http://eclipse.span.ch/total.htm. Kita akan berupaya melihat
proses gerhana ini secara tertunda lima minit siaran lintas
lansungnya.
Kita di Malaysia hanya mampu menyaksikan gerhana bulan penuh pada
Julai 16, 2000. Gerhana penuh ini dijangkakan berlaku selama 1 jam
dan 47 minit. Ini merupakan gerhana penuh yang paling lama sejak 140
tahun yang lalu (1859).
Pentingnya Gerhana Bulan
Secara kasar gerhana bulan adalah satu fenomena yang berlaku untuk
menunjukkan kebesaran Allah. Kerana itu ada beberapa ajaran dan
amalan yang telah diatur oleh junjungan nabi kita (saw) setiap kali
berlakunya gerhana bulan. Jikalau kita buka Kitab Shahih Bukhary,
kita akan dapati pelbagai pengajaran yang bersangkutan gerhana bulan
dan juga mentari. Dari pengajaran itu kita akan sedar betapa gerhana
adalah satu kekuasaan Allah yang perlu diambil ingatan oleh
hamba-hambanya.
Bulan Purnama
Mengikut fahaman orang-orang tua, malam bulan purnama adalah malam
di mana bulan penuh yang berada pada malam ke-14 dan ke-15. Inilah
yang dikatakan 'malam dahsyat' ataupun 'malam hebat' oleh para
golongan yang serbatahu. Pada malam beginilah manusia dikatakan
bertukar haluan. Kalau di sebahagian setengah bulan pertama itu dia
buas, di bahagian setengah terakhirnya pula dia akan menjadi
tenang.
Orang Melayu banyak mengetahui pergerakan bulan melalui kajian
saintifik yang dipelajari daripada barat ataupun daripada ilmu
falak. Tetapi, kesan kepada manusia disebabkan pertukaran pergerakan
bulan tidak pun ditulis secara meluas. Kerana itu pengetahuan
mendalam mengenai kesan-kesan itu hanya diketahui secara ajaran
lisan yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang
mendatang.
-Pentingnya Pergerakan Bulan
Setiap gerak langkah orang Islam adalah bergantung kepada
pergerakan bulan. Malahn kalau kita lihat pepatah Melayu, banyak
pepatah yang menggunakan perkataan bulan menunjukkan sesuatu yang
mengenai masa dan perubahannya. Pepatah seperti 'masuk bulan', 'naik
bulan', 'dimakan bulan'. Awal bulan. Hujung bulan, akhir bulan dan
pelbagai bulan lagi. Kerana itu kita dapati banyak sekali irama lagu
yang baik-baik yang dikaitkan dengan bulan. Malahan kalau kita
selidikki lagu kebangsaan kita yang kini diberi nama 'Negaraku' kita
akan ketahui bahawa pada asalnya iramanya itu adalah diambil
daripada sebuah lagu lama yang tidak diketahui siapa penggubah
asalnya. Nama lagu itu ialah 'Terang Bulan' [*1]. Apabila Tunku Abdul
Rahman mahukan satu lagu kebangsaan negara, beliau telah mengambil
keputusan mengubahsuai irama lagu 'Terang Bulan' dan mengharamkan
lagu asal itu daripada dimainkan di khalayak ramai. Sebenarnya
'Terang Bulan' berirama keroncong adalah satu lagu yang sungguh
mempersonakan. Cuma, kini setelah dijadikan lagu nasional dan
rentaknya diubah kepada gerak 'march' (kemudiannya ditukar pula
kepada rentak cepat), ia membawa satu semangat yang lain pula.
Memang orang Melayu amat terpesona dengan bulan. Kerana itu setiap
lagu yang mengandungi perkataan bulan menajdi satu lagu yang 'top'
sekali. Ada satu lagu yang dinyanyikan oleh arwah Tan Sri P. Ramlee
yang berjodol 'Kau Laksana Bulan'. Ia sungguh menggiurkan dan
menaikkan bulu tengkok bagi orang muda. Tetapi, sedarkah kita ada
kalanya pepatah yang mengaitkan kecantikan wajah sesaorang wanita
kepada wajah permukaan bulan tentunya tidak tepat? Kita tahu
permukaan bulan bergunung ganang dan menggerutu seperti muka P.
