Laman Webantu KM2A1: 3443 File Size: 33.1 Kb * |
Siri 27 YTDT: Yang Melatih Dan Melatah By Marhain Tua 17/12/2000 11:14 pm Sun |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 27 [Mahathir sebenarnya sedang dibayangi oleh kejatuhan sejak kecundang di Lunas.
Dia berbohong lagi walaupun di bulan (Ramadhan) yang mulia ini. Dia meniup 'ruh'
untuk menghidupkan dirinya yang sudah tidak bermaya itu. Mungkin kubur Cina dipinggir
bukit di UPM dapat mencium tiupan itu.
Maka isu yang turun dulu itu dinaikkan semula. Umno amat memerlukan sokongan pelajar
di IPTS negara kerana USM mengajar sesuatu yang cukup dahsyat di Lunas itu. Bayangkan
seorang gadis muda sanggup bermusafir selama seminggu untuk berkempen bagi pihak BA
dengan penuh sukarela. Siapakah gadis itu jika tidak seorang bekas pelajar yang baru
menyarung 'ijazah' perjuangan untuk membebaskan negara setelah mendapat didikkan yang
secukupnya di kampus. Mereka inilah yang akan menjalar dan meresapkan bisa di mana-mana
dan Lunas itu adalah buktinya. Sudah tentu mereka tidak dapat dikenali, walaupun oleh
editor sendiri. Jelaslah 'ruh al Arqam' itu masih hidup lagi, ia cuma tidak mempamirkan
tanda seperti dulu lagi. Ia semakin meniti dari hati ke hati. - Editor ]
Mahathir Mohammad masih berbohong lagi. Kali ini ia melakukannya ketika dia mengadakan
lawatan ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis membohong itu bertopengkan program
berbuka puasa dengan pelajar dan bertarawikh bersama mereka. Untuk menyedapkan lagi
suasana ketibaannya, diadakan juga upacara penyampaian sijil ISO MS 9001 kepada fakulti
Perubatan Veterinar UPM. Kita ingin merakamkan beberapa pendapat Mahathir yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia
bertarikh Sabtu 16 Disember, 2000 untuk catatan sejarah. Pendapatnya adalah jawapan kepada
beberapa soalan yang dikemukakan. Seperti yang lazim, soalan yang dikemukakan itu adalah
soalan yang ditapis dulu, oleh itu jawapan Mahathir adalah satu jawapan yang sudah lama
difikirkannya. Jawapan: Ya, kita akui kita negara lembab. Sebab itu kita membentuk cara untuk
menghadapinya. Dan kalau tak ada ilmu pengetahun, kita pinjam dari luar, bawa ke sini
untuk menasihat kita. Koridor Raya Multimedia (MSC) misalnya ada panel Penasihat
Antarabangsa (IAP) yang disertai orang terkenal dalam teknologi maklumat (IT) termasuk
Bill Gates supaya kita tahu arah tuju dan trend baru bidang ini. Dengan memperoleh
pengetahuan itu kita boleh merancang cara menguasai IT. Daripada kalangan negara
membangun banyak yang mengiktiraf Malaysia sebagai pendahulu IT di rantau ini. Sebab itu
kita yakin boleh menangkis usaha pihak asing untuk menguasai kita. Namun yang menjadi
kekuatan kita ialah kita tidak berhutang budi dengan sesiapa. Kita mempunyai sumber
kewangan sendiri dan sebab itu dapat memulih negara tanpa meminta bantuan mereka.
Kita tidak lupa di waktu kekurangan wang, kita cuba meminjam wang tetapi mereka
sengaja menjatuhkan gred kita supaya terpaksa membayar faedah 15 peratus. Kepada mereka
kita katakan simpan sahajalah duit itu. Kita boleh cari punca lain. Sebenarnya wang
dalam negara ini pun cukup untuk memulihkan keadaan dalam negara. Kita yakin dengan
kebolehan kita. Kita yakin penuh boleh menangkis sebarang usha untuk menguasai kita
walaupun di era baru. Tetapi segala-galanya bergantung kepada generasi muda sama ada mereka faham atau tidak
selok-belok penjajah corak baru dan adakah mereka cukup pengetahuan untuk melawan
pendekatan yang begitu canggih. Soalan: Bagaimana sumbangan mahasiswa untuk menangani masalah perkauman dan apa
peranan kerajaan menangani masalah ini?
