Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 8
[Kalau dulu rencana Pak -MT- menggegarkan petualang di istana dan bumi Selangor,
kali ini ia berkisar kepada bapak kepada petualang itu, iaitu Maha Firaun. Perhatikan
bagaimana teruknya acuan demokrasi itu dioyok dan dicincang lumat menjadi autokrasi
oleh Maha Firaun dihuraikan
oleh Pak -MT- satu persatu. Oleh itu ia MESTI diBACA dan diSEBAR seantero Negara - Editor]
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
BAB 8: DEMOKRASI MENGIKUT ACUAN SIAPA?
Demokrasi Negara Mengikut Acuan Siapa ?
Apakah perkataan dalam Bahasa Melayu yang boleh menggambarkan dengan
jelasnya situasi di mana rakyat yang berhimpun beramai-ramai dihenyak,
dihentam, dikepung, ditembak dengan pemedih mata, dipukul dengan belantan
dan di kurung dalam satu tempat berkunci untuk dikenakan tembakan gas
pemedih mata? Apakah perkataan yang sesuai untuk digunakan sebagai kata
arahan untuk menggerakkan manusia yang bersenjata, lengkap melakukan
keganasan sesuka hati ke atas rakyat yang tidak bersenjata itu?
Kalau diambil berita beberapa media perdana mengenai situasi yang disebutkan
di atas, tentulah kita boleh marah dan merasa jijik. TV3 melaporkan dalam
ruang beritanya bahawa rencana rakyat berkumpul secara aman "tidak mendapat
sambutan langsung". Cukuplah gambaran tu sahaja kerana kalau kita rakamkan
gambar yang dibuat oleh akhbar dan RTM tentu kita akan merasa marah lagi.
Sebenarnya hanya ada satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi
yang berlaku pada November 5 2000 itu. Perktaannya ialah "ANARKI"
"ANARKI" adalah perkataan Ingeris yang dialih-bahasakan menjadi Bahasa
Melayu. Ia bererti "keadaan tidak ada ataupun tidak berasaskan
undang-undang""hilangnya ketertiban umum ataupun pemerintahan
yang teratur sehingga berlakuknya kekacauan atau porak-peranda."
Apa yang berlaku pada 5 November, 2000 adalah satu gambaran betapa anarki
boleh tercetus kerana undang-undang yang disalahgunakan. Dalam hal ini
siapakah yang menyalah-gunakan undang-undang itu? Raja Kelentong Mahathir
Mohammad telah kerap bermegah betapa "Malaysia adalah satu negara demokrasi
mengikut acuan kita sendiri". Dia kerap berlagak bahawa demokrasi yang
berasal daripada perkataan Yunani itu dan yang lama diamalkan di negara luar
adalah tidak berapa sesuai di Malaysia. Kerana itu demokrasi Malaysia adalah
mengikut acuan sendiri yang telah diciptanya sejak dua puluh tahun yang
lalu. Inilah kebanggaan Mahathir selama ini dan inilah yang mahu
disogokkannya ke kerongkong setiap rakyat di negara ini selagi mereka mahu
dan sanggup menetap di sini. Jika tidak, dia suruh mereka "pergilah tinggal
di negara luar, dan tinggalkan Malaysia....!". Itulah saranan yang kerap
diulang-ulangnya sejak dua minggu yang lalu.
Demokrasi Malaysia Ciptaan Raja Kelentong
Sekarang kita boleh jenguk apakah demokrasi acuan Malaysia yang dicipta oleh
Mahathir itu:
- Parti pembangkang tidak ada hak bersuara bebas. Surat khabar parti
pembangkang mesti mengikut selera parti yang memerintah. Hanya boleh dijual
di markas parti sahaja. Setiap penerbitan mesti mendapatkan permit terbitan
dan selalunya boleh ditarik balik apabila kerajaan suka. Tetapi penerbitan
yang pro kerajaan boleh dijual di mana-mana dan diterbitkan sebanyak mana.
Di negara lain yang mengamalkan demokrasi, pihak pembangkang mempunyai radio
dan TV sendiri. Surat khabar mereka tidak pun perlu mendapatkan lesen dan
permit daripada pihak kerajaan.
- Parti pembangkang dan orang awam yang mahu berkumpul secara aman hanya
boleh melakukannya setelah menerima permit polis. Permit ini walaupun sudah
dikeluarkan boleh ditarik balik tanpa sebab dan alasan mengikut selera pihak
kerajaan. Di beberapa negara luar, sesiapa saja boleh berdemo asalkan dia
tidak menghalang ketenteraman awam.
