Laman Webantu KM2A1: 2947 File Size: 6.2 Kb * |
Bingkisan Buat Seorang Pejuang By PenulisYang Berjurai 5/10/2000 10:46 am Thu |
Surat ini adalah satu emel yang baru saya kirimkan
buat seorang teman, seorang penulis yang hebat juga
tetapi gugup sedikit sehingga ia mengalahkan
kehebatan lakaran penanya pula. Memandangkan isinya bercorak nasihat, mungkin elok
dipanjangkan ke forum ini juga. Ia diubah suai
sedikit untuk tatapan pembaca. Saya masih kurang sihat, jadi terpaksa berehat
berkerja sedikit. Saya manfaatkan rehat yang
tidak seberapa itu untuk melukis coretan sebelum
waktu terlapang itu pergi menghilang.
Kasihan juga saya pada sdr bila membaca kisah
sdr itu. Belum pernah seorang penulis terpitam
dan demam selepas tulisannya tersiar di laman
kecil itu. Oleh itu saya terbangkan emel ini untuk
mengubat sedikit resah yang merisaukan tuannya.
Semoga ia dapat merobah sedikit gangguan dan
rasa gemuruh yang menghantui perasaan.
Saya dapat membayangkan sdr seperti memaksa diri
untuk menulis. Iklim sebegini kurang sesuai untuk
melakar hujah. Sebab itulah tuannya terasa kurang
selesa. Nasihat ini memang ingin saya layarkan
dalam emel terdahulu tetapi demam pula menggangu.
Biarkan penulisan itu muncul mengikut kehendak dan
kerelaan semulajadi. Nanti ia lebih berisi dan
tercatat seribu arti. Kekuatan menulis kita belum
hebat lagi untuk menulis secara berterusan atau
berkala setiap minggu atau setiap hari. Hanya
orang-orang tertentu yang berpengalaman sahaja
mampu menulis beracap kali. (Catatkan sahaja semua point yang terlintas
difikiran dahulu. Apabila lapang dan senang,
cuba cantumkan ia menjadi karangan. Ilham
untuk mencantumkan ini mungkin tidak ujud diwaktu
siang yang sibuk dengan urusan - tetapi ia
mungkin datang bertali-arus di kala aman
atau di saat kesepian...) Kita tidak boleh menjadi penulis dengan satu
dua rencana sahaja. Kita perlu banyak mencuba
untuk menimba pengalaman. Penulisan yang hebat
tidak ujud dengan satu tulisan yang terlakar
dalam satu hari sahaja. "The Roman Empire was not built in one single day."
Budak kecil kalau diajar berjalan, lama-lama
pandai juga. Ia perlu jatuh beberapa ketika sebelum
ia dapat berjalan dengan baik tanpa bantuan ibunya.
Untuk itu kita jangan merasa kecil hati. Kita perlu
belajar dan cuba berjalan - kemudian barulah kita
boleh berlari. Cerita Forest Gump (menang award kan?) itu patut
dijadikan satu bingkisan untuk membina semangat
di dalam diri. Budak yang malang itu cuba berlari
walaupun ada kecacatan di kakinya. Kekuatan semangatnya
itu menyebabkan penahan kakinya itu berkecai dan dia
akhirnya dapat berlari sepuas hati membebaskan diri
dari ejekan manusia dan perasaan hina diri yang
menghantui dirinya sendiri. Jika budak sekecil itu boleh membebaskan dirinya,
mengapakah satu bangsa yang kaya dengan pelbagai
sejarah gemilang dan kepahlawanannya masih belum
dapat berlari?. Siapakah yang mengikat mereka selama
ini?. Adakah orang lain atau diri mereka sendiri?
MENULIS DENGAN PERASAAN DAN SIFAT
Manusia yang tidak menunjukkan satu tindakbalas
yang positif selalunya sukar mencari teman.
Begitu juga dengana alam penulisan. Sebenarnya di sinilah terletak beberapa
pukulan 'maut' penulis yang boleh membuatkan
para pembaca terpegun atau ternganga olehnya.
Setiap objek diberikan sifat untuk menghidupkan
wataknya. Maka lahirlah ungkapan "menggeleng
beberapa kali", "menggoyang kaki", "berkerut dahi",
dll expression yang sengaja diselit oleh penulis
untuk memberi satu gambaran yang boleh memukau pembaca.
Jika sdr berkerja dalam pejabat yang ramai
kakitangannya, gelagat manusia disekeliling sdr
itu sudah cukup untuk dicatat buat cerita.
Rekodkan pergerakkan spontan mereka sebagai
satu idea dalam penulisan sdr. Gelagat manusia mengetuk meja, bersiul-siul,
memicit dahi atau mundar mandir sana sini, dll lagi
itu amat berguna jika disumbat kedalam rencana sdr.
Ia akan membuatkan pembaca terpesona dengan ketajaman
dan lukiran rakaman deria mata. (mungkin sambung dalam emel seterusnya....
nanti emel ini panjang sangat pula.) MENGENANG CERPEN SILAM Sebelum diakhiri emel ini, rasanya tidak lengkap
jika tidak diceritakan sedikit celoteh cerpen
silam sewaktu di tingkatan lima itu. Jika tarikh
cerpen itu disiarkan, tentunya usia pengarangnya
dapat diukur dengan mudah..... memadailah kalau
saya katakan ia ditulis di sekitar tahun lapan
atau sembilan pulohan. Untuk pengetahuan sdr, saya tiada mempelajari
sebarang ilmu sastera, oleh itu semua nasihat yang
terlakar itu adalah bingkisan pengalaman yang
mengajar serta diambil iktibar. Seperti yang
saya nyatakan sebelumnya - saya pada awalnya bukan
seorang penulis. Malah saya mengikuti jurusan sains
seperti sdr itu juga. Karya yang paling saya minati ialah satu cerita
yang menyayat hati yang ditulis oleh sasterawan
negara, ia bertajuk "Ranjau Sepanjang Jalan" -
siapa lagi pengarangnya jika tidak Prof. Shahnon
Ahmad. Saya menangis membacanya - demikianlah satu
kekuatan pena yang amat dahsyat ketajamannya.
Ia mampu menukar diri saya yang amat diam ini
untuk melakukan sesuatu. Ia bermula berpuloh
tahun lalu dan kekal menjiwai diri walau sekian
lama berlalu. Kekuatan pena seperti inilah yang
mengajar saya untuk berjuang di alam maya yang
penuh sayu dan pelbagai kenangan pilu....
|