Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 26
[Sejarah menunjukkan UMNO berpecah kerana ada pemimpinnya sendiri yang sengaja
beragenda. Bayangkan BANYAK perpecahan itu berlaku di zaman Diktator tua itu
sendiri. Dan ia berputik bukan dari luar, tetapi dari petualang dalam sendi UMNO
yang sengaja menikam demi kepentingan diri. Perbuatan yang jijik lagi keji bukan
keganjilan lagi sejak Mahathir menampilkan diri. Akhirnya musnahlah kesemua
kemakmuran yang dinikmati rakyat selama ini bila kekayaan berkitar dalam saku
para kroni. Dikatakanlah "Malaysia Boleh", sedangkan kekuatan dana negara semakin
menipis dan kekuatan berugama semakin terhakis. Tinggallah rakyat dengan menara
yang tinggi-tinggi yang kosong kurang berisi atau stadium besar yang lengang
tak tersorak lagi. Ugama dan maruah sudah dicemari dan murtad menjadi-jadi.
Malangnya masjid pula makin dipagari... tetapi regim Israel dan dakyah songsang
diajak kemari saban hari. Sudah tentu kroni dan pemimpin tertinggi umno lah
dalang yang menjemput mereka lagi. Namun pembangkang asyik dipersalahkan lagi
dan lagi... - Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 26 : YANG BASI DAN BUSUK - BAHAGIAN II
Yang Basi Dan Busuk
(Bahagian II)
- Melayu Berpecah ataupun UMNO Yang Berpecah?
Setiap kali Mahathir dan para pemimpin UMNO bercakap di hadapan orang Melayu mereka kata
orang Melayu berpecah. Apakah betul ada perpecahan? Kalau perpecahan Melayu itu berlaku
dalam UMNO, adalah tidak adil kita katakan Melayu pada keseluruhannya yang sudah
berpecah. Perpecahan dalam UMNO, mesti diterima sebagai satu hakikat dan hukum karma
kerana tindak-tanduk kepimpinan yang durjana. Zam adalah salah seorang insan yang
bertanggungjawab kepada perpecahan UMNO itu. Perpecahan itu sudah berlaku tiga kali. Yang
pertama, ketika UMNO asal tergugat dengan penubuhan Parti Negara, yang kemudiannya
disusuli oleh penubuhan PMIP (sekarang ini disebut PAS). Yang Kedua, apabila UMNO asal
dibubarkan dengan penubuhan UMNO Baru(a) yang mencetuskan penubuhan Parti Semangat 46.
Yang Ketiga ialah apa yang sedang berlaku sekarang ini hingga mencetuskan penubuhan Parti
Keadilan dan sekaligus membuat UMNO merudum dan dibenci oleh majoriti orang Melayu.
Yang Zam dan Mahathir katakan Perpecahan Melayu itu adalah sebenarnya
perpecahan UMNO. Membawa dimensi lebih besar perpecahan dalaman itu dengan mengaitkan
adanya cacat-cela terhadap kemuafakatan orang Melayu, adalah satu tipu helah untuk
memutar minda orang Melayu juga.
Untuk mengetahui kenapa UMNO berpecah, adalah amat mudah. Semua jawapan itu ada sejak
tiga puluh tahun yang lalu, ketika Mahathir mula-mula sekali menyanggah Tunku Abdul
Rahaman Putra sebagai pemimpin yang tidak berguna. Surat yang dikirimkannya
kepada Tunku telah diterima oleh rakyat jelata terlebih dulu sebelum Tunku sempat membaca
surat yang dituju khas itu. Taktik yang sama berulang lagi dua puluh sembilan tahun
kemudiannya apabila satu affidavit terhadap Anwar diterbit-cetak di muka akhbar dulu
sebelum affidavit itu dibaca oleh mahkamah.