PM: Semasa kita mencapai kemerdekaan kita sedar kemungkinan ada rusuhan kaum berlaku,
sebab itu kita telah membuat satu perjanjian agar semua pihak mendapat manfaat. Dalam
negara yang berbilang kaum ini tidak akan ada satu kaum pun akan dapat semua yang
dituntutnya. Semua kaum perlu korbankan sedikit daripada yang dikatakan hak mereka supaya
kaum lain juga dapat haknya. Kalau ada pertindihan hak sudah tentulah akan berlaku
ketegangan dan pertentangan antara kaum.
Kerajaan telah berjaya menjalin hubungan baik antara kaum namun ada puak ekstremis
yang selalu mahu menuntut semua untuk mereka. Umpamanya mereka menuntut hak sama rata
dan meritokrasi. Kita telah lihat pelaksanaan meritokrasi di mana kaum yang
ketinggalan tidak dapat dilepaskan daripada belenggu kemiskinan. Oeh itu kita mesti
ambil kira kelemahan dan kekuatan sesuatu kaum. Sebab itu kita tetapkan yang kuat dan
lemah saling tolong-menolong mengikut kekuatan masing-masing. Dalam pada yang kuat
menolong yang lemah, yang lemah pun kalau ada kekuatan umpamanya dari segi bilangan
harus bantu kaum lain. Dengan cara itu barulah kita dapat mewujudkan perhubungan baik antara kaum. Kita telah
berjaya setakat ini tetapi baru-baru ini timbul satu puak yang cuba menuntut semua
untuk kaum Cina. Walaupun tidak disebut seperti itu, disebut sebaliknya untuk menyamakan
semua kaum, tidak ada lagi bumiputra dan bukan bumiputra, semua kaum dapat hak sama,
tidak ada kuota dan mirip diskriminasi.
Tetapi hakikatnya kalau kita amalkan apa yang dituntut itu, bukan persamaan akan dicapai
tetapi perbezaan yang amat ketara. Oleh kerana itu, maka iklim negara menjadi kabur dan
tegang hari ini , kerana mereka membuat tuntutan ini hubungan dengan tidak mengasingkan
diri mengikut kaum. Ini berlaku di universiti sehingga cadangan kita untuk tidak
mengasingkan pelajar asrama ikut kaum juga menghadapi tentangan daripada pihak yang
tidak ingin ada perpaduan antara kaum.
Soalan: Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh graduan dalam menyumbang pencapaian
matlamat K-Ekonomi? PM: Bab yang pertama ialah kita tumpukan bukan sahaja belajar di universiti tetapi
mencapai kecemerlangan. Kita harus tumpukan kepada bidang ini. Kalau belajar bidang
lain, kita harus faham apa dia k-ekonomi, pengetahuan dan peranannya dalam zaman akan
datang ini. Kalau faham, kita akan lebih mampu bersaing dengan orang lain. Maklumat
adalah penting bagi mana-mana kaum, kaum yang memiliki maklumat terbanyak akan berjaya
manakala kaum yang kurang maklumat akan ketinggalan.
Umpamanya, dalam peperangan, pihak yang mempunyai lebih maklumat daripada pengintip
tentang apa yang dilakukan oleh musuh akan menang dan sebaliknya. Tetapi sekarang ini
maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan begitu banyak.
Jadi, kita perlu tahu menapis supaya maklumat yang tidak berguna dapat kita gugurkan
sebaliknya guna maklumat penting untuk membuat keputusan. Dalam kegawatan ekonomi
misalnya ramai tidak faham tentang cara wang diguna dalam negara kita. Saya sendiri
tidak faham, saya fikir kalau ada duit Malaysia di luar negara, berbilion ringgit di
Singapura, saya fikir benar duit itu ada di Singapura. Tetapi setelah saya tanya
barulah saya tahu duit itu ada di Malaysia, hanya pemiliknya sahaja di Singapura.
