Laman Webantu KM2A1: 3035 File Size: 21.9 Kb * |
Sejarah Royalti - Tun Salleh Abbas By Kapal Berita 20/10/2000 7:22 pm Fri |
Komentar: ANTARA HAK DAN TANGGUNJAWAB Kerajaan pusat cuba bermain dengan Hak dan Tanggungjawab.
Hak asal hasilbumi itu adalah kepunyaan kerajaan negeri.
Kerajaan Pusat hanyalah berkuasa di negeri yang dipanggil
Wilayah Persekutuan SAHAJA, seperti (K.L., Siberjaya, dan Labuan).
Namun ia bertanggungjawab menjaga keamanan seluruh negeri.
Ini tidak bermakna ia berhak terhadap hasil mahsul ke atas
seluruh negeri. Hak hasilbumi tersebut telah diserahkan kepada Petronas
melalui beberapa perjanjian. Ia tidak diserahkan begitu sahaja.
Ada syarat-syaratnya - iaitu yang empunya perlu dibayar royalti!
JANJI YANG BERSYARAT Bila Petronas menandatangani perjanjian itu, secara otomatis
ia mengakui ia tidak berhak menggerudi kekayaan dari perut
bumi negeri itu secara percuma. Itu namanya mencuri. Oleh
itu Petronas perlu membayar royalti (bukan ihsan) kepada
tuannya yang asal. Tuannya ialah kerajaan negeri yang memerintah,
tidak kira BN ataupun BA. Ini adalah perjanjian. Ini adalah
satu amanah. Jika ini dicabuli orang yang menodainya tidak
layak digelar "wira adijagat dunia ketiga". Sebaliknya beliau
lebih layak menerima satu panggilan khusus yang diberi oleh
Islam kepada mereka yang mencabuli hak dan memungkiri janji.
Iaitu hipokrit dan munafik.... itu sahajalah gelaran yang
lebih layak untuknya - dan tuhan tidak mengira siapa kah orangnya.
Sumber: Harakahdaily.com SEJARAH ROYALTI MINYAK TERENGGANU
Oleh Tun Salleh Abbas Malaysia mempunyai 13 buah negeri. Negeri-negeri yang merdeka ini
bukanlah negeri yang ditakluk atau dinaungi oleh kerajaan pusat di Kuala
Lumpur. Justeru setiap negeri mempunyai hak yang tersendiri, begitu juga
dengan kerajaan Pusat. Masing-masing pihak mempunyai kuasa mutlak mengenai perkara-perkara yang
merupakan hak mereka kerajaan negeri dalam perkara-perkara yang menjadi
hak negeri dan kerajaan pusat dalam perkara-perkara yang menjadi haknya.
Mana-mana pihak, baik negeri maupun pusat atau antara negeri-negeri,
tidak boleh campur tangan dalam apa-apa perkara yang menjadi hak pihak
yang lain. Pelanggaran atau campur tangan terhadap hak-hak ini, sama ada secara
tidak sengaja apatah lagi secara sengaja, adalah bertentangan dengan
undang-undang dan berlawanan dengan semangat federalisme yang merupakan
tonggak pembentukan negara Malaysia moden.
Mana-mana pihak, sama ada negeri atau pusat, yang mendapati hak-haknya
tidak dihormati, ditunaikan atau dilayani dengan cara yang layak, berhak
menentang pelanggaran hak tersebut dan menuntut ganti rugi akibat
pelanggaran tersebut. Ia juga, dari segi yang lain, bertanggungjawab kepada pihak yang
diwakilinya melakukan semua usaha bagi mendapatkan semula hak-haknya yang
telah "dicerobohi" itu. Masalah royalti petroleum Sebenarnya saya telah membuat kajian, bukan saja sebagai seorang peguam,
bahkan sebagai orang yang membuat draf semua akta yang berkaitan dengan
petroleum ini. Hari ini, kerajaan Pusat telah mencabar kita supaya membawa isu royalti
minyak ini ke mahkamah. Saya fikir mahkamah yang lebih layak dan lebih
adil untuk mengadili perkara ini adalah mahkamah rakyat, dengan tuan-tuan
sebagai hakimnya. Bukan mahkamah yang ada sekarang.
