Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 28
[Isu Rayuan Suqui nampaknya asyik timbul tenggelam. Yang menarik Mahatir sendiri
tukang yang melambung setelah menyimpan. Ia disambut oleh Aziz Sheikh Fadhir dengan
penuh perasaan, tetapi hangatnya tidak berpanjangan. Sebaliknya Aziz menanggung malu
yang tidak berkesudahan, sehingga mengistihar meletak jawatan. Apa tidaknya gambar
beliau yang tidak sopan di dewan perhimpunan cina itu adalah antara faktor kekalahan.
Kini Datuk Suhaimi pula cuba mendayung sampan. Kita hairan apakah sikap memberi
ugutan kepada Suqui itu langkah anak jantan? Lagipun Suqui hanyalah satu rayuan
lembut yang tidak menuntut apa pun dengan sebarang kekerasan. Ia hanyalah cebisan
harapan agar keadilan dapat dilaksanakan. Takkan melayu yang terbilang membalas
kelembutan dengan kekerasan? - Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 28 : YANG SEMPUT DAN SEMPIT
Yang Semput Dan Sempit
Upacara perasmian mentohmah Mahfuz Omar melancarkan gerakan Intifada yang
dilakukan oleh Paklah dan Najib serta penerangan mengenainya oleh Senator
Zainuddin Maidin di Dewan Negara, belum pun berusia satu minggu. Kini sudah
diisytiharkan pula satu lagi sandiwara terbaru yang lebih hebat, lebih padat
dan lebih bermuslihat. Ia akan mengalihkan perkara intifada, kisah
perdebatan mega UMNO-PAS dan segala kepincangan ekonomi negara yang semakin
genting.
Sekaligus nama GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) menjadi tandatanya
ramai rakyat negara ini. Oleh kerana namanya (GPMS) sungguh gah, tiba-tiba
nama insan yang menjadi presidennya mencetuskan banyak soalan lagi.
Siapakah Dato Suhaimi Ibrahim yang menjadi presiden GPMS itu? Bagaimanakah
dia boleh menjadi presiden sebuah persatuan pelajar ? Siapa pula yang
memberinya gelaran Datuk itu dan apakah jasanya menerima gelaran 'datuk'?
Apabila diberitahu Suhaimi adalah anak Pahang, ada pula bertanya: 'Itu datuk
betul ke ataupun datuk celup?' Saya terkejut dengan soalan yang terakhir itu
tetapi faham apabila ada orang yang memberikan penerangan lanjut
mengenainya; 'Di Pahang orang biasa pun boleh diberi gelaran Tengku apalagi
dengan pangkat 'datuk'. Ingat cerita Datuk Wong?....dan jangan lupa sejarah
Melayu: 'Lanun' hari ini boleh jadi 'Temenggong' dan 'Raja' esok hari?.
Banyak lagi soalan yang dikemukakan kepada saya kerana ramai kawan-kawan
yang sedar bahawa saya satu ketika dulu memang menjadi ahli GPMS yang
sungguh aktif. Tetapi itu cerita lama dan kalau dikenang kisah lama memang
saya masih teringat bagaimana kami berjalan kaki dari satu desa ke satu
desa, hampir satu bulan lamanya; meminta tandatangan golongan ibu-bapa untuk
menyokong memorandum yang akhirnya kami kemukakan kepada Menteri Pelajaran
ketika itu, Dato Abdul Rahman Talib (bapa kepada Dato' Fauzi, Kuantan).
Kami mendesak agar kerajaan membuat penentuan semoga jawatan guru asrama
penuh diberikan kepada guru yang beragama Islam. Usaha itu saya lakukan
hanya dengan bantuan empat insan lain, kerana kami berpendapat ramai pelajar
Melayu yang tinggal di asrama ketika itu teraniaya. Kami tidak dibenarkan
nasi tambah dan dimestikan keluar daripada asrama pada hari akhir sekolah.
Ini amat menyulitkan, kerana pada waktu itu perjalanan bas untuk pulang ke
kampung adalah amat menyulitkan. Kami bertindak itu hanya selepas negara
mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 dan menggunakan nama GPMS sebagai
topeng semata-mata, untuk memperkuatkan usaha sahaja.
