Emel di atas datang daripada sumber yang boleh dipercayai, setakat ini.
Dengan demikian, isi berita itu perlu dianalisa untuk menjadi satu dorongan
kepada rakyat marhaen memahami apa yang sedang dilakukan oleh Pengendali Web
Reformasi selama ini. Terutama sekali bahaya dan risiko yang mereka lalui
untuk membawa satu arus kesedaran kepada rakyat.
Begitu juga halnya ketika negara dijajah oleh kumpulan bintang tiga yang
berlagak sakan sebaik sahaja Jepun menyerahkan Malaya ke tangan British
semula. Di sana sini ramai orang Melayu yang ditangkap dan dibunuh, tetapi
masyarakat Melayu pada dasarnya tahu bahawa yang dibunuh itu pernah menjadi
talibarut Jepun satu ketika dulu. Tetapi, pembunuhan sebagai membalas dendam
itu tentunya tidak boleh berlarutan sehinggakan orang yang tidak berdosa pun
boleh ditangkap dan dihukum oleh 'Bintang Tiga' . Bermula dari situ orang
kampung mula bersatu dan mempertahankan keselamatan kampung mereka. Kumpulan
'Bintang Tiga' mengalah dan mula berlembut semula dengan orang Melayu di
desa. Tetapi, taktik itu tidak menjadi kerana mereka sudah pun dimusuhi.
Fahaman 'enggang bersama enggang dan pipit bersama pipit'. Inilah fahaman
yang membuatkan hampir semua Wakil Rakyat terlupa yang mereka itu adalah
proksi kepada rakyat dalam tugas memperbaikki status kehidupan rakyat.
Siapakah yang mereka perkayakan selama ini? Inilah juga yang membuat
golongan istana lupa daratan. Ramai yang pergi berubat ke luar negara di
bulan Ramadhan sedangkan kepakaran yang dicari di luar negara itu memang
sudah lama ada di kalangan rakyat jelata. Sehingga kini pun ada golongan
istana yang suka berpoya-poya di kasino luar negara. Malahan ada yang masih
tidak sedarkan diri betapa ketuanan Melayu yang satu ketika dulu di
amanahkan kepada majlis raja-raja kini sudah lama disambar oleh golongan
yang rakus yang bertopengkan parti 'keramat' (hehe) orang Melayu.
Apabila orang Melayu terus bersikap toleran kepada orang atasan yang
sebenarnya memegang kuasa sebagai amanah rakyatnya, akhirnya jadilah satu
pertembungan di antara golongan atasan dengan golongan bawahan. Hidup orang
Melayu itu kini laksana satu kepala keretapi (Loco) dan gerabaknya. Apabila
Loco itu mengiring ke kanan mengikuti landasan yang berselekoh, seluruh
gerabak yang mengikutinya akan turut mereng sama. Inilah yang dikatakan
rukun hidup orang Melayu, semuanya mesti harmoni dengan tingkah laku dan
perangai orang atasan. Orang Melayu itu pada dasarnya adalah laksana bidalan
orang Parsi Kuno: "Ikan mula busuk daripada kepalanya."
Inilah fenomena yang menghantui orang Melayu. Apabila orang atasan menjadi
terlalu korup, orang bawahan pun terikut sama. Tetapi, kebusukan itu hanya
terjadi dalam satu sistem ataupun badan yang sama. Selepas itu barulah ia
menular ke tempat lain. Apabila penularan itu berleluasa, usaha untuk
memperbaikki keadaan tidak akan berjaya. Laksana penyakit yang mudah
merebak contohnya JE; ia tidak dapat dikawal dan dibenteras dengan
membendung sumber penyakit di tempat yang sedia ada. Langkah pencegahan
terpaksa di seluruh negara.
Asas Agama Yang Jauh Menyempang
Putaran minda orang Melayu berjaya dilakukan oleh British satu ketika dulu
sehinggakan teknik memutar minda ini mudah disambung sekarang ini oleh parti
yang memerintah. Kalau kita perhatikan baik-baik akan perkara ini kita boleh
buat rumusan betapa semua itu mampu dilakukan ke atas orang Melayu sejak
dulu kala disebabkan ajaran agama Islam yang dipelajari oleh sebilangan
besar orang Melayu dulu adalah ajaran yang tidak tepat. Terlalu banyak yang
menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Bayangkan perkara ini:
Orang Melayu diajar bertaqwa kepada Allah tetapi di waktu yang sama diminta
menyembah kepada raja-raja dengan kata-kata "Ampun Tuanku Beribu
ampun....sembah patik harap diampun." Sekaligus kita mampu berkata:
Ah......itu budaya lama! Tetapi, itulah budaya ikutan yang menyebabkan orang
Melayu itu menjadi satu bangsa yang amat pekat kefahaman taat-setianya
sehinggakan kesetiaan kepada ketua itu menjadi satu budaya Melayu.
