MGG67
Cubaaan Mahathir Mengkucar-kacirkan Negara
Terjemahan Rencana:
(Xenophobic Mahathir Attempts to Confuse)
Oleh: Kim Guek
Ucapan menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan yang
dilakukan oleh Mahathir Mohammad adalah satu usaha untuk
menakutkan dan mengkucar-kacirkan minda rakyat Malaysia
agar terus menyokong kepimpinannya yang semakin bersifat
kesewelan dan penuh dengan cakap-cakap mengarut. Nampak
sangat dia sudah semakin takut dan benci kepada orang
asing dan mahukan rakyat terus setia dan terus bersetuju
dengan retorik yang semakin menggila. Semakin terserlah
betapa seorang pemimpin yang hampir tersungkur sedang
menggerapai-gerapai apa juga yang ada untuk terus berkuasa.
Jika tidak, bagaimanakah seseorang itu dapat menjelaskan
kosongnya cakap mengarut beliau itu apabila menceritakan
kedahsyatan ancaman luar yang sedang melanda negara ini?
Mahathir memang cuba mencetuskan satu suasana dharurat
dengan menggambarkan negara ini sedang menghadapi serangan
kumpulan pelampau daripada kaum Cina (dalam bentuk
kumpulan Shuqui), pengganas (Al-Ma'unah), fitnah daripada
laman web internet (kumpulan pro reformasi) dan penjajahan
daripada luar negera (negara maju). Gambarannya mengenai
kemungkinan tercetusnya bencana itu sudah semestinya
disusuli pula oleh saranannya betapa semua itu dapat
diselesaikan seandainya rakyat bersatu di bawah
kepimpinannya.
Rakyat Malaysia mungkin sudah biasa dengan cakap-cakap
kosong jenis ini yang tersembul daripada mulut Mahathir.
Tetapi apabila cakap-cakap yang menjijikkan ini diucapkan
sebagai Ucapan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara,
mesej yang mahu disampaikannya itu tentu membawa implikasi
yang sungguh serius dan bakal mencetuskan bahaya kepada
negara ini.
Satu perkara yang mesti kita fikirkan ialah Mahathir sedang
menanggung beban krisis politik yang paling serius dalam
seluruh kerjaya politiknya. Hukuman terbaru yang dikenakan
ke atas Anwar merupakan pukulan penyudah yang menhenyaknya
daripada mercu kegemilangan politik; daripada kacamata,
hati dan minda keseluruhan masyarakat Melayu, kecuali
hanya segelintir daripada mereka yang masih bergantung
kepada tepi kainnya untuk mendapatkan habuan kebendaan.
Kejatuhannya itu memang dipandang oleh dunia luar dengan
penuh minat. Kerana itu dia dicemoh dan dikritik secara
ganasnya oleh pemimpin dan juga media massa di
keseluruhan negara yang yang mengamalkan demokrasi. Malahan
di gelanggangnya sendiri di mana pemimpin Asean tidak
digalakkan membuat komen yang menyanggah perjanjian Asean
Protokol, media tempatan di negara itu tidak pernah mahu
berlembut dalam memperlekehkan Mahathir kerana hukuman
yang dijatuhkan ke atas Anwar. Mereka menuduhnya kerana
menyalahgunakan institusi demoktarik Malaysia dalam
kerja-kerja pengaiban itu.
Seorang pemimpin yang 'muka-tebal' seperti yang pernah
diakuinya sendiri, mungkin tidak akan mudah tersungkur
disebabkan kehilangan maruah dan kredibiliti. Tetapi, dia
pasti tidak dapat betahan lama dalam dunia politik apabila
bangsanya sendiri yang merupakan tulangbelakang kuasa
politiknya itu, mula meminggirkannya. Mahathir lebih
mengetahui daripada orang lain betapa ketahanan kuasa
politiknya itu amat bergantung kepada sokongan orang
Melayu yang dapat dipertahankannya.
Akan tetapi, apakah caranya untuk mendapatkan balik
sokongan orang Melayu itu? Ada cara yang terhormat dan ada
juga cara yang tidak terhormat dalam hal ini. Sesiapa yang
mengenal perwatakan Mahathir, tentu akan mengenepikan cara
yang terhormat itu yang memerlukan seseorang itu bertaubat
dan berubah sikap.