Kerajaan Pusat berkata bahawa negeri Terengganu tidak ada hak pada
royalti petroleum kerana, menurutnya, minyak yang didapati, diusahakan
dan diperolehi oleh Petronas itu terletak di pentas benua (continental
shelf). Menurut kerajaan Pusat, pentas benua itu adalah miliknya.
Dalam pada itu, kerajaan Pusat bersetuju untuk mengekalkan royalti minyak
kepada Sabah dan Sarawak, kerana, bagi kerajaan Pusat, Sabah dan Sarawak
merupakan dua kes yang berbeza. Ini jelas tidak benar. Sebagai yang dikatakan sebelum ini, pentas benua
adalah dasar laut yang bermula dari pantai negeri Terengganu atau pantai
mana-mana negeri sehingga ke satu tempat atau paras yang kedalaman
lautnya mencecah 200 meter. Ini boleh jadi dua batu atau 300 batu ke tengah laut asalkan dasar laut
negeri itu berasal atau bersambung dari paras pasang surut sesebuah
pantai sehinggalah sampai ke satu tempat atau garisan yang mana paras
dalamnya tidak lebih dari 200 meter. Di Malaysia, terdapat tiga Akta khusus yang berkaitan dengan isu ini;
Di dalam akta ini, iaitu akta dasar lautan dan juga akta melombong minyak, hak untuk mencari minyak, melombong atau mengeluarkan minyak adalah kepunyaan Malaysia. Tetapi kuasa untuk memberi lesen kepada firma-firma atau syarikat yang
terlibat dengan perlombongan atau pengeluaran minyak itu adalah kuasa
kerajaan Pusat. Perlu dijelaskan bahawa apabila disebut hak itu adalah hak Malaysia, ia
tidak bermaksud Kuala Lumpur. Malaysia yang dimaksudkan dalam akta-akta
ini ialah negara Malaysia yang dianggotai oleh 13 buah negeri, termasuk
Terengganu. Jikalau minyak itu diperolehi di negeri Pahang, Johor, Kelantan atau
mana-mana negeri lain, maka hak ke atas minyak itu adalah kepunyaan
negeri tersebut. Dalam pada itu, menurut akta-akta ini juga, terutamanya Akta Kemajuan
Petroleum 1974, kuasa untuk mentadbir hal ehwal minyak ini diberikan
kepada kerajaan Pusat. Kenapa begitu? Ini kerana, berdasarkan perlembagaan Persekutuan, yang menjadi
undang-undang dasar berkaitan perhubungan, hak dan tanggungjawab serta
kuasa-kuasa antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri, kedua-dua pihak
pusat dan negeri mempunyai bidang kuasa yang tertentu yang menjadi hak
mutlak masing-masing pihak. Dalam isu ini, walaupun tidak disebut persoalan minyak dalam
perlembagaan, namun tanggungjawab pengurusan dan pentadbiran minyak ini
difahami berdasarkan peruntukan perlembagaan yang mengatakan bahawa
kerajaan Pusat adalah berkuasa dalam hal ehwal urusan luar negera - iaitu
tanggungjawab mengawal perairan negara dari pencerobohan atau serangan
luar. Oleh sebab minyak diperolehi di tengah laut dan melibatkan undang-undang
antara bangsa, maka urusan pentadbirannya secara automatik difahami
sebagai tanggungjawab kerajaan Pusat.
Sekiranya terdapat negara asing yang mempersoal kegiatan pengeluaran
petroleum yang dijalankan dan mendakwa bahawa kawasan pencarian itu
adalah hak mereka, maka kerajaan Pusat, sebagai suatu tanggungjawab yang
ditentukan oleh perlembagaan, perlu bertindak, bagi pihak Malaysia dan
negeri yang terbabit, menentang dakwaan tersebut.
Contohnya ialah Kepulauan Spratly di Laut Cina Selatan. Kepulauan ini
dituntut oleh negara kita, Cina, Filipina dan juga Vietnam. Dalam konteks
pertikaian ini, pihak yang bertanggungjawab bercakap bagi pihak Malaysia
di forum dan perundingan antara bangsa ialah kerajaan Pusat.
