Laman Webantu KM2A1: 3237 File Size: 29.0 Kb * |
KTLBELB 19: Bermain Air Basah, Bermain Api Letup By Marhain Tua 17/11/2000 7:09 pm Fri |
Siri KTLBELB: KALAU TAK LARAT BERSILAT, ELOK LAGI BERSILA
Bab 19: BERMAIN AIR BASAH, BERMAIN API LETUP
[Terbitan Semula - Editor] BERMAIN AIR BASAH, BERMAIN API LETUP
Seorang sahabat baik di alam siber ada mengirim satu emel yang menarik kepada saya. Saya mahu merakamkannya dan berkongsi dengan anda semua:
Aduuh......kata hati kecil saya. Apakah begini sekali kata-kata seorang diktator tua?
Saya tidak terperanjat sebenarnya dengan kata-kata itu.
Hampir dua tahun yang lalu saya ada menulis siri "Apabila Manusia Berhati Syaitan",
inilah asas tulisan saya. Sejak itu bermacam siri tulisan telah saya hasilkan, Mahathir
tidak berubah juga. Dia masih berlagak lagi seolah-olah dia tidak akan mati. Kalau dia
akan mati pun mungkin dia fikir rakyat akan menangis sakan sehingga banjir negara ini
dik air mata. Memang, Mahathir ternyata sedang menghadapi satu dilemma yang dipanggil 'identity
crisis'. Dia sudah mencapai satu tahap kehidupan yang dia sendiri semakin curiga
dengan kewibawaannya. Dia sendiri sangsi dengan kepimpinannya. Kerana itu dia
mesti mencetuskan sesuatu agar rakyat marhaen akan terus keliru memikirkan sesuatu
isu yang dicetuskannya itu. Di sebalik kesibukan mencari kebenaran itu akan
terhindarlah tumpuan rakyat terhadap kewibawaannya.
Esok dan lusa seluruh negara akan bergegar sakan. Warung kopi akan penuh sesak
kerana semua orang Melayu akan berdebat sesama sendiri seolah-olah tertubuhnya
parlimen di sana sini dan terbukanya mahkamah secara tidak rasmi. Mahathir akan
menjadi yang dituduh secara misteri. Ada pula nanti yang sanggup menjadi peguam
bela sedangkan yang sanggup menjadi pendakwa raya akan muncul secara menggila.
Secara lumrahnya suasana kehakiman seperti ini memang nampak seriusnya daripada
mula tetapi pasti bertukar menjadi gelanggang gelak ketawa kerana segala hujah yang
dibentangkan memang layak dijadikan bahan majalah 'Gila-Gila'. Kalau ada yang lebih
serius suasananya mungkin boleh diciplak untuk dibikin filem berjodol "SENARIO
PULA.....!". Mahathir Mohammad, presiden terunggul UMNO di alaf baru sudah menaburkan
umpannya. Dia sudah sedia dengan jala yang tersorok di dalam baju kalis pelurunya.
Kali ini umpannya itu ada bersuara mengikut kemajuan IT negara. Bunyinya ialah: "satu
hari nanti Perdana Menteri Malaysia akan datang daripada kaum India ataupun Cina."
Di sini saya ingin menambah untuk bertanya: kenapa tidak daripada kaum Serani
ataupun Benggali ataupun Baba dan Cheti Melaka. Kenapa tidak orang Bajau ataupun
Iban ataupun Kadazan???? Kalau betul Mahathir ada membuat kenyataan seperti itu,
saya berani berkata Mahathir adalah laksana Mat Jenin sahaja. Malahan, satu ketika
dulu saya berkata demikian, ramai kawan-kawan yang ketawa. Tetapi cuba lihat
segala projek meganya, bukankah itu hanya mampu dilakukan oleh insan yang
mempunyai sifat Mat Jenin? Siapakah yang sanggup membina dua batang bangunan besar pencakar langit dengan
menggunakan wang rakyat sedangkan bangunan itu tidak pun memberi pulangan
modal? Siapakah yang sanggup membina litar lumba kereta sedangkan dia sedar litar
itu akan digunakan untuk perlumbaan hanya dua kali dalam setahun sahaja? Siapakah
yang sanggup memikirkan membina jambatan melintasi Selat Melaka? Hanya Mahathir
yang mampu memikirkan semua itu. Nasib baik Mahathir lahir di era IT dan ketika Puteri
Gunung Ledang sudah lama menjadi hiasan memori. Jika tidak, Puteri Gunung Ledang
sudah menjadi isteri Mahathir dan bukannya Siti Hasmah lagi.
