Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 25
[Apa yang berlaku hari ini adalah lakaran agenda pihak tertentu yang
mahu menjajah minda orang melayu. Untuk itu orang melayu akan dipisahkan
dari pegangan tradisi mereka, tidak kira ugama atau tata-susila. Lakaran
penulis upahan dan sandiwara semasa disusun sebegitu rupa untuk menjadi
satu episod bersiri yang sistematik untuk memukau minda orang melayu.
Akhirnya yang benar dikatakan salah dan yang salah ditafsirkan benar. Bila
itu berlaku Mahathir akan terus berkuasa dan menyapu bersih semua kuasa dan
kekayaan negara yang ada buat suku-sakatnya. Tinggalah orang melayu dengan
angan-angan sahaja, bak 'hilang maruah kampung tergadai'. Di mana-mana
rakyat pergi, cukai dan yuran yang tinggi sudah menanti. Kita tidak bisa
lari kerana pantauan kamera di sana sini. Ada yang mati dalam ngeri dan
ada pula yang kebulur sampai mati. Padahal ini semua bumi kita sendiri.
- Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 25 : YANG BASI DAN BUSUK - BAHAGIAN I
Yang Basi Dan Busuk
(Bahagian I)
Sandiwara terbaru di akhir tahun 2000, baru sahaja diisytiharkan. Dua menteri kanan
kabinet telah melancarkan majlis pembukaan sandiwara itu secara serentak. Di waktu yang
sama ketika Dewan Negara usul Rang Undang-undang Perbekalan 2001, Senator Dato'
Zainuddin Maidin (Zam) telah juga merakamkan permulaan sandiwara itu. Fuuh!! hebat,
hebat.!!!! Mungkin kerana inilah sandiwara terakhir, makanya ramai manusia yang mahu
tumpang sekaki melancarkan majlis pembukaannya.
Mahfuz Omar menjadi 'hero' bikinan UMNO kerana sebaik keluar daripada Penjara Kajang dia
dikaitkan dengan perjuangan orang Palestin menentang Regim Israel. Paklah yang
mencetuskan isu 'intifada' ini berilham membabitkan Mahfuz setelah melihat ramainya
manusia menyambut kepulangannya. Pangkat 'hero' diberikan oleh Mahathir ketika parlimen
bersidang, sehinggakan Jamaluddin Jarjis sanggup mencari derma untuk tambang Mahfuz
menetap di Paletin. Tetapi, Zam melihatnya dengan pandangan dari lain arah. Keberanian
Mahfuz itu dikaitkan dengan anasir dalam UMNO yang menjadi punca Melayu berpecah.
Anasir Dalam UMNO ?
Kita mahu merakamkan ucapan Zam di Dewan Negara itu untuk rujukan generasi akan datang,
kerana Zam telah menggunakan pentas Dewan sebagai senator untuk cuba menukar minda orang
Melayu dengan berkata bahawa perpecahan antara orang Melayu sekarang bukan berpunca dari
PAS tetapi dari dalam UMNO sendiri. Mengikut Zam, perpecahan ini didalangi anasir-anasir
revolusioner yang lebih mengutamakan kuasa dan wang. Mengikut Zam lagi:
- Kemenangan PAS pada pemilu November 1999 bukan kerana orang Melayu menerima fahaman
agama orthodoks PAS tetapi adalah kerana 'sokongan daripada perpecahan dalam UMNO.'
- Pas akan mengeksploitasi apa juga isu yang sesuai sama ada dirancang atau yang
tercetus untuk menghidupkan peristiwa itu bagi mengekalkan sokongan rakyat;
- Adalah mustahil PAS tidak kenal orang yang menagih sokongan darinya dan memberikan
bantuan kepadanya adalah bekas anasir revolusioner yang berjaya menyusup ke dalam UMNO;
- Anasir ini menjadi kroni UMNO dan menjadi kaya raya. Kemarahan kepada kepimpinan
UMNO bukan kerana ketidakadilan UMNO kepada rakyat tetapi kerana kehilangan peluang
kuasa lebih besar dan kekayaaan lebih tinggi. Kerana itu mereka terpaksa menanggung
hutang berjuta kerana kehilangan peluang untuk menjadi lebih besar dan mengeksploitasi
negara;
- Oleh kerana Mahathir Mohammad ghairah menyatupadukan Melayu makanya beliau telah
membawa anasir ekstremis agama yang dikatakan akan melumpuhkan golongan revolusioner
tetapi ternyata perhitungannya salah. Anasir-anasir itu kembali bersekongkol dengan
anasir-anasir ekstremis agama dan memberikan suatu kekuatan baru kepada mereka.