ANTARA HAK DAN TANGGUNGJAWAB* Walaupun tanggungjawab pentadbiran dan perwakilan dalam kedua-dua kes
contoh di atas, minyak dan perairan, dipikul oleh kerajaan Pusat, namun
ia tidak memberi erti, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedua-duanya
merupakan hak kerajaan Pusat. Sebaliknya ia masih merupakan hak
negeri-negeri yang terbabit. Isu royalti minyak Terengganu yang sedang hangat dibicarakan sekarang,
merupakan suatu berita buruk bagi Malaysia amnya, vis-a-vis hubungan
kerajaan Pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Dalam isu ini, kerajaan Pusat dengan sewenang-wenang mencerobohi semangat
dan amalan federalisme, peruntukan undang-undang serta perjanjian
bertulis antara Terengganu dengan Petronas dengan mengubah perkataan
'royalti' kepada perkataan 'wang ihsan.'
DIKTATOR TUA MENUKAR JANJI (PERKATAAN) SEIKUT SUKA *
Dengan satu tindakan, kerajaan Pusat telah memaksa sebuah negeri yang
merupakan sebahagian daripada negara Malaysia, bertukar daripada sebuah
negeri yang berdaulat dan bebas (yang menyertai Persekutuan Malaysia
secara sukarela dan terhormat) kepada sebuah negeri peminta sedekah -
yang hanya layak diberikan 'ihsan,' bukan hak.
DIKTATOR TUA MENJAJAH SEIKUT SUKA *
Dengan perkataan lain, dengan tindakan ini, kerajaan Pusat secara terbuka
memaklumkan kepada dunia bahawa ia bersedia untuk 'menjajah' mana-mana
negeri dalam Persekutuan Malaysia yang diingininya, biarpun tindakan
tersebut berlawanan dengan perlembagaan negara dan kehendak rakyat.
Ini adalah kezaliman dan keterlanjuran yang amat jelek sekali.
Akta Kemajuan Petroleum 1974 Sebelum 1974 pernah berlaku pertelingkahan antara kerajaan negeri Sabah
dan Sarawak dengan kerajaan Pusat berhubung isu minyak ini. Kerajaan
Sarawak dan Sabah berkata bahawa petroleum yang diperolehi di perairan
Sabah dan Sarawak adalah kepunyaan mereka.
Pertelingkahan di antara Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak dengan
Allahyarham Tun Abdul Razak, yang pada masa itu mewakili kerajaan Pusat,
hampir-hampir menyebabkan Malaysia berpecah.
Dengan sebab itu, saya dan beberapa beberapa orang lagi (yang tidak dapat
disebut namanya di sini) telah membuat rancangan untuk mengekalkan
perpaduan dan memastikan Sabah dan Sarawak tidak terkeluar dari Malaysia.
Dengan takdir Allah SWT, semua pihak yang terlibat dengan pertikaian
tersebut bersetuju supaya Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang kami
kemukakan sebagai jalan penyelesaian diterima dan diluluskan.
Dari satu segi, akta inilah yang menyelesaikan perselisihan dan perbezaan
pandangan di antara Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak dengan
Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Di dalam akta ini disebutkan bahawa petroleum yang diperolehi di
mana-mana saja di Malaysia, sama ada di darat atau di laut, adalah
kepunyaan Malaysia. Mengikut akta itu juga, semua urusan pengelolaan petroleum ini akan
dipikul oleh sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan pada waktu itu.
Tegasnya, syarikat ini akan menerima keseluruhan serahan hak daripada
semua negeri-negeri yang ada di Malaysia.
Syarikat itu tidak lain tidak bukan ialah Petronas. Tanpa bertujuan untuk
berbangga-bangga, tangan inilah yang merangka dan menulis surat-suratan
mengenai pertubuhan dan kewujudan Petronas.
