Laman Webantu KM2A1: 2974 File Size: 4.7 Kb * |
Nasihat: Menulis Dengan Perasaan By Penulis Yang Berjurai 10/10/2000 7:17 pm Tue |
Saya panjangkan emel ini ke forum ini
untuk tatapan pembaca. Ia mengandungi sedikit
nasihat yang berguna, khususnya buat buat seorang
penulis tanah air yang tercinta. Surat ini dikirim kepada seorang pejuang yang
kurang sihat keadaan badannya semasa ia ditulis.
AWALKATA Pertamanya saya merasa bersyukur sdr sihat
semula untuk bersama keluarga, baik yang
terdekat, mahupun yang jauh dari pandangan mata
serta tidak dikenal paras rupa. MENULIS DENGAN PENUH PERASAAN Secara tidak langsung sdr sudah dapat "membaca"
sesuatu daripada tulisan saya tempoh hari.
Sdr merasakan saya menulis dengan iringan
perasaan. Malah merasa dekat walaupun kita
sebenarnya terpisah amat berjauhan. Tetapi
ada sesuatu yang mencantumkan dua insan yang
berlainan dan tidak berhampiran itu. Kasih
dan sayang umat Muhammad (saw) yang sehaluan
perjuangan yang di abadikan dalam rangkai kata
yang berwajah tulisan tidak mengenal batas
mahupun sempadan. Sakit di sana, disini pun
merasa. Bukankah itu amat ajaibnya? MENYELAM SERIBU RASA Di sinilah terletak beberapa kekuatan pena yang
menulis. Kita perlu melukis kisah dengan perasaan.
Menyelam rasa dan memamah isi pelbagai pengalaman yang
pilu itu dengan penuh perasaan. Kemudian setiap masam
dan manisnya itu diluahkan satu-persatu untuk dikirim
buat pembaca sebagai satu santapan minda yang penuh
dengan pelbagai lauk-pauk dan kuah yang bakal mengukir
senyum atau pun duka dibibir sesiapa yang menjamah
acuan hidangannya. MENGERTI MAKNA HIDUP Adalah amat sukar untuk mengarang kisah pilu dikala
kita sedang ketawa dibuai jenaka. Oleh itu kita
perlu menghayati setiap kisah yang ada, Bukankah
itu nama yang terukir pada nama pena saudara?
Malah nama itu, jika dikaji asal usulnya pula
menggambarkan betapa orang "tua"nya yang bertuah itu
amat mengharapkan simanjanya itu menjadi seorang insan
yang hidup dengan penuh makna, dan menghidupkan tiap
sesuatu yang disentuhnya. Setiap kali nama itu disebut,
dirasakan suatu semangat nafas baru mencelah dan
meredah kesunyian suasana. Bahkan penulis warkah ini
juga merasa bertuah dapat berutus dengan insan yang
serupa. Kerana banyak manusia hanya kelihatan hidup
bermain berkerja, tetapi mereka sebenarnya mati pada
hakikatnya. "Perumpamaan mereka yang mendirikan solat dengan mereka
yang meninggalkannya adalah umpama mereka yang hidup dengan
mereka yang mati" (hadis) MENULIS DENGAN PANCA INDERA Perasaan sahaja tidak cukup untuk melukis satu
kisah yang berlalu begitu sahaja. Ia hanya meninggalkan
habuk yang mudah menghilang ditiup bayu yang berlalu perlahan.
Sebaliknya jika ia diolah dengan kekayaan deria pandangan,
ribut yang lalu pun masih belum berkesan. Demikianlah
satu gambaran betapa hebatnya lukisan kata yang yang
dilakarkan oleh penulis yang melihat nasib bangsa
dengan semua panca indera yang ada. Akhirnya pembaca
terpegun hingga tidak terkata, hanya air mata menjadi
saksi betapa kehibaan yang digambarkan itu sudah
menusuk jauh ke dalam jiwa dan raganya.
BILA PENULIS MEMBUKA MATA Sebenarnya tidak sukar untuk menulis, apatah lagi
untuk seorang yang memang malang seperti budak
"forest gump". Dia memerlukan kekuatan tetapi ia
bukan kuasa fizikal yang terukur dari luar.
Sebaliknya ia tersembunyi begitu jauh di dalam.
Apabila sanubari dalam dirinya mula hidup dan
bergetaran akan terbukalah matanya untuk memerhati
gelagat alam dan keadaan. Sebab itulah tidak ramai
penulis dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya.
Ini adalah kerana pengalaman penderitaan itu hanya
hidup pada orang yang merasakannya sahaja.
PENUTUP When you start seeing things differently,
you can understand dan comprehend them.
A lot of people are reading but a few are
contemplating. Those secrets remain hidden until
they start digging. Ingatlah kadang-kadang malang dan kecacatan
itu membuatkan kita merasa. Apabila kita
merasa kita tersedar. Dan bila sedar, kita
akan dapat menyedarkan bangsa yang senasib pula,
walaupun malang itu lain dimensinya. Saya tamatkan emel ini di sini sahaja.
Mungkin di lain kali kita dapat bersama.
Semoga dilindungi tuhan senantiasa. Berjuanglah wahai wira bangsa. |