Laman Webantu KM2A1: 3123 File Size: 4.6 Kb * |
Jalan Kebun: Lembutnya Bayu Berdirgahayu By Penulis Yang Berjurai 3/11/2000 9:34 pm Fri |
TERMENUNG DI JALAN KEBUN Tulisan ini ditujukan khas kepada pejuang tanah-air,
khususnya mereka yang tidak serik memenuhi ruang
padang dan jalanraya bila tiba panggilannya atau
berduyun-duyun di alam siber mencari sesuatu yang dapat
memuaskan beberapa kerinduan dan dahaga.
RINDUKU RINDUMU Sudah lama kita tidak bersama, khususnya selepas
memecahkan rekod di satu hari di bulan September
tahun 1998 yang berakhir dengan air-mata disebelah
malamnya. Sejak hari itu kita cuba kembali beberapa
kali, tetapi diktator malaysia itu masih kelihatan
tegak berdiri. Tanggal 8 Ogos yang lalu semakin suram seluruh rakyat
jelata. Perasaan itu meleret sehingga ulangtahun hari
merdeka. Ramai yang tidak memasang bendera
walaupun ekonomi dikatakan pulih seperti sediakala.
Ada sesuatu yang dirasakan sukar untuk beriang-ria.
Ia masih melukakan kalbu. Bagai anak kehilangan ibu.
Terasa sayang walaupun kita amat jarang bertemu.
LEMBUTNYA BAYU DIRGAHAYU Dicelah dedahan kayu terdengar bisikkan bayu
yang berhembus berlalu. Jalan Kebun akan menjadi
saksi satu perjuangan yang panjang berbatu.
Kita tidak mengukur perjuangan itu dengan
derasnya tiupan bayu - sebaliknya kita melihat
setakat mana kekuatannya menggerakkan objek
yang berdiri yang masih kelihatan kaku.
Tidak semuanya akan mengikut arus sepintas lalu.
Ia akan kembali kepada posisi asalnya bila arus
itu berhenti. Jangan gelagat mereka itu dirasakan
satu kekalahan dalam perjuangan yang kelihatan
asyik menemui jalan buntu. Sebenarnya dalam kelembutan bayu itu terserlah sesuatu.
Apabila dahan mula bergoyang, akarnya akan turut
terangsang. Inilah cabaran penulis itu....
walaupun ia mungkin lembut dan perlahan, bisanya
tetap menakutkan. Perhatikan akarnya dahulu,
barulah dahan. Itulah bisanya seorang pejuang!
Itulah mata yang sebenarnya memandang....
Sebab itulah tulisannya datang berjuaian.
Sejak keputusan pilihanraya yang lalu pemimpin
negara asyik berterbangan di angkasa. Ia menuju ke
destinasi asing yang dulunya dikecam dengan hebatnya.
Rupa-rupanya FDI ke negara sudah merosot dengan
banyaknya. Pemergian diktator "tua" bukan sedikit ongkosnya.
Beliau terbang begitu bergaya dengan jet global-ekspressnya.
Bila pulang kemewahan mahligai sudah menanti kepenatanya.
Sedikit berkata esok naiklah gaji dan pujian untuknya.
Riang dan tawa beliau terserlah lagi bila berdansa dengan
seorang hero hindustan pujaannya walaupun hajinya
masih belum setahun tanggalnya. Apa tidaknya - dia
memilikki segala-galanya, sehingga kalah semua raja.
Lihatlah mahligainya yang siap dengan air untuk
bermandi manda sepuas-puasnya. Kira lah semua istana
yang ada, layakkah ia mengalahkan "taste" (rasa)
"dua orang tua". Kita masih belum lupa pernah kekeringan air disebabkan
karenah sesorang yang lebih istimewa. Padahal rakyatlah
yang membayar pelbagai cukai dan bil yang asyik menjelma.
Bila bersuara dikatakan tidak berterima kasih pula...
Kolam dan hiasan berjuta nilainya, tetapi rakyat apa
yang ada? Kini sedikit demi sedikit wajahnya sudah berubah.
Belum sebulan yang lalu seorang diktator mirip
gayanya gugur dari takhta. Ribuan rakyat Yugoslavia
membanjiri jalanraya di ibu kota sehingga polis tidak
dapat lagi berbuat apa-apa. Sebaliknya mereka turut
tersenyum dan melambai tangan kepada rakyat jelata.
Tidak ada sesiapa yang dapat mengundurkan rakyat yang
mara, walaupun dengan senjata. SUARAKU SUARAMU Di Iran ibu-ibu yang baru mendapat bayi pun ingin turut
serta. Mereka menolak bayi kesayangan mereka itu di dalam
"stroller" walaupun pihak Savak sudah siap bersedia untuk
membunuh bila-bila masa. Akhirnya bertempurlah dua
suara; suara manusia dan suara peluru menusuk dada.
Gugurlah rakyat dimuncung senapang, tanpa sebarang belas
dan kasihan. Namun semangat mereka tidak kunjung padam.
Mereka terus mara dan mara sehingga melimpah semua
jalanraya. Akhirnya tumbanglah seorang diktator dan raja yang
sudah sekian lama bermaharajalela. Tampak jelas siapa yang
lebih berkuasa. Peluru hidupkah atau suara di jalanraya?
|