Kami terdesak ketika itu dan tidak dapat bersabar lagi. Guru asrama kami
memang zalim. Dia tidak membenarkan pelajar menikmati makanan mereka. Hanya
satu pinggan nasi yang dibenarkan. Kami dikerah mengosongkan asrama di hari
akhir sekolah kerana dia mahu membuat persediaan menjual segala stok barang
makanan kering yang tesimpan di dalam stor. Kami berjaya dengan permintaan
itu dan sejak itu kami berjaya juga mendapatkan seorang ustaz datang ke
asrama mengajar Fardu Ain. Itulah cerita pada Disember 1957, yang melakar
sejarah penentuan siapa yang sepatutnya menjadi guru asrama pelajar-pelajar
di negara ini. Kami melaksanakan itu tanpa sebarang bantuan wang daripada
parti politik. Hanya dorongan yang dilakukan oleh dua orang guru Melayu yang
baru pulang daripada Brinsford dan seorang operator telefon yang mempunyai
sebuah kereta Morris Minor.
Dua orang guru itulah yang membiayai kos minyak kereta yang kami gunakan
untuk menemui orang kampung. Kini, mereka sudah pencen dan menjadi orang
bergelar dan Allah telah memberi rezeki yang melimpah-ruah kepada mereka
sehingga mereka mampu mendapatkan ijazah kedoktoran di luar negara.
Operator telefon itu akhirnya menjadi seorang berpangkat tinggi dan
merupakan anak Melayu pertama yang memakai kereta 'Jaguar' tanpa perlu
menjadi wakil rakyat ataupun orang politik. Semoga Allah mencucuri rahmat ke
atas rohnya.
Apabila kami fikirkan peranan sebagai pemimpin pelajar ketika itu, tidak
pun terlintas untuk melakukan kerja-keraja yang hebat seperti mengugut
orang lain selama satu bulan untuk menarik balik tuntutan mereka kepada
kerajaan, dan mengugut pula untuk melancarkan satu ratus tuntutan sebagai
balasan. Apatah lagi untuk menghimpunkan satu ratus ribu orang Melayu untuk
berarak sebagai bantahan.
Teman-teman saya menjerit kesukaan membaca ura-ura GPMS itu. Saya tanya
kenapa? Mereka jawab: "Inilah baru betul......jangan setakat berdiri di atas
tembok dan melaung tak tentu pasal ataupun setakat menuding jari di muka
orang yang berlemah lembut....!!!!"
GPMS Terima Sokongan Padu
Mengikut lapuran akhbar, GPMS menerima sokongan padu dalam usahanya itu.
Pelbagai pertubuhan dikatakan sudah pun menyokong mereka. Antaranya ialah
pemandu teksi, tukang gunting, peniaga, penjaja, persatuan penduduk dan
pertubuhan belia, pasukan Wira bakti Kebangsaan, Persatuan Pengguna Islam
Malaysia dan Kelab cinta Malaysia. Suhaimi Ibrahim merancang untuk
mengumpulkan 100,000 umat Melayu disamping mengemukakan 100 tuntutan kepada
kerajaan demi kepentingan orang Melayu.
Belum pun sempat Suhaimi memanggil 200 pertubuhan Melayu menyertai
perjumpaan yang akan diadakan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia
(PESAKA) sudah pun bersedia untuk mengerah tiga juta pesilat (Sila baca:
Pesaka Sedia Kerah Tiga Juta Pesilat - Mingguan Malaysia Ahad 17.12.2000) di
seluruh negara untuk menyertai perhimpunan itu. Setiausaha Agong Pesaka
telah dipetik sebagai berkata: "Pesilat-pesilat Melayu tidak gentar untk
mempertahankan hak mereka daripada ancaman mana-mana pihak dan ini telah
dibuktikan sejak sekian lama sperti memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagi
kita Suqui tidak sepatutnya mula bermain api serta sanggup menjolok sarang
tabuan. Jika mereka terus berdegil, kami sedia turun padang menyertai
perhimpunan paada bila-bila masa sahaja. Pesaka memandang serius sikap
biadap pelampau Cina dan tidak akan memandang ringan mengenainya. Kita
lihat Suqui nampak bersungguh-sungguh dan sanggup bersikap biadap terhadap
Perdana Menteri dalam tuntutan mereka. Kami sedia bangkit untuk
mempertahankan maruah bangsa. Kami tidak akan berdiam diri." Kepada Pesaka
kita syorkan bersabar dulu dan jangan panas baran tidak menentu. Malu, orang
Melayu...!!!! Jangan mudah cakap kosong kalau cakapan itu tidak berasaskan
fakta. Teliti dulu segala fakta agar tidak terjebak dalam perangkap
pembohongan mega.
