Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 23
[Penulisan Pak -MT- kali ini memang patut menjadi satu koleksi PENTING semua
pejuang tanah-air, tanpa mengira tua atau pun muda. Kita semua sebenarnya terpenjara
di mana-mana kita berada. Polis kini hanya memudahkan sistem itu berjalan kerana
amat giat mengutip cukai tanpa resit dicelah-celah tangan. Malah ada yang menjadi
penjual dadah sambilan semi jutawan yang sukar ditumpaskan. Keadaan institusi ini
sengaja dibiarkan oleh Mahathir (beliau menjaga KDN agak lama) untuk melahirkan
satu kumpulan samseng berlesen profesional yang sanggup membunuh atau mendera
mangsa seperti yang berlaku kepada Anwar, Nora, Pak Din, dll. Penjara pula sudah
menjadi satu institusi perdagangan. Ia gagal memberi sebarang manfaat kepada
negara, tetapi ia hanya semakin mengkayakan lagi orang yang men'jaga'nya. -
Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 23 : ANTARA PENJARAH DAN PENJARA
Antara Penjarah Dan Penjara
Apabila YB Mahfuz Omar dan teman-temannya merelakan diri dipenjarakan
daripada membayar denda mahkamah yang tidak seberapa, saya sudah beritahu
kawan-kawan betapa akan bermulanya satu perubahan dalam politik orang
Melayu. Ia akan merobah sikap rakyat Malaysia berpolitik. Lambat laun, akan
terhakis sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Idea untuk merelakan diri dipenjara sebagai ganti membayar denda bukannya
satu perkara baru. Pada akhir tahun 60-an dulu pun, ada seorang bekas
pelakon filem Melayu bernama Yusuf Suriya yang sanggup dipenjarakan kerana
dia enggan membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah di atas dakwaan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur. Yusuf Suriya yang merupakan adik ipar kepada seorang
pelawak terkenal negara dan rakan lawak Dato' S.M. Salim, telah bertindak
merelakan dirinya dipenjarakan kerana enggan mengalihkan kereta-tolak di
depan kedainya di Chow Kit. Dia bertegas kerana melihatkan terlalu ramai
pendatang Indonesia yang dibenarkan menjaja tanpa lesen yang sah ketika itu.
Sedangkan apa yang dilakukannya adalah untuk menyelamatkan perniagaannya
daripada dihenyak oleh pendatang itu. Lagipun, kebanyakan para penjaja itu
adalah rakan kongsi secara proksi ramai pegawai penguatkuasa bandaraya dan
pemimpin UMNO di Lembah Kelang.
Kerelaan Yusuf Suria adalah bersifat simbolik. Dengan tindakannya itu
barulah rakyat marhaen sedar betapa rakusnya sekumpulan insan yang bernama
Melayu dan beragama Islam di Dewan Bandaraya itu sehingga tergamak menikam
bangsa sendiri untuk memperkayakan diri. Kini, Chow Kit adalah laksana
Gelodok dan Tanjung Periok di Jakarta, dan Lorong Haji Taib adalah laksana
pesisiran pantai di hadapan Taman Harison Ancol.
Orang Malaysia yang mahu membeli-belah di Chow Kit terpaksa memendam geram
dengan apa yang dilaluinya. Orang kita yang lalu di Lorong Haji Taib
terpaksa menyumpah seranah dalam kalbu kerana gelagat kumpulan pondan dan
pengedar dadah yang bebas bergerak tanpa segan dan silu.
Apa yang berlaku di Chow Kit adalah satu gambaran betapa terpenjaranya
rakyat marhaen di Kuala Lumpur disebabkan unsur rasuah yang sungguh bernanah
di dalam institusi kerajaan. Tidak hairanlah kalau segelintir kumpulan
pendatang yang merasa senang itu mudah digunakan untuk dijadikan pengundi
hantu di pilihanraya yang lalu. Kini, sudah ada ura-ura untuk memberikan
kerakyatan kepada mereka sebagai satu usaha menjadikan mereka pengundi khas
yang boleh dibawa secara bebas.
Siapa Sebenarnya Terpenjara
Mahfuz Omar memang patut diberi tahniah kerana keberaniannya untuk
dipenjarakan. Dia bernasib baik kerana kepulangannya diberikan sambutan yang
gah dan meriah. Tetapi bagaimana dengan Yusuf Suriya dulu? Kepulangannya
dianggap sepi kerana tidak ada pemimpin politik yang mahu menyebelahinya
kerana takutkan kehilangan kuasa dan daya tarikan para pengundi. Akibatnya
rakyat marhaen terutama sekali penduduk Kampung Baru kini masih terpenjara
kerana gelagat mereka diam membatu. Tetapi apakah kesannya dengan kedatangan
pendatang luar yang melambak-lambak itu? Cuba kita fikirkan perkara ini:
- Setiap rumah di kota dan bandar terpaksa dipasang 'grille' ataupun jejari
besi seolah-olah penghuni rumah itu yang berada dalam penjara. Kalau kereta
diletakkan di hadapan rumah mempunyai tayar baru, besar kemungkinannya pada
keesokan hari empat tayar kereta itu lesap dan pangkalnya(drum) dialas
dengan batu. Ironisnya batu yang digunakan adalah batu-bata baru.