Kadangkala saya menitiskan air mata ketika menulis artikel saya ini. Semua ini
mengenangkan nasib bangsa saya. Bukannya yang masih hidup kini, tetapi yang akan
lahir nanti. Iktibar ini saya ambil ketika mengenangkan cucu-cucu saya. Mereka
sekarang sedang membesar di sekolah tanpa menyedari apabila mereka mula bekerja,
mereka akan menanggung beban hutang negara. Apabila mereka berumah tangga dan
melahirkan zuriat pula, zuriat itu akan membesar dan bekerja untuk membayar hutang
negara. Angkara siapakah semua ini kalau bukan angkara seorang manusia berhati
syaitan? Ketika memperkenalkan KENARI bagi pihak Perodua, Mahathir dengan lantang telah
berkata: "Industri otomobil semakin mengecil. Kita perlu sokong usaha kita
mengeluarkan kereta sendiri. Kalau sokongan ini tidak diberi, industri otomobil kita akan
gulung tikar." Inilah satu kenyataan selamba daripada seorang perdana menteri yang
mahu terus menipu bangsanya. Dia tidak mahu mengaku betapa projek PROTON
sedang menghadapi masalah kewangan sehinggakan membabitkan Tabung Haji dan
KWSP untuk membantu syarikat itu. Siapakah yang menjadi mangsa dalam tipu muslihat
ini kalau bukan orang Melayu secara khasnya dan bangsa Malaysian secara amnya?
Saya tidak mahu mengungkit perkara ini panjang-panjang kini, kerana saya telah
menulisnya panjang-panjang di masa yang lalu. Memadailah kali ini saya berkata
bahawa persepsi Mahathir terhadap pembangunan negara adalah satu skima yang
dilakukan untuk memperkayakan segala kroni dan suku-sakatnya. Visi pembangunan
bangsa itu sebenarnya bukannya menjadi agenda kepimpinannya. Yang
dipentingkannya ialah visi mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri agar
tidak tergugat sehinggalah dia mati. Apabila dia mati dia mahu tentukan anak-anaknya
akan terus merasakan nikmat kehidupan selesa sebagai keluarga ningrat. Kerana itu
dia tidak pernah ikhlas dengan apa yang dilakukannya atas nama pembangunan
negara dan kemajuan bangsa. Yang lebih penting ialah kesinambungan kuasa pada
zuriatnya dan para kroninya. Inilah tafsiran ketuanan Melayu ciptaan Mahathir.
Mahathir tidak boleh menipu lagi. Satu ketika dulu dia boleh berkata dengan lantang
usaha menubuhkan industri kereta adalah untuk memajukan industri besi waja dan
industri elektronik negara. Saya pernah berkata itu adalah angan-angan kosong
semata-mata. Pernah saya ceritakan kisah Proton mencuba pasaran Amerika melalui
Proton America Incorporated. Siapakah J Pryor yang dilantik sebagai wakil Proton di
Amerika kalau bukannya sahabat Henry Kissinger. Apa yang sudah jadi dengan
segala ujian kereta di Amerika dulu sehinggakan kini tidak ada sebiji pun kereta Proton
dijual di sana? Kini ramai rakyat yang tahu kemasukan Proton ke Eropah adalah secara kebetulan
sahaja dan bukan kerana Proton merupakan satu jenis kereta yang tercanggih di dunia.
Kita berjaya memasuki pasaran Eropah kerana proton dibawa masuk ke Wales dan
Ireland. Ada satu lubang niaga 'loopholes' dari segi undang-undang yang mengatakan
kalau kereta diterima memasuki Wales ia boleh diterima di seluruh United Kingdom.
Oleh kerana Great Britain (United Kingdom) adalah ahli EEC, sekaligus kemasukan
Proton diterima juga ke dalam EEC. Itu sahaja, nokhtah.
Tetapi, siapakah pembeli terbesar kereta Proton di UK kalau bukannya syarikat kereta
sewa. Kereta itu pula disewakan secara bermusim. Di akhir sesuatu musim kereta itu
akan ditukarkan dengan kereta yang baru dan yang lama itu dibawa balik untuk
baik-pulih (refurbishing) dan dijual di negara sendiri, selalunya sebagai kereta baru.