Ramlee yang banyak jerawat batu pada satu ketika dulu. Yang
dikaitkan pada kecantikan itu ialah cahaya yang dipantulkan oleh
bulan setelah menerimanya daripada matahari.
- Tabiat Manusia dan Pergerakan Bulan
Kalau kita perhatikan sekeliling kita, akan jelas terbayang betapa
manusia dan binatang berubah perangai ketika bulan menghampiri malam
purnama. Manusia yang kita ketahui mempunyai 'skru yang longgar'
boleh menjadi ganas secara tiba-tiba. Malahan kalau kita perhatikan
binatang peliharaan seperti kucing dan anjing mereka pun berubah
perangai ketika bulan purnama. Kerana itu sesiapa yang memelihara
anjing jenis 'Routeweilla' amat takut dengan anjing peliharaan- nya
ketika bulan purnama. Ini adalah disebabkan baka anjing jenis ini
yang datang daripada kacukan anjing dan serigala.
- Tabiat Anjing dan Kucing
Di Eropah ramai manusia yang memelihara anjing untuk memanaskan
badan mereka di waktu tidur. Ini adalah amalan yang mereka mulakan
selepas perang dunia ke dua dulu. Ketika itu banyak bangunan yang
pecah dan tidak bertingkap. Keadaan ekonomi yang teruk tidak
mengizinkan mereka membeli kayuapi untuk memanaskan bilik tidur.
Jadinya mereka pelihara anjing dan galakkan anjing itu tidur bersama
mereka di bahagian kaki. Cara ini kepanasan badan anjing itu
memanaskan badan mereka juga. Apabila kos memelihara anjing naik
mendadak, mereka mula berubah dengan memelihara kucing pula. Kucing
kegemaran mereka ialah kucing Parsi kerana bulunya yang lebat.
Kucing peliharaan ini digalakkan tidur di atas dada untuk menjadi
pemanas badan. Mereka telah perhatikan betapa kucing jenis Parsi
kerap terlebih aktif apabila bulan mengambang.
Kita di Malaysia memelihara anjing dan kucing bukannya untuk tujuan
yang dilakukan oleh orang putih. Kita pelihara anjing sebagai
'penjaga rumah'. Itu tujuan asalnya dan pada satu ketika dulu
pemeliharaan anjing adalah satu 'novelty' yang menggambarkan
kecanggihan hidup setara dengan kegemaran orang yang menjajah kita.
Kemudian, bila orang putih mula pelihara kucing ramai pula orang
kita yang memeliharanya. Ada yang memelihara kucing sampai berpuluh
ekor, terutama sekali apabila mendapat hadiah istimewa daripada
syarikat yang membekalkan makanan kucing. Pemeliharaan kucing
mejadi satu 'novelty' pula bagi orang Melayu kerana terikut-ikut
dengan budaya yang dianjurkan itu. Ada yang ke hulu ke hilir dengan
beg khas untuk mengangkut kucing kesayangan. Doktor haiwan pun
menjadi popular kerana setiap kali kucing mendengus ia perlu
dikejarkan ke klinik haiwan untuk rawatan. Harga ubat dan
pemeriksaannya bukannya murah, malahan ada kalanya lebih mahal
daripada kos perubatan manusia.
Lima tahun yang lalu pemeliharaan kucing menjadi satu trend yang
diamalkan oleh oraang Melayu kelas atasan kerana mereka memang tidak
punya pilihan lain kerana kekurangan idea macam mana hendak
menghabiskan wang berlebihan. Tetapi mereka lupa bahawa kucing
adalah sejenis binatang yang dikatakan mampu mengubat penyakitnya
sendiri. Kalau tidak percaya tanyalah doktor veterina di zoo negara.
Kerana harimau pun sejenis kucing juga. Itu sebabnya orang putih
kata :"A cat has nine lives". Malahan pernah dilakukan satu kajian
bagaimana seekor kucing yang dicampakkan pada bangunan yang tinggi
mampu mendarat di tanah tanpa sebarang kecederaan.
Setiap kali seekor kucing merasakan tidak sedap badan dia akan
mencari rumput dan herba yang sesuai untuk dikunyah ataupun dimakan.