- Kaum wanita tidak merasa selamat lagi jalan berlenggang kerana mudah
diserang peragut yang datang dengan motorsikal. Pernah berlaku kepada
seorang guru wanita yang diragut rantai lehernya ketika dia sedang mengunci
pintu keretanya di hadapan rumah. Satu jam kemudian si peragut datang lagi
sambil mencampakkan rantai yang diragut itu dengan jeritan: "Cih, lain kali
pakailah rantai emas tulin. Ini ...pakai rantai palsu.. buang masa
saja....". Beberapa bulan yang lalu, salah satu kumpulan yang meragut itu
tertangkap dan didapati mempunyai kerja tetap sebagai anggota polis. Dia
meragut bertemankan isterinya sendiri.
- Kalau kita berjalan di tempat letak kereta di belakang bangunan KWSP, di
Lorong Masjid India, di perhentian R&R di Dengkel dan di banyak tempat lagi,
kita mudah dihampiri oleh beberapa lelaki yang menunjukkan jam tangan secara
tersorok-sorok. Jam itu mungkin jam yang dicuri ataupun yang dibeli pukal di
Maidin Superstore, tetapi yang melakukan kerja-kerja itu adalah pendatang
asing.
- Di bandar-bandar besar, ibu dan bapa yang mempunyai anak gadis yang
bekerja ataupun pergi kelas tusyen di sebelah petang, selalu gusar dengan
keselamatan anak mereka. Mereka mudah digoda oleh bajingan yang pintar untuk
menggunakan segala tipu daya. Ada yang diberikan minuman berunsur dadah
sehinggakan terpedaya yang membawa padah.
- Ramai lelaki Melayu kini mengabaikan rumah tangga mereka kerana
menyimpan betina di kalangan pendatang haram. Yang paling galak dengan kerja
ini ialah pihak angota polis dan tentera dan juga penguatkuasa Imigresen,
Kastam dan Bandaraya. Mereka inilah kumpulan yang kerap melakukan operasi
menyelongkar tempat sembunyi pendatang haram ini. Sebagai pampasan,
berlakulah tawar menawar di antara pihak yang patut terpenjara dengan
kumpulan yang sudah sanggup menjadi penjarah. Sekali sekala betina simpanan
itu disogokkan juga kepada wakil rakyat yang datang untuk persidangan
parlimen. Tentunya dengan upah yang setaraf dengan kemampuan pelanggan
terhormatnya.
- Di sebelah malam kita kerap mendapati beberapa teksi yang tidak tahu pun
arah hala yang dipandunya. Dia tidak tahu tempat yang diminta oleh
penumpangnya. Mereka ini adalah orang luar yang mengambil kesempatan menyewa
teksi orang tempatan yang keletihan. Inilah puncanya kisah pemandu teksi
melakukan rompakan terhadap penumpangnya.
- Sempena bulan Ramadhan ini ramai pendatang asing akan berusaha lari
pulang ke kampung. Tetapi mereka masuk dulu secara haram. Untuk keluar
secara haram mereka akan mencuri bot pelayan di pantai yang bersiap sedia
untuk ke laut. Nelayan yang mahu ke laut selalunya menyiapkan
kelengkapannya lebih awal lagi. Di bulan puasa, mereka melakukan persiapan
itu di siang hari dan bertolak selepas berbuka puasa ataupun selepas
sembahyang tarawikh. Di waktu inilah banyak perahu nelayan itu yang
dilarikan oleh pendatang asing. Kalau perahu itu dicuri di Melaka ataupun
di Teluk Kemang, besar kemungkinan perahu itu dilarikan ke Tanjung Rupat,
kira-kira dua jam dalam perjalanan laut.
Soalnya sekarang bagaimanakah ratusan ribu pendatang asing ini mampu
menerbus masuk ke negara ini sedangkan sistem pengawalan negara dikatakan
salah satu tercanggih di dunia ketiga? Siapakah yang berani menggunakan
khidmat pendatang tanpa permit ini tanpa ragu-ragu akan didakwa kalau bukan
para kroni dan suku sakat pemimpin negara? Oleh kerana pendatang haram ini
bekerja tanpa permit mereka tidak melalui ujian perubatan. Kerana itu
penyakit berjangkit seperti Hepatitis 'B', Tibi, Gonorrhea, Syphilis dan
AIDS semakin merebak di negara ini. Kalau semua pembawa penyakit yang
berjangkit ini dibiarkan bebas, bukankah ini bererti rakyat marhaen yang
tidak berdosa akan terus dipenjara apabila terkena jangkitan itu?
