Laman Webantu KM2A1: 2902 File Size: 8.7 Kb * |
Air Kopi Negeri Cik Siti By Pujangga 29/9/2000 1:41 am Fri |
AIR KOPI CAP BESI Adapun hamba agak tertarik dengan komen sang menteri,
nan jantungnya ada bateri, cuba menggegarkan rumah
Cik Siti Wan Kembang yang masyhur seantero negeri itu
alang-alang paipnya berisi si air kopi. Adapun kalau air
kopi nan tersembur itu kan ada baiknya, kerana dengan
hal yang sedemikian itu pun ia masih bertaraf minuman.
Sekurang-kurangnya dapat juga ia menghilang ngantuk
sang menteri yang kononya berkerja dua puloh empat jam?
Atau mengubat cirit perutnya yang asyik meleleh
di merata jalan? Seteruk-teruk air berwarna kopi pun ia masih boleh diminum.
Tetapi air berperisa ammonia di Selangor dan Kuala Lumpur
boleh kojol jika terminum! Bagaimana pula agaknya rasa air
yang berisi udang di dalamnya yang digambarkan oleh akhbar
Malay Mail disatu ketika dulu? Bukankah mutu air diceruk
suku sakat diktator tua lagi teruk sehingga loji air
terpaksa berhenti memproses angkaranya?
SIAPA TAUKEY PAIPSI KOLA Adapun kisah air ini banyak yang memeningkan. Tetapi
asalnya siapakah gerangan yang memasangkannya sewaktu dulu?
Disinilah tersembunyi segala jawapan - kerana karat
besi adalah budaya tradisi koporat kroni yang menjual
barangan. Ia dibeli kerana terpukau dek gambaran dan
kilauan, berde'ting' dan beratnya dipikulkan, tetapi
pada hakikatnya ia tidak empunya usia yang panjang.
Sampai masa karatnya akan membawa sial dan malang,
sedangkan yang membekalnya begitu senang menghilang.
Kilang di Kemaman dan Gurun itu pun sudah cukup menjadi
kutukkan. Sampai kini ia tidak berkesudahan. Sudah tentu
rakyat sendiri yang menanggung kerugian.
SILAT PENDEKAR BANGANG Kalaulah si paip air ini mahu dijadikan umpan, lebih baik
sang menteri berfikir panjang. Pendekar jaguan tidak
cuba bersilat di dalam hujan. Atau terbang umpama helang
sewaktu guruh bersabung bersilang. Tentunya ia mudah terjatuh
hingga tersakit kangkang. Atau terpanah petir untuk
berakhir di persada perkuburan. Bukankah paip ini pada awalnya
adalah sumbangan kerajaan persekutuan. Mengapa tidak dicari
si dalang yang membekal besi yang campurannya tidak tahan?
AIR SATU PUTARAN ALAM Adapun air itu asalnya dari tanah itu juga. Ia dibawa
oleh hawa yang panas dan ditiup angin mencari tempat
untuk dimuntahkan. Selebihnya ia mengalir dicelah-celah
akar menjadi matair untuk mahluk tuhan. Apabila ia bertemu
jadilah ia satu terusan dan sungai yang nikmatnya dapat
dimanfaatkan oleh manusia, binatang dan tanam-tanaman.
AIR YANG TERCEMAR Proses alam yang indah ini ditiru oleh manusia dengan
membuat industri air sulingan dan air mineral buat minuman.
Sayangnya sedikit dan berdikit tempat tadahan air ini
tercemar akibat gangguan. Hutan rimba ditebang mengikut
suka dan timbangan harga. Berkeliaranlah lori-lori membawa
balak yang komisyennya pasti ada. Pada waktu yang sama
wakil BN memekakkan telinga bila rakyat - khususnya orang asli
mengadu menderita. Hasilnya orang asli mengundi menolak
BN dalam pilihanraya sehingga ada sang menteri umno kecundang
ditangan mereka! RIMBA YANG SEMAKIN MENGHILANG Selebihnya hutan rimba itu menjadi rata untuk dibina rumah
yang rakyat marhaen tidak layak mendudukkinya.
Ada yang menjadi tempat penginapan siap dengan servis
urut-urutan. Sudah tentu arak bisa diatur jika diperlukan.
Keindahan dan imbangan alam itu dinoda tanpa memikirkan
kesan jangka panjang yang bakal merugikan negara.
Di negeri-negeri maju seperti Kanada setiap hutan yang
ditebang perlu diganti oleh kontraktornya. Tetapi
di negara kita banjingannya mendapat pelbagai gelaran
dipangkal nama seolah-olah itu satu 'jasa' yang
seterusnya digunakan untuk terus menoda. Tengku Wong
atau Tan Sri Ting menjadi satu katajodoh ('password') yang
menjadi 'lesen' untuk bertindak sebagai raja.