Dari situ dia dapat mengubati dirinya yang kurang sehat.
Minat orang Melayu terhadap pemeliharaan kucing hanya meluntur di
pertengahan tahun sudah apabila tersebar berita betapa makanan
kucing yang diimpot dan ditulis 'HALAL' dikotaknya itu sebenarnya
tidak halal. Rupanya makanan binatang itu adalah lebihan daging
khinzir yang diadunkan dengan bahan makanan yang lain.
- Kesan Bulan Mengambang pada kehidupan laut
Fenomena bulan mengambang juga menjadi panduan kepada para nelayan
dan juga tuanpunya kedai-makan di seluruh dunia. Ketika itu segala
kehidupan laut menjadi lebih berisi. Ketam akan berisi dan
mengeluarkan telur. Siput dan kerang akan mudah membesar dan lebih
isinya. Akan tetapi, pergerakan angin ketika bulan mengambang adalah
amat berbahaya pada kapal kecil kerana putarannya kerap sangat
berubah. Ketika inilah para nelayan terpaksa rapat di antara satu
dengan yang lain untuk mengurangkan risiko kapal mereka dilambung
ombak dan terbalik. Tetapi, ada kalanya angin akan mati dan
membuatkan perahu layar tidak pun dapat bergerak. Inilah keajaiban
dunia dan kuasa Allah semata-mata.
**********
Saudara sekelian,
Sempena bulan mengambang pertama di tahun baru ini dan bertepatan
pula dengan gerhana bulan pertama di alaf yang baru, saya mengajak
saudara memikirkan beberapa keadaan hidup di sekeliling kita.
- Orang Melayu pergi ke bulan ?
- Setiap kali bulan mengambang tentu kita teringatkan kejayaan
manusia bernama Neil Armstrong yang menjejakkan kakinya ke permukaan
bulan. Saya pernah menulis perkara ini dan mengkaitkan betapa NASA
pernah menghantar monyet dahulu ke bulan sebelum menghantarkan Neil
Armstrong. Kita pernah bincangkan betapa monyet itu datangnya dari
Bangi dari satu kawasan yang kini dibersihkan dan membesar. Inilah
asal usul tapak Universiti Kebangsaan, Bangi. Yang menangkap monyet
Bangi dulu adalah orang Melayu dan yang mengekspot- nya ke Amerika
adalah orang Cina. Mungkin pemandu lori ketika itu orang bukan Cina
atupun bukan Melayu.
Soalnya sekarang, kalau monyet Malaysia boleh ke bulan bilakah
agaknya seorang anak Melayu dapat menjejakkan kakinya ke bulan?
- Kira-kira empat puluh tahun dulu orang Melayu yang pergi belajar
di sekolah Inggeris datangnya daripada kampung dan desa. Kebanyakan
mereka terpaksa bangun pukul lima pagi dan mula berjalan kaki ke
jalanraya ataupun jalan besar untuk menunggu bas sekolah yang akan
membawa mereka ke bandar. Perjalanan memakan lebih kurang dua jam
sebelum sampai ke sekolah. Mereka ke sekolah berbekalkan nasi yang
dibalut dengan upih pinang. Ketika itu tidak ada plastik bungkus
ataupun 'aluminium foil' untuk dijadikan pembungkus makanan. Tidak
ada juga wang saku kerana ibu bapa mereka kebanyakannya pekerja
kampung ataupun bergaji kecil yang hanya cukup untuk makanan
seharian.
Kini, tahun 2000, anak-anak bandar sama ada di Kuala Lumpur, Johor
Bahru, Ipoh dan Alor Star kena bangun pagi jam lima juga. Naik bas
sekolah yang akan tiba ke sekolah sebelum pukul 7.30 pagi. Kalau si
anak itu kena bersekolah petang, dia kena bersiap sedia jam 10.30
pagi untuk sampai ke sekolah jam dua belas tengah hari. Perkara ini
berlaku kerana sekolah kita masih mengamalkan sistem dua
persekolahan dalam satu bangunan. Keadaan yang sama berlaku juga di
kampung-kampung tetapi tidak terserlah sangat kerana anak-anak di
kampung lebih selesa mengayuh basikal pergi ke sekolah mereka.
