Laman Webantu KM2A1: 3610 File Size: 33.1 Kb * |
Siri 1 MMM: Mahathir Tidak Ada Pilihan Lagi By Marhain Tua 17/1/2001 9:03 pm Wed |
Siri MMM [Rancangan Mahathir kelihatan banyak yang tidak menjadi sejak
akhir-akhir ini. Dia sudah tidak selicik dulu lagi. Pemimpin
parti BN banyak yang kecewa dah mahu meletak jawatan tetapi
mengambilnya kembali selepas terkena kata-dua. Ramai
yang termalu dengan keadaan parti sendiri sehingga akar-umbi
Umno sudah mula mahu mengajar Mahathir secara tersembunyi.
Khabar rombakkan kabinet itu sudah cukup untuk menggambarkan
keresahan dan pergolakan dalam Umno sendiri. Musibah semakin
tiba tetapi Umno masih terlena dan tidak juga bersedia. Ia
masih meraba-raba mencari sesuatu untuk dipegang tetapi semuanya
tumbang. Kini ia cuba berjalan tetapi masih terhoyong-hayang
di tepi gaung yang dalam. Sekejap debat menjadi sekejap pula sudah
tak jadi. Sudah tidak ada keyakinan membawa diri sendiri. Tetapi
Mahathir mencapai lagi dengan isu 'perpaduan melayu' untuk
mencetus dilema dan sangsi. Beberapa tragedi yang tidak dingini berlaku dan terus menghantui
Umno. Malapetaka itu datang tanpa diundang pembangkang, tetapi
akibat sentuhan 'kepakaran' juaknya sendiri. Munculnya logo mata
lebam, logo lucah Adnan dan dua huruf J.E. amat menakutkan Umno sendiri
sehingga ia terpaksa menggunakan khidmat pengundi hantu dan Mahathir
menuju Myanmar untuk mengimpot lebih ramai penyamar. Dia juga telah
mengorak langkah mengubah orang tertentu di media akhbar, patutlah
tulisan mereka semakin menjadi-jadi sekarang. Tentu kita belum lupa
kemelut Bernama menipu perihal DAP di Lunas dan adegan tampar-menampar
di bilik kopi dewan undangan negeri dingapkan segera.
Sikap tidak menghormati pandangan kaum Cina dan kepintaran BA memantau
hantu yang mengundi menyebabkan BN tewas di Lunas dan semua cabut lari
termasuk Samy Vellu walaupun dia telah bersumpah berjanji. Isu Suqui
timbul kembali walaupun Umno telah terhumban banyak kali. Kali ini GPMS
pula menjadi pelakun tambahan diluar sambil pemuda Umno bertekak di
dalam. Mulalah amaran mula ditiup kononnya orang melayu lemah tidak
bersatu serta kemusnahan bakal terjadi sekiranya bertukar kerajaan.
Mahathir sedang dihempap bahana tangannya sendiri. Dia cuba menyelamatkan
diri dengan berpura-pura lagi. Tetapi kesedaran rakyat sudah sukar dibendung
walaupun seribu drama dan dilema diatur begitu teliti sekali. Semua
yang ingin dipilihnya akan membunuh dirinya sendiri.... - Editor ]
Awalkata: Kita mulakan siri baru ini dengan menggunakan abjad 'MMM', kerana mengikut
ragam dan selera semasa. Terpulanglah kepada para pembaca memikirkan apakah
sebenarnya makna MMM ataupun 'M'. Kita akan beri jawapannya apabila siri
ini ditamatkan. Penulis menggunakan tiga abjad itu selepas mengambil kira
beberapa emel yang dikirimkan oleh para pembaca yang mahu penulisan
diteruskan, sebaik sahaja 'Yang Terbang Dan Terbengkalai' ditamatkan.
Malahan, ada yang bertanya kenapa siri itu dimatikan begitu sahaja.
Jawapannya mudah sekali. Ia terletak kepada pendekatan yang diusahakan.