He...he....he... siapakah yang menipu siapa dalam hal ini? Cukup dulu dengan cerita
Mat Jenin ini. Insya Allah satu hari nanti saya harap ada insan yang rajin menulis di
negara ini yang sanggup mengumpulkan fakta akan segala projek omongan Mahathir
laksana Mat Jenin di pucuk kelapa memikirkan apa yang perlu dilakukannya lagi
sambil berkhayal di atas pokok kelapa itu.
Demikianlah Mahathir dengan angan-angan Mat Jeninnya. Memang banyak lagi yang
boleh dituliskan selain daripada kisah dongeng termoden di Kedah bagaimana
menanam padi di atas bumbung dan pohon orkid di tiang api. Cuma saya sanggup
merakamkan di sini, Mahathir sebenarnya sudah terlalu sasau dengan projek meganya.
Kalaulah dia betul-betul ikhlas dengan industri otomobil dia sepatutnya sudah
mengharamkan pemberian AP (Approval Permit) untuk mengimpot kereta daripada luar
negara. Tetapi, kenapakah permit ini masih dikeluarkan oleh Rafidah sehinggakan anak
menantu menjadi jutawan kerananya? Kenapakah masih ada pemimpin UMNO yang
mengimpot kereta mewah daripada luar negara kalau betul-betul Mahathir mahu
menjaga kemajuan industri kereta negara?
Di Korea, tidak ada satu permit pun yang dikeluarkan kepada sesiapa untuk membawa
pulang kereta luar, tidak juga kepada para diplomat yang bertugas di luar negara
mahupun para pelajar yang belajar di luar. Tetapi, di negara kita 'AP' adalah premium
yang dikeluarkan sebagai pampasan untuk terus menyokong UMNO. Kalau benarlah
Mahathir mahu majukan industri kereta negara, kita tentu sudah ada satu terowong
khas (air-tunnel) untuk menguji kereta bikinan kita. Tetapi, terowong ini tidak diperlukan
kerana chassis dan kelengkapan berat semua dibuat di Jepun. Kita cuma
memasang-siapnya sahaja. Inilah Malaysia Boleh yang sebenarnya......!
Mungkin ada rakyat Malaysia yang terkejut betapa kita masih mengimpot 'wiper' kereta
daripada Korea sedangkan wiper itu dibuat daripada getah asli. Inilah yang dikatakan
oleh Penghulu Cekau sebagai 'gila punya kerja'.
Saya percaya ramai pengunjung internet yang belum habis membaca tulisan saya
berjodol: "Hatiku terusik, jiwaku tersiksa". Di dalam artikel itu ada saya sentuh sedikit
mengenai kematian Mahathir dan cadangan agar dia bersiap sedia untuk menentukan
kemegahan tempat persemadiannya: "Secara logiknya adalah lebih selamat kalau Mahathir memilih
Teluk Kemang sebagai tapak semadian jasadnya kerana
terdapat beribu warga tentera yang boleh ditugaskan
menjaganya laksana Tugu Jose Rizal di Manila. Jika tidak
apakah jaminan seekor katak jelmaan tidak muncul melompat di
pusara maharajah itu nanti untuk menitiskan air mata kataknya
ataupun air apa namanya lagi...?"
Mungkin perenggan itu sesuatu yang 'out of context' dalam artikel mengenai Teluk
Kemang. Tetapi saya menulisnya dengan bersebab. Ia memberi satu sindiran tajam
kepada semua akar umbi UMNO agar bangkit untuk memikirkan betapa kepimpinan
UMNO sudah reput sereputnya. Mahathir Mohammad yang saya gelarkan sebagai
insan berhati syaitan sejak dua tahun yang lalu tidak pernah berubah daripada sikap
itu dan inilah yang amat merunsingkan saya.
Semakin jelas kini, Mahathir yang bangga dengan gelaran Wira Dunia Ketiga sudah
kehilangan kewarasan sebagai seorang wira. Apakah yang boleh diharapkan lagi
daripadanya sedangkan dia sendiri tidak mampu mempertahankan keyakinan
bangsanya akan keutuhan dan keyakinannya terhadap bangsanya sendiri yang
disebutnya selalu sebagai BANGSA MELAYU? Sekaligus kini, Mahathir sudah semakin
hanyut dengan angan-angannya. Mahathir sudah semakin lupa daratan betapa kalau
bermain air basahlah badan dan kalau bermain api melecurlah tangan. Inilah mainan
politik Mahathir masa kini dan inilah mainan politik satu parti yang sekian lama berlagak
sombong sebagai pelindung ketuanan Melayu.
