Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 22
[Kekalahan BN di Lunas nampaknya turut mengegarkan kepimpinan pemuda umno.
Aziz Sikh Fadhir terkapai-kapai menjadi kambing hitam...padahal kambing sebenar
ialah seekor jembalang yang mengata macam-macam kepada orang cina semasa hari
merdeka dan kepada pendidik cina di Kedah dekat Lunas. Aziz mengambil langkah
meletak dan mengambil jawatan (macam bola sahaja) seperti orang yang tidak
berpendirian. Walaupun begitu sikap sedemikian masih gagal untuk memadamkan imej
beliau dan umno yang sengaja hendak menunjukkan kekuatan samseng kepada Suqui
dan berlagak berlebihan. Sikap berbiadap terhadap tata sulia kaum berbilang
bangsa di negara ini itu sudah di bayar di Lunas dengan dahsyatnya oleh pengundi
Cina. Kini orang Cina tahu pemuda umno tidak ada benda.... mereka memalukan sahaja!
- Editor ]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 22 : YANG MERABA DAN MERABAN
Yang Meraba dan Meraban
Kesian Aziz Sikh Fadzir, semua orang menganggapnya laksana satu karong belasahan. Semua
orang mudah menganggapnya sesuai dijadikan satu "punching bag" sekarang ini. Mereka
terlupa dia adalah seorang timbalan ketua pemuda UMNO yang satu hari mempunyai peluang
menjadi perdana menteri. Semua ini gara-gara kekalahan BN di Lunas dan kerana Mahathir
naik ganas.
Memang tidak adil menuduh Aziz Sikh secara melulu sedangkan semua Pak Menteri, Mak
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ada berkempen di situ. Malahan Perdana Menteri pun
diura-urakan datang juga cuma di saat terakhir kecut perutnya sehingga tidak jadi
menunjukkan muka. Nasib baik yang kecut itu terletak di perut, kalau di tempat lain,
adalah yang kena urut. Ataupun terkena carut?
Sebenarnya Aziz Sikh tidak boleh disalahkan sangat kerana kekalahan di Lunas itu. Semua
perancangan untuk menang memang sudah dirancang begitu jitu. Mula-mula sekali gambar S.
Anthonysamay diolah agar kelihatan lebih hebat berpakaian jubah. Kemudian gambar
diedarkan di setiap rumah seolah-olah itu kerja pihak pembangkang sedangkan sehingga
selesai hari pencalonan, pihak pembangkang sudah menjadi resah. Skandal penarikan DAP
yang diatur begitu rapi untuk dijadikan satu penghambat usaha berkempen sudah semakin
menunjukkan bisanya. Pucuk pimpinan DAP menggelabah, akhbar kerajaan dan media letronik
pun membesarkan segala fitnah. Inilah yang mampu memancing pengaruh pengundi India di
Lunas sehingga pejabat DAP yang baru dibuka terpaksa ditutup semula.
Pengarah medan, Samy Vello, telah bertungkus lumus memancing undi secara pukal. RM21
juta dibawa turun untuk diagihkan kepada beberapa projek kilat untuk melunaskan segala
projek tertunda selama 43 tahun lamanya. Sambil memandorkan projek itu dia membuat ikrar
baru: "Saya akan menetap di sini, kalau BN tidak menang pilihanraya ini." Sayang,
ikrar seorang presiden MIC yang sanggup bertungkus lumus selama lapan hari membawa satu
perubahan yang besar sehinggakan Lunas menjadi pekan tercanggih, di mana rakyatnya tidak
tahu mengenang budi. Lunas tumpas, dan menggemparkan seluruh tenaga pemikir BN yang
begitu angkuh selama ini. Samy Vellu lari keluar daripada Lunas. Seperti juga semua Pak
Menteri dan Mak Menteri yang lesap lebih awal lagi sebaik sahaja muncul desas-desus
bahawa kekalahan sudah berada di ambang pintu BN. Hanya abang kepada Aziz Sikh yang
merupakan menteri kebudayaan dan pelancongan yang sanggup menunggu sehingga keputusan
pilihanraya diberitahu.
