Laman Webantu KM2A1: 3474 File Size: 33.7 Kb * |
Siri 29 YTDT: B2 Yang Menjerit dan Menjerat By Marhain Tua 23/12/2000 1:05 am Sat |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 29 [Tektik licik Mahathir melambung dua tiga isu pada satu masa
dapat dibaca oleh Pak -MT-. Ketika parlimen sedang bercuti di
hujung tahun, dan di waktu isu Suqui membuat banyak pihak bercelaru
(termasuk PW?), Mahathir rupa-rupanya sedang mencuri sesuatu. Dia
cukup arif rakyat kini begitu sibuk membeli belah dan membuat
persiapan menyambut hari raya dan mengejar lailatul qadr. Lagipun
bonus itu sengaja dilambatkan supaya ia tidak mencederakan bonus
tambahan yang cukup spesial yang menanti seorang kroniputra yang
amat istimewa. Maka bergembiralah Tajuddin Ramli kerana mendapat bonus berganda
dan 'duit-raya' terawal di negara yang serba boleh ini. Ia sewajarnya
dimasukkan kedalam buku Malaysian Books of 'SIAL' Record lagi, kerana
wang rakyat rupa-rupanya lebih layak untuk membeli saham pada harga
yang paling tidak guna sekali. Inilah pecah amanah terbesar dan satu
penyelewengan harta rakyat yang tidak boleh dimaafkan lagi kerana
ia sengaja dilakukan di bulan puasa dan ketika rakyat sibuk dengan
urusan dunia dan ugama. Nampak sangat Mahathir begitu teliti merancang apabila fikiran rakyat
sudah lali dihimpit keadaan. Tahun depan semua harga barang akan naik
dan terbang tinggi melayang-layang, itulah ganti kerugian dana demi
cinta kroni tersayang. Manusia boleh merancang apa sahaja, walaupun di mana dia berada dan
bagaimanapun caranya. Dia boleh merancang sesuatu itu dengan sendirinya
ataupun dengan mengarahkan seseorang menjadi proksinya. Namun, kuasa untuk
memveto sesuatu perancangan itu hanya ada pada Allah semata-mata. Itu
sebabnya kalau manusia mahu minum dan makan, dia mampu melihat ataupun
merasakan apa yang disumbat ke mulutnya. Kalau dia mendengar sesuatu
(kecuali yang tuli telinganya) dia mungkin mampu melihat (kecuali si buta)
ataupun mengetahui apa yang berbunyi itu. Tetapi apabila dia bernafas, dia
tidak mampu melihat udara yang disedutnya. Itulah sebahagian daripada kuasa
Allah Yang Esa. Sejak mencapai kemerdekaan, sistem hidup di negara ini adalah berasaskan
sistem demokrasi di mana 'Kelas' (class), Status (taraf) dan Kepartian
(party) dijadikan satu bentuk ukuran. Tiga faktor ini menerap masuk dalam
peradaban Melayu moden seiring jalan dengan 'Teori Kehendak/Keperluan' di
mana unsur-unsur Kehendak Asas, Fisikal, Kumpulan, dan Pencapaian-diri
menjadi peransangnya. Tetapi, di dalam negara yang mengamalkan demokrasi,
pencapaian seseorang itu bergantung kepada daya dan upayanya untuk bekerja
keras, tekun dan sabar dan sentiasa gigih melayari keperitan hidup. Dia
akan merasa jijik dengan pencapaian orang politik yang naik bertopengkan
demokrasi. Inilah demokrasi yang ditunjangi semata-mata oleh kekuasan
politik yang dinikmati oleh segelintir lapisan manusia dalam BN dan UMNO.