Zam tentu tidak akan menerima hakikat bahawa Mahathir adalah haiwan ekonomi (economic
animal) yang menyebabkan orang Melayu kehilangan apa yang disebut sebagai ketuanan
Melayu. Daim dan anak-didiknya hanya merupakan proksi Mahathir sahaja.
- Siapa Pegang Kuasa Ekonomi
Zam berpendapat bahawa Mahathir telah merancang agar orang Melayu menjadi satu bangsa
yang besar berasaskan kuasa ekonomi yang mesti ada pada mereka. Kerana itu Zam merakamkan
nama Tun Daim Zainuddin dan Abdul Halim Saad sebagai contoh haiwan ekonomi itu bersama
ribuan lagi nama orang kaya baru di merata negara. Sekali lagi Zam tersilap. Kuasa
ekonomi memang tidak ada pada orang Melayu selama ini. Yang ditayangkan oleh orang Melayu
itu adalah limpahan kuasa ekonomi yang mereka telah serahkan kepada sekumpulan manusia
pelahap yang bersekongkol untuk membalun harta rakyat. Di zaman British, ketuanan Melayu
ada pada raja-raja Melayu. Ia bertukar kepada UMNO kerana raja-raja leka dan menjadi
pelahap juga. Kemudian ia bertukar secara mutlak kepada Mahathir dan para bajingannya
secara paksa dan silapmata. Sebagai buktinya lihat dulu kepada semua anak-emas Tun Daim
yang naik mendadak di persada dan kegemilangan kuasa. Di manakah mereka kini? Dato
Shamsuddin lari ke Afrika, Tajuddin Ramli sedang tercungap-cungap kelemasan, Halim Saad
terpaksa termenung-menung. Kalau tiga nama ini boleh bersifat nyawa-nyawa ikan dalam
dunia perniagaan, bagaimanakah agaknya dengan gelagat ribuan jutawan Melayu yang naik
sama dengan mereka satu ketika dulu? Semuanya tercungap kecuali anak-anak tersayang yang
diselamatkan dengan harta rakyat marhaen yang diamanahkan kepada Petronas. Tetapi, yang
amat menyedihkan ialah ratus-ribuan orang Melayu yang terkapai-kapai disebabkan bahana
tempias kerakusan kelompok ini.
Mengikut Zam, anak-didik Tun Daim besama sekongkolan mereka sanggup terus kekal di
Malaysia tanpa lari keluar negara meninggalkan Melayu terkapar-kapar. Kuasa politik dan
kepintaran ekonomi telah memungkinkan mereka menjadi kombinasi kekuatan yang meyakinkan
peniaga dan pemodal bukan Melayu untuk berada dalam negara di dalam kegentingan ekonomi.
Sebenarnya mereka terpaksa terus tinggal kerana mereka naik dengan sabsidi UMNO yang
tidak mampu mereka perolehi di negara lain. Perniagaan tanpa sabsidi UMNO tidak berupaya
melayakkan mereka maju di gelanggang perniagaan di negara orang.
Di Malaysia mereka berlagak sakan. Di luar negara, kebanyakan perniagaan mereka adalah
perniagaan haprak belaka. Lihat......!!! Vincent Tan menguruskan bisnes cuci kereta dana
kedai vedeo di Australia. Itupun cek keluaran syarikat sudah melambong ke angkasa. FAC
yang berpengerusikan seorang bekas ketua hakim negara berniaga di China, dan kantul
akhirnya. Banyak lagi cerita aib yang boleh ditulis di sini, tetapi tunggu dulu untuk
satu hari nanti. Semua itu dilakukan oleh ahli KEJAM yang dinaungi oleh seorang diktator
gila.
