Laman Webantu KM2A1: 3505 File Size: 34.1 Kb * |
Siri 32 YTDT: Bila Takbir Datang Bergema By Marhain Tua 2/1/2001 1:25 am Tue |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 32 [Prestasi kroni dan Mahathir sendiri pada tahun 2000 ini telah merosot
dengan begitu teruk sekali. Sandiwara beliau tidak berakhir dengan ketawa
lagi kerana Lunas sudah mengakhiri senyum beliau awal-awal lagi. Dia semakin
muram lagi bila abangnya sendiri meninggalkannya buat selama-lamanya.
Kini pasaran saham yang dijangka mencecah 1000 mata rupa-rupanya menjunam di
bawah paras 700 mata pada hujung Disember ini. Sebelum itu Tajuddin Ramli
terpaksa diselamatkan dengan tawaran saham lebih dua kali ganda manakala
Halim Saad sudah beroleh sesuatu sebelum tahun baru. Tentu kita tidak lupa
penyerahan Putra Jaya secara tergesa-gesa untuk diratah oleh anak-anaknya.
Seperti biasa Mahathir tidak akan menyalahkan suku-sakatnya bila ekonomi
negara musnah dan punah ranah. Dia akan terus membebel lagi dan lagi tetapi
kebangkitan rakyat sudah tidak dapat dibendung dengan pelbagai perutusan
itu ini. Kini semua pelabur luar dan rakyat marhaen sendiri, tidak kira apa kaum
mereka sudah tidak tahan lagi. Apabila rakyat bangkit semua polis dan
mereka yang mendekati Mahathir akan mula meminggirkan diri mereka kerana
arus itu akan menumbangkan dan membicarakan sesiapa sahaja yang bersekongkol
dengannya. Yang menarik ia berlaku menyusuri hari lebaran kerana orang yang
senang berhutang akan senang juga untuk tumbang. - Editor ]
Penangkapan YB Azmin Ali dan juga Ketua Pemuda Keadilan, Ezam selepas mengerjakan umrah,
bukannya sesuatu yang memeranjatkan. Azmin pernah menjadi pengarah pilihanraya di Lunas
dan Ezam turut membantunya. Kalau Hj. Roslan Kassim, Tian Chua dan N. Gobalakrishnan
boleh ditangkap untuk dilokap dulu sebelum dihadapkan ke mahkamah takkan Azmin dan Ezam
boleh terlepas begitu sahaja. Cuma, waktu penangkapan itu dibuat melanggar etika politik
kerana mereka hanya dituduh melakukan rusuhan dan belum didapati bersalah oleh mahkamah.
Inilah yang saya katakan dulu, betapa manusia sudah dirobotkan oleh Mahathir. Setiap
pegawai tinggi kerajaan dan juga wakil rakyat yang beragama Islam mendahului jawatan
mereka dengan mengangkat sumpah setia dengan bermulakan ungkapan "Dengan nama Allah"
Tetapi, apabila diarahkan menangkap Azmin dan Ezam mereka lupa bahawa keesokan harinya
ialah Hari Raya Aidilfithri. Siapa sangka batasan keceriaan Azmin dan Ezam itu ialah di
dalam lokap? Apabila manusia dirobotkan semacam ini, apakah orang Melayu khasnya dan
rakyat Malaysia amnya masih menaruh kesetiaan kepada Mahathir dan kerajaannya? Bukankah
Mahathir itu seorang wakil rakyat? Saya fikir penangkapan itu adalah berbentuk serampang tiga mata: Satu untuk memalukan
Azmin dan Ezam serta menakutkan rakyat. Kedua, untuk memperkuatkan inti pati ucapan
Mahathir pada hari Krismas kelmarin. Ketiga ia ada unsur-unsur mempergiatkan kemarahan
rakyat terhadap Paklah, yang kini dianggap sebagai duri dalam daging perancangan Mahathir
untuk terus berkuasa. Paklah harus menyedari perkara ini sebagai satu rencana licik untuk
melunturkan apa juga bentuk populariti yang ada padanya di kalangan rakyat jelata.
Kerja-kerja merobotkan manusia memang sudah menjadi satu taktik Mahathir yang amat licik.
Masih ingatkah kita betapa kes Al-Maunah mula dilancarkan? Bukankah ketika itu Majlis
Raja-Raja bersidang di Ipoh, Perak? Apakah berita hangat ketika itu kalau bukan menuduh
Al Maunah mahu menyerang Ipoh untuk menculik raja-raja? Tetapi apakah kesudahannya?
