Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 24
[Kita amat hairan kenapa setiap kali maruah BN tercemar,
asyik orang lain menjadi sasaran punca kekalahan. Dikatakanlah
pembangkang dan orang asing sebagai dalang dan yang terkini
pula mereka menuduh BA melakukan kekasaran dan Suqui mecabar
keharmonian. Padahal pendokong Suquilah yang memenangkan BN
dalam pemilu yang lepas. Malangnya kerajaan BN membalas jasa
pendokong Suqui itu dengan jawapan was-was Sekolah Wawasan.
Perisitiwa bas hantu di Lunas jelas menggambarkan kemenangan BN
selama ini adalah penipuan belaka. Kalau Mahathir sanggup menipu
untuk mengalahkan Ku Li, dia juga sanggup menipu untuk mengaibkan
Anwar, dan dia rela menipu lagi (di bulan puasa mak oi) menuduh
BA mengganas bukan-bukan sebagai punca kekalahan. Malangnya
gambar-gambar beliau yang banyak bergantungan di Lunas itu lah
punca sebenar beliau kecundang, dan BN semakin tewas kerana orang
UMNO SENDIRI yang berpaling tadah menyokong BA dalam DUN Lunas!!
Kita percaya majoriti kemenangan BA di Lunas sebenarnya melebihi
angka ribuan, sebab itulah 12 bas terpaksa datang.. - Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 24 : YANG BASAU DAN BASI
YANG BASAU DAN BASI
Barisan Nasional dan UMNO masih lagi tidak dapat
menerima hakikat bahawa mereka kalah di Lunas. Ada
suara-suara sumbang yang mengatakan kekalahan hanya
setakat 530 undi, tetapi ada pula mulut sumbing di
antara mereka yang menyebut: "kalaulah pengundi hantu
berjaya membantu.....".
Yang pasti dan jelas, Mahathir Mohammad sebagai ketua
ulung BN dan juga UMNO masih tidak mahu menerima
kekalahan di Lunas itu. Para juaknya terpaksa juga
bersuara sumbang untuk mengulang kata-katanya sebagai
meyakinkan diri mereka bahawa sokongan terbuka kepada
si diktator tua akan menjamin masa depan politik
mereka. Bukankah pilihanraya satu upacara di mana
rakyat berhak bersuara dan mengundi sesiapa yang
mereka lebih percaya untuk mewakili mereka?
Sepatutnya UMNO dan jua BN menubuhkan satu pasukan
penyiasat bebas untuk memberikan lapuran khas
mengkaji bagaimana mereka tumpas. Janganlah diambil
orang UMNO terutama sekali daripada Pergerakan Pemuda
ataupun Wanita untuk menjadi ahli penyiasat itu.
Gunakan para cerdik pandai termasuk wakil UMNO dan BN
tempatan dan para cerdik pandai di universiti.
Kemudian, biarkan mereka membuat kajian itu lengkap
dengan segala statistik yang terperinci untuk
mendapatkan jawapannya.
Akan tetapi, kalau UMNO dan BN tidak bersedia membuat
kajian itu biarlah kita catitkan beberapa sebab mereka
kalah di situ:
- Pengundi Lunas merasa jelak dengan Barisan
Nasional, terutama sekali UMNO;
- Apabila usaha projek kilat yang berharga sekitar
RM21 juta diumumkan, Khadam Lampu Aladdin Samy Vellu
fikir dia mampu mempengaruhi pengundi Lunas dengan
segala projek yang dimandorkannya.
- Calon BN di Lunas ialah S. Anthonysamy, tetapi
pada keseluruhannya gambar yang ditayangkan di
sepanjang jalan di Lunas ialah gambar seorang diktator
tua semasa dia masih muda dengan diselang-seli gambar
Menteri Besar Kedah, yang baru sahaja dikenali oleh
kebanyakan pengundi.
- Gambar S. Anthonysamy yang diedarkan kepada para
pengundi ialah gambar beliau berpakaian laksana padri.
Gambar ini dikatakan hasil putar-belit Barisan
Alternatif. Tetapi, pengundi Lunas tahu itu adalah
gambar putaran minda hasil kerja BN.
- Ramai pengundi Melayu menukar selera mengundi BA
setelah menyaksikan sendiri akan cara UMNO menyerang
beberapa perkampungan Melayu di situ seperti taktik
yang mereka gunakan di Sanggang dan Teluk Kemang.
Masalahnya, pengundi Melayu sudah jemu mendengar nama
Mahathir apatah lagi nama Menteri Besar Kedah, kerana
mereka masih teringatkan gelagat Sanusi Junid dulu.