Apabila pemilik beri arahan jual kepada orang lain hanya nama pemilik bertukar tetapi
duit tidak bergerak dari Malaysia. Apabila kita tahu cara ini, bahawa duit masih ada
dalam Malaysia dan untuk memindah duit itu bank perlu catitkan dalam bukunya bahawa
duit itu kini dimiliki orang baru, dengan itu barulah duit itu bergerak.
Apabila kita tahu pendekatan kita agak mudah..kita arah bank supaya tidak pindah
mana-mana duit itu kepada mana-mana orang. Apabila tidak dapat pindah, dengan itu dia
tidak dapat jual duit kita. Disebabkan itulah maklumat itu penting kerana ramai daripada
kita buat kesilapan apabila duit kita dijual dengan banyak di luar negara, kita
menyekat orang yang bawa beg kononya takut dia bawa duit ke luar negara. Tidak ada wang
yang dibawa, hanya angka di komputer sahaja. Sebab itu kita kena ada pengetahuan untuk
sesuaikan dengan k-Ekonomi. PM: Proses mendidik ini bukan cara mengajar di bangku sekolah dan universiti sahaja
tetapi melalui media, kenyataan pemimpin, aktiviti mereka yang mencintai alam dan
sebagainya. Ini adalah proses pendidikan tetapi agak sukar untuk meyakinkan semua orang
sebab ada yang lebih pentingkan pendapatan. Walaupun kita halang tebang pokok, tetapi ada
orang yang tidak menitikberatkan isu itu. Dengan adanya kempen menanam pokok dengan
sendirinya menyedarkan rakyat tentang pentingnya alam sekitar.
PM: Sebenarnya ini tidak harus berlaku, tidak ada orang yang sewenang-wenangnya boleh
mengkafirkan orang lain. Seorang Islam adalah Islam apabila dia mengucap dua kalimah
syahadah. Yang lain dia mengakui wajib baginya kalau pun tidak laksanakan yang
diwajibkan itu, dia masih Islam. Umpamanya, kadang-kadang kita tidak dapat sembahyang, tidak menjadikan kita kafir. Tetapi
jangan kata sembahyang itu tidak diperlukan dalam agama Islam, itu bertentangan dengan
Islam. Sesiapa yang berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bercukur dan sesiapa yang tidak ada
pisau cukur bukan Islam, tidak betul. Sama juga satu orang yang berkata Tuhan mencarut.
Dia masih Islam, dia juga sembahyang, cuma berdosa kerana mengatakan Tuhan mencarut.
Hendak mengkafirkan orang sewenang-wenangnya, ia adalah sesuatu perbuatan dilarang dalam
Islam. Sesiapa yang mengkafirkan orang lain sedangkan orang itu tidak kafir, maka orang
yang menuduh itu yang menjadi kafir. Ini jelas dalam ajaran Islam. Sebab itu jangan
sesiapa cuba kafirkan orang lain. Untuk kafirkan orang lain mestilah ada penelitian
terhadap keadaan orang itu. Apakah dia sudah menolak Allah s.w.t. dan rasulnya. Kalau
dia cakap saya tidak lagi percaya kepada Tuhan dan tidak percaya Nabi Muhammad s.a.w.
itu rasulnya, dengan itu dia kafir. Kini terdapat pelajar di sebuah universiti, mengedarkan poster semasa pilihan majlis
perwakilan pelajar dengan menyatakan seseorang itu akan menjadi kafir jika tidak
mengundi puak tertentu. Itu dosa besar. Mereka yang berkata demikian akan terima balasan
di akhirat nanti. Saya harap ini tidak berlaku di UPM.