Seorang pemimpin besar Sosialis Dunia pernah berkata: "Kuasa yang mutlak
masih boleh dijamin kalau segelintir golongan yang terpilih diberikan segala
bentuk kemudahan dan kemewahan untuk terus berkuasa. Tidak kiralah kalau
majoriti rakyat yang di bawah terus tertekan hidupnya dan semakin hina masa
depannya"¨ Perjalanan UMNO sejak dua puluh tahun dulu adalah amat jauh menyimpang
daripada perjalanan UMNO yang membuatkan orang Melayu sanggup bermati-matain
kerananya. Di zaman Tunku dan Tun Razak, masih ramai pemimpin Melayu yang
bergelar YB itu yang sanggup duduk bersembang di kedai kopi selepas solat
subuh di masjid kampungnya. Kini, gelagat itu mungkin hanya dapat disaksikan
kalau wakil rakyat itu seorang ahli PAS ataupun Keadilan. Kalau ada pun
pemimpin UMNO yang gemar ke masjid dan surau, tentu ada sebab dia berbuat
demikian selain daripada untuk berjemaah sama dengan kariah yang ada. Kerana
itu kita kerap terdengar kisah wakil rakyat yang cuba menjadi imam-terjun
tetapi tidak diredhai oleh jemaah. Itulah yang terjadi di Lunas satu ketika
dulu. Faktor asas yang menghapuskan amalan demokrasi dalam UMNO sudah menghenyak
seluruh rakyat jelata. Kerakusan itu terus menular ke semua parti komponen
dalam Barisan Nasional tanpa segan dan silu pihak yang melakukannya. Rakyat
tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan kerana segala kerakusan itu
dilindungi oleh pelbagai undang-undang dan hukuman yang berat terhadap
sesiapa yang berani menyanggahnya. Untuk menjamin agar segelintir insan dalam UMNO itu terus berkuasa, maka
dilakukan satu agenda besar untuk memelihara status, kelas dan parti yang
ada. Unsur-unsur kualiti kepimpinan dan meritokrasi yang sepatutnya menjadi
tunjang pemeliharaan tiga faktor utama itu tidak pernah diambil kira. Yang
lebih dipentingkan ialah pengekalan kuasa kepada para kroni, anak-anak dan
keluarga dan para juak dan jongos semata-mata. Rakyat marhaen hanya mampu
bersuara sumbang menyanggahnya tetapi tidak mampu bertindak garang
membasminya. Selama 43 tahun, kita telah merdeka dan sepuluh kali pilihanraya umum telah
terlaksana, rakyat marhaen masih berada di satu tahap kehidupan yang tidak
menjanjikan sesuatu yang menggembirakan. UMNO sebagai parti tunjang yang
memerintah negara mampu menipu rakyat dengan segala taktik penipuan untuk
melekakan mereka bahawa hanya UMNO dan BN mampu menjamin keselamatan dan
kemakmuran negara. Yang ternyata, semua gembar-gembur mengenai kemakmuran
itu adalah satu proses silap mata dan putaran minda untuk menipu otak dan
membelenggu tenaga rakyat marhaen untuk memberontak. Proses putarbelit itu
terus berlanjutan sehinggakan segala himpitan hidup yang menekan rakyat
marhaen itu diterima sebagai taqdir juga. Di waktu yang sama pemimpin
bajingan terus berkuasa dan terus berlagak laksana raja. Semua bentuk media
massa digunakan untuk terus melalaikan rakyat dengan cerita bohong bahawa
hanya BN dan UMNO yang mempunyai wibawa untuk membawa rakyat dan negara ke
mercu kegemilangan. Untuk sekian lama, rakyat marhaen hanya mampu termenung
memikirkan apa sebenar agenda besar mereka.
Keadaan berubah pada September 1998. Episod Anwar Ibrahim ditangkap dan
ditahan untuk dibaham matanya sehingga lebam, dan badannya diganyang
sehingga hampir tidak bernyawa. Barulah rakyat marhaen sedar daripada
pukauan raksasa yang dikenakan ke atasnya selama itu oleh seorang diktator
tua. Kebangkitan Rakyat Yang Terlambat
Rakyat marhaen bangkit secara terpaksa dan terlambat. Apa yang telah terjadi
kepada Saudara Anwar Ibrahim adalah katalis kepada kebangkitan itu.
Sedangkan sebelum itu ramai pemimpin rakyat yang ditangkap dan dibelenggu di
bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) yang sungguh kejam dan usang. Dr.