Sehinggakan sistem kesetiaan dan ketuanan Melayu boleh mendorong sesiapa
yang tertekan untuk bernekad mengamuk dan akhirnya memusnahkan diri dan
harapannya.
Disebabkan gejala itulah makanya di istana raja-raja hingga ke hari ini
masih lagi ada insan yang diberi gaji lumayan untuk menjadi Pawang istana,
pawang dalam, pawang luar dan sebagainya. Kerana itu juga kita kerap lihat
majlis yang menyalahi ajaran islam diamalkan dan dipraktikkan secara gah dan
riak di mana pawang isatana memainkan peranan utama. Bayangkanlah bagaimana
perkara ini boleh berlaku sedangkan di istana itu ada guru agama dan ada
mufti khas yang menasihatkan raja-raja tentang selok belok beragama. Kalau
kepala keretapi boleh berkecamuk tentulah perjalanannya terhencot-hencot
sehinggakan ada gerabak yang tergelincir akidahnya tanpa dapat dikesan
dengan pantas dan sopan.
Salah satu contoh bagaimana Islam dicampur-adukkan dengan ajaran yang
songsang boleh dilihat dengan apa yang berlaku di Singapura sekarang ini.
Berapa ramaikan anak Melayu Singapura yang boleh mengaji dan membaca Al
Quran? Berapa ramaikah yang sudah murtad dan kini ada pula yang datang ke
Malaysia sebagai pengembang agama Kristian? Kenapakah orang Melayu Singapura
tidak bangkit ketika British menyerahkannya kepada Malaysia untuk meredeka
dan berapa ramaikah pula yang sanggup berfikir untujk mendapatkan kerakyatan
British apabila Singapura menarik diri daripada Malaysia? Apa yang berlaku
kepada Melayu Singapura pada dasarnya adalah disebabkan sikap 'Sambil Lewa
dan Tidak Apa' di kalangan mereka. Mungkin juga ketika itu orang melayu yang
berpengaruh bukan sahaja setakat Osman Wok penulis cerita hantu di utusan
melayu ataupun Abdul Samad Said dan Abdullah Ahmad. Masyarakat Melayu
Singapura ketika itu lebih perihatin kepada pendapat pelakun dan artis
Melayu yang berlagak sakan dalam dunia hiburan dan perfileman, sehinggakan
mereka tidak sedar bahawa negara tumpah darah sendiri sudah pun diambil
orang. Kerana apa? Kerana terlalu taksub kepada kepimpinan dan ketuanan
mereka sahaja. Apabila ketuanan itu sumbang dan pincang, maka sumbing dan
terpancunglah martabat masyarakat yang mendewakannya.
Demikianlah halnya dengan perjalanan kehidupan orang Melayu itu yang terus
berada di persimpangan jalan. Tidak mudah mencari jalan lurus yang panjang,
sentiasa sahaja dihantui persimpangan jalan yang sengaja diada-adakan.
Kepimpinan UMNO Dan Landasannya
Sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan, konsep memutar minda Melayu
berterusan dengan galaknya. "ampun tuanku, ampun tuanku dan daulat
tuanku...." terus berkumandang, tetapi siapakah yang bersukaria ketika itu
dan siapa pula yang hina-dina? Komunis mencabar dan mengancam keselamatan
negara. Anak Melayu dikerah merata belantara mengejar mereka sedangkan
sebilangan besar pengikut komunis hanya berada di kem perkampungan yang
dijaga rapi di setiap malam. Makan dan minum mereka di sediakan, lampu
letrik dan bekalan air disalurkan. Orang melayu kampung hidup terus
merempat, mencari sesuap nasi untuk terus hidup melarat. Semua ini berlaku
ketika UMNO sibuk mengubah sistem ketuanan Melayu daripada berada di tangan
raja-raja kepada segelintir ketua yang semakin rakus nafsunya.