Lagipun lebih menjimatkan. Anak-anak bandar membeli basikal hanya
untuk dikayuh di waktu kelapangan. Ibu bapa tidak yakin akan
keselamatan mereka berbasikal ke sekolah.
Kesesakan di sekolah bandar amat jelas apabila hari Jumaat. Sekolah
sebelah pagi tutup awal untuk membolehkan murid yang beragama Islam
pergi sembahyang jemaah. Tetapi di waktu yang sama sessi sekolah
petang pun dilewatkan untuk tujuan yang sama. Soalnya sekarang
anak-anak yang sepatutnya berada dalam bas untuk pulang terpaksa
menunggu kedatangan bas yang kebanyakannya dipandu oleh orang Islam
juga. Kemanakah anak-anak sekolah ini pergi? Ramai yang merapu tidak
tentu hala merokok, bermain video dan berjudi secara virtual casino.
Semua ini berlaku tanpa pengetahun ibu bapa.
Soalnya sekarang kenapakah kita masih mendera anak-anak sekolah dua
sessi selepas 43 tahun kita merdeka? Di negara barat tidak pun ada
sekolah dua sessi. Tetapi kita amat bangga dengan segala projek mega
tanpa memikirkan betapa perlunya wang itu untuk membuat lebih banyak
sekolah lagi dan menyediakan bas sekolah secara percuma kepada
setiap sekolah agar tambang bas boleh dikurangkan.
Empat puluh tahun yang lalu, buku sekolah boleh di pegang dengan
satu tangan. Kini, anak-anak kecil perlu menyangkut beg sekolah di
belakang. Ada pula anak-anak yang terpaksa meletak tali beg di dahi
seperti orang Tibet dan orang Nepal mengangkut kayu api. Apakah
disebabkan masalah ini makanya MAHAFIRAUN melantik dua senator untuk
menjadi menteri pendidikan? Walaupun dulu kita hanya menggunakan
papan batu, kita tidak pun berminat menghisap rokok dan membuat
kerja-kerja yang mengikut perangai hantu. Tetapi kini, dengan
pelajaran melalui radio dan TV serta projek video dan Kelas
Motivasi, anak-anak kita sudah pandai buat kerja yang kita sendiri
masih belum selidikki. Anak-anak kita sudah lebih matang sehinggakan
mereka tahu banyak benda di sekolah tinggi apa yang kita belajar
hanya selepas keluar daripada universiti. Apakah ini yang dikatakan
sistem pelajaran berdemokrasi?
- Dulu, selepas sekolah pagi kita berjalan kaki ke sekolah agama
yang ditaja oleh orang kampung. Kita belajar mengaji dan fardu ain.
Ada juga kita belajar fardu kifayah. Kini anak-anak kita mempunyai
guru agama di sekolah kerajaan. Mereka belajar agama juga tetapi
mereka digalakkan agar tidak melihat bulan. Bila tiba di rumah kita
tanya kenapa? Anak-anak jawab, "Che'gu kata tak payah!" Bila kita
selidikki secara diam-diam barulah kita tahu kerajaan tidak mahu
anak kita taksub pada benda-benda yang menonjolkan bulan. Benda yang
menonjolkan keris tidak mengapa.
- Satu ketika dulu, masyarakat guru adalah satu masyarakat manusia
yang paling dihormati oleh orang Melayu. Malahan status yang
diberikan kepada para guru adalah sama dengan status yang diberikan
kepada imam, khatib dan khadi. Kalau kita berbasikal dan ternampak
guru datang dari hadapan kita ada anak muraid yang sanggup melencong
dan menyorok diri dalam hutan rimba untuk seketika. Begitulah
hormatnya anak-anak murid. Hormat itu timbul kerana guru yang cukup
berdedikasi. Sebelum kita mendengar perkataan daripada mulut mereka
ibu bapa kita sudah menyerahkan sebilah rotan saga kepadanya sebagai
simbol menyerahkan nasib punggung kita pada hayunan rotan itu. Kini,
hormat serupa itu sudah tidak ada lagi kerana peredaran masa dan
peredaran jangkaan hormat manusia. Ramai guru yang kerap ponteng
kerana memberikan perhatian kepada masalah politik. Ada juga guru
yang kerap gian menghisap dadah dan mengharapkan anak murid pergi
membelinya. Inilah yang dikatakan dulu lagi: Bila guru kencing
berdiri, anak murid kencing berlari. Memang pandai pendeta dulu.