- Ramai pendatang asing berani berniaga secara terbuka. Kalau kita
perhatikan di sebelah beberapa supermarket yang sibuk dengan pembeli belah,
terdapat pemuda daripada Afrika yang menjaja tali-pinggang dan cenderahati
secara bebas. Di Chow Kit ramai pendatang Myanmar berniaga bermacam
permainan kanak-kanak, sedangkan mereka tidak pun mempunyai surat yang sah.
Sekali sekala mereka akan dipanggil oleh seorang dua anggota polis yang
tidak beruniform untuk dibayar 'cukai'; untuk terus hidup. Begitulah juga
di Petaling Street, kita dapat lihat Cina asing yang tidak tahu bercakap
sepatah pun Bahasa Malaysia menjaja barangan daripada Negeri Cina. Kalau
kita tanya harganya dia akan menuliskannya di kertas dulu untuk kita turut
setuju. Siapakah mereka itu kalau bukan satu hari nanti dijadikan calon
pengundi hantu?
- Kemasukan pendatang tanpa permit bukan sahaja terhad kepada pendatang
Indon, Thai, Myanmar, Bangla dan Filipina. Ramai juga yang datang daripada
India dan Sri Lanka tetapi tidak dikesan kegiatan haram mereka kerana mudah
diambil untuk bekerja oleh kaum India yang mempunyai kerakyatan negara.
Sekaligus kedatangan pekerja India secara haram ini telah mengurangkan
peluang bekerja masyarakat muda India di kalangan majikan sebangsa
dengannya. Inilah salah satu punca kenapa ramai pemuda India yang lebih
mudah bergelumang dengan kegiatan haram dan samseng. Semakin ramai yang
berambut panjang dan berpakaian tidak senonoh seolah-olah mereka datang
daripada satu keluarga yang terbiar.
Malang memang menimpa masyarakat muda India masakini, kerana mereka tidak
mempunyai pemimpin yang lebih baik daripada seorang khadam Lampu Aladdin.
Mr. Sammmyy Velluu sebenarnya gagal memimpin kaumnya sendiri kerana terlalu
ramai pemuda India yang terpesong arah hidupnya. Keadaan menekan ini terus
menimpa masyarakat ini. Sebagai contohnya apabila ada insiden jenayah
membabitkan pemuda India, mereka akan ditahan di lokap. Ini mencetuskan
kisah bagaimana masyarakat yang tertekan itu akan mengeluarkan derma
menyogok stesen polis yang menahan mereka agar memberikan ruang dan peluang
untuk melepaskan anak-anak yang ditahan. Dilema ini berpanjangan. Setiap
kali berlaku jenayah ataupun secebis kisah yang mudah dilupakan, polis akan
datang menahan segala anak muda yang mereka terjumpa. Tujuannya ialah untuk
mendapatkan habuan secara spontan. Sebagai reaksi kepada perbuatan jijik
ini, ramai pemuda India terjebak lagi. Mereka lakukan kerja-kerja jenayah
untuk mencari wang membayar kutipan yang dilakukan oleh ibu bapanya secara
pinjaman yang tinggi bunganya. Siapakah yang terpenjara sebenarnya dalam
kisah ini?
Peluang pekerjaan yang diambil oleh pendatang asing dan ruang untuk hidup
selesa disebabkan deruan hidup yang tidak mampu disaingi, membuatkan ramai
pemuda dan pemudi India mencari ihsan dan belas kasihan daripada gereja
Kristian yang memang bersedia membantu. Sekali lagi masyarakat India itu
dihantui dilemma baru mengenai fahaman agama pula. Sekali lagi masyarakat
itu menghadapi jalan buntu.
Di Kuala Lumpur dan juga bandar-bandar besar di seluruh negara, kecuali di
Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, masalah jenayah yang dilakukan oleh
kaum India merupakan satu masalah besar. Apatah lagi mereka kini sudah
membabitkan pemuda Melayu dan Cina sehinggakan mereka mampu menunjukkan
kekuatan dan kesamsengan. Dadah, rompakan, kerja maksiat membabitkan
pelacuran dan sebagainya semakin melonjak naik grafnya kerana gejala ini
bukannya mudah untuk dibasmi. Soalnya sekarang, kenapakah polis mampu
memberkas penagih dadah tetapi tidak pernah mampu memberkas raja dadah?
Seperti juga polis mampu menyekat kedai video haram tetapi tidak mampu
menangkap peneraju dan taukeh operasi itu? Adakah sesiapa pernah terjumpa
pihak polis menangkap pengusaha nombor haram? Yang terjumpa ialah
kesan-kesan ataupun peralatan operasi haram sahaja. Kumpulan pengusaha
sebenarnya tidak pernah tertangkap.
Maksiat yang berleluasa ini menjadi satu raksasa yang menghantui masyarakat
kita. Siapakah yang terpenjara sebenarnya?