Apa yang disebut perniagaan yang gemilang para kroni itu adalah disebabkan naungan yang
hebat diberikan kepada mereka. Oleh kerana menjadi anak emas seorang diktator yang tamak
mereka mendapat kepuasan kuasa yang tidak ada sempadannya. Segala projek mega mereka
laksanakan tanpa memberi ruang kepada sumber tenaga tempatan kerana tidak ada sesiapa
yang berani menegur mereka. Ratusan pendatang tanpa izin yang ditangkap di tapak kerja
projek mega didera dan didenda sebelum dihantar pulang (sila rujuk kes Irene Fernando di
Mahkamah). Tetapi, para korporat yang menggunakan tenaga tanpa izin ini tidak pun
disentuh untuk dikenakan tindakan mahkamah.
Ligatnya pengambilan pekerja asing telah meminggirkan tenaga kerja tempatan sehinggakan
mereka merasa sengaja diketepikan untuk satu agenda yang sudah lama dilakar oleh pihak
tertentu. Impaknya, rakyat sendiri menjadi masyarakat terpinggir dalam arus kemewahan
industri pembikinan dan pembangunan negara sendiri. Di waktu yang sama penggunaan tenaga
asing yang tidak sah membuatkan melambaknya perkampungan setinggan yang haram merata
negara. Inilah yang mencetuskan segala bentuk aktibiti haram bermula daripada pengutipan
cukai perlindungan haram kepada pengeluaran anak haram. Semuanya haram di sisi
undang-undang negara tetapi tidak haram di sisi para pemaju projek mega yang amat rapat
dengan pucuk kepimpinan negara. Zam dan Mahathir tahu dan faham akan cerita ini semua,
tetapi sengaja mendiamkan diri dalam hal ini kerana taksub mahukan kuasa ekonomi di
tangan orang tertentu sahaja. Para pemimpin UMNO pun sedar akan kepincangan ini tetapi
mereka pun takut bersuara tidak tentu pasal kerana curiga diketepikan dalam pengagihan
habuan mega.
- Bahana Wang Panas
Sebenarnya, apa yang berlaku sejak tiga tahun yang lalu adalah bahana putaran ekonomi
yang dilonjakkan ke atas disebabkan kemasukan wang panas sejak sepuluh tahun
yang lalu. Wang panas hanya boleh bebas kalau suasana kemasukannya dirancakkan.
Unsur-unsur mengongkong kemasukan wang jenis itu mesti diketepikan. Inilah taktik yang
dilakukan oleh Mahathir dan Daim. Wang panas dibawa masuk oleh sindiket ganas tetapi
berpakaian kemas, berlagak pintar dan berotak bisnes. Apabila kita kata mereka bawa masuk
wang panas, tidak bermakna wang itu dibawa masuk secara fisikal. Dalam dunia kewangan,
wang tidak berganjak, hanya kertas yang merupakan dokumen niaga dan juga surat janji
(promissory notes) yang bergerak. Di sinilah kita mesti akui betapa bijaknya Mahathir dan
Daim untuk mencetuskan suasana kesuburan gerakan wang panas itu. Lihat dulu kepada
Kelab Elit Jin Alam Mahathir (KEJAM) yang saya sebutkan itu. Berapa ramaikah
di antara mereka yang mempunyai kelulusan pra-universiti? Namun, mereka mampu mendekati
seorang perdana menteri dan duduk makan semeja hampir setiap hari, seolah-olah merekalah
yang akan mengaminkan doa talqin apabila dia mati. Apabila orang yang tidak banyak
pendidikan tinggi bersekongkol dalam satu kelab, perkara pertama yang mereka lakukan
ialah membina satu benteng tebal mengelilingi mereka tanpa orang lain menyedarinya.
Inilah yang telah berlaku selama ini.
Dengan terbina tembok kota pemisah ini, pelbagai projek mega dicetuskan untuk membalun
khazanah negara menggunakan wang panas pada dasarnya tetapi membajak wang yang
tersimpan di semua institusi perbankan. Segala bentuk projek yang besar-besar diadakan
untuk menentukan wang panas terus ligat dengan panas dan arus membalun wang rakyat terus
bergerak rancak dengan ganas.
