Laman Webantu KM2A1: 2953 File Size: 22.4 Kb * |
Siri 2 YTDT: Yang Terbang Pasti AKan Terbang Jua By Marhain Tua 6/10/2000 5:51 pm Fri |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Bab: 2 Belum pun sampai satu minggu sejak Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa dia mahu
menumpukan sebahagian besar perhatiannya terhadap kerja-kerja sebagai pemimpin agong
parti yang kini lebih dikenali sebaai UMNO Baru(a). Pengumuman itu disusuli pula dengan
kenyataan betapa gaji yang diterimanya itu amat jauh lebih rendah daripada yang
diterima oleh tokoh koporat (tentu juga mereka yang tergolong sebagai keparat) negara.
Kerana itu apabila Paklah berlepas ke London dan berucap di sana dan kemudiannya membuat
lawatan yang diberikan taraf persis lawatan perdana menteri ke Jepun; ramai di kalangan
rakyat memikirkan Mahathir sudah mula mahu menunjukkan sikap yang serius mentadbir
negara. Harapan rakyat itu semakin menjadi apabila di waktu yang sama Rafidah Aziz sibuk
di Amerika untuk mencari pelabur yang akhirnya pulang kabur kerana disabotaj oleh cerita
mengenai suasana pelabuan negara yang sebenar.
Kenyataan Mahathir itu dilakukan hanya beberapa hari sebelum menjelangnya satu majlis
Persidangan Panduan Haji di Hotel PGH "yang dihadiri oleh 52 negara termasuk 25 menteri
yang menjaga hal ehwal jemaah haji." "Hukum hudud tidak dapat dilaksanakan oleh kebanyakan negara Islam bukan kerana kita
menolak hukum itu tetapi kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya.
Misalnya untuk mendapatkan empat saksi bagi menghukum pesalah zina ataupun liwat. "
Soalnya sekarang, adakah perkara itu diambil kira oleh Mahathir semasa mentohmah Anwar
Ibrahim hingga membabitkan dua orang rakyat asing yang dikatakan telah diliwat oleh
beliau? Apakah Mahathir tidak sedikit pun merasa berdosa dengan segala fitnah yang
ditaburnya seluruh dunia mengenai kes Anwar itu sehinggakan dia sanggup berkata bahawa
sistem undang-undang dan kehakiman negara adalah bersih daripada segala tekanan
politik? Di majlis Panduan Haji yang perama kali diadakan di luar Arab Saudi itu, Mahathir telah
cuba menonjolkan satu perwatakan betapa Malaysia di bawah kepimpinanya adalah sebuah
negara Islam yang moden yang mampu memberikan kepimpinan dalam pelbagai bidang kepada
negara Islam yang lainnya. Sekaligus strategi itu diduplikasi pula oleh Paklah, Timbalan
Perdana Menteri yang bersuara lantang mengajak negara lain mempelajari kepintaran
Malaysia menguruskan Tabung Haji dan tentunya juga dana. Apa yang tidak disedari oleh dua
pemimpin terunggul Melayu UMNO masakini, kalau diambil kira tabungan orang Islam yang
telah melabur dalam Tabung Haji itu, sepatutnya banyak perusahaan besar di taraf global
telah mampu dibeli dan dipunyai oleh Lembaga Tabung Haji dan sekaligus melambangkan
kepunyaan orang Melayu dan Islam di negara ini. Tetapi, kerana wang tabungan yang
mencurah setiap bulan ke dalam tabung itu hanya dikendalikan mengikut rentak 'orang
atasan dalam parti' makanya kini Tabung Haji nampak gah pada bangunannya dan pada namanya
sahaja. Yang paling melucukan Tabung haji yang pada asalnya diilhamkan oleh pemikiran
Professor Diraja Ungku Abdul Aziz tidak pernah pun bersedia menawarkan jawatan Pengerusi
kepada Pak Ungku, kerana dasar kepimpinan Tabung Haji itu 'MESTI' dikendalikan oleh insan
yang rapat dan sanggup bersekongkol dengan 'Si Tua'. Alangkah aibnya Tabung Haji yang
menguruskan orang pergi haji dengan pesawat udara tidak pun memiliki sebiji pun kapal
terbang? Kalaulah pesawat terbang sudah mula dibeli sejak dua puluh tahun yang lalu untuk
kegunaan jemaah haji dan mereka yang mahu mengerjakan umrah, bukankah pesawat itu boleh
disewakan secara pajakan bermusim kepada MAS dan syarikat pengangkutan udara yang lain?