- Corak perjuangan orang revolusioner tidak pernah berubah dan jika berjaya, akhirnya
rakyat akan menerima malapetaka;
- Rakyat perlu melihat taktik politik yang menggunakan demonstrasi demi demonstrasi
untuk melahirkan suatu suasana yang sesuai untuk mencetuskan suatu gerakan revolusi
baru. Kebangkitan demonstrasi yang didalangi PAS itu tentunya menarik gerakan revolusi
dari luar terutama dari negara Islam tertentu dan tidak mustahil mereka akan memberikan
kerjasama dan membantu.
- Ketua Pemuda PAS (Mahfuz Omar) sanggup keluar masuk penjara untuk menggambarkan
dirinya sebagai syahid dalam perjuangan politik.
Demikianlah pendapat Zam. Kita tidak mahu buat komen banyak dalam hypothesis. Cuma kita
mahu pembaca ingat dulu bahawa Zam menggambarkan ada orang Melayu yang menerima fahaman
agama orthodoks PAS. Jelas, Senator Mamak ini membandingkan agama Islam itu seperti
orang barat memberikan klasifikasi terhadap agama Kristian; ada yang orthodoks, ada yang
Koptik, ada yang Metodis dan sebagainya.
Konspirasi Golongan Revolusioner dan Reaksioner
Pada September 1999, Zam menulis satu artikel yang membawa tajuk 'Kombinasi Kekuatan
Melayu'. Kita akan taip semula seluruh tulisan ini untuk dirakamkan dan dijadikan
perbandingan:
- Beberapa hari menjelang kemerdekaan negara 31 Ogos 1957, Yang Dipertua PAS, Dr.
Burhanuddin Helmi dan pemimpin-pemimpin kiri di negara ini mendakwa kemerdekaan yang akan
diterima 'setengah masak' dan ada yang mengatakan 'kosong' tetapi 42 tahun kemudian kita
menyaksikan sebuah negara kecil, Malaysia berdiri bersendirian mempertahankan kemerdekaan
ekonominya. Sementara itu satu demi satu negara Asia Tenggara termasuk sebuah negara yang
menganggap Malaysia sebagai boneka barat menyembah IMF sebuah agensi penjajahan ekonomi
Amerika Syarikat.
- Apa pun diperkatakan orang di dalam dan luar negara tetapi jika pengurusan ekonomi
Malaysia begitu buruk, penuh penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang
rakyat, adalah mustahil Malaysia dapat memencilkan diri daripada serangan ekonomi dari
luar ini, mengawal ekonominya dan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.
- Di belakang kekuatan ini ialah UMNO yang sekarang dituduh menjalankan dasar nepotisme
dan kronisme kerana mewujudkan beberapa orang jutawan Melayu. Tetapi orang-orang yang
cerdik tahu siapakah sebenarnya di belakang kekuatan ekonomi negara ini dan keupayaan
pasaran saham menghadapi kegawatan ekonomi.
- DEB dan dasar penswastaan menunjang kekuatan ini. Wang negara tidak boleh diambil dan
terus diberikan kepada Melayu tetapi beberapa orang professional Melayu diberikan
peluang dalam peranan ekonomi yang meminta kesetiaan dan pertanggungjawaban kepada parti,
negara dan bangsa. Yang terlihat sebagai 'haiwan ekonomi' (eonomic animals) Melayu hanya
Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Halim Saad dan beberapa orang lagi, tetapi ribuan lagi
nouveau riche (orang kaya baru) Melayu dari peringkat negeri hingga nasional tidak
diperkatakan. Bagaimanapun pendedahan senarai kroni tidak lama dahulu telah mengemukakan
nama-nama yang terdiri daripada penulis kepada 'ulama', ahli UMNO dan bukan ahli UMNO,
malah terdapat Melayu dari parti pembangkang.