Ekoran perkembangan itu, berdasarkan perlembagaan negara dan mengikut
Akta Kemajuan Petroleum 1974, semua negeri di Malaysia telah membuat satu
surat penyerahan hak kepada Petronas mengenai semua hak milik ke atas
petroleum yang sedia ada atau mungkin ada, sama ada di dasar laut ataupun
darat, di negeri masing-masing. Negeri Terengganu turut sama menyerah hak ini kepada Petronas pada 22
April 1975. Surat penyerahan hak ini telah ditanda tangani bagi pihak
kerajaan negeri Terengganu oleh Menteri Besar yang berkuasa pada masa
itu. Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengerusi dan juga Ketua Eksekutif
Petronas ketika itu telah menerima penyerahan hak tersebut bagi pihak
syarikat berkenaan. Jadi dengan surat penyerahan itu, hak milik petroleum
bukanlah kepunyaan kerajaan Pusat, sebaliknya menjadi milik Petronas buat
selama-lamanya. SERAH DAN BAYAR* Penyerahan hak itu tidak boleh ditarik balik oleh mana-mana kerajaan di
mana-mana negeri sekalipun. Selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada
Malaysia, Petronaslah yang berhak ke atas minyak yang ditemui di negara
ini. Menurut akta ini juga, Petronas sebagai penerima hak milik minyak yang
ditemui di Malaysia diwajibkan membayar dalam bentuk royalti sejumlah
wang kepada negeri-negeri pemberi hak milik tadi.
Dengan sebab itu, jika Pahang ada minyak, maka negeri Pahanglah yang
berhak menerima royalti itu dan begitulah juga halnya dengan
negeri-negeri lain. Oleh sebab itu, dakwaan yang mengatakan bahawa pembayaran royalti kepada
Terengganu selama ini disebabkan oleh kehendak Tun Razak kerana
Terengganu miskin adalah tidak benar sama sekali.
Selain itu, Akta Kemajuan Petroleum 1974 juga sama sekali tidak menyebut
bahawa royalti itu hendaklah diberikan kepada negeri Terengganu atau
Sabah atau Sarawak sahaja. Sebaliknya, royalti turut diterima oleh
kerajaan Pusat. Allahyarham Tun Razak bersifat adil dalam hal ini. Beliau tidak mahu
membezakan di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di
Semenanjung khususnya. Sekiranya Sabah atau Sarawak mendapat royalti, maka negeri-negeri di
Semenanjung pun berhak mendapatnya melalui royalti yang diterima oleh
kerajaan Pusat. TUN RAZAK ADIL ORANGNYA Dakwaan yang mengatakan bahawa Tun Razak memberi royalti ini kepada
Terengganu kerana Terengganu miskin adalah pembohongan yang amat besar
dan segaligus memburuk-burukkan nama Tun Razak - seorang pemimpin negara
yang bagi saya merupakan seorang yang begitu adil dan berpandangan jauh.
Saya kenal Allahyarham Tun Razak kerana saya pernah bekerja dan rapat
dengan beliau. Malahan saya sering berbincang dengan beliau mengenai
banyak perkara, termasuklah isu minyak ini, isu undang-undang,
perlembagaan dan sebagainya. Dakwaan ini adalah dalih untuk mengabui mata dan mengelirukan fikiran
rakyat, kononnya Terengganu tidak berhak mendapat royalti minyak. Negeri
Terengganu mendapat royalti bukan kerana Tun Razak kata mesti beri kepada
Terangganu, tetapi kerana minyak didapati di Terengganu.
Sewaktu akta ini digubal, Tun Razak tidak tahu bahawa minyak akan
dijumpai di Terengganu. Minyak ditemui di Terengganu selepas undang-undang ini dibuat. Royalti
pertama yang diterima oleh Terengganu ialah pada tahun 1978, bukannya
1975 ketika undang-undang itu diluluskan.
Itulah bermulanya negeri Terangganu mendapat royalti, tetapi perjanjian
sudah dibuat pada tahun 1975. Akta Kemajuan Petroleum itu pula digubal
pada tahun 1974. Perjanjian mengenai royalti ditanda tangani pada 22 March 1975, iaitu
pada hari yang sama dengan hari penyerahan hak milik oleh kerajaan
Terengganu kepada Petronas. Perlu difahami bahawa semua negeri telah menandatangani perjanjian itu,
bukan negeri Terengganu sahaja. Pada tahun 1978 minyak ditemui di negeri
Terengganu, tetapi tidak didapati di negeri lain. Itulah sebabnya royalti
dibayar kepada kerajaan Terengganu. Bagaimanakah caranya royalti dihitung?
