Laman Webantu KM2A1: 3521 File Size: 44.0 Kb * |
Siri 34 YTDT: B2 Antara Takbir Dan Gemanya By Marhain Tua 4/1/2001 8:41 pm Thu |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 34 [Sekali pandang rencana ini agak ganjil persembahannya tetapi teruskan membacanya
kerana ada sesuatu yang mengejutkan. Sebenarnya itulah yang berlaku dalam minda
orang Melayu kini yang telah dilalikan oleh persembahan dan lakunan seorang diktator
yang masih tidak padam-padam. Mahathir memang suka memberi 'nasihat' tetapi dia juga suka mengambil-alih semua harta
dan perniagaan yang 'sihat-sihat'. Dia memilih orang yang sakit belaka untuk membalun
dan menjaga kemewahan negara yang dibalun suku sakatnya. Memang tidak dinafikan ada
yang pakar mengendalikannya tetapi ada juga yang meranapkan lagi kesemuanya. Yang
menarik lebih banyak projek yang difaraidkan itu menemui kecelakaan daripada yang
menyumbang keriangan. Padahal mereka membolot pasaran dan tidak diancam oleh sebarang
saingan. Sebenarnya kemewahan yang dikecapi melalui kaedah yang songsang akan hilang juga
keberkatan. Kita boleh mengunci duit dibalik pintu tetapi kita tidak bisa mengunci
nafsu-nafsi yang asyik mengganas di lubuk hati. Kemewahan yang mudah masuk akan
mudah juga untuk keluar. Beratus-ratus syarikat yang dipegang oleh anak pak menteri
sudah cukup buat kita mengerti. Namun itu semua masih belum cukup lagi. Dia menggila
lagi dengan tanah yang berjuta-juta nilai harganya di Putra Jaya.
Walaupun dia merebut semua yang ada, yang bocor lebih banyak dari yang tersimpan.
Padahal pintu itu sentiasa berkunci dari depan. Siapakah yang mengambilnya itu
jika tidak dirinya sendiri di waktu malam?
Kata orang tua-tua lebih mudah menjaga barang dari menjaga orang. Kerana satu orang
boleh menjadi seribu binatang yang akan memakan semua barang..... termasuk penjaga barang.
- Editor ] (Bahagian Dua)
Masyarakat tidak akan menganggap sesuatu itu sebagai salah ataupun haram tanpa
bersebab. Begitu halnya dengan sesuatu yang dianggap sebagai benda yang baik. Dua niali
hidup ini selalunya ditentukan oleh masyarakat itu berdasarkan pengalaman lama.
Sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah, manusia mempunyai keupayaan untuk berfikir dan
menurunkan pengetahuan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya tanpa
perlu membuat keputusan terhadap sesuatu itu berdasarkan pengalamannya sendiri.
Pengalaman yang telah dihimpun dan mencetuskan minda dan nilai itu bukan sahaja
dikongsi-sama dengan masyarakat seluruhnya yang wujud ketika itu tetapi diwariskan
kepada generasi yang seterusnya. Nilai-nilai hidup ini selalunya diterima dan diserap
oleh setiap generasi itu sebagai satu bahagian tradisi dan budaya. Kadangkala generasi
yang baru mempertikaikan nilai hidup lama itu dan berkesudahan dengan munculnya satu
nilai baru pula. Konsep kehidupan yang baik dan tidak baik dalam satu kumpulan manusia adalah merupakan
nilai hidup yang diwariskan kepada generasi yang seterusnya sebagai tradisi dan
budaya. Contohnya pada satu masa dulu, di zaman Jahiliyah, orang Arab menanam bayi
perempuan hidup-hidup. Kini, amalan itu dianggap sebagai menjijikkan dan tidak berhati
perut. Ia dianggap sebagai zalim, tidak berperi-kemanusiaan dan memang tidak patut
dilakukan. Tentunya kita tidak perlu diajar bagaimna menerima cerita itu. Memang, ia
sungguh meloyakan. Malahan, secara sedar ataupun tidak, perasaan itu adalah berdasarkan
sistem nilai hidup masakini, yang tidak merestui perbuatan membunuh terutama sekali
yang melibatkan anak-anak sendiri. Tetapi kalau kita hidup di negeri Arab di zaman Jahiliyah dulu, tentu kita juga terlibat
dengan amalan tersebut kerana perbuatan yang tidak dianggap zalim ketika itu. Kita tidak
akan dihantui perasaan berdosa, kerana ketika itu membunuh anak perempuan kecil bukan
dianggap sebagai sesuatu yang hina. Beginilah halnya, satu ribu empat ratus tahun dulu, manusia berperangai lebih berbeza
dengan manusia di zaman ini. Mereka mudah melakukan perbuatan yang zalim tanpa
perasaan berdosa. Namun, tentu kita masih ingat akan keadaan di China kurang satu ratus
tahun yang dulu, di mana kaum ibu mencekik bayi perempuan mereka sehingga mati.