- Kalau kita baca akhbar hari ini, ruangan yang luas diberikan terhadap
harga beras tempatan yang naik meninggi disebabkan kemasukan beras luar
negeri. Di waktu yang sama pengilang padi merasa terkilan kerana longgokan
padi yang berlebihan. Hanya, pada 26.11.2000 dalam tulisan bertajuk (YTDT
15:)) Ayoyo Kadawalleee!!!, saya ada mengungkit perihal beras dan Bernas.
[Rujuk KM2: Rencana 3301 - Editor]
Nah......lihatlah dunia....satu skandal lagi sudah menjelma membabitkan
beras negara. Soalnya, kenapakah beras diimpot lebih-lebihan tanpa mengambil
kira stok yang melambak-lambak? Mungkin tujuan asalnya untuk mengambil kira
padi yang banyak musnah ketika banjir yang baru melanda. Tetapi, bagaimana
cerita dengan stokpail yang menggunung di kilang-kilang. Kalau pengimpotan
itu dilakukan juga oleh tuanpunya kilang padi, bagaimanakah mereka dapat
lesen impotnya sedangkan itu adalah khas untuk Bernas sahaja? Berulangkah
unsur-unsur rasuah dalam pengimpotan beras seperti berlakunya pengeluaran
lesen AP untuk membawa masuk kereta luar negara? Siapakah yang terpenjara
sebenarnya dalam hal ini?
Mengenal Penjarah Negara
Begitu banyak masalah dan skandal negara yang akan terdedah. Walaupun
Mahathir sudah berusaha selama ini menyekat kebebasan akhbar dan
menghapuskan samasekali peluang rakyat berinteraksi dengan benar. Kerelaan
Mahfuz dipenjarakan sebagai gantian daripada membayar denda adalah satu
permulaan betapa rakyat marhaen akan bangkit secara bersepadu seluruh
negara. Adalah secara kebetulan ketika Mahfuz masuk Penjara Kajang dulu,
niatnya itu sudah lama dikesan oleh kumpulan perisik kerajaan. Perkara ini
mungkin tidak disedari oleh Mahfuz dan teman-temannya, tetapi sebarang
langkah yang dilakukan secara berkawan dan berparti sudah pasti mampu
dipantau oleh pihak yang berkuasa. Segala jentera risikan memang khas
ditumpukan kepada usaha itu. Kerana itu kita lihat pilihanraya kecil di
Lunas ditetapkan setelah mengambil kira tempoh Mahfuz terpenjara. Kerana itu
juga kita lihat kes penghakiman Al Maunah ditangguhkan sehingga 4 Disember
kerana kerajaan tidak mahu 'sandiwara singkat di Kampung Jenalik' itu
mengimbau ingatan pengundi Melayu kepada dilema Memali. Oleh kerana Lunas
juga, makanya kes pengadilan Irene Fernando masih tertangguh lagi kerana
ketiadaan penterjemah yang berwibawa. Sedangkan ramai orang yang mampu
menjadi penerjemah dalam Bahasa Urdu ataupun Hindi mengikut yang diperlukan.
Kes itu ditangguhkan untuk menutup keaiban yang dilakukan oleh anggota
polis.
Penangguhan kes-kes mahakamah itu memberikan gambaran betapa institusi
kehakiman dan kepolisian negara sudah jatuh terperuk kerana terlalu teruk
diputar belit oleh seorang diktator tua. Apabila Lunas dilangsungkan,
kehadiran begitu ramai pengundi hantu telah meyakinkan rakyat bahawa negara
ini sudah sampai ke tahap yang sungguh haprak sehingga tidak mampu lagi di
selamatkan hanya dengan iltizam manusia biasa. Rakyat marhaen yang menaruh
harapan agar negara dapat diselamatkan hanya dengan doa dan keyakinan diri,
akan merasa kecewa satu hari nanti. Malaysia dan Mahathir kini sudah
menghampiri ambang anarki seperti yang saya tulis di bawah tajuk: "Memahami
Getaran Revolusi Rakyat" dan "Dasar Muka Tidak Tau Malu"
Kalau kita lihat taktik UMNO sekrang ini, ia cuba memperbaikki imejnya
dengan menuding jari ke arah orang lain. Kepada MIC, tuduhan yang besar
ialah mengenai calon yang salah di Lunas. Kepada MCA dan Gerakan tuduhan
yang dibuat oleh UMNO ialah kerana kegagalan menerangkan konsep Sekolah
Wawasan. Semua ini tidak mengambil-kira segala tohmahan yang dibuat
mengenai perpecahan Barisan Alternatif terutama sekali mengenai perpecahan
DAP yang dikatakan akan berpecah belah. Semua tuduhan ini adalah bertujuan
untuk menutup malu kerana kalah di Lunas. Kini, Pemuda Umno sudah
mengemukakan surat bantahan kepada SUHAKAM mengenai kegiatan Barisan
Alternatif di Lunas dulu, terutama sekali dalam usaha menyekat kemasukan
pengundi hantu.