Cuba kita tanya diri kita berapa ramaikan di kalangan keluarga istana yang
kini berkhidmat dengan angkatan tentera dan polis diraja ? Berapa ramaikah
pula anak-anak dan cucu-cicit pemimpin UMNO yang kini menganggotai pasukan
bersenjata? Jangan haraplah.......! kalau tidak ada orang kampung, tidak ada
pasukan polis dan tentera. Tetapi, kenapakah anggota polis dan tentera
semakin diperlekehkan? Kerana ketua mereka seperti Rahim Noor yang datang
daripada desa pun boleh berpaling tadah dan sanggup menjual maruah untuk
menentukan ketuanannya terus kekal.
Kelakuan golongan istana Melayu jauh menyimpang daripada yang terbayangkan
oleh Melayu lama yang satu ketika bermati-matian mempertahankan golongan
itu. Dari situlah munculnya Hikayat Hang Tuah, Cerita Mat Kilau, Datuk
Bahaman, Datuk Maharajalela, Panglima Sagor dan sebagainya. Tingkah laku
masyarakat istana itu tidak selari dengan tingkah laku Melayu sejagat kerana
inilah kumpulan yang tidak boleh dikritik oleh rakyatnya disebabkan adanya
peruntukan khas dalam perlembagaan negara. Impaknya apabila anak raja
memukul lawan sepermainan di balapan hoki, dia dibebaskan. Apabila ada anak
raja yang memanggil seorang lelaki kerana dia teringinkan si isteri cantik
si lelaki itu, sang suami tidak mampu berbuat apa-apa, kerana semangat juang
di hatinya memang sudah lama tiada.
Sejak dua puluh tahun yang lalu, martabat istana itu hanya tinggal indah
kabar dari rupa. Istana raja dan keangkuhannya diharumkan kerana dari istana
makanya timbul segala bintang gelaran yang menaikkan martabat rakyat
marhaen. Melalui gelaran dan bintang, Penyamun Wong bertukar menjadi Tengku
Wong, si pembuat batang penyapu bergelar Tan Sri dan terus menyapu khazanah
negara dengan lebih bebas lagi setelah dia dilindungi oleh payung negara.
Tetapi, cuba renungkan siapakah mereka itu asalnya? Bukankah mereka dulunya
merempat di hutan rimba mencari bijih dan balak sambil membawa bekalan untuk
makanan kumpulan yang memberontak dan berselindung dalam hutan? Apa pula
yang terjadi kepada askar dan polis yang dikerah menghambat mereka di hutan
belantara itu? Lihat sekarang berapakah pencen mereka? Berdasarkan sarahidup
sekarang ini, apakah pencen para parajurit malahan bekas kakitangan kerajaan
itu, mencukupi? Adakah sesiapa di kalangan pemimpin politik yang memikirkan
hal ini? Di manakah martabat bangsa Melayu kalau kita jenguk kawasan
setinggan di merata negara dan terjumpa bekas askar dan polis yang melarat
hidupnya? Bukankah itu satu gambaran jelas bahawa wang pencen yang mereka
terima itu tidak memberi sebarang makna?
Tetapi, sebagai perbandingan, warga istana mudah hidup berpoya-poya,
walaupun sumbangan mereke kepada negara tidak sebesar mana. Warga wakil
rakyat yang sudah pencen hidup penuk eksen kerana mereka menerima pencen
walaupun khidmat mereka tidak seberapa. Yang jelas, rakyat marhaen yang
pencen hidup terus merempat walaupun khidmat mereka ketika muda dan
bertenaga memang khidmat yang sungguh hebat.
Sejarah golongan yang tertekan hanya akan difahami oleh masyarakat bangsa
yang tertekan. Kerana itu kita perhatikan ramai anak-anak muda Malaysia
daripada pelbagai kaum bersatu menyanggah kepimpinan Mahathir. Mereka faham
akan selok belok sejarah negara selepas perang dunia ke-dua. Mereka tahu apa
ertinya Hak Keistimewaan Orang melayu kerana itu adalah sebahagian khazanah
negara. Tetapi, mereka juga bukan buta apabila Hak itu dijadikan isu untuk
Pemuda Umno mengugut orang lain "agar tidak menjolok sarang tebuan". Sebagai
rakyat berpendidikan tinggi, ramai anak muda Malaysia yang membenci Mahathir
dan mereka semakin faham bahawa orang Malaysia tidak suka menjolok tabuan
kerana mereka lebih pintar memelihara lebah dalam sangkar untuk mendapatkan
madunya. Mungkin ramai orang bukan Melayu dalam Pemuda UMNO yang tidak tahu
ilmu pengetahuan itu.