Bagaimana pula dengan budaya 'suttee' dimana janda dibakar hidup-hidup diunggun api
yang membakar mayat si suami? Walaupun budaya ini sudah lama diharamkan ia masih lagi
dipraktikkan di beberapa tempat beberapa tahun yang lalu. Hingga kini, masih ada
kumpulan yang berbuat demikian di India seandainya pihak polis tidak berwaspada
membenterasnya. Kalau nilai sesuatu masyarakat itu dibentuk hanya oleh masyarakat itu sendiri mengikut
sesuatu masa dan mengikut pengalamannya, mungkin amalan zalim seperti membunuh bayi dan
membakar janda di unggun api tidak dapat bertahan lama. Oleh kerana nilai hidup yang
baik dan buruk itu selalunya diwariskan turun temurun daripada satu generasi kepada
generasi yang berikutnya sebagai warisan bangsa tanpa penjelasan dan alasannya, amalan
memhalalkan cara pembunuhan bayi dan janda itu boleh diterima- pakai dan dikekalkan
untuk satu tempoh yang lama. Rasuah adalah salah satu amalan yang dianggap buruk oleh hampir setiap masyarakat dunia.
Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan tradisi dan bukannya oleh kajian ataupun
pengalaman. Sesiapa sahaja mengutuk rasuah sebagai satu jenis jenayah. Namun, ini
tidak bererti bahawa semua orang menerima interpretasi itu ataupun memang betul-betul
faham bahawa kesan yang buruk datang daripada perbuatan rasuah itu.
Rasuah mudah difahami sebagai satu amalan yang membolehkan seseorang untuk mendapatkan
imbohan melalui kaedah yang haram. Contohnya, seorang pegawai yang menerima pendapatan
bulanan kerana melakukan tugas tertentu, mungkin menerima satu hadiah daripada
seseorang kerana melakukan salah satu tugas tersebut. Perbuatan itu boleh ditafsirkan
sebagai rasuah, tetapi pada tahap awalanya ia tentu tidak mencetuskan sebarang kesan
yang tidak diingini. Yang memberi mungkin melakukannya dengan keihklasan hati, sedangkan
yang menerima melakukan tugasnya itu seperti yang dilakukannya kepada orang lain yang
tidak memberikannya apa-apa. Tetapi, apabila hadiah telah diberi, tentu ada satu bentuk keistimewaan kepada si
pemberi di lain kali. Ini bererti sesiapa yang tidak mengeluarkan hadiah itu akan tidak
mendapat layanan yang sepantas yang diminati. Di tahap ini, sebarang kekurangan
dirasakan oleh mereka yang memerlukan khidmat pegawai yang berkenaan. Masyarakat dan
juga negara belum lagi terbabit dalam hal ini. Masyarakat tidak akan bertindak kalau
tidak merasakan kesan negatif perbuatan rasuah itu dan lebih mudah memandang sepi
perbuatan itu. Lebih-lebih lagi kalau gaji pegawai yang terbabit dianggap masih rendah
lagi. Tetapi, pegawai lain yang bertugas tanpa berhubung rapat dengan kumpulan yang menyogok
itu tentu berasa cemburu terhadap pegawai yang menerima sogokan tersebut. Untuk
mendapatkan sebahagian daripada sogokan yang diberikan, mereka akan sengaja menyekat
jurusan tertentu yang memudahkan tugas pihak yang 'mewah'. Inilah yang membuatkan
korupsi itu ke tahap yang aktif: di mana aksi positif dilakukan untuk membiakkan
rasuah. Contoh yang baik ialah dalam kewujudan sistem 'tipping'. Pada tahap awalannya,
perbuatan tipping diamalkan untuk mengupah para pelayan restoran yang melayan para
pelanggannya. Jumlah tip bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan si pemberi dan
kepada khidmat yang diberikan. Pada mulanya perebutan memberi tip itu dilihat sebagai
sesuatu yang ganjil dan pekhidmatan melayan diberikan sama ada tip diberikan ataupun
tidak. Tidak lama kemudiannya, sikap para pelayan berubah, mereka tidak memberikan
layanan yang baik kalau tip tidak diberikan. Di tahap ini konsep tip itu berubah. Kalau
satu ketika dulu tip diberikan kerana khidmat yang baik, ia sudah bertukar kepada
khidmat yang baik diberikan kerana tip itu.
Daripada tahap ini, perbuatan memberi tip itu berubah kepada jurusan lain, di mana kadar
tip itu ditetapkan. Pelanggan tidak lagi mempunyai hak untuk memberi sesuka hatinya,
tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan, selalunya sekitar sepuluh ataupun lima
belas peratus. Pada tahap awal dulu, memberi tip hanya kepada pelayan yang memberikan
khidmat kepada pelanggan. Ini mencetuskan perasaan cemburu pihak yang tidak berurusan
dengan pelanggan itu secara terus, sedangkan mereka pun terlibat dalam memberikan khidmat
kepada pelanggan itu. Contohnya, seorang tukang masak (chef) menyediakan hidangan yang
lazat, tetapi tidak menerima tip. Begitu juga dengan pekerja lain di restoran yang
tidak terlibat secara langsung melayan pelanggan itu, yang tidak dapat merasakan tip
tersebut. Perasaan cemburu kumpulan demikian mencetusakan satu tindakan negatif yang membawa
mudarat kepada pelanggan. Satu cara baik telah diolah untuk menentukan semua pihak yang
terbabit mendapat sebahagian daripada pemberian tip tersebut. Perbuatan memberi tip
dihalalkan secara rasmi dan dikenakan caj mengikut kadar tetap berasaskan harga makanan
yang disediakan. Kutipan wang tip dikumpulkan dan diagihkan kepada semua individu yang
terbabit dalam memberikan khidmat kepada pelanggan mereka.