- Kepimpinan Malaysia adalah berasaskan demokrasi acuan sendiri. Ini
termasuklah mengkritik kuasa besar mengikut selera Raja Kelentong.
Sebaliknya, sesiapa yang menyokong pendapat negara luar dalam kritikannya
terhadap kepimpinan Mahathir adalah dicap sebagai agen asing. Mereka
dibenarkan meninggalkan negara ini untuk tinggal di luar negara. Sesiapa
yang mengulang dan menyebut kembali kritikan negara luar terhadap kepimpinan
Mahathir boleh dianggap penghasut dan penderhaka terhadap negara.
- Rakyat negera ini tidak digalakkan untuk mempercayai pendapat negara luar
yang dianggap mahu menjajah Malaysia. Tetapi, segala akta yang telah
diwujudkan oleh penjajah yang satu ketika dulu bertujuan untuk
mempertahankan negara daripada ancaman komunis masih dipakai lagi untuk
menindas rakyat. Kerana itu Akta Keselamatan Dalam Ngeri(ISA), Akta Polis,
Akta Menghasut dan berpuluh akta dan peraturan yang bersifat menekan rakyat
masih lagi digunapakai kerana ia menjamin keselamatan Raja Kelentong dan
para kroninya dan para pemimpin UMNO yang lain. Tidak cukup dengan semua
itu, ditambah lagi beberapa akta yang menekan seperti AUKU, Akta Rahsia dan
sebaginya. Dalam perkara ini Mahathir tidak pernah memikirkan bahawa beliau
dan juga Barisan Nasional sebernarnya merupakan pseudo-penjajah di negara
yang sudah lama merdeka ini. Dengan lain perkataan segala akta yang dicipta
oleh penjajah dulu sengaja dikekalkan oleh Mahathir untuk terus menjajah
bangsanya sedangkan di waktu yang sama diberlagak bahawa dialah pemimpin
wakil rakyat di negara ini. Sayang sekali, majoriti rakyat terutama sekali
yang menjadi ahli UMNO masih tidak mahu sedar lagi.
- Sesiapa yang mahu menubuhkan parti politik yang mempunyai sifat
membangkang Barisan Nasional, harus sanggup menunggu satu masa yang lama,
mungkin menunggukan kucing bertanduk. Tetapi, kalau parti politik itu
ditubuhkan untuk bersekongkol dengan Raja Kelentong, kelulusan penubuhan
parti itu boleh dilaksanakan dalam sekelip mata. Bukankah itu yang
membolehkan penubuhan PAS Baru?
- Sejak Mahathir memegang kuasa politik dia telah melakukan pelbagai bentuk
kezaliman yang sengaja disokong oleh para juaknya sebagai langkah
pentadbiran yang perlu untuk menaikkan nama Malayasia ke tahap antarabangsa.
Di kalangan UMNO alasan yang ditonjolkan ialah untuk menaikkan martabat
Bangsa Melayu itu ke tahap yang tinggi setara dengan bangsa yang besar. Ini
adalah satu penipuan besar. Bagaimanakah satu bangsa itu boleh menjadi
besar, kalau wawasan yang dilakar untuknya merupakan satu wawasan yang tidak
menjadikannya satu bangsa yang besar? Segala yang direncana oleh Mahathir
untuk orang Melayu sebenarnya mempunyai matlamat jangka pendek untuk
memuaskan nafsu yang rakus seolah-olah rencana itu boleh melonjakkan bangsa
Melayu itu sebagai satu bangsa yang mudah maju. Tamaddun sesuatu bangsa
tidak boleh dijolok ke atas tanpa melalui setiap tahap anak tangga kemajuan.
China yang berada ketika tempoh kepimpinan Mao Tse Tung hampir pupus,
telah melancarkan "The Great Leap Forward", satu usaha melompat untuk
membarisi tahap kemajuan tamaddun bangsa lain. Satu generasi bangsa itu
terkandas ke belakang, walaupun ketika itu Deng Zao Peng diturunkan pangkat
menjadi pencuci tandas. Para juak Mao Tze Tung telah menonjolkan rencana
lompatan budaya itu dengan berasaskan "Buku Merah Mao" yakni rangkaian
kata-kata "hikmah seorang yang tidak percayakan Allah." Apa jadinya kepada
China?