Saya mengambil sempena tarikh ini untuk memulakan siri terbaru di alam
siber sempena ulangtahun ke-25 pulangnya Almarhum Tun Abdul Razak bin Husin
ke alam baqa. Di waktu yang sama saya rakamkan ulangtahun kepulangan Aruah
Hamid Tuah, insan kamil yang memudahkan usaha Tun Razak membuka hutan
belentara untuk penempatan para peneroka. Alfatihah dihadiahkan kepada
kedua pejuang bangsa ini. Tujuan utama siri ini ialah merakamkan setiap peristiwa yang terjalin dan
yang mampu merobah nasib rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu. Kita
memberi fokus kepada usaha jijik memutarkan minda rakyat marhaen agar
sama-sama dapat membetulkan keadaan sebelum putaran itu menjadi semakin
ligat dan kesannya terus berkarat dan menggugat.
Kita pernah ramalkan, negara akan mengalami beberapa kejadian yang
pelik-pelik dan yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras; seperti yang
berlaku selepas Januari 10 yang berlalu. Banyak perkara itu berlaku di
Putrajaya di mana seorang diktator tua sedang bertakhta seolah-olah Malaysia
ini dia punya dan seolah-olah semua rakyat jelata termasuk Majlis Raja-Raja
adalah dibawah telunjuknya. Kita terdengar cerita mendapan beberapa kawasan
di Putrajaya, malangnya tidak ada satu gambar ataupun berita yang jelas
mengenainya. Agenda perbincangan perpaduan ini sebenarnya sudah dirancangkan sebelum
Mahathir pergi bercuti ke Myanmar. Dia menjangkakan orang suruhannya mampu
mengajak pemimpin Keadilan dan PAS untuk bersetuju agar perbincangan dapat
dilaksanakan dengan UMNO. Keadilan telah menolak ajakan itu. Ezam, selaku
Ketua Pemuda Keadilan mengambil sikap berterus terang mengatakan Keadilan
bukannya parti orang Melayu. Kerana jawapan yang tegas itu Keadilan sekarang
ini dihimpit oleh pelbagai sindiran daripada pucuk pimpinan UMNO bahawa
Keadilan tidak mampu memperjuangkan masalah orang Melayu. Terpulanglah
kepada Keadilan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Setakat ini,
alasan Keadilan itu kita ketahui melalui akhbar pembohong tajaan UMNO dan
kerajaan sahaja. Masyarakat Cina di Lunas mampu berfikir dengan waras memihak kepada BA
kerana mereka merasa tertipu dengan tindak-tanduk Barisan Nasional. Selama
dua penggal mereka mengundi calon MIC kerana mahukan faedah pembangunan
kerajaan BN. Mereka merasakan diri mereka diabaikan apabila kerajaan tidak
mengambil kira kepentingan masyarakat di Lunas dalam banyak hal. Perkara
ini menonjol apabila Samy Vellu mencurahkan lebih daripada 35 juta ringgit
(ada pula pihak yang menyebut setakat 21 juta sahaja) untuk membawa
pembangunan segera ke kawasan pilihanraya itu dalam tempoh satu bulan.
Inilah projek segera yang tercanggih di seluruh negara yang pernah dilakukan
'secara kilat' oleh BN. Tetapi, kerajaan terlupa bahawa untuk satu tempoh yang lama masyarakat Lunas
secara keseluruhannya telah meminta kerajaan mengalihkan pintu tol jalan
lebuhraya Butterworth Grik itu agar penduduk Lunas dikecualikan daripada
bayaran tol. Begitu juga dengan bekalan air paip yang tidak dinikmati oleh
beberapa penempatan perumahan di situ walaupun negara sudah merdeka sejak 43
tahun yang lalu. Akhirnya Samy Vellu menyediakan bekalan air itu tetapi
bekalan ke rumah-rumah terpaksa dilakukan sendiri oleh penghuni rumah kerana
kerajaan BN tidak menyediakan saluran paip percuma ke rumah individu.
Tetapi, budaya 'Cina-tidak-tahu-bersyukur' itu merupakan agenda Mahathir
sebelum beliau menghadiri persidangan OIC di Doha. Di waktu itu akbbar
perdana telah memainkan isu perbalahan terhadap pemilihan calon BA.
