Rencana ini ditulis sebagai respon kepada rencana bertajuk:
JIKA TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG (MASAKAN DAPAT SAGUNYA..!!)
Selalunya apabila kita menulis di alam siber, kita amat memerlukan
perlindungan daripada Allah SWT kerana kita berinteraksi dengan alam
sejagat yang tidak kita nampak dan kenal secara jelas. Rakan siber kita
adalah insan dunia elektronik yang kita kenal berdasarkan nada tulisannya
dan kecenderungannya berfikiran memihak kepada golongan ataupun
kumpulan yang pro dengan kita. Amat sukar untuk mendapatkan penulis
yang 'neutral'. Malahan, saya telah menulis sebagai seorang yang neutral
begitu lama akhirnya terpaksa mendedahkan bahawa saya anti Mahathir.
Sedangkan saya anti-kezaliman.
Apabila kita menulis di alam siber pro-reformasi (tidak ada bezanya
dengan 'reformasi') kita tidak tahu siapakah sebenarnya yang membaca
tulisan kita sedangkan kebanyakan bahan tulisan kita itu adalah
disasarkan kepada orang dewasa yang matang fikirannya. Kerana itu kita
terpaksa mengambil pendekatan umum dan ber'generalise' dalam tulisan
itu. Kita tidak boleh terlalu ilmiah dan berat sehinggakan pembaca
mengantuk dan melepaskan tulisan kita itu. Di sini timbul kepintaran untuk
memukau pembaca seperti yang dilakukan oleh Amin dan TT, Tok Misai,
Tarabulsi, Damak, Umi Nasuha, Panji Tengkorak, Wartawan Pencen,
Bomohdin, Pena Suasa dan beberapa ramai lagi. Mereka ini pandai
menulis untuk memukau, cuma ada banyak perbezaan dalam pemukauan
itu.
Sudah lumrah alam, apabila seseorang penulis mampu memukau
pembacanya dia menarik minat pihak kerajaan kerana:
- pemukauannya itu selalunya berlaku kerana dia menyanggah
kerajaan, tidak kira secara berkias, berlembut ataupun berkeras.
- dia diikuti secara dekat oleh orang yang dipukaunya kerana
mahukan lagi bahan tulisannya baik sebagai bahan hiburan,
pengetahuan ataupun perbandingan.
- Tulisannya itu diikuti oleh banyak pihak untuk meneliti
kesinambungan fikirannya dan juga kecenderungan politiknya.
- Dia mula diawasi oleh semua pihak, baik pihak kerajaan mahupun
yang membangkang pihak kerajaan itu.
Dia mula diekori secara fizikalnya, termasuk sesiapa yang rapat
dengannya.
Demikianlah sedikit risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis siber
di Malaysia masa kini. Ia bukan calang-calang risiko kerana orang
Melayu mempunyai budaya yang amat terkenal sekali:
- berdendam,
- bodoh sombong
- malu-alah
- menggunakan bomoh
- sanggup berpatah arang
- mengamuk.
Perangai buruk ini lebih menekan dan menyerlah apabila kita kaitkan
orang melayu itu dengan alam politiknya. Di sini kita dapati sejarah
merakamkan betapa orang Melayu sanggup membunuh, meracun,
menghina, mengaibkan, mendera, menipu, menyonglap, menjadi munafik,
mengamalkan ilmu hitam, berbohong dan banyak lagi semata-mata untuk
mengekalkan kuasa politiknya.
Justeru Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana ada orang 'Melayu'
membuka pintu di waktu malam. Datuk Taha mati ditembak juburnya kerana
dia tidak lut peluru di tempat lain. Dato' Mazlan sanggup menyerahkan
dagunya untuk diperasapkan kemenyan sedangkan di waktu itu dia sudah
hampir menemui ajalnya oleh seorang syaitan yang bertopengkan
manusia. Seorang perdana menteri sanggup 'menyembelih' anak emasnya
kerana keturunan darah dagingnya sedang kelupuran di kancah
kemuflisan. Seorang 'Datuk' sanggup menggunakan suara isterinya
sebagai bahan bukti palsu untuk digunakan di mahkamah; sebagai
ganjarannya kini dia akan bergelar senator.
