Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 31
[Apa yang jelas Mahathir gemar memutar kata - dia lakukan putaran
itu tidak mengira waktu, baik dai hari ulangtahun merdeka, semasa
amanat krismas, ataupun di bulan puasa. Malangnya alam ini tidak
dapat berputar mengikut rentaknya. Tajuddin Ramli terputar ke bawah
dan cuba diputarkan keatas. Begitu juga Vincent Tan dan Halim Saad.
Malangnya, bila itu berlaku nasib rakyat akan terputar ke bawah.
Yang menarik dia amat ligat berputar sejak akhir-akhir ini - dan
ia dilakukan dengan amat tergesa-gesa sekali sehingga isu lapuk Suqui
yang diangguk sendiri oleh BN diterbalikkan kembali dan ramai kroni
diselamatkan sebelum akhir tahun ini. Apakah itu bermakna bateri dalam
jantungnya sudah memberi isyarat untuk berhenti? - Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 31 : YANG TERJERAT DAN TERJERUT
Yang Terjerat Dan Terjerut
Walaupun dia baru sahaja menyambut ulangtahun harijadinya, Diktator Mahathir
masih berperangai dajjal lagi. Kali ini, dia bukan sahaja berbohong kepada
rakyatnya tetapi juga telah menghina rakyat jelata. Rakyat yang
mengharapkannya berubah perangai dan berlembut hati, semacam tidak percaya
bahawa si diktator tua ini sanggup mengekalkan perangai hati batunya.
Pada 22 Disember 2000, rakyat dikejutkan dengan berita tertangkapnya
beberapa pemimpin Barisan Alternatif untuk dibawa ke Kulim dan dituduh di
bawah Seksyen 147 Penal Code, kerana merusuh. Sebelum itu Setiausaha Pemuda
Keadilan, Zamil Ibrahim dan juga tiga orang ahli PAS telah ditangkap
pada Khamis 21 Disember, atas tuduhan yang sama. Semalam, mereka (Tian
Chua, Roslan Kassim, N Gopalakrishna dan mungkin ada satu dua nama lagi yang
tidak disebutkn di sini) telah dikenakan tuduhan itu untuk dibicarakan
pada April 2001.
Mahathir telah merakamkan ucapan Hari Krismas dengan berkata:
"Sekiranya ada tanda-tanda atau cubaan mana-mana pihak untuk
merosakkan keharmonian antara kaum kita dengan mempermainkan isu-isu
sensitif seperti agama dan kaum, kerajaan akan mengambil tindakan tegas
terhadap mereka mengikut undang-undang sedia ada. Kerajaan memandang
serius terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan isu-isu sensitif
untuk kepentingan kaum atau untuk mendapat pengaruh."
Petikan sebahagian ucapan Mahathir ini memberikan jawapan kenapa Hj Roslan
Kassim dan kawan-kawannya ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah Kulim.
Penangkapan itu mesti mendahului rakaman ucapannya itu untuk memberi
kekuatan kepada tajuk perutusannya.
Penangkapan dengan tuduhan merusuh dan disusul oleh keputusan majistret
Noorhisham Ismail menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 hingga 19 April,
2001 menunjukkan betapa hinanya rakyat Malaysia ini dibuat oleh Mahathir dan
jentera gestaponya. Alangkah hinanya rakyat dengan perbuatan bertaraf
bangsat ini. Minggu ini merupakan minggu terakhir sebelum seluruh dunia
meraikan tiga hari lebaran. Ia bermula dengan Hari Krismas disusuli Hari
Raya dan diakhiri oleh Hari Tahun Baru. Mahathir tergamak memerintahkan
penangkapan itu dan menghadapkan mereka ke mahkamah. Kemudian mereka yang
ditangkap ditahan dulu dalam lokap untuk dibawa ke Kulim dan diperintahkan
untuk dibicarakan empat bulan lagi pada tahun hadapan.
Dendam Seorang Diktator Tua
Tindak-tanduk Mahathir mengokestrakan kerja-kerja jijik pihak polis dan juga
mahkamah menunjukkan betapa bangsatnya otak yang ada pada si tua itu dan
segala penyokongnya terutama sekali ahli Majlis Tertinggi UMNO. Sekaligus,
ucapan dan perutusan Mahathir pada hari Krismas itu tidak ada sebarang makna
kerana tidak ada serinya lagi. Kalau Mahathir ada berotak sedikit tentu
dia faham, bahawa keraian sesuatu hari lebaran itu bermula pada hari-hari
yang menghampiri tarikh hari tersebut dan tidak semestinya pada hari yang
telah ditetapkan. Nampak sangat Mahathir sudah terlampau kurang ajar kepada
rakyat Malaysia. Nampak sangat dia terlalu biadap kepada generasi muda di
negara ini.