Alangkah aibnya perkara ini, semua pemimpin lari terlebih dulu secara senyap-senyap,
termasuklah calon MIC yang mewakili BN di pilihanraya itu. Bagaimanakah perasaan segala
petugas dan pengundi yang sanggup kerja setiap hari, sampai ada yang sanggup mengambil
cuti meninggalkan anak isteri ataupun suami berhari-hari? Bagaimana pula petugas tempatan
yang turut kecewa dengan keputusan yang diterima dan mahukan belaian simpati daripada
para pemimpinnya? Kalau yang tua-tua terpaksa pergi dulu kerana sebab sesuatu kenapakah
golongan yang muda yang sepatutnya menjadi pelapis pemimpin negara ikut sama?
Di sinilah letaknya kesilapan Aziz Sikh kerana dia juga turut melesapkan diri mengikut
ragam pemimpin yang lainnya. Dia lupa sebagai wakil peribadi ketua pergerakan pemuda UMNO
dia sepatutnya bertahan lebih lama lagi dan lebih bersabar lagi di Lunas, tidak kiralah
kalau keadaan semakin panas. Tetapi, takkan Aziz sanggup meletakakn jawatannya sebagai
timbalan ketua pemuda UMNO semata-mata kerana kekalahan di Lunas? Jenis pemimpin apakah
yang mudah menyerah kalah hanya dengan satu kekalahan? Apakata masyarakat Cina yang dulu
terpesona dengan keberanian Aziz mengingatkan mereka agar tidak menjolok sarang tebuan?
Apa pula kata masyarakat India yang memang cemburu dengan Aziz kerana mampu menjadi ahli
UMNO sehingga berpakat tinggi di situ?
Apa pula kata ahli UMNO terutama sekali masyarakat pemuda yang memberikan kepercayaan
tinggi kepada Aziz selama ini? Esok lusa kisah perdebatan antara Hisyamuddin Husin dengan
Mahfuz Omar akan timbul semula. Apakata, kalau Hisyam terpaksa pergi ke Australia
menjalankan tugas negara, bukankah Aziz yang terpaksa menggantikan tempatnya?
Strategi Menipu Rakyat
Terlalu banyak yang telah ditulis mengenai Lunas. Bukan sahaja penulis tanahair yang
melakukannya, ramai juga penganalisis luar yang telah menulisnya. Lunas kini bukan lagi
dianggap sebagai sebuah pekan kecil yang telah melakar satu sejarah besar. Lunas kini
sudah dijadikan lambang kepada satu semangat rakyat yang akan melakar sejarah yang lebih
besar lagi. Barisan Nasional dan juga UMNO sudah sedar akan perkara ini kerana itu,
sebaik sahaja kekalahan datang melanda, Mahathir merupakan orang yang pertama memegang
gambar S. Anthonysamy dengan pakaian padri. Itulah bahan pertama beliau menuduh Barisan
Alternatif menang di Lunas kerana menipu.
Orang UMNO sendiri pun tahu bahawa ketika itu Mahathir mahu kelentong lagi. Otak yang
waras pun sanggup menyedarkan kita bahawa ketika kempen masih bermula di Lunas, Saifuddin
Nasution Ismail dan para petugasnya masih menjalankan kempen rumah ke rumah sambil
menanti ketibaan sukarelawan dari luar dan bahan cetak yang masih lagi belum siap.
Tetapi, gambar Anthonysamy dengan pakaian padrinya sudah berselerak di Lunas. Keadilan
terus menafikan bahawa itu kerja mereka dan ini diikuti oleh parti lain dalam Barisan
Alternatif.
Kini sudah timbul cerita di Lunas bahawa taktik Mahathir itu mencetuskan kejijikan ramai
pengundi India Hindu yang memilih calon MIC dulu dan mereka amat menyesal dengan sikap
mereka.
Tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi di dunia membolehkan sebarang parti
mengeluarkan belanja besar di ketika kempen pilihanraya dilakukan. Tetapi, inilah amalan
BN dan UMNO. Ini sebenarnya satu sogokan rasuah dan boleh didakwa mengikut peraturan
mahkamah. Tetapi, siapakah yang berani melakukan tindakan ini kerana sistem mahkamah itu
sudah luntur martabatnya.
Kalau dilihat akan belanja yang dikeluarkan, kita tahu semua kerja yang dilakukan laksana
kilat itu adalah kerja yang kurang kualitinya. Mengikut catatan MGG Pillai, hampir semua
projek besar di situ telah diberikan "kepada syarikat kepunyaan Aziz Sikh Fadzir".
