Laman Webantu KM2A1: 3184 File Size: 3.1 Kb * |
Jalan Kebun: Mencipta Daya (Sajak) By Amin Sapiro 11/11/2000 5:52 pm Sat |
[Terkejut beruk pihak Editor Wak boleh bersajak juga??. Nampaknya kita ni memang sekampung atau makan sepinggan di bawah atap rumbia. - Editor] JALAN KEBUN: MENCIPTA DAYA (Untuk wira-wirawati yang terkorban) Jalan Kebun - 5 November?? Jalan ke sana sudah membuka segala hati, nadi dan jiwa tersemat di hati rakyat Usah diragui kecemerlangan perjuangan massa Untuk mengembalikan Kemerdekaan yang telah digugat, Terkhianat Dengan suara penuh daya Semangat kian membara semangat Jihad!! Pengorbanan Rakyat? Allahu Akbar !! Reformasi - Perjuangan Sejagat Suara Rakyat suara Keramat Sudah dimengerti makna, nilai dan hikmat Iltijam Rakyat tidak mungkin lagi ditekan, Tidak mungkin lagi diugut-gugat Tidak mungkin lagi terpadam Kegagalan UMNO/BN dan Mahathir Menangani pelbagai isu-isu rakyat Membawa identiti aib, adu-domba keparat Detik-detik kejatuhan mu Mahathir semakin dekat?. Nyah! Mahathir nyah! Kali ini - kalian akan lihat? "Perhimpunan Sejuta Rakyat"!! Usah ditanya apa kesudahannya Setiap perjuangan ada makna Setiap tapak melangkah ke hadapan Rakyat sudah diambang kejayaan: KEMERDEKAAN! Allahu akbar! Amin Sapiro (Bekas ahli UMNO atas Pagar Berduri) Sebagai satu kenangan, pihak Editor menerbitkan semula dua sajak oleh Latiff Mohidin satu ketika dulu tetapi tetap segar setiap waktu sebagai bingkisan di angin lalu untuk ditiup dengan karya Wak yang memeranjatkan itu.... Sungai Mekong 1 sungai mekong kupilih namamu kerana aku begitu sepi kan kubenamkan dadaku ke dasarmu kaki kananku ke bulan kaki kiriku ke matari kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu namaku ke muara suaraku ke gunung 2 sungai mekong nafasmu begitu tenang lenggangmu begitu lapang di tebingmu ada ibu bersuara sayu mencari suara puteranya yang hilang waktu ia merebahkan wajahnya ke wajahmu kau masih bisa senyum senang 3 sungai mekong akhirilah tari siang riakmu kulihat di dasarmu kuntum-kuntum berdarah batu-batu luka malam ini ribut dari utara akan tiba tebingmu akan pecah airmu akan merah dan arusmu akan lebih keras dari niagara Telatah Jurupeta lihatlah telatah jurupeta ini setiap detik sepanjang malam bekerja keras dengan asyiknya merubah-rubah sempadan negeri sebentar dibahagi-bahaginya sebentar dipadam dilenyapkannya anak sungai yang biru dimerahkannya banjaran yang merah dikuningkannya kawasan tanaman habis dihitamkannya ibu negeri dipangkahnya jalan raya dipesongkannya rel keretapi ditanggalkannya lihatlah telatah jurupeta ini setiap hari sepanjang tahun mereka-reka peta baru dengan fasiknya. |