Ironisnya, sudah ada segelintir pengundi hantu yang sedar dan sanggup maju
ke hadapan mengaku betapa mereka sengaja di bawa ke Lunas untuk menjadi
pengundi hantu. Sikap paling tadah "pengundi hantu" yang sedar ini harus
diterima oleh Barisan Alternatif dengan tangan terbuka dan saya fikir sudah
sampai masanya Barisan Alternatif itu bertukar nama menjadi "Barisan
Rakyat".
Dalam artikel ini kita tidak akan mengusik langsung akan segala kerja jijik
yang dilakukan oleh Barisan Nasional di Lunas. Tetapi kita mahu ungkit akan
kerja-kerja pembohongan yang dilakukan oleh Raja Kelentong bersama seluruh
anggota kabinetnya dan juga oleh majlis Tertinggi UMNO yang membodeknya.
Sejak Ramadhan bermula yang bersamaan dengan kemenangan Barisan Rakyat di
Lunas, Raja Kelentong telah melakukan pembohongan setiap hari tanpa
henti-henti. Kerana itu ramai pemberita luar negara menggelarnya sebagai
'The Pathological Liar'. Ini membawa erti orang semacam ini boleh mati kalau
dia tidak hidup berbohong. Pertama kali dia disindir dengan gelaran ini,
akhbar media perdana tidak mahu menyebutnya. Tetapi, kini semakin ramai
orang sedar bahawa sesaorang yang diberi gelaran 'pathological liar' ini
sebenarnya seorang yang sudah bertaraf sewel.
Apakah yang boleh diharapkan daripada seorang pemimpin bertaraf sewel ini?
Bagaimanakah dia mampu mengundang rakyat Terengganu yang dikatakan bekas
ahli PAS datang ke Putrajaya untuk berbuka puasa? Apakah tujuannya
menghabiskan wang rakyat untuk tujuan itu? Berapa ramaikan di kalangan
jemputan itu yang sudah menjadi ahli Pas Baru? Yang penting sekali kenapakah
wang rakyat terus dibazirkan dengan mengadakan buka puasa untuk tujuan
berpolitik?
Rakyat Terengganu yang datang ke Putra Jaya untuk berbuka puasa tidak
payahlah berlagak sakan. Ingatlah akan hal wang royalti yang memang hak
rakyat Terengganu tetapi diselewengkan menjadi Wang Ihsan. Kalau berbuka
puasa di Putrajaya itu semata-mata untuk diputar minda kerana wang royalti
yang sudah dicuri, eloklah beristigfar banyak-banyak. Jangan mudah
terlopong melihatkan keindahan Putrajaya ataupun KLIA ataupun Menara Kembar
Petronas. Semua projek mega itu memerlukan wang untuk membayar hutang
pembinaannya. Semua hutang itu akan dilunaskan daripada wang royalti yang
sepatutnya menjadi hak rakyat Terengganu. Ingat dulu saudaraku di Terengganu
berapakah harga minyak sawit sekarang dan berapa pula harga sekilo getah
sekerap? Bandingkan dengan harga sekeping tahu dan sebotol budu cap limau
di Kuala Berang. Jangan mudah terpedaya oleh Raja Kelentong yang sudah
bernyawa ikan itu....!!!!
Bila Penjarah Mula Gelabah
Kalau kita amati cara hidup kita sekarang ini berbanding dengan segala
kemewahan yang dinikmati oleh golongan yang dipanggil Wakil Rakyat dan
sekutunya, kita akan sedar bahawa Malaysia sedang menuju ke arah jalan yang
amat kelam. Malaysia sebenarnya semakin menghampiri lorong anarki. Semua ini
kerana institusi kerajaan yang ada sudah lumpuh kerana meyimpang jauh
daripada matlamat asalnya dan martabat lama yang sungguh mesra rakyat dan
mulia tempatnya. Keadaan ini lebih diaibkan oleh kerana Majlis Raja Raja
(MRR) tidak melakukan tugasnya seperti yang diharapkan oleh rakyat. Mahathir
Mohammad sebagai penjarah terunggul negara mampu melakukan segala putar
belit kerana MRR itu sendiri sudah kehilangan apa yang disebut sebagai
kedaulatan sultan dan raja.
