Laman Webantu KM2A1: 3170 File Size: 30.4 Kb * |
Siri 7 YTDT: Kalau Otak Ada Di Lutut By Marhain Tua 9/11/2000 6:39 am Thu |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 7 [Rencana kali ini berkisar mengenai isu Putrajaya dan Kependekkan Aqal Raja,
Khir Toyo atau semua ahli DUN UMNO. Hujah yang dipaparkan teramat pedas lagi berisi.
Lebih banyak rahsia dan logik mudah didedahkan setelah menyuluh pelbagai sejarah silam.
Bukan mudah untuk menulis rencana berfakta sebegini, oleh itu ia MESTI diBACA dan
diSEBAR SEGERA kerana hak telah dinoda teramat hina. - Editor]
Semalam, 7 November 2000, Sultan Selangor dan putranya Pemangku Raja
Selangor telah menandatangani perjanjian jual-beli kawasan yang kini
disebut Putra Jaya dengan harga RM200 juta, ditambah RM 7.5 juta setahun
untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan. Kenapakah dipilih tarikh 7.11.200
untuk menandatangani perjanjian itu dan tidak ditunggu selepas Jumaat
misalannya dan dilakukan dalam satu majlis di mana rakyat marhaen dijemput
untuk menjadi saksi, akan merupakan satu tekateki sejarah. Yang nyata, kalau
dicampurkan 7+1+1+2+0+0+0+0 ia akan memberikan jumlah 11. Kemudian kalau
diikut ilmu numerologi kalau dipecahkan sebelas itu menjadi dua angka yang
perlu dicampukan kembali ia akan menjadi '2'. Angka dua memang merupakan
angka keramat bagi seorang insan yang masih tidak percaya pisau cukur sudah
ada di zaman Nabi Mohammad s.a.w.
Ini memberikan satu kiasan, tarikh untuk menandatangani perjanjian pun mesti
mengikut rentak selera seorang rakyat (yang ada "sesudu dua darah Pakistan"
mengikut suratnya kepada Tunku Abdul Rahman Putra dulu).
Di samping jumlah di atas, kerajaan pusat juga dikehendakki membayar RM18.3
juta setahun untuk selamanya. Ketika perjanjian awal ditandatangani pada tahun 1974 itu, kadar tukaran
matawang Malaysian Dollar dengan dolar Amerika ialah sekitar 2.30 - 2.50.
Kini, kadar tukaran tetap ialah sekitar RM 3.80. Di luar negara, kadar
tukaran pasaran gelap pula ialah RM6.50 kepada satu dollar.
Setiap kali mahu memainkan sekeping rekod, peti nyanyi itu perlu diputar
dulu untuk mengetatkan spring yang tersorok di dalamnya. Satu jarum kecil
perlu dipasang untuk menggores rekod itu apabila 'spring' yang ketat
dibiarkan untuk memutar rekod tadi. Berbunyilah rekod itu. Kalau jarum yang
digunakan itu jarum baru, merdulah suara penyanyi yang dirakamkan pada rekod
itu. Kalau jarum yang digunakan adalah jarum lama yang dikitar semula, suara
nyanyian yang keluar di corong peti adalah suara yang garau-garau, sumbang
dan menggelikan hati. Kadangakala, spring di dalam peti itu pun meragam
mungkin kerana terlalu kerap digunakan. Orang yang memutarnya fikir dia
sudah cukup putar, sebaik sahaja dicuba memainkan rekod kesayangannya,
peti-nyanyi itu meragam. Terpaksalah dibiarkan dulu spring itu mengendur
secara perlahan, untuk diketatkan semula.
Di zaman orang Melayu menggunakan peti-nyanyi, masyarakat Melayu mampu
berhimpun untuk menyanggah British. Tidak perlu telefon dan tidak ada pun
radio untuk digunakan sebagai alat mengajak orang Melayu bersepadu. Cukup
dengan tong-tong, tabuh, beduk, gendang besar dan juga rebana besar yang
dipukul di masjid dan surau memberi isyarat bahawa bahaya sudah mendatang
dan masyarakat Islam perlu berperang. KEBANGKITAN orang Melayu ketika
zaman peti-nyanyi pakai spring dulu adalah satu kebangkitan yang belum
berulang lagi. Satu ketika dulu, orang Melayu akan berkumpul dengan segala rela hati untuk
mempertahankan kedaulatan raja-raja dan orang besar, wakil raja-raja.