Orang Lunas tentu akan faham bahawa segala tuduhan yang diarahkan kepada
pemimpin muda Barisan Alternatif adalah satu tuduhan palsu untuk menutup
segala kerja kotor Barisan Nasional dalam membawa pengundi hantu. Malahan
ramai ahli UMNO yang berada di Lunas ketika pilihanraya kecil dulu merasa
malu apabila melihatkan rombongan bas yang membawa pengundi hantu tersebut.
Ramai di antara mereka yang tidak percaya dengan cerita itu selama ini
menjadi terkejut melihatkan perkara itu berlaku di hadapan mata mereka
sendiri. Kerana itu ramai yang menghilangkan diri selepas sembahyang zuhur
di masjid pada hari itu. Mereka keluar daripada Lunas dengan perasaan malu
yang amat sangat. Tetapi kerana mahu menutup malu mereka hanya menuduh
salah strategi berkempen dan salah meletakkan calon sebagai alasan
kekalahan di situ. Yang lebih berani bersuara, menuduh kekalahan itu
disebabkan penggunaan gambar seorang diktator tua yang lebih banyak di
kawasan kempen itu daripada gambar calon yang bertanding sebenarnya.
Semua alasan kekalahan sudah diketahui oleh Mahathir dan semua ini tidak
diterimanya termasuklah kegagalannya menetapi janji untuk turun padang
berjumpa para pengundi. Namun, Mahathir masih tidak serik lagi. Dia tidak
mampu menerima hakikatnya bahawa dalam pilihanraya mesti ada calon yang
menang dan mesti ada calon yang tumbang. Dia membalas dendam mempertahankan
kekalahan itu dengan berucap ke seluruh negara sempena rakyat meraikah Cuti
Krismas. Untuk memperkuatkan INTIPATI UCAPANNYA itu dia mahukan Roslan
Kassim dan sahabatnya ditangkap dan didera untuk dibicarakan atas kesalahan
yang tidak ada.
Alangkah lucunya perkara ini? Orang yang membuat laporan kepada polis
mengenai pengundi hantu ditangkap dan dituduh merusuh. Orang yang
menengkari Akta Pilihanraya tidak ditangkap untuk dituduh. Orang yang
merancang kemunculan semua pengundi hantu langsung tidak disentuh. Siapakah
yang mahu ditipu oleh Mahathir lagi? Apakah esok lusa tidak ada wakil rakyat
yang akan mati dan mencetuskan pilihanraya kecil terkini?
Penangkapan pemimpin Barisan Alternatif adalah satu penghinaan terhadap
rakyat Malaysia yang cintakan negaranya. Sepatutnya hari-hari menjelang
upacara keagamaan seperti Krismas dan Aidifithri didahului oleh pengumuman
kerajaan akan nama-nama banduan yang dibebaskan atas dasar pengampunan
raja-raja di setiap negeri. Sekaligus ini memberikan semangat kesetiaan
rakyat terhadap negaranya. Bukan semua orang yang dihukum penjara itu
benar-benar berdosa kerana hukuman itu. Ada yang terpenjara kerana keadaan
seperti panas-baran ataupun kehilangan pertimbangan ketika terjadinya
sesuatu kesalahan.
Lagipun masih ramai pencuri mega yang besar pangkat dan rumahnya yang masih
bebas di negara ini. Masih ramai pembunuh yang bebas; tidak ditangkap
kerana terlibat dengan pengedaran dadah dan lesen terbang. Begitu juga
dengan pemimpin politik yang rasuahnya besar-besar dan terus hidup
senang-lenang mengurut temboloknya. Inilah orang yang sepatutnya berada
dalam penjara dan bukannya rakyat marhaen yang daif yang menjadi mangsa
keadaan semata-mata. Rakyat marhaen yang tergolong seperti ini patut
diberikan keampunan setiap tahun dan dibebaskan selepas bertaubat agar
dapat menyambung kembali hidup merempat seperti sedia kala. Adalah
menyedihkan apabila kita membincangkan perkara ini dan memikirkan betapa
seorang diktator tua tidak pernah memikirkan nasib rakyatnya walaupun mereka
berada di dalam penjara.
Apa boleh buat, sudah nasib kita berperdana-menterikan seorang bangsat!!!
Langsung tidak ada ciri-ciri kemanusiaan dalam jiwanya untuk memikirkan
rakyat marhaen dan keadaan hidup mereka, terutama sekali menjelang hari
lebaran.
Pemulihan MAS Untuk Siapa
Kita diminta menulis sedikit mengenai pembelian saham MAS oleh kerajaan.
Ramai pemimpin negara berkata bahawa pembelian saham Tajuddin Ramli bukannya
satu 'bailout'. Pada 23.12.00, pelbagai rakaman yang dibuat mengenai
pendapat Daim Zainunddin, Mustapha Yakob dan juga beberapa pemimpin politik
BN mengenai pembelian itu. Semua setuju bahawa pembelian saham dengan
kadar RM8 adalah kena pada harganya kerana harga saham MAS sebenar mesti
lebih daripada RM3.60 seperti yang diniagakan sebelum pasaran ditutup.