Mahathir mampu memutarkan minda MRR kerana kelakuan haprak segelintir raja
yang sanggup mengenepikan kesetiaan rakyatnya. Bayangkan apabila ada raja
yang sanggup mengahwini orang luar. Di Britain dulu seorang raja sanggup
turun takhta kerana dia mengahwini seorang janda walaupun daripada bangsa
yang sama. Tetapi di negara ini raja dan sukusakatnya sanggup mengahwini
seorang pelayan kasino ataupun 'croupier' meja judi. Pernah terjadi seorang
raja (yang masih lagi bertakhta) melakukan kerja maksiat di dalam kereta
pembawa kuda di tapak Kelab lumba kuda polo lama yang kini dijadikan Kelab
Raintree. Di waktu yang sama, semua raja-raja mahukan rakyat menyebut Daulat
Tuanku, daulat tuanku.....!! sedangkan mereka sudah lama lupa apakah
maknanya sebenar kata-kata itu. Oleh kerana raja-raja sudah tidak relevan
lagi dalam masyarakat madani ini, makanya Mahathir mampu memutarkan minda
mereka. Kerana itu pada satu ketika dulu Tengku Abdullah berada di Israel
berbincang dengan pemimpin Israel. Kerajaan menafikan pemergian Tengku
Abdullah itu adalah sebagai wakil proksi Mahathir. Tetapi, sejarah
membuktikan itulah yang sebenarnya. Kerana itu apabila Mahfuz Omar dan
teman-temannya berpiket menentang kemasukan pemain kriket Israel, dia
ditahan dan didenda oleh mahkamah.
Siapakah Ketua Persatuan Kriket Malaysia kalau bukan seorang anak raja?
Adakah dia perihatin dengan perasaan rakyat? Kalau dia cakap Bahasa Melayu
masih pelat walaupun usia sudah tua bangka, apakah yang diharapkan
daripadanya?
Apakah dosa Mahfuz dan kawan-kawannya berpiket menentang Israel? Dia
dipenjarakan semata-mata kerana dia melanggar wawasan seorang diktator tua
yang mahu menjadi insan yang diterima oleh semua lapisan pemerintah dunia.
Cuba kaji semula apa yang dikatakan oleh Mahathir di Doha dulu. Bukan main
dia berlagak seolah-olah dia pejuang tulen memerangi regim Israel. Kalau
kita lihat gambar dia berpelukan dengan Yassir Arafat, dia seolah-olah
sahabat paling setia pemimpin Palastin itu. Tetapi, begitu juga yang
dilakukannya ketika berpelukan dengan Fidel Castro. Dengan lain perkataan,
Mahathir sudah sewel sehingga berfikir dialah sebenarnya juara dunia
keseluruhannya. Semua orang yang berani berkata menyanggahnya adalah musuh
ketatnya. Penyakit inilah yang menjalar ke segenap institusi kerajaan. Itu
sebabnya polis sanggup mengeluarkan gambar kanak-kanak berumur lima tahun
kerana berhimpun secara haram.
Sikap menghina rakyat yang mahu berhimpun dengan aman baik sebagai bantahan
terhadap kerajaan ataupun negara asing adalah satu pertanda bahawa regim
Mahahtir sudah diambang senja. Hanya menunggu masa untuk berlalu. Mahathir
sedar akan fenomena ini, cuma mahu mempertahankan kuasanya itu untuk satu
waktu sehingga dia tidak mampu lagi menepisnya. Inilah tempoh yang paling
mencabar dan amat berbahaya kepada Malaysia dan kepada rakyat yang cintakan
kedamaian.
Kini, gelagat UMNO untuk memperlekehkan rakyat kerana kekalahan BN di Lunas
menunjukkan Mahathir sedang mengubah strategi untuk menekan rakyat lagi.
Saya menjangkakan beberapa tindakan ganas akan dilakukan oleh Mahahtir untuk
melekakan rakyat agar tidak bangkit menentangnya.
- Mahathir kerap bercakap mengenai perbuatan tentera asing menggulingkan
kerajaan yang tidak memberi menafaat kepada rakyat jelata. Ini menunjukkan
Mahathir takut akan kebangkitan tentera yang dikatakan sudah berpuak-puak.
- UMNO mahu polis bertindak terhadap Barisan Rakyat kerana menyekat
pengundi hantu berganas di Lunas. Ini adalah satu cabaran agar polis di
Kedah mula dimusuhi oleh rakyat. Perbalahan yang berterusan di antara rakyat
dengan polis akan membantu Mahathir memulas rakyat. Inilah yang berlaku
ketika Ibrahim Libya diganyang dulu. Sehingga kini Episod Memali masih belum
diselesaikan di mahkamah.
- Skandal Limo KLIA akan membabitkan BPR. Tetapi apakah yang mampu
dilakukan oleh BPR dalam siasatannya itu nanti kerana Limo KLIA itu adalah
syarikat kepunyaan Pemuda UMNO juga. Sepatutnya BPR sudah sibuk-sibuk
memeriksa bagaimana Samy Vellu berbelanja sakan di Lunas dulu dan
bagaimanakah kontrak kerja diberikan hanya kepada orang tertentu.
Apakah Iktibar Mahfuz Daripada Penjara Kajang
Sepatutnya Mahfuz mula menulis akan pengalamannya di penjara itu. Cuba tulis
mengenai keadaan penjara dan makanan yang tidak layak dimakan manusia.
Tetapi, yang penting lagi cuba tulis bagaimana sistem penjara adalah satu
sistem di mana Mahathir meletakkan manusia dalam peti ais sahaja.