- Cara orang UMNO berkempen di Lunas adalah:
"laksana warga istana datang mencemar duli di mana
pengundi Lunas di anggap laksana hamba abdi."
Keangkohan ini adalah disebabkan anggapan yang
menggunung tingginya: "bahawa Lunas adalah kubu kuat
kita."
- Jumlah pengundi lama yang kehilangan nama mereka
di hari mengundi sungguh mengejutkan pengundi Melayu
dan juga Cina. Gegaran kemarahan pengundi yang
dinafikan hak mengundi itu membuatkan pengundi yang
memangkah di sebelah petang berpihak kepada BA.
Perkara ini menjadi semakin kritikal apabila tercetus
kisah bas daripada luar yang datang membawa pengundi
hantu.
Menepuk Air Di Dulang
Kita tidak berniat menulis panjang mengenai alasan
kenapa BN dan UMNO kalah. Cukuplah setakat itu.
Tetapi, kenapakah Mahathir dan pucuk pimpinan UMNO
melenting sangat dengan kekalahan itu. Yang kalah
sebenarnya ialah calon MIC yang bertanding di bawah
bendera Barisan Nasional. Dia bertanding di kawasan
di mana majoriti pengundi ialah orang Melayu dengan
kaum Cina mempunyai majoriti ke-dua besarnya. MIC
senyap dengan kekalahan itu setelah berlagak sakan
selama dua minggu dengan segala tuduhan terhadap parti
BA. MCA dan Gerakan lebih bersikap pasif kecuali Chua
Jui Ming, yang nampak menyinga secara mengada-ngada
untuk menonjolkan namanya sahaja.
Kini, yang menang ialah BA tetapi rakyat Lunas sudah
memilih seorang wakil rakyat daripada kaum yang
mempunyai pengundi yang majoriti di kawasan itu. Ini
merupakan satu hukum alam yang sepatutnya mudah
diterima oleh semua pihak. Tetapi kenapakah Mahathir
Mohammad dan Paklah serta beberapa pemimpin UMNO yang
masih gelabah? Kenapakah mereka terus berbuat fitnah
terhadap pihak yang menang? Kenapakah timbul cerita
polis Kedah mahu menahan orang BA yang dikatakan
berbuat kacau?
Mahathir akan terus menuduh pihak Barisan Alternatif
kerana kekalahan BN di Lunas kerana:
- Sebagai seorang yang diketahui tidak mempunyai
secebis pun semangat kesukanan (sportmanship) Mahathir
tidak dapat menerima kekalahan kerana segala taktik
kotor telah direncana untuk menjanjikan kemenangan.
Inilah yang berlaku di Sanggang dan Teluk Kemang.
Malahan inilah taktik kotor yang pernah dilaksanakan
di Kuala Lumpur ketika pemilu November 1999 dulu.
Semua calon BA di Lembah Kelang sudah pun disitiharkan
menang melalui kertas undi yang telah selesai dikira.
Mereka menjadi kalah setelah ada beberapa peti undi
(hantu) yang dibawa masuk setelah kekalahan berpihak
kepada BN. Itulah yang menjadi penyebab bagaimana
manusia seperti Shahrizat masih lagi bergelar YB
setelah peti baru dibawa masuk untuk mengalahkan
Zainur Zakaria. Cerita yang sama telah dilalui oleh
calon BA seperti Chandara Muzaffar, Marina Yusuf dan
lain lain lagi. Dengan lain perkataan, dasar BN
menghadapi pilihanraya selama ini adalah dasar yang
dilakar oleh Mahathir Mohammad, di mana segala taktik
kotor mesti digunakan untuk menang.
- Mahathir kerap menggunakan kemenangan pilihanraya
kecil sebagai satu dalil untuk memberitahu seluruh
dunia bagaimana kuat dan popular parti BN yang
dipimpinnya. Mereka boleh menang tanpa Mahathir turun
ke gelanggang tetapi seluruh dunia itu tidak sedar
bahawa selama ini kemenangan BN terjadi melalui
penipuan dan rasuah yang melampau-lampau.
- Mahathir naik menyinga kerana Lunas terletak
dalam jajahan Kedah. Kemenangan Saifuddin menidakkan
kuasa majoriti dua pertiga yang amat diperlukan oleh
BN. Semua orang sedar, Mahathir berura-ura menukarkan
status Langkawi menjadi Wilayah Persekutuan kerana
terlalu banyak pelaburan di sana yang merupakan
perniagaan Mahathir juga. Inilah pulau yang diimpikan
sebagai pulau persaraannya di mana setiap tahun ada
program Dialog Antarabangsa akan terus ditaja dan
menonjolkan namanya sehingga bercerai nafas daripada
jasadnya.