Kalau betullah perkara itu ini bermakna bahawa muslihat menyogok rakyat itu pun
melibatkan timbalan ketua pergerakan pemuda UMNO yang sepatutnya menjadi hulubalang utama
dalam pilihanraya itu.
Berita Aziz Sikh sibuk dengan kontrak kerja-kerja pemulihan Lunas itu memang sudah mula
disebarkan di awal kempen lagi. Cuma, rakyat marhaen tidak sedar bahawa semua projek itu
pergi kepada pada Aziz dulu sebelum berpindah kepada kontraktor dan sab kontraktor yang
lain. Patutlah Aziz terlalu sibuk ketika itu. Dia hanya menunjukkan muka sekala sekali
untuk menyain buku kedatangan. Kalau ada orang akhbar dan TV ketika dia datang itu, Aziz
pun sibuk lagi menghentam BA dengan segala fitnah yang terfikir olehnya. Memang, Aziz
amat pandai meraban dengan keceluparannya.
Keceluparan Aziz Sikh di Lunas dulu memang menjijikkan bukan sahaja para wartawan yang
mendengarnya, bahkan ahli-ahlu UMNO yang berada di Lunas itu. Kebanyakan merreka berada
di Lunas bukan dengan kerelaan hati tetapi kerana terpaksa. Mereka pun hairan apa
perlunya bertungkus lumus berkempen kalau mereka sudah lama diberitahu bahwa Lunas adalah
salah satu kawasan BN yang paling selamat di Kedah? Lagipun, mereka terpesona dengan
kerja-kerja baik-pulih yang dilakukan oleh Samy Vellu sehinggakan mereka lebih bercerita
akan projek semacam itu di kawasan mereka pula. Menjadi kelazimannya kalau melihatkan
projek berjuta ringgit dilakukan secara kilat, siapa pun mengidamkan peluang mendapatnya.
Untung yang diraih secara kilat juga.
Para pemimpin yang datang berkempen secara menunjukkan muka di Lunas hanya mundar-mandir
di kawasan tertentu mengikut yang ditugaskan kepada mereka. Yang mereka tumpukan ialah
kawasannya dan bukannya manusia di kawasan itu. Apatah lagi para pengundinya di situ.
Itulah teknik yang dilakukan di Sanggang dan juga di Teluk Kemang. Mengikut amalan lama
itu, usaha menunjukkan "ramai" penyokong luar dalam projek "anak angkat" orang
tempatan, sudah memadai untuk memenangkan undi. Apatah lagi kalau buah tangan
dilengkapkan dengan agehan cenderahati. Semangat perkampungan itu adalah satu cara untuk
menawan dan menambat hati orang yang menanti. Samada hati mereka menerimanya sehingga
mampu memangkah kertas undi mengikut yang mereka janji, adalah perkara lain pula. Itulah
teknik yang berjaya di Sanggang dan di Teluk Kemang. Takkan di Lunas ia tidak boleh
berjaya juga...!!!
Perasaan bermegah bahawa kemenangan tetap sudah berada di tangan adalah satu perasaan
mengikut tradisi yang lama. Maklumalah, kuasa mutlak selama 42 tahun ke atas Lunas adalah
satu kuasa yang tidak mungkin dapat dirungkai oleh pihak lawan dengan usaha berkempen
untk selama lapan hari. Keangkuhan bahawa kemenangan sudah ada dalam tangan inilah yang
membuatkan UMNO dan juga parti komponen BN yang lain, menjadi riak. Yang sebetulnya
keangkuhan itu adalah satu topeng untuk menutup segala kelemahan yang mudah ketara. Di
Lunas dulu, MCA dan Gerakan tidak mampu berbisa, sehinggakan petugas MCA terpaksa berdiri
di tepi jalan, cuba mempengaruhi masyarakat Cina. Petugas parti serpihan MIC pula sibuk
mundar-mandir berkereta secara berkonvoi, tetapi itu hanya usaha menayangkan kekutaan
yang tidak seberapa. Di kalangan UMNO pula kekuatan yang mereka tayangkan terletak
kepada barisan khemah ala padang Arafah di Sg. Limau. Pasukan pemuda dan puteri UMNO
hampir tidak wujud. Sekali-sekala ada juga kelihatan beberapa motorsikal membawa bendera
UMNO dan BN yang ditunggang oleh beberapa belia yang tidak semestinya boleh mengundi di
Lunas ataupun boleh dipertikaikan apakah mereka benar-benar ahli UMNO. Inilah taktik BN
dan UMNO sebenarnya, di setiap musim pilihanraya. Yang menjadi pemimpin besar bersikap
celupar dan meraban dengan kata-kata yang sungguh angkuh dan penuh eksyen. Yang menjadi
pemimpin kecil masih meraba-raba mencari jawapan yang disoal oleh rakyat marhaen.