(contoh: Sila lihat Straits Times bertarikh 16.11.2000 muka surat 2
bertajuk 'Opposition disagrees on Lunas Candidate'). Di muka surat yang sama
ada disebut betapa Pemuda UMNO yakin menang kerana terdapatnya 6,000
pengundi baru di kalangan muda-mudi Lunas. Malangnya di akhbar yang sama
pada mukasurat 9 disiarkan pula dua gambar wakil rakyat Selangor yang
bergaduh pada 13.11.2000 di Dewan Perundangan Negeri Selangor. Dalam episod
itu Datuk Zakaria Md. Deros telah menampar muka wakil DAP Teng Chang Khim.
Kisah menampar ini bermula dengan kisah kilang haram yang telalu lama wujud
di Selangor. Kerana mahu mempertahankan kilang-kilang haram itu seorang
Melayu sanggup merendahkan martabatnya.
Episod menampar itu terpaksa diselesaikan dengan cepat kerana UMNO
mengadakan persidangan perwakilan khas pada Sabtu 18 November 2000. Agenda
besar persidangan itu ialah untuk meluluskan satu agenda putarbelit seorang
diktator tua agar tempoh pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan
bahagian ditetapkan untuk lima tahun. Pada hari itu sekitar 2,000 perwakilan
yang mewakili 165 bahagian UMNO terpaksa membuat pilihan mereka. Perkara
itu tidak menjadi kerana sudah ada 'pakatan di akar umbi untuk memberontak
dengan bijak'. Kesannya, pengaruh seorang diktator tua jatuh terperusuk ke
dalam longkang keaiban. Persidangan Agong Khas UMNO bertarikh 18 November itu meluluskan 49
daripada 50 pindaan perlembagaan parti. Fasal 14.4.4 mengenai kuasa
cawangan melantik seorang wakil bagi setiap 50 ahlinya yang menjelaskan
yuran bagi menghadiri mesyuarat bahagian dengan jumlah maksimum lima
orang, dikekalkan. Sebenarnya, taktik Mahathir untuk mengekalkan kuasa
tanpa bertanding untuk lima tahun, tidak diterima oleh perwakilan dan tidak
pula didedahkan oleh akhbar perdana.
Para perwakilan ketika itu dikejutkan oleh tema ucapan-perdana presiden
parti. Dia berucap di atas tajuk 'Sayang Bangsa Tolak Rasuah'. Rakaman TV
dan foto menunjukkan para hadirin 'terpesona' mendengar ucapan itu. Di dalam
hati mereka tercetus banyak tandatanya, selama ini siapakah sebenarnya Raja
Rasuah Melayu? Tajuk rasuah semakin mencetuskan kemarahan orang Melayu kerana rakyat
marhaen sedar betapa rasuah berleluasa di negara ini disebabkan Mahathir
tidak berapa berminat untuk membenterasnya. Tuduhan terhadap beberapa
personaliti yang rapat dengan Mahathir oleh bekas Ketua Pengarah Badan
Pencegah Rasuah adalah satu tamparan yang paling hebat sekali. Malangnya,
Mahathir sanggup menolak tepi semua laporan itu. Dia sudah tidak mampu
melakukan sesuatu yang berkesan kerana sistem kehakiman negara sudah
bergelumang dengan budaya rasuah. Perkara ini terdedah apabila disiarkan
gambar-gambar Ketua Hakim Negara dan Ketua Peguam Negara bersantai dengan
peguam khas Tan Sri Vincent Tan. Sistem kehakiman itu menjadi lebih gawat
apabila segala laporan dan gambar yang mengaibkan negara itu disediakan oleh
satu pasukan khas yang berpusat di England. Sekaligus ia memperlekehkan
sistem kehakiman yang menghenyak seorang timbalan perdana menteri di atas
segala tuduhan palsu yang dikenakan ke atasnya, atas arahan dan konspirasi
yang didalangi oleh seorang diktator tua.
Sekali lagi Mahathir tersalah tafsir. Dia gagal memahami sentimen orang
Melayu secara menyeluruh. Dia fikir dengan berucap mengenai Budaya Rasuah
dia mampu menarik sokongan rakyat marhaen terhadap kepimpinannya. Mahathir
mahukan orang Melayu menumpukan usaha membasmi rasuah itu 'kalau mereka
sayangkan bangsa'. Tetapi, apakah yang dilakukannya dua hari sebelum itu?
