Laman Webantu KM2A1: 3439 File Size: 20.4 Kb * |
BG: Perbahasan Putrajaya Jadi WP di Parlimen. By Dr Tan Seng Giaw 17/12/2000 4:24 pm Sun |
Perbahasan Parliament untuk menjadikan Putrajaya Wilayah Persekutuan
Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen
Kepong ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang meminda
Perlembagaan Persekutuan 2000 di Dewan Rakyat pada 11 Disember 2000.
Kerajaan Persekutuan haruslah lebih telus dan bertanggungjawab (akauntabel)
di dalam pembangunan Putrajaya dan kawasan-kawasan sekitarnya termasuk
Multimedia Super Corridor, MSC. Tuan Yang di-Pertua, Saya bangun untuk mengambil kesempatan dalam perbahasan ini. Yang
pertamanya, saya berasa gembira kerana (dengan) hadirnya Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri (Dato ' Seri Dr Mahathir Mohamad), kita dapat peluang untuk
bertemu dengan hampir semua menteri. Syabaslah betul [Ketawa][Sorak]. Saya
pernah mencadangkan supaya untuk (mendapat) senario ini Yang Amat Berhormat
datang ke Dewan mungkin dua kali seminggu. Kalau sibuk, tiap-tiap kali 10
hingga 15 minit pun cukup. Ini memang satu amalan yang baik untuk menjawab
soalan. Dato ' Haji Azmi Bin Khalid [Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli
Parlimen Padang Besar]: Boleh saya Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ada yang berdiri
Yang Berhormat. Dr Tan Seng Giaw: Tidak boleh? Kalau saya puji pun tidak boleh?
Dato ' Haji Azmi bin Khalid: Bukan, saya hendak tanya, kami beberapa orang
menteri pernah datang ke Dewan untuk menjawab soalan daripada pembangkang,
tetapi banyak kali pembangkang yang sepatutnya ada dalam Dewan tidak ada.
[Tepuk] Banyak kali. Bermakna pembangkang begitu juga.
Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Padang Besar
memang hadir dengan kerap kali, saya nampak. Itu baik, amalan baik. Sungai
Siput pun (Dato ' Seri S. Samy Velu) [Ketawa] dan kadang kala Pekan pun ada.
Itu satu amalan baik. Cuma, kalau kata pihak pembangkang tidak ada, itu
tidak benar. [Ketawa]. Pihak Barisan Nasional kadang-kala pun tidak ada
juga. Kalau ada yang keluar untuk minum teh, itu bukan tidak hadir.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Terus, terus
(membahas) undang-undang Yang Berhormat.
Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, cuma saya sebutkan tadi kalau Yang
Amat Berhormat datang pada tiap-tiap sesi Parlimen, dua kali seminggu kalau
tidak sibuklah, kalau tidak keluar negara, 15 minit cukup dah. Kita boleh
menyaksikan kereta-kereta di pekarangan Parlimen ini penuh. Seronok saya
tenguk. [Ketawa]. Tuan Yang di-Pertua, Pada awal 70-an semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri,
satu rang undang-undang sudah dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini
untuk menjadikan Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan. Kemudian, ada satu rang
undang-undang untuk Labuan dan hari ini kita ada rang undang-undang untuk
Putrajaya. Sebenarnya, Janda Baiklah (di Pahang) patut jadi Putrajaya. Pada
tahun 80-an, ada ura-ura terutamanya daripada Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri sendiri sejurus selepas beliau menjawat jawatan Perdana Menteri,
saya nampak beliau berminat dengan Janda Baik.
Seorang Ahli: Janda yang baik. Dr Tan Seng Giaw: Janda yang baik. Memang. [Ketawa]. Dengan itu, ada orang
yang kejar ke situ untuk membeli tanah dan kalau tidak silap saya masih ada
pegawai-pegawai ataupun menteri mungkin yang ada tanah di Janda Baik.
Tetapi, kerana faktor-faktor yang tertentu (tidak payah disebut di sini),
projek itu dibatalkan sama sekali dan sekarang kita ada Putrajaya (di
Sepang). Konsep ini bukan satu konsep yang tidak baik, memang baik. Kuala
Lumpur (yang mempunyai) kawasan yang terhad, kalau semua aktiviti
pentadbiran, perniagaan dan perdagangan ada di sini pun memang tidak baik.