Di negara maju seperti di Amerika, ramai banduan yang menjadi kaya-raya
kerana diberikan ilmu kehidupan. Sonny Liston, Jack Johnson, Mike Tyson dan
ramai peninju hebat dunia muncul dan terserlah daripada penjara. Ramai
pemain bola tampar dan bola lisut Amerika muncul daripada penjara. Di Korea
dan Argentina ada beberapa pemain bolasepak yang handal muncul selepas
terpenjara. Malahan Malcolm 'X' seorang banduan yang akhirnya menjadi
pendakwah Islam mendapat ilham itu semasa dia berada di khutubkhanah
penjara. Apakah yang pernah dihasilkan oleh sistem penjara negara ini?
Kalau kita tinjau pusat serenti tidak ada satu pusat pun yang melahirkan
manusia yang berguna akhirnya. Sistem penjara itu memberi makan dan minum
kepada banduan dan bila selesai Asar mereka disuruh bersiap sedia untuk
makan malam dan kemudiannya dikenakan tahanan malam agar tidur sampai pagi.
Bayangkan, betapa ruginya negara apabila anak-anak muda dibiarkan terpenjara
tanpa mendapat ilmu pengetahuan untuk dijadikan bekalan hidupnya. Apabila
mereka keluar apakah yang mereka tahu dan mahu lakukan untuk tidak lagi
terjebak ke kancah maksiat? Mereka tidak dapat bertahan lama melainkan
melakukan maksiat lagi. Betapa pun mereka berusaha untuk mengelaknya,
pengaruh suasana keliling memerangkap mereka lagi. Inilah sistem penjara
yang dilakar oleh seorang diktator tua yang begitu lama menjadi menteri hal
ehwal dalam negara. Kenapakah tidak diajar banduan penjara memasang-siap
sebuah kereta Proton seperti yang dilakukan oleh banduan Brazil untuk
memasang siap Volkswagen di bengkel penjara mereka?
Kalau kita lihat perbelanjaan besar yang dikeluarkan untuk membina penjara
di negara ini, kosnya membuatkan kita diiktiraf sebagai sebuah negara yang
mempunyai sistem penjara yang canggih. Tetapi, kecanggihan itu terletak
kepada cara mengawal banduan dan bukan kepada cara memperbetulkan tabiat
banduan itu. Apabila si banduan dibebaskan, perangainya sebagai penjarah
masih tidak berubah. Begitulah akibatnya dengan sikap pengikut UMNO yang
memberikan peluang yang begitu besar kepada Mahathir untuk memimpin mereka.
Segala peraturan baru dan pindaan yang dilakukan kepada perlembagaan parti
adalah bertujuan untuk mengekalkan Mahathir di tampuk kuasa. Ini tidak akan
merobah perangainya untuk memimpin rakyat ke arah kesejahteraan. Apabila
pemimpin ulung rakyat menjadi Raja Penjarah, masyarakat yang dipimpinnya pun
sedikit demi sedikit akan menjadi penjarah juga.
Oleh kerana Mahathir menganggap sepi akan keadaan di penjara, kita lihat
sekarang pihak polis mahu membuat 'operasi Warta' terhadap mereka yang tidak
membayar saman. Apakah pihak polis ingat saman itu dibayar dengan wang
rasuah yang diterima oleh orang yang kena saman? Kalau beratus ribu waran
tangkap dikeluarkan kerana gagal membayar saman, siapakah sebenarnya yang
silap dalam hal ini? Rakyat marhaen tidak mampu membayar sehingga RM300 bagi
setiap saman. Ini bukannya jumlah yang kecil. Apakah ertinya menyaman orang
lari laju di jalanraya sedangkan raja-raja dan para menteri serta para kroni
dan sanak saudara mereka boleh lari sehingga melebehi 200 kilometer satu
jam. Apakah keistimewaan mereka memecut di lebuhraya sedangkan mereka tidak
pun membayar tol dan cukai jalan? Malahan mereka diberikan iringan polis
untuk lari laju semacam orang gila.
Apa salahnya kalau kadar kelajuan di lorong luar dinaikkan sehingga 150 kpj
seperti yang dilakukan di Autobhan Jarman ? Di sana sesiapa yang lari
kurang daripada hadlaju itu dikenakan saman, bukannya mereka yang lari lebih
laju. Kerajaan tidak mampu mengenakan peraturan baru seperti ini kerana
lebih lima puluh peratus pemandu di jalanraya kita adalah pemegang lesen
terbang. Siapakah sebenarnya yang terpenjara dalam hal ini?
Apa yang akan jadi kalau sepuluh ribu rakyat yang disaman itu memilih untuk
dipenjarakan? Pihak polis harus sedar akan perkara ini sebelum terlambat dan
sebelum rakyat yang rela dipenjarakan sahaja menjadi satu skandal yang
membesar menjadi satu gelombang manusia yang sanggup mengadakan himpunan
raksasa. Masanya mungkin muncul apabila ada rakyat marhaen yang lebih rela
dipenjarakan daripada membayar saman kerana harga saman yang terlampau
tinggi.