Seseorang yang berpengalaman dalam gelagat berkempen mampu menilai dan merumuskan bahawa
memang sah terdapat kelemahan yang sungguh ketara dalam persiapan BN di Lunas, terutama
sekali dengan tenaga UMNO untuk membantu calon MIC menang di situ. Oleh kerana sokongan
kepada UMNO sudah merudum begitu teruk sekali, apakah jalan lain yang perlu dilakukan
selain daripada menabur fitnah dan mengeluarkan berita buruk terhadap pembangkang?
Jawapnnya terletak kepada tenaga "hantu".
Pengundi Hantu Datang Membantu
Kisah pengundi hantu bukan satu cerita baru. Ia berlaku di Sanggang dan ia juga berlaku
di Teluk Kemang. Di Sanggang ia berlaku dengan begitu licik sekali. Pihak yang
menyedarinya tidak mahu bertindak dengan tegas kerana memikirkan peluang untuk menang
dalam kes semacam itu amat tipis sekali. Bukan sahaja mahkamah yang tidak akan berpihak
kepada parti pembangkang, malahan pihak polis yang diperlukan untuk membantu memang
dikenali tidak akan berpihak kepada kebenaran pembangkang. Lagipun, Sanggang telah
dimenangi oleh seorang wakil rakyat Melayu yang merupakan orang tempatan juga.
Di Teluk Kemang fenomena pengundi hantu muncul kembali. Sekali lagi pihak pembangkang
tidak mampu membantah secara keras kerana sebab yang sama, lagipun untuk mendapatkan
sokongan pihak yang mudah dibeli hatinya dengan wang berjuta-juta adalah satu kerja yang
sia-sia.
Peluang membalas dendam hanya terletak di Lunas kalau pihak Barisan Alternatif dapat
bersiap lebih awal lagi menangani kedatangan pengundi hantu itu. Taktik kemasukan
pengundi hantu adalah lebih kuang sama. Pertama, nama pengundi yang lama memangkah di
Lunas dihilangkan. Seramai 2000 pengundi mendapati nama mereka lesap. Tanpa sebab. Ini
bererti sekurang-kurangnya dua ribu pengundi hantu akan datang menggantikan peranan
mereka. Ini juga bererti mereka boleh datang ke Lunas dengan pelbagai cara; berjalan
kaki, bermotor, berkereta ataupun secara berkumpulan menaikki bas.
Yang datang dengan motor dan kereta tentu tidak mampu dikesan dengan mudah kerana mereka
masuk secara bersahaja, mungkin sebagai petugas sukarela. Mereka yang datang dengan bas
secara kumpulan yang boleh lagi dipintas kalau dapat dikesan. Itulah yang belaku
sebenarnya dan penangkapan pengundi hantu itu adalah satu sejarah yang besar maknanya
dalam lembaran sejarah pilihanraya negara.
Tumpasnya Strategi Menipu
Tidak ada sesiapa dalam BN ataupun UMNO yang menjangkakan mereka akan kalah di Lunas.
Memang tidak ada sebab yang munasabah menunjukkan mereka boleh kalah. Lunas tidak
mempunyai masalah seperti yang dihadapi di Sanggang kerana pengaruh PAS dan DAP kuat di
situ. Begitu juga di Teluk Kemang kerana baru sangat dilanda wabak JE yang sungguh
menghibakan. Apabila kekuatan wang ringgit disediakan di Lunas dan dibantu pula oleh
keupayaan membawa sekurang-kurangnya 2,000 pengundi hantu, Lunas dianggap sebagi satu
medan perang yang terlalu mudah untuk dimenangkan.
