Laman Webantu KM2A1: 2695 File Size: 12.0 Kb * |
TJ: MGG Alaf baru yang Kelam By Marhain Tua 3/9/2000 6:19 am Sun |
Alaf baru yang Kelam Terjemahan kepada rencana: Sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun ini (31 Ogos 00) tidak
merupakan pemangkin kepada keriangan ataupun kepuasan hati.
Walaupun segala bentuk sambutan seperti perbarisan masih lagi
diadakan seperti yang berlaku setiap tahun sejak 1957 lagi,
tindakan melaksanakan kawalan keselamatan yang ketat dan ucapan
Perdana Menteri yang berat sebelah, tidak memberikan harapan yang
baik untuk masa depan. Sebaliknya ia memberikan kiasan akan masa
depan yang pancaroba dan kemungkinan masyarakat Malaysia yang
berpecah belah. Perdana Menteri telah menyalahkan kumpulan agama
dan perkauman yang ekstrim, tanpa menyebutkan namanya (Mahathir)
dalam memainkan peranan dalam hal ini. Bagaimanapun perkara ini
cuba dilindungkan secara rasminya, dan kalau pun benar (kerana
perkara ini dibincangkan secara rasminya sebagai kerja pihak
pembangkang yang mencemburui kejayaan kerajaan Barisan
Nasional), ia menjadi pemangkin kepada masalah yang lebih besar
yang mencuit kredibiliti kerajaan setelah berlakunya proses
pengaiban mantan timbalan perdana menteri, Dato Seri Anwar
Ibrahim. Ucapan Perdana Menteri pagi tadi tidak cuba menjenguk masa
hadapan dan mencuitkan rasa kesyukuran kita. Tetapi, ia cuba
membelahbagikan negara ini ke satu jurang yang lebih dalam lagi
dengan cara menyentuh isu keagamaan dan perkauman. Dalam hal ini
parti komponen Barisan Nasional harus turut bertanggungjawab.
Pada pendapat saya, ucapan merdeka Perdana Menteri kali ini,
merupakan satu ucapan yang paling jelek yang pernah beliau
ucapkan. Bayangkan di waktu yang sama kawalan keselamatan
diperketatkan pula. Semua doktor di Hospital Awam Klang, tidak
dibenarkan bercuti. Ini merupakan satu arahan yang baru. Apakah
agaknya yang merisaukan pihak kerajaan? Ataupun apakah kerajaan
takutkan bayangnya sendiri, menaruh syak wasangka akan adanya
pembunuh upahan di kalangan mereka yang memakai lencana Barisan
Nasional? Hari Kemerdekaan sepatutnya merupakan hari kenangan dan harapan.
Tetapi perkara ini tidak pun berlaku. Kerajaan telah menggunakan
kesempatan upacara itu untuk memuji diri sendiri. Tetapi usaha
itu meleset sahaja kerana ia tidak dilakukan dengan penuh
keikhlasan melainkan untuk tujuan politik yang sempit. Satu bulan
diperuntukkan untuk menyambut perayaan itu. Ia bermula pada Ogos
17 sehinggalah September 16. Tempoh keraian itu ditentukan tanpa
mengambil kira minat rakyat, apatah lagi persetujuan bersama
daripada parti komponen BN. Menteri Budaya dan Pelancongan, Dato
Seri Abdul Kadir Sheikh Fadhir, beranggapan perpaduan Malaysia
yang robek itu boleh ditampal-tampong dengan mengadakan pesta
jual-murah selama satu bulan. Ia berfikir bahawa segala sambutan
yang dirangka selama 30 hari itu akan memuncak kehangatannya
apabila hari penyatuan Sarawak dan Sabah itu diambil kira.
Rupanya sudah timbul satu kesedaran kini bahawa dua negeri Borneo
itu menyambut hari Malaysia enam belas hari selepas hari
kemerdekaan itu diraikan. Inilah yang menjadi sungutan di dua
negeri itu selama ini. Tetapi, apabila pegawai kerajaan diminta
untuk merayu kepada rakyat agar menyokong hari Kemerdekaan dan
merayu mereka mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah dan
kereta, usaha itu berkecai begitu sahaja. 31 Ogos 00 yang
sepatutnya merupakan hari yang paling menggembirakan setiap
rakyat Malaysia telah bertukar wajah kepada hari di mana
masyarakat Malaysia menjadi berkecamuk dan berbelah bagi.