Saya akan tulis perkara ini secara ringkas sahaja dan tidak akan
mengungkitnya lagi di masa hadapan:
- Jual-beli saham mengikut harga yang dipersetujui oleh penjual dan pembeli
memang dibenarkan, di mana juga. Tetapi ada juga urusan seperti itu yang
boleh dipertikaikan kalau difikirkan menggugat keselamatan negara;
- Kerajaan membeli dengan harga RM8 sedangkan ia boleh membelinya di
pasaran terbuka kurang daripada setengah kadar itu. Inilah satu
penyelewengan kerana wang yang digunakan adalah wang rakyat. Kalau kerajaan
menawarkan harga itu kepada Tajuddin Ramli kerajaan harus juga menawarkannya
kepada rakyat jelata yang mahu menjual pegangan mereka;
- Tajuddin ada berkata "biarlah Allah menilainya. Itulah penilaian
sebaiknya." Itu cakap seorang yang angkuh tetapi cuba bersalutkan sesuatu
yang meruntun perasaan. Kita tahu bahawa MAS mannggung banyak kerugian
kerana banyak sangat campurtangan kerajaan. Malahan MAS kerap digunakan
laksana lembu pawah oleh Mahathir. Kita mahu rakamkan pendapat orang-orang
yang berkaitan dengan industri pengangkutan udara di negara ini terutama
sekali mereka yang berkhidmat dengan MAS. Saya terjemahkan laporan yang
dibuat oleh M. Krishnamoorthy dalam 'The Star' muka surat 3 bertarikh
23.12.00:
"Kumpulan Pekerja MAS Mengalukan Pembelian-balik Kerajaan"
(MAS Employee Groups Welcome Buyback by Govt.)
"Empat kumpulan pekerja Malaysia Airlines yang mewakili semua tenaga
pekerja telah mengalukan keputusan kerajaan membeli-balik 29.09% saham
Tan Sri Tajuddin dan melantik seorang ketua ekskutif (CEO) yang baru.
MASEAU (The Malaysia Airlines System Employees Union) yang mempunyai
keahlian terbesar seramai lebih 8,000 ahli, MASMA (Malaysia Airlines System
Managers Association), MESA (Malaysia Airlines Executive Staff Association),
dan MAPA (Malaysian Airlines Pilot Association) berpendapat bahawa kerajaan
telah bertindak bijak.
Presiden MASEU, Alias Aziz menyarankan kerajaan memilih orang yang
berpengalaman dalam industri pengangkutan udara untuk memulihkan kerugian
yang ditanggung sejak empat tahun yang lalu. "Ketua yang baru itu mestilah
mampu berganding bahu dengan kakitangan dan juga union."
Setiausaha agung MASAEU, Malik Arif berkata; Tajuddin Ramli tidak berjaya
mewujudkan satu suasana kerja yang selesa dan mudah disenangi oleh semua
kumpulan pekerja. "CEO yang baru mesti memahami semangat pekerja dan moral
yang sentiasa dapat menjamin kejayaan syarikat dan bukannya seperti yang
berlaku sejak beberapa tahun yang lampau."
Presiden MASMA, Shulhameed Marican pula berkata; "CEO yang baru nanti
hendaklah dipilih antara kakitangan yang ada. Orang seperti ini mampu
memahami betapa kompleksnya industri penerbangan itu. Lagipun seorang CEO
itu mestilah seorang yang mesra dan mempunyai pengetahuan yang luas
berkaitan industri penerbangan."
Presiden MESA, Mohamad Hussain Marican pula berkata sesiapa yang dipilih
oleh kerajaan untuk memimpin MAS hendaklah berupaya membawa MAS kembali
kepada jurusan perniagaan asal; memberikan khidmat pengangkutan udara
yang selamat dan efisien. Seterusnya beliau berkata; "di beberapa tahun
kebelakangan, kepelbagaian yang agresif dan perkembangan yang tidak
terkawal dengan baik telah melempahkan sumber MAS yang ada. MAS sepatutnya
tidak melakukan bisnes yang berkaitan dengan perniagaan pihak ketiga dengan
mempertaruhkan kewibawaan pengangkutan udara negara.
Presiden MAPA, Kapten Datuk Mohd Johan Mohd Yusuf mengalu-alukan tidakan
kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyatnya. Dia memberi jaminan bahawa
1,000 pilot udara akan memberikan kerjasama kepada CEO yang baru itu. "MAS
mempunyai kakitangan yang taat setia dan mampu menerima arahan yang dilakar
oleh Kerajaan."
Lihatlah semua ketua union pekerja itu adalah manusia profesional yang
mewakili ahli persatuan sekerja mereka. Itulah cakap orang yang ada otak
dan berfikir untuk kebaikan negara dan bangsanya. Mereka cakap berlapik dan
berhemah. Di sebalik semua itu mereka tahu bahawa Tajuddin memang jarang
sangat memberikan tumpuan kepada perjalanan MAS. Seperti juga yang berlaku
kepada Celcom, sebuah syarikat telefon bimbit terbesar di negara ini, pada
satu ketika dulu. Syarikat itu pun merudum sebaik sahaja Rosli Man keluar
daripada situ.