Impak kejijikan perangai orang melayu adalah satu sanggahan yang
menjadi risiko besar yang perlu ditangani. Demikianlah besarnya risiko
menulis di alam siber reformasi masa kini. Tetapi, seperti yang pernah
dikatakan, kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya?
Soalnya sekarang ini tidak ramai orang Melayu yang menebang ruyong
kerana mahukan sagunya untuk hidangan di meja makan. Di kampung dan
desa, ruyong yang telah dikabung-kabung dibelah untuk dicampak ke
kolam ikan. Bergeraklah kabung itu ke hulu dan hilir kerana ikan di bawah
permukaannya yang mengontel sagu yang ada. Kalau di kolam itu ada
pula itek peliharaan, bertenggeklah pula si itek itu menikmati sagu dari
bahagian atasnya. Proses yang berlarutan akhirnya membuatkan kabung
itu tenggelam, kerana kemampuannya untuk terus timbul bergantung
kepada sagu yang terkandung di batang kabung-ruyung itu tadi.
Demikianlah kiasan yang dapat diberikan kepada masalah ini. Penulis
adalah laksana ikan di dalam kolam yang diberikan sagu sebagai
makanannya. Ia akan menulis tanpa sesiapa mengenalnya selagi ada
bahan untuk ditulis dan selagi sikap menulis dalam 'gelap' itu merupakan
satu usaha yang diperlukan oleh bangsanya. Kegiatan penulis itu akan
tenggelam sebaik sahaja sagu yang terkandung dalam sesuatu kabung
ruyong itu habis terhakis. Tidak semestinya oleh ikan yang berada di
permukaan air itu tadi, tetapi oleh itek-itek yang datang menenggek untuk
mengerjakan sagu dari permukaan atas.
Dengan lain perkataan, isu hangat adalah laksana batang kabung yang
dihanyutkan di kolam ikan. Kalau pun ruyong itu ditebang dan dibiarkan
begitu sahaja, tidak siapa yang akan perasaan akan adanya sagu untuk
dituai. (Bukan itu yang dimaksudkan oleh Isa Samad kepada para
wartawan mengenai isu perletakan jawatannya?) Apabila sesuatu isu itu
menjadi panas ia diketengahkan maka ia pun akan dikerutung oleh segala
anak ikan, bapak ikan dan emak ikan di kolam air itu sehinggalah satu
waktu sagu itu pupus hingga menyebabkan batang ruyung itu tenggelam.
Si ikan akan terus hidup, melainkan ia disambar oleh itek-itek yang
mampu menyeduknya dari atas kabung itu tadi. Ataupun ada burung
rajawali ataupun raja-udang yang datang menyambar dari atas setelah
lama mengamati pergerakan ikan itu.
Secara lahiriahnya, kita penulis siber banyak berpandukan kepada
nawaitu yang berteraskan ketaqwaan. Kalau ini menjadi asas penulisan
kita dan apabila diadun bersama dengan segala pengetahuan yang
dikurniakan oleh Allah, beserta pengalaman hidup yang telah direstuinya,
maka jadilah setiap penulisan itu laksana satu hamparan permaidani yang
indah yang mahu dinikmati oleh setiap insan yang melihatnya. Berapa
ramaikah manusia di dunia ini pernah menikmati keindahan permaidani dan
lantas memikirkan siapakah insan yang melakarkan keindahan itu?