Kalau 20,000 pesilat Melayu daripada 380 pertubuhan menyokong GPMS, bererti
Suhaimi akan mampu menyediakan lebih 100,000 orang Melayu berhimpun
menyanggah Suqui. Kalau 200 pertubuhan Melayu yang akan menghantar wakil
turut berhimpun dan berarak itu, ini bermakna GPMS boleh mengajak sama
penaja Guinness Book of Record untuk mencatatkan upacara itu sebagai
terbesar di negara ini. Kalau PESAKA sedia membantu, perhimpunan GPMS itu
akan menandingi 'The Million March' yang ditaja oleh Farkahan di Amerika
satu ketika dulu. Ini bererti pada hari perhimpunan itu nanti, negara ini
akan lumpuh selumpuhnya. Bayangkan, kalau persatuan teksi ikut serta,
pergerakan teksi akan tergendala. Tukang gunting akan berhenti berniaga,
penjaja akan menutup gerai mereka. Para peniaga akan menutup perniagaan
mereka dan persatuan penduduk dan persatuan belia akan turut serta dan
terpaksa juga bercuti daripada pekerjaan mereka. Dengan lain perkataan GPMS
akan melakar satu sejarah besar di mana seluruh dunia dan negara akan lumpuh
dibuatnya. Tetapi, itu semua impian sahaja dan tidak lebih daripada satu
sandiwara lagi. Soalnya sekarang berapakah 'fulus' yang sudah menunggu untuk
deluluskan?
Berbaloikah Itu Semua?
Saya mengajak semua rakyat yang cintakan negara ini menilai fakta ini dulu:
- Asal usul tuntutan Suqui bermula sebelum pilihanraya umum 1999 dulu.
Ketika itu, Suqui menyerahkan satu memorandum 17 perkara (yang mengandungi
83 tuntutan) kepada Perdana Menteri. Antara tuntutan Suqui yang dianggap
ekstrem (mengikut catatan U. Melayu) ialah:
a.1 Di bawah tajuk menggalakkan perpaduan, Suqui meminta dimansuhkan
perbezaan bumiputra dan bukan bumiputra dalam semua bidang;
a.2 Demi mempertahankan Hak Asasi Manusia dan Menegakkan Keadilan, Suqui
meminta dipinda Akta Kesatuan Sekerja, Akta hasutan, Akta Penerbitan dan
Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej Universiti supaya
selaras dengan piawaian hak asasi manusia dan memperthankan kebebasan
bercakap, perhimpunan dan persatuan;
a.3 Di bawah tajuk Laksanakan Dasar Ekonomi yang 'ADIL', Suqui meminta
diberikan bantuan secara adil dan mencukupi kepada semua sektor termasuk
industri penternakan babi. Sistem kuota yang berasaskan 'kaum' hendaklah
dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengagihan yang berasaskan
'kebolehan' (means tested sliding scale);
a.4 Dalam tuntutan Laksanakan Dasar Pendidikan yang progresif dan
liberal, Suqui meminta dibatalkan rancangan Sekolah Wawasan dan hentikan
perlantikan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa Cina untuk memgang
jawatan-jawatan tinggi di sekolah rendah Cina untuk memastikan sifat dan
cara pendidikan di sekolah rendah Cina tidak diubah. Kuota untuk kemasukan
ke universiti pun hendaklah dihapuskan;
a. 5 Di bawah perkara Lindungi Alam Sekitar Suqui mahu kerajaan
turut mengindahkan kawasan-kawasan perkuburan dan pastikan kawasan
tersebut tidak dipindah untuk tujuan pembangunan.Dalam usaha memodenisasikan
dan membangunkan kampung baru, Suqui mendesak kerajaan memastikan semua
penduduk perkampungan baru diberi hak milik tanah dengan segera.
Demikianlah antara tuntutan yang dianggap ekstrem. Yang tidak ekstem itu
tidak perlu dicatatkan walaupun ada tuntutan yang mengambil kira pembangunan
masyarakat orang Asli.
- Tuntutan Suqui itu sudah pun berusia lebih satu tahun. Ia telah diladeni
dengan berhemah oleh pihak BN dengan mengambil kira adanya beberapa tuntutan
yang dianggap keras dan kasar. Namun, Presiden MCA telah berkata bahawa 83
tuntutan dalam 17 perkara itu boleh dibincangkan secara terbuka kerana
adanya 83% di antaranya yang memang boleh dibincangkan. Kenyataaan presiden
MCA itu dibuat kelmarin, besamaan satu tahun setengah selepas Perdana
Menteri menerima Memorandum tersebut.