Inilah mainan politik yang menyesatkan orang Melayu sebenarnya. Sayangnya masih
ramai lagi orang Melayu tidak sedar betapa mereka dipermainkan dan betapa sokongan
mereka terhadap Mahathir sebenarnya mempertaruhkan masa depan anak-anak dan
cucu-cicit mereka ke kancah kehinaan. Mahathir adalah segala-galanya dalam proses
kedurjanaan itu. Mahathir dan para pemimpin UMNO yang masih taksub mengampunya
serta akar umbi yang masih kaku, terpukau kerana segala pengampuan itu adalah satu
golongan manusia Melayu yang sebenarnya semakin lupa daratan. Mereka lupa apa
sebenarnya erti martabat bangsa. Mereka leka memahami apa erti maruah bangsa dan
semakin lupa dengan perjuangan bangsa.
Pernah beberapa hari yang lalu saya berutus emel dengan beberapa teman baik di alam siber mahupun di alam realiti. Saya katakan kerunsingan betapa negara ini akan menghadapi zaman pancaroba dan betapa kita harus bersedia menghadapinya. Persediaan itu adalah dalam menyediakan satu ruang penyebaran maklumat yang sahih dan berfakta. Terlalu banyak pembohongan yang berlaku di sekeliling kita. Terlalu banyak penipuan dan maklumat songsang. Sayangnya semua penyebaran maklumat itu berpunca daripada manusia yang berkuasa dan bergelar pemimpin UMNO. Kita tidak perlu berceloteh panjang untuk memikirkan masa depan kita gara-gara kedurjanaan seorang insan yang bernama Mahathir bin Mohammad. Cuba fikirkan fakta ini:
Mahathir sebenarnya tidak perlu fikirkan semua itu. Yang menjadi tarikan minatnya
ialah bagaimana berada di negara ini untuk seminggu dua dan mengelakkan isu hangat
daripada disoal secara terus kepadanya. Semua isu itu tidak penting lagi. Ia hanya
penting bagi mereka yang mungkin mengambil alih tugas seorang perdana menteri. Ia
tidak lagi penting kepada Mahathir kerana dia mesti memikirkan masalah dunia ketiga
kerana dialah wira dunia ketiga itu. Tidak ada sesiapa lagi ketika ini sehinggalah dia
mati Inilah prioriti Mahathir sebenarnya seperti juga prioritinya untuk menentukan
pesawat Global Express itu digunakan setiap bulan untuk membawa justifikasinya akan
pembelian pesawat itu. Inilah helah Mahathir yang telah berjaya dilakonkannya seperti juga dia melakonkan
beberapa aksi yang meruntun jiwa sebelum ini. Bersajak, mengugut, meraung dan
menangis. Yang terakhir sekali dia membaca doa pula. Apakah impaknya? Yang nyata
rakyat terus memaki seranah juga. Seorang teman ada menelefon daripada London dan bertanya apakah benar Mahathir
mengatakan kemungkinan Malaysia melantik seorang Perdana menteri daripada bukan
Melayu? Saya katakan benar. Dia lantas menjawab: "Oh God...he is Playing God?"
Saya terus mengatakan kepadanya. Apakah perlunya kita mempertikaikan
kenyataannya itu sedangkan banyak perkara lain yang lebih mustahil pernah
dilakukannya? Cuba fikirkan baik-baik dulu. Terlintaskah di fikiran kita Mahathir
sanggup menuduh bekas anak-didiknya dengan tuduhan yang tidak terfikir oleh fikiran
yang waras? Itu bukannya alang-alang tuduhan dan bukannya calang-calang
perbuatan. Hukumnya di dalam agama Islam bukan kepalang besarnya. Tetapi Mahathir
sanggup lakukan. Saya pernah diberitahu betapa kak Leha (nama timangan kekanda kepada Siti Hasmah)
yang pergi berjumpa dengan Mahathir dan menangis laksana anak kecil, meminta dia
menarik balik tuduhan terhadap Anwar. Kak Leha memang rapat dengan DS Wan
Azizah dan amat sayang dan baik persahabatannya dengan DS Anwar Ibrahim.