Sayang, Tajuddin terlalu terikut-ikutkan kegilaan Mahathir dan kerakusan
Daim Zainuddin. Seorang anak Melayu yang pintar dan berhemah tinggi,
akhirnya hancur apabila masuk satu kandang yang dipenuhi manusia berhati
syaitan.
Muslihat Putar Alam
Sekali pandang pembelian saham-saham MAS itu nampak macam satu urusan niaga
yang biasa, di mana ada tipu helahnya. Tetapi, dalam bidang 'Financial
Engineering' terlalu banyak muslihat yang tersorok kerana sengaja:
- Kerajaan terpaksa membeli saham pegangan Tajuddin dengan harga RM8
ataupun membeli di pasaran, sekitar RM3.60. Kalau kita baca penjelasan
MGG Pillai (Sila baca: Bila Kroni Jual Pegangannya) dalam kisah pembelian
awal saham MAS oleh MHS satu ketika dulu, Tajuddin telah membuat satu
tawaran secara 'swapping' satu saham MHS untuk dua saham MAS. Kerana itu
dilakukan satu pacuan dan henyakan di mana saham MHS naik hingga menjadi
RM14 dan saham MAS merudum menjadi RM7. Berlakulah satu imbangan yang
mudah dikira. Kemudian saham MHS diperbesarkan lagi dengan keluaran MHS-W.
Inipun bertujuan untuk mendapatkan bantuan pembeli saham MHS membantu
membayar hutang yang bertapuk. Usaha itu tidak juga membantu masalah
kewangan Tajuddin, oleh sebab pelbagai masalah yang hanya diketahui oleh
Tajuddin sendiri. Mungkin apabila Mahathir sudah mati dan Daim sudah lama
pergi, Tajuddin akan menulis satu 'memoir' menceritakan kisah yang
sebenanarnya. Dia pasti melakukannya untuk menutup malu si anak-cucu.
- Kerajaan terpaksa membeli pegangan Tajuddin dengan harga RM8 untuk
menyelamatkan maruah semua institusi kerajaan yang masih menyimpan saham MAS
itu, sebelum harga saham terus dihenyak ke bawah. Satu ketika dulu saham
MAS mempunyai harga yang baik dan dianggap sebagai satu pegangan yang yang
disokong oleh institusi kerajaan. Sebagai contohnya pada tahun 1998 harga
tertinggi saham MAS ialah 4.78 sen (harga terendah sekitar 1.80). Sejak itu
harga terus merudum kerana masyarakat pelabur tahu hutang yang ditanggung
oleh Tajuddin.
- Tindakan kerajaan membeli saham Tajuddin dengan harga begitu tinggi
adalah usaha untuk mewujudkan satu 'benchmark value' yakni nilai ukuran
sebagai bahan rujukan kalau ada perbincangan di antara kerajaan dengan
pembeli asing. Nilai saham tidak semestinya berasaskan nilai sebenar. Ada
unsur 'goodwill' dan nilai intrinsik yang lain yang mahu diambil kira. Inilah
tujuan kerajaan memberikan harga demikian. Lagipun, RM 8 apabila
ditukarkan kepada US Dollar mempunyai nilai yang amat kecil jika
dibandingkan dengan nilai saham di luar negara. Tetapi di sinilah
bermulanya satu masalah lain pula. Tindakan kerajaan membeli dengan harga
yang tinggi sedangkan harga di pasaran terbuka masih jauh ke bawah, ia tidak
menghalang sesiapa (termasuk Tajuddin sendiri) membeli saham itu sekitar
RM3.70 secara berdikit dan melalui proksi. Pembelian boleh dilakukan oleh
orang tempatan bagi dirinya ataupun bagi pembeli luar negara secara proksi.
Jika ini berlaku kerajaan akan berada dalam satu posisi yang lemah kerana
akan dimanipulasi oleh orang yang berduit. Di waktu yang sama kerajaan
akan terus berada di satu posisi yang tertekan.
- Apa juga alasan yang dikemukan oleh kerajaan (seperti yang disiarkan
dalam wawancara utusan dengan Mustapha Yakob) pemegang saham MAS di
kalangan pelabur runcit akan merasa marah dan mungkin melepaskan pegangan
mereka secara kumpulan hingga membuatkan nilai saham itu terus jatuh dan
mencetuskan 'contagion effect' ke atas saham syarikat lain yang mempunyai
masalah hutang yang serupa.
- Kita ingin mengetahui bagaimanakah kerajaan membeli saham pegangan
Tajudin itu? Adakah dibayar secara tunai ataupun secara pemberian
'prommisory notes'. Kalau dibayar dengan tunai, bererti Tajuddin mendapat
durian runtuh sempena cuti Krismas. Tetapi kalau pembayaran dibuat dengan
'promissory notes', nilai sebenarnya perlu dirundingkan oleh Tajuddin dengan
pihak bank. Bank mungkin mahukan premium tertentu dalam menerima
pembayaran berbentuk kertas cagaran itu. Tajuddin kini boleh membeli segala
saham MAS di pasaran terbuka secara proksi. Adakah sebarang perjanjian
menegah Tajuddin melakukannya?