- Perdana Menteri telah berusaha untuk mengendurkan keadaan dengan bertemu
dengan Ahli Jawatankuasa Suqui dan menyatakan betapa memorandum itu telah
dibincangkan dalam kabinet untuk pertimbangan. Pada dasarnya ketika itu
Tuntutan Suqui itu dianggap sebagai satu tuntutan mecekik leher kerana ia
boleh menggugat kemenangan BN di pemilu November dulu. Kerana itu tuntutan
itu diterima secara prinsip pada 23 September 1999. Ini bererti penerimaan
itu dibuat secara prinsipnya dua bulan sebelum diisytiharkan hari penamaan
calon Pemilu 1999 itu.
- Perdana Menteri dan juga pemimpin MCA dan Gerakan serta pucuk pimpinan
UMNO tidak pun membesar-besarkan tuntutan Suqui itu untuk hampir sepuluh
bulan. Ketika episod Al Maunah meledak pada awal Julai 2000, Suqui tidak
pun dikaitkan dengan sikap yang diambil oleh pemimpin Al Maunah itu.
Malahan, tuntutan Suqui itu berjaya diperam oleh BN ketika pilihanraya kecil
di Sanggang, di Teluk Kemang dan juga di Lunas. Yang muncul di Lunas hanya
konsep Sekolah Wawasan. Tuntutan Suqui tidak menjadi faktor utama, kerana
Perdana Menteri pun kerap meletakkan kekalahan kepada 'Faktor Pembangkang
Yang bertindak Ganas menghalau Bas Yang Membawa Pelancong?'. Bas itu
sebenarnya membawa pengundi hantu, tetapi oleh kerana terkejut dan sudah
semakin semput, perdana menteri mengatakan bahawa 'yang datang itu adalah
para penyokong Barisan Alternatif.'
- Pada 31 Ogos 2000, Perdana Menteri ada membuat ucapan ulangtahun
kemerdekaan negara yang bertajukkan 'Tentang Tuntutan Ekstrem'. Di sini dia
ada menyentuh nama Suqui dan eloklah kita ulang-tulis sebahagian ucapan
beliau itu:
...... "Oleh kerana ternampak seolah-olah kerajaan yang diketuai oleh orang
Melayu sudah menjadi lemah maka puak ekstrem Cina yang memang pun tidak
senang hati dengan kerjasama berbagai kaum di Malaysia ini sudah mula
menyakitkan hati orang Melayu dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.
Tindakan mereka tidak banyak berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang
hendak menghapuskan sama sekali kedudukan yang istimewa orang Melayu di
Malaysia ini.
"Daripada segi pendekatannya, Suqui (Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya
Persatuan-persattuan cina) ini adalah sama dengan Al Maunah, iaitu cuba
menyakitkan hati orang tertentu, supaya perasaan perkauman dihidupkan
semula.
"Serangan Al Maunah dan Suqui akan merosakkan hubungan baik antara kaum yang
telah diusahakan oleh kerajaan. Jika akhbar Cina yang suka menimbulkan
perasaan tersalah di kalangan orang cina yang sederhana dan laman-laman
fitnah yang terdapat dalam Internet yang diusahakan oleh orang Melayu,
berjaya mempengaruhi kedua-dua kaum ini, maka kerjasama antara kaum akan
diganti dengan konfrontasi yang akan menggugat kestabilan dan keamanan
negara.
"Saya ingin merayu kepada puak ekstremis ini, daripada kdua-dua kaum supaya
menghentikan bermain dengan api perkauman. Saya juga ingin memperingati
semua pihak bahawa kerajaan ini bertanggungjawab terhadap keselamatan dan
kemajuan negara ini. Kerajaan ini tidak takut dicemuh oleh media asing dan
kuasa-kuasa besar di dunia apabila keselamatan dan keamanan dalam negara
diancam. Kita tahu siapa orang asing ini. Mereka terlibat secara langsung
dari dahulu sehingga sekarang dengan jenayah antarabangsa yang meragut
nayawa ratusan ribu orang yang tidak berdosa dan menyiksa berjuta orang
lain. Sekatan yang dikenakan oleh mereka dan tindakan mengebom sasaran
tertentu oleh mereka mencabul hak asasi manusia dengan lebih teruk
berbanding dengan tahanan di bawah ISA.