Kuala Lumpur tidak boleh menampung semua. Kalau kita kira zaman sekarang,
Putrajaya ini dekat juga, tidak jauh. Memang satu konsep yang baik
RM 3 atau 5 bilion untuk Putrajaya?
Ada beberapa soalan. Yang pertamanya, saya diberitahu pada peringkat yang
awal RM 3 bilion akan dibelanjakan. Dan ada yang sebutkan jumlah yang akan
dibelanjakan RM 5 bilion. Saya tidak tahu jumlah yang sebenarnya. Kita bukan
berminat dengan Putrajaya sahaja, (bahkan) dengan seluruh Multimedia Super
Corridor, MSC, yang meliputi Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan KLIA.
Jumlah yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan mungkin mencecah RM 15 bilion.
Ini (adalah) satu angka yang begitu besar untuk negara ini. Moga-moga, kita
dapat faedah dan negara akan maju. 500 projek di Putrajaya Saya tidak faham macam mana jumlah projek mungkin 500 di Putrajaya diagihkan
kepada pihak pemaju ataupun konsortium. Adakah benar bahawa ini dibahagikan
kepada fasa satu, fasa dua, fasa tiga? Misalnya, fasa satu diberikan kepada
Hong Leong dan fasa dua dan fasa tiga dan setrusnya diberikan kepada
konsortium-konsortium yang lain. Macam mana kita membahagikan projek-projek
ini untuk dimajukan sebab tidak ada ketelusan yang cukup, banyak yang
khuatir mungkin ada pembaziran, mungkin ada diagihkan kepada segelintir
orang sahaja. Saya pun tidak tahu apa sebenarnya di dalam perkara untuk
melantikkan konsortium-konsortium memajukan Putrajaya.
Yang Amat Berhormat, silalah mengumumkan kepada kita semua, apakah reka
bentuk misalnya bangunan pentadbiran, masjid dan lain-lain. Kalau kita
tengok kenyataan Yang (Amat) Berhormat sendiri, katanya inilah satu bukti
yang menunjukkan kemerdekaan Malaysia untuk mempunyai architecture yang unik
bagi Malaysia, untuk menunjukkan mercu tanda Malaysia yang begitu unik, yang
begitu baik dan saya nampak daripada luar seperti Palais de Nation di
Switzerland, di Geneva. Saya nampak daripada luar macam itu. [Ketawa].
Mungkin salah satu reka bentuk itu (berasal daripada) pihak pakar (yang)
sudah menengok Palais di Nation dan kita ada banyak aspek dan sifat yang
merupakan bangunan yang saya sebutkan di Geneva itu. Walau bagaimanapun (di)
bangunan untuk (Pertubuhan) Bangsa Bangsa Bersatu di Geneva ini ada banyak
perbincangan ataupun konferensi yang penting yang pernah diadakan dalam
(tempoh) lebih 50 tahun ini. Tuan Yang di-Pertua, saya tadi ada dengar ucapan Yang amat Berhormat
mengenai penerusan undang-undang yang sedia ada. Dengan adanya Putrajaya
sebagai Wilayah Persekutuan, adakah ini bermakna kalau ikut rang
undang-undang ini segala undang-undang bertulis termasuk undang-undang yang
dinyatakan dalam Seksyen 51 selain undang-undang tubuh kerajaan negeri
Selangor yang sedia ada berkuatkuasa di dalam kawasan yang diperihalkan
dalam Seksyen 2 sebaik sebelum permulaan kuat kuasa akta ini hendaklah terus
berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya. Adakah ini bermakna
segala undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri akan terus
diguna pakai di kawasan Putrajaya. Ini memang berterusan undang-undang yang
sedia ada. Ini memang satu perkara yang dibangkitkan oleh Yang Amat
Berhormat tadi. Dan Yang Amat Berhormat, saya juga (mendapat) tahu (daripada
kenyataan) setengah-setengah orang semasa sebelum perjanjian ditandatangani
di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Pusat pada 7 November
2000 itu, pihak kerajaan tidak ada musyawarah atau perbincangan dengan
pihak-pihak yang tertentu dari negeri Selangor.