Burhanuddin Hilmi, Pak Sako, Aziz Ishak, Mustapha Yunus, Fan Yew Teng,
Karpal Singh, Lim Kit Siang, Dr. Syed Husain, Anwar Ibrahim, (Ibrahim Ali -
masuk ISA untuk belajar kencing di batu nisan Mahathir sahaja), Mahfuz Omar
adalah antara nama yang pernah ditangkap dan dikenakan ISA itu. Namun,
rakyat tidak juga bangkit ketika itu untuk menyoal kerajaan akan tindakan
yang zalim terhadap mereka. Rakyat bangkit ketika Anwar dituduh di bawah ISA
pada bulan September itu, kerana rakyat marhaen sedar bahawa dia tidak
bersalah. Rakyat sedar bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah
fitnah belaka. Disebabkan rakyat marhaen gagal dalam arus gelombang rakyat yang pertama
melanda negara itu, makanya penentangan rakyat terhadap sistem kerajaan yang
ada sudah merupakan satu penentangan yang bersifat berselindung-selindung di
sebalik beberapa kumpulan yang kecil-kecilan mengikut rentak penganjur dan
pihak yang menajanya. Gelombang kecilan seperti ini dijangka akan berterusan
sebagai satu cara rakyat menghidupkan bara tentangan itu agar tidak terus
padam. Fenomena seperti ini mungkin mampu diperlekehkan oleh pihak yang
berkuasa tetapi sejarah menunjukkan fenomena seperti ini adalah lebih bahaya
kesannya. Inilah yang berlaku di Russia ketika komunis menindas Islam dulu.
Kesan memperlekehkan hak rakyat bersuara bebas dan bergerak bebas sudah
menunjukkan bisanya. Di Lunas, rakyat marhaen bangkit untuk menyerlahkan
kuasa mereka. Kemenangan pada Barisan Rakyat telah menyedarkan Mahathir dan
juga BN daripada mimpi mereka. Satu agenda baru untuk menyekat kemaraan
kebangkitan rakyat marhaen itu mesti diaturkan. Dalam hal ini Mahathir
mendapat bantuan dan sokongan ramai pengampu yang mahukan dia terus
berkuasa. Lagi rakyat giat berkumpul untuk berpadu, lagi banyak episod menjijikkan
yang dilakar untuk mengalihkan perhatin rakyat itu. Penumpasan Ibrahim Libya
di Memali yang kemudiannya diikuti oleh kemusnahan pergerakan Abuya Azahari
dalam Al Arqam adalah salah satu agenda besar untuk menentukan UMNO dapat
bertahan lama. Ini disusuli pula oleh Episod Sauk dan Al-Maunah sebagai
ingatan besar kepada rakyat bahawa keselamatan dan kemakmuran negara hanya
mampu ditentukan oleh BN dan UMNO dan bukan oleh kumpulan yang berpihak
kepada ajaran agama Islam. Tujuan sebenar pengganyangan semua itu ialah
untuk melunturkan kekuatan PAS dan pengaruhnya. Segala pertubuhan yang
berpegang kepada tali Allah dipandang sebagai satu anjung baru kepada rumah
PAS yang mesti dihancurkan. Sekarang ini pun beberapa agenda besar untuk
menumpaskan PAS dari dalaman sedang dilaksanakan, tetapi rencana itu bukan
mudah untuk mencapai kejayaannya. Taktik membawa rombongan bekas ahli PAS ke
Putrajya mendengar khutbah khas seorang diktator tua bolehlah dilihat
sebagai satu taktik yang akan melibas penganjurnya dalam satu tempoh yang
tidak berapa lama. Rakyat Terengganu mungkin mudah diputar mindanya dengan
sogokan rombongan tersusun ke Putra Jaya. Tetapi, episod menidakkan kerajaan
PAS dan rakyat Terengganu kepada royatli minyak tidak akan dapat menutup
segala tipu daya. Kebangkitan rakyat marhaen kali ini bertunjangkan kesedaran bahawa selama
ini BN dan UMNO telah naik mencanak secara menipu dan berbohong. Dengan
terpenjaranya Anwar Ibrahim barulah terdedah segala kerja jijik yang
dilakukan oleh Mahahtir untuk terus berkuasa. Segala projek mega yang
dikatakan bersesuaian untuk memajukan negara adalah sebenarnya projek
menimbun hutang untuk membebankan generasi masa depan. Projek 'Malaysia
Boleh' adalah satu projek mega kepada usaha segelintir manusia yang
dikatakan berwibawa dan beriltizam sedangkan niat sebenarnya ialah untuk
mengkhayalkan rakyat sahaja. Satu tahun sudah pun berlalu sejak Barisan Nasional menang Pemilu 1999
dulu. Apakah kesannya daripada kemenangan itu? Bertambah senangkah rakyat
selepas itu? Semakin menurunkah barang makan dan tambang teksi, bas,
keretapi dan kapalterbang? Apakah barang makanan tempatan semakin meningkat
seperti yang dijanjikan? Apakah semakin berkurangan pendatang asing seperti
yang dicanangkan? Berapa ramaikah rakyat negara ini yang mendapat peluang
membeli rumah kediaman mereka mengikut harga yang termampu olehnya?