Akhirnya nanti, masa depan Malaysia tidak bergantung kepada
kejayaan ekonomi negara dan prestasinya di kalangan negara lain.
Tidak juga kepada caranya menyanggah kuasa besar. Ia lebih
bergantung kepada kerukunan negara yang didorong oleh perasaan
rakyatnya yang tidak mempunyai syak wasangka, seperti yang
diharunginya sekarang, tentang keadilan setiap institusi rasmi
kerajaan ataupun cabaran kepada hak perkauman dan keagamaan yang
perlu ditanganinya. Malaysia telah berjaya membangun sejak
merdeka selama 43 tahun yang lalu dan memang banyak perkara yang
boleh dibanggakan oleh rakyatnya. Barisan nasional memang
bertanggungjawab kepada kemajuan itu. Di waktu yang sama Barisan
Nasional telah menentukan satu persepsi betapa semua pandangannya
adalah betul dan benar seolah-olah semua itu adalah suatu keramat
yang suci dan tidak boleh dipertikaikan. Perbincangan yang
rasional mengenai dasar negara dibenarkan, baik di parlimen
mahupun di tempat lain. Kerana itu dasar negara itu kerap
disogokkan agar diterima pakai secara paksa tanpa perdebatan
ataupun sebarang perbincangan. Perkara ini nampak mudah selagi
ada sokongan menyeluruh orang Melayu. Tetapi, ia menjadi satu
kemusykilan apabila UMNO dan juga perdana menterinya melakukan
tindakan harakiri politik dengan mengaibkan Dato Seri Anwar.
Mengikut budaya Melayu seseorang ketua feudal, dalam hal ini
ialah si Perdana Menteri, sepatutnya tidak melakukan kesilapan
itu. Sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, menjadi satu majlis di mana
kita telah memberitahu seluruh dunia betapa kita sudah menjadi
satu masyarakat yang berpecah belah. Sebahagian puncanya ialah
disebabkan kejayaan kerajaan itu sendiri. Dasar Ekonomi Baru,
walaupun bercanggahan di tahap penglaksanaannya, telah berjaya
menonjolkan satu kumpulan anak-anak Melayu yang berpendidikan
tinggi yang kini tidak dapat menerima bulat-bulat pendekatan
yang diamalkan oleh UMNO terhadap menangani masalah yang dihadapi
oleh golongan bapa dan datuk moyang mereka dulu. Tersembullah
majlis soal-menyoal yang menyanggah toleransi institusi politik
feudal. Dato' Seri Anwar memang bersekongkol dengan anggapan
feudal ini. Tetapi, apabila dia mula menyanggah Perdana Menteri,
bererti masa depannya pun akan disanggah juga.
Dengan mengaibkan Anwar, Perdana Menteri telah sekaligus
menukarkan tarafnya menjadi seorang wirawan. Dalam kebudayaan
Melayu, perkara seperti ini ditangani dengan senyap dan
kebijaksanaan. Cara Anwar menangani masalah yang mengaibkannya
ini telah mendedahkan satu rupa bentuk penentangan yang tidak
pernah disaksikan dalam ciri-ciri kepahlawanan Melayu, melainkan
kalau dia sudah terdesak. Inilah yang menyebabkan Perdana Menteri
berada di satu lorong politik yang licin. UMNO pula menghadapi
bahaya dipinggirkan. Dua kes mahkamah dan segala bentuk pengaiban
dan penderaan yang dikenakan terhadap Anwar dan juga ahli
keluarganya menyebabkan perdana menteri semakin tersisih di
lorong yang licin itu. Walaupun Perdana Menteri amat liat mahu
mengakuinya, kini bukan sahaja masa-depannya yang tergugat,
malahan UMNO pun turut akan tergigit juga.