- Kita menjangkakan kaedah membantu Tajuddin itu adalah satu usaha
kerajaan untuk mengambil-alih semua syarikat besar yang bermasalah.
Semuanya adalah syarikat kroni dan sukusakat Mahathir ataupun Daim. Semua
'bailout' akan dibuat begitu licik sekali agar kroni yang bermasalah itu
tidak mengalamai kerugian, malahan menguntungkannya. Kita boleh jangkakan
Mahathir mempelopori kerja seperti sebelum berakhirnya bulan Januari
2001.
- Seperti yang pernah saya tulis dulu, pasaran saham akan terus menjunam
mengikut rentak pasaran di New York. Trend pasaran New York setiap
lima tahun memang begitu terutama sekali selepas diumumkan keputusan
pilihanraya presiden. Keadaan ini akan lebih mengancam kerana perlantikan
George Bush sudah dianggap sebagai perlantikan 'accidental president'.
Sepatutnya kelemahan di New York boleh memberi kekuatan di pasaran saham
BSKL. Tetapi disebabkan teknik membalon harta rakyat secara terang-terangan
akan berterusan, kita boleh jangkakan pasaran BSKL akan terus jatuh untuk
beberapa ketika sehingga satu masa ia mampu meyakinkan pelabur runcit untuk
masuk pasaran semula.
Inflasi Datang Menjelma
Kelembapan BSKl dijangka berterusan sebagai protes kaum Cina secara
terang-terangan terhadap Mahathir bin Mohammad. Ia tidak ada kena mengena
dengan keadaan isu Suqui ataupun Sekolah Wawasan ataupun JE. Kelembapan ini
adalah lebih cenderung disebabkan banyak faktor lain:
- Keadaan Pemikiran Mahathir dan Sikap Kepimpinannya
Mahathir sudah dianggap sebagai insan yang tidak relevan kerana tidak
lagi berjiwa rakyat. Ini terbayang apabila dia mengizinkan penangkapan Tian
Chua pada pukul 2.45 pagi, di pejabat beliau dan menuduhnya merancang
rusuhan. Masyarakat tahu apa yang sebenarnya. Tuduhan kepada Tian Chua dan
beberapa pemimpin BA yang lain menunjukkan bahawa Mahathir sudah gila.
Inilah yang menakutkan pelabur di pasaran saham. Apa gunanya melabur
sekarang kalau esok dan lusa harga saham itu boleh jatuh dua kali ganda?
- Setiap kali Mahathir bercerita mengenai huru-hara dia sebenarnya membawa
mesej yang negatif mengenai Malaysia. Siapakah yang mahu melabur kalau
negara akan huru-hara? Kalau Mahathir fikir dia mampu menyekat huru-hara
yang dibayangkannya itu dengan menangkap pemimpin rakyat seperti yang
berlaku pada "Ops Lalang", dia akan membuat satu kesilapan besar lagi.
Rakyat sudah pun faham bahawa orang yang sepatutnya ditangkap ialah Mahathir
bin Mohammad dan diikuti oleh semua penyangak yang menyokongnya secara tipu
muslihat. Ini termasuk Rais Yatim, Senator Zam Mamak Maidin, Dolah Komunis,
Yahaya Ismail dan beberapa lagi penulis yang memutar-belitkan fakta di
akhbar kepunyaan kerajaan. Begitu juga dengan pegawai polis yang durjana
serta peguam dan hakim yang sanggup melakukan kerja hina. Kisah negara akan
huru-hara sudah lama dicetusakan oleh Mahathir sejak dua tahun yang lalu.
Dialah yang mengumumkan penggunaan bom molotov dan paling terbaru dialah
yang merancang agar rakyat percaya betapa pihak pembangkang akan
melancarkan 'intifada'. Bagaimana pula dengan kisah Al-Maunah? Bagaimana
pula dengan kisah pengeboman kuil dan kilang arak? Adakah sesiapa terjumpa
gambar barang bukti serpihan bom yang meledak di kuil dan kilang itu?
Bagimana dengan hasutan bahawa Suqui adalah sealiran dengan Al Maunah dan
penderhaka. Bagimana dengan tuduhannya bahawa orang Cina tidak tahu
mengenang budinya kerana menyelamatkan ekonomi negara?