Perlu musyawarah Dan saya berpendapat (Putrajaya menjadi Wialayah Persekutuan) ini bukan satu
perkara (yang) kita perlu segerakan dengan adakan rang undang-undang begitu
cepat. Mungkin kita boleh tunggu enam bulan ataupun satu tahun dan kita
bincangkan dengan semua pihak di negeri Selangor, apakah pendapat mereka
mengenai wilayah ini dijadikan Wilayah Persekutuan walaupun saya sendiri
percaya dengan adanya Putrjaya ini nescaya wilayah ini akan dijadikan
Wilayah Persekutuan. Itu satu perkara yang tidak boleh dielakkan. Walau
bagaimanapun mengapa Yang Amat Berhormat tidak adakan perbincangan.
Maklumlah dengan zaman yang moden, zaman k-ekonomi dan zaman Internet dan
globalisasi ini kita perlu adakan perbincangan dan musyawarah dengan lebih
terbuka, yang lebih mengambil masa untuk menentukan majoriti bersetuju
dengan apa yang dibuat dengan membentangkan Rang Undang-Undang hari ini.
Dan saya nampak Yang Amat Berhormat walaupun Kerajaan ataupun Yang Amat
Berhormat sendiri katakan pihak pembangkang memfitnah dan sebagainya, tetapi
kita tidak adakan musyawarah dan sebagainya, itu apa yang disebutkan sebagai
fitnah itu akan berkesan. Kalau kita terus terang mengatakan apakah
sebenarnya berlaku dengan Putrajaya dengan hasrat untuk menjadikan Wilayah
Persekutuan, memang majoriti itu akan faham sedikit sebanyak kalau kenyataan
itu benarlah. Walau bagaimanapun kita adakan Internet dan media-media
seluruhnya, kalau hakikat dan kenyataan lama-lama orang akan tahu. Itu
benar. Itu bukan bohong punya. Memang begitu, kita tidak boleh membohong
untuk selama-lamanya. Tidak boleh. Dan ini memang satu
Timbalan Yang di-Pertua [Datu ' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, teruskan Yang
Berhormat. Jangan pandang belakang, Yang Berhormat, tidak kena-mengena.
Imbang kependuduk Putrajaya Dr Tan Seng Giaw: Dan satu perkara lagi dengan Putrajaya akan menjadi
kawasan Parlimen dan saya nampak sekarang ada mungkin lebih 700 keluarga
sudah mendiami Putrajaya. Dan kalau tidak silap saya mungkin pihak Kerajaan
akan terus membangun Putrajaya sehingga mencapai, mendapat, mungkin 10 ribu
keluarga atau 50 ribu keluarga di situ. Dan bolehkah Yang (Amat) Berhormat
terangkan apakah konsep dan dasar Kerajaan untuk penduduk-penduduk di
Putrajaya. Adakah Putrajaya akan menjadi hanya satu kawasan untuk kakitangan
kerajaan sahaja. Ataupun 30% akan diberi kepada pihak yang lain untuk
mendiami kawasan itu. Dan kalau ikut trend sekarang, mungkin satu bandaraya
untuk kakitangan, untuk keluarga kerajaan sahaja, tidak ada orang yang lain.