-Ekonomi Pembangunan Caca-Marba
Proses merancakkan ekonomi memang menyeronokkan kerana hampir segenap rakyat jelata
diputarkan mindanya melihatkan cerucuk besi bercambah laksana cendawan selepas hujan.
Gambaran lori simen, pengangkut batu dan pasir yang bergerak bertali arus laksana semut
dan kerengga berpindah sarang; memberikan satu semangat baru dan keyakinan di mata rakyat
marhaen. Sinario bunyi hon-hon dan putaran lampu merah isyarat bahayanya muatan
lori-lori itu menyemarakkan aura majlis upacara pecah-tanah, majlis makan besar dan
upacara menandatangani perjanjian dan MOU (yang kebanyakannya tipu muslihat sahaja)
untuk projek yang lebih besar lagi. Rakyat marhaen khayal dengan segala gambaran
kegemilangan itu seperti khayalnya semua pemimpin politik menerima limpahan projek mega
yang ditaja oleh seorang pemimpin negara bertaraf Wira Dunia Ketiga.
Apabila lori pengangkut berat semakin banyak digunakan, ia memerlukan tenaga pemandu
yang berpengalaman. Malahan setiap lori memerlukan permit yang sah untuk berjalan. Di
sinilah munculnya kepentingan lesen terbang. Untuk menentukan lesen yang sah tidak
dikuatkuasakan, muncul pula satu gerombolan khas yang dipanggil dengan nama TONTO yang
bererti Tolong Orang Tipu Orang. Inilah yang dikatakan wang panas menjadi ganas. Budaya
samseng pun mengambil peranan utama dalam aspek ini dan rasuah serta manipulasi niaga
menjadi faktor utama yang menentukan setiap pengusaha memaksimakan keuntungannya. Pihak
penguatkuasa tidak mampu bertindak tegas kerana kebanyakan projek yang melanggar segala
peraturan dan hukum undang-undang itu adalah projek yang ditaja dan dinaungi oleh para
kroni dan pemimpin parti yang memerintah.
Projek yang mengkhayalkan memang tidak mencetuskan logik dan relevannya. Apabila Menara
Kembar dibina dengan alasan menonjolkan nama negara, tidak banyak suara membantah
pembinaan Menara Kuala Lumpur (di Bukit Nanas) di sebelah, yang dibikin untuk menempatkan
peralatan komunikasi. Sedangkan pembinaan itu adalah pembaziran wang rakyat. Apabila KLIA
dirancang, tidak banyak suara menyoal kenapakah tidak dibina di Kundang ataupun di Batu
Arang, sedangkan kawasan itu lebih dekat dengan Subang? Alasan dibina KLIA di kawasan
yang dulunya bernama Elmina Estate adalah kerana harganya lebih murah daripada
pembinaan lapangan terbang terbaru di Hongkong dengan luas kawasan yang lebih besar
lagi. Cerita benar bahawa Elmina Estate adalah harta seorang diktator tua yang
diproksikan kepada anak perempuanya tidak pernah ditimbulkan. Kalau dipilih Kundang dan
Batu Arang, para pekerja boleh tinggal di rumah yang sudah lama mereka beli dulu (untuk
bekerja di Subang) secara berhutang.
Sekali lagi rakyat marhaen termakan dalil tanpa menyedari harga tanah di Hongkong
memang berkali ganda daripada harga tanah di negara ini. Rakyat marhaen setuju lagi tanpa
menyedari bahawa tanah di Kundang dan Batu Arang adalah kawasan paya yang dulunya bekas
lombong bijih dan arang batu yang amat sesuai untuk projek lapangan terbang, litar lumba
dan apa lagi yang perlu. Kawasan itu tidak diambil kira kerana penyangak keparat sudah
lama mempunyai tanah di Kajang, Semenyih, Beranang, Sungai Rincing, Pajam, Gebok,
Jenderam, Bagan Lalang, Dengkel, Sepang, Bangi dan Nilai sejak 1969 lagi; untuk dijadikan
bandar dan kawasan perumahan baru. Kelentongan yang berpanjangan adalah satu proses
memutar minda rakyat, untuk menerima apa yang dilakukan oleh Mahathir dengan para kroni,
juak dan sukusakatnya adalah untuk kebaikan kita semua. Perkataan
semua itu sebenarnya merupakan insan terpilih yang dikira sekapal untuk masuk
syurga dunia ciptaan seorang diktator tua.