- Kedah berhutang sebanyak RM1.2 bilion. Ini
merupakan satu angka yang amat besar bagi sebuah
negara yang tidak banyak hasil mahsulnya. Pendedahan
hutang bertapuk ini membogelkan segala kerakusan
Mahathir selama ini. Itu sebabnya dia bina Kilang
Perwaja dan Baja Urea di Kedah sedangkan sumber gas
untuk menjana kilang itu di datangkan daripada pantai
timur. Gas yang digerudi di Kelantan dibawa masuk
melalui Thailand sedangkan saluran itu boleh dibawa
terus melalui jalan darat negara sendiri. Pangkalan
terminal saluran gas di Thailand itu dikendalikan oleh
anak kesayangan Mahathir. Sedangkan, rakyat Kelantan
yang sepatutnya menerima royalti terhadap gas yang
disedut daripada bumi sendiri, hidup melopong dengan
air liur basi.
- Kini, sudah keluar cerita bahawa minyak akan
mengalir daripada dasar bumi Kelantan. Ini melayakkan
rakyat Kelantan kepada royaltinya. Tetapi, Mahathir
sudah lama merencana semua itu, dengan kerjasama
beberapa rakyat Kelantan yang sudah lupa daratan.
Mereka sanggup bersekongkol dengan Mahathir untuk
menidakkan saudara senegeri daripada merasa nikmat
royalti minyak dan gas itu.
- Usaha memperlekehkan rakyat melalui pelbagai
tohmahan dan fitnah sudah menjadi satu amalan dan
darah daging Mahathir. Inilah sahaja senjata yang ada
padanya untuk menarik minat rakyat untuk terus
berkhayal secara paksa. Dia mahu rakyat lupakan
masalah negara yang disebabkan kerakusannya.
- Ekonomi negara dijangka terus merudum. Hutang
yang semakin bertapuk besaranya adalah satu beban
yang tidak mampu dibayar oleh tiga generasi yang akan
datang. Mahathir cuba mengalihkan perhatian rakyat
kepada masalah besar ini dengan mencetuskan pelbagai
isu yang remeh temeh
- Penyelewengan yang dilakukan oleh Mahathir
boleh dilihat dengan jelas di merata tempat di pelusuk
negara. Di ibukota beberapa projek mega adalah projek
yang sudah memperkayakan anak-anaknya dan para
kroninya. Di beberapa negeri, beberapa projek mega
yang muflis dan kantul mendedahkan penyelewengannya
juga. Terengganu yang sepatutnya merupakan negeri
paling kaya di Malaysia sedang merengkok disebabkan
hutang besar kepada kerajaan pusat. Sedangkan hasil
royalti yang diterima selama ini tidak dikendalikan
dengan bijak.
Di Kedah, kerajaan berhutang sampai RM1.2 bilion.
Projek gila-gila terdapat di merata tempat. Kebanyakan
projek itu dulu telah disanggah oleh rakyat dan
disindir oleh parti pembangkang. Tetapi, Mahathir
merestuinya.
- Kebanyakan projek Mahathir dikatakannya untuk
menaikkan ekonomi negara. Sebenarnya kebanyakan projek
itu adalah untuk sengaja menonjolkan Malaysia di mata
dunia. Mahathir cuba membangunkan negara untuk
mewujudkan pelbagai projek mega yang ada di negara
maju dalam satu tempoh yang pendek. Sedangkan projek
dan struktur mega di negara maju itu dilaksanakan
secara berdikit-dikit mengikut kemampuan negara tanpa
menghimpit kerukunan hidup rakyatnya.
- Mahathir berlagak sebagai seorang wira dunia dengan
memberi sabsidi kepada pemimpin negara dunia ketiga
tanpa ihsan dan keizinan rakyat Malaysia. Projek
beliau yang dikenal sebagai South-South Corporation
hanyalah satu silap mata kerana belanja menghidupkan
projek itu datangnya daripada duit rakyat Malaysia.
Langkawi International Dialogue adalah satu tipu
muslihat untuk menghidupkan projek itu dengan belanja
negara yang sungguh besar. Sedangkan rencana
pembangunan seperti itu sudah termaktub dalam
perlembagaan pertubuhan PBB dan Bank Dunia. Kerana
itulah ramai pelajar di Afrika yang celik matanya
memanggil Mahathir dengan nama "Father Christmas Of
All Seasons" (Santa Claus Serba Musim). Malangnya
rakyat Malaysia juga yang merana dalam membiarkan
Mahathir melayan nafsu nafsinya.
