Laman Webantu KM2A1: 2939 File Size: 29.1 Kb * |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai (Prolog) By Marhain Tua 4/10/2000 6:50 am Wed |
Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai
Apabila saya tamat menyiapkan Bab-30 dalam "Siri Kalau Tak Larat Bersilat
Elok Lagi Bersila", saya fikir eloklah mengambil masa yang panjang untuk
menulis bab penutup siri itu dalam bentuk satu epilog. Saya perlu
membaca kembali 30 bab yang ada dan membuat rumusan beberapa halaman dengan
mencoretkan sedikit penjelasan ke atas beberapa idea yang terpetik ketika
menulis siri tersebut. Ramai peminat yang menulis dalam pelbagai perkara. Ada yang mahu saya
percepatkan tulisan epilog itu. Ada yang mahu saya teruskan siri tersebut
sedangkan ramai yang memberi pelbagai lagi idea sebagai bahan penulisan.
Untuk mengelakkan perkara remeh-temeh berpanjangan:
Jikalau kita lihat keadaan hidup rakyat Malaysia sekarang ini dan bandingkan
dengan keadaan selepas tercapainya kemerdekaan dulu, memang kita harus akui
betapa banyaknya liku-liku hidup yang telah diharungi oleh bangsa kita untuk
sampai ke tahap kehidupan yang ada. Inilah yang dikatakan kemajuan dan ini
jua yang ditakrifkan sebagai pembangunan hayat. Namun, perbezaan yang amat
ketara itu tidak jua merobah sikap masyarakat untuk mengejar apa yang
dikatakan sebagai kebahagian, kerana kebahagian untuk hidup itu difikirkan
harus mampu memberikan keselesaan ke atas segala-galanya, sehinggakan ramai
di kalangan masyarakat itu yang tersilap arah untk memahami apakah
sebenarnya satu kebahagiaan. Impaknya, ada yang terus merana sehingga ke
hari tua dan ada yang tidak dapat untuk terus hidup selesa seperti yang
diimpikannya. Jikalau kita ambil sejarah kemerdekaan Malaysia dan kepimpinannya, kita
dapati rakyat negara ini sudah menghirup angin kemerdekaan selama 43 tahun.
Daripada tempoh ini, dua puluh tahun telah dihabiskan untuk hidup mengikut
rentak kepimpinan seorang insan yang bernama Mahathir bin Mohammad. Mereka
yang hidup lebih awal dan lahir sebelum kemerdekaan, tentu telah mengalami
satu proses kehidupan yang panjang sehingga mampu berkata: betapa perubahan
diidamkan. Di kalangan orang Melayu, kalau ada pun segelintir insan yang
mengaku betapa keadaan hidup kini adalah menepati idamannya, kumpulan insan
seperti itu boleh digolongkan sebagai mereka yang berjaya dan yang harus
menjadi bahan rujukan bagaimana mereka mencapai taraf itu. Rujukan
menyeluruh itu penting kerana kita telah lihat bagaimana seorang guru yang
memukul kompang di zaman mudanya boleh menjadi jutawan dalam satu masa yang
singkat kerana dia menjadi seorang wakil rakyat. Kita juga telah melihat
bagaimana kekayaan menghambat seorang menteri besar yang satu ketika dulu
susah hidupnya. Kalau dikira akan pendapatannya sebagai menteri besar itu
tentu kita hairan bagaimana dia mampu membawa keluar sejumlah wang yang
tidak setara dengan pendapatan bulanannya.