Salah satu agenda besar Mahathir ketika pemilu 1999 dulu ialah janji-janji
besar betapa negara akan bangkit semula ekonominya di mana Bursa Saham Kuala
Lumpur akan bergiat cergas semula. Malahan, pada ulangtahun kemerdekaan
negara yang ke-43 dulu, Mahathir pernah meramalkan betapa Indeks Komposit
BSKL akan bermain di antara 800 mata hingga 1000 mata? Apakah kedudukannya
sekarang? Kenapakah Indeks Komposit amat liat untuk menerjah garisan sekatan
pada 730 mata? Kenapakah semakin ramai professional Malaysia yang terpaksa
berulang-alik ke mahkamah dan pejabat peguam mereka kerana dihenyak oleh
tuntutan kemuflisan disebabkan kegetiran pasaran? Berapa ramaikah rakyat
Malaysia yang membunuh diri kerana kerugian besar di BSKL dan berapa
ramaikah yang menjadi penagih dadah kerana memakan ubat penenang? Bagaimana
pula dengan rumah tangga yang berpecah disebabkan kemuflisan?
Hari lebaran tahun ini tidak akan menjadi satu pesta yang meriah kepada
golongan ibu dan bapa. Bagaimana pula keadaan nasib para petani dan peneroka
tanah RISDA, FELDA dan FELCRA. Apakah betul mereka akan menerima 'durian
runtuh' tahun ini sedangkan semua barangan komoditi turun menggila
harganya? Bagaimanakah kerajaan boleh mengisytiharkan 'durian runtuh' itu
sedangkan ramai peneroka yang kini hanya menurunkan tandatangan di penyata
pendapatan tanpa menerima sebarang wang hasil tani mereka? Durian runtuh
yang disebut itu adalah satu penipuan juga dan satu sandiwara juga. Ia
adalah wang yang dipotong sekian lama ketika peserta mempunyai pendapatan
yang besar, dan dipulangkan kini tanpa faedah yang diterima daripada
simpanan mereka. Dengan lain perkataan, durian runtuh untuk peserta adalah
wang mereka sendiri yang dipotong untuk digunakan di hari lebaran.
Kebangkitan rakyat untuk menyanggah Mahathir dan kepimpinannya sedang
diperangi oleh Mahathir dan jentera kerajaannya dengan segala taktik yang
paling kotor dalam sejarah kepimpinan negara. Ketika Suqui mendesak kerajaan
menimbangkan rayuan mereka sebelum pemilu 1999 dulu, kabinet Mahathir terus
menerima desakan itu secara prinsipnya. Yang sebetulnya penerimaan itu
hanyalah satu helah untuk terus meraih simpati dan sokongan orang Cina.