"Lagipun, pertuduhan dalam mahkamah juga tidak akan menghentikan cemuhan
mereka. Mereka tetap menuduh kehakiman kita berat sebelah. Sama ada kita
guna ISA atau mahkamah adalah hak dan pilihan kita. Kita yang akan menjadi
mangsa rusuhan, bukan mereka. Kerajaan ini tidak berminat untuk dipuji oleh
orang asing. Tanggungjawab kita ialah kepada rakyat yang memilih kita, iaitu
majoriti rakyat Malaysia. Pemerintahan ini akan menentukan negara ini terus
stabil dan aman supaya rakyat akan hidup sempurna, supaya wang rakyat
digunakan untuk membangunkan rakyat dan negara.
"Kita akan terus memerintah mengikut undang-undang dan lunas-lunas demokrasi
yang membolehkan rakyat memilih kerajaan berasaskan kepada penilaian tentang
kebolehan parati-parti yang bertanding.
"Kita akan melawan habis-habisan penyalahgunaan agama bercampu fitnah untuk
membangkitkan kebencian sebagai cara memancing undi. Kita akan memelihara
kesucian agama Islam dengan mengembangkan ajaran Islam yang tulen. Kita akan
melawan percubaan mencetuskan rusuhan kaum melalui tuntutan yang ekstrem.
Kita akan memelihara hak semua kaum seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan negara kita.
"Kita tidak akan tunduk kepada orang asing, agensi-agensi mereka dan media
mereka walau apa pun tekanan yang ditujukan kepada kita dan negara kita.
"Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan bebas. Pada hari kita
merayakan kemerdekaan kita yang ke-43 tahun, marilah kita berbangga dengan
kecapaian kita sehingga kini, marilah kita bersepadu, bumiputra dan bukan
bumiputra, Melayu dan bukan Melayu, marilah kita pelihara maruah dan
kehormatan kita, marilah kita berganding bahu, menguasai semua ilmu dan
bekerja keras untuk memajukan bangsa, negara dan agama kita, supaya negara
kita terus merdeka, bebas, berdaulat dan dihormati oleh seluruh dunia.
........."
Impak Pembohongan Besar Raja Kelentong.
Ucapan ini dibuat pada 31 Ogos, 2000. Ia mengungkit Al Maunah dan Suqui.
Mengikut penelitian saya, Al Maunah dicetuskan untuk memberi oomph kepada
ucapan ulangtahun kemerdekaan. Episod Al Maunah adalah penting untuk memberi
satu 'buffer' kepada Mahathir menghentam Suqui. Dia tidak berani menghentam
Suqui secara 'solo' kerana takutkan bahana dan reaksi balas masyarakat Cina.
Kalau dia berani melakukannya tentu dia sudah membangkitkan hal Suqui itu
pada ucapan Tahun Baru 2000. Lagipun dia tidak boleh melakukan hentaman
terhadap Suqui kerana kabinet sudah menerima secara prinsipnya tuntutan
Suqui itu pada 23 September 1999.
Mungkin ada yang terasa terusik apabila saya ulangkan bahawa Episod Al
Maunah satu sandiwara. Dalam hal ini saya mengajak saudara yang terguris itu
menilai semula lapuran Memali di mana jelas menunjukkan betapa pasukan yang
diarah menggempur rumah Al Syahid Ibrahim Libya telah diberitahu bahawa
mereka akan menggempur kem komunis. Sebelum itu mereka telah diberi jamuan
sakan di mana minuman keras diagihkan secara bebas.
[Sila Rujuk KM2: Rencana 3154 - Editor]
Yang paling afdal sekali buatlah lawatan ke rumah balu beliau yang
ditandakan dengan tanda batu kilometer 9 sebelum Baling. Lihatlah sendiri
pangkal pokok kelapa berlubang di halaman rumah itu. Perhatikan pula
bagaimana Ibrahim Libya tumbang kerana serangan peluru bertalu-talu. Selepas
itu pergilah ke Parit Panjang dan ziarahilah kubur yang menanamakan 13
daripada 14 insan yang tidak berdosan itu.
Setiap kali Mahathir menyebut Al Maunah, dia lupa kes Al Maunah belum pun
diselesaikan oleh mahkamah. Bukankah perbuatan beliau itu satu penghinaan
kepada mahkamah. Bukankah beliau mengaibkan ahli keluaraga mereka yang
dituduh sebagai pengkhianat dan penderhaka negara itu. Begitu juga halnya
dengan keluarga mereka yang terbunuh di Memali dulu. Kes mahkamah mereka
masih tertangguh lagi.