Bila Pukau Tidak Menjadi
Tipu muslihat Mahathir yang disaluti dengan
cakap-cakap yang memukau minda rakyat akhirnya menjadi
tumpul. Saudara Anwar Ibrahim yang pada tahap awal
termakan juga dengan segala tipu muslihat itu terjaga
daripada kerja durjana itu dan mula membantah secara
berhemah. Tetapi Anwar Ibrahim tidak sedar bahawa
yang cuba disanggahnya itu adalah bukan kepalang besar
manusia dan kerakusannya. Dia sebenarnya menyanggah
seorang insan yang berhati syaitan.
Satu strategi yang rakus direncana dengan penyertaaan
beberapa kerat manusia yang mudah dipukau juga.
Akhirnya Anwar terjebak dan ditahan serta dibaham.
Mahathir berjaya mendapat sokongan apa yang disebut
sebagai "Enam Jahanam" untuk menghenyak Anwar agar
terus terpenjara dengan cara melakarkan segala fitnah
yang mampu mengaibkan kewibawaannya. Demikianlah
balasan yang diberikannya kepada seorang setiakawan
yang sanggup menaikkan namanya menjulang tinggi
sehinggakan ramai rakyat yang rela mempertahankan
namanya sampai mati. Mahathir rela memenjarakan Anwar
dan membiarkan satu keluarga bahagia terpisah begitu
lama. Tinggallah anak-anak yang tidak berdosa dan
isteri yang tidak berupaya menjaga mereka sambil
menunggukan si bapa dibebaskan satu hari nanti.
Dua tahun dulu Mahathir berjanji kepada rakyat untuk
berundur selepas ekonomi negara pulih. Setahun
kemudiannya, dia mengubah janji itu kerana mahu
menumpukan tenaga kepada kerja membetulkan UMNO yang
semakin lumpuh. Sebulan yang lalu, janji itu
dipindanya lagi dengan berkata dia 'terpaksa' bersabar
menangguhkan persarannya: "kerana menunggukan Paklah
timbalannya menjadi lebih cekap lagi."
Inilah tipu muslihat seorang penjarah Melayu yang
terunggul di alaf baru. Dia terus menipu dan menipu.
Dia terus menghasut rakyat agar mempercayai bahawa
negara ini akan jatuh muflis kalau rakyat percaya
kepada hasutan orang asing. Dia gunakan segala tipu
muslihat menunjukkan bahawa dia dan hanya dia
sahajalah pemimpin ulung negara ini yang mampu
menjamin kesetabilan dan kekayaan negara 'Malaysia
Boleh'. Kerana itu dia mahukan setiap lapisan rakyat
negara ini termasuk juga warga istana untuk bersyukur
kerana peranan yang dilakukannya.
Mahathir menganggap bahawa kerana dia, makanya
Malaysia maju dan menjadi satu negara yang disegani
oleh dunia. Sayang, dia tidak sedar bahawa kerana dia,
rakyat negara ini sedang terpenjara dan terpaksa
melayari hidup dengan beban hutang yang begitu tinggi.
Mahathir sebenarnya sudah gila dan mahukan rakyat
turut gila mengikutinya.
Abdullah Badawi Yang Mengecewakan
Sikap kesewelan Mahathir adalah sesuatu yang
disebabkan nafsu besarnya ataupun disebabkan sengaja
diada-adakannya. Hanya orang yang betul-betul rapat
dengannya yang mampu menilai faktor itu. Rakyat
terutama sekali orang Melayu hanya mampu berdoa kepada
Illahi, bahawa negara ini akan terselamat juga
akhirnya.
Malangnya, kesabaran rakyat dalam menangani kerenah
Mahathir ini, gagal difahami oleh Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi. Mahathir sudah hampir berjaya memutarkan
minda insan ini daripada seorang yang menerima
pendidikan agama yang baik sejak kecil sehingga ke
peringkat universiti. Selama ini dia dianggap sebagai
seorang menteri yang mempunyai banyak kelemahan
daripada segi ketokohan untuk memimpin dengan
berkesan. Abdullah Badawi naik dalam dunia politik
adalah kerana masyarakat Melayu terpesona dengan
jasa-jasa almarhum bapanya dan juga datuknya. Kalau
Abdullah Badawi berdiri atas wibawanya sendiri,
ketokohannya adalah tidak berbeza dengan sesiapa
sahaja di kalangan insan biasa. Dia naik dulu pun
kerana pengaruh pegawai belia dan sukan yang
bertungkus lumus mencanang namanya. Sebelum bergiat
sepenuh masa dalam dunia politik Abdullah Badawi
adalah Timbalan Setiausaha Kementerian Belia, Budaya
dan Sukan. Ketika itu, kegiatan kementerian itu
banyak tertumpu kepada aktibiti tarian dan adat
istiadat Melayu lama.