Namun, apabila kita lihat akan kemungkinan yang tidak mulia
itu satu cara yang mudah untuk Mahathir ialah dengan
menghamburkan beberapa habuan yang berlebihan untuk
mendapatkan sokongan. Ganjarannya ialah berbentuk
wangtunai, pinjaman, kontrak yang lumayan, projek
pengswastaan, pangkat dan kedudukan dalam jawatan tinggi
baik di jabatan kerajaan ataupun korporat dan sebagainya.
Malangnya kebanyakan kemudahan ini sudah hampir pupus
kerana telah digunakan. Dengan hal yang demikian apakah
pilihan yang ada pada Mahathir selain daripada mencetuskan
beberapa isu yang mampu menarik minat orang Melayu
menganggotai UMNO? Adakah isu yang lebih menarik daripada
kisah hak keistimewaan orang Melayu yang ditentang dengan
pantasnya oleh kumpulan pelampau kaum Cina, dan isu
kemungkinan negara dijajah oleh orang asing?
UMNO telah sengaja mencetuskan isu "mempertikaikan hak
keistimewaan orang Melayu" untuk melencongkan perhatian
daripada kesan negatif yang tercetus disebabkan hukuman ke
atas Anwar. Ini dibuktikan oleh peristiwa berikut:
1. Pada 14 Ogos, enam (6) hari selepas Anwar dihukum,
Utusan Melayu yang dikuasai oleh UMNO telah menerbitkan
satu pojok berbunyi "Hapuskan Hak Keistimewaan Melayu".
Berita yang diterbitkan menyatakan betapa David Chua,
Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Majlis Ekonomi Nasional
II (MAPEN II) telah menyarankan agar hak keistimewaan orang
Melayu itu dihapuskan. Isi saranan itu telah diterbitkan
dalam majallah Far Eastern Economic Review (FEER) bertarikh
10 Ogos. Berita ini telah menggegarkan kepimpinan UMNO
yang dengan lantangnya menyanggah dan memberi amaran kepada
sesiapa yang sanggup pertikaikan hak itu. Yang perlu
dinyatakan di sini ialah majalah FEER yang bertarikh 10
Ogos itu telah mula dijual di Malaysia pada 7 Ogos.
Kalaulah wawancara Chua itu merupakan sesuatu yang jijik
dan melanggar kesucian hak keistimewaan Melayu, kenapakah
Utusan Malaysia membazirkan satu minggu sebelum membuat
keputusan untuk mengsensasikan isu tersebut? Apakah kerana
ketika itu kesan bahang bencana yang tercetus disebabkan
hukuman yang dijatuhkan ke atas Anwar itu telah dirasai,
makanya difikirkan wawancara Chua itu adalah satu alat
pelencong yang munasabah untuk digunakan?
2. Kontroversi yang dicetuskan oleh Chua itu tidak pun
bertahan lama. Ia telah didapati sebagai satu isu yang
tidak penting. Dalam wawancaranya dengan FEER itu, Chua
yang merupakan seorang pengikut setia parti yang
memerintah, hanya mendedahkan satu fakta yang memang sedia
ada: bahawasanya MAPAEN II sedang membuat pertimbangan
melonggarkan kepentingan Melayu dan kemudahan kuota
dengan tujuan memangkinkan persaingan orang melayu dalam
ruang lingkup kemungkinann berlakunya proses liberalisasi
dalam aktibiti dagang serantau dan sejagat. Chua tidak
pernah memberi sebarang kiasan bahawa hak keistimewaan
orang Melayu, seperti yang termaktub dalam perlembagaan
negara, akan dipinda ataupun dicabar. Tidak pun ada
sebarang bayangan bahawa MAPEN II yang dianggotai secara
dominannya oleh kumpulan ningrat masyarakat Melayu itu akan
memikirkan perubahan serupa itu.