Manusia merancang, Allah merancang juga. Kuasa veto tetap berada di tanganNya. Apabila
kalah, Lunas menjadi satu kotak pandora (diambil daripada cerita dongeng Yunani. Pandora
ialah nama seorang dewi yang mempunyai satu kotak sakti yang bila dibuka mencetuskan
masalah yang tidak ada hentinya). Impak kekalahan itu boleh mencetuskan perkara ini:
- Mahathir dan para kroninya terancam kerana kekalahan Lunas mendedahkan pendirian
rakyat yang mahu Mahathir mengundurkan diri;
- Lunas menunjukkan UMNO sudah lumpuh dan tidak mampu meraih sokongan Melayu lagi;
- Projek kilat yang dilaksanakan di Lunas adalah salah dari segi sogokan rasuah. Ia
menjadi lebih salah lagi kerana semua projek itu diagihkan kepada hanya seorang insan
yang dikatakan bernama Abdul Aziz ;
- Semua orang mencari nama yang sesuai untuk dijadikan kambing hitam untuk terus
dijadikan proksi mereka mengganyang Mahathir. Abdul Aziz didapati sesuai untuk tujuan
ini. Lagipun ketika kempen pilihanraya berlangsung, Abdul Aziz bertanggungjawab ke atas
tenaga pemuda UMNO. Ketua pemuda Hisyamuddin Husein dikatakan berada di luar negara
ketika itu.
- Pergerakan wanita memang sudah lumpuh kerana pergeseran dan krisis identiti yang
berputik daripada kemunculan Puteri UMNO. Aziz terpaksa dimangsakan agar perhatian
tertumpu kepadanya;
- Beberapa isu hangat seperti Sekolah Wawasan, golongan penderhaka dan program "tidak
bersyukur kepada UMNO" dan masalah kewibawaan Mahathir sendiri, adalah isu yang perlu
disejukkan, kalau BN mahu terus menjadi gagasan yang relevan. Jika tidak, MCA akan terus
bergelegak dan akan menggugat BN dalam masa yang terdekat.
- Ekonomi negara semakin merudum. Pasaran saham akan terus dilanda masalah besar
terutama sekali dengan tersibarnya kisah Renung, UE dan MAS. Ini akan menggugat
kewibawaan Mahathir lebih teruk lagi. Dulu dia meramalkan BSKL akan naik rancak dengan
indeks komposit mencecah 1000 mata. Ramalan ini tidak akan berlaku kerana para pelabur
sudah semakin rancak menarik pelaburan mereka. Keadaan akan menjadi tegang lagi apabila
konsep T+3 dilaksanakan dua minggu lagi. Secara historikal, pasaran dunia mula menurun
pada 15 Disember kerana pelabur tidak mahu terlibat sebelum mereka merayakan cuti Krismas
dan tahun baru. Keadaan akan berterusan sehingga 5 Januari tahun hadapan.
Usaha gigih sedang dilakukan oleh kerajaan untuk memutar minda rakyat. Kita boleh ketawa
melihatkan pelbagai caa memutar minda itu. Salah satu caranya ialah mengajak para pelabur
runcit masuk melabur di pasaran saham. Saya ada mengikuti beberapa laporan saham di radio
dan juga di akhbar perdana. Salah satu laporan yang menarik yang selalu disiarkan oleh
Radio Era. Pembaca ini (Diana namanya kalau tidak silap) kerap berkata betapa pasaran
semakin baik walaupun ada usaha untuk memberikan gambaan yang kelam mengenainya oleh
pihak yang termakan propaganda asing. Saya fikir si pembaca ini tidak faham apa yang dia
cuba nasihatkan kepada orang ramai. Saya ingin mencadangkan kepadanya dan beberapa
penganalisa saham yang masih muda untuk melihat kes-kes di mahkamah di mana terlalu
ramai orang Melayu yang menghadapi kemuflisan kerana terbakar tangan di pasaran saham.
Mereka terbakar kerana proses manipulasi yang dilakukan oleh orang yang diberikan kuasa
untuk memimpin negara tetapi mempunyai kuasa sehingga mampu memanipulasi hampir 70%
kaunter saham di BSKL. Yang dikatakan "orang asing" di pasaran saham itu sebenarnya
adalah bangsa sendiri.
- Keadaan ekonomi yang kelamkabut mengikut rentak tekanan pasaran bebas terhadap ekonomi
dan pasaran negara ini akan membuatkan pelabur runcit terus menyepi daripada BSKL.