Mereka berpecah sehingga tiba di ibukota untuk mengebom kilang arak dan sebuah kuil
Hindu, kononnya. Hari Raya Yang Paling Malap Seperti yang saya tulis kelmarin, sambutan lebaran kali ini adalah satu sambutan yang
malap dan semakin berkurangan serinya. Ramai orang Melayu yang tidak pulang ke kampung
ataupun pergi ke mana-mana kerana mahu menjimatkan belanja. Di bandar-bandar, ramai
orang Melayu memilih sambutan yang sederhana kerana memberi kepentingan kepada
perbelanjaan sekolah anak-anak. Mereka yang bekerja di kilang-kilang, sudah semakin
tertekan memikirkan kurangnya pendapatan kerja lebih masa (overtime). Lagipun, wang
untuk berbelanja di perjalanan itu lebih baik dikirimkan sahaja untuk kegunaan
saudara-mara yang lebih memerlukannya.
Di kawasan luar bandar terutama sekali di rancangan tanah, suasana lebaran memang tidak
seperti dulu lagi. Maklumlah harga komoditi sudah turun menjunam untuk menyenakkan para
peneroka. Tetapi, apakah yang ditulis oleh The Straits Times pada hari ini di muka surat
2 di bawah ruang News Analysis :
Kita selalu berkata: Mahathir boleh merancang apa sahaja di negara ini, kuasa veto tetap
berada pada Allah swt. Kita juga selalu berkata: Malaysia akan terus mencungap selagi
Mahathir tidak sedar dan masih rakus mahu mengekalkan kuasanya. Apa yang berlaku kepada
ekonomi Malaysia kali ini adalah gambaran betapa Mahthir sudah terlalu lama melampaui
tarikh pupus kepimpinannya. Azran Aiz yang menulis artikel mengenai Felda di atas harus sedar akan beberapa perkara penting, sebelum dia memutarkan minda pembaca tulisannya di lain kali:
Pada tahun 1974 hingga 1977 (tiga tahun lamanya) saya dan beberapa teman professional
menulis beberapa artikel kepada kerajaan menyatakan masalah sosial ini sebagai 'bom
jangka' yang akan menghenyak masyarakat Melayu dan juga warga luar bandar. Saya ada
menyebut betapa perlunya kerajaan membangunkan bandar di dalam kawasan Felda dan bukannya
di pinggir kawasannya. Kami telah menyarankan agar kajian menyeluruh dilaksanakan untuk
mengkaji kepentingan menubuhkan industri kecil dan sederhana dalam 'rancangan' bukannya
di pinggirnya. Semua cadangan itu ditolak tepi kerana orang politik tidak nampak peluang
untuk membalun wang rakyat kalau rencana seperti itu dilaksanakan.
Oleh kerana sebahagian besar tulisan itu dibaca dan diglamorkan oleh kebanyakan wakil
rakyat yang membentangnya, cadangan saya itu dibincangkan dengan hangatnya. Tetapi,
apabila selesai kongres dan persidangan ekonomi Melayu itu, semua cadangan itu diperam
untuk ditelan zaman sahaja. Orang politik amat benci cadangan seperti itu kerana kepada
mereka kalau ada perindustrian yang mahu dibuka ia mesti dibuka di mana orang Cina dan
asing akan menerajuinya dan orang Melayu hanya menjadi kuli batak sahaja. Itu sebabnya
apabila peneroka Felda menerima durian runtuh dulu, tidak banyak usaha kerajaan untuk
membendung nafsu mereka dan dijadikan satu tabung dana yang dapat diperam (snowball) dan
dibesarkan menjadi satu dana memerangi masalah orang Melayu. Bayangkan kalau lima puluh
persen dana belebihan dulu itu diinstitusikan dan digunakan untuk membeli saham agihan
IPO (initial Public Offerings - keluaran ulung), kesan skim itu sudah mampu menyediakan
dana bernilai lebih satu bilion di hari ini. Tetapi wakil rakyat mana yang mahu mendengar
cadangan seperti ini? Kalau cadangan itu dipraktikkan, tidak ada seorang pun
peneroka Felda yang merempat di hari ini. Malahan, peneroka FELDA boleh merupakan
pemegang saham terbesar dalam setiap institusi IPTS (instiitiut Pengajian Tinggi Swasta)
di hari ini kalau tanah 'tersepit' di pinggir gagasan FELDA dijadikan tapak penubuhan
IPTS dan setiap koperasi FELDA diberikan keutamaan memegang sehingga 50% saham lembaga
IPTS yang diwujudkan itu. Bayangkan berapa ramai anak Melayu yang akan tergolong sebagai
cerdik pandai? Bayangkan kejituan idea ini jika dibandingkan dengan kemegahan yang dapat
dirasakan daripada pemergian seorang anak Melayu mengelilingi dunia dengan kapal layar,
ataupun sekumpulan Melayu terjun bebas di Khutub Utara dengan sebuah kereta Wira.
