Laman Webantu KM2A1: 2722 File Size: 8.5 Kb * |
MT: Konspirasi memacu Pasaran Saham BSKL? By web aNtu 6/9/2000 8:34 am Wed |
KONSPIRASI MEMACU PASARAN SAHAM BSKL?
Dipetik dari Laman Dengan sedikit perubahan dan format. Rencana ini diolah dari satu siri penulisan pada penghujung tahun
1999, di mana desas desus Kesan Y2K dan lain-lain faktor menghantui
pelabur-labur saham. PRAKATA: Mengikut seorang pakar saham, pasaran saham bolehlah
diibaratkan laksana lautan yang luas terbentang. Ombak yang
bergelora di lautan adalah laksana sentimen pasaran yang dipacu
oleh emosi manusia. Sesuatu kaunter saham pula adalah laksana
kapal layar yang berada di lautan itu. Turun naik harga sesuatu
kaunter saham itu adalah dikuasai oleh beberapa faktor seperti
emosi manusia (lautan) dan kekuatan emosi sindiket yang memacu
sesuatu kaunter itu (angin yang berkencang), jumlah putaran niaga
setiap kaunter (muatan kapal layar itu) dan kuasa jual beli yang
disebabkan pembelian yang dibuat lebih awal (tali sauh yang
dicampakkan ke dasar laut). Kalau dinilai akan semua aktibiti yang mengendalikan pergerakan
sebuah kapal layar di lautan itu, maka kita akan sedar bahawa
sesuatu kaunter saham itu bergerak mengikut emosi manusia yang
berkemungkinan besar mengawal pergerakan sesuatu kaunter
tersebut. Dengan hal yang demikian, seorang yang pakar dengan
pasaran saham boleh meraih keuntungan yang berpatutan kalau dia
bersedia meraih kuntungan yang kecil pada setiap hari niaga
pasaran itu. Perkara ini amat cocok dengan pelaburan runcit tetapi
tidak serasi dengan pelaburan institusi ataupun pelaburan jangka
panjang. Disebabkan ciri-ciri permainan saham, demikianlah makanya
pasaran BSKL itu sentiasa bergelora terutama sekali apabila hari
perniagaan itu semakin hampir dengan hari lebaran. Kebanyakan
para peruncit tidak suka menyimpan pegangan mereka menjelang
lebaran. Pegangan yang bersifat 'overnight purchase' adalah
merupakan pembelian para pelabur institusi.
Bila BSKL merudum Sentimen pasaran saham di sesuatu negara mempunyai hubung
kait yang rapat dengan sentimen pasaran global. Sentimen ini
dipengaruhi pula oleh perbezaan waktu berniaga di antara pasaran
di Asia dengan pasaran di Europah dan pasaran di Amerika.
Pedoman sentimen yang paling ketara ialah Indeks pasaran. Indeks
pasaran dipengaruhi juga oleh jumlah turun naik saham pilihan
dalam sesuatu pasaran itu. Selalunya pasaran di Asia banyak
dipengaruhi oleh indeks pasaran di Wall Street dan pasaran Wall
Street pula dipengaruhi juga oleh prestasi beberapa pasaran di
Eropah. Hubung kait yang amat ketara inilah yang mempengaruhi
pasaran BSKL, terutama sekali apabila pasaran kita bermula sedikit
lewat daripada pasaran di Australia dan New Zealand, Jepun dan
Hongkong dan juga (untuk suatu waktu yang sudah pun disamakan)
Singapura. Kecanggihan elektronik membolehkan pembelian dibuat oleh
pembeli dengan menggunakan syarikat proksi. Pembelian cara ini
dibuat untuk melindungi identiti si pembeli ataupun untuk dijadikan
sebagai kamoflasy (camouflage) bagi kerja-kerja mengeksploitasi
keadaan sesuatu pasaran. Kepintaran mengeksploitasi pasaran
membolehkan sesuatu sindiket itu membuat keuntungan yang cepat
dan tinggi pada sesuatu masa tertentu. Namun kegiatan ini hanya
dapat dibendung kalau adanya ulangan aktibiti itu dalam satu waktu
yang singkat di mana aktibiti itu menjadi ketara.
Apabila pelabur runcit dapat mengesan aktibiti mengeksploitasi
sesuatu kaunter itu, ia akan mencetuskan satu situasi di mana
pelabur runcit yang lain akan turut serta. Ini mencetuskan satu
situasi di mana kaunter yang terbabit dipacu naik dengan derasnya.