Sebenarnya Mahathir tahu bahawa Abdullah Badawi adalah
insan yang amat mudah dipengaruhi. Sikap semula jadi
Abdullah (ataupun Paklah) memang mempamirkan beliau
sebagai seorang yang mudah disenangi. Gaya bahasa dan
irama kata-katanya pun sejak dia menonjol dalam
persada kepimpinan UMNO, adalah lambang seorang ahli
politik yang lemah dan lembut.
Generasi muda-mudi UMNO sebenarnya tidak kenal siapa
Paklah sebenarnya. Dia naik kerana sentimen kemelayuan
bekas pelajar yang menganggotai Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung (GPMS). Begitu juga dengan pengaruh
guru-guru kerana kebanyakan pegawai belia dan sukan
dulu-dulu adalah bekas guru-guru.
Tetapi, kalau dilihat akan prestasi Paklah sebagai
seorang pentadbir, tahapnya adalah tidak jauh beza
daripada tahap seorang penolong guru besar di sekolah
rendah sahaja. Apa yang diarahkan oleh guru besar
itulah yang akan dilakukannya. Kalau guru besar
menghentakkan sebelah kaki sebagai amaran kepada
guru-gurunya, Paklah akan menirunya dengan
menghentakkan dua kakinya sekali. Adakalanya dia
menghentak kakinya sendiri.
Sumbangan Paklah yang paling besar kepada masyarakat
muda-mudi negara ialah konsep KOBENA, yang kini hancur
kerana salah pengurusan. Jika tidak, inilah koperasi
yang paling besar yang pernah menjalin usahasama
dengan insitusi luar negara seperti Korea. Paklah
bertanggungjawab dengan perlantikan semua pucuk
pengurusan isntitusi itu berdasarkan pemilihan semua
tukang angguk dan para pengampu. Semoga degan
secebis cerita ini Paklah mampu sedar akan
kemampuannya yang sebenar. Dia harus memahami hakikat
ini sebelum terlambat.
Paklah semakin mengecewakan orang Melayu kerana dia
cuba meniru cara Mahathir menangani masalah negara.
Sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri,
ketokohannya yang terhad semakin terserlah. Dia tidak
mampu menonjolkan imejnya mengikut yang diharapkan
oleh rakyat yang merasa kehilangan ketokohan Saudara
Anwar Ibrahim. Sikapnya bercakap memang membosankan
kerana tidak seiras rentak tema ucapan yang berkisar
dunia politik dan bukannya dunia pendidikan.
Sejak kebelakangan ini memang ada usaha besar Paklah
menonjolkan imej ketegasan. Ucapannya pun sudah
berubah kerana adanya unsur penekanan suara dan tidak
lagi mendatar yang membuatkan budak sekolah pun mudah
ketawa. Tetapi, dalam dunia politik sifat kelakuan
yang tidak asli daripada sesaorang mudah dikesan dan
ditafsirkan sebagai sifat mengada-ngada. Inilah dilema
Paklah sebenarnya. Dia tidak mampu bercakap dengan
berkesan. Dia tidak mampu menonjolkan ketokohan
menyaingi ketokohan Saudara Anwar untuk memberikan
'oooommph' dalam peranannya sebagai Timbalan Perdana
Menteri. Kekurangan ini cuba diperbetulkan oleh Paklah
dengan melakukan beberapa tindakan hangat dalam
peranannya sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sikapnya bersekongkol untuk menyekat kebebasan
penerbitan dan hak rakyat berhimpun secara aman
menyerlahkan siapa Abdullah sebenarnya.
Ketika Mahathir menjadi menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
dulu, kebebasan rakyat marhaen ditekan secara licik
sekali. Dia menggunakan kuasa yang ada pada menteri
Hal Ehwal Dalam Negeri dengan memberikan proksi kepada
Megat Junid. Proksi ini dipegang begitu lama oleh
Megat kerana dia berupaya melakukan tugas mengikut
selera ketuanya dengan dibantu oleh Tun Haniff Omar
dan kemudiannya oleh Rahim Nor. Proksi itu bertukar
tangan sekejap kepada Tajul Rosli apabila Megat
dinaikan pangkat menjadi seorang menteri penuh.