- Kisah memburukkan negara sudah mencetuskan satu fenomena yang amat
ditakuti oleh rakyat marhaen. Ia adalah mengenai kenaikan harga barang dan
kos perkhidmatan. Walaupun kerajaan berusaha untuk menyekat kenaikan kos
makanan dan perkhidmatan, usaha itu tidak akan berjaya. Dunia perniagaan
negara dipegang oleh orang Cina dan orang mendatang. Mereka akan terus
menaikkan harga sebagai satu insurans terhadap risiko akan berlakunya
huru-hara. Mahathir dan menteri kabinetnya tidak berupaya menyekat kenaikan
harga barangan disebabkan nilai ringgit yang semakin merudum walaupun
tukaran matawang ditetapkan harganya. Dalam teori kewangan, apabila sesebuah
negara itu membekukan kadar tukaran matawang negara untuk tempoh yang lama,
akan berlaku aktibiti pasaran gelap di mana kadar pertukarannya akan
melemahkan lagi kuasa tukaran bebasnya. Kalau teori matawang itu dikaji
lebih mendalam lagi, kesan pembekuan lama itu akan mencetuskan inflasi di
luar jangkaan strategi negara itu sendiri.
- Semua syarikat asing yang besar-besar sedar akan munculnya fenomena
itu. Apabila mereka kaitkan fenomena itu dengan gelagat dan kelakuan
Mahathir, sudah wujud satu suasana panik apakah yang akan jadi kalau
Mahathir kehilangan kuasa? Di kalangan syarikat besar-besar kepunyaan kroni
yang memang tidak pintar mengemudikan syarikat mereka, bebanan hutang
bertapuk menyebabkan mereka cuba merayu dan menangis agar Mahathir terus
membantu. Itu yang berlaku kepada Tan Sri Tauke Batang Penyapu. Dia
merupakan pakar Langkawi dan juga pakar pembina Empangan Terbesar di
Malaysia. Semua itu tidak menjadi, termasuk projek pengangkutan aliran
ringan di ibukota. Kini dia diberikan pula projek membina pangkalan
kepalselam di Sepanggar sebagi usaha terus menyokong hingga membawa
rebahnya.
- Usaha Mahathir menyokong para kroni sebenarnya menggugat kestabilan
sistem perbankan. Setiap kali bank membantu para kroni itu, bank
mengeluarkan wang tunai. Tetapi bentuk pembayaran balik daripada mereka
tidak semestinya berbentuk wang tunai. Ini bererti bank pun mengalami
masalah kecairan (liquidity) yang mendesak bank untuk mengetatkan dasar
pinjamannya kepada orang kecil-kecilan. Pihak bank tidak mudah menuntut
hutang daripada para kroni kerana masalah protokol. Itu sebabanya Bank
Bumiputra boleh muflis sebanyak empat kali, sehinggakan sebuah bank kecil
yang berhutang besar kepadanya mampu membeli bank itu apabila digabungkan.
Ironisnya segala jerung yang memminjam daripada Bank Bumiputra dulu tidak
pernah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman muflis.
- Inflasi sedang menghenyak Malaysia. Kerana itu perkataan 'inflasi'
diharamkan di media perdana. Rencana mengenai inflasi tidak pun dibenarkan.
Tetapi, sampai bila Mahathir mahu menipu rakyatnya? Dia cuba melakukan
beberapa perubahan kecil untuk menyerap serangan inflasi yang datang
menggila. Tetapi, orangnya juga yang memacu inflasi itu kerana kerakusan.
Bagaimanakah kilang padi boleh menyimpan stokpail beras? Inilah yang
menjejaskan harga beras tempatan dan menghenyak petani yang kebanyakannya
orang Melayu. Apabila harga padi turun, kuasa membeli daripada hasil padi
itu pun menjadi kurang? Para penanam padi merasa kehidupan yang tertekan
disebabkan serangan inflasi. Setiap kali mereka menerima pendapatan baru
sebahagian besar digunakan untuk menutup hutang lama. Kesan inflasi
membuatkan mereka menjadi mangsa yang tersiksa hidupnya untuk satu tempoh
yang panjang. Begitu juga dengan peneroka tanah pertanian. Harga komoditi
yang menurun terus menghimpit kehidupan sehingga ramai anak peneroka
terpaksa membantutkan pelajaran mereka di IPTA dan IPTS disebabkan perlu
bekerja membantu ibubapa yang memerlukan bantuan.
- Untuk membantu para kroni yang mencungap, Mahathir dan kumpulan
bajingannya terpaksa merencana agenda besar untuk melencongkan perhatian
rakyat. Dia tidak dapat terus menyelamatkan para kroni kalau rakyat asyik
diasak oleh inflasi. Perlu ada beberapa projek besar melekakan rakyat. Maka
dicetuskan kisah huru-hara dan alat yang paling baik untuk meyakinkan rakyat
mengenai huru-hara ini ialah isu hak keistimewaan Melayu. Secara tidak
langsung memo kumpulan Suqui merupakan pucuk dicita ulam yang mendatang.