Di sini muncul pula dua perkara. Pertama, wang tip yang dikutip secara rasmi itu
diagihkan kepada pekerja hotel dan restoren mengikut kadar gaji mereka. Mereka yang
mendapat gaji yang tinggi tentunya mendapat bahagian yang lebih tinggi daripada tabung
tip itu, sedangkan yang memerlukan wang tip itu adalah mereka yang berpendapatan rendah.
Kedua, mereka yang melayan pelanggan secara terus masih berupaya mendapatkan tip tambahan
daripada para pelanggan itu. Dengan lain perkataan, walaupun tip sudah menjadi bayaran rasmi, pembayaran tip yang
tidak rasmi masih boleh dikekalkan dan berpanjangan untuk mencetuskan cemburu di kalangan
pekerja yang tidak berurusan terus dengan pelangggannya. Yang usul baliklah ke asalnya
dan perniagaan pun menjadi tergugat oleh tindakan yang mencetuskan kerugian kepada
peniaganya. Akhirnya pelanggan terus dihenyak oleh harga tipping yang dinaikkan lagi.
Rasuah memang boleh mencetuskan keadaan yang merugikan dan menjatuhkan kerajaan sehingga
tercetusnya huru-hara. Kalau seorang pegawai yang ditugaskan mengutip pelbagai jenis
cukai negara terlibat dengan rasuah, kerajaan akan ketandusan pendapatan daripada
kutipan cukai itu. Pendapatan negara yang tidak mencukupi akan memudaratkan proses
pembayaran gaji. Apabila gaji tidak dibayar secukupnya, pegawai kerajaan akan terus
mengamalkan kerja-kerja rasuah lagi. Korupsi boleh menjadi satu tabiat yang tidak ada sangkut-paut dengan kadar pendapatan
sesaorang. Nafsu manusia memang tidak ada hadnya. Manusia yang berpendapatan rendah
mungkin berkata mereka merasa puashati dengan pendapatan yang tinggi. Tetapi kita patut
ingat memang sudah ada manusia yang berpendapatan tinggi seperti yang diimpikan oleh
golongan pendapatan rendah itu. Apakah mereka yang bergaji lumayan itu berpuashati dengan
pendapatan mereka dan tidak dirasuk oleh perbuatan rasuah? Jawapannya ialah; bukan
sahaja mereka tidak berpuashati, mereka lebih berminat untuk mendapatkan habuan yang
lebih besar setara dengan gaji mereka.
Dengan demikian, menaikkan gaji tidak merupakan satu cara untuk membenteras korupsi.
Di negara di mana korupsi sudah menjadi amalan biasa, menaikkan gaji tiga kali ganda
akan menaikkan tahap pembayaran korupsi yang tiga kali ganda tingginya. Dengan kata
lain, apabila korupsi menjadi satu amalan norma, kenaikan pendapatan bukan sahaja gagal
membenteras korupsi malahan akan mencetuskan pembiakannya. Korupsi berlaku di mana-mana.
Tidak ada sebuah negara ataupun negeri yang bebas daripada rasuah. Namun, kesannya itu
boleh direngankan dengan syarat korupsi itu belum mencapai dua tahap yang kritikal.
Tahap kritikal yang pertama ialah apabila korupsi itu dirahsiakan sedangkan hubungan
telah dijalin di antara pegawai bawahan dengan pegawai atasan. Pada tahap ini, pegawai
bawahan menerima sogokan dan meneruskan tugas mereka dengan mengongsi sogokan itu
dengan pegawai atasan. Keadaan yang sebaliknya boleh juga berlaku. Dalam situasi ini
setiap pegawai saling bantu-membantu dan saling lindung-melindungi. Ini mungkin
membabitkan pegawai-pegawai paling tinggi pangkatnya, termasuk menteri-menteri dan
para pemimpin politik. Malahan juga para hakim dan para penguatkuasa undang-undang.