Oleh kerana Mahathir mahu lari daripada aib yang
menimpa Saudara Anwar, dia pun menyerahkan
kementerian itu kepada Paklah. Sejak itu penindasan
terhadap rakyat marhaen semakin menjadi. Segala
tabloid dan majallah yang tidak berpihak kepada UMNO
dan kerajaan diharamkan. HARAKAH yang dulu boleh
diterbitkan setiap minggu, kini dicekik untuk
mengurangkan keluarannya. Paklah mengganas kerana dia
sudah menjadi proksi Mahathir. Lengkaplah percaturan
politik mereka berdua setelah mengekalkan kuasa dalam
UMNO tanpa dipertandingkan jawatan. Inilah dilema UMNO
masakini, kerana dua pemimpin terunggul mereka sudah
berada dalam keadaan yang terus tertekan dan masih
lagi mampu mengkotak-katikkan keadaan.
Lebih satu bulan yang lalu Mahathir membuat kenyataan
bahawa dia terpaksa mengekalkan jawatannya kerana
menunggukan Paklah menjadi lebih cekap. Rakyat marhaen
tertawa dengan kenyataan ini kerana mereka sudah lama
sedar bahawa Paklah diberikan pangkat itu bukannya
kerana beliau layak menerimanya mengikut kacamata si
diktator tua. Kalau kenyataan seperti itu ditujukan
kepada pemimpin politik lain, sudah tentu pemimpin itu
sudah lama dulu meletakkan jawatannya. Tetapi Paklah
tidak pun sanggup melakukan tindakan itu kerana dia
memang sudah begitu lama mengimpikan jawatan perdana
menteri. Sepatutnya, pengalaman Paklah yang lama
dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Negara mampu
menonjolkan Paklah sebagai pewaris jawatan Perdana
Menteri yang mudah diterima oleh rakyat Malaysia
secara rela hati.
Paklah terjebak dalam satu perangkap yang dipasang
oleh pihak tertentu agar dia tidak mampu menyerlah di
jawatan yang dipegangnya itu. Perangkap in dipasang
oleh beberapa golongan yang eloklah dicatatkan di
sini:
- Kumpulan 'Mahathirite' yang dikepalai oleh
orang-orang yang sudah mabukkan kuasa hasil menjadi
tukang ampu Mahathir. Terlalu ramai mereka ini untuk
disebutkan namanya. Tetapi inilah manusia yang sudah
kehilangan pedoman dan yang diletakkan dalam kedudukan
tertentu untuk mengipas selalu.
- Kumpulan yang sedar bahawa kuasa Mahathir semakin
lemah. Tetapi mereka mahu mengekalkannya dengan
menggunakan kem Paklah untuk menentukan kuasa itu akan
terus berkekalan. Inilah kumpulan yang menganggap
Mahathir sebagai 'setengah Tuhan'. Apabila Mahathir
memperlekehkan Nabi junjungan kita, mereka tertawa dan
apabila Mahathir memperlekehkan generasi Melayu lama
merekapun tertawa.
- Kumpulan yang mahukan Paklah mengambil segala
peluang yang ada untuk memperkayakan diri mereka. Itu
sebabnya Paklah mampu mendapatakan kontrak pembekalan
makanan untuk syarikat yang dikuasai oleh anaknya
untuk satu tempoh yang panjang. Kumpulan rakus ini
sudah terbawa-bawa dengan kerenah yang dinikmati oleh
kumpulan 'Mahathirite' dalam usaha membalon harta
rakyat.
- Mahathir naik berkuasa lama dengan menggunakan
segelintir peniaga Cina yang saya label dengan
panggilan 'KEJAM' bererti 'Kelab Elit Jin Alam
Mahathir'. Paklah pun ada kelab seperti ini, cuma
kelab itu menggunakan proksi untuk berkuasa secara
lebih giat lagi. Proksi mereka ialah syarikat
perniagaan bapa mertua Paklah, adik beradiknya dan
sukusakatnya. Selain membolot banyak kontrak kerajaan,
kita dapat mengikuti perkembangan kumpulan ini melalui
satu projek pembangunan di Seberang Jaya.