Ekonomi palsu dipacu bertalu-talu. Indeks pasaran saham menjadi bahan ucapan lambang
ekonomi mantap untuk mengabui fikiran rakyat. Orang Melayu menjadi terus terpesona
dengan kelajuan pacuan itu. Mereka menjadi sibuk dan mabuk oleh limpahan kemewahan yang
palsu. Sesiapa yang menunjukkan gelagat menjaga tepi kain orang, ditawarkan pakej
pelancungan ke Medan, London, Disneyworld dan Umrah sebagai umpan dan pampasan. Di waktu
yang sama projek menggila-gila terus ditaja dan digalakkan tanpa memikirkan bahanaya.
Untuk mempercepatkan kerja, pendatang asing dibawa masuk berkali ganda daripada permit
yang diizinkan. Pendatang haram menjadi fenomena baru menjahanamkan budaya orang Melayu.
Anak haram bergelimpangan di sana sini di subuh pagi tanpa sesiapa berani mengambil
peduli.
Tidak cukup dengan semua itu, Projek Mega bertajuk Malaysia Boleh diatur
dengan liciknya. Seorang anak Melayu ditaja mengelilingi dunia sedangkan ratusan orang
asing melakukan usaha yang sama dengan usaha wang saku sendiri, tanpa sabsidi negara.
Sekumpulan rakyat memanjat Gunung Everest sedangkan Mahathir tahu Indonesia mempunyai
dua pasukan setiap tahun melakukan kerja itu. Kereta Wira diturunkan di Antartik
seolah-olah teknologi pembikinannya dan segala alat kelengkapan kereta itu adalah
teknologi terokaan Malaysia yang asli. Tidak ada sesiapa yang berani berkata bahawa itu
kerja gila yang menghabiskan wang rakyat jelata. Banyak lagi kerja sewelan digalakkan.
Melekapkan orkid di tiang lampu, menggantungkan pasu bunga di tiang api dan menanam padi
di atas bumbung adalah beberapa contoh mengenainya. Tidak payahlah dicatitkan banyak
projek yang terpanjang, terlebar, terbesar dan banyak ternya lagi.
Bayangkanlah kalau Ketua Pemuda UMNO sanggup membawa kain jalur gemilang
untuk merentangnya di Tembok Besar Cina. Tidak terlintaskah di otak mereka kalau Kerajaan
Cina inginkan projek seperti itu dikerahnya setiap rakyat menyiapkan sehelai bendera tiap
seorang. Bukan sahaja Tembok Besar dapat ditutupnya, seluruh Malaysia mampu ditudungnya.
Tetapi, Mahathir dan Zam serta pemimpin UMNO yang lain tidak mampu berfikir seperti itu.
Yang mereka nampak; segala kerja bodoh itu adalah satu alat dan muslihat untuk
mengkhayalkan rakyat marhaen. Bayangkan usaha membuat lemang terpanjang di Malaysia dan
kemudiannya menjualnya kepada yang datang dengan harga lima ringgit seketul. Apakah moral
kerja begitu kalau bukan lambang otak yang sudah biul?