Akan tetapi, sebagaimana yang lumrah dalam pasaran, seseorang
yang bersedia mengimpikan keuntungan besar dalam pasaran
saham semestinya bersedia juga mengigaukan kerugian besar
dalam pasaran yang sama. Inilah falsafah pelaburan di pasaran
terutama sekali kala pelaburan itu bersifat runcit dan dibuat secara
kontra. Dengan hal yang demikian, apabila pasaran BSKL merudum,
ramailah para pelabur yang kerugian besar. Kerugian ini boleh juga
membabitkan para pelabur yang mencagarkan saham mereka
untuk meminjam wang bagi pembelian saham yang lain.
Fenomena 'Double Whammy' Apabila seorang pelabur mencagarkan sahamnya kepada bank
ataupun institusi kewangan untuk mendapatkan tambahan wang
modal, ia akan mengalami taufan kemuflisan disebabkan fenomena
'double whammy'. Pinjaman yang berdasarkan harga saham yang dicagarkan menjadi
tergugat kerana harga saham asal sudah pun merudum begitu jauh
sehinggakan memaksa peminjam mencagarkan saham tambahan
untuk menampung nilai nisbah pinjaman yang sudah pun berubah.
Di waktu yang sama pembelian yang dibuat dulu sudah pun
memberikan kesan negatif kerana nilai saham itu sudah pun
merudum juga. Fenomena ini adalah laksana seorang penunggang kuda yang
terjatuh dari tunggangannya dan dipijak pula oleh tunggangannya
itu. Inilah fenomena yang meranapkan BSKL dan memufliskan begitu
ramai pelabur di pasaran itu. Kesan kerugian itu dijangka akan
berterusan untuk beberapa tahun lagi. Malahan ramai yang sudah
pun menjadi aruah kerana membunuh diri ataupun terlantar di atas
katil kerana serangan angin ahmar. Bila Kroni Tersepit Implikasi yang amat ketara disebabkan pasaran yang merudum telah
dialami oleh para konglomerat yang mempunyai banyak syarikat
yang didaftarkan di pasaran saham. Sudah pasti fenomena 'double
whammy' menyerang mereka dengan teruk sekali. Kalau mereka
merupakan tuanpunya syarikat yang besar-besar di pasaran saham,
penglibatan mereka dengan mencagarkan saham persendirian di
pasaran itu sudah pasti membuatkan mereka muflis dalam satu
masa yang amat singkat sekali. Sekarang, cuba bayangkan apa yang boleh jadi kepada seorang
ahli koperat yang mempunyai lebih dari 50 syarikat yang tersenarai
di pasaran saham? Kalau kita mahu mengambil sikap kurang ajar
kita boleh ubahsuai soalan itu seperti ini: 'Bayangkan apa jadi
dengan anak-anak MAHAFIRAUN ketika BSKL merudum?'
Jawapannya ialah 'Sudah pasti mereka menjadi muflis.'
Fenomena Kucing Melepas Dalam dunia pasaran ada satu undang-undang yang tidak bertulis
yang berbunyi; " Do not love your stocks, love your families more!"
amat bertepatan sekali maknanya. Dosa yang paling besar bagi
seorang pemain saham ialah mengkaitkan perasaan cinta yang
amat dalam terhadap saham yang dibelinya. Seorang pemain saham
yang pintar tidak akan menyimpan sahamnya untuk bakal hari tua. Ia
akan melepaskan pegangannya setiap kali dia sudah meraih
keuntungan. Di waktu yang sama dia akan melepaskan
pegangannya jika saham itu menurun. Untuk membeli saham ketika
ia sedang turun adalah laksana menyambut pisau yang sedang
jatuh menjunam (catching the falling knives).
Sebarang usaha untuk menahan kejatuhan saham yang sedang
merudum adalah laksana kucing yang mahu melepas. Dia akan
menghidu persekitaran tempat dia mahu melepas itu dan menggali
sedikit tanah untuk memberi ruang menampung benda yang hendak
digugurkannya. Apabila merasa lega dengan yang dilepaskannya itu
dia akan mengaut tanah tadi untuk menutupinya. Perangai yang
sama selalu dilakukan oleh peruncit yang melabur di pasaran
saham. Oleh kerana dia banyak membeli pelbagai jenis saham,
setiap kali dia cuba menutup sesatu kerugian yang berlaku pada
satu jenis kaunter, dia akan kerugian. Perbuatan ini adalah laksana
seekor kucing yang melepas secara beurutan di satu tempat yang
sempit. Besar kemungkinannya usaha untuk menutup tempat
lepasan yang baru itu membabitkan taik yang baru ditutupnya di
tempat yang berdekatan. -MT- |