3. Dengan terbantutnya kontroversi yang membabitkan Chua
itu, UMNO telah berjaya dengan pantasnya menggapai satu
daleh baru dalam usaha untuk memanjang dan mempercepatkan
isu "pertikaian hak keistimewaan Melayu" itu. Kali ini,
Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya (Suqui) yang bernaung di
bawah MCA menjadi sasarannya. Suqui telah mengadakan satu
mesyuarat tertutup untuk menyambut ulangtahun pertamanya
pada 16 Ogos dan tidak ada pun jemputan kepada wartawan
akhbar ke majlis itu. Dua (2) hari kemudiannya pada 18
Ogos, Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Timbalan Presiden
Pemuda dengan dianggotai oleh lebih satu ratus pengikutnya,
telah mengadakan satu demonstrasi ganas dengan kelakuan
biadab yang lengkap dengan sepandok yang bertuliskan
perkataan menghasut, di hadapan Dewan Perhimpunan Cina
Selangor. Inilah dewan perpaduan masyarakat Cina di mana
kumpulan Pemuda UMNO itu telah mengkasari wartawan dan
mengugut untuk membakar bangunan itu, sebelum menyerahkan
satu memorandum bantahan. Ketika itu Suqui sedang
mengadakan satu mesyuarat di dalam bangunan itu. Suqui
telah mempelawa Pemuda UMNO untuk berdialog, tetapi telah
ditolak dengan kesatnya.
4. Satu perkara penting yang perlu diberi pertimbangan
dalam kontroversi terbaru membabitkan Suqui ini ialah 17
jenis rayuan yang dikemukakan oleh pertubuhan ini SATU
TAHUN yang lalu, telah diterima oleh Barisan Nasional yang
memerintah dan diberikan lapuran yang meluas dalam akhbar.
Ada beberapa pemimpin BN yang membuat kenyataan betapa
rayuan itu adalah berbentuk "Prinsip Universal, yang
bertujuan untuk kebaikan semua kaum." Jadi, kenapakah
rayuan yang sama itu tiba-tiba menjadi sesuatu yang begitu
mencabar yang mencetuskan keganasan dan kini dikutuk oleh
pemimpin parti pemerintah yang sama ? Kenapa pula diadakan
tunjuk perasaan di waktu ini?
5. Tujuh belas rayuan oleh kumpulan Suqui adalah
merupakan satu dokumen yang diserahkan kepada semua parti
politik satu tahun yang lalu, sebelum diadakan
Pilihanraya Umum Negara. Pada dasarnya, dokumen itu
adalah satu dasar yang menyangkuti pemerintahan yang baik,
berasaskan hukum-hukam prinsip demokrasi sejagat yang
diterima pakai, yang diubahsuai untuk menyenangi suasana
politik yang unik di negara ini. Selain daripada
menjelaskan nilai-nilai murni pentadbiran negara, dokumen
itu juga cuba mengemukakan pembetulan kepada beberapa
kelemahan yang serius dalam pentadbiran negara, termasuk
penghapusan/pemindaan kepada banyak hukum perundangan yang
melanggari hak asasi manusia, pembasmian korupsi yang
berleluasa dan kronisma serta mewujudkan semula kebebasan
institusi yang demokratik seperti penghakiman, Chamber
Hakim Negara, suruhanjaya pilihanraya, badan pencegah
rasuah dan lain lain lagi.
6. Dokumen ini mungkin tidak disenangi oleh segelintir
orang Melayu kerana penekanan terhadap isu perbezaan kaum
dalam pentadbiran negara. UMNO bertegas bahawa ia
merupakan pencabulan hak keistimewaan Melayu, sedangkan
Suqui bertegas betapa ia tidak pernah mencabar hak
keistimewaan itu seperti yang termaktub dalam perlembagaan
negara. Pihak pembangkang berpendapat bahawa kepimpinan
Barisan Nasional telah menyalahgunakan Dasar Tindakan
(Affirmative Action Policy) untuk memperkayakan para
kroninya sambil meminggirkan golongan miskin Melayu, dan
dengan itu membantah kempen UMNO sekarang ini dalam
menaikkan semangat Melayu terhadap orang Cina.