Ukuran Kejayaan Mahathir
Apa yang disebut sebagai kejayaan Mahathir diukur dengan menggunakan pendapat manusia
yang tidak relevan lagi dalam percaturan hidup bangsa. Tangisan Shamsiah Pakeh, Rashid
Maidin dan Abdullah C.D. dijadikan satu ukuran menilai kemajuan negara sedangkan selama
berdekad mereka terpenjara di negeri China gara-gara mengikut darah muda dan semangat
serta fahaman ideologi komunis mereka. Dalam menonjolkan ketokohan Mahathir, mereka
sanggup menggunakan pendapat pembelot negara di zaman usia mereka.
Dr. Mahathir ditonjolkan sebaris dengan Mao Tse-tung, Gemal Nasir, Sukarno dan Nehru
sambil menyerlahkan betapa Mahathir berjaya melakukan pembaharuan sedangkan empat nama
besar itu gagal dalam usaha mereka. Senator Zam tersilap membuat perbandingan demikian
kerana Mahathir tidak layak langsung dibariskan dengan empat nama besar itu. Lagipun
mereka hidup di zaman sebelum IT dan ketika kuasa besar dunia terlalu kuat dan teguh
lagi. Bagaimanakah boleh disamakan kegemilangan Mao dengan Mahathir sedangkan Mao berjaya
menjadikan negaranya sebagai salah satu kuasa besar dunia yang mempunyai kuasa veto di
PBB? Walaupun pada dasarnya ekonomi negara China ditakrif sebagai ekonomi dunia ketiga,
ramai masyarakat Cina seberang merupakan masyarakat niaga yang amat berjaya.
Antara Revlusioner dan Revolusi
Zam dijangka akan terus memukau. Dia menggunakan teori kosong untuk menonjolkan ketokohan
Mahathir sedangkan Mahathir sudah ternyata seorang pemimpin haprak yang dibenci oleh
rakyat kerana kuat menipu dan rajin berbohong. Tujuan sebenar Zam ialah untuk
memperlekehkan kebangkitan rakyat yang diasaskan oleh orang Melayu yang sudah benci
kepada UMNO. Kebangkitan Melayu inilah yang cuba diperlekehkan oleh Mahathir kerana
kebangkitan itu adalah bersalutkan ketaqwaan dan semangat sanggup didera untuk menegakkan
kebenaran. Mahathir sudah memujuk-rayu, menjelirkan lidahnya, mengugut,
bergurindam-seloka, menangis dan akhirnya membaca doa untuk cuba meraih simpati orang
Melayu agar terus menyokongnya. Dia pinda segala undang-undang dan kenakan pelbagai cukai
dan bayaran untuk hidup dengan penuh kuasa. Kalau dia mampu mengenakan cukai kepada
rakyat kerana menghidu udara untuk hidup, sudah lama dia lakukan juga. Demikianlah
busuknya sikap Mahathir dan Zam sambil terus cuba memutar minda rakyat dengan teori yang
basi.
Zam dan Mahathir amat suka dengan cerita ekstremis agama. Tetapi siapakah pemimpin UMNO
yang terlalu taksub dengan semangat angka dua ? Siapa pula yang kerap
berlagak dengan majlis besar-besaran yang menggunakan khidmat bomoh hujan?
Teori kemunculan revolusioner dalam UMNO yang menyebabkan orang Melayu berpecah adalah
satu teori yang penuh helah. Semua itu mahu menutup malu kerana kerja jijik yang
dilakukan oleh Mahathir dan Daim untuk mengikis harta rakyat di negara ini. Kejijikan
perangai insan bernafsu syaitan membuatkan Mahathir menukar perkataan
royalti kepada wang ehsan. Kerana mabuk kuasa Mahathir sanggup
mendera seorang pembantu yang begitu setia sehingga satu konspirasi ditaja merencana
fitnah agar insan ini terpenjara. Zam sanggup membiarkan Mahathir memenjarakan Anwar
sedangkan Zam adalah insan yang banyak memuji Anwar satu ketika dulu.
Zam dan Mahathir galak memperlekehkan ulama Islam. Apabila Mahathir berkata di
zaman nabi tidak ada pisau cukur; Zam sanggup mengakuinya tanpa memikirkan
bagaimanakah orang Islam dulukala berkhatan dan berperang dengan menggunakan pedang
tajam?