Kesan korupsi di tahap ini memang amat jelas. Satu laporan daripada pihak yang menjadi
mangsa tidak akan membawa sebarang kesan. Malahan kalau ada usaha untuk membersihkan
sistem itu, tidak ada sesiapa yang akan melakukannya kerana semua orang terbabit dengan
korupsi. Menteri dan para pegawai boleh digantikan, tetapi mereka yang mengambil tempat
yang baru itu akan terdorong juga untuk bergelumang dengan korupsi. Kalau mereka enggan
untuk bergelumang sama, mereka akan tersisih kerana para pegawai mereka tidak akan
mengikut arahan yang diberikan. Adalah mustahil untuk memecat semua pegawai kerajaan dan
mengambil pegawai yang baru. Kalaupun ini diusahakan, kesannya adalah huru-hara yang
mencetuskan bencana juga. Tahap kritikal korupsi yang kedua ialah perbuatan yang tidak lagi menjadi rahsia dan
diterima-pakai sebagai satu amalan biasa dalam sesuatu masyarakat itu. Ada kalanya
disebutlah kisah pendapatan bulanan yang rendah sebagai alasan kenapa rasuah mesti
dilakukan. Kalau benar perkara itu, mereka yang bergaji tinggi seperti pegawai atasan
dan para menteri tidak patut menerima rasuah. Yang nyata, orang atasan lebih selesa
meminta sogokan yang lebih tinggi nilainya. Memang tidak ada hadnya kepada nafsu-nafsi
manusia. Korupsi yang diamalkan secara terbuka tanpa dianggap sebagai haram tentunya mencetuskan
kesan yang sungguh berbahaya kepada sesebuah negara. Pertama, kerajaan menjadi lemah
kerana setiap kali rasuah diterima, kerajaan kehilangan hasil pendapatan ataupun
dinafikan hasil tindakan yang berkesan. Contohnya, apabila sesuatu ketentuan telah
dibuat mengenai cukai, pemberian wang sogokan tidak akan menyulitkan si pemberi; wang
yang sepatutnya merupakan pembayaran cukai itu dikongsi-sama oleh tukang sogok itu dan
juga tukang terima. Keadaan yang berulang tentunya menidakkan hak kerajaan kepada hasil
mahsyul yang penting untuk menguruskan negara. Ini boleh membantutkan pembayaran gaji.
Untuk menutup bayaran kerajaan yang tidak mencukupi itu, para pegawai akan terus menagih
sogokan. Kerakusan manusia yang tidak ada hadnya itu akan memperlekehkan perbuatan rasuah
dan mencetuskan pembayaran rasuah yang lebih tinggi hingga memudaratkan pengutipan
cukai negara. Kesan buruknya tidak perlulah diperjelaskan di sini.
Kalau kerajaan TIDAK mempunyai dana yang mencukupi, khidmat sosial seperti pendidikan,
kesihatan, kemudahan awam dan sebagainya tidak dapat disediakan. Negara bukan sahaja
tidak mampu bersaing maju, jurang pemisah di antara yang kaya dengan yang tidak berada
akan semakin melebar. Sebabnya, semua khidmat sosial yang diberikan oleh kerajaan itu
selalunya membantu mengurangkan perbelanjaan golongan rakyat marhaen.
Dalam situasi di mana yang miskin bertambah miskin, masalah mereka akan terus dihenyak
oleh sistem korupsi. Kerana tidak mampu menyogok, mereka tidak mampu mendapatkan khidmat
para pegawai. Keadaan akan terus menjadi buruk. Keadilan akan kehilangan maknanya yang
sebenar dan majoriti rakyat marhaen akan terus dihimpit beban putus harapan.
Adalah penting untuk memahami dua tahap kritikal korupsi itu. Apabila tahap itu telah
wujud di sesebuah negara, memang tidak ada harapan untuk membasminya. Rakyat marhaen dan
juga kumpulan tertentu dalam sesuatu masyarakat memang mengutuk korupsi. Mereka menuntut
dan menentang amalan itu dan mengugut untuk bertindak terhadap para pegawai dan kerajaan
melainkan amalan korupsi itu dapat dibenteras. Semua itu adalah usaha yang sia-sia.
Kalau pun para pegawai dan kerajaan digantikan, reformasi hanya mampu bertapak untuk
seketika sahaja. Penyakit korupsi akan menghinggapi orang yang baru memegang kuasa.
Walaupun mereka merupakan golongan yang mengutuk korupsi itu. Penyakit itu akan merebak
laksana satu wabak. Kalau ada perbezaannya, ia berlaku kepada golongan yang menerima.
Kepada rakyat marhaen dan negaranya, menggantikan pegawai lama ataupun pemerintahan
dengan kumpulan yang baru tidak akan membawa perbezaaan kepada budaya rasuah itu.
Perkara ini dapat diamati apabila korupsi sudah sampai ke tahap yang kritikal. Kita akan
melihat satu kerajaan yang baru dengan muka yang baru dan ideologi yang baru juga. Tidak
payahlah di tunggu lama-lama, kerajaan yang baru itu pun akan dituduh terbabit dengan
budaya korupsi juga. Terlalu banyak ikrar yang dilafazkan untuk membasmikan budaya
korupsi. Begitu juga dengan usaha berkempen, namun korupsi terus juga berleluasa.
Adakalanya kerajaan terus berubah-ubah. Namun, korupsi terus juga bercambah.
Di awal bab ini, telah dinyatakan betapa sesuatu perkara itu tidak dianggap buruk oleh
sesuatu masyarakat itu tanpa bersebab. Daripada perbincangan di atas, nampaknya korupsi
itu dianggap buruk hanya kepada orang yang tidak mempunyai peluang ataupun keupayaan
untuk menikmatinya. Mereka yang diberi peluang tentunya tidak mendapati perkara itu
sesuatu yang menjijikkan. Di dalam satu situasi apabila ramai rakyat marhaen bergelumang
dengan rasuah dan menikmati keistimewaannya, adalah tidak mudah untuk bercakap mengenai
bahaya korupsi itu. Kalau sebilangan besar masyarakat menikmati korupsi, bagaimana pula
korupsi itu dianggap sebagai satu jenayah yang berbahaya?