Perpecahan perkauman yang disebut oleh Perdana Menteri dalam
ucapan hari merdeka beliau itu bukannya satu imbasan
ketidakcurangan budaya ataupun parti pembangkang. Ia memberi
imbasan betapa gagalnya parti bukan Melayu yang menjadi komponen
barisan nasional. Selama ini mereka hanya leka melihatkan
gelagat UMNO menjadikan sebuah kerajaan yang multi-kaum menjadi
institusi yang didominasinya. Parti bukan Melayu itu sedia enggeh
apa sahaja yang diberitahu kepada mereka, sekaligus mempamerkan
gebar bukan-Melayu sebagai lambang perpaduan kaum. Orang Cina
dan India di Malaysia telah tertipu oleh perkhidmatan yang
diberikan oleh Malaysian Chinese Association, Gerakan Rakyat
Malaysia, dan Malaysian Indian congress. Para pemimpin mereka
lebih berminat menghangatkan kerusi empuk di kabinet, memang
enggan membuat sebarang bantahan. Rakyat negara daripada kaum
Cina dan India terpaksa membuat usaha sendiri. Kini, perasaan
yang sama telah dirasakan oleh rakyat daripada kaum Melayu pula.
Penyerapan unsur yang bergelodak inilah yang mencetuskan masalah
yang menyanggah dasar perkauman dan keagamaan kerajaan masa kini.
Barisan Nasional telah memberi amaran kepada rakyatnya agar
melakukan apa yang dia kata dan bukan apa yang dia lakukan.
Pihak kerajaan masih rasa selamat kerana ketidakupayaan pihak
pembangkang mewujudkan satu parti berbentuk multi-kaum. Usaha
ini memang banyak masalahnya. Akan tetapi, parti pembangkang
utama, PAS memang telah banyak menerima faedah daripada episod
Anwar. Pendekatannya memujuk pembabitan intelek Melayu dan
golongan graduan telah menunjukkan hasil yang berkesan yang tidak
pernah diimpikannya. Episod Anwar merupakan satu bonus yang
memperkuatkan parti. Fahaman fundamental Islamnya yang berasaskan
theokrasi tidak bererti ia telah memenangi budaya pegangan
perjuangan yang hilang daripada kebanyakan cawangan UMNO, tetapi
ia berjaya menggugat setiap kerusi pengundian Melayu di Pemilu
1999 dulu sehinggakan perolehan tambahan satu persen lagi kepada
kerusi yang ditandingi oleh pihak pembangkang sudah mampu untuk
mewujudkan satu kerajaan campuran yang mengalahkan BN. Dalam hal
ini, DAP terpaksa menggerapai-gerapai dalam pendekatannya. Parti
Keadilan pula walaupun di waktu kebayian, sudah menunjukkan
ciri-ciri memusnahkan diri sendiri. Semua ini tidak memberikan
keriangan kepada Barisan Nasional, kerana semangat berantakan
pihak pembangkang ini pasti akan berulang lagi.
Kini, sudah muncul desas-desus akan berlakunya satu usaha ganas
untuk menghenyak pihak pembangkang seperti Operasi Lalang yang
terlaksana lebih satu dekad yang lampau. Setiap usaha pihak
Barisan Nasional untuk menguasai pentas - semenjak pengaiban
Anwar Ibrahim kepada rompakan Senjata di Gerik - telah gagal
perkara itu tidak dipercayai oleh sebilangan besar masyarakat
Melayu. Ketika Operasi Lalang dilancarkan dulu, kebanyakan yang
ditangkap adalah mereka yang menganggotai parti pembangkang dan
organisasi bukan kerajaan. Kali ini jaringan yang lebih lebar
akan dilakukan di mana lebih ramai orang Melayu akan tertangkap.
Oleh kerana dasar negara itu dirangka secara terpencil, selalunya
tanpa sebarang perdebatan di Parlimen ataupun diluar parlimen,
tindakan mengejut yang tercetus darinya akan diperlekehkan
sahaja. Kerana itu parti pembangkang sudah merasa gusar akan
adanya satu tangkapan yang menyeluruh, hanya sebagai bahan
kerajaan untuk menenangkan para penyokongnya akan buruk laku
pihak pembangkang. Namun, sudah ada petanda betapa pihak kerajaan
tidak membuat pertimbangan yang cukup apakah usaha kali ini akan
menghancurkan gagasan Barisan nasional itu.
Sudah ketara, dalam menyambut ulang tahun ke-43 kemerdekaannya,
Malaysia telah jauh menyimpang daripada semangat juang dan
harapan pencapaian kemerdekaan. Inilah imbasan yang terserlah dan
bukannya segala kemajuan yang dibanggakan sangat oleh Perdana
Menteri. Sebagai seorang yang amat bijak merenung zaman silam,
takkanlah beliau mudah ditipu oleh inti pati ucapannya itu.
Diterjemahkan oleh -MT- |