Rekod kerajaan menunjukkan bahawa sebilangan besar anggota tentera dan polis
sekarang ini mempunyai saudara tua yang pernah menjadi anggota yang sama.
Dengan lain perkataan semangat mempertahankan negara secara memikul senjata
sudah menjadi darah daging mereka. Tetapi, cuba lihat kebanyakan Tan Sri,
Datuk Seri dan Datok-Datok (dari kalangan yang bukan Melayu) yang
mendampingi seorang diktator tua sekarang ini, siapakah mereka asalnya?
Majoriti mereka itu tidak pun lulus MCE (Malaysian Certificate of
Education), OSC (Overseas School Certificate) ataupun SPM. Kalau mereka
mampu mendampingi seorang perdana menteri bererti mereka mampu mempengaruhi
pendirian seorang perdana menteri dalam menyalahgunakan kuasanya. Sekaligus
mereka mampu memperlekehkan majoriti orang Melayu.
Di dalam hidup ini kita tidak perlu merasa irihati atas kejayaan sesiapa.
Itu terpulang kepadanya kalau mahu jadi seorang hartawan ataupun dermawan.
Tetapi, dalam dia meniti tangga kekayaan itu kita dapati dia meyimpang
daripada asas hidup sehat sehinggakan mampu menekan sebilangan besar rakyat
negara ini. Orang itu layak ditakrif sebagai pengkhianat bangsa. Tidak kira
kalau dia masih memegang kuasa politik ataupun tidak. Kita mesti
memeranginya mati-matian, kalau boleh.
Satu ketika dulu, sebilangan besar orang Melayu telah mengamanahkan tugas
menyuburkan negara dan tugas memperbaikki taraf hidup rakyat negara ini
terutama sekali orang melayu kepada satu kumpulan pemimpin Melayu dalam
UMNO. Dengan kata mudah, orang melayu telah bergantung harap kepada UMNO
untuk memartabatkan darjat bangsa Melayu ke satu mercu kejayaan yang
menyelerakan. Apa jadinya?
Setelah merdeka selama 43 tahun, orang melayu masih merempat di negaranya.
Laksana itek yang kehausan di lautan yang luas dan ayam kematian di kepuk
padi, orang Melayu masih merana lagi. Perjalanan hidup orang Melayu itu
bukan sahaja panjang, tetapi ia kerap berhadapan dengan persimpangan yang
sentiasa diada-adakan. Janganlah ada sesiapa yagn terus berlagak mengatakan
perjuangan melayu itu masih panjang, sedangkan di hadapan sana ada satu
persimpangan jalan yang masih belum mampu dilalui lagi.
Bayangkan perkara ini:
Raja-raja kata orang Melayu mesti bersatu tetapi ada pemimpin Melayu yang
berkata kemungkinan Melayu membaling bom molotov untuk berbuat kacau.
Pemimpin berkata jangan dengar desas desus dan surat layang, tetapi wira
dunia ketiga sanggup mempercayai surat layang seorang dara tua. Pemimpin
yang sama pernah mengaitkan kelakuan liar budak sekolah sebagai mereka yang
telah dipengaruhi oleh parti pembangkang.
Rakyat disuruh mengetatkan tali pinggang agar tidak boros. Di waktu yang
sama kementerian budaya dan pelancungan memasang iklan di teksi dan
kenderaan awam dan juga di setiap akhbar perdana untuk menarik minat oang
berbelanja besar untuk satu bulan lamanya. Rakyat disuruh menyokong
pembelian kereta PROTON, di waktu yang sama menteri perdagangan mengeluarkan
AP (Approval Permit) untuk kemasukan kereta buatan asing.
Di minggu terakhir bulan Ogos, terpampang berita lesen terbang yang
dikeluarkan oleh sindiket haram. Saya pernah menulis akan hal ini kira-kira
satu tahun yang lalu. Saya mendedahkan betapa lesen terbang ini bermula
sejak sebuah komputer terbakar dalam kebakaran di JPJ Ipoh, dulu . Saya
bangga dengan pendedahan sindiket ini. Tetapi kita mahu tanya sedikit,
kerana ada peminat yang minta ditulis soalan ini. Di pejabat manakah
anak-anak para menteri menerima lesen memandu mereka? Kalau lesen terbang
sudah lama berleluasa, berapa ramaikan di kalangan artis galamor dan
sukusakat VIP UMNO yang mempunyai lesen seperti ini?
