Laman Webantu KM2A1: 2884 File Size: 14.1 Kb * |
PNB: Penswastaan atau Rompakkan? By Amin Sapiro 27/9/2000 12:03 am Wed |
Amin Sapiro (melakar pandangan Sharil Samad)
BACALAH DAN HAYATILAH - SESUNGGUHNYA KITA SUDAH DITIPU
BONTANG!! MEMANG sudah lama saya kepingin membaca pemikiran para pemimpin UMNO
diperingkat MKT yang melihat dan mampu mempersoalkan karenah Dr. Mahathir
dan Daim Zainuddin secara kritis. Malangnya, kebanyakan mereka tidak mampu
menyampaikannya secara terbuka. Mereka dalam ketakutan!
Jika apa yang saya katakan itu satu tamparan, pertimbangkan sendiri. Rasanya
lebih positif jika ia dianggap sebagai satu cabaran saja.
Pendirian saya - sewaktu dalam UMNO saya juga vokal. Bagi saya, sebagai
"BEKAS ahli UMNO" pun pendirian saya masih sama. Cukup pantang sebagai
prinsip hidup saya untuk sanggup menjual prinsip hidup demi kepentingan perut,
pangkat dan darjat. Sebagai manusia yang beragama Islam, kita tidak akan menjual tanahair, bangsa
dan agama. Kita percaya rakan-rakan seperjuangan tentu memegang prinsip
"Menegakkan Keadilan dan Menumbang Kezaliman".
Secara peribadi, saya angkat topi kepada kawan kita sdr. Shahril Samad yang
mengutarakan isu-isu keusahawan dan penglibatan orang Melayu di bidang
perniagaan, meliputi perihal bagaimana PNB dan korporat lain telah
diselewengkan oleh regu Mahathir-Daim dan Kroni begitu rupa.
Analisa Shahril berkesan kepada kita. Pendedahan beliau pasti memberi kita satu
pernyataan yang dapat ditimbang-terima dalam minda.
Orang Melayu harus sedar. Jangan kita asyik membincangkan isu politik saja dan
melupakan isu ekonomi, keusahawanan dan perniagaan.
Sebagai perbandingan, kita sudah lihat bagaimana kaum Cina berjaya dibidang
ini. Mereka tidak pernah memisahkan ?Politik dengan Keusahawanan dan
Perniagaan?. Bagi mereka, puak yang berpolitik tidak akan tegak berdiri megah
tanpa sokongan penguasaan mereka di bidang ekonomi, keusahawanan dan
perniagaan. Itu sebab Lee Kuan Yew mampu menjadikan Singapura pusat komersial terkemuka
di rantau ini. Malaysia bagaimana? Mahathir apa buat? UMNO jadi apa?
Kaum Cina tidak teragak-agak membuang mana-mana pemimpin mereka yang
mengkhianati mereka dibidang perniagaan. Kita sudah lihat apa jadi kepada Lee
San Choon dan Tan Kun Suan. Kerana Ling Leong Sik juga sudah ada bukti
mengkahianati kaum China, maka nampak sekarang MCA sendiri semakin
tergugat tidak mendapat sokongan kaumnya.
Membaca analisis Sharil berikut, masihkah orang Melayu hendak bernostalgia
terhadap UMNO Baru yang di ?baruakan? oleh Mahathir-Daim dan pemimpin
mereka yang sekongkol? Dan sekaligus dengan itu, pemimpin UMNO ini telah
memusnah harapan dan aspirasi orang Melayu di tanahair sendiri?
Bacalah dan berfikirlah. Perjalanan kita dibidang ?Keusahawanan dan
Perniagaan? telah begitu jauh tercicir berbanding dengan kaum lain.
Hari ini Mahathir dan UMNO telah mengalih tumpuan orang Melayu kepada
pergolakan politik. Bersama itu, tumpuan dan kegigihan kita tersisih dari meneroka
bidang ekonomi. Jangan anda tidak tahu, sementara kita diadu-dombakan mereka, regu
Mahathir-Daim dan sekongkol mereka ini telah melakukan pelbagai jenayah
ekonomi dengan mengamalkan "NEPOTISMA, KRONISMA dan KORUPSI".