Mahathir enggan. Dia tidak mahu memberi muka kepada kakak iparnya. Begitulah
kerasnya hati Mahathir ketika itu dan mungkin juga selamanya.
Kini Anwar sedang dipenjarakan dan kes rayuannya masih dipertikaikan lagi. Apakah
Mahathir sudah pun merasa senang lenang seperti yang diidamkannya?
Tidak...Mahathir tidak akan mencapai kesenangan itu walaupun dia bina lagi sebuah
mahligai laksana istana terapung pula. Kesenangan dan ketenangan tidak lagi akan
menjadi sahabat Mahathir. Kemewahan seperti itu adalah satu dongengan
semata-mata, seperti juga misteri dongeng lagenda Mahsuri.
Semua orang melayu harus sedar satu kenyataan bahawa mereka hendaknya jangan
mudah alpa dengan tipu muslihat terbaru Mahathir bin Mohammad. Kenyataan Mahathir
mengenai Perdana Menteri Malaysia daripada bangsa bukan Melayu adalah satu
perangkap untuk melalaikan orang Melayu semata-mata. Inilah alat pengkhayal yang
paling terbaru daripada pasukan pemikir Mahathir.
Saya ingin merakamkan satu emel daripada seorang sahabat baik di alam siber yang baru saya terima:
Puuuuhhhhh.... apa lagi yang nak saya katakan kalau sudah menerima emel seperti
ini. Kalau dikumpulkan semua emel yang baru diterima saya memang tidak payah
menulis panjang lagi. Cukup setakat mengumpulkan semua emel itu dan siarkan semula.
Kenyataan yang dibuat oleh Mahathir harus ditafsirkan betapa terdesaknya insan yang
semakin tua ini. Dia sudah menghampiri zaman kesewelannya. Inilah zaman yang
memerlukan kita terus berusaha untuk banyak bersabar dan bersedia menghadapinya.
Sebagai seorang beragama Islam, saya bersedia memaafkan Mahathir akan atas
segala salah-lakunya. Dia bukannya maksum walaupun dia sendiri fikir mempunyai
sifat seperti itu. Mahathir sebenarnya sudah semakin nyanyok. Seorang pemimpin yang
unggul tentu sekali tidak akan bercakap seperti Mahathir terutama sekali mencetuskan
sesuatu kenyataan yang menghampakan bangsanya. Tidak ada dosa yang lebih besar
daripada seorang pemimpin selain perbuatan memperlekehkan bangsanya sendiri.
Mahathir sebenarnya berhak dengan pemikirannya. Tetapi, sebagai seorang pemimpin
unggul ada perkataan yang boleh dicakapkan secara lantang dan ada perkataan yang
perlu dicakapkan secara berkias. Keupayaan melakukan di antara dua cara itu
menunjukkan kematangan kepimpinan dan kewibawaan seseorang pemimpin.
Kelemahan mencerna dua sifat ini sudah melayakkan seorang pemimpin itu berundur
dan memberi ruang kepada orang lain pula. Di sinilah terletaknya kualiti
kepimpinannya yang sebenar. Di negara barat ramai pemimpin yang mengundurkan diri ketika mereka menghampiri
umur seusia Mahathir sekarang. Mereka berundur dengan segala kehormatan yang
diberikan oleh rakyatnya. Selepas itu mereka menulis buku seperti otographi ataupun
memoir. Dalam buku itulah mereka menulis isi hati mereka sebenarnya. Ada isu yang
sensitif yang mereka pendam dan hanya diterbitkan selepas mereka mati. Inilah sifat
kepimpinan jempulan. Inilah pemimpin yang mempunyai sifat dan kualiti
'statesmanship'. Sayangnya inilah kualiti yang tidak pernah ada pada Mahathir. Saya tidak mahu ambil
pusing sangat dengan apa yang Mahathir akan katakan selepas ini. Dia sudah tidak
relevan lagi. Biarlah dia berlagak sakan sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia
yang paling lama memegang takhta. Biarlah dia sebut pula siapa nama Perdana
Menteri yang akan memerintah Malaysia di masa hadapan. Semua itu tidak relevan lagi
kalau kita faham akan tahap kesihatannya yang sebenar.