Ekonomi negara akan terus merudum juga kalau dilihat akan segala pertanda yang kerap
digunakan untuk membuat penilaian. Contohnya ialah pasaran kereta terpakai dan pajak
gadai.
- Risiko ekonomi yang semakin merudum selalunya ditampan oleh masyarakat peniaga dengan
menaikkan harga barangan, baik yang dikawal kerajaan atuapun tidak. Kesannya akan
menghenyak rakyat marhaen yang kini sedang mengeluh kerana kos barangan yang semakin naik
menggila. Contoh yang paling baik ialah di pasar makanan untuk berbuka puasa. Harga naik
hampir dua kali ganda, sedangkan jumlah penjaja semakin berkurangan. Harga paling rendah
untuk membeli pun dinaikkan lagi. Tahun lalu, sayuran yang sudah dimasak boleh dibeli
dengan harga minima RM2 ringgit. Pada tahun ini harga belian minima ialah antara Dua
ringgit lima puluh sen hingga Tiga Ringgit. Harga belian minima ini menjadi satu ukuran
yang baik untuk menilai betapa tingginya peratusan kenaikan barang makan di negara ini.
Kenapa Aziz Sikh Mesti Diganyang
Kita boleh bersimpati dengan Aziz Sikh kerana diganyang oleh orang UMNO sendiri. Tetapi,
ini adalah satu peluang untuk Aziz meredakan keadaan marah orang Melayu terhadapnya.
Satu ketika dulu dia yang berlagak garang sehingga berani memanjat tempok kawasan orang
dan mengajukan telunjuknya menyeranah seorang wakil Suqui. Di situlah sifat kurang ajar
Aziz menyerlahkan latar-belakangnya dan didikan yang kurang matang untuk berpolitik
secara serius. Aziz berlagak garang sebagai wakil Pemuda UMNO tetapi dia tidak faham
gelagatnya itu merendahkan martabat UMNO di mata dunia.
Kemudian Aziz menyelar Tan Sri Musa Hitam, sedangkan dia sedar bahawa Musa Hitam pernah
menjadi timbalan presiden parti dan juga timbalan perdana menteri. Orang tua itu layak
dipanggil bapa oleh Aziz. Ini menunjukkan Aziz tidak faham budaya orang Melayu yang tidak
membenarkan sesaorang ketua itu diaibkan secara terbuka. Dari situ ramai veteran UMNO
yang bencikan Abzul Aziz kerana mereka sedar beliau adalah pemimpin pergerakan pemuda
yang dijadikan proksi oleh seorang diktator tua.
Ramai usahawan Melayu tidak sukakan Aziz kerana perangainya yang celupar. Malahan ramai
yang menuduh Aziz kerana perangainya main wayang. Ketika kempen pemilihan majlis exco
pergerakan UMNO dulu dilangsungkan, terdapat beberapa projek UMNO yang melibatkan Aziz
dan diberitakan liputan akhbar yang luas. Contohnya ialah projek membenteras CD dan VCD
haram. Kempen itu berjalan dengan giat sebelum hari pengundian, selepas itu projek itu
terhenti sehingga ke hari ini.
Saya ada menelefon beberapa kawan mengenai perletakan sikap Aziz Sikh menghantar surat
perletakan jawatan kepada Mahathir kerana sepatutnya surat itu dihantar kepada Ketua
Pemuda dulu dengan satu salinan kepada Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO. Mungkin satu
salinan boleh dikirimkan kepada Mahathir. Kalau itu dilakukan, satu salinan lagi perlu
dihantar kepada Setiausaha Agong UMNO. Cara meletakkan jawatan dengan mengirim surat
kepada Presiden UMNO adalah satu tindakan yang tidak betul. Beberapa kawan yang dihubungi
itu berkata: "Inilah satu Sandiwara di Bulan Ramadhan". Ada seorang lagi yang berkata:
"Apa lagi ada cerita sensasi untuk menutup kisah pengundi hantu di Lunas? Dan kisah
petani Kedah merana kerana padi yang rosak dilanda banjir?" Seorang teman ada
mengirimkan satu emel dan meminta saya komen: "Apa saudara fikirkan mengenai Aziz
meletakkan jawatan? Saya fikir ini satu helah untuk menarik perhatian orang melayu agar
mengenepikan kisah "penderhaka" Al Maunah yang tidak dikenakan hukuman mati. Kalau
mereka dihukum sebagai penderhaka bukankah hukuman mati sahaja balasannya?"