Contoh yang disebut di sini merupakan segelintir contoh yang menjijikkan
tetapi inilah yang merupakan racun berbisa yang telah mengabui minda rakyat
di negara ini terutama sekali orang Melayu sehingga rakyat Malaysia secara
keseluruhannya dipandang oleh orang asing sebagai satu bangsa (Malaysian)
yang sungguh korup dan amat gemar kepada serba serbi yang bersangkutan
dengan amalan korupsi. Yang sebetulnya amalan hidup penuh bergelumang amlan
korupsi itu berlaku setakat ahli politik yang menjadi komponen Barisan
Nasional secara jelasnya. Secara jelasnya pula kalau dilihat akan apa yang diucapkan oleh Perdana
Menteri Mahathir Mohammad sejak dia memegang kuasa, sikap memerangi korupsi
itu merupakan satu amalan yang utama dalam pentadbirannya. Konsep "Bersih,
Cekap dan Amanah" merupakan cogankata utama yang dilaungkannya sebaik sahaja
dia memegang kuasa. Tetapi, apakah jadinya? Dua puluh tahun kemudiannya, kita
dapat lihat, yang 'bersih' itu ialah segala khazanah negara yang dibalunnya
untuk memuaskan nafsu serakahnya. Yang 'cekap' itu ialah cara dia menangani
segala projek mega ang mampu membelakangkan keizinan rakyat yang
melantiknya sebagai seorang pemimpin. Yang 'amanah' pula tentunya berhubung
kait dengan cara dia melakukan songlapan sehinggakan rakyat jelata tidak
sedar sesuatu songlapan itu sudah pun dilakukan.
Antara Yang Pelik dan Ajaib Generasi yang akan datang yang sudah pasti mengkaji sejarah silam akan
bertanya bagaimana sebuah negara kaya seperti Malaysia ini mampu menjadi
satu negara yang merempat dan melata disebabkan beban hutang yang sungguh
besar, sedangkan Allah telah mengurniakan segala jenis sumber kekayaan yang
mampu menjadikannya sebuah negara Islam yang terkaya di dunia? Kenapakah
Malaysia tidak menjadi satu negara yang digeruni oleh dunia dan diambil
kira sebagai Kumpulan G-7++, sedangkan Malaysia mempunyai segala kriteria
untuk menjadi kuat dan berkuasa? Bukankah Malaysia merupakan sebuah negara
'kawah menggelegak' (melting pot) di mana tamaddun dunia yang lebih matang
daripada tamaddun Eropah dan Amerika (yakni budaya Arab, India Farsi, China
mampu berinteraksi dengan budaya dan tamaddun Melayu ? Kalau diambil kira
akan tamaddun orang Cina dan India dan dikira pula sikap toleransi dan
mudah-mesra budaya dan tamaddun Melayu, Malaysia sepatutnya sudah mampu
berdiri tegak seiring jalan dengan apa yang disebut sebagai kuasa besar yang
menjadi ahli G-7 sekarang ini. Apakah kita masih tidak sedar, bahawa
penjajahan negara oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan 'Bintang
Tiga' adalah penjajahan fizikal yang membawa banyak khazanah tamaddun dunia
ke rantau ini untuk diselidikki dan diserap ke dalam tamaddun Melayu moden?
Bagaimana pula dengan peradaban Islam, Arab, Farsi, Hindu-Pak, Cina dan
India? Bukankah semua ini satu tangkal yang besar yang sepatutnya menjadi
azimat untuk bangsa Malaysia menjadi satu bangsa yang besar dan gagah di
dunia ini? Kalau kita lihat apa yang berlaku sejak satu ratus tahun yang lalu, kita
dapati Malaysia tidak pernah terlepas peluang untuk menguasai dunia kerana
harga dagangan yang tinggi berlaku secara menyeluruh sedangkan barangan itu
ada di Malaysia. Rempah-ratus dan damar telah menjadikan Melaka sebuah
kerajaan yang dihormati oleh dunia, kemudian muncul getah asli, bijih, koko,
kelapa sawit, minyak dan selepas ini banyak lagi sumber asli ataupun
barangan yang mudah diperdapatkan di negara ini yangn membuatkan negara
menjadi pusat tarikan di mana seluruh dunia akan menagih simpatinya. Yang
lebih penting sekali, inilah sebuah negara yang kosmopolitan di mana
kebanyakan keluarga yang merupakan pelbagai kaum dan agama itu mempunyai
pertalian darah melalui perkahwinan ataupun semangat kejiranan ataupun
pertalian anak angkat yang berlaku di masa silam.