Pada hari Khamis 16 November, 2000 Mahathir telah merestui tindakan Kerajaan
Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Wilayah Persekutuan Putrajaya 2000
bagi membolehkan Putrajaya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Daripada
42 penyokong kerajaan, hanya seorang (Dato Abu Hassan Omar) yang tidak
hadir untuk menyokong rang undang-undang itu. Enam ahli parti pembangkang
yang diketuai oleh Dr. Mohd Hassan Ali telah bertindak keluar dewan kerana
membantah penyerahan berkenaan. Saya ada menulis mengenai penipuan besar di
tahun 2000 itu melalui tulisan bertajuk 'Otak Di Lutut Beralih ke Mana'.
Komen kita mengenai pembohongan si diktator tua mengenai budaya rasuah itu
ada kita kiaskan dalam 'Raja Kelentong Berlakon lagi'.
[Rujuk: Raja Kelentong Berlakon lagi Kini, Putrajaya sedang bersiap sedia untuk menyambut kemunculan Februari 1,
besempena Hari Wilayah. Sehingga kini segala persiapan untuk sambutan itu
masih dibungkus oleh seribu rahsia. Kenapa agaknya? Apakah disebabkan
pelancaran besar-besar yang diatur itu makanya kerja-kerja penyambungan
saluran gas-masakan ke rumah kediaman yang lama tergendala di sambung
semula? Kini, kerja-kerja sambungan itu tertunda lagi selepas musibah yang
datang tanpa diduga. Cuma, kenapakah cerita sebenar musibah itu disorokkan
juga? Kejatuhan BN di Lunas pada 29 November 2000, merupakan satu tarikh yang
sungguh bersejarah di mana kesannya yang sebenar dalam percaturan politik
Malaysia masih belum di fahami oleh ramai pemimpin politik Melayu. Inilah
tarikhnya di mana kepimpinan Mahathir sebagai ketua Barisan Nasional sudah
dibakul-sampahkan oleh rakyat marhaen. Pada lahiriahnya Mahathir mungkin
tidak lagi terjejas dengan kekalahan itu. Tetapi kesan kekalahan calon MIC
di Lunas itu sudah mampu membuatkan beliau menukar agenda tidurnya di malam
hari. Kita dapat lihat betapa perwatakan Mahahtir berubah secara drastik
selepas kekalahan itu. Kini, rupanya pun sudah berubah cepat kerana dia
tidak lagi nampak segak seperti dulu walaupun kita tahu dia menerima
suntikan hormon awet muda untuk menyerlahkan ketokohannya yang memang penuh
ilusi. Seperti biasa, Mahathir cepat bertindak dalam mencari penyelesaian kepada
sesuatu masalah. Tetapi, setiap tindakannya itu disalut dengan beberapa
lakonan dan sandiwara yang sengaja dilakar agar rakyat marhaen terbabit
sama. Baik dalam bentuk pembabitan fizikal mahupun dalam bentuk pencetusan
minda, mereka mudah diputarbelitkan. Eloklah kita rakamkan apa yang
dilakukan oleh UMNO/ Barisan Nasional sebaik sahaja kerusi di Lunas tumpas
dan beralih kepada Keadilan:
Keupayaan rakyat marhaen bersatu menyanggah tindakan Mahathir dan juga
pemimpin BN telah mencetuskan satu perasaan takut di kalangan pemimpin UMNO.
Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak berapa takut akan hal itu kerana isyarat
sudah lama diterima daripada ahli-ahli betapa mereka sudah berpihak kepada
BA. Pemimpin ini seperti Lim Kheng Yaik dan Ling Liong Sik memang sudah
bersedia mengundurkan diri daripada arena politik. Hanya Mahathir yang
menyebabkan mereka terus memegang kuasa.
Tindakan ini memperkuatkan rancangan asal Mahathir membesar-besarkan
kekuatan orang Cina dengan tujuan meraih simpati orang Melayu. Mahathir pun
menggunakan isu itu sebagai tema ucapannya ketika menyambut Hari Raya Puasa.