Mereka kayaraya - orang Melayu papa kedana!!
Masihkah orang Melayu sebodoh itu hingga tidak tahu memilih antara kaca dan
intan? Bacalah 3 Bahagian analisis Sharil yang diturunkan. Silakan??
RENCANA DATUK SHARIL PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 1
DI SEMINAR Ekonomi Malaysia anjuran Alumni UKM pada 5hb September,
2000, saya telah membincangkan pencapaian ekonomi negara sepanjang
tempuh 15 tahun yang lalu di dalam era kepimpinan Datuk Seri Dr Mahathir
dan membuat penilaian saya secara telus dan ikhlas.
Kesimpulan saya ialah begitu banyak yang telah dicapai oleh negara dalam
tempuh tersebut dan orang Melayu tidak ketinggalan menikmati dari
kemajuan dan kejayaan itu. Namun demikian, dalam penilaian sebahagian besar masyarakat Melayu
yang telah dilakukan semasa pilihanraya 1999, kepimpinan Dr Mahathir
dipersoalkan secara hebat dan hampir menyamai penilaian yang telah
dilakukan terhadap kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman pada
pilihanraya umum 1969. Di antara perkara yang menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu
semasa pilihanraya umum 1999, khususnya di Terengganu dan dikalangan
kakitangan PETRONAS, ialah isu pembelian aset perkapalan milik
Konsortium Perkapalan oleh syarikat minyak negara.
Saya percaya bahawa isu ini menimbulkan persoalan bukan sahaja di
negeri itu tetapi menjadi tandatanya di kalangan masyarakat Melayu di
negeri-negeri lain. Akan tetapi, saya difahamkan bahawa kesan isu ini agak
hebat di negeri pantai timur itu. Sebenarnya, sebelum PETRONAS membeli aset perkapalan itu, Chase
Manhattan Bank telah di tugaskan untuk membuat penilaian aset berkenaan
supaya menjaga kepentingan umum kerana melibatkan penggunaan wang
PETRONAS sebagai pemegang amanah kepada sumber negara. Ini adalah
suatu tindakan yang bijaksana, kerana ianya selaras dengan keperluan
ketelusan dalam soal saperti ini. Yang hanya boleh di pertikaikan ialah samada PETRONAS harus terlibat
secara langsung di dalam industri perkapalan, kerana maseh terdapat
syarikat perkapalan milik bumiputera yang hidup subur dan berwibawa yang
tidak perlu di selamatkan oleh PETRONAS. Umpamanya, syarikat HALIM
MAZMIN BHD yang tersenarai di Papan Kedua Bursa Saham KL.
Dalam penyampaian saya di Seminar Ekonomi Malaysia tempuh hari, suatu
kesan negatif dari pelaksanaan dasar ekonomi Dr Mahathir ialah keujudan
suatu oligarki ekonomi yang, melalui hubungan rapat mereka dengan pucuk
pimpinan negara, mendapat peluang- peluang yang tidak mungkin terbuka
kepada usahawan lain. Saya juga telah mempersoalkan bagaimana ekuiti dalam syarikat-syarikat
umum (public listed companies) yang dipegang oleh PNB telah di jual, atau
di swastakan, kepada pihak-pihak tertentu tanpa sebarang proses tawaran
terbuka atau pun penilaian oleh pihak yang bebas.
PNB juga sebuah badan pemegang amanah kepada masyarakat Melayu
dan seharusnya sebarang penjualan asetnya dilakukan di atas
sebab-sebab yang paling munasabah dan secara telus dan terang.
PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 2
Tanpa ketelusan, penswastaan aset PNB akan bakal menimbulkan
pertanyaan dan tuduhan bahawa apa yang sebenarnya berlaku bukanlah
penswastaan tetapi perompakan.