Apabila BN menang dalam pemilu itu, Mahathir merancang untuk mengganyang
masyarakat Cina dengan tipu helah lagi. Al-Maunah dicetuskan sebagai wadah
untuk mengganyang orang Cina. Tuntutan Suqui Yang Digembar-gemburkan
Kalau tuntutan Suqui itu telah diluluskan secara prinsipnya oleh kabinet,
mengapakah Mahathir mengejek mereka sebagai sealiran dengan komunis dan Al
Maunah? Kenapakah tuntutan Suqui itu diperam begitu lama dan didedahkan
selepas satu tahun memeramnya. Apabila rakyat menentang tindakan Aziz Sikh
Fadzir kerana menyanggah Suqui pada beberapa bulan yang lalu, kenapakah
Mahathir tidak mendedahkan kandungan Suqui yang sebenarnya?
Aziz Sikh Fadzir telah merupakan 'ayam-sabong' yang kalah dalam satu
percaturan politik Mahathir yang sungguh licik. Ketika Aziz Sikh berdiri
sombong di atas tembok Dewan Perhimpunan Cina, pilihanraya kecil Lunas tidak
ada dalam agenda politik Mahathir lagi. Lagipun, kalau Lunas ada dalam
agenda poltik BN, keangkuhan bahawa BN mampu menang setiap pilihanraya kecil
adalah satu faktor yang merupakan tanggapan politik BN yang lazim. Aziz
Shikh menjadi kambing hitam kerana menyanggah masyarakt Cina. Seperti yang
kita katakan dulu, apabila Aziz Sikh menyanggah Suqui itu, dia sebenaranya
menghina keseluruhan masyarakat Cina di negara ini. Kesannya menjadi jelas
apabila Lunas memberikan kemenangan kepada BA.
Suhaimi GPMS sebagai ayam sabung alternatif
Dengan gagalnya Aziz Sikh, Mahathir terpaksa mencari satu insan baru pula
untuk dijadikan ayam sabung sebagai penggantinya. Oleh kerana Aziz Sikh
datang daripada Pemuda UMNO, ayam sabung yang baru ini tidak boleh dipilih
di kalangan pergerakan itu lagi. Ia mesti dicari daripada kandang yang lain.
GPMS yang merupakan alat alternatif untuk mengekalkan kuasa UMNO telah
dipilih. Lagipun penaung GPMS ialah seorang ahli korporat yang memang
sekandang dan sebulu dengan Mahathir. GPMS yang pada asasnya ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pelajar-pelajar
Melayu sudah sekian lama dijadikan satu alat untuk mengokohkan kuasa dan
pengaruh Mahathir dan UMNO di kalangan orang Melayu. Alangkah jijiknya
perbuatan ini kerana ia jauh menyimpang daripada matlamat yang dilakar oleh
golongan seangkatan dengan generasi Aminuddin Baki, dulu. Kita tidak mahu
sentuh perkara ini secara menyeluruh kerana kesuntukan ruang menulis dan
masa. Suhaimi dan GPMS ditonjolkan kerana ada satu agenda besar yang perlu
dilaksanakan oleh Mahathir sebelum berakhirnya tahun 2000. Salah satu agenda
ini ialah pembelian saham kepunyaan Tajuddin Ramli dalam MAS.
Semalam, kerajaan telah membeli balik 29.9 peratus ekuiti yang dimiliki
oleh Tan Sri Tajuddin Ramli dalam Malaysian Airlines System Bhd. (MAS).
Pembelian itu adalha menerusi Naluri Bhd. Pada harga tunai RM8 sesaham
atau RM1.792 bilion. Desas-desus mengenai ini memang sudah lama dijolok
kerana kerajaan dikatakan mahu menggunakan wang yang ada di Lembaga Urusan
Tabung Haji melalui LUTH Properties. Tetapi, mengikut akhbar perdana,
pembelian dibuat menggunakan KWSP. Saya fikir ini perlu dikaji dan diungkit
oleh pihak pembangkang di parlimen untuk mencari pengesahannya.
Keseluruhan saham MAS itu adalah berjumlah 224 juta saham biasa bernilai
RM1 sesaham kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) Pembelian oleh
kerajaan itu bererti Tajuddin menerima premium RM4.32 atau 117 peratus
berbanding harga saham yang ditutup; RM3.68 pada 19 Disember 2000.