Pantang mendengar isyarat, berhimpunlah masyarakat Melayu itu tanpa
ragu-ragu kerana di zaman dulu perhimpunan tidak memerlukan lesen ataupun
apa yang disebut sekarang sebagai 'permit'. Malahan, kalau kita baca buku
sejarah lama, ada dicatatkan bagaimana rakyat marhaen dikerah untuk
berperang tanpa ada sebarang bekalan makanan daripada istana, sedangkan
perjuangannya itu adalah untuk mempertahankan insan yang sedang menghisap
madat dalam istana. Kalau ada pun upah yang diberikan oleh raja kepada
rakyat yang akan pergi ke medan perang itu ialah hak meniduri sekumpulan
wanita (harem) yang sudah pupus gelaran mereka sebagai dayang dan gundek
raja ataupun masyarakat janda perang yang kehilangan suami ketika peperangan
untuk raja sebelum itu. Itulah nasib rakyat marhaen di zaman dulu yang
diputar minda mereka dengan peribahasa: "Di mana Bumi Dipijak Di sana Langit
Dijunjung". Indah sungguh peribahasa itu kerana ajaran itu telah mampu memutar minda
orang Melayu turun temurun sehinggakan Melayu rela mnyembah raja-raja dan
terhangguk kepada sesiapa sahaja yang berdarah raja. Orang bukan-Melayu yang
tidak melakukan sifat begitu tidak pula didera, kerana mereka tidak diajar
akan peribahasa Melayu seperti itu. Mereka juga tidak diajar apa ertinya
kedaulatan raja-raja Melayu. Apa yang ditandatangani oleh Sultan Selangor adalah satu perrjanjian yang
perlu diluluskan oleh majlis Kerabat Raja-raja dan juga Dewan Negeri
Selangor. Yang peliknya, rakyat Selangor tidak ambil pusing sangat akan
perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tersirat dalam sikap membisu mereka
itu. Apakah kerana fahaman universal bahawa orang Melayu itu tidak suka
Ilmu Hisab kerana itu mereka tidak mampu mencongak nilai jumlah pampasan
yang diterima oleh Negeri Selangor? Ataupun apakah, kerana rakyat Selangor
sudah faham, selepas berlakunya kepada rakyat Terengganu, sebarang
perjanjian yang ditandatangani oleh Mahathir dan kerajaannya akan dianggap
sebagai kertas tisu sahaja? Ataupun apakah ada sesuatu intrig yang menjadi
muslihat orang Selangor untuk menyerlahkan satu kebangkitan terhadap apa
yang telah dilakukan oleh Sultan?
Soalnya sekarang, kenapakah kerajaan negeri begitu mudah menjual maruah
rakyat Selangor kepada kerajaan pusat dengan harga yang sungguh menghinakan?
Di sinilah terjawabnya kenapa Abu Hassaan Omar rela melepaskan jawatannya
sebagai menteri besar walaupun ketika itu dia dihina dan dicemuh begitu
hebat sekali. Inilah juga sebabnya saya katakan dalam penulisan yang lalu,
Khir Toyo adalah seorang budak hingusan dalam arena politik Melayu.
a) Lebih seratus tahun yang lalu, empayar British terkenal seluruh dunia
sebagai satu empayar yang berjaya menakluki kemegahan maharajah Cina
sehinggakan mampu memujuk Cina menyewakan Hong Kong sebagai pusat
perdagangannya di Asia. Sebenarnya British mahu mengambil alih pulau itu
dengan cara membelinya dan sebelum dilaksanakan program itu British telah
mengganyang masyarakat Cina agar menjadi satu bangsa yang kuat menghisap
candu. Masyarakat Cina menjadi masyarakat pemadat kerana British membekalkan
candu itu yang ditanam di Burma, sebuah negara jajahannya. Rencana British
itu sempat dibaca oleh Cina yang hanya bersetuju menyewakan Hong Kong dalam
perjanjian pajakan sahaja kepada British dan Macao kepada Portugal. Kini,
Hong Kong pulang ke pangkuan China dan bermulalah konsep satu negara dengan
dua konsep pentabirannya. Sebelum itu pula British telah berjaya mengambil tanah jajahan Sultan Kedah
yang kini dinamakan Seberang Perai dan Pulau Pinang. Satu ketika dulu ia
dikenali dengan nama Province Wellesley and Penang. Upah pemberian tanah
jajahan Sultan itu ialah janji British untuk mempertahanakn kedaulatan raja
Melayu daripada ancaman kerajaan Siam. Bererti Sultan Kedah ketika itu tidak
yakin dengan keperwiraan rakyatnya. Mungkin kerana terlampau ramai yang
berdarah Pakistan? c) Pengambilan tanah asing oleh penjajah memang merupakan satu proses
penjajahan yang bercorak lembut kerana ia dilakukan tanpa pertumpahan darah.