Memang banyak lagi soalan yang telah dikemukakan untuk disampaikan; cukup
dulu setakat ini. Yang lebih penting sekali kita mesti fikirkan betapa
halnya dengan pemandu yang bebas di jalan raya dengan lesen terbang itu?
Bukankah pemandu seperti itu bakal membunuh orang lain secara 'tidak
sengaja' ? Bagaimanakah dosa para ahli sindiket ini dibandingkan dengan dosa
seorang insan yang dilebamkan matanya?
Bila Ular Bersalin Kulit
Demikianlah berkobarnya semangat bangsa Malaysia di tahun ke 44 negara
mengharungi kemerdekaannya. Ia bermula dengan kempen mengibarkan bendera
yang gagal segagalnya. Kenapa? Kerana rakyat sudah getek dan muak dengan
kepimpinan yang ada. Kini, kita lihat semua lapisan manusia sudah berani
bersuara mahukan perubahan dalam kepimpinan negara.
Sebisa-bisa ular, ia bersalin kulit dengan cara si ular menarik hujung
ekornya. Dari situ bermulalah proses di mana otot ular menarik lapisan
kepala sehinggalah ke ekornya. Apabila proses bersalin kulit itu berlaku,
ular akan terdiam dan kepalanya terus menjadi kaku. Kemedian gamaknya yang
akan berlaku kepda orang Melayu. Selama ini kepala asyik menggigit ekornya.
Hanya menunggukan masa sebelum ular itu bersalin terus kulit yang jijik dan
tercemar itu.
Memahami Kebangkitan Rakyat
Rakyat dari pelbagai latarbelakang sudah bangkit. Laksana air yang deras
mereka muncul di satu ruang yang sempit selama ini sehinggakan aliran air
itu sudah melimpah ke tebingnya. Lihat saja tulisan yang dilakukan oleh MGG
Pillai, Sabri Zain, Amin Sapiro, Pengulu Cekau,Ibrahim Baba, Cucu Datok
Bahaman, Matdeghih, Gobalakrishnan, S. Raj, Tun Teja, Terabulsi, Tok Misai,
Dahlia, HC, CWSK, Ibnu Nawawi, Kemang Suasa, Abang Long, Elniza, Ali alah
Ditta, Noreen, Rubber Tapper, Osama ben Laden, Tokey Bas, Fathi
Baihaqitullah, Tok Ketampi, Honda Civic, Panglima Sauk, Ummi Nasuha, TV3,
Kubang Pasu, webaNtu, Panji Tengkorak, Wartawan Pencen, Polis Pencen, Pena
Suasa, TMJ, Mr. Akitek, Mr. Canggih, Banker, Jebat 2020, Kim Guek, Kakak
Id, Azahari S., Cik Siti, Damak. Mr. Boo, Mr. Nestea, Jinbravo, Mr. Zack,
Siti Nurbaya, Martin Stephen Jalleh, Abuya, anak Melayu Jati, Nettto, Mike
Chinnoy,Bomohdin, Rakyat Perihatin, Anak Melayu, Graduan PJJ, Shah1,
Pensyarah Komunikasi, Dr. ,Pencarum KWSP, Ustaz Ali Muda, Pemikir, Pembaca
MR, Hackerzparadise,Dr. Nologareng, Major ATM, Bob, Bapa Mahasiswa,
Kolonel, Abu Abdullah, Punggok Siber, Polong Cyber, Mat Teropong dan
banyak lagi. Memang banyak lagi, sehinggakan masih lagi ada yang tidak
tecatit di sini kerana terlupa. Semua mereka ini termasuk mereka yang
menggunakan nick ('anonymous') adalah rakyat Malaysia daripada berbilang
kaum dan agama yang mahukan Mahathir mengundurkan diri sebelum terlambat.
Malahan, ada tulisan seorang Cina Kristian yang menggunakan nick Beh Sai
Kong (Tak Boleh Cakap). Apakah isi tulisan mereka kalau bukan kerana mahukan
satu negara yang maju dan terus maju. Kerana apakah mereka menulis dengan
jelas dan bersemangat itu? Kerana mereka tahu tugas menentukan keharmonian
negara adalah tanggungjawab bersama. Begitu juga dengan tindakan ramai ulama
muda yang sanggup tinggalkan kerja dan gaji lumayan seperti imam besar
masjid negara untuk turun ke padang menjelaskan keadaan sebenar daripada
kacamata Islam kepada rakyat.