Sama ada disedari oleh rakyat Malaysia ataupun tidak, sejak kematian Tun
Ismail Ali, bekas Governor Bank Negara dulu, Mahathir telah tiba-tiba
menunjukkan kerakusannya dengan melaksanakan pelbagai projek mega di negara
ini untuk menunjukkan Malaysia mempunyai ratusan bangunan tinggi-tinggi dan
projek mega yang boleh menandingi projek yang sama di negara maju. Tetapi,
projek di negara maju itu dibina untuk satu tahap yang lama dan melalui
ratusan tahun tamaddun bangsa sesuatu negara itu. Alangkah rakusnya Mahathir
mahu menandingi kuasa besar sedangkan setiap kuasa itu menjadi besar selepas
melalui satu tempoh yang lama sebagai penjajah.
Mahathir mengumpulkan segala projek besar itu dan mengagihkan kepada para
kroni. Di waktu yang sama dia tidak mampu mengawasi setiap projek itu dengan
baik kerana dia terlalu taksub mahukan setiap projek itu siap dalam masa
yang singkat. Apa jadinya dan apakah pula kesannya kepada ekonomi negara?
Beberapa contoh yang baik boleh dirakamkan di sini:
- Langkawi di majukan seolah-olah esok sudah tidak ada lagi. Seorang
peniaga yang berpengalaman dengan kayu-kayan diberikan projek itu.
Kebanyakan kos projek sengaja dilonjakkan lebih tiga kali ganda di Langkawi.
Hanya si pakar pembuat batang penyapu itu yang dianggap pakar dalam
pembangunan sehinggakan orang Melayu difikirkan belum pakar lagi dalam
setiap projek yang diberikan kepada taukeh itu. Di waktu yang sama satu
projek yang lebih mega diberikan lagi kepada taukeh yang sama. Inilah projek
Haidro Bakun. Kepakaran luar diambil sebagai penyedap sahaja kerana segala
kerja-kerja kontrak itu diagihkan kepada beberapa syarikat lain yang
merupakan anak-syarikat kepunyaan pakar batang penyapu itu. Kita sudah
nampak kini, projek itu terbengkalai kerana tujuan utama projek itu ialah
untuk membalun segala kayu-kayan yang berharga di tapak haidro. Untuk
menyedapkan hati rakyat, dikatakanlah betapa perlunya bekalan letrik dengan
menggunakan projek ampangan kerana bekalan itu adalah bersesuaian untuk
dihantar ke Semenanjung. Dikatakanlah bahawa projek bekalan letrik dengan
pembinaan ampang adalah projek yang paling ekonomi.
Inilah satu contoh betapa rakyat ditipu terang-terangan. Sekarang ini negara
maju mengurangkan projek ampangan dengan memberikan tumpuan kepada kuasa
angin. Kalau kita lihat di Long Island Amerika ada satu kompleks bekalan
letrik menggunakan kuasa nuklear yang cuba dijual oleh kerajaan Amerika
dengan harga Satu Dollar Amerika. Projek itu tidak dilaksanakan kerana
desakan orang ramai yang tidak mahu pencemaran kuasa nuklear di halaman
rumah mereka. Kini, hampir semua negara maju melancarkan projek mendapatkan
tenaga letrik daripada kuasa angin. Kita boleh pergi melihatnya di negara
Nordik dan mendapati projek ini semakin canggih kini.
Di Switzerland, kalau kita menyusuri lebuhraya daripada Zurih hingga ke
Geneva kita dapat lihat dinding panjang yang disalut "photo voltic cells"
untuk menyaring kuasa suria. Inilah projek membekalkan kuasa matahari untuk
digunakan oleh rakyat. Kita ada mataharai sepanjang tahun dan angin dengan
percuma, tetapi Petronas tidak mampu memperuntukan sebahagian hasilnya untuk
projek ini. Yang ditonjolkan kini ialah projek pembikinan kereta suria.
Projek ini sebenarnya cuba menandingi projek yang sama yang sedang
diusahakan oleh beberapa pengeluar kereta termaju di dunia. Yang lucunya
kita mengeluarkan belanja besar untuk projek ini untuk menggaji kepakaran
daripada barat dan bukannya daripada negara sendiri.