Apabila Ketua Kuat Berbohong Seperti yang lazimnya, apabila seorang ketua kuat berbohong, perangai itu menular ka
bahagian orang bawahannya. Kerana Mahathir adalah seorang pembohong besar bertaraf raja
kelentong, hampir semua orang yang berada sekelilingnya pun turut kuat berbohong juga.
Ketika Anwar Ibrahim ditahan dan diganyang oleh Rahim Noor, apakah yang dikatakan oleh
Rahim Noor ketika disoal oleh para wartawan? Dia menjawab dengan selamba: "Oh, he is
safe and sound...!" (Dia sihat-sejahtera dan selamat). Ini adalah satu pembohongan besar
yang tidak boleh dimaafkan dan sepatutnya tidak dimaafkan. Tetapi, apakah denda yang
diterima oleh Rahim Noor? Hanya dua bulan penjara dan denda RM2,000. Kelmarin mahkamah
telah menerima rayuan Rahim Noor agar denda RM2000 itu diketepikan.
Rahim Noor hanya akan dipenjarakan selama dua bulan. Apakah dia akan merengkok dalam
penjara di Kajang seperti banduan lain? Tentu tidak, dia pasti akan diberikan layanan
seorang Tan Sri di mana biliknya akan dilengkapi dengan segala kemudahan seperti yang
pernah dinikmati oleh Abdullah Ang. Rahim Nor adalah seorang pengampu yang begitu setia
kepada Mahathir selama ini. Adalah tidak munasabah dia akan didera sepatutnya. Oleh itu
biarlah kita rakamkan di sini untuk ingatan generasi akan datang; apabila Mahathir
tumbang, Rahim Noor adalah salah satu insan yang pertama yang perlu dihadapkan semula ke
mahkamah kerana kesalahannya terhadap Anwar Ibrahim.
Demikianlah mudahnya seorang ketua polis negara berbohong kepada rakyat sehinggakan mampu
memberikan gambaran yang salah terhadap seorang insan yang mempunyai pengaruh yang besar
di negara ini. Pembohongan seperti ini pernah dilakukan oleh Rahim Noor dan juga pasukan
polis negara ketika mereka meminta bantuan kerajaan Thai untuk menangkap Abuya Al Arqam.
Di tahap awal tuduhan mereka, kerajaan Thai enggan menerimanya kerana "tuduhan itu
berasaskan bahawa Al Arqam sedang melatih satu pasukan khas untuk menjatuhkan kerajaan
demokratik Malaysia." Terpaksalah Rahim Nor melakukan muslihat lain yang akhirnya berjaya
melarikan Abuya Ashaari itu ke Malaysia. Mahathir mahukan Al Arqam ditumpaskan kerana
takutkan pengaruh mereka. Lagipun dia termakan umpan beberapa ulama UMNO yang cuba
menonjolkan diri dalam parti. Cerita membusukkan martabat Al Arqam dilaksanakan selama lapan tahun setelah 'dalang'
pihak kerajaan menyusup ke dalam pertubuhan itu. Abuya Azhari 'termakan' jarum yang
dicucuk untuk memesongkan segala ajarannya secara berdikit-dikit. Tindakan itu adalah
laksana sebuah kapal besar yang dialihkan haluannya sedikit demi sedikit untuk menghadapi
angin. Dalam hal itu pengalihan haluan kapal Al Arqam itu dialihkan untuk dihentam badai
taufan ciptaan 'Tiga Abdul Ulama UMNO'; yang melanda untuk menghancurkannya. Mahathir
berjaya dalam perkara ini kerana ada golongan dalam industri eceran negara yang tidak
menyenangi kecemerlangan Al Arqam. Lagipun, ramai pengeluar makanan bukan beragama Islam
yang merasa tertekan dengan pengaruh mementingkan keluaran barang-makanan 'HALAL' yang
diamalkan oleh Al Arqam. Mereka telah mencuba menekan pengaruh itu melalui rakan Islam
projek mereka ('sleeping partners' kebanyakannya), tetapi tidak berjaya. Tersungkurlah Al
Arqam di pintu tipu-helah orang Melayu juga.