Sekarang rakyat disuapkan dengan satu dakwaan bahawa Polis dikerah mengutip
saman kerana kerajaan mahukan wang membayar bonus kakitangan kerajaan.
Inilah yang membuatkan rakyat marah lagi. Inilah yang memerlukan polis lebih
bijaksana. Adalah lebih elok kalau polis mengenakan satu peraturan baru
bahawa setiap saman yang tertunggak dikira setakat RM10 (sepuluh ringgit
sahaja). Dengan cara itu semua yang kena saman itu akan datang ke balai dan
melunaskan hutang mereka. Membiarkan perkara ini berpanjangan akan
mengeluarkan belanja yang besar di pihak polis kerana kerahan tenaga yang
besar jumlahnya. Eloklah polis menumpukan aktibiti terhadap anasir luar yang
masuk tanpa izin dan menghalau mereka daripada negara ini. Ataupun
menangkap segala bajingan yang berkeliaran di kotaraya mencari mangsa untuk
didera, diculik dan diperlakukan mengikut nafsu yang menggila.
Disebabkan anasir rasuah dan kedatangan orang luar secara haram, wibawa
anggota polis sudah jatuh begitu rendah sekali. Ini diperkuatkan lagi oleh
gelagat pasukan gerak khas ataupun FRU yang mudah menunjukkan perangai
bengis bila berhadapan dengan rakyat marhaen. Gelagat polis bajingan seperti
ini mencetusakan soalan, siapakah sebenarnya yang mereka takutkan? Apakah
mereka lebih takutkan Mahathir daripada Tuhan?
Hasil tulisan saya bertajuk "Dasar Muka Tidak Tau Malu" barulah pihak polis
mahu melakukan ujian kencing untuk mencari anggota polis biasa dan FRU yang
sebenarnya penagih dadah. Kenapakah perkara ini mengambil satu masa yang
panjang untuk membawa kesedaran kepada pihak berkusa polis? Jawapannya
terletak kepada sikap Mahathir yang membiarkan fenomena itu berkembang luas
di kalangan warga Polis agar mudah beliau memutarkan minda mereka. Sebelum
Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu ramai pegawai polis yang menonjol dan
menyerlah dalam bidang sukan negara. Ada yang mewakili negara (seperti
Sarjan Abdul Rahman) dalam permainan Piala Thomas. Malah ada yang bersinar
dalam ragbi, kriket dan juga hoki. Ketika itu ancaman komunis masih lagi
berbisa. Kini, negara sudah aman, tetapi angkatan polis kita terlalu jauh
kebelakang dalam serba serbi kehidupan ini. Anak-anak mereka pun tidak
menjadi kerana ramai yang menjadi penagih dadah dan melakukan jenayah.
Apakah semua ini tidak dibawa ke pengetahuan menteri berkenaan?
Jelas, episod terpenjaranya Mahfuz Omar adalah satu kehendak Allah agar
segala kejijikan di sebalik tembok berjeriji besi akan lebih terserlah.
Segala pendedahan semua itu akan menaikkan semangat rakyat yang akan sedar
akhirnya bahawa walaupun hidup bebas, rakyat marhaen di Malaysia ini sudah
lama terpenjara sebenarnya. Yang memenjarakan mereka ialah segala kerakusan,
kelentongan dan kerja-kerja curang membalun harta rakyat yang dilakukan oleh
seorang pemimpin bertaraf bangsat dan para kroninya yang selama ini berjaya
memutarkan minda rakyat untuk terus memuji mereka. Pengundi Lunas telah
bertindak agar rakyat marhaen bangkit dan menyanggah segala kerakusan yang
dipelopori oleh si diktator haprak itu.
Sampai bilakah rakyat akan terpenjara begini? Hanya Mahfuz, Ezam, Roslan
Kassim, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Adam Ahmad,
Gopalakrishna, Sadirah K, Zunar, Itoh, Zulkifli Sulung, Tian Chua, Lim Guan
Eng, Matdeghih, Puan Nora, Elniza, Dahlia, Kariena Abdullah, Nurul Izza,
Sabri Zain, Celine Tan, Mr. Changgih, LTL, Mat Perlis, Kak Id, Mantaram, Dr.
Hatta, Mr. Boo,Tokey Bas, Zabymulia dan ramai lagi generasi muda dalam
Barisan Rakyat yang mempunyai segala jawapannya. Kami golongan tua hanya
mampu merakamkan segala peristiwa yang memperlekehkan bangsa dengan menyorot
sejarah silam agar generasi muda tidak tertipu lagi. Mahathir dan para
kroninya sudah tidak relevan lagi. Bertindaklah secara bersatu sebelum
terlambat dan sebelum negara ini punah kerana rakyat marhaen kehilangan
arah.
-marhaintua-
13.12.2000.
|