Pembelian saham itu bererti berakhirnya satu projek pengkorporatan negara yang dibanggakan oleh Mahathir satu ketika dulu. Kini, ia menutup tirai projek itu dengan satu upacara yang memalukan. Pembelian balik saham MAS oleh kerajaan mendedahkan betapa negara ini sudah berada di dalam longkang keaiban kerana:
Apakah kemungkinannya kalau pembelian dengan kadar RM8 itu dibagi-bagi kepda
beberapa individu tertentu selain daripada Tajuddin Ramly? Apakah
keistimewaannya untuk Tajuddin menerima pembayaran mengikut kadar RM8?
Kenapa tidak setakat RM5? Kalau demikian, siapa pula yang membalun kadar
yang berlebihan itu? Soalan yang semacam inilah yang menaikkan kemarahan
rakyat marhaen. Kenapakah Mahathir begitu mudah menggunakan wang rakyat
mengeluarkan wang sebanyak itu bagi tujuan menebus kerugian yang dilakukan
oleh para kroni? Bukankah itu juga taktiknya ketika dia menyelamatkan projek
anak-anaknya? Para pelabur runcit yang memegang saham MAS tentu merasa tertipu dengan
tindakan Mahathir itu. Mereka pun mahu menjual saham mereka dengan harga RM8
kepada kerajaan. Apakah keistimewaan Tajuddin Ramli sehingga rakyat marhaen
yang memegang saham MAS begitu lama terpaksa menggigit jari?
Kerajaan membuat pengumuman bahawa pembelian dibuat dengan menggunakan wang
KWSP. Tetapi, sumber yang dipercayai mengatakan bahawa pembelian itu dibuat
menggunakan wang LUTH. Ini memberikan kita satu jawapan kenapakah MAS
membuat peraturan baru sejak dua bulan lalu untuk menghentikan pembekalan
minuman keras dalam penerbangannya. Tindakan menggunakan wang rakyat untuk membeli saham MAS dengan harga 117%
lebih tinggi daripada harga pasaran semasa adalah satu kerja pecah amanah
paling tinggi tahapnya. Mahathir sepatutnya boleh dibawa ke hadapan
pengadilan dan didakwa kerana pecah amanah itu. Tetapi siapakah yang akan
menyanggah Mahathir? Lim Kit Siang dan Karpal Singh tidak akan berjaya
melakukannya kerana mereka sendiri menghadapi krisis identiti sebagai
pemimpin DAP. PAS pun tidak mampu melakukannya kerana pucuk pimpinan PAS
pada keseluruhannya masih lagi teraba-raba mencari satu identiti yang boleh
mudah disenangi oleh seluruh masyarakat negara ini. Kalau setakat Mat Sabu,
Mahfuz Omar dan Nasaruddin Isa membuat penjelasan mengenai saham dan MAS,
bolehlah setakat mencuit minda dan menggeletek hati. Mahathir memang sudah
faham lama dulu lagi betapa kepimpinan PAS tidak mampu membincangkan isu
yang serius seperti saham MAS ini.
Begitu juga dengan Keadilan yang diperkuatkan oleh ketokohan Azmin dan Ezam.
Apakah mereka mampu membincangkan perkara menyangkuti 'high-finance'
mengikut apa yang sudah berlaku? Jawapannya, TIDAK.