Pergerakan Al Arqam masih hidup lagi kerana diteruskan oleh kumpulan yang masih bertaqwa
kepada Allah, walaupun pakaian serba hijau mereka itu sudah mereka simpan. Tetapi,
Mahathir masih lagi dihantui warna hijau sehinggakan dia tidak mahu apa-apa juga yang ada
kena mengena dengan warna hijau itu ditonjolkan. Kali ini, sasarannya bukan lagi Al
Arqam, tetapi PAS. Alangkah bodohnya sikap itu, kerana warna hijau adalah warna rasmi
masyarakat Islam. Dengan memperlekehkan warna hijau, Mahathir dan para juaknya sanggup
memperlekehkan keagongan agama Islam juga.
Mahathir sanggup membincangkan perkara yang remeh-temeh sambil berbohong semata-mata
untuk terus berkuasa. Demikianlah penerangan beliau kepada pelajar universiti mengenai
hutang negara. Dia sanggup berkata Malaysia tidak meminjam dari luar kerana faedah yang
tinggi. Dia lupa untuk memberitahu ketika Petronas menjual bon-bon dengan kadar premium
yang tinggi, Petronas bercadang menjual bon sehingga bernilai Tiga Bilion Dollar.
Sayangnya, tawaran itu tidak diterima oleh pasaran luar seluruhnya. Mereka terpaksa
pulang dengan hampanya dan Mahathir terpaksa pula memikirkan cerita karut untuk
membohongi rakyat lagi. Ketika Mahathir cuba menyelesaikan masalah ekonomi negara dulu, dia sengaja tidak berani
menerima bantuan IMF dan Bank Dunia. Dia ketakutan bahawa semua syarikat yang dipunyai
oleh anak-anaknya akan terdedah. Seperti yang berlaku di Indonesia, syarat utama IMF dan
bank Dunia membantu ialah penutupan beberapa bank dan syarikat yang dipunyai oleh
anak-anak Suharto dan para kroninya. Mahathir sudah nampak bahana prasyarat itu dan
menolak cadangan mereka. Tetapi, apakah yang dicakapkannya kepada seluruh dunia luar dan
juga rakyat negara ini? Dia mahu laksanakan proses pemulihan ekonomi mengikut acuan dan
formula sendiri. Sebenarnya ketika itu dia terlalu tertekan kerana takut rakyat bangkit
menghumbankannya kerana kebiadapan menghina Saudara Anwar Ibrahim.
Di UPM Mahathir mengaku betapa cetek pengetahuannya dengan Teori Kewangan kerana dia baru
sedar bahawa wang tidak bergerak (seperti yang pernah saya tulis beberapa kali dalam siri
ini). Oleh kerana dia baru sedar akan ilmu pengetahuan ini barulah dia sanggup mengaku.
Tetapi, bayangkan sendiri bagaimana para menterinya sanggup membawa keluar banyak wang
secara fisikal, sedangkan mereka mentadbir negeri dan negara? Kalau mereka tidak memahami
Teori Kewangan ini bagaimanakah mereka mentadbir ekonomi yang berpaksikan peruntukan wang
yang banyak? Ini adalah satu bukti yang sah betapa Mahathir terlalu suka sangat berbohong
sehinggakan dia sanggup menggadaikan masa depan negara ini.