Ada lagi perangkap lain yang tidak mahu kita dedahkan
dulu. Untuk mengokohkan kedudukan dirinya agar
betul-betul dianggap layak menjadi perdana menteri
selepas Mahathir, Paklah dijebak untuk melakukan
beberapa tindakan yang seiras dengan apa yang Mahathir
lakukan semasa dia menjadi timbalan perdana menteri
dulu. Cuma Mahathir melakukan peranan itu lebih licik
lagi kerana ada unsur-unsur yang original. Tetapi,
kerana Paklah melakukannya sebagai mencontohi yang
original itu, nampak sangatlah kejijikan perangai
Paklah di situ.
Kini, Paklah sudah pandai berbohong kerana sudah
terkena penyakit si diktator sewel. Ada pepatah Melayu
lama yang berkata: Siakap senohong gelama ikan duri,
bercakap bohong lama-lama mencuri. Bidalan lama ini
amat tepat mengenai Paklah masakini.
Kita dapat lihat Paklah sanggup menghina bangsanya
sendiri apabila dia menuduh "adanya percubaan di
kalangan parti pembangkang untuk mewujudkan tindakan
ala intifada Palestin di negara ini semata-mata bagi
mencapai matlamat politik negara." Dia menabur fitnah
dengan berkata: "Menerusi percubaan itu pembangkang
akan menggerakkan penyokong mereka menentang
kerajaan dan polis sebagaimana penentangan yang
dilakukan oleh rakyat palestin terhadap askar dan
polis Israel"
Sandiwara Terbaru Di Akhir Tahun
Tuduhan Paklah ini dilaungkan pula oleh Najib Tun
Razak yang berkata: "Taktik baru parti pembangkang
cuba melahirkan wira di kalangan mereka sebagai
simbol penentang kerajaan melalui sandiwara intifada
politik." Najib mengajak rakyat agar tidak terlibat
sandiwara intifada politik kerana semua itu adalah
lakonan untuk melahirkan semangat penentangan kepaa
polis serta wira-wira yang digunakan sebagai simbol
menentang kerajaan. Mengikut Najib; 'matlamat
pembangkang ada dua, cari hero dan ajar rakyat
menentang pihak berkuasa.'
Menurut Najib lagi, jika selama ini kerajaan dituduh
membuat sandiwara seperti episod Sauk, sandiwara
pembangkang adalah lebih besar lagi kerana menggunakan
label intifada Palestin. Dia telah dipetik berkata:
"Intifada rakyat Palestin adalah menentang kuasa
Israel yang amat zalim, sedangkan di Malaysia tidak
memerlukan penentangan kerana kerajaannya dipilih oleh
rakyat melalui saluran demokrasi. Dalam isu Palestin,
pejuang sebenarnya ialah kerajaan kerana sejak dulu
kita menyokong PLO dan negara Palestin.
Najib semakin yakin bahawa pembangkang akan
menggunakan cara-cara di luar lunas demokrasi demi
menafikan hak rakyat seperti yang berlaku semasa
kempen pilihanraya kecil Lunas.
Setakat ini kita hanya mahu menyebut kelakuan Paklah
dan Najib ini sebagai dua proksi tukang-laung untuk
manabur fitnah lagi dan meracun minda rakyat negara
ini. Sekaligus, sandiwara terbaru ini dikatakan
pendedahan satu sandiwara parti pembangkang. Ia
memberi ingatan kepada pihak polis agar berwaspda
kerana semangat wira Paletin yang dikatakan itu akan
membuat negara huru hara.
Kalau kita renung kembali akan usaha terbaru Paklah
dan Najib ini kita nampak ada satu muslihat besar
kerajaan pimpinan UMNO sekarang. Satu ketika dulu,
Mahathir ada 'mendedahkan' kisah rakyat yang akan
bangkit membaling bom molotov dan membakar harta
rakyat dan kerajaan. Perkara ini tidak pun berlaku.
Sejak itu rakyat marhaen terus mendesak Mahathir agar
berundur, tetapi rakyat tidak pernah mendesak UMNO dan
BN untuk undur. Sasaran utama rakyat marhaen ialah
Mahathir bin Mohammad kerana rakyat sedar Mahathir
adalah punca negara bermasalah. Mahathir masih tidak
percaya dengan sentimen kemarahan rakyat. Apabila
kempen pilihanraya Lunas menumpaskan BN dan salah satu
isu kekalahan disebut kerana BN menggunakan wajah
Mahathir sebagai bahan berkempen, Mahathir masih tidak
percaya lagi. Mahathir dan penasihatnya masih
bertegas bahawa wajahnya itu masih berseri untuk
memukau hati rakyat lagi.