- Kuasa Ekonomi
- Jika kuasa ekonomi Melayu begitu lemah dan kekuatan sepenuh berada di tangan satu kaum
sahaja tidak mungkin langkah patriotik untuk mempertahankan serangan ekonomi dari luar
akan disokong oleh golongan yang membolot kekayaan sebaliknya mereka pasti akan lari
keluar negara dan meninggalkan orang Melayu dalam keadaan terkapar-kapar.
- Tetapi penguasaan politik dan kepintaran ekonomi yang berada di tangan beberapa orang
Melayu menjadi kombinasi kekuatan yang meyakinkan peniaga dan pemodal bukan Melayu
untuk terus berada di negara ini di dalam kegentingan ekonomi. Kepintaran kepimpinan
Melayu dan kepakaran ekonomi teknokrat Melayu telah dapat menyekat wang negara
daripada melimpah keluar dan mencekik negara ini supaya menyembah kaki orang bukan
Melayu. Percubaan Singapura yang angkuh dalam hal ini telah digagalkan.
- Nasionalisme dan patriotisme beberapa kerat 'billionaire' Melayu yang tidak lari dari
negara ini dalam kegentingan ekonomi sebaliknya menyumbangkan kepakaran mereka kepada
negara, telah memungkinkan kita bertahan dan mendapat perhatian dan penghormatan dunia.
- Suatu masa dahulu majalah mingguan AS, 'TIME' menyebut UMNO sebagai salah sebuah
organisani politik yang terkaya di dunia. Siapakah yang memperkayakan UMNO? Kekayaan
UMNO adalah kekayaan orang Melayu. Ramai orang Melayu yang telah mewah menerusi DEB dan
memiliki saham-saham dalam syarikat gergasi menerusi PNB dan ASN. Arkitek di belakang
pemantapan ekonomi UMNO adalah Dr. Mahathir Mohammad.
- Sekarang beliau menjadi sasaran segala macam tohmahan, penghinaan dan kempen
kebencian. Langkahnya yang terlalu lewat untuk menyelamatkan negara daripada penguasaan
golongan 'revolutionary' yang memainkan sandiwara agama dan sentimen agama di dalam UMNO
telah menyebabkan krisis politik yang mengakibatkan orang Melayu kehilangan fokus kepada
musuh mereka yang sebenar. Anasir-anasir luar dan parti anti-Melayu dalam negara
mengambil kesempatan ini menggunakan apa juga cara termasuk perundangan untuk
menimbulkan prasangka terhadap kredibiliti kepimpinan UMNO sebagai sokongan terhadap
gerakan menghancurkan ketuanan Melayu.
- Soal Dr. Mahathir anti ulama, menghina sunah Nabi, mempertikai janggut Nabi
diperbesarkan begitu rupa sehingga membutakan mata sesetengah pihak untuk melihat
tindakan-tindakannya menyelamat orang Islam daripada tunduk di kaki Yahudi dan kafir
dalam menyelamatkan negara daripada kehancuran ekonomi dan untuk membolehkan penerusan
dasar-dasar kronisme dan nepotisme untuk bumiputra.
- Adakah menghina ulama, jika salah seorang yang ditegur oleh Dr. Mahathir ialah ulama
yang pernah mengesahkan dakwaan murid-murid tiga buah sekolah agama di Selangor dalam
bulan Oktober 1992 bahawa mereka melihat gambaran seksaan Allah di langit, 'mayat
dikafankan, mata besar berwarna merah dan lidah panjang dipotong-potong.' Bagaimanapun
akhirnya jabatan Agama Islam Selangor sendiri mendapati pelajar-pelajar itu dipengaruhi
oleh guru agama yang terlibat pengajaran misteri, ajaran sesat dan pembinaan sebuah kapal
sebagai persiapan menghadapi kiamat. Seorang lagi ialah ulama yang boleh diupah untuk
menghalau jin dan syaitan di bangunan-bangunan termasuk bank-bank.