Tetapi, masalah Suqui tidak boleh diamanahkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO
lagi kerana mereka berkait rapat dengan alam perniagaan yang membabitkan
peniaga Cina sebagai proksi. Alat yang paling baik ialah GPMS dan seorang
ketuanya yang biol dan bengong. GPMS dikatakan mempunyai keahlian 100,000
orang. Fuuh!..ramainya. Tetapi, macam mana pula para pelajar dibabitkan
dengan politik? Kalau sudah ada 100,000 ahli kenapa mahu ditubuhkan pula
Gabungan Suara Melayu dan dilancarkan pula kempen penubuhan itu di seluruh
negara?
- Di tahap awalan, Suhaimi memberi kata dua kepada Suqui agar minta maaf
kepada orang Melayu dan tarik balik tuntutan mereka. Tetapi tuntutan Suqui
telah diterima secara prinsipnya oleh Mahathir sebelum pemilu 1999 dulu.
Kenapa disuruh tarik balik kalau Mahathir sudah terima secara prinsipnya?
Sebahagian besar tuntutan Suqui itu memang dituntut oleh rakyat negara ini
terutama sekali orang Melayu, tidak mesti orang Cina sahaja. Pada asasnya
itulah sebahagian tuntutan yang dikemukakan oleh Ezam kepada Yang Dipertuan
Agong hingga membabitkan pancutan air asid ke atas orang yang tidak berdosa.
Kisah menyentuh hak keistimewaan orang Melayu itu memang boleh dibincangkan
kerana kita pun mahu tahu sampai bila keistimewaan itu akan berlanjutan. DEB
(Dasar Ekonomi Bumiputra dan Melayu) adalah satu bentuk keistimewaan yang
dilanjutkan tempoh pupusnya. Ia tidak berjaya memberi nikmat kepada rakyat
marhaen. Selama ini ia diberikan khusus kepada anak-anak dan para kroni dan
golongan Super Bumiputra seperti Vincent Tan, Ting, YTL, Ananda, Arumugam,
Yeo dan Yeh dan kumpulan bukan Melayu yang saya kategorikan sebagai KEJAM
(Kelab Elit Jin Alam Mahathir)
- Kini, Pemuda UMNO mahu berdialog dengan Suqui. Tetapi ramai yang tidak
suka perkara itu berlaku terutama sekali orang Utusan Melayu dan Dolah
Komunis. Apa salahnya mereka berdialog kalau kita sentiasa berdebat di
parlimen selama ini tanpa bertumbuk, apakah berdialog itu akan merosakkan
nama Melayu? Kita tahu apabila Suqui dan Pemuda UMNO berdialog ia akan
membuka pekong orang UMNO dan BN. Begitu juga dengan kisah debat Mahfuz Omar
dan Hisyamuddin Husin. Dolah Komunis dan Utusan Melayu pun tidak suka juga.
Kenapa? Apa muslihatnya? Apa juga majlis dialog ataupun debat yang akan
diadakan bererti segala pekong UMNO dan BN sejak 20 tahun yang lalu akan
terbongkar. Suqui seperti juga beberapa penulis di laman internet mempunyai
banyak bukti pengelewengan Mahathir dan para kroninya. Senarai orang UMNO
yang berhutang di Bank Bumiputra dan tidak membayarnya sudah cukup dijadikan
satu isu untuk satu bulan lamanya. Bagaimana pula kisah Dollah Komunis yang
didakwa ketika menjadi pengerusi sebuah institusi perumahan kerajaan dan
dituduh pecah amanah ? Beliau dibebaskan kerana siapa? Kemudian beliau
diberikan status duta di Amerika oleh siapa dan kerana apa? Kisah ini pun
kalau dibentangkan oleh Suqui boleh membuat seseorang itu jatuh malu. Itu
pun kalau dia tahu malu.
Bagaimana pula cerita purba ketika mendiang Tun Razak diugut dengan gambar
menunjukkan dia diurut oleh seorang Tengku Putri, sedangkan gambar itu
adalah bikinan manusia seperti yang dilakukan kepada Tengku Leigh dan S.
Anthonysamy? Apakah Dolah Komunis tidak ingat cerita itu sedangkan beliau
merupakan manusia yang paling rapat dengn Tun sehingga mampu menegah Tun
berjumpa Lee Kuan Yew di saat Singapura hampir berpecah daripada Malaysia?
Bagaimana pula kisah seorang setiausaha politik yang memberi isyarat kepada
seorang doktor radikal Melayu yang tersingkir daripada UMNO dan sedang
diburu oleh polis untuk ditangkap di bawah ISA? Doktor itu sempat melarikan
dirinya untuk bersembunyi seketika. Cerita macam itu boleh disalurkan
kepada Mahfuz oleh perisik tentera dan polis yang mempunyai segala maklumat
bertulis lengkap dengan gambarnya. Mampukah Hisyamuddin Husin dan Pemuda
UMNO menangkis segala hujah yang berfakta seperti itu?
Kini, Suhaimi sudah menggunakan seorang professor universiti untuk
membantunya mendesak Suqui meminta maaf kepada Yang Dipertuan Agong dan
Sultan. Kenapa didesak perkara itu dan sejak bila pula Suhaimi menjadi
pemegang mohor raja-raja Melayu? Tidak cukupkah dengan ultimatum satu bulan
diberikan kepada Suqui sebelum GPMS keluar dengan tiga juta orang Melayu
untuk mengistiharkan 100 tuntutan kepada Mahathir?