Yang arif mengenai bidang pemajakan pesawat udara akan mampu menjelaskan betapa ada dua
jenis sewa-pajak kapal terbang. Ada yang mengikut sistem 'dry-leasing' dan 'wet-leasing'.
Bezanya terletak apakah sewaan itu termasuk penggunaan anak kapal. Setiap muncul musim
haji, MAS di tahap awalan dulu telah diberikan tugas untuk mengangkut jemaah haji.
Tetapi, di kebelakangan ini sudah ada syarikat swasta yang dipunyai oleh anak kesayangan
'SIAPALAGI?' yang diberikan kontrak pengangkutan itu. Bayangkan, kalau Tabung Haji sudah
mempunyai pesawat udaranya sendiri bukankah kos mengerjakan haji itu satu kos yang
termampu oleh setiap insan yang beragama Islam di negara ini. Apabila selesai sahaja
musim haji itu bukankah pesawat yang sama boleh digunakan untuk mengangkut mereka yang
mahu mengerjakan umrah bukan sahaja di negara ini malahan di semua negara Islam yang
lainnya? Malahan kalau kita ambil iktibar bagaimana syarikat pelancongan Eropah
mengenalikan rencana pelancongan kepada rakyat marhaen di sana kita tentu mampu
memberikan kemudahan penerbangan khas kepada pekerja asing untuk pulang bersistem ke
Bangladesh, Pakistan, India dan juga beberapa negara di Afrika, di luar musim haji?
Kini, peluang Lembaga Tabung Haji memilikki pesawat udara sendiri, memang jauh panggang
daripada api kerana aset institusi itu yang banyak berbentuk saham yang dibeli dengan
harga yang terlalu tinggi satu ketika dulu, sudah menekan kecairan (liquidity) sebenar
institusi itu. Dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum, dana yang ada perlu
disiap-sediakan untuk digunakan oleh kerajaan bagi bayaran yang penting-penting sebagai
menutup malu keadaan kewangan yang sebenar. Jika tidak kerana masalah seperti ini adakah
kerajaan Malaysia berbincang dengan wakil negara Islam yang lain itu untuk memilikki
pesawat sendiri bagi tujuan ini? Sebenarnya kita boleh merasa kecewa kerana persidangan yang julung kali di adakan di
luar Arab Saudi itu tidak dipergunakan oleh kerajaan Mahathir untuk membincangkan
beberapa perkara yang lebih baik dan munasabah lagi untuk kepentingan dunia Islam khasnya
dan Malaysia amnya. Kita akan bincangkan beberapa perkara itu dalam tulisan yang akan
datang kerana kita akan mendedahkan betapa Malaysian telah menggunakan persidangan itu
semata-mata untuk menonjolkan UMNO dan kewibawaan kepimpinan yang ada. Sekaligus
persidangan itu dijadikan topeng untuk menonjolkan perwatakan individu tertentu yang
sudah kegersangan wajah polititiknya yang mampu menarik minat orang Melayu secara
keseluruhannya. Apabila ruang yang luas diberikan kepada lapuran puja-memuja yang
diberikan oleh pemimpin asing kepada Lembaga Tabung Haji sedangkan orang Islam negara ini
amat kecewa dengan prestasi lembaga itu, kita sudah nampak betapa persidangan itu
dijadikan alat untuk menonjolkan seorang dua dalam UMNO untuk tujuan politiknya.
Apakah agaknya yang dijawab oleh Hamid Othman, apabila ada wakil negara Arab yang
mengemukakan soalan seperti yang saya dengar ini: "Apakah hotel ini kepunyaan Lembaga
Tabung Haji? Ataupun "Kenapakah saudara galakkan Lembaga Tabung Haji mengadakan satu
persidangan Islam yang besar di sebuah tempat di mana terlalu banyak patung dibina?
Mungkin jua ada wakil yang kerap ke Malaysia mahu bertanya 'Kenapakah tidak diadakan
persidangan ini di bangunan kepunyaan orang Melayu (UMNO)'. Mungkin juga ada perwakilan
yang telah bertanya untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai dua negeri yang kini
ditadbir oleh parti politik yang dipengaruhi ajaran Islam.