Arakian musnahlah pelbagai tanam-tanaman dan pondok
rakyat yang hina di Tasek Bera baru-baru ini. Maka
berhimpunlah rakyat menuntut hak yang telah dinoda,
tetapi dikirim pula beberapa trak anjing gila! Aduhai
pendekar umno negeri Pahang..... puas ku mencari tapi
tidak nampak muka... rupa-rupanya takut macam kera!
Apakah masih bertandang di kasino sejak malam buta?
KILANG DAN KUMBAHANNYA Sewaktu dulu rakyat digemparkan oleh krisis air yang
parah sehingga putus bekalan. Hasil siasatan mendapati
beberapa kilang beroperasi terlalu hampir dengan punca
tadahan air. Soalnya bagaimanakah kilang ini boleh
didirikan dan siapakah dalang yang membenarkan mereka?
Akibatnya entah berapa gelen air terpaksa dibuang bila
paras racunnya sudah berlebihan. Kesannya rakyat
dipaksa mendapat air secara giliran (catuan)
berminggu-minggu lamanya. Tentunya warga KL dan
Selangor masih ingat ragam yang meninggalkan pelbagai
kenangan ini. Ada yang tidak mandi untuk ke pejabat
atau terpaksa beratur mengisi pili. Pada waktu yang
sama kilang-kilang keparat itu senyap-senyap
menghilangkan diri. Selain itu tidak diketahui berapa
ramaikah rakyat yang sudah terminum air yang sudah cemar
laksana air kencing (kerana tingginya unsur amonia) ini.
Pendekar Mat Taib tentu masih ingat betapa istimewanya
kilang-kilang 'haram' ini. Jika tidak kerana mereka,
sudah tentu ringan sedikit beg yang dipikulnya ketika
mengembara.... PENDEKAR BINATANG PULA Adapun masih teringat oleh hamba seorang pendekar lain
yang diutus oleh si mamak tua untuk membunuh sejenis
bintang yang menimbulkan bencana. Ada pelbagai cerita
bagaimana najis nya itu semakin memekat dan menjadi 'resepi'
tambahan sungai yang diambil airnya untuk minuman rakyat
jelata. Merebaklah satu wabak yang menjadikan rakyat
resah angkaranya, sehingga Bukit Pelanduk menjadi teramat
puaka - sekali hidu pun boleh celaka!
Di pendekkan cerita, habislah binatang-binatang itu
tetapi muncul di negeri lain pula selepas beberapa lama.
Malangnya berita nya menjadi rahsia pula kerana bimbang
ia bakal meragut pendekar yang bertarung dengannya!
Tentu sang pendekar jerebu sudah memperturunkan sedikit
ilmu kepada pendekar binatang agar tidak kecundang?
Sebelum hamba menghabiskan cerita pendekar binatang ini,
mungkin ada baiknya mengambil sedikit cerita buat tauladan.
Satu masa dahulu, beberapa penuntut di UPM terpaksa dimasukkan
ke pusat rawatan selepas termakan sesuatu yang dihidangkan.
Jangan pendekar binatang cuba berlagak sakan kerana adik abang
di UPM ada pelbagai keris yang boleh membawa maut jika
ia dihunus dengan tangan! Jika silap haribulan... tumbang!
MAHARAJA TUA DAN UPAHNYA Adapun hamba masih belum puas menulis selagi tidak mengguris
satu bingkisan untuk si mamak tua yang mengeluh upahnya sebagai
maharaja yang masih dirasakan tidak setara silatnya.
Hatta bertitahlah sang maharaja sang dewata: "I have worked for the government everyday for the last 19 years," Mahathir was quoted as saying by the nationally-circulated Sunday Star. "My pay is lower than the people who work under me."
Mahathir, Asia's longest-serving ruler, said Saturday that his salary,
which totaled 16,000 ringgit (dlrs 4,210) a month, barely befitted
his hours of toil. "I work practically 24 hours a day," he said. "If I claim overtime
and add that up, I think the government owes me millions of dollars,"
he said. Teringin hamba mengata kasihan kepada sang maharaja, tetapi
bayangan ratusan syarikat yang dipegang oleh anak sang maharaja
membuat hamba melupakannya sahaja. Adapun maharaja yang berhati
rakyat tidak menghabiskan beratus juta banyaknya untuk satu singgah
sana buat diisi 'dua orang tua'. Atau sebuah bahtera terbang yang
mewah yang terbang jarang tapi mahal ongkosnya. Lagipun elaun
perjalanan memang ada - baik dari kerajaan atau kera jalanan.
Sebaliknya sang maharaja yang sebenarnya berhutang kepada rakyat. Bayangkan sudah berapa banyak wang dilesapkan oleh budak-budak pilihan maharaja sepanjang berkuasanya maharja. Malah ada lagi hutang yang sukar dibayar dengan wang kerana terlalu tinggi nilainya - iaitu hutang nyawa! Bukankah banyak peristiwa hilangnya nyawa berlaku sewaktu maharaja berkuasa? |