Mahathir mampu berbohong besar, kerana rakyat negara ini secara keseluruhannya tidak
mampu membayangkan berapa banyakkah sebenarnya wang yang bernilai RM1 juta? Apakah
bezanya dengan wang yang bernilai Dua bilion setengah yang digunakan untuk mendirikan
Menara Kembar Petronas itu? Ketidakupayaan rakyat secara keseluruhannya mengetahui kuasa
pembelian yang ada pada wang negara ini (The purchasing Power of Money) makanya Mahathir
mudah sangat menipu dan berbohong. Di Melaka satu ketika dulu, satu botol kecil cencaluk boleh dibeli dengan harga kurang
daripada dua ringgit. Kini, botolnya dikecilkan sehingga isinya setengah sahaja dan
dijual di luar kawasan Melaka dengan harga dua kali ganda. Kerana itu, di rancangan tanah
negara ini sekarang, para petani yang tidak menerima bantuan daripada anak-anak yang
bekerja di pekan dan bandar merasa sangat betapa tertekan hidup mereka. Semakin ramai
yang berbalik dengan cara kehidupan lama di mana mereka memakan nasi dengan berlaukkan
bawang dan ikan bilis mentah yang direndam dengan kicap sehaja. Di bandar-bandar pula,
keluarga Melayu yang baru berumah tangga masih tercungap-cungap untuk hidup selesa secara
berjimat kerana setiap bulan masih perlu mengirimkan wang ke kampung untuk membantu.
Pembohongan Menjadi Agenda Besar
Mahathir menjadikan 'pembohongan' sebagai satu agenda besar setiap kali dia bersemuka
dengan rakyat. Mahathir sudah tidak relevan tetapi dia tidak menyedarinya. Dia sanggup
menghabiskan masa dan wang rakyat kepada upacara yang remeh-temeh untuk berbohong lagi.
Pada minggu yang lalu dia menaja majlis berbuka puasa dengan kumpulan yang disebut
sebagai bekas ahli PAS Terengganu. Mungkin Mahathir diberikan nasihat yang salah ataupun
dia sendiri mempunyai otak yang sudah banyak berubah. Apa gunanya berfalsafah dengan
golongan ini kerana mereka sudah tinggalkan PAS dengan kerelaan hati. Lainlah kalau
mereka memegang jawatan dalam PAS (ataupun parti pembangkang yang lain dalam Barisan
Rakyat) yang boleh dipancing dan diputarkan minda agar berubah untuk masuk UMNO.
Tindakan Mahathir dan para pemimpin UMNO seperti itu memberikan gambaran bahawa Mahathir
sudah tidak relevan lagi dalam pucuk kepimpinan negara ini. Gelagat seperti itu dianggap
sebagai satu petanda oleh pelabur asing untuk menjauhkan diri daripada pasaran di
Malaysia ini. Rakyat sedar kini, betapa Mahathir dan banyak lagi pemimpin UMNO yang sudah menyimpang
jauh daripada ikrar mereka untuk memajukan negara dan bangsa. Pembohongan sudah menjadi
satu agenda yang paling besar kepada Mahathir. Oleh kerana terlalu galaknya UMNO dan
Mahathir berbohong kepada rakyat, tidak ada satu isu baru yang tidak dicurigai oleh
rakyat marhaen. Apa pun yang cuba ditonjolkan oleh para pemimpin UMNO dan BN diterima
oleh rakyat marhaen dengan sinis. Kerana itu, isu hangat ditonjolkan secara berganti
laksana pulut panggang yang boleh dibau keharumannya ketika dihangatkan. Hilang panasnya,
hilanglah baunya dan hilanglah selera para pembelinya. Begitulah yang terjadi kepada
Mahathir, dan juga kepada pucuk kepimpinan UMNO yang diarah untuk meniru cara
kepimpinannya. Mereka suka mengambil jalan mudah menipu rakyat dengan isu hangat yang
tidak membawa banyak makna. Mahathir sudah kerap melatah dan kini melatih pemimpin kanan
UMNO yang lain untuk melatah sama.
Sepatutnya Mahathir dan pemimpin UMNO fikirkan masalah yang menghimpit orang Melayu. Di
bandar-bandar masih ramai keluarga Melayu yang tidak mampu menggunakan peti-ais, kerana
memberikan keutamaan kepada pelajaran anak-anak yang semakin tinggi. Di kampung ramai
keluarga yang bertambah miskin kerana kurang sokongan daripada anak-anak yang berhijrah
ke bandar. Cuba perhatikan apakah isu hangat yang pernah ditaja oleh Mahathir dan kerajaannya sejak
kempen pilihanraya Lunas dulu: Tetapi, segala tohmahan terhadap Mahfuz dan sahabatnya Salahuddin Ayub dan Pak Amjal itu
adalah satu pembohongan juga. Kalau Mahfuz mahu lancarkan gerakan intifada, tentu dia
tidak menunggu selepas dia keluar penjara. Dia boleh lakukan ketika Mahathir mengumumkan
penggunaan bom molotov dan taktik ganas oleh pihak pembangkang pada awal tahun ini.