Ada lagi satu perjanjian yang ditanda tangani tahun 1987 yang menjelaskan
cara bagaimana mengira bayaran royalti. Perjanjian yang ini ditanda
tangani oleh Presiden Petronas ketika itu, iaitu Tan Sri Abdullah Salim -
seorang sahabat yang pernah bekerja dengan saya - dan Terengganu, oleh
Menteri Besarnya. Semenjak itu, negeri Terengganu mendapat 5 peratus royalti dan 5 peratus
lagi dibayar kepada kerajaan Pusat. Royalti minyak dan Terengganu Semenjak 1978 hingga 1999, kerajaan Terengganu telah menerima sejumlah
RM7 bilion sebagai royalti daripada Petronas. Untuk tahun 2000 ini,
setakat bulan Februari lalu, Terengganu telah menerima sejumlah RM432
juta daripada RM810 juta royalti. Malangnya, walaupun telah menerima royalti berjumlah RM7 bilion sejak
1978, kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan lama telah berhutang dengan
kerajaan Pusat sebanyak RM700 juta.
Ke manakah perginya wang sebanyak ini? Selain dibelanjakan untuk mengurus
pentadbiran, kebanyakan wang itu telah hilang akibat dilaburkan dalam
pasaran saham yang sentiasa turun naik dan juga dilaburkan dalam beberapa
buah syarikat yang semuanya sakit dan tidak berupaya untuk berjalan
dengan baik. Tiap-tiap kali mereka (syarikat) menghadapi masalah untuk menjalankan
perniagaan mereka, mereka tidak tidak pergi ke bank, tetapi pergi kepada
kerajaan Terengganu meminta supaya ditambahkan wang supaya boleh
beroperasi. Inilah caranya wang itu dibelanjakan sehingga wang itu sudah habis.
Dengan sebab itu kerajaan Terengganu sudah pula berhutang dengan kerajaan
pusat sebanyak RM700 juta. Sekarang apabila kerajaan Barisan Alternatif membelanjakan wang yang
diperolehi itu untuk kemaslahatan hidup rakyat seperti menghapuskan tol,
menghapuskan cukai pintu, menaikkan gaji imam dan ketua kampung dan juga
menghapuskan beberapa cukai lain untuk kemudahan rakyat, mereka kata
kerajaan Terengganu tidak tahu mengurus wang tersebut. Mereka menuduh
kerajaan BA sombong. Tetapi apakah yang telah mereka buat? Mereka, yang kononya pandai dan
telus, telah membelanjakan wang untuk melabur sehingga rugi. Mereka kata
mereka gunakan wang untuk kepentingan rakyat.
Betulkah begitu? Mereka hendak mengambil balik wang petroleum ini semata-mata untuk
menjatuhkan kerajaan yang ada ini. Mereka berbuat begitu supaya mereka
boleh berkata kerajaan BA miskin, kerajaan BA tidak ada wang dan kerajaan
BA tidak pandai memerintah. Inilah cogankata yang mereka guna sejak pilihan raya dulu.
Mereka sebenarnya takut. Mereka takut kalau-kalau kerajaan BA akan
benar-benar mengotakan janji yang mereka buat dalam pilihan raya dulu.
Mereka tahu jika ini berlaku, cara pemerintahan mereka yang boros dan
tidak telus itu akan terus ditolak rakyat untuk selama-lamanya. Jika ini
berlaku, mereka sedar bahawa harapan untuk mereka menguasai semula negeri
ini tidak akan ada lagi. Walau bagaimanapun, bagi BA, kita hanya meminta satu peluang untuk
memerintah dan membuktikan bahawa kita berupaya menawarkan pemerintahan
yang lebih baik kepada rakyat. Benarkanlah kita memerintah sekurang-kurang sampai empat tahun lagi tanpa
apa-apa gangguan yang tidak wajar dan tidak sah. Selepas itu tengoklah
pula sama ada rakyat berpuas hati dengan kami atau tidak.