'bermaaf-maafanlah kita sebagai umat Islam...!!!!' Demikianlah saranan
Mahathir. Tetapi itu adalah satu saranan yang jauh terlambat kerana orang
Melayu masih ingat betapa Mahathir pernah menyebut kemungkinan negara akan
berperdana menteri seorang bukan Melayu.
Seperti kebiasaannya, Mahathir mengungkit cerita lama kerajaan Rom dan
Parsi yang akhirnya runtuh dan menjadi peninggalan sejarah. Beliau khuatir
Malaysia yang baru 43 tahun menikmati kemerdekaan selepas 450 tahun di
bawah kuasa penjajah, akan turut mengalami nasib yang sama walaupun
Malaysia tidak dibangun untuk menjadi sebuah empayar.
Kini, Syawal sudah pun menampakkan bulan mengambangnya dengan diikuti oleh
satu gerhana purnama. Mahathir masih jauh menyimpang daripada tugasnya untuk
memimpin Malaysia untuk kembali. Rakyat marhaen masih juga menanti bila si
diktator tua ini akan pergi. Mahathir dan juga para pemimpin UMNO boleh terus berdrama dengan usaha
mereka untuk menaikan taraf hidup rakyat, yang berbilang kaum kerana itu
adalah tugas mereka yang paling utama. Tetapi, dalam usaha mengekalkan
kuasa, mereka semakin galak menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan
orang Melayu agar keluar daripada PAS dan Keadilan dan apa juga parti yang
lain selain daripada UMNO. Pelbagai usaha sedang direncana untuk menarik
sokongan orang Melayu itu. Lebih banyak rencana itu lebih banyak lagi
masalah lama yang terserlah dan lebih banyak pula masalah baru yang muncul.
Inilah hukum karma yang mesti ditanggung oleh Mahathir dan para pemimpin
UMNO. Sepatutnya kemenangan besar pemilu 1999 dulu dimanfaatkan untuk memulihkan
keadaan ekonomi negara. Dua tahun sudah berlalu sejak tarikh itu, tetapi
rakyat marhaen terus berpendapat: 'Mahathir sudah nyata gagal, segagalnya.'
Apa juga yang direncana oleh Mahathir hanya mementingkan tembolok dirinya
dan para kroninya. Mahathir ternyata tidak berjaya menipu dan berbohong
kepada rakyat lagi. Kuasa kelentongannya sudah tidak berbisa. Dulu, dia
boleh menggunakan aura ketokohannya untuk berucap panjang-panjang kepada
rakyat jelata, dengan segala bantuan gema sorakan dan sokongan yang
dikeluarkan oleh kecanggihan IT. Kini, cakap-cakapnya mengenai semangat
'Malaysia Boleh' tidak dipedulikan lagi. Kerana banyak sangat projek mega
yang gagal, panggilan 'Bolehland' oleh MGG Pillai ataupun 'Darul-Boleh'
sebagai terjemahannya, sudah semakin diketawakan oleh dunia luar.
Sebaliknya rakyat marhaen akan terus bertindak, cuba menegakkan keadilan
yang pasti mampu ditegakkan dengan sokongan padu rakyat marhaen. Sedikit
demi sedikit manusia yang mindanya diputar oleh si diktator, untuk menjadi
alat pencengkam kuasanya akan berpaling tadah. Secara perlahan, proses
sabotaj akan bertali arus. Diktator akan bertambah kejam dan bertindak
ganas, terus menerus. Mahathir sudah kecundang untuk terus berkuasa. Ramai
pemimpin UMNO yang berani bersuara lantang menyanggahnya. Ramai pula yang
dihambat oleh jentera gestapo Mahathir untuk diganyang dan diaibkan. Ramai
yang sudah melarikan diri dan semakin ramai yang akan terus bersembunyi.
Semua menjadi tertekan kerana seorang diktator tua yang hilang pedoman.
Mahathir sudah tidak punya pilihan lain lagi. Dia mesti undur secara
terhormat ataupun membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum
semula. Rakyat marhaen memang sudah lama bersedia menantikannya.
-marhaintua-
14.2.2001. |