Pembohongan akan tercetusnya 'intifada' itu dirancang begitu jitu sehinggakan Paklah dan
Najib menjadikan kisah itu sebagai tema ucapan mereka dan Senator Zainuddin Maidin pula
memilih perkara yang sama secara sindiran di Dewan Negara.
Kita dapat rasakan betapa Mahathir dan UMNO mahu memperli Mahfuz kerana risaukan
munculnya kembali isu perdebatan di antara Mahfuz dengan Hishamuddin Hussein. Semua orang
tahu, apakah tahap kepintaran Hisham kalau dia berdebat dengan Mahfuz. Semua orang juga
sedar bahawa perdebatan itu akan membogelkan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO secara
keseluruhannya. Kalau kita lihat masalah yang dicetuskan sekarang untuk menggugat
masyarakat Cina, masalah yang dikaitkan kepada Suqui menjadi satu masalah besar.
Keceluparan Mahathir menuduh yang bukan-bukan terhadap masyarakat Cina adalah satu taktik
untuk meraih sokongan orang Melayu terhadap UMNO. Mahathir tidak sedar, orang Melayu
sudah meluat dengannya. Lagipun sudah semakin ramai anak-anak Melayu yang belajar di
sekolah Cina dan memberikan maklum balas betapa mereka selesa dan gembira dengan
pendidikan di sana. Dengan lain perkataan, ramai rakyat marhaen Melayu yang sudah lebih
dulu mempraktikkan konsep Sekolah Wawasan atas usaha sendiri, tanpa menunggukan usaha
kerajaan. Apabila Mahathir menuduh Suqui sebagai komunis dan setaraf dengan Al Maunah,
tentu sekali tuduhan itu turut memalukan golongan Melayu yang menghantar anak-anak
belajar di Sekolah Cina, selama ini.
Demikianlah proses Mahathir membohong setiap hari. Dia fikir dia mampu menipu lebih lama
lagi. Dia sanggup sebut nama orang asing seperti Bill Gates semata-mata untuk melakukan
projek Multimedia Super Corridor sedangkan semua orang tahu, kalau Bill Gates
betul-betul setuju menyokongnya, tentulah Bill Gates sudah pindahkan pejabat wilayah
Microsoft di Singapura ke kawasan MSC itu. Sebaliknya kita lihat Sun Computers yang
merupakan satu lagi syarikat yang besar di dunia sudah mengalihkan pejabat wilayah mereka
daripada Malaysia ke Singapura.
Begitu juga mengenai hubungan rasmi di antara Malaysia dengan Israel yang dinafikan oleh
Mahathir. Kalau tidak mahukan hubungan rasmi kenapakah beliau menulis surat-tahniah
kepada Ehud Barak? Kenapakah Mahathir merestui pemergian Tengku Abdullah ke Israel
sebagai wakil proksi beliau. Kenapakah beliau izinkan Hamid Albar berbincang dengan
menteri luar Israel? Kenapakah Malaysia membeli kelengkapan perang daripada Afrika
Selatan, kerana semua syarikat pengeluar kelengkapan perang di situ adalah syarikat yang
dipunyai sepenuhnya oleh Kerajaan Israel? Mahathir sudah biut dan mahu rakyat turut biut
juga? Ekonomi Malaysia Yang Semakin Genting
Kesan daripada pembohongan yang menjela-jela itu, negara ini tidak mempunyai agenda lain
yang mengambil kira kesempitan hidup rakyat marhaen. Setiap hari Mahathir dan pucuk
pimpinan UMNO berhadapan dengan rakyat mereka hanya bercakap bohong. Kalau tidak ada
pembohongan baru, mereka akan membesarkan dan buat kerja-kerja 'refresh' terhadap cerita
bohong lama. Inilah yang jelas berlaku setiap kali Mahahtir bertemu dengan rakyat. Di UPM
dia bercerita mengenai apa yang pernah dicakapkannya sejak dua tahun lalu di luar negara.
