Laman Webantu KM2A1: 3043 File Size: 6.4 Kb * |
AM: Mesti baca - Skandal & Khabar Angin Politik By Kapal Berita 21/10/2000 8:17 pm Sat |
Sumber: http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=1&num=586
Skandal & Khabar Angin Politik Oleh Rozaid Rahman Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bersidang Isnin lalu (16 Oktober),
dan ia merupakan antara yang paling panjang sepanjang tahun ini.
Lebih empat jam para pemimpin parti dan pembuat dasar Umno itu
mengurungkan diri mereka di tingkat 39, Menara Dato Onn, PWTC.
Agendanya sudah pastilah penting, iaitu membicarakan cadangan-
cadangan pindaan ke atas perlembagaan parti tersebut. Malah
kedinginan penghawa dingin PWTC yang memang terkenal kesejukkannya
itu ternyata masih gagal mengekang kehangatan ahli-ahli MT daripada
berbicara tentang masa depan parti mereka.
Di luar sana, para wartawan pun turut membicarakan agenda mereka
sendiri. Bukanlah menjadi niat mereka untuk membicarakan tentang
gosip, khabar angin mahupun teka-teki ahli politik yang tak pernah
terjawab itu, tapi mereka perlu berbuat demikian untuk menghabiskan
sisa-sisa waktu yang terbuang. Seorang wartawan tua pernah berkata,
sekiranya seorang wartawan itu telah bekerja 10 tahun, dia sebenarnya
hanya benar-benar bekerja dua tahun sahaja. Baki lapan tahun lagi
adalah masa yang terbuang menanti untuk mendapatkan berita. Tragis
bukan? Jadi, wartawan perlu sentiasa berbicara demi mengisi masa
lapang mereka yang terbuang. Bayangkan, mereka tidak dapat ke mana-
mana sementara menanti mesyuarat MT berakhir.
Salah satu isu yang menjadi bualan hangat pada hari itu di kalangan
para wartawan dan juga orang Umno ialah tentang khabar angin mengenai
satu lagi skandal seks yang melibatkan dua orang pemimpin besar
negeri. Belum reda dengan isu peletakan jawatan Abu Hassan Omar
sebagai menteri besar Selangor, muncul pula satu lagi berita terbaru.
Percakapan mengenai isu ini begitu hangat diperkatakan hingga ia
menenggelamkan isu pindaan perlembagaan yang sedang rancak
dibincangkan di bilik mesyuarat MT Umno.
Ramai ahli politik dan pegawai-pegawai menteri turut serta
membicarakan isu ini. Kononnya pihak-pihak tertentu telah berjaya
memujuk wanita yang terlibat dengan skandal itu supaya membuat
pengakuannya dalam bentuk pita rakaman video untuk dijadikan bahan
bukti. Manakala dalam satu lagi kes yang turut melibatkan seorang
lagi pemimpin negeri, wanita berkenaan telah pun melahirkan anak.
AgendaMalaysia kemudiannya diberitahu oleh seorang pemimpin politik
(yang minta namanya dirahsiakan) bahawa pihak pembangkang telah
berjaya memperolehi pengakuan secara rakaman video daripada seorang
wanita yang mendakwa terlibat dengan skandal ini. Kononnya, di dalam
pengakuan tersebut, wanita itu mendedahkan bahawa dia telah terlibat
dengan skandal ini sejak berusia 16 tahun lagi. Kini dia telah pun
berusia 20 tahun. Seorang wartawan tiba-tiba berkata bahawa beliau telah mengikuti
program ceramah politik pembangkang di Tambun Tulang, Perlis. Pada
ceramah itu, seorang pemimpin pembangkang secara terang-terangan
mengakui bahawa mereka memiliki bukti serta dokumen yang lengkap
mengenai skandal seks yang melibatkan seorang pemimpin negeri dengan
gadis bawah umur. Jika pihak pembangkang begitu yakin bahawa mereka memiliki bukti yang
kukuh berhubung dakwaan tersebut, tidak mustahil, dua buah negeri
lagi akan berhadapan dengan krisis politik yang berpanjangan. Melihat
kepada apa yang telah terjadi di Selangor setelah Azmin Ali dan Dr
Hassan Ali - dua orang ahli yang berhormat - yang membawa isu Abu
Hassan ke dalam dewan undangan negeri sehingga membawa kepada
kejatuhannya, barang kali kita akhirnya tidak mampu menyalahkan gosip
dan khabar angin. Mereka yang dikaitkan dengan khabar angin dan gosip seperti ini tidak
pernah berani ke hadapan menceritakan hal yang sebenarnya atau
mencabar kesahihannya. Sehingga ke hari ini orang masih ragu-ragu
dengan penjelasan Abu Hassan bahawa pengundurannya adalah di
sebabkan 'masalah kesihatan'. Isunya masih diselubungi dengan misteri
dan tak pernah terjawab sepenuhnya. Tapi orang Melayu dengan sifat
kemaafannya mudah melupakan peristiwa lalu dan atas sifat-sifat
keMelayuannnya juga lebih cenderung untuk melupakan perkara yang
sebenarnya kerana, "Buat apa bising-bising - dia dah tak ada di
situ lagi dah..." Maka itu, salahkah jika ada yang berkata, bagi mereka yang dikaitkan
dengan skandal yang seperti ini hanya mengemari lelucon mereka
sendiri. Mereka merasakan diri mereka kebal dan dilindungi. Dulu kita
pernah diimpikan dengan sejuta harapan bahawa negara ini adalah
jambatan emas ke arah masyarakat yang terpimpin, adil, bersih dan
makmur. Untuk seketika ia kelihatan begitu. Kita seolah-olah meletakkan
harapan yang begitu menggunung di bahu pemimpin. Tapi sekarang,
dengan segera kita tahu ada yang salah dalam metafor itu. Ternyata
jambatan itu adalah sebuah binaan yang dibangunkan tanpa ketelusan.
Tanpa konkrit yang kukuh. Ia adalah konkrit yang rapuh dan akan
menjunam menerjah bumi dan membikin lubang-lubang yang mengangga
seperti liang lahat yang pacak. Ada bau bangkai; ada bau kegagalan;
ada jejak yang tersesat dan ada bayang-bayang hitam yang tak akan
henti menghantui diri yang terhambat.
Sebenarnya, ada sesuatu dalam diri kita yang tak pernah terbongkar.
Kita sering mendengar suara yang meronta-ronta mahu keluar dari
kepura-puraan ini tapi kita ragu, apakah kita punya banyak pilihan.
Kita cuba untuk tidak percaya hal ehwal yang merundung diri kita dan
pura-pura berlagak seperti segala-galanya berjalan lancar. Kita
bermain kucing-kucingan (hide and seek).Tapi kita sering lupa bahawa
untuk berkata 'tidak apa' adalah jalan pintas yang tidak sah. Kerana
kita adalah pemimpin dan pemimpin adalah bertanggungjawab di atas
bukan sahaja perbuatannya tetapi perbuatan mereka yang dipimpinnya.
|