Rakyat Malaysia terutama sekali masyarakat Sarawak telah membantah projek
Bakun. Tetapi, tidak dihiraukan. Kini projek itu terbantut kerana kekurangan
wang. Tetapi, alasan yang sebenarnya ialah kerana semua kayu-kayan yang
berharga sudah habis dibalun dan wangnya entah ke mana. Bayangkanlah apa
jadinya kini kerana taukeh batang penyapu itu mampu mempunyai jet peribadi
sendiri dan mampu menubuhkan satu syarikat penerbangan udara sedangkan tiga
puluh tahun dulu dia hanya seorang penjual batang penyapu. Beberapa orang
teman lama di Sarawak dan Langkawi ada bercerita; kalau orang Melayu dan
Cina di Langkawi dan Sarawak diberikan keistimewaan yang serupa yang pernah
disediakan kepada Tan Sri Ting itu, tentu sekali mereka mampu melakukan yang
lebih terbaik daripada yang dilihat kini. Apakah nak dikatakan dalam hal
ini? Sekarang, disebabkan suasana harga melompat dalam setiap kontrak yang
diberikan di Langkawi dulu, keadaan cara hidup orang kita di Langkawi pun
melompat dengan mendadaknya sehinggakan kalau berlaku kekurangan jumlah
pelancong ke sana, orang Melayu Langkawi akan merempat kembali. Begitu juga
di Sarawak, projek Bakun sudah pun menjadi satu projek yang ditafsirkan
sebagai projek gila oleh seorang pemimpin negara yang memang sudah gila.
- Kita telah disogokkan dengan pelbagai projek mega yang menghakiskan
keupayaan negara menyimpan hasil petroleum untuk generasi yang akan datang.
Perkara ini berlaku kerana Petronas adalah satu badan kerajaan yang dikuasai
oleh Raja Kelentong sepenuhnya, dan bukan di bawah kuasa Menteri Kewangan
dan kabinet sepenuhnya. Tidak ada sebuah negara yang berteraskan demokrasi
di mana ketua ekskutif negara mempunyai satu bekalan wang yang dibawah
kuasanya secara mutlak. Disebabkan kuasa yang gila itu, apa juga projek
mega yang diimpikan oleh Mahathir dibiayai oleh Petronas, seolah-olah hasil
mahsul Petronas itu adalah legasi datuk moyangnya. Kepincangan ini sanggup
diperakukan oleh semua lapisan wakil rakyat termasuklah di pihak
pembangkang. Dengan lain perkataan, Petronas merupakan satu angsa ajaib yang
mengeluarkan telur emas hanya untuk disimpan di rumah Mahathir. Orang lain
tidak perlu tahu apa yang dilakukannya dengan telur emas itu. Ini merupakan
satu tipu helah yang kejam dan menjijikkan.
Apabila ekonomi negara merudum dan Malaysia perlu menyesuaikan diri mengikut
peraturan yang dikehendakki oleh IMF dan Bank Dunia, Mahathir bingkas
membantah kerana dia tahu beberapa peraturan yang dikenakan oleh Bank Dunia
itu ialah supaya Malaysia membuat perubahan agar kuasa mengendalikan urusan
Petronas itu tidak lagi menjadi hak mutlak seorang perdana menteri. Lagipun
sudah tentu banyak syarikat yang muflis dan dipunyai oleh anak-anak dan
kroninya terpaksa ditutup, dan tidak diberikan nafas baru menggunakan wang
Petronas. Mahathir menolak syarat Bank Dunia itu dengan memburukkan
cadangan mereka. Kemudian dia pergi ke seluruh dunia berlagak bahawa
"Malaysia mampu memperbaiki ekonomi sendiri tanpa meminjam duit sesiapa."
Ini pun satu pembohongan lagi yang menipu rakyat Malaysia dan menipu dunia,
kerana Malaysia meminjam lagi dengan premium yang lebih tinggi. Kali ini
pinjaman itu bukan dilakukan oleh kerajaan tetapi dibuat oleh Petronas.
- Sebenarnya ekonomi Malaysia mula merudum sejak 1996 lagi. Tetapi
disebabkan perancangan yang licik di kalangan pihak tertentu ekonomi itu
dapat bertahan di situ sehinggalah akhir 1998. Muslihat ini dilakukan dengan
mencetuskan puluhan projek di luar negara dan juga dalam negeri mengikut
selera Raja Kelentong. Cuba buka senarai MOU (Momorandum of Understanding)
yang ditandatangani di luar negara dan disaksikan sendiri oleh beliau.
Tidak sampai lima persen pun yang telah dilaksanakan. Kebanyakan MOU itu
adalah mainan tekateki sahaja untuk menaikkan harga saham setiap syarikat
yang mencetuskan MOU itu. Apa jadinya dengan saham-saham itu sekarang? Orang
Cina kata inilah saham kertas tisu yang telah membuatkan ramai golongan
profesional di negara ini masih lagi merana. Nilai kertas tisu yang
disebutkan itu adalah disebabkan kenaikan harga saham itu yang sengaja
dipacu oleh pihak tertentu sehingga dikeluarkan surat janji yang lain
(other promissory notes) yang berbentuk "Warrants", "Loans", dan sebagainya.
