Laman Webantu KM2A1: 3096 File Size: 7.2 Kb * |
Debat - Satu Wacana Intelektual By Kapal Berita 29/10/2000 11:00 pm Sun |
Sumber: http://www.agendamalaysia.com/
Debat - Satu Wacana Intelektual
Temubual Agenda Malaysia dengan Mahfuz Omar
(26/10/00) Oleh Rozaid Rahman Mahfuz Omar tersenyum seketika apabila membaca komentar
bekas diplomat, wartawan dan setiausaha politik Tun Razak,
Datuk Abdullah Ahmad dalam Mingguan Malaysia dan New
Straits Times. "Ya lah! Dollah Ahmad mungkin tak setuju dengan debat
ini tapi dia kena hormat cara generasi sekarang berfikir - Dia boleh
bernostalgia dengan zaman Kolej Melayunya tapi debat saya dengan
Hisham adalah debat anak muda tahun 2000 bukan 1950an," kata
Mahfuz. Abdullah, dalam kolum mingguannya di dua akhbar harian itu,
menentang cadangan debat di antara Mahfuz selaku Ketua Dewan
Pemuda Pas Pusat dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia,
Hishammuddin Tun Hussein. Abdullah menyatakan kebimbangannya,
debat tersebut akan mendorong kepada perdebatan ke atas isu-isu
yang lebih sensitif lebih-lebih lagi perkara yang mengaitkan hak orang
Melayu. Malah Abdullah mendakwa, masyarakat bukan Melayulah yang lebih
berminat untuk melihat dua tokoh pemuda Melayu ini 'mencederakan'
diri masing-masing ketika membicarakan isu hak keistimewaan orang
Melayu kerana hampir kesemua masyarakat bukan Melayu mahu
melihatnya dimansuhkan. Dari kaca mata Abdullah debat tersebut lebih merugikan daripada
membawa faedah, hinggakan di akhir komentarnya beliau berkata jika
debat itu berlangsung beliau tidak sekali-kali akan menyaksikannya.
Tetapi orang muda seperti Mahfuz mempunyai pendekatan berfikir yang
berbeza. "Dalam proses kematangan kita sebagai rakyat Malaysia, kita
akhirnya akan dapati tidak semua perkara boleh disapu ke bawah
permaidani," kata Mahfuz dalam temuramah khas dengan
AgendaMalaysia. "Cara masyarakat berfikir sentiasa berubah - mereka
tidak statik." "Andaian debat ini tidak akan menyelesaikan masalah adalah satu
andaian yang berpegang kepada kepercayaan lama," jelas Mahfuz,
"sedangkan generasi baru Malaysia memerlukan satu anjakan
paradigma. Tidakkah boleh semua pihak yang merasa ragu-ragu
dengan niat murni kami ini mengenepikan keuntungan politik mereka
buat sementara waktu dan melihat ia sebagai satu wacana intelektual?"
Jelas Mahfuz lagi: "Ada perkara yang kita perlu berbincang secara
terbuka dan intelektual. Hanya dengan itu orang Melayu dan lain-lain
keturunan rakyat Malaysia akan lebih memahami diri masing-masing
dan menghormati garis sempadan di antara mereka."
Mahfuz, bekas tahanan ISA pada tahun 1987 dan rakan sebilik Lim
Guan Eng di kem tahanan Kamunting, sering dilabelkan oleh musuh
politiknya sebagai 'ultra' Melayu. Tetapi ketika Guan Eng dibebaskan
dari hukuman penjara 18 bulan, awal tahun lalu, orang pertama yang
datang menziarahinya adalah Mahfuz. Mereka bertemu di belakang
pentas pada sebuah program mengalu-alukan pembebasan Guan Eng
di Melaka. Mahfuz yang tiba dengan Proton Saga meluru ke belakang
pentas lalu memeluk Guan Eng. Tidak lama kemudian, kedengaran
ketawa besar di antara kedua-dua anak muda ini.