Dalam hal ini saya sendiri pun hairan bagaimanakah PESAKA sanggup merelakan
diri mereka untuk turut berdemonstrasi dengan GPMS sedangkan di mahkamah
masih ada lagi satu kumpulan ahli pengamal ilmu silat yang sedang diadili?
Kenapakah PESAKA tidak berbuat sesuatu untuk merengankan penderitaan ahli
keluarga mereka yang dituduh itu? Adakah PESAKA melancarkan satu tabung khas
mengutip derma membantu ahli keluarga Al-Maunah yang tertekan hidupnya
kerana si bapa yang sudah lama terpenjara? Bagaimanakah anak-anak mereka
menghadapi musim puasa dan hari raya? Bagaimana pula mereka akan menghadapi
musim sekolah yang baru?
Kalau kita teliti ucapan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Pesaka Megat
Dzainuddin Datuk Omar Din, kita boleh buat andaian betapa beliau tersilap
congak kerana tersilap dengar, ataupun tersilap tafsir kerana tersilap
terima........ maklumat.
Salah satu petua ilmu silat ialah membatu dan membisu sehinggakan
pergerakan nafas pun disembunyikan untuk menilai kewujudan dan kekuatan
lawan. GPMS baru sahaja berura-ura menghubungi ' 200 pertubuhan Melayu
menyertai perjumpaan yang akan diadakan bulan depan...' Ini bererti
gelanggang untuk berjuang belum disiapkan lagi, tetapi PESAKA sudah gelabah
tak tentu diri. Kita tidak salahkan Megat Zulkarnain ini kerana dia masih
muda lagi. Tetapi kita salahkan Suhaimi Ibrahim kerana sanggup membuka
gelanggang yang tidak perlu. Apakah tujuan beliau membesar-besarkan satu kes
yang dianggap oleh majoriti orang Cina dan penduduk Melayu sebagai satu
acahan sahaja?
Bila Cina Acah Melayu Gelabah
Pada 31 Ogos 2000 di muka surat 10 Berita Harian, seorang penulis cina
bernama L.C. Fang ada menulis satu artikel berjodol "Melihat Isu hak Melayu
Dari Aspek Budaya." Artikel ini pernah ditulis semula oleh Mat Teropong
untuk dimuatkan dalam internet. Bacalah kembali artikel yang sungguh
bermakna itu. [Sila Rujuk KM2: Rencana 3430 - Editor]
Di situ kita akan faham bahawa apa yang berlaku sekarang ini
adalah impak pembohongan besar yang dilakukan oleh Mahathir bin Mohammad
selama ini. Dia telah memeram Laporan Tuntutan Suqui sehinggakan rakyat
terutama sekali orang Melayu tidak tahu bahawa dia sudah mendapatkan
persetujuan kabinet secara prinsipnya menerima segala tuntutan itu pada 23
Septermber 1999.
Pada 23 Ogos 2000 (hampir satu tahun kemudiannya) Mahathir telah membuat
satu kenyataan di Maputo, Mozambique di mana dijelaskan perkara itu:
....... "Saya sudah menerima penjelasan beliau (Datuk David Chua) dan tidak
mahu perkara itu dibesarkan. Saya cuma kata, lain kali jangan cakap begitu
kerana ini benda sensitif.".......
David Chua ialah ahli majlis tertinggi MAPEN (II) yang dikatakan mengungkit
Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu. Tindakannya itu telah memberi semangat
kepada seorang peroksi pemimpin Melayu memanjat tembok Dewan Perhimpunan
Cina dan memberikan amaran agar masyarakat Suqui tidak menjolok sarang
tabuan.
Kini, peranan mengugut itu telah diambil alih oleh GPMS melalui Suhaimi
Ibrahim. Dia juga sudah memberikan tempoh satu bulan untuk Suqui menarik
balik tuntutan mereka. Jika tidak, GPMS akan mengemukakan 100 tuntutan
sebagai balasannya kepada kerajaan.
Kalau Otak Sudah Sempit
Tindakan Suhaimi Ibrahim dan GPMS amat memalukan saya. Malahan, ramai orang
melayu yang merasa malu kerana tindakan itu melambangkan betapa sempitnya
seorang pemimpin pelajar Melayu di negara ini. Malahan itu juga melambangkan
betapa sempit ramai pemimpin Melayu di negara ini, tidak kiralah sama ada
memimpin parti politik seperti UMNO ataupun pertubuhan silat seperti PESAKA.