Suatu ketika dahulu, Tan Sri Shamsuddin Kadir, seorang usahawan
Melayu yang terkemuka, telah bercadang membeli ekuiti milik PNB di
dalam syarikat UMW. Usaha beliau telah di bantah oleh seorang pengarah
Melayu, yang mewakili PNB, dalam UMW. Kehebuhan dan perdebatan
yang menyusuli bantahan itu telah memaksa Tan Sri Shamsuddin untuk
membatalkan rancangannya itu. Tetapi tidak semua penjualan aset PNB mendapat perhatian media dan di
bahas secara terbuka sapertimana telah berlaku berikutan usaha pembelian
ekuiti PNB dalam syarikat UMW. Maka kalau sesuatu penjualan itu di
lakukan dalam gelap dan secara senyap-senyap, tanpa iklan dan proses
tawaran, apakah bezanya dengan perompakan ?
Sesudah MMC menjadi milik individu-individu Melayu ini, pegangan nya
dalam Ashton Mines, iaitu sebuah lombong berlian di Australia sedang
dalam proses penjualan. Ikut cerita, penjualan aset MMC ini akan
menghasilkan sebanyak RM 600 million. Dengar cerita lagi, MMC akan
menjual Tronoh Mines yang di milikki oleh nya. Entah berapa juta pula
yang di perolehi melalui penjualan aset-aset MMC ini ?
Di samping itu, dengar cerita juga, MMC sedang mempertimbangkan
pembelian ekuiti dalam syarikat Tanjung Pelepas Port (PTP). Pembelian
ekuiti dalam PTP adalah menyusuli pembelian sebuah janakuasa lektrik
dari TNB. Keadaan ini bermakna bahawa penswastaan aset dan harta PNB boleh
dilakukan tanpa umum mengetahui rasionalenya. Apakah strateginya ?
Adakah ianya bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi orang
Melayu ? Apa ruginya kepada bangsa dan negara ataupun MMC sendiri
sekiranya ekuiti syarikat itu terus di pegang oleh PNB ?
Sudahkah satu penilaian di buat terhadap ekuiti MMC itu sapertimana
berlaku semasa PETRONAS membeli aset perkapalan milik Konsortium
Perkapalan, atau adakah kumpulan individu yang membeli ekuiti MMC dari
PNB ini lebih istimewa dari pihak yang memilikki Konsortium Perkapalan ?
Sebenarnya, cerita penjualan ekuiti MMC yang di pegang oleh PNB
bukanlah cerita baru kerana, pada satu ketika dahulu, telah kedengaran
ura-ura bahawa KUB bakal mengambilaleh ekuiti PNB dalam MMC. Tetapi
bukan ini yang berlaku. Sebaliknya, satu kumpulan individu, yang pastinya
rapat dengan pucuk pimpinan Kerajaan, pula yang telah berbuat demikian.
PNB : PENSWASTAAN ATAU PEROMPAKAN? BAH. 3
Pada hemat saya, PNB adalah pemegang amanah ekonomi yang utama
bagi masyarakat Melayu selaras dengan matlamat DEB. PNB telah
menggalakkan kearah sikap tabungan bagi orang Melayu dan tabungan
adalah satu ciri utama untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu. Di
samping itu, pegangan PNB dalam MMC adalah strategik untuk
memperkukuhkan kedudukan Melayu dalam dunia korporat.
Mengapa tidak dibangunkan potensi ini sepenuhnya dengan
membangunkan kepakaran pengurusan korporat Melayu, yang mana juga
adalah perlu untuk memperkukuhkan kedudukan kelas pertengahan
Melayu itu sendiri. Satu ketika dahulu, pada peringkat awal pelaksanaan DEB, masyarakat
bukan Melayu telah mempersoalkan kedudukan ekonomi mereka yang
terlalu tertumpu kepada jenis perniagaan yang bercorak 'family-owned'
dan 'family-run' sedangkan orang Melayu melalui DEB telah menerokai
dunia korporat dengan begitu pantas. Ramai pihak dari kalangan
masyarakat bukan Melayu telah merasakan cara tradisional ini akan
membuat masyarakat mereka ketinggalan di dalam bidang ekonomi.