Dan kita perlulah tahu, apakah kita akan buat untuk menyeimbangkan
kependudukan di Putrjaya itu. Para spekulator rakus Seterusnya, saya hendak menyeru supaya kita berhati-hati. Saya nampak ada
banyak spekulator dan banyak petualang mengambil kesempatan seperti dengan
(apa yang) saya sebutkan (mengenai) Janda Baik. Bila kita dengar ura-ura
(projek Putrajaya), ada orang kejar (ke situ) untuk membeli tanah di
Putrajaya dan di kampung-kampung di sekitarnya termasuk Kampung Sungai Merab
dan kawasan-kawasan yang sekitarnya. Memang ada orang yang mengambil
kesempatan. Dan di sini saya sering dengar Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri ada kata para spekulator yang rakus di peringkat antarabangsa yang
menjatuhkan mata wang kita kerana kelemahan architecture kewangan
antarabangsa. Dan di sini, kita mestilah juga menjaga spekulator-spekulator
ini supaya tidak merosakkan kawasan-kawasan bukan sahaja Putrajaya, (bahkan
kawasan-kawasan) di sekitarnya. Memang dengan Putrajaya dijadikan pusat
pentadbiran negara, kawasan-kawasan sekitarnya akan membangun. Dan saya
meramalkan bahawa jalan ke KLIA dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan penuh
dengan bangunan di sekitarnya. Memang itu satu trend dan kita perlulah
memastikan semua spekulator atau petualang-petualang tidak akan berjaya
untuk merosakkan semua yang ada di kawasan itu.
Mengenai harga tanah. Saya nampak harga tanah di kawasan Putrajaya dan
sekitarnya telah meningkat dengan banyak dan kalau kita hendak beli sebuah
banglo kalau kita ada RM 300 ribu atau RM 400 ribu sudah tida boleh
(membeli) sekarang dan mungkin akan menjadi seperti Singapura ataupun Hong
Kong. Satu banglo berpuluh juta ringit, dan Yang Amat Berhormat atau menteri
dalam Jabatan Perdana Menteri pernah mengatakan pada tahun 2020 satu hektar
tanah di Putrajaya akan mencecah RM 200 juta. Memang satu harga yang sangat
tinggi. Saya berharap Yang Amat Berhormat dapat mengkaji semua ini kerana
trend kalau terlalu mahal pun tidak guna juga. Kita mesti ada satu mekanisme
untuk mengawalkan semua ini. Kalau tidak, habislah semua. Harga yang begitu
tinggi, orang miskin macam mana ada peluang untuk mendiami kawasan-kawasan
yang hampir dengan Putrajaya. Saya percaya ini bukanlah hasrat Yang Amat Berhormat untuk mengadakan
Putrajaya. Kita hendak mengimbangkan semua dan kalau harga yang begitu
tinggi sampai RM 200 juta satu hektar memang oramg miskin tidak mampu.
Spertimana yang di sebutkan Yang Amat Berhormat tadi, orang yang kayamudah
menjadi kaya lagi, tetapi miskin hendak jadi kaya, susah. Yang Amat
Berhormat sendiri pun menjadi penjaja sebelum ini, semasa kacil, tahulah
susah payah orang miskin untuk mencapai tahap kekayaannya. Ini memang satu
(perkara yang penting). Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita perlu
adakan satu kaedah untuk memastikan Putrajaya atau kawasan-kawasan
sekitarnya, harga janganlah melambung kepada tahap yang begitu tinggi
sehingga orang biasa tidak mampu untuk menyertai atau menikmati apa yang
diadakan di Putrjaya dan kawasan sekitarnya.
Alam sekitar Saya hendak bangkitkan satu perkara lagi mengenai alam sekitar dan
aspek-aspek fizikal di Putrjaya dan kawasan sekitarnya. Tuan yang di-Pertua,
bila kita sebutkan Putrajaya, sebenarnya kita sebutkan kawasan bukan sahaja
10 ribu ekar. Kita sebutkan kawasan-kawasan hampir iaitu kawasan di sekitar
Putrajaya, sebahagian besar negeri Selangor. Memang kita sebutkan demikian
dan sebab itulah saya nampak alam sekitar sudah terjejas di
setengah-setengah tempat. Kita boleh tengok bukit-bukau itu gondol dan
botak. Dan walaupun kita nampak cantik apabila kita masuk ke Putrajaya dan
sekitarnya nampak cantik juga, walaupun begitu, tetapi di sekitarnya
(berlainan sedikit). Dan saya nampak ada taman di Putrajaya. Saya berharap
taman ini dijaga dengan baik. Tetapi, disekitarnya tidak boleh kita benarkan
bukit-bukau itu botak. Tidak guna juga. Hampir di Kajang pun kita tengok
bukit-bukau itu botak. Dan seolah-olah kenyataan dan amaran Yang Amat
Berhormat sendiri (kerana pernah Yang Amat Berhormat naik helikopter ataupun
terbang tengok bukit bukau itu botak dan gondol) tidak begitu berkesan. [Ada
ahli yang mengatakan naik helikopter berpusing-pusing]. Ini memang satu
perkara yang saya sedarkan, macam mana[Disampuk]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya, terus Yang Berhormat,terus.