Kerajaan pimpinan Mahathir memang bersalah dalam perkara ini. Mereka hanya memandang
masyarakat FELDA itu sebagai sumber undi mudah untuk pemimpin UMNO. Inilah juga anggapan
MIC terhadap pekerja kaum India di estet.
Demikianlah yang diucapkan oleh Mahathir satu minggu selepas perisitwa Gelita 14. Untuk
melihat keadaan ekonomi negara setakat ini cuba perhatikan angka yang dirakamkan oleh
BSKL pada dua tarikh yang berbeza.
Kalau dilihat angka-angka di atas kita boleh buat bermacam andaian untuk menilai
keadaan BSKL dan keadaan ekonomi negara. Oleh kerana kebanyakan penggerak ekonomi itu
adalah syarikat yang tersenarai di BSKL, kita boleh buat bayangkan betapa ekonomi akan
merudum lagi. Sayang, catatan kita pada 21 April 2000 kurang lengkap kerana masalah
teknikal, tetapi ia memberikan kita satu gambaran betapa Mahathir tidak memahami keadaan
ekonomi negara yang sebenar ataupun memang sudah tidak peduli sangat akan ekonomi negara
kita itu. Di antara 23 Mach, 1996 hinggalah 26 Disember 2000 keadaan angka petunjuk di
BSKl sudah menunjukkan penurunan yang hampir 50%. Ini bererti kecairan di BSKL sudah
turun begitu jauh ke bawah diluar jangkaan kita. Selalunya apabila pasaran dana dan wang
tunai menurun ia adalah pemangkin kepada merudumnya pasaran saham. Kerana itu kita
tidak hairan kenapa peserta Felda tidak mampu senyum selalu masakini.
Kini, Mahathir sedar betapa dia tidak berjaya menaikkan ekonomi negara seperti yang
dijanjikannya. Dia akan terus mencungap laksana ikan yang hidup di air yang kotor dan
kekurangan oksijen. Kita boleh nampak apakah yang menjadi fokus Mahathir masakini. Dia
sedang memberikan fokus utama terhadap menyelamatkan segala perusahan para kroni yang
sedng mencungap juga. Halim Saad dan Tajuddin Ramli sudah pun diselamatkan. Ting Tukang
Batang Penyapu sudah pun diselamatkan juga. Tinggal Vincent Tan, dan beberapa nama
kumpulan KEJAM yang masih dirancangnya.
Apabila Rakyat Kedah Bangkit Menyanggah Mahathir
Kebangkitan orang Kubang Pasu ini memang sudah saya jangka akan berlaku juga. Tidak
payah kita mengapi-apikan mereka lagi, kebangkitan rakyt di Lunas sudah menjadi
penggeraknya. Mahathir dan Syed Razak akan terus tercungap lagi. Sayang, kebangkitan
rakyat Kedah ini tidak dimulakan ketika Menteri Mat Jenin masih lagi berkuasa. Kalau
tidak, alangkah elok kalau ada penunjuk perasaan wanita nanti yang menyiapkan lada
pipisan untuknya? Yang paling menyeronokkan, kebangkitan rakyat Kubang pasu ini ialah usaha mereka itu yang
diatur oleh orang Kubang Pasu sahaja. Tidak perlu orang luar lagi. Tidak perlu dibawa
penduduk luar dalam bas sebagai penyokong hantu. Yang lebih menarik sekali tunjuk
perasaan itu nanti adalah dilakukan di halaman sendiri. Kita mahu lihat tergamakkah
Mahathir mengarahkan polis bersikap ganas kepada pengundinya selama ini?