Nampaknya, dengan keputusan untuk menswastakan aset-aset PNB
kepada kumpulan individu Melayu akan membawa ekonomi Melayu
kepada corak yang tradisional ini. Bezanya yang besar ialah sungguhpun
ia nya tradisional tetapi individu yang terlibat adalah sebahagian dari
oligarki ekonomi negara. Sebenarnya, penjualan ekuiti dalam MMC oleh PNB kepada kumpulan
individu ini tidak akan menambah pegangan ekuiti Melayu dan bumiputera
dalam sektor korporat. ianya merupakan pemindahan sahaja. Maka,
adalah mungkin ia merupakan satu langkah strategik.
Akan tetapi, kumpulan individu yang membeli ekuiti dalam MMC ini
sudahpun mempunyai dua buah syarikat awam hasil daripada
penswastaan Pelabuhan Johor dan anak syarikat milik KEJORA, iaitu
JTOP. Pendekata, kumpulan individu ini bukan sahaja telah dua kali
mendapat faedah dari penswastaan aset kerajaan di Johor, tetapi telah
pula diberikan peluang untuk mengambilaleh MMC dari PNB.
Bukan sebarangan orang yang boleh mendapat sampai tiga kali peluang.
Ini merupakan suatu yang biasa bagi mereka yang menjadi anggota
oligarki ekonomi negara. Begitu banyak yang akan dilonggokkan kepada
seseorang itu sehingga ia menimbulkan gambaran seolah tidak ada
sempadan dan kesudahan bagi memuaskan nafsunya. Inilah yang saya
maksudkan dengan fenomena yang berlaku semasa tahun-tahun 90an,
ketika mana pelaksanaan strategi penswastaan yang seiring dengan
keghairahan bursa saham menjadikannya dekad 'The Greedy 90's'.
Keadaan ini, dimana dilonggokkan berbagai peluang kepada satu
kumpulan kecil yang menjadi anggota oligarki ekonomi, telah berlaku
sebelum pilihanraya umum 1999, dan ia menjadi satu sebab mengapa
UMNO di lihat sebagai sebuah parti pemerintah yang terlalu memelihara
kepentingan korporat dan ahli perniagaan. Ianya samalah saperti tuduhan
terhadap kepimpinan Almarhum Tunku pada pilihanraya 1969.
Malangnya, tindakan yang sama sedang di teruskan selepas pilihanraya
umum 1999 seolah-olah maseh tidak ada perubahan dalam sikap pucuk
pimpinan parti dalam Kerajaan. Isu-isu penswastaan telah dibangkit
semasa kempen pilihanraya umum yang lalu dan telah turut membawa
kesan negatif kepada calon-calon UMNO khususnya. Apatah lagi kalau
peluang-peluang penswastaan itu turut melibatkan aset-aset PNB yang
sepatutnya menjadi pemegang amanah utama bagi masyarakat Melayu.
Nampaknya, teori Dr Mahathir bahawa kejayaan ekonomi orang Melayu
perlu kepada keujudan satu kumpulan billionaire Melayu, maseh di
gunapakai. Kalaulah billionaire Melayu itu handal sangat di dalam
selok-belok perniagaan, mengapakah perlu sehingga ianya mendapat
sampai tiga peluang penswastaan.
Tidakkah cukup dengan dua buah syarikat awam hasil dari penswastaan
aset Kerajaan di negeri Johor untuk menjadi asas dan pemangkin kepada
kejayaan nya seterusnya. Mengapakah perlu bagi di pindahkan aset yang dimilik oleh beribu orang
Melayu yang menabung di dalam sekim amanah saham PNB kepada
suatu individu atau kumpulan kecil, walaupun mereka juga Melayu. dalam
tahun 1997, apabila Dr Mahathir di tuduh mempunyai kroni, beliau
menjawab bahawa setiap orang Melayu yang berlabur melalui PNB
adalah kroni Kerajaan. Tetapi yang sebenarnya, ada yang 'Kroni' dan ada yang 'kroni' sahaja. |