Yang paling kelasik ialah ketika Belanda meminta sebidang tanah untuk
berdagang di Melaka. Luas tanah ialah sebesar kulit kering seekor lembu.
Sultan Melaka ketawa berdekah-dekah ketika itu memikirkan 'Benggali Putih'
yang datang daripada Eropah itu orang tolol sahaja. Tetapi, tidak
disangkanya orang Belanda itu telah menghiris kulit kering itu menjadi satu
tali yang panjang. Apabila di tarik tali itu ia menjadi satu kawasan tapak
perumahan yang besar. Barulah ketawa sultan lenyap sepi kerana ketawa rakyat
Marhaen muncul mengganti. Begitu juga dengan gelagat peniaga Portugis
selepas itu. Mereka tidak meminta tapak tanah tetapi menawarkan beberapa
orang pilihan mereka menghambakan diri kepada Sultan Melaka. Satu ketika di
malam hari, khadam Portugis itu membuka pintu istana untuk Portugis
menyerang pengawal dan hulubalang raja, sehinggakan Sultan Melaka terpaksa
lari ke Muar, kemudian ke Riau dan akhirnya ke Johor Lama. (Bukankah itu
juga cara dan taktik yang digunakan oleh seorang bilionaire Cina dengan
menawarkan khadamnya menjadi setiausaha kerja UMNO?)
d) Suez Canal merupakan satu terusan penting yang berjaya memendekkan
perjalanan pelayaran samudera sebelum terciptanya pengangkutan udara. Idea
asal membina terusan itu dicetusakn oleh pedagang di zaman Firaun kerana
mereka mahu pergi ke Somalia dan Ethiopia untuk mencari damar, gaharu dan
herba yang merupakan bahan penting untuk mengawet mayat. Mereka membina
parit besar untuk membolehkan air laut daripada dua hala masuk ke terusan
itu. Kemudian kerja itu diteruskan oleh orang Yunani sebelum diambil alih
oleh orang Roma. Terusan itu tertimbus semula untuk satu masa yang panjang
sebelum orang Arab menggalinya semula untuk menakluki Mesir. Apabila
Nepoleon Bonaparte naik takhta pada sekitar 1798, ia mengarahkan terusan itu
digali semula. Kerja yang memakan masa itu tergendala lagi sehinggalah
seorang jurutera Peranchis, Ferdinand De-lesseps, menandatangani satu
perjanjian (concession) dengan kerajaan Mesir pada November 30, 1854 (146
TAHUN YANG LALU). Pada November 17, 1869, Terusan Suez itu dibuka secara
rasminya, setelah merakamakan lebih 125,000 nyawa rakyat Mesir terkorban
kerana pembikinannya. Pada 1956, Mesir merampas kuasa syarikat antarabangsa yang mengendalikan
terusan itu dan memilik-negarakan terusan tersebut. Terusan itu menjadi
kawasan larangan kepada perkapalan Israel daripada 1948 hingga 1975 dan
ditutup kepada semua lalulintas daripada 1967-1975 disebabkan peperangan
Arab-Israeli sehinggalah dilakukan pembersihan yang disebabkan periuk api,
kapal yang tenggelam dan terkandas di situ. Ia diperbesarkan lagi pada
1976-1980. Terusan Suez terus menjadi terusan penting kerana penjimatan 30%
daripada perjalanan kapal daripada Eropah ke Jepun kalau menggunakan laluan
Tanjung Harapan di Afrika. e) Begitu juga halnya dengan Terusan Panama` satu lagi terusan yang
mempercepatkan pelayaran di benua Amerika. Sejarah terusan ini lebih menarik
lagi kerana ia dimulakan oleh De-lesseps tetapi gagal menyudahkannya
disebabkan terlalu ramai pekerja yang mati kerana malaria dalam satu tempoh
yang singkat. Terpaksalah Amerika menyambungnya kembali pada 1904 dengan
menggunakan kepakaran jututera tentera Amerika.