Mahathir dan semua para juaknya sedang tersepit dan menggelupur kepanasan
tidak tentu hala. Tidak cukup dengan Suhaimi dan Ibrahim Ali (pakar kencing
atas batu nesan) kini, hampir semua professor Melayu di univeriti dipanggil
untuk diwawancara mengenai Suqui. Seperti yang dilakukan oleh Rais Yatim,
semuanya berhujah menyindir orang Cina dan Suqui sebagai kumpulan yang tidak
bersyukur kepada Mahathir dan orang Melayu. Saya tidak mahu menyebut nama
professor yang membodek UMNO itu. Cuma saya ingin ajak mereka berfikir
sejenak. Janganlah anggap Suqui cuba mengada-ngada dengan tuntutan
'universal'. Jangan salah-ertikan perkataan universal kerana agama Islam
pun agama universal juga. Jangan mudah ketepikan isu Suqui ini sebagi isu
orang Cina membawa sentimen perkauman. Apa yang dituntut oleh Suqui
pernah dikemukakan oleh orang Melayu kepada raja-rajanya secara bertulis dan
secara berkias. Tidak ada satu perkara pun yang tidak boleh dibincangkan
secara muhibbah dalam dunia ini. Kalau Mahathir boleh bincangkan hal agama
sambil berfantasi dan mahukan Al Quran diterjemahkan semula, apa sangatlah
tuntutan Suqui itu? Bukannya mereka membuat tuntutan dengan senjata di
tangan.
Masa depan anak cucu kita sedang dipertarungkan oleh Mahathir dan UMNO
semata-mata kerana mahu kekalkan kuasa mereka. Anda sebagai cerdik pandai
harus berkata benar dan jangan turut memutarkan fakta, semata-mata kerana
mengidamkan pangkat dan gelaran. Anda harus memikirkan masa depan generasi
kita dan jangan cuba meraih pupulariti atas hujah basi agar dianggap
sebagai kroni.
Bahaya yang besar menanti kalau rakyat diperbodohkan mengenai isu hak
mereka. Orang yang miskin apabila tersepit tidak lagi memikirkan agama dan
perkaumannya. Apabila perut sentiasa lapar, perlembagaan negara tidak
membawa sebarang makna. Rakyat marhaen yang didesak bertubi-tubi ke dinding
kehinaan akan bangkit sebagai satu kumpulan menuntut hak mereka. Apabila
rakyat marhaen bangkit secara menggila, mereka tidak mampu membezakan mana
satu rumah kaca, mana satu menara gading dan mana satu mahligai airmata.
Bukankah itu yang berlaku di Jakarta dan gambarnya diulang-ulang di kaca TV
setiap kali ada pilihanraya? Bukankah itu bertujuan menakut-nakutkan orang
bukan Melayu agar terus menyokong BN? Semua cerdik pandai dan ulama di
negara ini sepatutnya bersatu menyedarkan Mahahtir apa ertinya kekejaman dan
apa dosanya membalun harta rakyat untuk projek mega yang tidak berguna.
Malangnya terlalu ramai yang diiktiraf sebagai cerdik pandai sanggup
berbohong dan bersekongkol dengan Mahathir semata-mata mengimpikan gelaran
'datuk' yang tidak boleh pun dijadikan paspot masuk ke syurga.
Ekonomi negara semakin gawat. Inflasi sedang menghenyak kehidupan rakyat
marhaen. Majoriti rakyat marhaen di ibukota adalah penghuni kawasan
setinggan. Anak-anak mereka tidak menerima pendidikan yang tinggi kerana
tidak termampu, akhirnya merempat menjadi bajingan kotaraya ataupun calon
rumah urut dan pelacuran, bohsia dan bohjan. Graf rompakan dan kecurian
menyebabkan penghuni bandar terpenjara di rumah sendiri, hidup ketakutan
dalam rumah berjeriji besi. Mereka terus hidup ketakutan kerana ugutan
Mahathir mengenai huru-hara dan keganasan.
UMNO dan Mahathir sedang bersandiwara. Mahathir menggunakan segala institusi
yang ada untuk mengadu-dombakan rakyat kerana dia tamakkan kuasa. Orang
Suqui tidak perlu meminta maaf kepada YDPA ataupun raja-raja, ataupun orang
Melayu. Yang mesti menuntut maaf ialah Mahathir bin Mohammad - kepada
raja-raja, alim ulama, rakyat marhaen dan orang Melayu. Mahathir harus
memohon maaf kepada rakyat marhaen yang cuba dijeratnya selama ini walaupun
dia sudah sampai satu tahap di mana dia telah menjerut anak-anaknya,
suku-sakatnya, para kroni dan juga dirinya sendiri.
-marhaintua-
25.12.00.
|