Inilah yang saya sebut sebagai projek hangat-hangat tahi ayam. Semalam saya
lembutkan sindiran itu dengan menyebut hangat-hangat pulut panggang. Mungkin
sindiran berupa nasihat tidak membawa kesan. Kali ini kita menyindir keras
secara berdepan. GPMS akan diiktiraf sebagai satu kumpulan kera sumbang,
seandainya Suhaimi Ibrahim melancarkan demonstrasi terhadap Suqui.
- Kerajaan melalui satu persidangan kabinetnya sudah pun menerima secara
prinsip, tuntutan yang dikemukakan oleh Suqui;
- Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia telah menerima
penjelasan David chua yang dikatakan sengaja diputarbelit oleh akhbar media
perdana. Dia tidak pernah memperlekehkan Hak Keistimewaan melayu. Yang
memperlekehkan kisah itu ialah Utusan Melayu, kerana mahu lariskan akhbar
mereka, mungkin.
- Isu Suqui dibangkitkan semula oleh Mahathir ketika membuat ucapan
Ulangtahun Kemerdekaan ke- 43 dulu. Dan dia hentam Suqui sambil dia hentam
Al Maunah. Dia tuduh Suqui kerana mempunyai segi pendekataan yang sama
dengan Al-Maunah, 'iaitu cuba menyakitkan hati orang tertentu, supaya
perasaan perkauman dihidupkan semula'.
- Mahathir setuju agar kabinet menerima memorandum yang dikemukan oleh
Suqui. Di waktu yang sama dia menyebut bahawa 'tindakan mereka itu tidak
banyak berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang hendak menghapuskan sama
sekali kedudukan yang istimewa orang Melayu di malaysia ini.'
- Mahathir mempertahankan segala bentuk undang-undang drakonian yang
diperkenalkan oleh penjajah dulu. Di waktu yagn sama dia mengutuk segala
bentuk penjajahan di dunia ini.
Apa yang berlaku kini, hingga membabitkan hampir 200 pertubuhan Melayu
adalah satu drama terbesar sebelum Hari Raya Puasa. Suqui adalah satu
gagasan yang mewakili 2,200 pertubuhan Cina di negara ini. GPMS melalui
Suhaimi Ibrahim akan dapat banyak 'mileage' dalam perkara ini. Tetapi, di
waktu yang sama 'mileage' yang diharapkan itu akan pupus dalam waktu yang
singkat kerana faktor pulut panggang yang amat jelas dalam hal ini. Apakah
Suhaimi Ibrahim fikir, masyarakat Melayu di negara ini sudah bacul
sehinggakan tuntutan Suqui yang dikemukakan pada tahun yang lalu itu sesuatu
yang amat berbahaya untuk dibiarkan begitu saja?
Suhaimi Ibrahim sebenarnya memalukan nama orang Melayu dengan ura-uranya
itu. Pendekar tulin Melayu tidak pernah memberi amaran, dia bertindak bila
perlu dan kalau diperlukan. Tindakan membuat tuntutan sehingga 100 jenis
banyaknya adalah satu lelucon sahaja. Ini bererti seluruh perlembagaan
negara itu perlu dirombak semula ataupun dilakukan pindaan yang besar
terhadapnya.
Suhaimi sudah pun mengeluarkan kata-kata ugutan kepada masyarakat Cina
dengan memberi tempoh untuk mereka meminta maaf. Ini juga gelagat Aziz Sikh
satu ketika dulu. Apakah masyarakat Cina akan meminta maaf, sedangkan
tuntutan mereka itu sudah diterima oleh kabinet satu tahun yang lalu.
Gelagat Suhaimi sebagai pemimpin pelajar di negara ini dan juga gelagat Aziz
Sikh sebagai wakil masyarakat pemuda Melayu yang suka berpolitik adalah satu
gelagat yang layak dilaksanakan dalam filem komidi sahaja. Ia tidak
beralaskan hakikat hidup di bumi nyata. Ini merupakan sindrom ugut-mengugut
yang diamalkan oleh UMNO selama ini. Pemimpin UMNO selalu berkata: "UMNO akan
terus berkuasa kerana sokongan padu orang Melayu...." Tetapi kini, orang
Melayu sudah tidak menyokong UMNO lagi.
Taktik budaya menakutkan itu sudah menjalar kepada parti komponen BN yang
lain. Pada 10 Disember, menteri kesihatan, Dato Chua Ju Meng ada mengugut
orang Cina dengan berkata; "Warga Cina Hilang Hak Jika Pembangkang
Memerintah"
.... "Masyarakat Cina akan semakin kehilangan hak dan tidak akan dipedulikan
lagi. Mereka terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari penghidupan.