Menyedari bahawa kemarahan rakyat adalah tertumpu
kepada si diktator tua itu, kini direncana satu
sandiwara terbaru pula di mana bahan serangan
sandiwara itu ialah PAS dan Keadilan. Tindakan Mahfuz
memilih penjara daripada membayar denda dan suasana
sambutan rakyat apabila dia pulang bersama sahabatnya,
dijadikan satu bahan nasional untuk menipu dan memukau
minda rakyat sekali lagi.
Sayang, Mahathir dan para jongosnya masih berfikir
bahawa rakyat di tahun 2000 ini adalah rakyat yang
mempunyai fikiran yang sama seperti rakyat sebelum
itu. Mahathir mungkin tidak perasan dengan tulisan
saya yang terbaru sebelum ini, di mana pada perenggan
pertama tulisan itu ada dicatatkan:
"Apabila YB Mahfuz Omar dan teman-temannya merelakan
diri dipenjarakan daripada membayar denda mahkamah
yang tidak seberapa, saya sudah beritahu kawan-kawan
betapa akan bermulanya satu perubahan dalam politik
orang Melayu. Ia akan merobah sikap rakyat malaysia
berpolitik. Lambat laun, akan terhakis sokongan
terhadap UMNO dan Barisan Nasional."
Apa yang didedahkan sebagai sandiwara terbaru pihak
pembangkang sebenarnya adalah sandiwara paling baru
UMNO untuk menipu rakyat lagi. Segala tohmahan
mengatakan tindakan Mahfuz mahukan negara huru-hara
sebenarnya adalah taktik UMNO mahukan negara huru-hara
dengan tuduhan sandiwara itu. Dengan lain perkataan,
tuduhan bahawa pembangkang melakukan satu sandiwara
sebenarnya adalah satu sandiwara terbaru UMNO selepas
gagalnya sandiwara bersiri mereka yang bermula di
Grik, melencong ke Batu Caves dan kilang arak dan
berakhir di Sauk dulu.
Paklah dan Najib harus sedar, rakyat tidak lagi mudah
terpedaya dengan tipu helah kerajaan BN dan UMNO
menuduh pembangkang bersandiwara. Sebab utama fitnah
ini tidak akan laku lagi ialah kerana tafsiran
perkataan 'pembangkang' itu adalah satu tafsiran yang
usang. Saya pernah berkata apa yang disebut sebagai
Barisan Alternatif itu sebenarnya melambangkan
'Barisan Rakyat'. Apabila Paklah dan Najib berlagak
serentak melancarkan majlis upacara 'Gerakan Semangat
Intifada' itu sebagai satu sandiwara pihak pembangkang
dan Barisan Alternatif; sekaligus mereka berdua
menuduh rakyat yang bersandiwara.
Saya ingin memberi nasihat sempena bulan Ramadhan ini
kepada Paklah dan Najib yang memang lama saya kenal.
Gunakan otak selagi otak itu ada di kepala. Ubahlah
sikap dan janganlah anggap rakyat akan terus terpesona
dengan kepimpinan anda berdua. Anda berdua naik
meloncat dalam UMNO kerana proksi semangat dan 'aura'
almarhum ayah dan datuk anda. Rakyat mengenang jasa
mereka dan merelakan anda memimpin bangsa. Tetapi,
apabila anda menjadi alat si diktator tua, anda
sebenarnya memusuhi rakyat yang merelakan nikmat
kemuliaan itu. Bertaubatlah sebelum terlambat.
Setidak-tidaknya 'tarik zip' dulu dan berlakonlah
sebaik mungkin tanpa mengguriskan hati rakyat marhaen.
Segala tindak-tanduk Mahathir adalah laksana benih
basau yang tidak boleh dijadikan baka sebagai asas
kemajuan negara dan bangsa. Kepimpinan Mahathir adalah
idea basi yang hanya menunggu untuk dinyahkan oleh
rakyat. Letaklah jawatan anda daripada kabinet
Mahathir sebelum terlambat. Sedarlah kebangkitan
semangat revolusi rakyat secara aman. Kebangkitan ini
bukan berasaskan batu, lastik dan nyawa. Rakyat
menggunakan otak, IT dan semangat bersatu tanpa
mengira perkauman dan agama.
Anda naik kerana rakyat. Letakkan jawatan dan pergilah
bercuti ke seberang laut, kalau tidak berani bersuara
menyanggah Mahathir secara terbuka. Anda berdua harus
faham dengan kebangkitan revolusi rakyat yang
berlandaskan gerakan secara aman. Janganlah menjadi
pemimpin yang bermusuh dengan rakyat, seperti yang
dilakukan oleh seorang pemimpin tua yang bertaraf
bangsat.
-Marhaintua-
14.12.2000.
|