Cubalah kita renungkan sendiri bagaimanakah kita mampu menonjolkan kewibawaan kita
kepada dunia Islam sedangkan di waktu persidangan itu berlangsung, kerajaan pusat yang
berpaksikan Islam dan budaya Melayu telah menukar tafsiran royalti minyak menjadi tabung
ehsan? Bagaimana pula dengan hak rakyat Negeri Kelantan yang majoritinya beragama Islam
kerana mereka ditidakkan kepada hak royalti gas yang disalurkan ke Thailand? Kita tidak
payah menggunakan pendekatan pendidikan Islam untuk membuat rumusan bahawa gelagat
kerajaan pusat mendera kerajaan Islam Terengganu dan Kelantan adalah satu pengaiban di
sisi kacamata ajaran Islam. Bagaimana pula dengan kenyataan dan pengakuan Paklah yang dibuatnya terhadap pembabitan
pihak polis dan pegawai tinggi kerajaan yang majoritinya beragama Islam bersekongkol
dengan tuanpunya perusahaan mesin video haram yang bersifat judi? Mungkin ianya satu
kebetulan (coincidence) kempen menghapuskan pusat video-judi haram dilakukan dan diberi
lapuran meluas di muka depan akhbar ketika itu. Tetapi, soalan yang dikemukakan oleh para
wakil negara Islam itu sudah mampu memperlekehkan perwatakan para pemimpin Islam negara
ini. Adalah amat dikesalkan, Malaysia yang dipilih untuk pertama kalinya menjadi tuanrumah
satu persidangan yang selama ini dikendalikan di Arab Saudi telah mempolitikkan
persidangan itu untuk tujuan UMNO dan segelintir orang Melayu yang rakus dalam parti itu.
Pendapat ini bukannya satu tohmahan tetapi adalah hasil satu penganalisaan yang dapat
kita bincangkan bersama. Di dalam hal ini kita boleh ambil kira apa yang berlaku di
London sekarang ini. Sebaik sahaja pablisiti meluas diberikan kepada Persidangan Panduan Haji Pertama
(sepatutnya ditambah dengan perkataan 'Di Luar Arab Saudi') , media massa kepunyaan
UMNO telah sibuk dengan ucapan Mahathir di London. Dia telah menghadiri apa yang
dikatakan 'satu persidangan antarabangsa di London dan memberikan ucaptama mengenai
'JIHAD'. Sungguh hebat laporan yang dikeluarkan kerana persidangan itu dipelopori bersama
oleh ASLI yang dipunyai oleh anak 'SIAPALAGI?' Persidangan itu dihadiri oleh 100
perwakilan daripada 20 institusi Islam di Britain. Fuuh...! Hebat Mahathir, kerana dalam
kata aluan pengerusi majlis Mahathir ditonjolkan sebagai pemimpin berwawasan yang telah
memperkenalkan sistem perbankan Islam dan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa.
Ternyata, pengerusi upacara majlis membaca skrip yang ditulis oleh orang Malaysia kerana
dia tidak pun membaca satu ayat penting yang sengaja tidak tertulis di situ. Ayat itu
sepatutnya berbunyi: Sistem perbankan Islam dan universiti Islam antarabangsa adalah dua
institusi yang diwujudkan dengan usaha tungkus-lumus seorang insan yang kini terpenjara
oleh Mahathir!!!!! Mungkin juga kalau bercerita mengenai Universiti Islam itu pengerusi terbabit sepatutnya
menceritakan sedikit mengenai Universiti Islam Antarabangsa yang kini dipengerusikan oleh
seorang bajingan politik yang sanggup memukul orang lain semata-mata mahu menunjukkan
kesamsengannya. Kerana buruk laku itu dia hanya didenda sahaja tanpa ada perasaan rendah
diri (daripadanya) untuk menyesal akan perbuatannya itu dan meminta maaf kepada mangsanya.
"Datuk Seri Dr. Mahathir berkata, jihad sebenar bagi umat Islam pada alaf baru ialah membina sebuah negara Islam yang mantap dalam pentadbiran dan stabil dalam semua bidang lain, termasuk politik. Perdana menteri sebaliknya menegaskan, jihad bukan bermakna bermusuh sesama Islam, iaitu satu tafsiran yang sering digunakan sesetengah pihak dalam politik untuk kepentingan sendiri. 'Kita percaya kalau kita dapat membina sebuah negara Islam yang rasional, cekap dalam
pentadbiran sains dan teknologi, perdagangan dan industri, sosial dan agama, kita dapat
mengemukakan wajah sebenar Islam. Inilah jihad kita," katanya.