Kerajaan boleh berdalih seribu bahasa dalam perkara ini. Kerajaan boleh
berkata bahawa pembelian saham dengan kadar RM8 ini adalah menepati satu
perjanjian lama di antara MoF Inc. dengan Tajuddin Ramli. Kalau begitulah
perjanjian itu kenapakah diserahkan MAS kepada Tajuddin Ramly yang diketahui
tidak ada satu iota pun pengetahuan dalam industri penerbangan? Kenapakah
tidak diserahkan kepada Dato' Saw Huat Lai dan Abdul Aziz Abdul Rahman yang
ternyata merupakan pasangan berpengalaman dalam industri itu dulu? Malahan,
kenapakah tidak dikorporatkan MAS itu dulu kepada pihak asing secara kontrak
sambil mendapatkan ilmu pengetahuan dan jaminan 'pay-load coverage'
daripada mereka? Kemudian beli balik saham mereka mengikut premium yang
dipersetujui terlebih dulu? Tajuddin Ramly adalah anak-didik Tun Daim. Sejarah telah membuktikan tidak
ada seorang pun anak-didik Tun Daim yang menerima imbohan dan sabsidi
keemasan daripada kerajaan Malaysia yang mampu akhirnya menyumbang sesuatu
yang menguntungkan negara ataupun memberikan pulangan berlipat ganda
setimpal dengan segala kemudahan kerajaan yang mereka terima. Lihat apa yang
jadi kepada Dato Shamsuddin Hassan yang naik kaya raya dan akhirnya lari ke
Afrika ? Apa jadi kepada Renung dan UE yang diterajui oleh Halim Saad? Kini,
apa jadi kepada Tajuddin Ramli? Ketiga-tiga anak Melayu ini bukannya berasal
daripada orang kaya raya. Ibu bapa mereka dulu pun manusia biasa sahaja.
Mereka naik kerana diberi peluang keemasan oleh Daim dengan direstui oleh
Mahathir. Mereka diberikan peluang itu sedangkan Daim dan Mahathir tahu
mereka tidak pun mempunyai pengalaman yang menebal dan terbukti untuk
mengendalikan dasar pengkoporatan institusi kerajaan.
Tindakan dan keputusan Mahathir menyerahkan institusi dan industri besar
untuk diterajui oleh anak-didik Daim ternyata kantul dan meleset. Semua
projek keemasan itu menjerit rakyat marhaen akhirnya, sedangkan petualang
itu masih hidup kaya raya dan masih mendapat tempat yang mulia di mata
negara. Sedangkan rakyat untuk dua hingga tiga jenerasi yang akan datang
dimestikan menanggung beban hutang gara-gara kepincangan dan ketidak-jujuran
mereka. Mahathir tahu episod penebusan hutang lapuk Tajuddin Ramli akan disanggah
oleh segenap lapisan rakyat marhaen. Setakat ini kita masih belum tahu
cerita benar apakah pembelian itu dilakukan oleh KWSP ataupun oleh Tabung
Haji. Namun, pembelian saham itu adalah satu penghinaan kepada martabat
bangsa negara ini tidak kira apa kaumnya dan apa agamanya. Kalau pembelian
itu akhirnya ternyata dibuat dengan menggunakan wang Lembaga Urusan Tabung
Haji, Mahathir terpaksa menanggung dosa dengan penipuan yang berlaku. Di
waktu yang sama setiap pencarum LUTH akan merasa kesal dengan tindakan
Mahathir itu kerana pembelian dengan harga yang berkali ganda daripada harga
pasaran adalah menyalahi ajaran Islam.
Inilah jerat yang dipasang-siap oleh Mahathir sebaik sahaja dia mengarahkan
isu Suqui dan Dong Jiao Zong itu diketengahkan. Beberapa ayam sabung pun
dipersiapkan untuk berkokok dan menjerit terlalak-lalak mengabui pemikiran
orang Melayu. Sebagai kelazimannya, ayam sabung apabila dibiarkan masuk
gelanggang akan acah mengacah tidak menentu. Demikianlah gelagat Suhaimi
Ibrahim dan GPMS yang dikerahkan menjalankan peranan itu.
Sebagai penganalis, saya mahu lihat apakah tindakan parti pembangkang
selanjutnya. Apakah mereka akan turut terjerit-jerit dengan gelagat yang
dipelopori oleh Aziz Sikh dan juga Suhaimi GPMS? Mampukah mereka melakar dan
merancang sesuatu yang lebih berkesan lagi untuk menggembeling sokongan
rakyat menyanggah Mahathir di atas kebiadapannya itu?
Perbuatan Mahathir membeli saham dengan harga RM8 adalah satu perbuatan
biadap. Kita tidak boleh ambil kira kalau ada satu perjanjian lama
mengenai harga yang ditetapkan itu. Pembelian semula itu adalah berunsur
korupsi yang paling tinggi statusnya. Mahathir mampu melakukan kerja itu
kerana sudah biasa dan sudah menjadi darah-dagingnya. Dia berlagak begitu
kerana berfikir Malaysia ini adalah kepunyaanya. Dia berbelanja boros kerana
sudah biasa dengan keborosan itu tanpa ada sesiapa yang menyanggahnya.