Ciri kemospolitan yang begitu lama terjalin telah mampu menepis episod Mei
13 1969, yang tercetus kerana berlakunya putar belit politik oleh golongan
yang rakuskan kuasa. Keupayaan rakyat marhain menangani episod itu dalam
satu masa yang singkat adalah menakjubkan kerana pemimpin UMNO sehingga
kini, masih lagi menggunakan kemelut Mei 13 itu sebagai satu kayu ukuran
untuk mengingatkan orang Melayu agar terus menyokong perjuangan UMNO
sedangkan perjuangan UMNO itu sudah lama berkecai dengan pembubarannya. Yang
tinggal ialah UMNO (Baru) yang ramai orang Melayu kini suka menyebutnya
sebagai UMNO Barua. Satu ketika dulu tragedi Mei 13 adalah satu bab sejarah yang dianggap
keramat oleh UMNO kerana ia mampu menjatuhkan seorang perdana menteri yang
merupakan Bapa Kemerdekaan Negara. Tunku Abdul Rahman sebagai anak raja
yang berjuang secara bergadai-golok untuk mengongkosi tambang dan keperluan
missi perunding Malaysia ke London dulu telah mampu mendapatkan kemerdekaan
untuk Malaysia sebagai penamat kepada satu tahap perjuangan orang Melayu
yang berjuang mati-matian mempertahankan negaranya dari penjajah dulu.
Tunku disanjung oleh orang Melayu kerana orang Melayu marhain yang merana
sekian lama sebelum itu telah berkorban nyawa untuk menentukan Persekutuan
Tanah Melayu tidak mudah dikotak-katikkan oleh British, walaupun golongan
istana telah lama menerima British sebagai penasihat mereka. Semangat
perjuangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu telah diduplikasi oleh
masyarakat Melayu di Sabah dan Sarawak sehinggakan British yang menjajah
tidak mampu berbuat kerenah secara berlebihan. Di atas semangat juang orang
Melayu yang bertarung nyawa itu makanya terbina satu masyarakat Melayu yang
toleran terhadap budaya orang lain, mudah mesra dengan setiap tamu yang
mendatang, mudah menerima ajaran baru yang difikirkan dapat membangunkan
masyarakatnya dan menerima pakai setiap kata yang dihamburkan oleh mereka
yang telah dilantik sebagai pemimpin bangsa. Inilah ciri-ciri kekuatan
orang Melayu yang seperti bahagian lonjong setiap rantai yang mampu menjadi
titik penyambung di antara satu dengan lainnya. Seperti juga dengan ciri
yang terdapat di rantai yang bersambung itu, inilah juga titik kelemahan
masyarakat Melayu itu sebenarnya.
Nama yang disebut itu tadi adalah manusia yang satu ketika dulu menjadi nama
yang popular di tahap awalan kuasa mereka, tetapi menjadi nama yang dibenci
oleh bangsanya kerana membuatkan negara mereka hancur kemuflisan dan
rakyatnya merempat di merata dunia. Keunikan yang lagi satu, terletak kepada cara kegemilangan bangsa yang
tertekan disebabkan kerakusan pemimpin unggul itu akhirnya mampu bangkit
kembali untuk menjadi satu bangsa yang besar. Cuma yang disangsikan
bagaimanakah kebangkitan itu akan berlaku dan berapa lama pula zaman
transisi yang terpaksa dilalui oleh sesuatu bangsa itu sebelum menggapai
pentas kegemilangan yang diidamkannya ?
Jarman dan Jepun bangkit di atas tumpah darah yang mengalir pekat di bumi
sendiri dan di bumi orang lain yang mahu dijajahnya. Mereka bangkit tanpa
mempunyai satu kaki persegi kawasan jajahan lagi. Kini, mereka menjadi ahli
kumpulan negara terkaya di dunia yang dikenal sebagai Kumpulan G-7. Ahli
lain dalam kumpulan itu merupakan kuasa besar lama yang mash lagi mempunyai
negara luar yang dijajahnya ataupun yang diberikan kuasa otonomi. Inilah
Great Britain, Amerika Syarikat, Peranchis, Kanada, Itali, Jerman dan
Jepun. Kecuali Amerika, negara yang lain tidak pun mempunyai hasil bumi yang
besar di negara induk mereka. Mereka masih lagi bergantung kepada negara
jajahan ataupun bekas jajahan bagi hasil bumi yang diperlukan. Tetapi,
mereka mampu berlagak besar dan bagak kerana mereka mempunyai pengetahuan
teknologi yang mereka sengaja kongsi bersama secara rahsia.
