Laman Webantu KM2A1: 2922 File Size: 3.4 Kb * |
KDN Tolak 4 Permohonan Permit Penerbitan Ahmad Lutfi By Kapal Berita 2/10/2000 6:51 am Mon |
KDN Tolak Empat Permohonan Permit Penerbitan Ahmad Lutfi
Lutfi yang memohon enam permit baru-baru ini mendapat jawapan balas satu
perenggan daripada pegawai tinggi di Unit Kawalan Penerbitan, KDN, Tengku
Mahmood Tengku Ismail pada 28 September 2000. Setakat ini empat permohonan
berkenaan ditolak, yakni majalah komik bulanan, Puteri Reformasi, majalah
mingguan politik semasa, Reformasi, majalah bulanan semasa, Retak dan
majalah dwi-bulanan, Debat. Seluruh isi surat KDN itu dipetik: "Saya di arah merujuk kepada permohonan
tuan dan dukacita dimaklumkan bahawa Kementerian ini telah mengambil
keputusan menolak permohonan tuan tersebut."
Ketika dihubungi, Lutfi berkata, beliau menghantar permohonan Debat pada 25
April, sementara bagi permohonan lain dibuat pada 29 Jun 2000. Dan pada 6
September lalu, Lutfi menulis surat kepada KDN minta penjelasan mengapa
permohonan majalah Debat tidak mendapat apa-apa khabar berita walaupun telah
dihantar sejak hampir lima bulan lalu.
Dalam wawancara eksklusif dengan majalah Tamadun, Mei 2000, Ketua Penolong
Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail
memberi jaminan bahawa: "Dalam masa tiga bulan (KDN boleh meluluskan sesuatu
permohonan). KDN sekarang sudah dilengkapi dengan komputer, jadi kami
jangkakan tempoh masa itu memadai untuk urusan memproses."
Bagi Lutfi, dari satu segi, keputusan segera yang dibuat KDN boleh dipuji.
Tetapi, katanya, yang lebih penting dari itu, KDN seharusnya memperincikan
apa yang dirasakan tidak kena dan perlu diubah dalam permohonannya.
Dalam suratnya kepada seorang pegawai KDN yang bertanggungjawab menguruskan
soal permohonan majalah, Mohd Nor Mohd Daud, Lutfi memberi perakuan:
"Sekiranya ada apa-apa yang perlu kami betulkan, kami boleh memindanya di
mana yang bersesuaian bagi memenuhi syarat-syarat kelulusan KDN."
Ditanya apa reaksinya dengan keputusan KDN itu, Lutfi berkata dia akan
membuat rayuan, di samping terus menghantar permohonan baru yang lain.
"Sekarang ini pegawai-pegawai KDN kian giat merampas makalah yang dianggap
mereka tiada permit, dan saya sendiri kalau boleh mahu mengelak daripada
menerbit makalah-makalah yang dianggap haram oleh KDN. Tapi sehingga saya
mendapat permit penerbitan saya perlu terus berkarya, meskipun melalui jalan
yang tidak digemari pemerintah, apa boleh buat."
"Dan sepatutnya KDN memberikan alasan mengapa permohonan saya ditolak.
Apakah menjadi dasar Unit Kawalan Penerbitan KDN untuk menolak permohonan
menerbitkan sebarang makalah politik, atau memang benar desas-desus
mengatakan nama saya telah disenarai-hitamkan KDN," tambah Lutfi lagi.
"DETIK DAN Al-WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA" Link Reference : http://putera_idaman.tripod.com/ |