Dr Tan Seng Giaw: Pusign sudah. Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Muhamad bin Abdullah]:Terus.
Dr Tan Seng Giaw: (Yang Berhormat) Rompin, kita perlu jadi contoh teladan.
Saya bercakap di sini, janganlah cakap di situ. Tidak baik.
Timbalan Yang di-Pertua: Saya ingat Rompin diam sahaja yang Berhormat, dalam
perhatian saya. Dr Tan Seng Giaw: Tidak diam. Timbalan Yang di-Pertua: Teruskan, terus.
Dr Tan Seng Giaw: Tidak diam. Tengok Yang Berhormat bagi Shah Alam dengan
dia di sana. Dan perlulah kita jaga alam sekitar kita walaupun kita hendak
pembangunan. Kita mestilah jaga supaya alam sekitar tidak terjejas dan
maklumlah tidak banyak tempat yang ada bukit-bukau lagi dengan hutan kita
semakin hari semakin musnah di kawasan ini kerana pembangunan. Dan saya
setuju kita mesti ada pembangunan tetapi kita tidak boleh abaikan alam
sekitar juga. Kita hendaklah mengekalkan satu keseimbangan untuk menjaga
alam sekitar kita. Pelaksanaan ICT Cuma satu perkara lagi iaitu mengenai pelaksanaan ICT( Information and
communication technology) ataupun Yang Amat Berhormat sendiri sentiasa
tekankan begitu pentingnya ICT ini di kawasan-kawasan ini. Saya sebutkan hal
ini kerana hasrat saya juga bersama-sama untuk menyaksikan kejayaan MSC dan
Putrajaya memang mamainkan peranan yang penting untuk menjadikan MSC lebih
berjaya. Bolehkah Yang Amat Berhormat terangkan. Saya berharap yang
Berhormat (para penyokong Kerajaan) jangan kacau kerana ini bukan (kelaur
daripada tajuk). Kalau kita bincangkan Putrajaya, kita mestilah bincangkan
MSC. Sebenarnya, ini (adalah) salah satu bahagian untuk[Sampuk].
Dan Bill Gates misalnya bila dia datang tengok Cyber city, tengok Putrajaya,
dia kata memang satu perkara yang menggembirakan. Dia kata nampaknya
perkembangan begitu pesat dan sebagainya dan ada perjanjian dia, MoU dengan
Universiti Multimedia. Kemudian saya, mungkin bernilai RM 10 juta
Dato ' Dr Haji Jamalauddin bin Dato ' Mohd. Jarjis: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Dato ' Haji Mohamad bin Abdullah): (Yang Berhormat)
Rompin berdiri Yang Berhormat. Ada yang berdiri ya. Hendak beri jalan.
Dr Tan Seng Giaw: Rompin. Saya kata MSC memang ada termasuk dalam Putrajaya
ataupun Putrajaya masuk di dalam MSC. Apa sibuk lagi.
Timbalan Yang di-Pertua: Hendak beri jalan Yang Berhormat. Hendak beri jalan.
Dato ' Dr Haji Jamaluddin bin Dato ' Mohd. Jarjis: Terima kasih Yang Berhormat
bagi Kepong kerana menyokong usaha Kerajaan untuk membangunkan Putrjaya.
Kita mengucapkan syabas kepada Kepong. Minta pandangan Kepong. Saya nampak
dalam perkara 46 itu dicadangkan seorang wakil untuk mewakili Putrjaya.