Di negara China di bawah pemerintahan maharajah dulu, korupsi dianggap sebagai perkara
biasa. Semua pegawai negara mesti diberikan hadiah berbentuk wang setiap kali khidmat
mereka diperlukan. Pembayaran dibuat secara terbuka. Sebagai contohnya, penghuni sesuatu
pekan itu akan menyumbang kepada satu tabung untuk membeli hadiah untuk disogokkan
kepada pihak yang berkuasa. Semua pegawai kerajaan terbabit dalam amalan ini. Hak penerimaan mereka memang telah
ditetapkan. Malahan pengutipan wang untuk membeli hadiah mereka itu adalah sama dengan
pengutipan cukai. Perbezaan terdapat kepada cara wang itu dikumpulkan. Kalau cukai perlu
dibayar kepada kerajaan dan kemudiannya diagihkan kepada pegawai dan para kakitangan
kerajaan dalam bentuk gaji, wang untuk disogok itu dikongsi-sama dalam bentuk 'cukai'
yang dilakukan sepanjang proses pengutipan itu. Yakni, setiap pengutip wang itu mengambil
secebis kutipan itu sebagai imbohannya sebelum menyerahkan yang berbaki kepada pegawai
di atas. Pegawai atasan akan melakukan tabiat yang serupa sebelum menyerahkan kepada
ketuanya pula. Demikianlah, bagaimana tabiat itu terus berlanjutan.
Dalam hal ini, para pegawai menerima imbohan yang diberikan sebagai sampingan kepada gaji
bulanannya. Masyarakatnya menerima faedah daripada khidmat yang disediakannya. Oleh
kerana semua pihak mendapat faedah daripada sistem itu, unsur korupsi di dalamnya tidak
menyerlah. Ia tidak pula disebut sebagai korupsi tetapi disebut dengan perkataan lain
pula. Dalam keadaan seperti ini, unsur korupsi itu memang boleh dilihat kalau kajian
dilakukan. Di China ketika itu, bukan sahaja pegawai rasmi kerajaan yang mesti disogok,
pemimpin kongsi gelap pun memerlukan sogokan. Persatuan persatuan peminta sedekah, kongsi
gelap dan kumpulan haram yang lain mesti disogok untuk mengelakkan perbuatan gampang
mereka. Apabila terlalu banyak kumpulan yang menyiksa kehidupan masyarakat yang mahu hidup
bahagia, keharmonian masyarakat itu pun tergugat. Tidak ada sesiapa yang bersedia
bekerja kuat kerana hasil keringatnya melainkan diperah oleh para pegawai dan penjenayah.
Kebanyakan rakyat marhaen akan melakukan kerja seminima mungkin untuk terus hidup,
kerana apa yang berlebihan dicapainya akan menguntungkan pihak yang menekannya. Apabila
sesuatu masyarakat itu kerap sangat diugut, rakyatnya akan hidup secara tergugat.
Keadilan tidak dapat dinikmati kerana keadilan tidak mampu hidup subur dalam masyarakat
yang mengamalkan korupsi. Lagipun hadiah kewangan diberikan kepada pegawai kerajaan dengan muslihat untuk
mengurangkan kadar cukai kepada kerajaan. Ini bererti kerajaan dinafikan hak untuk
menerima pendapatan cukai secara penuhnya. Kerana itu kerajaan tidak berupaya
menyediakan kemudahan awam, termasuklah peruntukan untuk memerangi korupsi. Negara pun
boleh menjadi lemah dan boleh dijajah dengan mudahnya dan penduduknya dihamba-abdikan.
Amalan korupsi dan kesannya telah membuatkan kerajaan negeri-negeri Melayu menjadi
mangsa kepada kumpulan yang menjajahnya. Kadangkala penjajahan itu dilaksanakan melalui
ugutan, tetapi ada kalanya janji bantuan sudah memadai.
Contoh yang jelas adalah daripada sejarah Negeri-negeri Melayu. Pada abad ke-19 dulu,
orang asing mula menunjukkan minat terhadap negeri-negeri Melayu. Memang jelas, tanah
Melayu mempunyai khazanah yang tinggi mutunya sedangkan para penduduk dan juga raja-raja
tidak pun mempunyai minat dan pengetahun mengenai khazanah itu, terutama sekali
perlombongan bijih timah. Ramai tetamu asing telah membuat cadangan kepada pemimpin tempatan agar mereka (orang
asing) diberikan hak untuk memajukan hasil bumi yang asli itu dengan cara membayar
pampasan kepada para pemimpin tempatan secara berjadual. Ada pemimpin tempatan itu
menjadi kaya raya dalam satu tempoh yang pendek sahaja. Pendapatan mereka itu tidak
dianggap sebagai cukai negara walaupun tanah yang dilombong itu bukannya kepunyaan
pemimpin yang menerima imbohannya.
Daripada kerja melombong, projek usaha-sama itu menjalar kepada pemberian tanah untuk
tujuan yang lain. Ini termasuk perjudian, perdagangan candu, dan juga pengutipan cukai.