- Adalah menyedihkan bila ada pihak yang melihat maruah negara dan Islam berada dalam
tangan ulama seumpama ini sehingga menyeru ke arah kemusnahan kepimpinan institusi yang
telah membina kekuatan bangsa dan agama sehingga dapat membuktikan ketahanan menghadapi
manipulasi kuasa besar untuk melemahkan kebangkitan tamadun Islam di negara ini dengan
nilai dan kecanggihan yang mampu menyaingi pencapaian barat.
- Jika negara kalah dalam menangani manipulasi ini, maka taktik dan strategi negara di
bawah DEB yang tidak sahaja memperkayakan golongan Mahathir dan Anwar tetapi hampir
semua anak Melayu di seluruh negara (sekurang-kurangnya menerima biasiswa) akan
terbantut.
- Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO daripada Tunku, Razak, Hussein, Dr. Mahathir dan
Anwar Ibrahim dapat mendakwa adanya ketelusan dalam pengurusan dasar Hak istimewa Orang
Melayu dan DEB kecuali pemimpin UMNO yang mahu menonjolkan dirinya sebagai nabi dan
menunjukkan yang lainnya sebagai syaitan. Sesiapa pun pemimpin Melayu yang menyertai
UMNO sama ada dari bekas PAS, ABIM dan lain-lain telah terlibat dengan budaya
keistimewaan, kronisme dan nepotisme UMNO. Adalah amat tidak adil jika kita terpalit
dengan lumpur - jika mahu dikatakan lumpur - maka kita menuding tangan kepada orang lain
sahaja yang kotor.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir mengakui dalam Kongress Bumiputra Keempat
(KEB-4) baru-baru ini bahawa kerajaan Barisan Nasional memang menjalankan dasar
diskriminasi untuk kepentingan Melayu. Adalah satu hal yang amat menarik, bekas-bekas
pemimpin Parti Komunis (PKM) yang lebih 40 tahun dahulu melihat kemerdekaan dari dasar
negara yang tidak sama rata, sama rasa itu. Bekas seorang pemimpin wanita PKM, Shamsiah
Pakeh telah menangis dikaca TV3 dalam rancangan 'Majalah Tiga' pada 29 Ogos lalu kerana
keuzurannya tidak memberikannya kesempatan untuk turut menikmati dan menyaksikan kejayaan
negara.
- Adalah mustahil dua orang lagi pemimpin Melayu PKM, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin
yang turut sama dalam rancangan telivisyen ini mahu mengakui pengisian dan erti
kemerdekaan setelah berjuang dengan keganasan untuk menolak sebuah kemerdekaan yang
dicapai oleh UMNO dan Tunku Abdul Rahman. Mereka ini nampaknya lebih memahami perjuangan
Dr. Mahathir daripada beberapa kerat bekas barisan depan komunis yang sekarang ini
bersekongkol dengan anasir revolusioner. Mungkin ini kerana Dr.Mahathir tidak sahaja
mengisi kemerdekaan dengan materialisme tetapi juga mengisi jiwa rakyat dengan kekuatan
rohani yang diperlukan untuk pembangunan oral dan jiwa rakyat bagi penapakan yang lebih
besar ke arah bangsa yang bermaruah.
- Pemimpin-pemimpin Singapura satu masa dahulu menganggap Melayu Malaysia sebagai sakai
dan lanun yang tidak tahu menguruskan negara tetapi pada 31 Ogos lalu Dr. Mahathir
telah mempamerkan Melayu sebagai pelaut yang mengelilingi dunia, penjejak kaki di
Antartika, pencapai puncak gunung Himalaya, pengeluar kereta Proton Saga, pembangun
pencakar tertinggi di dunia, pembangunan sebuah bandar Islam terindah di dunia dan
pembina sebuah masjid di bekas tapak perjudian di KLCC.
- Adalah agak mendukacitakan golongan sosialis yang telah bankrap, yang pernah menjadi
barisan depan KM, tidak dapat melihat jalan yang telah di ambil oleh Mahathir untuk
memerangi kapitalsme yang tidak adil. Berkali-kali Dr. Mahathir menegaskan kapitalisme
bukanlah agama yang ajaran dan amalannya tidak boleh dipinda.