Menteri Besar Kedah sudah meminta agar para pengundi Kubang Pasu tidak melakukan
demonstrasi itu kerana 'Bernas sudah pun menyelesaikan masalah yang berlaku.' Akhbar The
New Straits Times bertarikh 27 Disember, 2000 ada melaporkan betapa risalah telah
diedarkan meminta para petani berhimpun di hadapan Wisma Darulaman pada hari Jumaat
dan Sabtu membantah penurunan harga padi. Cerita ini menunjukkan betapa orang Melayu
sudah meluat dengan UMNO dan Mahathir. Kisah ini akan mengerakkan satu semangat protes
kalangan para petani di negara ini dan kita boleh menjangkakan Mahathir akan mula
dihantui satu gelombang reformasi rakyat yang pernah saya tulis satu ketika dulu. Inilah
yang saya maksudkan sebagai pergerakan rakyat yang boleh disamakan dengan gerakan pekerja
arang batu di Poland pada satu ketika dulu. Ironinya saya pernah membuat ramalan ini di
dalam siri 'Suasana Lebaran Pencetus Minda' di bulan Syawal tahun yang lalu. Ia akan
tercetus di hari lebaran juga, nampaknya.
Di zaman teknologi IT ini, sepatutnya para petani negara ini tidak perlu bersusah payah
kalau ada tekanan harga terhadap hasil tani mereka. Sudah terlalu banyak negara barat
yang mempunyai rencana stokpail keluaran hasil tani mereka untuk menyerap penurunan
harga yang akan meranapkan taraf hidup mereka. Kerajaan menyerap hasil tani berlebihan
itu tanpa menjejaskan harga pasaran. Stokpail itu diberikan sebagai 'grant' ataupun
dalam bentuk pinjaman kepada negara dunia ketiga. Malangnya semua teknik dan taktik itu
tidak pernah dilaksanakan di negara ini, kerana Mahathir hanya memimpin secara syok-syok
sendiri. Kerajaan Kedah umpamanya lebih berminat membuat muzium padi dan menganjurkan teknik
menanam padi di atas bumbung daripada melakukan rencana terbaik untuk menampan
penurunan harga hasil tani dan memajukan masyarakat petani di negara itu. Menteri Besar
'Mat Jenin' membina kilang sembelihan terbesar di dunia (selepas di Arab Saudi) tetapi
tidak serius melancarkan ladang ternakan untuk menyediakan bahan sembelihan kilang itu.
Dia lebih selesa menaja peraduan lembu cantik. Nasib baik tidak ditajanya peraduan
mencabut janggut kambing dan mengukur panjanganya ekor lembu serta mengajak penganjur
'Malaysia Book Of Records' menyertainya.
Kini, Mahathir dan pemimpin UMNO harus sedar, gelombang yang dimulakan oleh rakyat
marhaen adalah lebih berbisa daripada segala drama dan sandiwara yang ditaja oleh
Mahathir seperti Al-Maunah, Episod Sipadan, Suqui dan GPMS serta Pemuda UMNO. Gelombang
rakyat adalah laksana air yang pecah daripada ampangan. Ia bermula secara sedikit demi
sedikit, tetapi impaknya akan menghancurkan ampangan itu akhirnya. Kalau pihak FRU dan
Polis dilaksanakan seperti ampangan itu, kita menjangkakan pasukan itu pun akhirnya akan
menyebelahi gelombang rakyat itu juga.
Sama ada petani Kedah akan berdemo esok hari atau pun tidak, adalah satu persoalan lain.
Penyibaran risalah mengenainya seperti yang disebut oleh Menteri Besar Kedah adalah satu
tanda bahawa rakyat marhaen sudah bangkit secara berpasukan. Satu ketika dulu rakyat
ibukota bangkit untuk menyerahkan memorandum kepada YDP Agong, tetapi tidak ada pun
kesannya kerana masyarakat Raja-Raja Melayu sudah menyimpang jauh daripada peranan mereka
yang sebenar. Mereka lupa kebangkitan rakyat marhaen ketika British merancang Malayan
Union dulu. Inilah golongan yang tidak tahu malu dan tidak mengenang jasa rakyatanya.
Jika tidak, masakan ada cucu-cucu raja yang berkeliaran di Kelab Malam di bulan puasa?