Promissory notes adalah surat janji yang dikeluarkan oleh syarikat untuk
satu tempoh yang tertentu (selalunya tidak melebihi lima tahun melainakn
kalau diperpanjangkan tempoh luputnya). Apabila sebuah syarikat melakukan
satu pacuan aktibiti dengan naungan pihak kerajaan, harganya di pasaran
saham terus naik melonjak hingga mampu menarik minat pelabur runcit. Oleh
kerana kertas promissory notes itu pada dasarnya hanya merupakan kertas
janji sahaja, nilainya merupakan nilai kosong yang perlu diisi sendiri oleh
si pembeli dalam congakannya sahaja. Tentu sekali pihak yang mengeluarkan
memberikan beberapa janji manis lengkap dengan katalog yang indah-indah
kerana gambaran yang indah yang dipaparkan di atas kertas bermutu tinggi.
Wang yang dikeluarkan untuk membeli promissory notes itu sepatutnya
digunakan sebagai modal kepada projek yang akan dilakukan. Dalam hal ini ia
adalah berdasarkan MOU yang ditandatangani itu. Tetapi yang sebenarnya wang
yang diterima itu digunakan untuk menutup hutang bertapuk yang mencetuskan
kadar faedah bank yang tinggi. Penyelewengan itu dibiarkan berlanjutan
sehingga satu masa ia dilupakan oleh masyarakat umum. Apabila projek yang
dijanjikan itu tidak dimulakan, mulalah soalan pihak yang mahu mengetahui
kerana mereka sudah melabur dulu. Ketika itu barulah diumumkan betapa
projek yang berasaskan MOU itu tidak dapat dilancarkan kerana keadaan
suasana pelaburan yang sudah berubah. Itu sebabnya banyak "warants" dan
"loans" di pasaran saham semakin merudum. Siapa yang rugi dalam hal ini
kalau bukan pelabur runcit dan rakyat marhaen?
Pernah terjadi pada satu persidangan UMNO beberapa tahun yang lalu,
desas-desus yang kuat meransang naik harga FACB. Malahan desas-desus itu ada
kaitan dengan cerita beberapa ketua bahagian dan cawangan yang diberikan
saham percuma syarikat itu. Harga di pasaran pun naik mencanak melebehi
RM3.00 kerana ketika itu ada berita akan pelaburan syarikat di China. Ramai
guru-guru yang membeli ketika saham sudah mencecah RM2.00 dengan mendapatkan
pinjaman bank. Beberapa bulan kemudian saham itu turun hingga puluhan sen
sahaja apabila tercetus berita pelaburan di China itu terkandas. Akibatnya,
ramai guru-guru yang terpaksa buat kerja sampingan untuk menutup kerugian
bank mereka. Begitulah juga nasib yang menimpa majoriti orang Melayu di
kampung-kampung yang melabur dalam amanah saham beberapa institusi yang di
naungi kerajaan dan UMNO. Mereka masih menanggung kerugian lagi. Apakah
Mahathir mahu mengambil kira nasib mereka dengan menggantikan kerugian itu
dengan menggunakan wang Petronas seperti yang dilakukan terhadap
anak-anaknya?
Apa yang dikatakan ekonomi mantap sejak beberapa tahun itu adalah satu
penipuan juga kerana itulah senjata yang membolehkan Malaysia melakukan
dasar pintu terbuka untuk membiarkan ribuan rakyat asing masuk menjadi
tenaga pekerja. Projek menggunakan tenaga asing telah menjadikan beberapa
kerat orang Barisan Nasional menjadi kaya-raya sehinggakan mereka mampu
berjoli sakan di kasino besar luar negara. Proses membawa masuk pekerja
asing itu membabitkan ribuan ringgit bertukar tangan di beberapa tahap
penguatkuasaan; bermula daripada Jabatan Imigresen hinggalah PDRM (Polis)
dan hinggakan ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Impak kemasukan orang asing secara haram memerlukan pembinaan beberapa
stesen penahanan orang asing itu sebelum mereka dihantar pulang. Pusat
penahanan ini menjadi punca maksiat lagi dalam berbagai-bagai bentuk.