- Mao Tse-tung (Pengerusi Republik Cina), NASIR (Presiden Mesir), Sukarno (Indonesia) dan
Nehru (India) gagal dalam cara mereka menentang ketidakadilan sistem itu. Adalah lebih
mustahil untuk menolaknya kali ini kerana kemaraannya datang dalam bentuk ?soft power?
tanpa pengguanan senjata. Dr. Mahathir lebih memahami sepak terajang ini kerana
beliau juga adalah pengamal ajaran yang sama. Bagaimanapun Dr. Mahathir melihat
kebenaran Republik Rakyat Cina yang mendahului reformasi sistem ekonomi komunis dan
menolak hasutan AS supaya dijalankan serentak dengan reformasi politik. Soviet Union
hancur kerana disesatkan oleh ajaran AS itu.
- Sayang kebenaran negara China komunis itu tidak terlihat oleh orang-orang sosialis di
negara ini, sebaliknya kerana terpengaruh lakonan seorang pelakon terbaik di pentas
politik Malaysia, mereka lebih tertarik dengan reformasi ajaran AS dan terheret oleh
golongan fanatik agama yang berjuang menggunakan ketaksuban dan kekolotan untuk terus
memperbodohkan pemikiran Melayu dalam menghadapi cabaran globalisasi yang lebih
sofitikated.
-=========-
Tulisan Zam ini diterbitkan lebih satu tahun yang lalu. Kita dapat lihat apa yang
diucapkannya di Dewan Rakyat pada 11 Disember adalah satu penekanan kepada apa yang
ditulisnya itu.
Saya sudah lama menyimpan keratan akhbar itu tetapi tidak mahu membuat sebarang komen ke
atasnya kerana mahu beri Zam keseronokan nikmat pangkat seorang senator. Lagi pun saya
mahu melihat apakah Zam akan mengusahakan tugasnya itu untuk kepentingan rakyat jelata,
yang sepatutnya, kerana segala gaji dan pangkat yang dinikmati itu adalah hasil keringat
rakyat. Jelas, Zam tidak ingat semua itu kerana dia memang merupakan penjilat Mahathir,
Kelas Satu.
Zam ataupun Zainuddin Maidin adalah satu nama besar dalam dunia kewartawanan Melayu.
Pendapat Zam seperti yang banyak kali ditulis dan diucapkannya adalah satu contoh yang
baik untuk dijadikan bahan rujukan kelas indoktrinasi ataupun syarahan untuk Biro Tata
Negara. Malahan, Mahthir pun memang kita kenal selalu menggunakan aliran cakap yang
seiras dengan pemikiran Zam. Dengan kata lain, penulisan Zam adalah baik untuk memutar
minda Melayu agar terus jumud di alaf baru. Kita dapat lihat apa yang dikatakan gerakan
intifada pihak pembangkang itu adalah menepati jalan-fikir Mahathir yang ditulis oleh
Zam sejak lebih satu tahun yang lalu. Alangkah jauhnya rancangan Mahathir itu
sehinggakan Paklah dan Najib masih belum lagi sedar akan putar-belit itu.
Zam menulis 'Kombinasi Kekuatan Melayu' bertepatan dengan lawatan Mahathir dua hari ke
Sabah pada 17 hb September, 1999. Di waktu itu kegentingan ekonomi semakin lega semula
dan Mahathir sedang rancak mengelilingi dunia untuk berucap di pentas dunia di bawah
tajuk 'Cara Malaysia Menyelamatkan Maruah Negara'. Mahathir sedang berlagak sakan ketika
itu mencari pablisiti kerana mahu terus berbohong lagi. Itulah penggal tahunnya (penggal
terakhir tahun 1999) Mahathir malalak mencemuh bank Dunia kerana 'Malaysia mampu bangkit
dengan formula sendiri tanpa meminjam daripada Bank Dunia dan dari luar negara.' Apabila
seluruh dunia ketiga dikatakan terpesona dengan pendedahan lantang itu, rakyat negara ini
terpaksa diam membisu. 'Memang pintar Mahathir...!!!!!' begitulah bunyi pujian yang
disarankan di kelas BTN dan kelas putar-mind UMNO. Memang Malaysia tidak meminjam
daripada Bank Dunia, tetapi Petronas telah mengemis ke seluruh dunia dengan memberikan
premium yang tinggi.