"Sehubungan itu beliau meminta umat Islam supaya tidak terpesong dengan tafsiran jihad
seperti yang dicanangkan sesetengah pihak yang berkepentingan politik.
'Orang Islam menggunakan pelbagai alasan untuk berjihad. Mereka
tidak pernah memikirkan sejauh mana kukuhnya perjuangan mereka
yang hanya melemahkan negara sendiri. Bagi mereka ini perkara
terpenting ialah bersedia berperang dan mati syahid dan mendapat satu
tempat di syurga.' "Perdana Menteri berkata, sejarah menunjukkan kontroversi agama hanya menyebabkan
kemunduran sesebuah negara Islam yang cuba mempertahankan diri menerusi ilmu pengetahuan.
Beliau memberi contoh bagaimana dasar PAS mengkafir kerajaan Barisan Nasional pimpinan
UMNO menyebabkan percakaran sesama umat Islam dan pergerakan al_Maunah yang
menyelewengkan tafsiran jihad. ' 'Kumpulan al-Maunah yang baru-baru ini cuba melakukan
pemberontakan brsenjata bagi menggulingkan kerajaan adalah pergerakan serpihan sebuah
parti Islam dan mereka percaya kerajaan kafir mesti digulingkan menerusi kekerasan. Oleh
kerana umat Islam terlalu sibuk dengan perbahasan yang tidak habis-habis, negara menjadi
mundur dan umat Islam ketinggalan berbanding orang bukan Islam. Apabila era perindustrian
tiba, kita tidak langsung menyedarinya hingga tidak cuba berubah dan mengambil peluang
daripadanya untuk mengekalkan pembangunan. Sekarang kita dapati mereka sudah memasuki era
teknologi maklumat. Kini, kita tidak dapat bersembunyi di sebalik sempadan, manghalang
aliran masuk modal, perniagan dan maklumat," kata Dr. Mahahtir.
'Pemimpin bukan Islam di Malaysia tidak menentang kami kerana kami menunjukkan bahawa kerajaan islam boleh berlaku adil kepada kaum bukan Islam tanpa melanggar ajaran Islam. Kami berharap dapat menunjukkan sedikit sebanyak kepada orang Islam dan negara Islam laluan terbaik kepada kebangkitan Islam. Kami berharap, kejayaan kecil kami diiktiraf dan digunakan sebagai model." Fulamak...!!! Dari segi teks memang cantik sekali ucapan itu. Ia memperagakan iltizam
seorang pemimpin Islam unggulan (he..he..he) yang memimpin sebuah parti berpaksikan
ajaran Islam di tengah-tengah satu suasana yang mengancam (hostile environment - satu
modal usang Mahathir juga !) sehinggakan dia mampu mendirikan satu kerajaan yang bersih
lagi bersih, kuat lagi kuat dan bermacam lagi megikut suka hati tafsiran dia, sehinggakan
kerajaannya itu harus diiktiraf dan digunakan sebagai model. Inilah kepintaran Mahathir.
Dia memang pandai berbohong besar di negara orang sehinggakan tergamak mengaibkan bangsa
sendiri. Menepuk Air Di Dulang Gelagat Mahathir memburukkan parti pembangkang di negaranya sendiri adalah satu sikap
yang memang sudah lama diamalkannya. Di New York dulu dia pernah menceritakan kepada
sidang akhbar betapa "adanya golongan yang sanggup membuang peti-sejuk, TV dan radio
kerana terlalu taksub kepada ajaran Islam yang songsang" Kini dia mendedahkan lagi
pekong di dada terhadap orang Melayu; satu bangsa yang sama dengan ibunya dan juga
isterinya. Dia memperlekehkan bangsanya sendiri dengan menggunakan Islam sebagai
pemangkinnya. Kita tidak perlu menganalisa corak jihad yang mahu ditonjolkannya, kerana sikapnya
memburukkan darah dagingnya sendiri atas nama menonjolkan kewibawaannya. Kebiadaban
Mahathir ini sudah cukup untuk kita menumpulkan sebarang usaha untuk menganalisa
fikirannya itu. Sudah semakin terserlah kini bagaimana beliau sudah semakin kehilangan
kebijaksanannya itu. Dia sanggup menuduh al-Maunah sebagai kumpulan yang cuba melakukan
pemberontakan bersenjata sedangkan perkara itu belum disahkan lagi oleh mahkamah. Dia
sanggup menuduh al-Maunah sebagai kumpulan serpihan parti politik PAS sedangkan semua
rakyat tahu bahawa al-Maunah adalah satu kumpulan yang melakonkan satu sandiwara yang
skripnya diolah oleh orang yang bukan mempunyai keahlian PAS. Dia mengungkit isu
kafir-mengkafir kerana dia tahu itulah isu yang menarik minat orang yang bukan Islam dan
media massa global. Sedangkan dia sendiri tahu isu itu mula tercetus tiga pemilu yang
lalu di mana dia masih mampu memegang tampuk pemerintahan kerajaan pusat sehingga kini.