Bagaimanakah cara yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Persekutuan
jika ia benar-benar hendak membatalkan royalti petroleum yang diterima
oleh kerajaan Terengganu? HAK DITARIK SECARA SAMSENG* Lazimnya, jika kita hendak mengambil hak seseorang, kita sendiri
hendaklah meulis surat kepada orang tersebut. Katakanlah, "ini bukan hak
kamu, ini pemberian ihsan saja. Sekarang aku hendak balik."
Ataupun kita berbincang dengan orang itu dan beritahu maksud kita. Kita
boleh ajak berbincang. Tetapi ini tidak! Tiba-tiba sahaja batal royalti.
Mereka langsung tidak memberitahu cara bagaimana royalti itu hendak
ditarik balik. Tidak juga diberitahu bagaimana Petronas hendak
melakukannya. Kita hanya tahu melalui surat khabar.
Akhirnya kita diberi satu surat. Selepas itu kerajaan Pusat telah
mengeluarkan satu kenyataan akhbar bertarikh 5 September tahun ini.
Sepatutnya kerajaan Pusat hantar surat itu kepada kita.
Mengikut undang-undang, ini terang-terang merupakan satu kesalahan.
Menurut undang-undang, jika kita hendak mengambil hak seseorang, hendak
membuat keputusan yang akan menjejaskan kedudukan ataupun hak seseorang,
kita mesti menuulis surat kepada dia, supaya kita dapat bezakan
hak-haknya yang hendak ditarik.
Tetapi ini langsung tidak dibuat. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ialah dengan membuat kenyataan
akhbar bahawa kerajaan Terengganu tidak berhak lagi menerima royalti
kerana royalti itu sebenarnya bayaran ihsan. Mereka sengaja tukar nama
royalti kepada ihsan. Wang yang diterima oleh Terengganu dari tahun 1978 hingga hari ini, kini
dipanggil wang ihsan. Walau apapun dakwaan kerajaan Pusat, wang tersebut adalah wang royalti.
Wang itu dipanggil royalti kerana wang itu wajib diberi Petronas sebagai
penerima hak milik minyak yang ditemui di negeri ini.
Royalti ialah satu bayaran yang mesti dibuat oleh penerima hak kepada
orang yang menyerah hak. Oleh kerana kerajaan Terengganu sebagai pemilik
hak yang menyerah hak itu kepada Petronas, maka bayaran itu wajib
dibayar. Dari segi amalan perniagaan ini adalah royalti.
Sebaliknya bayaran ihsan adalah bayaran belas kasihan sahaja, tanpa
apa-apa kewajipan ke atas pemberinya. Ia tidak mesti dibayar. Kalau
dibayar pun ia adalah bayaran sukarela. Nak bayar boleh, tak nak bayar
pun boleh. Banyak mana hendak bayar, mana dan bila masa hendak bayar pun
boleh. Seperti bersedekah. Dengan mengubah royalti kepada bayaran ihsan, mereka mendakwa negeri
Terengganu tidak berhak dibayar royalti dan bayaran yang dibayar sebelum
ini kononnya untuk berbuat baik terhadap kita atas dasar belas kasihan
mereka kerana kita kononnya miskin. Tetapi, seperti kata Menteri Besar kita, perkataan ihsan adalah perkataan
Arab yang bermaksud belas kasihan. Kalau kita hendak menyembelih lembu
kita gunakan pisau yang tajam kerana belas kasihan terhadap lembu itu
supaya ia tidak terlalu sakit apabila disembelih. Tetapi mereka
'menyembelih' kita bukan dengan pisau yang tajam, tetapi dengan tukul dan
mereka ketuk kepala kita. Inikah ihsan? Ini sebenarnya adalah azab yang telah dikenakan kepada
kita. Ini bukan bayaran ihsan, tetapi bayaran 'nazi' atau bayaran azab,
bayaran menyeksa. *Rencana ini ditajukkan untuk kembali untuk menekan beberapa isu.
|