Di negara ini, kita sedang meniti zaman kegelapan selagi Mahathir
Mohamad tidak melepaskan jawatannya sebagai presiden UMNO dan
perdana menteri Malaysia. Segala kebusukan yang dihidu dalam kancah
politik negara ini adalah bikinannya. Semua ini akan menjerumuskan
negara ke kancah kedaifan. Tugas terbesar para penulis reformasi dalam
hal ini ialah menulis dengan tepat kenapa negara sedang terancam dan
bagaimana kita harus mengelakkannya. Tulisan yang berkesan dalam hal
ini akan membawa satu kesedaran di kalangan pembaca. Apabila
kesedaran muncul barulah ia mencetuskan minda untuk rakyat berinteraksi
membincangkan masalah itu. Apabila kesedaran timbul dan mencetuskan
perbincangan, sesuatu isu yang diketengahkan oleh Mahathir dapat dinilai
oleh rakyat akan baik dan buruknya. Kesan penilaian itu memberikan
ruang kepada rakyat untuk bertindak secara proaktif ataupun sebaliknya.
Seorang penulis yang berwibawa mampu mengawal minda pembacanya
untuk melihat apa yang hitam dan apa yang putih. Daripada dua reaksi
warna itu akan terbentuk wajah dan rupa di mata para pembaca untuk
menilai di mana satu yang haq dan mana satu yang bathil. Apabila rakyat
terus terlatih membuat penilaian seperti ini, rakyat pun semakin matang
pemikirannya sehingga mampu menyanggah setiap kali Mahathir dan
konco-konconya mahu menyogokkan sesuatu yang mereka katakan haq,
sedangkan rakyat sudah nampak akan kebatilan sogokkan itu. Inilah
peranan penulis siber yang amat menakutkan Mahathir dan apa juga
apparatus pemerintahan yang ada padanya. Inilah juga konsep penulisan
yang amat ditakuti oleh segenap pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui
peti undi.
Kenapa perlunya penulis siber berterus terang dan bermati-matian
menyedarkan bangsanya? Hanya satu jawapan yang tepat kepada
soalan itu: 'kewibawaan' ataupun 'kredibiliti' penulis itu sendiri. Penulis
yang gigih mungkin tidak dikenali oleh pembacanya, tetapi apakah
jaminannya yang dia akan tidak dikenal satu hari nanti? Hanya kredibiliti
dalam penulisan yang akan menjaminkan keselamatan seorang penulis
siber. Kerana itu dia harus mengenepikan segala ciri-ciri karut-marut
yang selalu menjadi ciri-ciri penulis surat layang yang mahu menjatuhkan
seseorang. Dengan kata mudah, seorang penulis siber yang berwibawa
hanya akan menulis berasaskan kebenaran. Dia tidak akan memberi ruang
kepada 'hearsay' ataupun 'cakapan orang' ataupun fitnah dan tuduhan
melulu. Ia akan menggunakan fakta dalam penulisannya dan
mengenepikan fiksyen yang mudah diminati oleh penulis upahan.
Menulis dalam ruang lingkup terhad inilah yang menyulitkan, kerana itu
seorang penulis siber yang berjaya harus menulis berasaskan fakta dan
pengalamannya yang berasaskan fakta juga.
Apabila penulisan itu menjadi satu karya yang baik, maka hasilnya akan
baik juga. Hanya telur yang baik menetaskan zuriat yang baik dan menjadi
baka yang baik. Penulis yang baik tidak akan menghadiahkan telur
tembelang kepada pembacanya. Telur yang tembelang adalah hadiah
seorang penulis yang baik kepada para ahli politik yang rakus dan jijik
perangainya.
Berbalik kepada masalah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis
siber. Jawapannya amat mudah sekali. Kalau penulisan itu adalah satu
persembahan yang baik, eloklah jangan difikirkan risiko penulisannya.
Tidak kiralah betapa berat dan berbahaya bentuknya yang dapat
menandingi kebenaran yang terkandung dalam satu penulisan yang baik
itu . Dengan lain perkataan, tulisan yang baik dan yang membawa
kesedaran kepada ramai pembaca, lantas membawa perubahan dalam
cara kehidupan sesuatu masyarakat itu adalah sebaik pelindung kepada
sebarang risiko terhadap seseorang penulis. Kerana itu, ia tidak payah
berfikir panjang mengenai risiko itu. Kalau dia melakukan semua itu dia
harus berhenti menulis dan menjadi seorang pemerhati yang pasif sahaja,
sehinggalah dia percaya kepada keEsaan Allah SWT.
Mat Teropong