Laman Webantu KM2A1: 2721 File Size: 6.2 Kb * |
TJ: Jambatan Kedua Dan Singapura By Marhain Tua 6/9/2000 8:27 am Wed |
Jambatan Kedua Dan Singapura Akhirnya, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, membuat
pengakuan betapa ketiadaan perjanjian rasmi di antara Malaysia dan
Singapura telah membantutkan pembikinan jambatan baru untuk
menggantikan Tambak Johor. Rancangan pemibikinan 'Southern
International Gateway' itu telah diolah tanpa merujukkannya kepada
Singapura terlebih dulu. Sedangkan pihak Singapura telah pun membina
stesen pemeriksaan kastam, imigresen dan pusat karantina (CIQ) di
Woodlands untuk rakyat Malaysia yang keluar masuk Johor Bharu. Tentu
sekali Singapura tidak bersedia melihatkan pelaburan mereka membazir
sahaja. Pintu masuk baru memanglah dianggap sebagai bersesuaian
dengan kehendak semasa, tetapi laluan Gelang Patah ke Singapura masih
kurang digunakan lagi sehinggakan usaha pemusnahan tambak itu
difikirkan masih tidak perlu. Namun, selagi jambatan baru itu tidak terbina,
tambak Johor itu masih lagi diperlukan. Inilah yang mungkin meranapkan
peranan Johor, kalau diambil kira akan kepentingan perniagaan itu kepada
segelintir insan yang kaya raya kerananya. Kerana itulah kerap disebut
akan kesesakan di tambak Johor itu sebagai alasan membikin laluan yang
baru. Akan tetapi para perancang yang berkenaan tidak pun membuat kajian
yang menyeluruh seperti yang sepatutnya. Mereka mengambil sikap
bahawa Singapura mudah bersetuju dengan pendapat mereka. Kerana itu
mereka membuat rencana sendirian bagaimana jambatan itu akan di
sambungkan ke Singapura. Hanya selepas itu mereka bersemuka dengan
orang Singapura untuk mendapatkan persetujuan mereka. Kedua-dua pihak
telah bersidang untuk membincangkan akan laluan baru itu, tetapi
perbincangan mereka terbantut kerana pihak Malaysia tidak pernah
mengemukakan cadangan untuk menghubungkan CIQ yang sedia ada di
Woodlands kepada laluan yang dicadangkan itu. Yang lebih penting lagi,
KTM (Keretapi Tanah Melayu) terpaksa menamatkan perkhidmatannya di
Johor Bharu kerana keadaan struktur 'gateway' itu telah dibina sungguh
tinggi daripada paras tanah untuk kemudahan keretapi. Inilah yang
memperlekehkan ketegasan Malaysia agar KTM diberikan hak untuk
berkhidmat langsung ke pulau itu. Perundingan telah terhenti. Malaysia mahu menyambung khidmat KTM
lagi. Singapura telah memberi syarat kalau itu yang Malaysia mahukan,
struktur yang menyambungkan keretapi kepada jambatan baru akan dibina
itu hendaklah bermula beberapa kilometer jauhnya daripada Johor Bharu
dan Woodlands. Ironisnya, Malaysia sengaja meneruskan projek mereka
dengan membuat pengumuman siapa yang akan membikin projek itu. Saya
pernah menghadiri jamuan makan tengahari dengan seseorang yang
bersangkutan dengan konsortium yang membina projek itu. Beliau bertegas
betapa projek itu akan diteruskan, tidak kiralah samada Singapura akan
bersetuju ataupun tidak. Keangkuhan seperti inilah yang mewarnai
suasana perbincangan itu pada keseluruhannya.
Dato Ghani pernah memberitahu bagaimana rupa bentuk laluan baru itu:
sepuluh lorong bagi kenderaan berat, motokar, motosikal dan pejalan kaki.
Ini bererti Selat Tebrau boleh dilalui oleh kapal sekali lagi. Satu sambungan
laluan keretapi akan dibina lengkap dengan satu CIQ yang baru untuk
menggantikan ruang yang ada di Tanjung Putera. Tidak pula dia
memberitahu di mana percantuman itu akan dibuat ke pulau tersebut dan
bagaimana pula percantuman ke Woodlands akan dilaksanakan. Kontrak
projek telah dianugerahkan mengikut cara yang lazim, mengikut stail
pengurusan Bolehland. Tentunya yang membalun projek itu ialah para
kroni, adik-beradik, para juak dan jongos dalam rupa bentuk konsortium
segera agar segala masalah akan diuruskan secara yang mahal belaka.
Kontrak itu telah diberi kepada satu konsortium yang diketuai oleh Gerbang
Perdana Sdn. Bhd dengan Merong Mahawangsa Sdn Bhd (60 persen
ekuiti), DRB (20%) dan Detik Nagasari Sdn Bhd (20%) Sebuah syarikat di
mana seorang menteri kabinet mempunyai kepentingan yang berpadan
adalah salah satu kontraktor projek itu.
Akhbar The Star bertarikh 4 September 00 telah menulis satu pojok yang
berbunyi "Keizinan Singapura Diperlukan Untuk Projek..." ini menunjukkan
kerajaan pulau itu yang melecehkan keadaan. Yang sebenarnya, Kuala
Lumpur yang melecehkan semua itu. Sepatutnya, kalau projek itu satu
usahasama, ia patut dilakukan oleh satu konsortium Singapura-Malaysia di
mana kontraktor dipilih mengikut tender bertaraf antarabangsa. Kaedah
menyuap kroni, adik beradik, para juak dan jongos terpaksa dihentikan.
Kalaulah projek ini mahu dimulakan, ia mesti memikirkan bagaimana ia tamat
di Singapura dengan menggunakan kemudahan CIQ di Woodlands.
Terpulanglah kepada Malaysia menentukan pangkalannya di Malaysia
pula. Samada projek ini membolehkan KTM berkhidmat semula dalam
republik itu, adalah satu soal lain. Pada yang sudah-sudah, banyak masalah dua-hala dengan Singapura telah
dikendalikan secara tergesa-gesa mengikut rentak pertimbangan dan faktor
politik setempat sehingga tidak memungkinkan satu penyelesaian yang
selesa. Pertimbangan politik dalaman dalam arus yang menyangkuti
Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara Jua, sedang menghantui
pihak pentadbiran, sehinggakan mendesak agar sebarang perundingan
mengenai 'Southern International Gateway' itu mesti ditangguhkan
sehingga satu keadaan yang lebih tenang dan ketika negara dipimpin oleh
orang lain. Walau bagaimana pun, tidak ada konsortium ataupun kerajaan
yang sanggup berbelanja sejumlah RM1.5 bilion untuk membina projek itu.
Diterjemahkan oleh: -MT- |