Alangkah seronoknya kalau di kalangan G-7 itu ada sebuah negara Islam, yang
mampu menjadi sebuah ahli yang menerangkan keluhuran ajaran Islam? Pada
tahun tujuh puluhan, Arab Saudi meledak sebagai negara yang terkaya di dunia
kerana harga minyak yang naik mendadak dan sekaligus Arab Saudi menjadi satu
negara yang amat disegani oleh negara luar kerana ia mampu menaja
pembangunan di semua negara Arab yang lain, termasuk juga negara Islam di
beberapa tempat. Kekayaan Arab Saudi itu telah mencelikkan mata para
pengeluar barangan konsumer sehinggakan setiap bungkusan barangan yang dijual
di seluruh dunia mempunyai tulisan Arab dipaparkan di sarung (pembungkus)
barangan itu. Kenapakah begitu sekali berubahnya pandangan mata dunia luar
terhadap Arab Saudi? Kerana harga minyak yang tinggi telah meledakkan negara
itu ke arah pembangunan yang pesat. Berbilion wang dihambur untuk pelbagai
pembangunan negara sehinggakan banyak pekan kecil menjadi bandar di mana
pendatang asing diambil untuk bekerja di sana. Sayangnya pembangunan fizikal
yang dilakukan kepada infrastruktur di keseluruhan negara tidak disaingi
oleh pendidikan yang setara untuk anak-anak Arab Saudi sedangkan ibubapa
mereka menjadi pengendali dan pengelola pembangunan itu. Kebanyakan rakyat
Arab Saudi masih khayal dengan budaya lama mereka sehinggakan mereka sibuk
dengan perkara yang remeh temeh sehingga tidak mampu membuat keputusan
apakah wanita boleh dibenarkan menjadi pemandu kereta secara bersendirian
di jalanraya. Kekayaan yang datang mendadak tidak digunakan untuk mendidik
penduduknya sehinggakan ramai suri rumah menghabiskan masa siang
berbeli-belah sahaja dan menyerahkan nasib pembangunan anak-anak kepada
orang-gaji daripada Filipina, Inodnesia, Thailand dan Sri Lanka. Impaknya,
ramai anak-anak muda Saudi kini kurang fasih bertutur dalam bahasa ibunda
mereka sedangkan pengetahun berbincang adalah dalam Bahasa (pasar) Inggeris
semata-mata. Anak yang diserahkan kepada orang-gaji mendidiknya pun
mempunyai fikiran orang mendatang, hanya mudah berseronok tanpa memikirkan
perlunya mendapat pendidikan yang tinggi. Sejak lima tahun yang lalu, Arab
Saudi yang merupakan penyumbang wang kepada institusi besar seperti IMF dan
Bank Dunia, boleh bertukar status menjadi peminjam kepada Bank Dunia pula.
Sejak dari itu, pelbagai bentuk cukai telah diperkenalkan dan harga kos
mengerjakan umrah dan haji ke tanah suci pun menjadi lebih mahal lagi.
Satu ketika dulu, pegawai kerajaan Arab Saudi akan memperlekehkan negara
Islam lain. Kalau ada sebarang mesyuarat mengenai agama Islam ataupun hal
ehwal mengerjakan haji, mesyuarat itu harus dilaksanakan di Arab Saudi
seolah-olah hal ehwal haji itu adalah urusan ulung Arab Saudi semata-mata.
Keadaan sudah berubah, Arab Saudi sudah perit kerana pembangunan negara yang
banyak membazirkan warisan bangsa dan pemberian Allah. Sedikit demi sedikit
maruah orang Arab Sudi sudah tercemar. Mereka sedang mengikut trend yang
dipelopori oleh orang Arab Kuwait, yang satu ketika dulu lebih kaya daripada
orang Saudi, berdasarkan pecahan penduduk dengan pengeluaran minyak negara.