Demikianlah perjalanan negara pimpinan Mahathir yang didewakan oleh Zam. Hidup rakyat
terancam tanpa akhbar yang bebas dan tanpa upaya berhimpun secara aman. Mahathir yang
sudah berjanji berbanyak kali untuk mengundurkan dirinya masih bernyawa dan berkuasa
lagi; selagi insan seperti Zam masih galak memukul canang, memuja-muji. Hutang negara
makin membesar dan pelabur asing semakin kencang larinya manarik pelaburan mereka
keluar. Mahathir terus berkhayal lagi sambil ekonomi terus tersasar.
Kebangkitan Rakyat Marhaen
Segala projek mega meruntunkan ekonomi negara sehingga terdedah dan terbogel betapa
negara terpaksa berhutang besar untuk turut bernafas. Kebanyakan kerajaan negeri BN
hampir muflis kerana projek yang lebih mementingkan pengekalan kuasa BN dan UMNO. Para
menteri besar dan ketua menteri terpaksa berbohong lagi untuk mengekalkan kuasa mereka.
Banyak projek ekonomi yang diuruskan oleh kerajaan negeri sebenarnya berakhir dengan
kegagalan juga.
Rakyat bangkit untuk menyanggah Mahathir setelah mereka sedar daripada pukauan yang
begitu lama. Mahathir yang kini bergelar Wira Dunia Ketiga tiba-tiba menjadi seorang
pemimpin yang diselar oleh rakyatnya. Segala projek yang dikatakan untuk kebaikan rakyat
dan negara sebenarnya merupakan projek untuk memperkayakan para kroni dan sukusakatnya.
Mahathir semakin terdesak apabila menyedari negara semakin kegeringan matawang untuk
meneruskan projek meganya. Ini mendesaknya untuk menaikkan tol dan cukai sebagai langkah
untuk menambahkan wang negara. Malahan, pihak polis pun sudah dijadikan satu institusi
untuk mencukai rakyat dengan cara melakukan pemantauan kereta laju di jalanraya.
Akibatnya, harga barangan pun naik mendadak dan kos makanan pun sama melonjak. Rakyat
terus tertekan dan merasa kepahitan untuk menyara seisi keluarga.
Sudah menjadi lumrah manusia apabila tertekan hidupnya barulah dia merapatkan diri ke
rumah ibadah dan mencari keredaan Allah. Hidup yang tertekan perlu ditenangkan, hutang
bertapuk perlu dilunaskan dan impian yang tinggi perlu direndahkan.
Secara tiba-tiba rakyat mendapat jawapan kepada masalah sosial mereka. Melalui kaedah
merapatkan diri kepada Maha Penciptanya, rakyat marhaen sedar bahawa selama ini mereka
telah dirasuk hantu syaitan yang bertopengkan manusia. Barulah mereka sedar bahawa
Mahathir sudah selama ini merencana agar rakyat negara ini hidup berpuak-puak dan
berkasta-kasta dan tidak bersatu di bawah satu bendera politk yang menjamin kerukunan
hidup yang berlandaskan ajaran Allah. Apabila rakyat sedar akan kelemahan hidup mereka
mengikut rencana Mahathir itu mereka pun berpaling tadah.
Menyedari kebangkitan rakyat ini Mahathir merencana beberapa drama yang menakutkan rakyat
akan bahana mempercayai syarahan agama dan tazkirah yang diberikan secara percuma. Al
Maunah dicetuskan dengan babak pertama bermula di Banding dan Gerik. Kemudiannya babak
menjalar ke Lawin dan Jenalik. Dari situ ada babak tambahan di kilang arak dan di sebuah
rumah berhala. Alangkah panjangnya skrip sandiwara sehingga diambil kira kepintaran
seorang panglima komando menepis peluru yang keluar daripada senjata otomatik. Beberapa
nyawa terpaksa dikorbankan untuk menghidupkan perjalanan cerita sandiwara itu. Semua yang
ditangkap dituduh menderhaka. Setakat ini yang mengaku bersalah tidak pun
dihukum mati seperti yang sepatutnya. Mereka hanya dikenakan hukuman penjara yang
berkemungkinan akan direngankan lagi.