Mahathir telah berada terlalu lama di mercu kepiminan negara, baik sebagai seorang
diktator kerajaan yang memerintah mahupun sebagai diktator parti UMNO. Dia tidak boleh
berubah sikap begitu sahaja seperti yang cuba dilakonkannya. Segala usaha yang dilakukan
kini adalah bertujuan untuk memberitahu dunia apakah tindakan selanjutnya di Malaysia.
Dia tahu, dia tidak mempunyai tempat lagi di pentas dunia. London adalah satu tempat
yang terakhir untuknya berdiri bebas tanpa memikirkan gangguan besar. Satu ketika dulu
dia mempunyai pengaruh yang mudah dipuji di Jepun. Tetapi, usaha yang dilakukan oleh
isteri bekas Duta Amerika di Malaysia (berbangsa Jepun) telah mencelikkan mata orang
Jepun. Kerana itu Mahathir cuba menguji keadaan di sana dengan menghantar Paklah berucap
di hadapan kumpulan 'KEIDNREN' (satu kumpulan elit peniaga Jepun).
Terbangnya Impian Rakus Mahathir sudah mula sedar betapa tarikh luputnya seudah semakin meggamit tubuhnya. Dia
sendiri sedar banyak wang rakyat yang telah terbang bersama dengan segala projek mega
yang membazir itu. Satu ketika dulu dia berlagak sakan seantero dunia mengembar-gemburkan
projek mega itu. Dunia yang lebih pintar darinya senyap di hadapannya sambil tersenyum.
Tetapi, di dalam hati mereka, tercetus ketawa besar akan kebodohannya. Di manakah lagi
pentas luar negara untuk Mahathir berlagak sakan? Dia amat faham akan kepincangan ini.
Kerana itu usaha dilakukan untuk berbelanja besar di London dan Britain untuk beliau
menonjolkan mukanya. Persidangan Britain-Malaysia Ketiga menjadi modal yang paling baik
yang mesti dipergunakannya. Bayangkan terdapat 60 pemimpin koperat di London kali ini,
semata-mata untuk menghadiri majlis yang tidak banyak maknanya. Mereka berbelanja besar
akan duit syarikat sedangkan pemegang saham mengharapkan mereka berjimat cermat dalam
menangani keadaan ekonomi yang meleset ini. Bayangkanlah kalau semua perbelanjaan yang
dihamburkan masakini di London oleh Mahathir dan juga semua para juaknya, berapakah
belanjanya yang boleh diagihkan kepada mangsa banjir yang mengalami nasib teruk di
seluruh negara masakini? Apakah kerana Mahathir akan terus berlagak sebagai pemimpin
ulung Malaysia di dalam dua abad itu makanya segala gambar mengenai mangas banjir tidak
pernah ditunjukkan secara jelas di TV dan akhbar kerajaan masakini? Apakah sebarang usaha
menyelamatkan masyarakat marhaen yang sentiasa diserang banjir bukan dikira sebagai
jihad? Kalau Mahathir memang serius untuk berjihad, Malaysia sudah mampu melakar satu sistem
bagaimana pendatang asing mampu bekerja di negara ini dengan sah dan pulang ke negara
mereka setiap dua tahun dengan sah juga. Tentu tidak banyak bangunan pencakar langit yang
kosong tanpa disewakan selain menjadi pusara konkrit yang menyemadikan jasad pendatang
haram ini yang mati kerana kemalangan sewaktu bekerja. Tentu sekali Allah tidak
menurunkan pelbagai bentuk musibah ke negara ini secara bersiri dan bersilih ganti.
Jihad apakah yang patut dijadikan model oleh Mahathir kepada dunia luar kalau majoriti
rakyat Malaysia masih lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati, sambil berdoa
kepada Illahi, agar si diktator tua itu cepat pergi?
-Marhaintua- |