Pendapatan para pemimpin daripada usahsama dengan orang asing itu telah menjangkau
pengutipan cukai yang mereka terima daripada rakyat biasa. Lantas, perasaan tanggungjawab
mereka terhadap rakyat sendiri pun menjadi kurang kerana mereka memberikan keutamaan
kepada permintaan pihak pedagang yang mendatang.
Inilah tahap yang membuatkan perasaan cemburu timbul membuak. Orang asing yang
dipinggirkan mula manabur benih fitnah dengan tujuan pemimpin yang rakus itu dapat
ditumbangkan oleh pihak tertentu yang sanggup melakukannya dengan bayaran tertentu yang
dijanjikan. Berlakulah percanggahan di kalangan pemimpin tempatan dan di kalangan
kumpulan yang mendatang sehingga mencetuskan keadaan huru-hara senantiasa. Akibatnya,
satu demi satu negeri tanah Melayu itu berpindah kuasa sebenarnya kepada pihak British
melalui perjanjian yang menjanjikan 'bantuan'. Jatuhnya negeri-negeri Melayu ke tangan
British mungkin dianggap satu contoh yang ekstrem kepada kesan korupsi. Tetapi itulah
hakikatnya dan betapa kerakusan korupsi itu boleh sampai ke tahap begitu. Kalau budaya
korupsi itu tidak dapat dibasmikan sedangkan ia mampu menghancurkan sesuatu masyarakat
itu, apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk meminggirkannya?
Wujudnya korupsi seperti wujudnya jenayah yang lain, tidak bererti sesuatu masyarakat itu
telah menerimanya sebagai satu amalan biasa. Tetapi, bertentangan dengan jenayah lain,
korupsi itu kalau dibiarkan bercambah boleh diterima sebagai satu amalan yang
dipraktikkan secara terbuka. Seperti yang kita perjelaskan, kalau korupsi itu diamalkan
secara terbuka, ia bukan sahaja tidak mudah dibasmikan, malahan menjadi sesuatu yang amat
berbahaya kepada semua pihak. Adalah jelas, walaupun masyarakat mungkin dapat menerima
hakikat bahawa korupsi itu tidak dapat dibasmikan, ia tidak boleh biarkan sebagai amalan
biasa yang tidak perlu dilakukan secara berahsia. Apa juga kenyataan mengenai kewujudan
korupsi itu, ia akan tetap merupakan satu bentuk jenayah yang tidak boleh dianggap
enteng semata-mata. Kalau masyarakat sudah menganggap korupsi itu sebagai satu jenayah, untuk mengutuknya
sahaja, walaupun dengan lantangnya, tidak merupakan tindakan yang memadai. Yang lebih
penting lagi masyarakt itu sendiri mesti membersihkan gejala korupsi itu sama sekali.
Untuk melakukannya secara berkesan, semua pihak mesti memahami apakah yang dimaksudkan
dengan korupsi itu. Secara lazimnya, korupsi dianggap sebagai memberikan sesuatu kepada seseorang yang
berkuasa agar beliau melenturkan kuasanya untuk memihak kepada si penyogok itu.
Contoh yang terbaik boleh dilihat dalam pemberian lesen di mana kalau terdapat ramai
pemohon sesuatu lesen itu, orang yang menyogok pegawai yang berkuasa tentunya berjaya
mendapatkan lesen sedangkan ramai orang lain yang lebih layak yang sepatutnya menerima
lesen itu. Tetapi, apa pula akan terjadi kalau si penerima lesen itu memang layak
menerimanya dan dia memberikan hadiah itu pada hari yang sama yang dilakukan oleh orang
lain. Apakah itu dianggap sebagai satu rasuah? Dia berjaya kerana dia memang layak dan
dia memberikan hadiah sebagai tanda terima-kasihnya kepada pemberian yang adil itu.
Adakah itu rasuah? Dalam hal ini, pemberian hadiah pada hari lebaran harus dianggap sebagai satu bentuk
rasuah. Tetapi, bukannya mudah menolak semua bentuk hadiah itu. Satu hadiah yang
diterima daripada pemimpin sebuah negara adalah satu lambang silaturrahim ataupun satu
bentuk rasuah untuk mendapakan layanan istimewa mengenai dasar negara ataupun
melibatkan rakyat negara yang terbabit. Apa pula pendapat rakyat marhaen mengenai hadiah
yang diberikan pada hari lebaran? Penyalahgunaan wang kerajaan memang merupakan satu bentuk rasuah. Begitu juga dengan
penyalahgunaan kuasa. Kalau sesaorang pegawai menuntut perbelanjaan kerana menjalankan
tugasnya secara melebehi kos yang sebenar, perbuatannya itu adalah satu korupsi juga.
Kalau dia gunakan wang kerajaan untuk dirinya seperti membuat jalan menghala ke rumahnya,
itu pun satu korupsi. Kalau seorang menteri menggunakan peruntukan untuk kemudahan
dirinya, keluarganya dan para penyokongnya, itu pun merupakan korupsi. Kalau seorang
pelajar mendapatkan biasiswa dengan berjanji untuk belajar dengan tekun tetapi
menggunakan biasiswa itu untuk tujuan lain, itu pun korupsi juga!