Itu juga yang diceritakannya kepada negara Afrika dalam tajuk 'bagaimana dia
menyelamatkan Malaysia tanpa bantuan Bank Dunia.'
Cerita pembohongan memang isu menarik di mana saja. Itu sebabnya di zaman dulu, orang
yang bergelar penglipur lara dan juga khadam istana mempunyai peranan yang besar dalam
sejarah bangsa. Begitu juga dengan orang yang bergelar tukang-karang dan tukang-karut.
Mereka pun mendapat tempat yang baik dalam masyarakat Melayu. Kini, bilangan orang
semacam itu sudah semakin pupus. Tempat mereka telah digantikan oleh ramai pemimpin UMNO.
Raja segala penglipur lara, khadam istana, tukang karang dan tukang karut itu adalah
seorang insan yang juga bergelar dengan nama Raja Kelentong. Oleh kerana pintarnya
Mahathir berbohong, dia mampu memainkan peranan lima watak yang disebutkan itu dalam
setiap waktu. Pembohongan yang dicerna oleh Raja kelentong ini mampu melalaikan anak bangsa terhadap
peranan mereka untuk melayari hidup yang semakin terhimpit ini. Oleh kerana mereka
diasak dengan segala pembohongan itu, makanya mereka tidak sedar akan keadaan kehidupan
sebenar yang semakin berubah dan semakin merumitkan. Kerana itu apabila Raja Kelentong
menyekat kebebasan akhbar dan berhimpun secara aman, rakyat akur saja.
Oleh kerana tekanan itu berpanjangan dan dilakukan bertubi-tubi, rakyat marhaen sudah
semakin bingung dengan cara hidup mereka. Kadar sara hidup semakin mencengkam, tetapi
kepada siapakah mereka boleh mengadu? Setiap kali mereka bersua dengan Mahathir dan para
pemimpin BN, mereka diberitahu agar tahu bersyukyur kepada apa yang diizinkan di negara
ini. Mereka diingatkan agar waspada dengan orang asing. Malahan mereka diberitahu untuk
pergi keluar negara dan hidup di sana kalau tidak puas hati hidup di negara ini.
Demikianlah taktik yang digunakan oleh Mahathir untuk mengkucar-kacirkan minda rakyat
marhaen. Inilah taktik memujuk, memuji, mengugut dan memaksa yang dilakukannya secara
bersahaja dan diselang-selikannya dengan segala bentuk pembohongan yang dirancangnya
terhadap rakyat marhaen. Mahathir dan pemimpin BN yang lain, harus sedar bahawa tabiat
berbohong ini sudah sampai ke kemuncaknya. Satu ketika dulu ia boleh dipercayai rakyat
kerana ada unsur-unsur putaran minda dan silap mata. Kini, unsur-unsur itu semakin tumpul
dan sudah tidak berbisa. Keresahan rakyat menjadi intipan pelabur asing. Semakin ramai yang menarik pelaburan
mereka dan meminggirkan Malaysia. Beberapa syarikat tersenarai di BSKL yang tenat
disebabkan hutang bertapuk sedang dihukum oleh para pelabur. Inilah yang akan menjadi
bahan utama menyedarkan rakyat untuk menghukum Mahathir. Mahathir dan UMNO sedang
menggelupur mencari sokongan Melayu dengan memainkan isu perkauman membabitkan kaum Cina.
Rakyat semakin bersedia dan akan bertindak menunggu masa bila Mahathir akan pergi -
secara sukarela ataupun secara yang akan mengaibkan dirinya dan keluarganya begitu teruk
sekali. |