Terlalu banyak untuk dirakamkan kali ini. Memadailah kalau kita katakan
bahawa kewujudan stesen penahanan itu adalah satu tipu muslihat untuk
mengekalkan jumlah anggota polis agar tidak dikurangkan. Sedangkan anggota
polis itu sepatutnya dikerahkan menangkap pekerja haram ini setiba mereka di
pantai di malam hari.
Apabila pendatang haram mampu menceroboh dengan senang dan berkerja di tapak
binaan yang merupakan projek para kroni dan juak Raja Kelentong, siapakah
yang berani menangkap mereka? Siapa pula yang berani menyekat dan memeriksa
kaedah penggajian dan cara tenaga mereka itu digunakan. Apa yang kerap kita
lihat, tapak projek itu diserbu hanya di tahap projek itu hampir siap.
Kenapakah perkara itu boleh berlaku sedangkan setahun dua sebelum itu tapak
itu boleh dibiarkan sahaja? Seperti yang saya tulis dulu, jawapannya
terletak kepada perbuatan pihak sabkontraktor yang sengaja mahukan tenaga
kerja haram ini ditangkap agar tidak perlu membayar gaji mereka lagi.
Kita kerap melihat gambar dan berita betapa pendatang haram di tangkap di
tapak projek dan dihantar pulang. Kita tahu bahawa undang-undang ketat ada
dirangka untuk menghukum setiap majikan yang menggunakan para pekerja tanpa
izin. Cuba selidik, berapa ramaikah para majikan yang pernah dipenjarakan
sehingga kini kerana menggunakan pekerja tanpa izin? Yang menyedihkan
majoriti pekerja asing ini membazirkan gaji yang tinggi yang diperolehi di
negara ini dengan berjudi dan berjudi dan berjudi.
- Muslihat penggunaan pendatang tanpa izin dalam projek pimbinaan rumah
menyebabkan mutu pembikinan rumah itu menurun secara mendadak. Betapa
tidaknya kalau seorang nelayan Bawiyan digunakan untuk kerja mengikat batu
dan plaster, apa yang dia tahu? Yang peliknya kebanyakan rumah yang siap
secara "sub-standard" diberikan sijil kelulusan oleh pihak yang berkuasa.
Saya ada melihat beberapa bangunan tinggi di Port d##kson yang telah
diberikan kelulusan "Certificate of Fitness" sedangkan hampir semua bangunan
itu mempunyai kecacatan yang melanggari syarat pembikinannya. Di Teluk
Kemang misalannya, projek Worldwide Marina Resort (Batu Tujuh Jalan Teluk
Kemang selepas Hospital Daerah Port d##kson) diberikan kelulusan sedangkan
beberapa asas prasarana yang mesti disiapkan oleh pemaju tidak pun
dilaksanakan. Kerana itu kalau kita angkat "intercom" (telefon dalaman) kita
tidak dapat menggunakannya kerana ketiadaan wayarnya. Begitu juga dengan
antena TV, ada punatnya tetapi tiada wayarnya. Kompleks Marina itu
menjanjikan satu marina untuk membolehkan bot masuk dan disimpan di situ.
Projek sudah pun diluluskan oleh pihak kerajaan melalui "certificate of
fitness" tetapi lubuk yang dikatakan marina itu belum lagi selesai. Oleh
kerana kebanyakan pembeli kondo di situ adalah orang luar daripada
Singapura, Hongkong, Indonesia dan Taiwan, ramai mereka ini yang mengeluh
kerana janji palsu pihak pemaju. Kerana itu projek itu banyak yang kosong
dan terpaksa diambil alih oleh Danaharta. Sehingga kini ramai pembeli luar
negara mengeluh kerana ada bangunan yang tinggi itu yang masih bocor di
bahagian atasnya dan memerlukan pembaikan. Kalau kompleks itu tidak
ditangani oleh Danaharta dengan serius ia akan memalukan Danaharta,
akhirnya.
- Keadaan bangunan tinggi-tinggi yang kosong sudah pun disebut oleh
Mahathir minggu yang lalu. Tetapi apakah tindakannya untuk memperbaiki
keadaan? Kita tidak pernah mendengar rencana pemulihan itu daripada
mulutnya. Kini dia mula menumpukan kepada projek sungai pula dan meminta
rakyat mencintai sungai. Begitulah gelagatnya. Dia tidak ambil peduli secara
serius akan kepincangan pentadbirannya. Kalau projek perumahan untuk pembeli
warga negara asing boleh kecundang apakah agaknya yang terjadi kepada projek
rumah murah? Kita sudah diberitahu bahawa projek rumah murah kini boleh
dipesatkan kerana harga rumah murah sudah boleh dinaikkan sekitar RM45,000.