Adakah Kepong sanggup meletakkan jawatan sebagai Ahli DAP dan ditimbang oleh
Kerajaan mewakili Putrajaya. Dr Tan Seng Giaw: Tuan Yang di-Pertua, Rompin sebenarnya tidak tahu apa yang
dia cakap tadi. [Ketawa] Kalau hendak mengambil hati Yang Amat Berhormat,
itu bukan caranya [Sorak] [Tepuk]. Seorang Ahli: Ampu sana, ampu sini. [Ketawa]
Dr Tan Seng Giaw: Yang Amat Berhormat, saya nampak Bill Gates sebab saya
berminat kalau Bill Gates boleh melabur dengan banyak kita untung. Tetapi,
cuma ada satu memorandum of understanding ' dengan mungkin bernilai RM 10
juta, itu tidak bermakna. Walaupun ada bertelefon, ada bercakap dengan Yang
Amat Berhormat, dia kata satu jam tiap-tiap kali, dua, tiga kali dia datang
ke Malaysia, tiga kali kalau tidak silap saya. Tetapi, mengapa dia tidak
melabur di Malaysia. Ini memang, di Putrajaya ataupun di MSC. Itu saya
berasa hairan juga. Dia hendak letakkan, ambil wang dia pergi ke Bangalore,
India, dia berminat. Tetapi, di sini tidak begitu berminat. Ini satu perkara
yang saya berharap Yang Amat Berhormat dapat mengambil kira sebab kita
hendak menyaksikan Putrajaya ataupun MSC berjaya di negara ini.
Ini memang satu perkara yang penting. Bukan sahaja saya hendak menyaksikan
kejayaannya bahkan saya juga berharap Yang Amat Berhormat boleh berhati-hati
melalui mungkin MDC supaya kita dapat mengawal dengan lebih awal lagi banyak
syarikat termasuk dot.com, (yang) saya nampaknya tidak sihat. Dan Yang Amat
Berhormat sendiri ada sebutkan bukan kita adakan dot.com dengan
syarikat-syarikat yang tidak mempunyai kepakaran (sahaja), (bahkan) tidak
mempunayi rancangan yang baik kerana saya khuatir di Malaysia, di MSC juga,
ada syarikat-syarikat terutamanya syarikat dot.com akan gagal sama sekali.
Ini memang saya memberi amaran lebih awal lagi supaya kita berhati-hati
sungguh kita hendak adakan MSC dengan berjaya dan dot.com kita tidak akan
gagal. Saya nampak di Australia misalnya banyak syarikat dot.com yang gagal
sama sekali. Kerana bila kita adakan dot.com dan sebagainya, pekarja-pekerja
memang pakar di dalam bidang-bidang itu. Apabila syarikat itu gagal sama
sekali, dia menganggur, tidak dapat kerja lagi kerana ia satu kerja yang
khusus dan sebab itulah saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru supaya
Yang Amat Berhormat berhati-hati mengenai hal ini.
Tadi saya ada sebutkan, yang pertama ialah kita perlukan ada musyawarah
dengan penduduk-penduduk di negeri Selangor walaupun kita boleh ada
perjanjian, kita boleh luluskan rang undang-undang tubuh di negeri Selangor
dan kita di sini boleh luluskan (rang undang-undang ini) kerana pihak
Barisan Nasional mempunyai majoriti dua pertiga dan sebab itu memang boleh
diluluskan dengan begitu cepat. Tetapi musaywarah dengan rakyat mestilah
diadakan dan juga kita tidak perlulah luluskan undang-undang dengan begitu
cepat sebelum rakyat faham apa yang kita buat.
Seterusnya saya ada tekankan begitu pentingnya kita dapat menarik orang
seperti Bill Gates untuk melabur di MSC and juga di Cyberjaya, di Putrajaya,
supaya kita boleh sama-sama menyaksikan kejayaan di dalam MSC dan Putrajaya
dan di sinilah dengan adanya Putrjaya sebagai Wilayah Persekutuan (memang
tidak boleh dielakkan). Walaupun di pihak sini, ada orang yang tidak begitu
puas hati dengan cara untuk mengadakan Putrajaya sebagai Wilayah
Persekutuan, tetapi (ia) akan diluluskan, saya nampak. Walau bagaimanapun,
Yang Amat Berhormat perlulah fikir soalan-soalan yang saya bangkitkan tadi
supaya kita boleh menjadikan Putrjaya yang lebih baik. Sekian, terima kasih.
|