Episod Al-Maunah di Sauk bertujuan memperlekehkan golongan ulama agar orang Islam turut
menyebelahi Mahathir untuk mengganyang mereka. Mahathir gagal, walaupun Zam menulis
mengenai ini semacam hendak gila. Rakyat tidak menerima episod Sauk seperti yang
dirancang oleh kerajaan. Itu semua sandiwara juga.
Tidak beberapa lama kemudian tercetus pula kisah Pulau Sipadan di mana pelancong dan
pekerja rumah pelancongan diculik dan di larikan oleh kumpulan Moro di Fillipina. Sekali
lagi Mahathir mahukan rakyat berdiri menyokong kerajaan. Sekali lagi rakyat sedar itu
satu sandiwara juga.
Mahathir gagal memainkan sentimen agama untuk mengganyang kumpulan ulama. Rakyat sedar
sentimen itu adalah bertujuan untuk mengganyang PAS dan membolehkan kerajaan mengenakan
sekatan parti politik menggunakan perkataan Islam dalam pertubuhan mereka. Sokongan orang
Melayu terhadap PAS semakin kencang. Malahan PAS diterima oleh orang bukan Melayu sebagai
parti politik yang lebih berwibawa daripada UMNO.
Kisah Si Padan yang dilancarkan untuk menarik semangat kesetiaan kepada negara, hancur
sama. Rakyat tidak boleh menerima kisah Si Padan itu kecuali ianya adalah satu sandiwara
juga. Lagipun rakyat sudah menerima hakikat bahawa Mahathir mempunyai satu kumpulan
komando yang boleh menepis ledakan peluru yang datang dengan laju. Apabila tercetus
berita pembebasan para pekerja Malaysia dengan bayaran pampasan itu, rakyat turut ketawa
kerana menyedari itu satu sandiwara yang lebih canggih daripada yang dilakukan di kilang
arak dan di rumah berhala. Kini, di Filipina sudah tercetus satu kes mahkamah di mana
Estrada, Presiden negara itu, yang terbabit sama membalun wang pampasan yang sepatutnya
dibayar kepada Komander Robot dan para komandonya. Bagaimanakah ini boleh berlaku
sedangkan Malaysia membuat pembayaran wang tebusan itu melalui menteri proksi Mahathir
sendiri dengan disaksikan oleh bekas ketua menteri Sabah, Yong Tek Li?
Akhirnya Mahathir dihukum oleh rakyat. Lunas yang merupakan kubu kuat BN jatuh ke tangan
Barisan Alternatif. Mahathir diberikan amaran pertama oleh suara rakyat marhaen. Zaman
kehancuran Mahathir dan sistem kediktatorannya sudah semakin hampir. Mahathir masih
belum penat lagi. Dia masih mahu berkuasa walaupun terpaksa menjaja pembohongan dan
meraih simpati di kampus pengajian tinggi. Ironisnya bukankah Mahathir orangnya yang
menegah pelajar institusi pengajian tinggi bergelumang dalam politik? Bagaimana pula
kini, borang keahlian UMNO ditabur melambak-lambak di kampus-kampus dengan agihan telefon
bimbit percuma sebagai penyedapnya?
Zam dan Mahathir akan terus berteori lagi. Sedangkan rakyat marhaen akan terus hidup
berlari. Revolusi aman yang sedang berjalan akan menentukan anjakan pradigma yang tidak
terbayang oleh Mahathir akan jelmaannya.
-Marhaintua-
15.12.2000.
|