Sekali pandang semua itu memang merupakan kes rasuah. Tetapi, kalau kita amati dengan
lebih dekat, apa yang dikatakan jelas itu menjadi samar hingga menyerlahkan gambaran yang
bertentangan dengan apa yang sepatutnya; yakni apa yang semacam rasuah itu bukannya
rasuah sebenarnya. Seorang menteri yang mahukan penyokongnya menerima sedikit
kemudahan, melakukannya kerana memikirkan mereka memang sepatutnya menerima pertolongan
itu. Mungkin juga kerana mereka telah dipinggirkan oleh pegawai kerajaan ataupun
pihak tertentu yang melakukannya secara sengaja. Bukankah tugas menteri memperbetulkan
kesilapan yang berlaku? Mestikah seorang menteri mengenepikan satu permohonan yang wajar
kerana mahu mempertahankan imejnya? Perkara sedemikian mungkin berlaku kepada pegawai
yang mempunyai kuasa tertentu. Sesiapa yang mereka layan itu sudah semestinya mempunyai
satu bentuk pertalian dengan mereka. Layanan yang diberikan itu mungkin berbentuk satu
keistimewaan ataupun tidak ada sebarang makna langsung.
Apa yang jelas ialah setiap sesuatu itu boleh diluluskan, sama ada lesen, biasiswa
ataupun sebarang kemudahan yang melibatkan ramai permohonan; dan bagi setiap permohonan
yang berjaya itu memang terdapat banyak lagi yang tidak berjaya dan akan terus kecewa.
Apabila seseorang pegawai telah membuat pemilihannya, adakah mudah ditentukan samada dia
telah sengaja meminggirkan sesiapa? Pihak yang tidak berjaya akan mengatakan pegawai itu
sengaja mengenepikan mereka, tetapi kalau mereka itu yang sudah berjaya, mereka akan
berkata bahawa tindakan pegawai itu adalah satu tindakan yang saksama. Malahan, kalau
mereka mempunyai peluang untuk menghubungi pegawai itu untuk mendapatkan keistimewaan
tertentu, mereka tidak akan teragak-agak melakukan perbuatan itu.
Dari kisah di atas, satu perkara yang menonjol ialah definasi korupsi itu walaupun mudah
dan jelas kisahnya mungkin tidak semudah itu untuk memberikan gambarannya. Apabilla
sesuatu tuduhan itu dikemukakan oleh orang yang kecewa, kesahihan tuduhannya itu boleh
dipertikaikan. Tetapi kalau orang semacam itu tidak membuat tuduhan, siapakah lagi yang
boleh melakukannya? Tentu sekali mereka yang terlibat sahaja yang dapat merasakan
kegetiran dan segala butiran keadaan yang sebenar.
Untuk menyelesaikan masalah yang dihantui dilema itu, faktor yang menentukannya
bukanlah terletak kepada kaedah ataupun jentera yang digunakan untuk memerangi korupsi
itu. Yang lebih berkesan dan penting ialah sistem nilai yang diamalkan oleh sesuatau
masyarakat yang terbabit. Sebetulnya, semua orang setuju bahawa korupsi ialah satu
jenayah dan tidak harus diamalkan. Tidak seorang pun yang berkata bahawa dia menganggap
enteng budaya rasuah itu dan wabak penyakit yang menghantui masyarakatnya. Tetapi apabila
muncul peluang untuk menikmati budaya korupsi itu, jurang di antara apa yang dikatakan
dan apa yang dilakukan mengenainya menjadi amat luas sekali.
Di dalam sebuah negara berdemokrasi, sebagai contohnya, peluang untuk seseorang rakyat
marhaen mengamalkan korupsi memang wujud secara meluas, terutama sekali di waktu
pilihanraya. Tujuan sebenar diadakan pilihanraya itu ialah untuk memilih pemimpin yang
berkelulusan tinggi dan amanah. Soalan peradana sepatutnya berbunyi: apakah calon itu
dan partinya mampu memerintah negara? Apakah negara dan masyarakat mampu terus maju dan
terus aman damai kalau calon tertentu dipilih? Apakah kemungkinan adanya kesaksamaan
dalam pengagihan usaha kerajaan dan bantuannya di kalangan rakyat? Dengan lain
perkataan, pemilihan sesaorang calon itu harus ditentukan oleh kesan terhadap
kesejahteraan dan kemajuan negara daripada pelbagai bidang.
Tetapi, selalunya ketika pilihanraya, kebanyakan pengundi memberikan keutamaan
terhadap faedah khas yang mereka akan perolehi daripada calon-calon yang meraih
sokongan mereka, apabila calon itu menang. Faedah istimewa sebenarnya tidak menepati
konsep kesaksamaan. Malahan semua itu adalah hadiah yang diberikan terus kepada para
pengundi. Lagi banyak faedah khas yang dijanjikan (yang semestinya menafikan hak orang
lain) lagi kuatlah sokongan yang dijanjikan kepada calon tersebut.
Pada tahap awalnya lagi, seseorang calon itu menjanjikan para pengundinya apa juga yang
mereka minta, tidak kiralah permintaan itu menasabah ataupun tidak. Malahan calon itu
terpaksa berjanji untuk mengabaikan puak yang tidak disukai oleh para pengundi,
sedangkan permintaan seperti ini memang merupakan sesuatu yang tidak adil. Kalau
permohonan untuk mendapatkan lesen memerlukan sokongan dan bantuan seorang pegawai yang
meluluskan lesen itu, calon yang bertanding terpaksa berjanji untuk memuaskan kehendak
para pengundinya. Apabila calon itu menang pilihanraya, dia terpaksa melunaskan janji-janjinya terutama
sekali kalau dia datang daripada parti yang menubuhkan kerajaan yang memrintah.