Menyedari contoh di atas, cuba kita bayangkan apa yang telah dipersetujui
oleh Sultan Selangor dan juga wakil rakyat yang mewakili rakyat Selangor itu
adalah sesuatu yang bukan sahaja menjijikkan tetapi juga memalukan rakyat
yang mampu berfikir. Oleh kerana proses pengambilan tanah Selangor itu
dilakukan dengan tipu muslihat, sejarah akan menentukan masih banyak rahsia
terselindung di sebalik pengambilan itu kerana ia memberikan keuntungan
besar kepada golongan tertentu. Adalah tidak bersalahan, kalau rakyat
Selangor mengambil sikap kurang ajar berpandukan apa yang telah diajar oleh
seorang diktator tua bahawa apa juga perjanjian yang baru ditandatangani
itu, ia adalah satu perjanjian yang tidak boleh dikira sah oleh rakyat
jelata. Satu ketika dulu Pergerakan Pemuda UMNO berarak ke Dewan Perhimpunan Cina
untuk menyerahkan surat protes (sandiwara ala filem Hindustan) kepada
Kumpulan Suqui. Adakah mereka memerlukan permit dan lesen? Adakah mereka
diganyang dengan gas pemedih mata dan belantan menggila? Adakah yang buta
ditembak dengan gas dalam lori? Penerimaan wang pampasan RM200 juta adalah satu penghinaan kepada rakyat
Selangor. Apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu?. Ia tidak mampu
membina istana seindah mahligai Airmata di Putra Jaya. Ia tidak cukup
membeli sebuah jet eksklusif secanggih Global Express. Kenapakah Sultan
Selangor begitu rakus menerima tawaran yang diberikan oleh Raja Kelentong?
Kalau Sultan sudah tidak mampu berfikir secara serius kenapakah kerabat
diraja Selangor diam membisu? Satu ketika dulu Sultan berbelanja besar untuk
sentiasa berada di luar negara 'untuk berubat', rakyat Selangor tidak pernah
berdecit. Malahan, ketika Pemangku Raja belayar mengelilingi dunia dengan
tenaga kepakaran bukan Melayu, rakyat tidak berdecit juga. Pernah satu
ketika terdapat keluarga raja dan kerabat istana Selangor yang menerima
saham mudah dalam syarikat bukan Bumiputra dan meraih banyak kontrek
kerajaan negeri. Rakyat diam membisu kerana tanda hormat. Apabila isteri
pertama pemangku raja Selangor dijumpai hidup bersekedudukan di
(pertengahan 70-an) dengan orang bukan Islam, rakyat Selangor diam juga
seperti diamnya mereka apabila pemangku raja itu beristerikan seorang putih
yang bukan pun berdarah raja. Apakah golongan istana fikir, penjualan Putra
jaya kepada kerajaan pusat akan diterima secara senyap dan bodoh sahaja.
Tulisan ini akan menjadi bahan sejarah untuk menyedarkan rakyat Selangor
untuk terus mempertikaikan kerja sewel Sultan Selangor itu termasuklah
penipuan moral yang dilakukan oleh Khir Toyo dan juga Raja Kelentong. Kita,
rakyat Selangor mesti faham apa yang sedang dihadapi oleh rakyat Terengganu
dengan penafian hak mereka kepada pembayaran royalti petroleum yang sah.
Begitu juga terhadap penipuan kerajaan pusat terhadap rekyat Kelantan yang
dinafikan royalti gas yanng disalurkan ke Thailand. Kita mesti ambilkira
hak setinggan dan peneroka bandar yang masih merempat ketiadan tapak rumah.
Kita mesti mengambil iktibar daripada keazaban yang ditanggung oleh beberapa
rakyat yang sudah pun buta mata, pecah kepala, remuk tulang mereka semasa
berhimpun secara aman di lebuhraya Kesas pada 5.11.2000. Semua ini adalah
kesan pemerintahan yang ZALIM.......KEJAM dan RAKUS!
Ada satu peribahasa lama yang menyebut: "Raja yang adil raja disembah, Raja
yang kejam raja disanggah." Ini merupakah satu peribahasa lama yang sudah
lama diajar di sekolah-sekolah dan tidak perlu sebarang permit dan lesen
untuk menggunakannya dan mengulanginya.
