi, Kuala
Lumpur sudah menyala dek kebakaran yang menggila.
Mei 13 adalah satu waktu di mana orang Melayu dan Cina berantakan sesama
mereka pada kali pertama. Semangat Revolusi Budaya yang diapikan oleh
Mao Zedong telah bermula di Penang ketika dilancarkan gerakan 'hartal'
pada 1967. Ketika itu orang Melayu bertindak secara beremosi jua.
Tersebut kisah seorang aktivis Parti Buruh yang ditembak mati ketika
merentang kain memboikot pilihanraya di Kepong, telah disahut oleh
ribuan orang Cina yang mengadakan perbarisan di jalan raya Kuala Lumpur
satu hari sebelum diadakan pilihanraya umum. Inilah yang telah
menyemarakkan keadaan tegang antara kaum ketika itu.
Ketegangan ini disadur pula dengan desas-desus ketegangan dalam hubungan
antara Tengku dengan Tun Abdul Razak, yang memang tidak dilaporkan. Yang
menjejaskan sedikit reputasi Tun Razak ialah berhubung rapat dengan
perbuatan kurang hormatnya terhadap Tengku setelah beliau terpaksa
melepaskan jawatannya. Gratuiti yang diterima oleh Tengku telah dirampas
dengan cepat oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri untuk menyelesaikan cukai
lama yang tidak diselesaikannya. Tiga orang perdana menteri Malaysia walaupun berasal-usul daripada
golongan ningrat, mati tanpa banyak kekayaannya. Tengku mempunyai sebuah
rumah di Pulau Pinang, tetapi dua perdana menteri selepasnya tidak pun
mempunyai rumah sendiri. Balu mereka masih lagi menetap di rumah
kerajaan. Tetapi, nasib yang sama tidak pula akan ditiru oleh orang yang
akan mengekori kematian mereka bertiga. Tidak juga oleh menteri kabinet
yang ada, kerana semua akaun dalam bank yang ada memang penuh sampai ke
bibirnya. Ini membayangkan betapa rakusnya mereka ketika masih
berjawatan sehingga mampu memiliki kereta mewah yang tidak setara
dengan pendapatan gaji dan elaun ketika berkhidmat kepada rakyatnya.
Walau bagaimana pun, Tun Razak adalah laksana seorang gergasi di
kalangan manusia biasa. Ketika dia jatuh sakit pada 1976, dia dihantar
ke London tanpa diiringi isterinya kerana dia tidak membenarkannya.
Perbendaharaan negara terlalu dhaif ketika itu dan dia sendiri tidak
mampu membayar tiket isterinya. Kalau ingatan saya tidak silap, ketika
itu ketua eksekutif Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengeluarkan
belanja untuk membolehkan isterinya pergi ke London untuk berada di
sisinya. Dia melepaskan nafas terakhir di London. Jenazahnya dibawa
pulang untuk disemadikan di makam pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Selama lima tahun Tun menjadi perdana menteri, dia telah menukar
ketokohan negara Malaysia. Dia merupakan seorang mahaguru strategi yang
tidak dapat ditandingi oleh orang Cina ataupun orang India. Yang
membantunya ketika itu ialah tindakan MCA untuk menarik diri daripada
menyertai pemerintah selepas pemilu 1969. Keputusan yang silap itu telah
menghantui parti itu sehingga hari ini. Inilah yang menjadi bahan
kutukan bersama oleh UMNO dan jua masyarakat Cina yang dilaungkan
sebagai diwakili oleh MCA itu. -MGG Pillai-
|