Setahun yang lalu saya sudah menulis mengenai kebangkitan rakyat marhaen dan saya pernah
berkata kalau gelombang tentangan rakyat meledak, tidak ada sesiapa yang mampu
menahannya. Selama ini Mahahtir cuba memecah-belahkan semua kaum di negara ini. Kemudian
diperibadikannya semua institusi kerajaan yang ada. Dia berjaya membuatkan pihak polis
menjadi musuh rakyat kerana mahukan polis memihak kepadanya. Tetapi dia lupa polis
adalah sebahagian rakyat juga. Rakyat marhaen memang marah dengan pihak polis, Tetapi, sabar dulu!!! Polis Malaysia
adalah warga negara Malaysia. Mereka adalah pasukan beruniform yang mengikut perintah.
Kalau anda tidak mampu hidup di Kuala Lumpur ataupun bandar besar dengan gaji bersih
(take home pay) sekitar RM500 apakah anda fikir anggota polis itu mampu hidup selesa?
Kenapakah anggota polis menerima gaji yang rendah, seperti juga anggota bomba, kastam dan
imigresen? Kerana itulah muslihat si diktator tua agar mereka ini menjadi satu golongan
yang boleh dirobotkan. Lihat dulu kepada anggota polis di Lunas. Ramai pegawai kanan
mereka yang terhimpit kerana menjalankan kerja yang mengikut peraturan. Ada pegawainya
yang ditukarkan dengan notis 24 jam dan ada yang dihantar ke tempat yang menyukarkan
hidup mereka. Semua itu gara-gara menjalankan tugas ketika bas pengangkut pengundi hantu
datang membantu BN di Lunas. Proses putaran minda pihak polis sudah berjalan lama di negara ini. Budaya korupsi
seperti yang ditonjolkan oleh program TV mengenai peranan polis Amerika adalah salah
satu caranya. Masyarakat diajar 'menyuap' anggota polis kalau ada masalah kecil-kecil.
'Hulur-menghulur' menjadi satu budaya untuk menyelesaikan masalah dengan polis. Kalau
kereta anda kerosakan di jalanraya kos khidmat kereta tarik (tow truck) melebihi RM200,
untuk tarik kereta itu ke garaj. Si penarik kata: "mesti ada perkiraan di pihak tertentu
di balai..!!." Inilah sebabnya kita tidak boleh menarik sendiri "kerana tidak ada permit
khas." Penderitaan anggota polis berpangkat rendah harus memalukan orang Melayu. Bayangkan
perasaan mereka melihat betapa mewahnya pemimpin negara yang mereka lindungi setiap
masa? Interaksi di antara polis dan rakyat jelata melalui pemimpin Barisan Alternatif
perlu diperbetulkan kerana inilah jurusan yang paling lemah sekali dalam proses rakyat
mahu mengganyang Mahathir. Rakyat mesti ingat kita berperang dengan Mahathir Mohammad dan
kepimpinannya. Orang awam mudah menuduh pegawai polis korup, tetapi berapa ramaikah
pegawai polis yang memilikki kereta mewah seperti 'BMW' seperti yang digunakan oleh
pegawai JPJ ataupun pemimpin Pemuda UMNO? Berapa ramaikah orang kita yang sedar bahawa
gaji bulanan seorang CPO (Ketua Polis Negeri) adalah lebih tinggi daripada gaji bulanan
seorang menteri besar tetapi bayangkan bagaimana seorang Menteri Besar mampu melarikan
wang sekitar 2.4 juta ringgit ke luar negara?
Saya dapat menghidu kemarahan rakyat marhaen selepas episod Jalan Kebun. Tetapi
percayalah, masih ramai pegawai polis yang lebih berpihak kepada rakyat marhaen. Masih
ramai pegawai polis di Bukit Aman yang berpangkat tinggi dan berpendidikan baik-baik yang
masih memakai Proton Saga dan Proton Wira sebagai kereta peribadi mereka. Golongan ini
enggan terbabit dengan rasuah sehinggakan sanggup tidak dinaikkan pangkat kerana
ketaqwaan dan kesedaran terhadap keadaan bangsa yang dihimpit oleh diktator tua.
Aidilfitri baru sahaja menghembuskan bayunya. Takbir yang berulang masih lagi bergema.
Rakyat marhaen akan terus keliru dengan segala tipu helah, sandiwara dan propaganda yang
disogokkan. Terpulanglah kepada semua warga muda negara ini memahami keadaan sebenarnya
dan bertahan dengan penuh ketaqwaan untuk menyelamatkan negara daripada terus ditekan dan
dihina oleh satu kumpulan bajingan yang berpusat di Putrajaya, yang bukan kepalang
bahayanya. -marhaintua-
|