Ketika itu, kumpulan lelaki pula sibuk dengan pasaran saham yang bernama
"Suk almanaq' yang dibuka berasaskan perjalanan Pasaran Saham Komoditi
Chicago. Bayangkan ketika itu ikan ariwana pun boleh didagangkan secara
lelongan. Malahan kilang Arab yang diwujudkan dengan harga berjuta ringgit
menjadi tarikan pasaran saham tidak kiralah samada kilang itu sudah
berfungsi ataupun belum. Kekayaan mendadak itu telah membuatkan golongan
muda Arab Kuwait lupakan diri bahawa mereka adalah orang Arab. Setiap kali
mereka terbang ke luar negara, sebaik sahaja tangki bulat yang mengandungi
bekalan air tidak kelihatan lagi daripada tingkap pesawat udara, para rakyat
Kuwait akan berlumba-luma lari ke tandas untuk menukar pakaian . Minuman
kahwa dan jus pun bertukar kepada wain dan bir. Ketika itulah ramai orang
Kuwait yang menyangkakan mereka hidup dalam satu syurga bikinan manusia yang
mampu membuatkan mereka menikmati kehidupan dalam dua alam. Allah
mencetuskan satu musibah kepada rakyat Kuwait sehinggakan ramai yang menjadi
papa kedana hingga ke hari ini. Ramai yang hidup merempat di luar negara
dan membuat kerja-kerja kasar sambil merenung kenikmatan hidup di zaman
silam. Yang anihnya ramai yang tidak mahu mengaku mereka bebangsa Kuwait
kerana lebih selesa mengaku mereka adalah rakyat Palestin.
Musibah disebabkan menyalah-gunakan hasil minyak yang diberikan oleh Allah
kini sudah melanda Brunei, Indonesia dan juga Malaysia. Brunei hampir muflis
kerana penyalahgunaan wang petrol oleh seorang adik kepada sultan yang
bertakhta sekarang. Mujur, Sultan sendiri masih lagi mempunyai simpanan wng
dan harta yang banyak yang mampu menyelamatkan negaranya daripada merempat.
Rakyat Brunei bernasib baik kerana mempunyai seorang Sultan yang teguh
imannya dan bersemangat besar untuk memelihara rakyatnya. Penulis masih
ingat lagi akan rupa baginda dan adiknya ketika berdiri di tepi padang
Victoria Institution menyaksikan permainan ragbi yang amat diminatinya
ketika itu. Alhamdulillah, sistem pendidikan Malaysia ketika itu masih mampu
menyelamatkan rakyat Brunei. Kegagalan Malaysia sehigga hampir menjerumuskan rakyatnya ke kancah
kemuflisan adalah disebabkan pemerintahan yang rakus. Cukup dulu dengan
kenyataan pendek ini. Saya mahu ketengahkan satu teori yang saya amati
sekian lama untk difikirkan bersama. Setelah dihenyak oleh apa yang dikatakan 'penyangak matawang' Malaysia mampu
bangun untuk memerbetulkan keadaan ekonominya. Pinjaman dengan kadar yang
tinggi dibuat dengan menggadaikan harta rakyat yang disimpan oleh Petronas.
Sebahagian besar wang pinjaman itu digunakan untuk menyelamatkan syarikat
kepunyaan para kroniputra. Mujur di waktu yang sama harga minyak naik
mencanak. Perbelanjaan negara yang ditaksir berdasarkan harga minyak setong
USD 16.00 diselamatkan oleh harga minyak yang naik lebih dua kali ganda.
Kerana itu peranan Danamodal dan Danaharta menjadi licin kerana adanya
sokongan harga minyak ini. Tetapi, peranan Danaharta dan Danamodal adalah satu peranan yang dalam
Bahasa Inggeris disebut sebagai 'Receiver' (pemegang amanah raya). Ini
bererti setiap syarikat yang ditolong oleh Danaharta ataupun Danamodal
adalah syarikat yang sudah muflis. Hampir semua syarikat ini adalah
kepunyaan "Siapalagi"? Bagaimana pula dengan rakyat marhain yang dihenyak
oleh keadaan meleset disebabkan salah tadbir itu tadi? Mereka merempat
kerana mereka tertipu dengan janji-janji "bahawa negara mempunyai satu
ekonomi yang tumbuh dengan kadar lebih lapan persen selama bertahun lamanya!
Kerana itu kita mesti berfikiran terbuka dan memberi tumpuan kepada industri
moden. Kita tidak perlu lagi memberi tumpuan kepada pertanian kerana kalau
kita kaya kita boleh beli hasil pertanian jiran kita..!" Demikianlah
khutbah seorang diktator tua yang tidak faham yang dia tidak lagi diperlukan
di negara ini. Inilah yang dilakukan sejak dua puluh tahun dulu di mana minda rakyat
terutama sekali orang Melayu diputarbelitkan agar terus percaya kepada
seorang presiden UMNO yang akhirnya takut untuk bertanding secara terbuka
untuk jawatan utama parti itu, apatah lagi menghadirkan dirinya ke mahkamah
dalam satu kes yang dimulakannya. Sayang sekali Malaysia menerima musibah
kerana toleransinya terhadap si bedebah ini.