7. Daripada sudut sejarah, memang tidak disangkal betapa
Mahathir telah menyalahgunakan kuasanya untuk merobek
'Affirmative Policy' itu dalam memperkayakan para kroninya
dengan korupsi yang berlebihan, seperti yang telah
dilakukan oleh Suharto di Indonesia, walaupun mengikut
skala yang lebih kecil. Pendekatan yang betul untuk
menyelesaikan kontroversi yang ada ialah dengan membentuk
satu badan yang dianggotai oleh semua pertubuhan politik
untuk membuat kajian menyeluruh tentang penglaksanaan yang
telah lampau dengan tujuan untuk melenyapkan salah laku
itu, salahguna kuasa dan kelemahan yang ada dengan tujuan
memperbaikki kaedah penglaksanaanya agar seluruh masyarakat
Melayu dan Bumiputra dapat faedah darinya. Dengan cara
itu, segala bentuk kesulitan yang membabitkan golongan
bukan-bumiputra dapat diperkecilkan. Penekanan yang saksama
hendaklah dipertimbangkan kepada semua komponen dasar ini
yang telah diabaikan agar kemiskinan dapat dihapuskan tanpa
mengambil kira perkauman. Oleh kerana dasar ini adalah
satu usaha sementara untuk menaikkan status sosial dan
ekonomi golongan bumiputra, satu jadual yang padu
hendaklah dirangka untuk mengurangkan skala dasar ini
agar bumiputra diberikan galakan mencapai sasaran mereka
sambil pembentukan satu masyarakat yang egalitarian dapat
dicapai.
8. Cara UMNO mencetuskan kemarahan orang Melayu dengan
mencetuskan isu yang tidak berasas menjadi terserlah
dengan kekecohannya mengenai hak keisitmewaan orang Melayu
itu adalah sesuatu yang tidak tepat dan tidak diingini.
Yang PERTAMA, Rayuan Suqiu adalah satu isu yang lama dan
kumpulan itu tidak pun mengambil sebarang langkah untuk
membesar-besarkan sebarang isu perkauman apabila Utusan
Malaysia secara tiba-tiba telah menerbitkan pojok itu dengan
diikuti oleh susulan Pemuda UMNO dengan pantasnya.
KEDUA, adalah satu hakikat berpolitik di negara ini bahawa
Bumiputra mempunyai kuasa politik yang mutlak yang tidak
boleh dipertikaikan. Tidak ada orang yang waras fikirannnya
mampu memikirkan bahawa hak keistimewaan Melayu seperti
yang termaktub dalam perlembagaan negara itu boleh
disentuh tanpa persetujuan golongan Bumiputra. Orang Cina
memahami hal itu, begitu juga orang Melayu. Kenapakah pula
muncul panik dan tidak keruan?
KETIGA, Rayuan Suqui adalah rayuan semata-mata, bukan
tuntutan. Terpulanglah kepada parti politik termasuk
parti yang memerintah untuk menerimanya ataupun
menolaknya secara menyeluruh ataupun secara
sebahagiannya. Tidak ada ugutan ataupun ultimatum,
tentunya tidak ada cabaran, apatah lagi yang menyangkuti
pindaan kepada perlembagaan.
KEEMPAT, Ketika dicabar oleh konfrontasi yang kasar,
Suqui telah betindak sewajarnya dengan mempelawa Pemuda
UMNO untuk berdialog. Kenapakah Pemuda UMNO menolak
tawaran itu bulat-bulat kalau ia berpendirian benar
dalam hal ini? Adakah kerana merasa bersalah dalam
mencetuskan perbalahan ini?
MENGENAI Al-MA'UNAH
Usaha mencetuskan Al Ma'unah oleh Mahathir merupakan satu
tabir asap yang dilakukan oleh Mahathir untuk meninggikan
perasaan tidak selamat di kalangan rakyat Malaysia sambil
mencetuskan satu kapalsuan dalam kemantapan ucapannya di
mana dia telah menyerang Suqui dan Al-Ma'unah sebagai
kumpulan pelampau Cina dan Melayu. Al-Ma'unah adalah
merupakan satu gejala masyarakat yang boleh muncul di mana
jua. Ia merupakan satu keadaan di mana satu kumpulan kecil
manusia yang telah menyimpang dalam usahanya yang dikatakan
mencuba mencapai matalamat mereka melalui kekerasan. Ia
tidak merupakan satu ancaman keselamatan ataupun politik
kepada negara ini. Mungkin apa yang lebih patut difikirkan
oleh rakyat negara ini ialah keadaan keselamatan di kem
tentera yang semakin longgar.
PENJAJAH ASING
Sudah ratusan kali Mahathir membuat pendakwaan, laksana
seekor kakaktua, betapa kuasa luar amat mencemburui
kejayaan kita dan sentiasa berusaha untuk menjajah tanpa
mampu menamakan siapakah kuasa itu. Kita beranggapan
tentulah dia maksudkan negara yang maju. Kalau orang asing
itu sungguh merbahaya kenapakah beliau dan juga para
menterinya melakukan lawatan kepada negara itu dan
melakukan rayuan laksana peminta sedekah agar orang luar
yang berbahaya itu datang melabur ke negara ini?
