Laman Webantu KM2A1: 3187 File Size: 7.0 Kb * |
Jalan Kebun Di Setiap Ketika By Wartawan Pencen 11/11/2000 11:19 pm Sat |
AIR MATA GELAGAT ALAM Sudah beberapa kali saya tersangkut diperenggan ini. Berdentam-dentum bunyi guruh sayup dan jauh dari sini. Sudah beberapa kali ia bergema tetapi emel ini belum terbang lagi. Akhirnya meleretlah ia menjadi panjang setelah tersekat beberapa jam. Sudah tidak kedengaran lagi suara burung-burung berkicauan. Malah tidak kelihatan juga yang terbang. Saya perhatikan sedikit gelagat alam yang semakin meragam. Sekejap terik dan sekejap hujan. Apakah ada sesuatu yang mengusik perasaan awan itu. Atau apakah ia sengaja bersifat sedemikian setelah panas semaking berbahang? PUTARAN ALAM YANG SEIMBANG Walau apapun wap yang panas itu akan naik kelangit juga, dan ia akan turun kembali dalam dingin yang nyaman. Itulah satu nikmat putaran alam, ia naik dan ia turun, tetapi ia tetap seimbang.... Dan burung akan kembali berkicauan.... Namun begitu kadang-kadang air mata alam itu berkuasa juga. Tetapi ia melakukannya secara tiba-tiba dan tidak tersangka. Saya perhatikan negara kita sudah lama menjadi mangsa mata air yang meragam. Ia pernah kontang sehingga terpaksa beratur menunggu giliran. Dan ia pernah mengalir perlahan sehingga kondo yang gagah pun tumbang. Padahal simen itu memerlukan air juga sebagai campuran sewaktu dinding dan tiang itu mahu didirikan. Alangkah indahnya kisah mata air itu, namun ia tidak difahami oleh manusia walaupun berbekal teropong panjang? AIR YANG MEMBASAHI KELOPAK MATA Berlainan dengan mata air yang muncul dicelah rekahan batu batan, air jernih yang mengalir di celah-celah kelopak mata manusia itu penuh dengan makna yang begitu mendalam. Ia keluar bila dipaksa oleh satu serangan atau mengalir dengan tidak sengaja mengiringi satu perasaan. Soalnya, apakah dengan titisan itu akan dapat mengubah nasib bangsa yang telah terbelenggu? Itulah satu persoalan yang menjadi tajuk beberapa emel yang sukar dijawab sepintas lalu. Walaupun begitu kisah Putri Gunung Ledang memilih air yang sama sebagai syarat perminangan. Kisah itu berakhir dengan hajat yang tidak kesampaian.... Sebenarnya ada air mata yang bisa merubah keadaan, tetapi ia mungkin tidak berlaku sekarang. Seperti mata air di Hulu Kelang, ia menumbangkan sesuatu di dalam diam. Mungkin secebis kisah dalam tragedi di lebuhraya itu dapat menyingkap kekuatan air mata itu. ADAB BERHIMPUN - NASIHAT PEMIMPIN YANG ARIF Saya tertarik untuk memberi satu komen mengenai reformis kita yang ditahan itu. Jika aqal kita sedikit panjang, kita perlu bertanya mengapa pemimpin BA menyuruh kita bersurai bila pihak berkuasa enggan berkerjasama. Malah pemimpin kita juga tidak membenarkan kita membawa senjata. Hikmah dari arahan tersebut memang ada. Ia adalah bukti rakyat tidak mempunyai sebarang agenda ganas yang menganggu ketenteraman. Sekaligus ia akan menghancurkan semua tohmahan dan dakwaan jika kita ditahan. Polis Mahathir sudah lama cuba mempersalahkan kita, oleh itu jika kita melawan kita hanya akan memberi alasan mudah kepada mereka menggunakan belantan atau membuat tangkapan. Mengikut akta, polis hanya berkuasa memnyuraikan sahaja - tidak lebih dari itu. Mereka boleh mengejar jika kita "yang mengajar". Jika kita tidak