Sekaligus, amanah rakyat kepada Mahathir dan para jongosnya adalah satu
amanah yang lama sudah diaibkan. Mahathir dan orang-orangnya lupa bahawa
sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya yang menyebut ampun rakyatku, ampun
rakyatku .......! Kami wakil mu memang sudah lama menipu....!
Mahathir mundar-mandir mengelilingi dunia berlagak betapa dia dapat
menyelesaikan krisis ekonomi negara tanpa meminjam daripada bank Dunia dan
IMF. Siapakah yang boleh percaya laungan itu kalau bukan rakyat di Afrika,
kerana mereka bukannya tahu cerita sebenarnya. Kenapa tidak disebut kalau
kita meminjam daripada Bank Dunia dan IMF mereka mahukan Malaysia
menghentikan amalan korupsi dan kollusi? Mungkinkah anak-anak Mahathir
berlagak sakan lagi kalau kita meminjam daripada tabung dana seperti itu?
Kerana itu Malaysia terpaksa menjual bon Petronas dengan perimium yang
tinggi kerana tidak perlu melakukan perubahan dalam sistem kroni, korupsi
dan Detkasi.
Sepatutnya di alaf baru ini Malaysia melangkah ke hadapan untuk terus maju
lagi. Sepatutnya Malaysia berada jauh di hadapan di antara negara dunia
ketiga. Sebaliknya yang berlaku kini, gara-gara pendekatan pimpinan yang
'myopic'. Mahathir kerap bersuara lantang ke sana dan sini berlagak betapa
dia membetulkan krisis negara tanpa meminjam dana daripada Bank Dunia. Di
waktu yang sama Petronas semakin tergadai. Menyedari hakikat ini royalti
minyak kepada Terengganu kini bertukar nama dengan Dana Ehsan.
Antara Royalti Dan Dana Ehsan?
Sebenarnya siapakah yang mahu ditipu oleh Mahathir, UMNO dan Rais Yatim?
Gelagat Mahathir dan UMNO dalam hal ini adalah laksana menjolok sarang
tebuan. Lihatlah nanti apa yang akan jadi. Sila ambil perhatian ramalan ini:
Kalau Mahathir dan UMNO teruskan rencana menukar royalti kepada Dana Ehsan,
sebelum menjelangnya Pemilu-11 nanti, ada kerajaan negeri di bawan BN yang
akan bertukar tangan ke tangan pembangkang. Janganlah menipu rakyat lagi,
dan janganlah perkecilkan kewibawaan orang Melayu. Terengganu kini ditadbir
oleh PAS tetapi itu adalah kerajaan orang Melayu. Menidakkan kerajaan
Terengganu yang ada dan rakyatnya kepada hak royalti minyak itu samalah
dengan memperlekehkan keseluruhan Bangsa Melayu. Lihatlah nanti bahananya,
kalau kepimpinan UMNO masih lagi tidak sedar dan percaya akan hal
ini.......! Jangan lupa bangsa apakah yang menganggotai Askar Melayu? Kaum
apakah yang dominan dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia? Sejarah sudah
menunjukkan kalau orang Melayu diasak hingga ke dinding, bahananya adalah
amat menakutkan. Inilah yang difahami oleh semua bangsa di negara ini dan
dirakamkan oleh penulis sejarah Portugis, Belanda, China, Jepun, Amerika,
British dan lain-lain lagi. Selama ini Mahathir berjaya meyakinkan orang
UMNO betapa 'memory' orang Melayu itu hanya mampu mengingat sesuatu untuk
satu ratus hari sahaja. Tetapi, bukankah Anwar Ibrahim sudah terpenjara
lebih daripada 700 hari? Apakah orang Melayu sudah lupa akan beliau kini?
Yang nyata Anwar Ibrahim semakin dikagumi sedangkan Mahathir dan UMNO
semakin dikeji.
Soalnya sekarang Mahathir akan terus menipu dunia sambil kita rakyatnya
sanggup duduk ketakutan menantikan keganasannya setiap kali dia pulang untuk
berehat seketika di Mahligai Airmata. Sampai bilakah perkara ini akan
berlaku? Sampai bilakah anda sanggup bersekongkol dengannya untuk menipu
bangsa anda terutama sekali anak-anak dan cucu-cicit yang akan anda
tinggalkan apabila anda pergi menghadapi panggilan Tuhan?
Marhaintua
5 Ogos, 2000