"Ini kawan saya di Kamunting, tidak mungkin saya melupakannya,"
kata Mahfuz kepada penulis sebaik sahaja terserempak di belakang
pentas. Di atas pentas kemudian, Mahfuz dan Guan Eng mengangkat
tangan masing-masing dan menyifatkan "hubungan mereka berdua
bagaikan paha kanan dan paha kiri. Jika dicubit paha kanan sudah
tentu paha kiri akan terasa pedihnya. Mereka memperlihatkan lambang
kesetiakawanan yang baru di kalangan generasi kedua dalam parti
pembangkang Malaysia. Dari segi pengalaman, Guan Eng terlebih dahulu menjadi wakil rakyat
dan ahli Parlimen Malaysia. Hari ini, Mahfuz, meneruskan kelantangan
suara Guan Eng di Dewan Rakyat setelah bekas ketua pemuda Dap itu
tidak boleh bertanding pada pilihan raya umum November 1999, ekoran
hukuman yang dihadapinya.Tidak seperti Guan Eng, perjalanan Mahfuz
ke Parlimen Malaysia melalui liku yang sukar. Sebelum memenangi
kerusi Parlimen Pokok Sena, Kedah, tahun lalu, Mahfuz telah
mengharungi tiga pilihan raya umum sejak 1986 - kesemuanya beliau
tewas. Pada pilihan raya umum 1990, beliau bertarung melawan
heavyweight Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, dan
tewas dengan majoriti yang besar. "Tapi hari ini, saya memperjuangkan nasib Anwar pulak, itulah yang
dinamakan politik," ujar Mahfuz. Bekas pengurus pasukan bola sepak belia Kampung Titi Gajah, Alor
Setar itu merupakan 'idola' belia di kampungnya 20 tahun lalu. Kini
'idola' itu telah menjadi buah mulut di kalangan mahasiswa, pemuda
dan masyarakat umum apabila isu debat antaranya dengan ketua
pemuda Umno Malaysia hangat diperkatakan.
Debat ini, kata Mahfuz, adalah satu fenomena luar biasa yang akan
menjadi perkara biasa selepas ini. "Hari ini, setiausaha pemuda Pas
bertemu dengan setiausaha pemuda Umno di sebuah restoran di Jalan
Pahang untuk membincangkan perbahasan ini secara terperinci. Jadi
bayangkanlah betapa debat ini telah membuka ruang yang lebih luas
untuk kami berbincang dan berkenalan. Siapa tahu mungkin selepas ini
lebih banyak pertemuan di meja makan akan berlangsung."
Ada pihak mempertikaikan kenapakah beliau mahu membicarakan isu
sensitif ini secara terbuka. Mahfuz menjelaskan; ""Debat ini tidak akan
mempersoalkan hak keistimewaan Melayu sepertimana yang termaktub
dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara malah jauh sekali untuk
saya mencadangkan agar ia dihapuskan - jadi saya harap orang-ramai
jangan salah sangka." Mahfuz menjelaskan bahawa debat antaranya dengan Hisham adalah
untuk membincangkan soal pelaksanaan hak-hak keistimewaan
Melayu sama ada ia benar-benar memenuhi tuntutan Perkara 153.
Pas, kata Mahfuz, sejak tahun 1965 lagi telah membawa satu usul
untuk meminda perlembagaan dengan tujuan untuk memperkukuhkan
Perkara 153 agar ia tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
"Malangnya Umno sering menggunakan Perkara 153 untuk
menakut-nakutkan orang-ramai dengan berkata hak keistimewaan
orang Melayu akan tergugat sekiranya parti itu ditolak oleh rakyat
dalam pilihan raya umum," jelas beliau lagi. "Mereka sering
meletakkan Dap sebagai pengancam kepada hak tersebut, sedangkan
hak keistimewaan Melayu telah banyak terhakis diwaktu Umno menjadi
tulang belakang kerajaan." Mahfuz tidak berhasrat sama sekali untuk melihat debat ini dibatalkan
demi perkembangan minda dan masa depan generasi muda Malaysia.
"Empat puluh enam peratus [46%] rakyat Malaysia adalah generasi
muda yang berilmu," tambah Mahfuz. "Oleh itu saya minta veteran
seperti Datuk Abdullah Ahmad menyedari hakikat bahawa kami tidak
mahu dibelenggu oleh tindakan yang berasaskan emosi tetapi
bersandarkan ilmu." Atas alasan itu, Mahfuz percaya debat ini mampu menjadi perintis ke arah politik yang lebih matang dan terbuka, bukan politik berasaskan emosi kepartian masing-masing. |