Mahathir menipu lagi di Afrika ketika diadakan Dialog Antarabangsa di sana. Dia menepuk
kepak lagi mengenai ekonomi negara yang semakin rancak semula. Ketika itu dia disoal oleh
seorang pemberita akhbar: "Kalau anda sudah berjaya memulihkan ekonomi negara apakah anda
akan bersara mengikut janji anda?" Mahathir sudah bersedia dengan jawapannya. Dia tidak
mahu bersara kerana keadaan negara yang belum 'selamat' lagi. Dia masih mahu berkuasa
kerana Saudara Anwar Ibrahim belum lagi terpenjara mengikut rentak dan ragam yang telah
lama dilakarnya. Malahan semasa dia berlegar di negara orang soalan kenapa dia menghenyak
bekas timbalannya begitu kejam sekali menjadi satu soalan yang sukar untuk ditepiskannya.
Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin Melayu yang mempunyai segala kualiti
seorang revolusioner dan reaksioner. Zam memang tidak pun menyebut nama itu dalam
penulisannya. Tetapi sebahagian besar tulisannya itu adalah dihala kepada Anwar Ibrahim.
Sambil itu dia cuba menonjolkan nama besar taukehnya - Mahathir Mohammad yang memang
menjadi idolanya sejak lama dulu.
Anwar Ibrahim diajak memasukki UMNO oleh Mahathir dengan usahanya untuk merapatkan
barisan orang Melayu dalam UMNO yang dipimpinnya. Anwar masuk dengan ikhlas membawa
sekali barisan pejuang bangsa dan agama dalam ABIM. Bukannya semua yang menyertai UMNO,
ada yang masih di luar dan ada yang memasukki PAS. Ketokohan yang ada pada Anwar sebagi
pemimpin telah membantu mempopularkan Mahathir dan sekaligus nama Mahathir naik mencanak,
sehinggakan orang Melayu UMNO lupa yang dia ini berdarah mamak. Mahathir terus naik
kerana ramai penulis upahannya turut membantu dengan penuh iltizam. Penghulu mereka sudah
tentu seorang penulis yang dikenal dengan nama 'ZAM'.
Kepintaran Anwar untuk menggembeling tenaga dan menangani masalah orang Melyu
berlandaskan ajaran Islam menjadi alat memperkuatkan UMNO walaupun berlaku perpecahan
dalam parti itu akhirnya. Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Paklah dan Najib berpaling tadah
menayanggah Mahathir. Mereka bernekad menentang dan merangkul pucuk kepimpinan UMNO
daripada Mahathir. Tetapi, akhirnya Paklah dan Najib meloncat semula untuk menyokong
Mahathir kembali. Tersingkirlah Ku Leigh, sehingga mendesaknya menubuhkan Parti Semangat
46 untuk beberapa ketika sebelum dia pun masuk semula ke dalam UMNO (Baru) ciptaan
Mahathir itu.
Kemasukan Ku Leigh telah didahului oleh beberapa hulubalangnya termasuklah seorang yang
berani kencing di batu nesan dan seorang lagi yang suka sangat membakar jambatan.
Kemasukan itu yang dirancang untuk merangkul semula Kelantan daripada kerajaan PAS gagal,
segagalnya.
Demikianlah berlakunya episod perpecahan orang Melayu dalam UMNO yang merupakan
sebahagian daripada peperangan ideologi politik yang lebih mirip kepada peperangan
merangkul kuasa ekonomi negara. Mahathir berjaya mempertahankan kuasanya kerana pengaruh
oratori Saudara Anwar Ibrahim yang mampu meraih simpati para penyokongnya.
Sayang seribu kalu sayang...Khidmat Anwar Ibrahim degnan penuh setia untuk menonjolkan
maruah Mahathir di mercu kekuasaan UMNO dan negara, dibalas dengan satu tindakan yang
paling kejam dalam sejarah poltik bangsa Melayu.
-Marhain tua-
15.12.2000.
.......bersambung......
|