Walaupun Mahathir amat kerap berlagak sombong di hadapan
perhimpunan rakyat di negara ini, betapa negara ini telah
maju dengan usaha sendiri dan tanpa bantuan orang asing,
apakah beliau mampu bercakap kepada hadirin luar negara
dan berlagak kepada mereka dengan mengatakan bahawa
pembangunan ekonomi Malaysia yang sungguh menakjubkan itu
bukannya disebabkan pelaburang orang asing?
Dalam perkara ini dan secara ironisnya, kia memberikah
kehormatan secara bertempat. Kita hormati usaha kepimpinan
Mahathir yang berwawasan dalam membuka pintu pasaran
Malaysia kepada orang luar di akhir dekad yang lalu.
Dasar terbuka Malaysia yang telah lebih menonjol telah
mempercepatkan proses industrialisasi dan perdagangan
antarabangsa. Inilah yang membawa kekayaan dan kemajuan
yang belum pernah dirasai sebelum itu.
Adalah satu tragedi apabla ego Mahatir telah terjejas oleh
krisis Kewangan Asian yang terbaru. Dia tidak pernah pulih
selepas itu. Dia menjadi terlalu angkuh untuk mengakui
krisis yang melanda Malaysia terutama sekali keusahawanan
Bumiputra, adalah disebabkan kelemahan struktur seperti
kelemahan perancangan ekonomi, perbankan yang tidak
berdisiplin, dan perkembangan yang menggila; semua ini
dalam satu suasana yang dipaliti kejijikan korupsi dan
kronisma. Selain daripada menelan ubat yang pahit seperti
Korea Selatan, pada misalannya, Mahathir telah menghentam
orang asing dengan penuh geram, dan memendam rasa.
Cemohannya yang bertambah terhadap keterbukaan pasaran
amat berbeza dengan negara jiran seperti Singapura, yang
akhirnya mempercepatkan jadual asal untuk membebaskan
perbankan dan industri telekomunikasi kepada orang luar.
Mahathir terlupa segala ini sedangkan itulah dasar
keterbukaan yang telah melonjakkan namanya ke mercu
kejayaan dan pengiktirafan di masa yang silam.
PENUTUP
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Ucapan Hari Merdeka
yang diluahkan oleh Mahathir akan menyebabkan kesan yang
serius di negara ini. Kalau rakyat Malaysia terutama
sekali orang Melayu termakan dengan penipuan Mahathir,
negara ini akan terjunam ke jurang penghinaan.
Ketika itu, orang Melayu mungkin beralih kesetiaan politik
mereka, bukan berasaskan prinsip pengadilan, demokrasi dan
pentadbiran yang telus; tetapi berasaskan syak wasangka
perkauman dan pecah-belah. Inilah yang akan melemahkan
Barisan Alternatif, melemahkan kemajuan politik yang telah
diusahakan dengan jayanya oleh banyak pihak.
Kalau rakyat Malaysia pada amnya percaya kepada doktrin
Mahathir yang menyalahkan anasir luar dan kemandirian yang
songsang, akhirnya kita semua akan menghadapi satu masa
depan ekonomi yang kelam.
Mujurlah juga, orang Melayu yang menganggotai Barisan
Alternatif tidak berapa berminat menyahut seruan UMNO, dan
ini akan merupakan satu titik tolak dalam sejarah politik
negara di mana orang Melayu lebih berminat kepada
pemerintahan yang telus daripada perkara pertelingkahan
ras. Proses transformasi ini banyak berterima kasih
kepada kepimpinan Anwar, yang telah mempamirkan
kewibawaannya dalam mengharungi halangan yang getir
sehingga memberikan peransang dan keberanian kepada para
penyokongnya. Kalau orang Melayu telah berjaya
mempertahankan diri terhadap kempen benci membenci yang
berbau perkauman itu, Anwar tentu sekali dapat merasakan
bahawa kesengsaraan yang ditanggungginya kini tidak
merupakan sesuatu yang sia-sia.
Diterjemahkan oleh -MT-
3 September, 00.