Mahathir sedang mengharungi zaman kesakitan dalaman yang tidak mudah difahami
oleh orang luar. Dia sedang menderita sebenarnya. Tidak ada satu pun projek
meganya yang berjaya. Kejayaan sebenarnya berlaku disebabkan maklumat songsang
semata-mata. Mahathir sudah meniru gelagat seseorang yang diserang kekejangan
otot-otot (cramps) di tengah laut. Sabut dan daun kering pun akan dipautnya kerana
tidak ada pilihan lagi. Apakah ini satu hukum 'karma' yang menimpa dirinya setelah
menggunakan khidmat seorang wanita murahan untuk bersekongkol dengan seorang
pemandu upahan sebagai saksi utama rencana konspirasinya? Itulah hakikatnya
sekarang. Mahathir kecewa dengan keadaan yang berlaku. Dia tidak menerima
sokongan padu orang Melayu lagi dan terpaksa meraih simpati sokongan kaum lain.
Allah telah mentakdirkan Mahathir menghadapi zaman-zaman kepupusannya dengan
penuh kekecewaan. Perniagaan anak-anaknya tidak menjadi walaupun berbillion
ringgit duit rakyat telah dicurahkan untuk membantu kerugian yang tertanggung sekian
lama. Kewibawaan anak-anak untuk ditonjolkan memimpin bangsa sendiri pun tidak
juga menjadi, walaupun pelbagai usaha dilakukannya. Mahathir sebenarnya sedang
mengerang sendirian akan kegagalannya itu. Apakah dihairankan samada negara ini
diperintah oleh perdana menteri kaum apa di masa yang akan datang. Bukankah
mereka itu rakyat Malaysia juga? Kita harus terima latahan Mahathir itu sebagai satu cabaran seperti mana penubuhan
parti PKN (keADILan) yang dianggotai oleh masyarakat majmuk. Teluk Kemang sudah
menunjukkan betapa rakyat berbilang bangsa boleh menggerakkan satu barisan politik
mengganyang pimpinan Mahathir. Kita mesti terima hakikatnya bahawa kenyataan
Mahathir itu adalah satu pengakuan betapa UMNO sudah gagal mempertahankan
kedaulatan ketuanan Melayu selama ini. Kalau Mahathir sudah memperakuinya apakah
yang boleh diharapkan lagi kepada kepimpinannya?
Kalau orang Melayu tidak mahu perkara itu berlaku seperti yang diramalkannya,
sampailah masanya semua orang melayu bergabung tenaga melakukan sesuatu untuk
mempertahankan ketuanan Melayu. Kali ini Mahathir dan segelintir juaknya tidak lagi
mustahak dalam agenda dan 'equation' baru itu. Semua orang Melayu baik yang
menjadi ahli UMNO, PAS keADILan, PRM, DAP dan apa saja parti yang ada dan yang
akan muncul nanti, mempunyai peranan tersendiri di alaf baru ini. Peranan ini ada
kaitannya dengan apa yang berlaku sekarang gara-gara kerakusan Mahathir dan
pucuk pimpinan UMNO. Masa depan orang Melayu sebenarnya sedang terancam sebagai satu bangsa yang
tinggi martabatnya dan mulia maruahnya. Mahathir sudah memperlekehkan semua itu
kerana dia keliru. Dia menjadi keliru kerana kerakusan untuk terus berkuasa. Dia mahu
terus menongkat dunia. Sifat enggan mati dan mahu terus menongkat dunia pernah
dialami oleh Mao Tze Tung dan Kamal Ataturk sehinggakan di saat akhir hayat mereka
terjadi satu pertukaran perangai mereka yang memasuki zaman keanakan semula.
Mereka tidak bermain air lagi tidak juga mereka mahu bermain api. Mereka lebih
berminat bermain taik sendiri seolah-olah itulah bungkal emas yang menjadi perisai
agar mereka tidak akan mati. Ya Allah!, apakah episod yang sama akan dilalui oleh Mahathir bin
Mohammad juga? Dengan segala tulus ikhlas aku bermohon kepadamu, Ya
Allah..... janganlah Mahathir kau izinkan melalui zaman serupa itu...
Aaaaaamiiiiinnnnnn....!!!!. Sebagai orang Melayu beragama Islam inilah harapan saya dulu, sambil memikirkan
bagaimanakah seorang pemimpin Melayu yang sungguh menonjol dalam sejarah
bangsanya sanggup berpatah arang dengan bangsanya, akhirnya? Siapakah
sebenarnya yang berkuasa memerintah orang Melayu itu selama ini sebenarnya?
-Marhaintua- |