Inilah yang mencabar martabat rakyat marhaen.
Sebenarnya Mahathir tahu dan sedar bahawa majoriti rakyat sudah tidak suka
padanya. Dia sudah lama sedar bahawa ramai pemimpin UMNO yang bencikannya.
Dia juga sudah difahamkan betapa ahli semua parti komponen Barisan Nasional
menunggukan masa dia pergi bersara (Ada yang sanggup menggunakan perkataan
'berambus', dalam perkara ini.) Tetapi, Mahathir sudah lama mengambil
sikap "I don't care". Sikap Mahathir yang tidak peduli dengan perasaan rakyat adalah satu petanda
kenapa beliau terus mesti disokong sampai dia tidak bernyawa lagi. Yang
menyokongnya secara menggila itu adalah ahli politik yang rakus dan tahu
bahawa tempoh kepupusan mereka pun sudah semakin hampir. Begitu juga dengan
para peniaga kelas 'hampeh' yang tahu mereka terpaksa berlumba-luma
membalun harta negara selagi Raja kelentong masih bernyawa.
Taktik mengekalkan kuasa Mahathir dilakukan dengan pelbagai cara. Kaedah
yang paling 'simple' ialah menyibarkan ugutan betapa 'Ops Lalang' akan
dirancangkan. Rakyat sudah tidak takutkan Ops Lalang lagi. Rakyat sudah
sedia menanti apa juga tindakan ganas Mahathir ke atas rakyat marhaen.
Menyedari kesediaan rakyat kalau beliau bertindak ganas, Mahathir mengambil
jalan berlembut dengan rakyat sambil meneruskan taktik mengkucar-kacirkan
minda rakyat jelata. Kini, GPMS digunakan sebagai ayam sabung. Kemudian,
ditonjolkan pula Dato A.R. Maidin yang akan menganjurkan 'Gabungan Suara
Melayu'. Nampaknya taktik menonjolkan teori Melayu Baru muncul semula
dengan irama lama dan berwajah baru. Untuk memperkuatkan jerat yang baru dipasang, dikerah pula para veteran UMNO
untuk muncul silih berganti dengan andaian dan tanggapan mereka bahawa
tuntutan Suqui adalah satu muslihatn yang didalangi oleh DAP untuk
mengungkit konsep Malaysian Malaysia. Sebenarnya kebanyakan veteran UMNO itu
adalah tergolong sebagai penjarah negara kerana hidup kaya raya menipu bangsa
Melayu dan memerah keringat mereka sambil tidak membuat sesuatu yang berkesan
untuk menaikkan martabat bangsa. Jangalah mereka mahu terus berlagak dengan
kata-kata: "Kami orang lama yang makan garam dulu dan kami orang lama yang
berjuang mati-matian dulu." Bagi saya, orang-orang seperti ini adalah
lebih baik diam membisu dan menikmati zaman tua mereka. Lagi besar mulut
mereka dengan segala penipuan itu, lagi cepat mereka akan didakwa sebaik
sahaja Mahathir sudah tidak bernyawa. Mereka harus sedar dan faham bahawa
hukum karma sedang berperanan untuk menjerat mereka juga. Kalau mereka teus
menjerit untuk melindungi seorang diktator tua, jerat yang lama terpasang
akan mengena mereka. Jika tidak, segala jeritan dan tindakan mereka itu
akan satu hari nanti menjerut mereka juga.
Sayang, dalam hal ini Majlis Raja-Raja (MRR) tidak boleh dirujukkan oleh
rakyat marhaen, kerana mereka sudah lama dijerut oleh Mahathir sehinggakan
martabat mereka pun terumbang-ambing juga. Mahathir sudah lama memasang
jerat dan rakyat sudah lama letih menjerit. Hanya masa yang akan menentukan
siapa sebenarnya yang akan dijerut ataupun dijerat.
-Marhaintua-
22.12.2000.
|