Inilah jalan pintas yang dipilih oleh kerajaan setiap kali berlakunya
kepincangan. Sepatutnya harga rumah murah tidak boleh diubah daripada
RM25,000 kalau kerajaan serius mahukan setiap rakyat mempunyai rumah
sendiri. Perkara ini boleh dilakukan kalau kerajaan betul-betul mahukannya.
Cara membenarkan kenaikan harga hanya akan menyukarkan rakyat dan memudahkan
para pemaju.
Cuba fikirkan cadangan ini:
Rumah murah untuk rakyat boleh dibuat dan dijual kurang daripada RM25,000
kalau kerajaan Mahathir mahu. Kerajaan harus turunkan kos premium tukar
syarat untuk pembinaan rumah itu. Malahan setiap projek membina rumah rakyat
tidak patut dikenakan premium (Adakah kerajaan pusat membayar premium
membina perumahan di Putra Jaya?). Projek pembinaan rumah itu hendaklah
diambil alih daripada pemaju dan diserahkan kepada setiap regimen askar dan
juga pasukan PDRM. Kita tidak perlu banyak askar di khemah tentera dan kita
tidak perlu banyak polis di negara ini kerana negara sudah aman. Disebabkan
terlalu ramai anggota polis makanya kita lihat ada yang bertindak ganas
setiap kali ada peluang untuk berantakan dengan rakyat. Tentu kita masih
ingat projek PULAREK di Johor Bahru yang kini terpaksa dibikin semula.
Kalaulah projek itu dilaksanakan oleh tenaga tentera tentu kita tida
diaibkan seperti itu.
Selama ini projek perumahan dan pembinaan pencakar langit di negara ini
dilakukan oleh tenaga asing yang tidak pun mempunyai kepakaran dalam
pembikian bangunan. Mereka diberikan peluang untuk menjadi pakar dalam hal
itu. Dengan memberikan peluang ini kepada tentera dan polis dan wang
pekerjaan itu dimasukkan ke dalam tabung khas (kerana mereka menerima gaji
tetap setiap bulan), wang yang dikumpulkan itu boleh digunakan sebagai
simpanan untuk mereka mengerjakan rukun haji dan umrah ataupun membeli saham
keluaran baru (IPO - Initial Public Offerings).
Harga rumah di negara ini terlalu mahal disebabkan proses kontraktor pergi
ke banyak "sab" dalam mengendalikan sesuatu projek. Kalau kita lihat nama
kontraktor sesuatu projek itu ia sama sahaja dengan nama para pemimpin pemuda
UMNO tetapi kalau kita lihat siapa yang menjadi sabnya ia adalah orang yang
tidak pun boleh menjadi ahli UMNO. Inilah yang membuatkan UMNO itu berlagak
kerana semangat berlagak itu terlalu pekat di kalangan pemimpin pergerakan
pemudanya.
Mahathir sudah memerintah dan menjajah negara ini selama dua puluh tahun.
Besar kemungkinan ia akan diberikan mandat untuk terus menjajah sehingga dia
mati. Perkara pokok dan asas untuk rakyat seperti perumahan masih tidak
dapat diselesaikannya. Inilah acuan demokrasi ala Mahathir namanya. Ini juga
menunjukkan betapa Mahathir sebenarnya berlakon selama ini kerana dia tidak
mampu melakukan sesuatu yang dapat dikenang sebagai satu kemuncak dan
kegemilangan pemerintahannya. Kalau masalah perumahan tidak dapat
diselesaikan, apakah yang boleh kita harapkan daripada beliau untuk
menyelesaikan masalah perubatan dan pendidikan? Apakah kita boleh harapkan
beliau menegakkan martabat bangsa Melayu dan keagungan syiar Islam di
kalangan orang Melayu?
Kita dapat menjangkakan, masa kepupusan Mahathir sudah semakin sampai. Orang
putih kata "The Final Days of a Malay Dictator is Beckoning". Memang tidak
syak lagi Mahathir merupakan seorang diktator Melayu pertama di negara ini.
(Dia tidak boleh dikira sebagai diktator pertama di dunia; kerana jolokan
itu dipegang oleh seorang diktator Albania yang mempunyai darah kacukan
Melayu juga). Mahathir memang amat megah dengan jolokan ini kerana itu dia
selalunya mengulangkan perkataan "MAHAFIRAUN" dan menyedari bahawa jolokan
itu menunjukkan dia lebih hebat daripada firaun. Tetapi dia lupa bahawa apa
yang dilakukannya ini adalah satu kejijikan yang akan menghenyak
suku-sakatnya dan ahli keluarganya (seperti yang ditulis dengan jelas oleh
Aminsapiro: Rakyat Sudah Rimas...!)