Kesaksamaan tidak mempunyai tempat dalam melunaskan janji-janji. Malahan bukan itu
sahaja. Oleh kerana dia sedar bahawa undi boleh diperdapatkan dengan memuaskan kehendak
para pengundi itu, dia pun bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang,
dengan melunaskan kehendak para pengundi itu lebih awal lagi. Calon daraipada parti
yang memerintah mudah memberikan tanah dan kemudahan lain sebelum menjelangnya
pilihanraya. Kalau pada tahap awal, undi diberikan berasaskan janji kemudahan khas,
kini kemudahan khas itu diberikan berasaskan janji untuk mendapatkan undi.
Perkara semacam ini bukan sahaja dilakukan oleh calon daripada parti yang memerintah.
Calon parti lain pun melakukan tabiat yang serupa. Mereka lakukan lawatan ke kawasan
pilihanraya untuk melakukan pelbagai khidmat, menghadiri majlis kenduri rakyat marhaen,
bersolat di masjid dan surau, berderma setakat yang termampu dan melakukan apa saja yang
mungkin tidak akan mereka lakukan melainkan mereka tidak berniat untuk bertanding di
tempat itu. Inilah satu penipuan yang bersifat bebal. Khidmat semacam itu akan
dihentikan sebaik sahaja mereka membuat keputusan untuk tidak bertanding di kawasan itu.
Kalau sesuatu masyarakat itu menolak korupsi, ia sepatutnya menolak suasana yang
membiakkan korupsi. Hak sesaorang pengundi memberikan undinya adalah sama dengan kuasa
yang ada pada tangan seorang pegawai. Undi boleh melakar destini seseorang, malahan
kepada nasibnya untuk menjadi seorang perdana menteri. Kadangkala satu undi sudah cukup
untuk menentukan nasib seorang perdana menteri. Ini berereti soerang pengundi itu
mempunyai kuasa yang besar. Kuasa memang mengotorkan suasana dan kuasa yang mutlak memang
mengkucar-kacirkan suasana itu secara keseluruhannya. Kuasa seorang pengundi memang
boleh menjadi kuasa mutlak, dan kuasa mutlak itu memang boleh menjurus ke kancah rasuah.
Masalah ini harus dikaji degnan teliti. Setiap calon dan parti mempunyai berjuta ringgit
untuk digunakan ketika pilihanraya. Satu ketika dulu wang yang banyak memang tidak
diperlukan kerana ramai orang yang mudah berkhidmat secara sukaraela. Mereka percaya
kepada prinsip parti ataupun kewibawaan seseorang calon, ataupun kerana mereka
diransang oleh semangat berkhidmat. Tetapi pada hari ini seorang yang miskin tidak mampu
bertanding di pilihanraya melainkan dia dicalonkan oleh sebuah parti politik yang kaya.
Satu bab yang membincangkan perkara rasuah, memang tidak mudah untuk ditulis. Sebarang
reaksi mengenainya memberikan gambaran bahawa si penulis mungkin mengamalkan korupsi itu
juga. Meamandangkan luasnya interpretasi mengenai korupsi itu bukanlah mudah sesaorang
itu berlagak yang dia bebas daripada mengamalkan korupsi. Seorang ahli politk yang
menulis mengenai korupsi berkemungkinan menghadapi zaman kegelapan di hari muka. Para
penyokong yang ingin membantu mungkin merasa rimas untuk menawarkan khidmatnya kerana
tidak mahu dituduh menawarkan bakti dengan tujuan untuk mengamalkan korupsi ataupun
dianggap serong membantu dengan tujuan mendapatkan sesuatu. Namun, adalah penting kalau
korupsi itu diiktiraf bukan sahaja sebagai satu penyakit budaya masyarakat tetapi
sebagai satu penyakit yang amat berbahaya kesannya.
Sorotan: Demikianlah tulisan seorang diktator tua dalam sebuah buku berjodol 'The Challenge'.
Terjemahan bebas itu dilakukan kepada bab 12 buku itu pada muka surat 140 hingga 153.
Buku ini adalah hak seorang diktator tua yang mula diterbitkan pada 1986 dan sudah
diulang-cetak sebanyak lima kali. Sayang........penulisan yang dilakar pada tahun 1986
itu tidak dipraktikkan sebaik sahaja si diktator tua itu memegang kuasa. Dia mengamalkan
rasuah itu sepuas-puasnya, sehingga sanggup menolak sapina mahkamah sebanyak dua kali.
Begitu juga halnya ketika si diktator tua merayu mendayu-dayu kepada ahli perwakilan UMNO
agar membantunya membenteras rasuah, sedangkan segala bentuk rasuah yang sofistiket
adalah mainannya dan menjadi darah dagingnya dan para kroni, sukusakat dan keluarganya.
Yang merana adalah rakyat jelata juga.
...bersambung.... |