Mereka semacam sudah lama tahu perkara begini akan berlaku.
- Kebanyakan anak murid sekolah berasrama dulu adalah mereka yang
ibubapanya bertugs sebagai askar ataupun polis. Peluang anak-anak
bersua muka dengan ayah mereka hanyalah di waktu sekolah bercuti
ataupun pada musim beraya ataupun ketika ayah pulang ke rumah
sebagai jenazah. Nasib anak-anak banyak bergantung kepada kawalan
guru asrama dan bantuan rakan yang lebih tua. Anak-anak jenis ini
membesar dengan kudrat Ilahi dan jatidiri yang membara. Kini mereka
berada dipelbagai posisi pemerintahan kerajaan ataupun dalam sektor
swasta. Anak-anak mereka inilah yang sedang membesar dan ditanamkan
semangat juang yang sama.
Di sebaliknya pula dengan munculnya beberapa sekolah asrama swasta
yang elit dan berjenama, ramai anak-anak orang berada yang
dibesarkan laksana mereka itu lahir di istana. Ada yang membesar di
negara luar dan pulang ke negara ini tanpa pengetahuan agama yang
sebenar. Oleh kerana mereka datang daripada kelas ningrat ataupun
hampir menyerupai kelas berahmin, amatlah mudah mereka mendapat
jawatan yang baik-baik dalam kerajaan. Mereka cepat naik sebagai
pemimpin sedangkan jiwa mereka kosong utnuk memahami perjuangan
bangsa di zaman dulu. Kerana itu mereka tidak faham apa sebenarnya
makna ketuanan Melayu.
Demikianlah sedikit kisah untuk menjolok pemikiran kita yang
mungkin menjadi ilham di waktu bulan mengambang. Setidak-tidaknya
kita perlu mengingati asal usul kita untuk menyedari kegigihan
generasi lama mempertahankan negara dan memperjuangkan semangat
ketahanan ketuanan Melayu. Apakah yang patut kita lakukan. Apakah
kita akan terus berkhayal seperti lagu " Bulan mengambang, Pak Ngah
lah yang balik. Ala............. hai, sayang?"
Itukah jadinya nasib kita kalau Pak Ngah terus terpenjara oleh
seorang diktator tua?. Tak mungkin perkara ini akan dibincangkan
oleh orang yang berkuasa sedangkan mereka sedang sibuk untuk
menentukan siapa di kalangan mereka yang akan terus berkuasa.
Inilah demokrasi orang Melayu. Tidak cukup dengan kedudukan ahli
dewan senat yang tidak pun dipilih oleh rakyat melalui peti undi.
Sekarang pucuk pimpinan UMNO pun akan ditentukan tanpa peti undi.
Apakah nasib kita seterusnya ? Apakah kita perlu bersabar sehingga
Julai 16, 2000 ? Akan berulangkah nanti sejarah yang baru berlaku di
Indonesia selepas kemenangan Soharto dulu? Bukankah Soharto tumpas
akhirnya lima bulan selepas memenangi pemilu di Indonesia dulu?
Kalau pemilu ke-10 mengisytiharkan kemenangan pada UMNO dan BN pada
29.11. 1999 apakah serba mungkin pemerintahan di negara ini bertukar
wajah sebelum munculnya gerhana bulan penuh yang akan dapat kita
saksikan itu?
-Marhain Tua-
21.1.2000 (Sempena Gerhana Bulan pertama).
[*] (Catatan RPN: Irama lagu 'Terang Bulan' atau 'Trang Bulan' telah
terlebih dahulu dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan, -
dan digunakan hingga kini - sebelum dijadikan irama bagi lagu
'Negaraku'. Mengikut sejarahnya, lagu 'Trang Bulan' telah dibawa ke
Negeri Perak oleh Raja Abdullah daripada Kepulauan Sychelles di mana
Almarhum menjalani hukuman pembuangan negeri oleh Kerajaan British)