Penipuan demi penipuan dan pindaan yang dilakukan kepada beberapa peraturan
undang-undang telah membuatkan rakyat lebih rimas dengan pemerintahan
Mahathir. Kini dia mahu melakukan pindaan lagi dalam perlembagaan UMNO.
Seharusnya kalau kita tidak lagi menjadi ahli UMNO kita tidak perlu rimas
dengan apa juga perubahan yang akan dilakukannya itu. Tetapi disebabkan
segala pindaan dalam perlembagaan UMNO itu akan juga meminda cara hidup
keseluruhan rakyat di negara ini, kita terpaksa menyatakan bantahan kita. Di
manakah mampu kita lakukan itu kalau bukan di jalan raya secara berhimpun
dengan aman. Strategi ini memang lama sudah disedari oleh Mahathir kerana
itu permit dan lesen untuk berhimpun secara aman itu tidak akan diluluskan
kepada rakyat.
Mahathir menganggap bahawa himpunan rakyat secara aman itu adalah tidak
perlu kerana itu tidak masuk dalam acuan demokrasi olahannya. Kini,
terpulanglah kepada semua rakyat Malaysia bersatu menyatakan kejijikan
mereka terhadap kepimpinan Mahathir. Rakyat perlu bangkit di seluruh negara
ini mengganyang Mahathir secara aman. Sampai bilakah pihak polis mahu
menghayunkan belantan mereka terhadap rakyat yang tidak bersenjata?
Undang-undang dan hukum alam lambat laun akan berlaku juga. Ini akan
menjelma juga apabila kebangkitan rakyat itu akan menghumbankan Mahathir ke
dalam penjara. Selama ini dia angkuh menolak sebarang usaha untuk membawanya
ke mahkamah. Dia sudah tidak ada ruang lagi untuk mengelakkan dirinya. Di
waktu yang sama dia tidak mampu lari ke mana yang dia suka kerana hampir
semua sahabatnya yang selama ini menjadi diktator di negara mereka sendiri
sudah pun berada di satu tahap akan dijerat oleh rakyat mereka juga.
Demokrasi Malaysia mengikut acuan ala Mahathir sudah kita nampak jelas kini
kerana kita sama-sama sedang merana mengharunginya. Sudah tiba masanya kita
menunjukkan Mahathir dan seluruh dunia apakah demokrasi Malaysia sebenarnya
mengikut acuan yang akan dilakarkan oleh rakyat marhaen. Cukuplah masa yang
diberikan kepada sukusakat dan para jongos Mahathir akan segala keistimewaan
yang mereka nikmati selama ini. Memadailah dengan segala kemewahan dan
kekayaan negara ini yang mereka balun daripada hak rakyat itu. Sampailah
masanya rakyat bertindak secara kolektif (rakyat marhaen, tentera dan pihak
polis) untuk menyanggah Mahathir daripada khayalannya.
Rakyat terpaksa bertindak berani untuk mengnyahkan Mahathir dan para juaknya
daripada terus memutar minda kita dalam usahanya memperkuatkan lagi kuasa
kediktatorannya. Rakyat mesti sedar, Mahathir tidak lagi mempunyai semangat
memperjuangkan masalah rakyat. Kerana itu apabila rakyat berhimpun secara
aman pihak polis berani menggila. Yang ditangkap dan ditahan tidak diberikan
rawatan spontan ataupun diberikan bekalan makanan yang dibawa oleh ahli
keluarga mereka. Bagaimana pula cerita Anwar Ibrahim yang tidak diberikan
rawatan selama lima hari selepas dibaham oleh Rahim Noor dan "siapa lagi"?
Kini, ANARKI sudah mula berputik dan akan berbunga untuk mencengkam suasana
harmoni di negara ini. Kita perlu bertindak untuk mencetuskan satu berita
baik akhirnya. Inilah berita baik yang mahu kita canangkan ke luar negara.
Inilah warisan kita kepada anak dan cucu-cicit kita apa sebenarnya demokrasi
Malaysia mengikut acuan bangsa Malaysia, yang berteraskan keperwiraan
Melayu. Sebelum itu, Mahathir dan para kroninya perlu dimasukkan ke
"dalam" dulu.
-Marhaintua-
11.11.2000.
|