melawan, mereka terpaksa membebaskan kita dari tahanan reman. Dari kacamata luar, kita sudah "menang". Apabila kita berhimpun di mana-mana, kita perlu memahami siapakah yang memanggil kita. Sebab itulah dalam Islam, kita disuruh melantik seorang ketua bila berpergian. Tujuannya, antara lain, ialah untuk mengukuhkan jalinan, dan mengelakkan dibaham "kenyang". Atau menangis teresak-esak sendiran.... gambar kita sudah dirakam. SABAR WALAUPUN GERAM Sebenarnya kita sudah melakukan yang satu tindakan yang betul dalam tragedi perbalahan dengan polis itu. Jangan sengaja memberi sebab untuk kita diberkas. Rahsianya ada dalam ayat2 berperang dalam al Quran. Kita dilarang berperang kerana perasaan yang geram. Sebaliknya kita berperang untuk menghapuskan penganiayaan (oppression). Konsep ini penting. Sebab itulah Sayyidina Ali tidak membunuh lawan bila beliau diludah sebelum menikam pedang... akhirnya kisah itu berakhir dengan lawan itu menganut Islam! Inilah kekuatan sebenar kita. Bukannya kekuatan bermain pedang, tetapi kekuatan mengawal diri walaupun diludah kewajah oleh musuh. Kita tetap menang walaupun kita tidak menentang... kerana ada orang memerhatikan. Ia bakal tersiar nanti seantero negara dan sepelusuk negeri. Itulah satu rahsia - sabar pun masih tetap menang. Tragedi yang menimpa Pak Din itu amat berkesan kerana Pak Din tidak melawan walaupun beliau pesilat terbilang. RAHSIA SI AIR MATA Apabila berada dimana-mana, tidak perlu menentang polis dengan cara yang bukan-bukan. Kita bukannya berperang dengan mereka. Ulamak pun sukar menyedarkan polis, inikan kita. Kita ke sana untuk menyedarkan rakyat seantara negara. Merekalah nanti yang memerhatikan gelagat kita disebarang perhimpunan. Apabila orang yang baik dan tidak melawan dikasari polis, mata mereka yang memerhati kisah itu akan berlenangan - inilah perjuangan kita setakat ini. Inilah air-mata yang bakal merobah kehidupan. Mereka inilah nanti yang akan turun ke padang bersama membantu kita. Inilah secebis rahsia yang terselit dalam semua perjuangan kita selama ini. Itulah air-mata yang kita nanti-nantikan. Dan itulah air-mata diam yang bakal merubah keadaan di masa depan. Kita belum diizinkan lagi oleh pemimpin untuk melawan dengan siku dan tangan. Bila seruan itu ditiupkan, sudah tidak boleh lagi berlembut dengan mereka yang berhati setan. JALAN KEBUN DI SETIAP KETIKA Di lebuhraya siber inilah kita muncul dan pergi. Setiap kali kita berhenti, kita melepaskan sesuatu untuk tatapan rakyat berbilang bangsa. Inilah Jalan Kebun kita hari ini, esok, lusa dan seterusnya. Sekali sekala turun juga ke Jalan Kebun yang sebenarnya, itupun untuk dihimpun di satu Jalan Kebun maya juga akhirnya. Itulah bingkisan kisah buat tatapan anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sekurang-kurang itulah sedikit usaha ayahanda di jalanan untuk anak-anak cucu semua. Darah yang menitis di lebuhraya itulah saksi perjuangan ayahanda yang tidak seberapa. Itulah nasib kita di dalam negara yang menafikan hak kepada rakyatnya untuk berhimpun dan bersuara. Kita menangis sedang mereka tertawa. Kita disini, mereka di istana. Hak kita sudah dicuri di siang hari. Mak cik kita disepak terajang sesuka hati. Tetapi, ayahanda akan tetap pergi Setiap Jalan adalah Jalan Kebun lagi. |