Memang terlalu banyak emel yang menyoal mengenai perletakan jawatan Aziz ini sehingga
saya terfikir apakah sebenarnya mesej yang dikirimkan itu?
Di sini muncul beberapa soalan lain pula. Aziz Sikh bukannya tidak berpendidikan tinggi.
Dia tahu kalau mengikut protokol, notis menarik diri harus diselesaikan dengan Pergerakan
Pemuda UMNO dulu dan bukannya secara menulis terus kepada Perdana Menteri. Kenapakah
dilakukannya tanpa merujuk dulu kepada Hisyamuddin Husain? Apakah benar tindakannya
adalah satu langkah untuk menjolok Hisyamuddin agar berwaspada kerana Aziz sudah bersedia
untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO mengikut rencana yang dilakar oleh seorang tua?
Semalam kita diberitahu bahawa Aziz Sikh sudah menarik balik tindakan meletakkan
jawatan. Tindakan begini menunjukkan betapa tertekannya Aziz sebagai seorang pemimpin
pelapis UMNO. Sekaligus dia ditertawakan oleh orang UMNO daripada semua lapisan.
Sekaligus juga ketokohannya disangsikan. Kita tidak hairan kalau rencana Aziz Sikh
meletakkan jawatannya ini sudah dirancang oleh pihak tertentu sebelum keputusan
pilihanraya Lunas diketahui. Seperti yang disebut oleh seorang teman yang rapat dengan
Pergerakan Pemuda UMNO, perletakan jawatan Aziz adalah satu taktik untuk cuba menonjolkan
dirinya ke hadapan lagi setelah fiasko beliau menggegarkan tembok Dewan Perhimpunan Cina
dan menyalak agar mereka tidak menjolok sarang tebuan. Ketika itu ramai orang Cina
tersenyum kerana sekarang ini banyak sarang tebuan yang dijolok untuk dijadikan bahan
jualan kepada pelancung luar negara.
Kini, Aziz dihenyak lagi oleh kemelut Limo KLIA kerana projek teksi limosin itu ada kena
mengena dengan Pergerakan Pemuda UMNO. Di Utusan Melayu terbitan Jumaat 8 Disember ada
disiarkan cerita mengenai "600 Pemandu limo mogok" (Sila baca muka surat 2). Saya
memang tidak hairan dengan berita itu kerana telah lama menulis mengenai cara kereta
teksi beroperasi di KLIA yang mementingkan diri mereka sendiri dan menghenyak para
penumpang yang mahu menggunakannya. Saya masih menyimpan satu keratan akhbar The Star
bertarikh 4.1.1999 (hampir dua tahun lamanya) yang ditulis oleh seorang bernama Frederick
Thomas:
"Driver Spoils Image Of Limo Service (Pemandu Mencemarkan Imej)"
"Saya menggunakan khidmat KLIM limo pada Disember 24 1998 dan mendapat pengelaman yang
mengejutkan.
Setahu saya syarikat itu menyediakan pakaian seragam "uniform" untuk menyerlahkan
imej dan memberikan para penumpang satu perasaan keselamatan dan keselesaan.
Pemandu (yang mengangkut) saya itu tidak pun mengenakan unifom kerana ia tersangkut di
dalam kereta; di tempat duduk di sebelahnya dengan bahagian kolar yang berdaki menghala
ke arah saya. Topi jenis golf yang mempunyai lambang KLIA Limo diletakkan di bahagian
belakang kereta dan tidak pula dipakainya. Keadaan dalaman kereta memang kotor dengan
akhbar berselerak di lantai. Dia memainkan lagu kegemarannya dengan nyaring sekali. Saya
terpaksa memintanya menurunkan kadar bunyi sebanyak tiga kali.
Dia suka memecut kereta dan memandu secara ganas. Kali pertama dia memecut itu saya minta
dia perlahan sedikit, tetapi dia tergelak sahaja. Pada kali ketiga saya meminta dia
memandu lebih cermat lagi dan mengugut untuk membuat komplen kepada syarikatnya, barulah
dia memandu dengan cermat.