Kini, harga minyak dinaikkan sedangkan reaksi susulan akan menaikkan semua
harga barangan yang lain. Cuba fikirkan perkara ini dulu:
Kalau seorang pemimpin negara yang mudah terkembang hidungnya apabila orang
menggelarkan dirinya sebagai wira dunia ketiga tidak mampu memahami hakikat
kenaikan harga minyak ini, apakah lagi yang diperlukan oleh rakyat daripada
kepimpinannya? Lihat, sekarang harga minyak sudah dinaikkan berdasarkan
harganya yang rendah jika dibandingkan dengan Singapura dan Thailand. Harga
terpaksa dinaikkan untuk mengelakkan negara jiran datang membalunnya. Itukah
alasan yang lojik? Apakah para pemimpin UMNO tidak faham kalau harga minyak
dinaikkan semua barangan yang lain akan dinaikkan sama? Janganlah menteri
harga barang Mahyuddin Yassin sibuk-sibuk memberi amaran mengenai kenaikan
harga yang lain. Harga barangan yang lain itu akan dinaikkan juga, akhirnya.
Tun Daim sudah berkata bahawa kenaikan harga minyak adalah bersifat
sementara dan dijangka akan turun tahun hadapan. Kalau begitu kenapakah
dibenarkan harga minyak naik lagi sedangkan pada dua bulan yang lalu
harganya sudah dinaikkan? Sepatutnya harga tidak boleh dinaikkan dan cara
lain untuk mengawal penggunaan minyak dilaksanakan. Dengan cara ini, hanya
mereka yang memerlukan kenderaan berminyak akan menggunakannya. Di waktu
yang sama kerajaan sepatutnya mengeluarkan arahan, agar semua pengeluar
minyak menghentikan perbelanjaan yang tidak perlu agar mereka mampu menyerap
kenaikan harga minyak itu. Contohnya ialah pembekuan perbelanjaan untuk
pengiklanan, kerana kita tahu pengiklanan adalah satu cara halus di mana
pengeluar minyak melarikan wang ke luar negara.
Satu ketika dulu hanya Sarawak yang mengeluarkan minyak. Sebulan sekali
adalah pegawai daripada Perbendaharan yang pergi ke Miri untuk membuat
lawatan ke pelantar minyak. Tersebut kisah seorang pegawai bernama Yusuf
(kemudian bergelar Dato') bin Basir (anak saudara kepada Tan Sri Hashim
Aman) yang membuat lawatan itu. Dia mendapati semua perkara berjalan lancar
sehinggalah dia mahu pulang ke darat daripada pelantar minyak. Dari dalam
bot yang membawanya dia terpandang ke arah paip minyak di dasar laut yang
bercabang ke arah lain dan tidak ke pantai Miri. Dia bertanya kepada
pengendali bot itu ke manakah paip itu disambungkan. Jawapannya "Brunei,
Tuan". Barulah kerajaan sedar melalui pegawai ini betapa selama itu syarikat
yang menggerudi minyak di bumi Malaysia itu telah mencuri minyak secara
terang-terangan. Kini, paip minyak seperti itu mungkin tidak ada lagi,
tetapi kita berani berkata hampir semua syarikat minyak asing menipu rakyat
negara ini melalui kos pengiklanan. Di situlah mereka mengatakan mereka
perlu menaikkan harga minyak di pasaran untuk menanggung kerugian. Perkara
semacam ini bukannya Mahathir tidak tahu, ataupun orang UMNO tidak tahu.
(Bukankah industri pengiklanan dikawal oleh adik ipar Mahathir sendiri?)
Mereka sengaja tidak mahu tahu. Itulah dasar mereka menjadi wakil rakyat.
Bukankah itu juga dasarnya yang mereka mahukan orang Terengganu ikuti agar
mereka menerima satu putarbelit terbaru - bahawa royalti minyak adalah
berupa ehsan kerajaan Pusat? Allah turunkan musibah peperangan yang menghancurkan padang telaga minyak Kuwait untuk menghentikan kerakusan yang berlaku. |