Keadaan ini berlaku di kebanyakan negara yang menjadikan agama sebagai
alat untuk menjadi parti pemerintah. Keadaan yang sama sudah berlaku di
Kelantan dan Terengganu kerana banyak rakyatnya terpaksa berhijrah ke
tempat lain dan hak masyarakat Cina semakin diabaikan. Di Lunas, PAS menjadi
pendokong utama kepada Keadilan untuk merampas kerusi tradisi DAP sebelum
ini sehingga DAP kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihanraya kecil
Dewan Undangan Negri itu bulan lalu".........
Oleh kerana Mahathir berbohong selalu, hampir semua pemimpin parti komponen
BN pun gemar berbohong. Pembohongan besar sudah menjadi sebahagian darah
daging pemimpin BN itu. Kalau kita teliti ucapan Chua itu memang jelas
sangat putarbelitnya. Dia salahkan parti pembangkang kerana ramainya orang
Cina yang berhijrah ke luar negara. Tetapi dia tidak pernah ungkit, sebab
utama orang Cina berhijrah ke luar negara ialah masalah persekolahan
anak-anak yang mampu meraih simpati insttitusi amal dan gereja besar di luar
negara. Ramai orang Cina yang berhijrah ke luar negara mendapatkan stratus
penduduk tetap dan tidak pula membuang kerakyataan Malaysia. Mereka lakukan
ini untuk mencari peluang niaga yang lebih mudah di luar negara dan
mengumpulkan harta sehingga anak-anak selesai bersekolah. Selepas itu mereka
pulang balik ke Malaysia menjadi golongan yang sudah kaya raya.
Lagi satu faktor yang mendorong masyarakat Cina berhijrah ialah kemampuan
untuk hidup selesa tanpa mengikut rentak budaya Cina lama. Di negara asing
mereka tidak perlu membeli kereta mewah untuk ditayangkan sebagai lambang
kekayaaan yang ada. Mereka tidak perlu membina rumah besar-besar sebagai
lambang mereka sudah berjaya, seperti di Malaysia. Yang lebih penting lagi
mereka merasa selesa dan selamat hidup di negara di mana tidak ada
undang-undang drakonian serta kebebasan untuk membaca apa yang mereka suka.
Chua Jui Meng mungkin mampu menipu orang Cina Muar kerana mereka adalah
seperti orang Melayu juga yang lebih gemar diam membisu daripada banyak
bersuara. Lagipun Cina Lunas sudah mengajar mereka apa yang perlu dilakukan
satu hari nanti.
Pada keseluruhannya kita lihat, segala gembar-gembur mengenai tuntutan Suqui
itu telah dijadikan satu modal besar oleh UMNO sehingga sanggup menggunakan
pertubuhan Melayu lain sebagai proksi melakukan sandiwara terbaru untuk
mengalihkan pandangan orang Melayu. Kita tahu perkara ini satu sandiwara
lagi kerana pada hari ini Paklah sudah disebut memberi ingatan bahawa ini
bukan masanya untuk retorik perkauman. Kita setuju dengan Paklah kerana
hanya otak yang sempit mampu mengalihkan perhatian daripada keadaan yang
semput. Bukankah itu yang dijadikan satu amaran ketika kempen Lunas bermula?
Kenapakah Suhaimi Ibrahim tidak menyedarinya?
Oleh kerana terlalu kerap isu hangat disensasikan tanpa akhbar media
menyorot latar belakang sesuatu isu itu, ramai pemimpin Melayu yang tidak
ada nama dalam arena politik UMNO, cuba menonjolkan diri untuk menempah
populariti. Mereka tidak sedar yang mereka perlekehkan ialah bangsa sendiri
walaupun tujuan mereka ialah untuk mengampu seorang diktator tua yang tidak
punya banyak masa lagi. Tetapi, itulah dasar dan amalan orang yang semput
wibawanya sehinggakan otaknya menjadi sempit bila memikirkan perkara yang
serius untuk kebaikan negara. Taktik menyanggah masyarakat Cina dengan cara
memperlekehkan memorandum Kumpulan Suqui menunjukkan betapa sempitnya otak
beberapa pemimpin muda di negara ini, sebenarnya. Seperti juga Mahathir,
pemimpin muda seperti ini tidak ada tempat dan relevan lagi di kalangan
masyarakat bangsa. Lagi cepat mereka sedar perkara ini, lebih selamat
negara ini akhirnya.
-marhaintua-
18.12.2000
|