Apa yang berlaku masakini terutama sekali dalam jual beli Putra Jaya kepada
Kerajaan Persekutuan adalah satu perbuatan yang zalim di mana raja tidak pun
mengambil kira perasaan rakyat. Sedangkan di setiap Jumaah, rakyat Selangor
bersolat dan menampung tangan untuk mengaminkan doa meminta Allah
mengekalkan nyawa raja. Lihat sahaja di Putra Jaya, kalau pembinaan mahligai Raja Kelentong memakan
belanja RM700 juta, bagaimana pula kos pembinaan ruang pejabat kerajaan
persekutuan? Kalau kita lihat kemudahan taman-taman dan infrastruktur
lainnya yang terdapat di sekeliling Mahligai airmata itu kita akan dapat
mengimbau zaman silam yang tidak pernah dinikmati oleh raja-raja Melayu.
Seorang nettter telah mengingatkan saya kepada taman dan dataran bekas
peninggalan sejarah maharajah Dzar (Tsar) di Russia satu ketika dulu. Begitu
juga dengan peninggalan maharajah Peranchis, Austria dan juga di negara
Eropah lainnya. Putra Jaya yang anda lihat sekarang ini adalah lambang satu pemerintahan
yang zalim kerana sanggup berbelanja besar sedangkan rakyat marhaen masih
melarat dan akan terus merempat hidupnya.
Setiap hujung minggu dan di hari lebaran, kita akan melihat ratusan bas dan
kereta pengunjung datang melawat dan diletakkan kenderaan itu di sekitar
bulatan besar di hadapan Masjid Unggu yang tersergam indah. Setengah
daripada bas itu adalah tajaan jabatan perdana menteri ataupun UMNO untuk
menyedarkan orang kampung akan apa ertinya "pembangunan untuk menjadi satu
bangsa yang besar (kepala dan taiknya sekali)". Tetapi, lihat dulu apa yang
dilakukan oleh makcik dan pakcik dan anak-anak sekolah dari perkampungan
itu? Selepas melopong melihat keindahan sekeliling, mereka tentu kagum
dengan Taman Firdausi Raja Kelentong. Mereka pun akan membuka nasi bungkus
yang dibawa daripada kampung untuk menikmati hidangan di bawah alunan bayu
projek mega di situ. Apakah perasaan mereka apabila mengetahui mereka tidak
mampu membeli juadah yang dijual di 'Selera Putera' kerana harganya setimpal
dengan juadah yang dijual di KLIA dan KLCC?
Kalau kita melihatkan anak-anak yang makan nasi bungkus di bawah pancaran
suria yang terik itu, kita tentu terkilan apakah dosa anak-anak kecil yang
menikmati segala itu sedangkan apabila mereka dewasa kelak, sebahagian
pendapatan gaji mereka akan digunakan utnuk melunaskan hutang bertapuk
pembinaan segala lambang kerakusan seorang Diktator Tua merangkap Raja
Kelentong. Berkata teman-teman, "Inilah Taraf Kita Orang Melayu" dan "Inilah generasi
yang akan membawa Malaysia entah ke mana......."
Kalau ada sesiapa yang akan datang ke Masjid Unggu dan Putra jaya,
fikirkanlah baik-baik, apakah itu lambang kemegahan orang Melayu dan apakah
itu lambang kemajuan rakyat Malaysia? Kita mencatatkan November 7, 2000 ini dengan penuh tanda hormat kepada orang
Melayu Selangor yang sudah lama taat dan setia kepada sultannya. Tetapi
apakah rakyat Melayu Selangor diambil kira dengan penjualan tanah itu kepada
kerajaan pusat? Bukannya rakyat mahukan sebahagian wang pampasan. Tetapi,
rakyat mahukan yang hak itu mesti tetap hak. Ini bukan zaman peti-nyanyi
'His Master's Voice' lagi. Kini, 'His Master's Voice' adalah satu fenomena sejarah silam. Ia telah
diganti dengan radio digital, telefon bimbit dan komputer lap-top. Namun,
cara kehidupan orang Melayu di negerinya sendiri masih tidak banyak berubah.
Minda orang Melayu pada keseluruhannya masih lagi diputar-putar laksana
spring peti-nyanyi dulu-dulu lagi. Orang atas boleh buat apa yang dia suka.
Orang bawah mampu menganga mulut sahaja. Nampaknya golongan raja-raja
(termasuk spesi Raja Kelentong dan para kroninya) berfikir bahawa orang
Melayu di zaman ini adalah sama sahaja dengan Melayu di zaman peti-nyanyi
dulu. Memang padan muka orang Melayu semuanya.......!!!!!
|