Mujurlah, saya seorang rakyat Malaysia. Bayangkan apa anggapan pelancung luar yang
pertama kali datang ke negara ini. Sikap pemandu ini memang tersaar jauh dan inilah satu
khidmat yang tidak kita ingini.
KLIA Limo harus menasehati pemandunya mengenai mutu kerja yang diperlukan. Kenapakah
tidak ada penyelia di stesen Limo untuk mengawal pemandunya? Bukankah perkhidmatan limo
merupakan permulaan khidmat yang kita berikan kepada orang luar?
Saya percaya majoriti limo yang ada memberikan khidmat yang baik. Namun, pemeriksaan
perlu dilakukan agar semua pemandu memberikan khidmat yang baik juga.
Kalau anda mahu meniru satu khidmat taksi yang baik cubalah pelajari daripada
perkhidmatan teksi di Jepun."
-Feredrick Thomas-
Sejak memegang keratan akhbar itu dan setiap kali saya pergi ke KLIA, saya lakukan
perbandingannya. Mutu khidmat masih lagi di takuk lama. Kelemahan khidmat Limo KLIA
adalah sama dengan khidmat pelbagai lagi institusi kerajaan. Saya mencari sebab
musababnya dan kebanyakan hasil kajian itu telah saya tulis lama dulu lagi. Hasil
daripada kajian itu terletak kepada pengurusan yang berlagak laksana lintah darah.
Sistem Limo di KLIA adalah satu muslihat untuk menonjolkan kecanggihan sistem
pengangkutan negara, sedangkan sistem pengangkutan awam yang ada secara menyeluruh,
menindas rakyat. Kita dikenakan harga berbeza bergantung kepada jenis keretanya. Saya
kerap mahukan khidmat kereta jenis WIRA tetapi yang disogok selalu ialah kereta Perdana.
Bezanya sampai tiga puluh ringgit. Kerana itu ramai orang gunakan kereta teksi "sapu"
jenis Iswara dan menjimatkan tiga pulouh hingga lima puluh ringgit sekali perjalanan.
Teksi "sapu" itu ialah teksi daripada Kuala Lumpur yang balik kosong. Mereka gunakan
khidmat "ulat" yang menanti di ruang "ketibaan". Kalau kita lihat kegiatan "ulat
teksi" ini, kita dapat bayangkan betapa rendahnya taraf KLIA. Apa yang diilhamkan
sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa, hilang terus disebabkan tercemar oleh
ulat teksi itu. Mereka ini memang sunguh berpengalaman, ada yang dikatakan bergiat cergas
di Pudu Raya dan di stesen bas ketika menjelang cuti raya. Ada kawan yang memberitahu
bahawa perkataan "ulat" itu berpunca daripada perkataan "ulat tah#¡"; takkan pula
tahu....!!! Apa juga jenis ulat itu memang tidak relevan di sini, yang mesti difikirkan
ialah KLIA Limo adalah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Pergerakan Pemuda UMNO secara
proksi.
Kini mogok Limo KLIA sudah dihentikan. Utusan Melayu kata mogok sudah tamat. Tetapi saya
diberitahu, para pekerja Limo itu memberikan tempoh tiga minggu untuk pengurusan
menyelesaikan tuntutan mereka. Tindakan mereka adalah untuk menghormati Ramadhan dan
menghormati gesakan beberapa pemimpin politik yang diminta oleh Mahathir turut campur.
Kesimpulan:
Kita dapat merumuskan perletakan Aziz Sikh adalah satu rencana untuk menilai reaksi
rakyat di negara ini akan kelemahan UMNO dan BN yang semakin menjadi, gara-gara
kekalahan mereka di Lunas. Rakyat marhaen sudah menerima perletakan jawatan itu dengan
sinis kerana membaca akan elemen sandiwara di sebaliknya. Kini, Aziz menarik balik
perletakan jawatan itu setelah berunding dengan Hisham, sedangkan itulah yang sepatutnya
dilakukan terlebih dulu sebelum mengirimkan surat kepada perdana menteri. Ramai yang
menganggap tindakan itu sebagai usaha melariskan akhabar sahaja sambil membuka mata
rakyat marhaen akan kelemahan Ketua Pemuda Pergerakan UMNO.
Inikah jenis manusia yang boleh diharapkan oleh orang Melayu pada satu hari nanti untuk
menjadi perdana menteri?
-Marhaintua-
12 Disember,2000.
|