Rencana ini agak menarik kerana penulisannya bercorak
nasihat - ia mengajar kita agar tidak mudah melenting
sebarangan mengikut seorang ketua (yg berhingus pula) untuk
bertindak seperti budak kecil yang menjadi pak turut
membabi buta. Mungkin sebab ini pemuda UMNO perlu
belajar "sentuhan lembut" daripada meloncat melalut?
Melihat Isu Hak Melayu Dari Aspek Budaya
(Oleh L C Fang: Berita Harian Mukasurat 10, 31 Ogos 2000)
Fitrahnya kehidupan, orang akan menuntut apabila sesuatu
yang dimilikinya diambil pihak lain atau kepentingannya
diabaikan - moralnya 'jangan diperbetulkan barang yang
tidak rosak'.
Justeru apabila hak ketuanan Melayu dan rintihan kaum Cina
hebat digembar-gemburkan kebelakangan ini, penulis
terpanggil untuk memikirkan: apa sebenarnya yang cuba
disampaikan? Atau, mungkinkah ada dalang yang sengaja
menimbulkan keributan tanpa ada pokok bergoyang?
Tanpa niat menyesakkan nafas berkaitan isu yang jelas
meriakkan gusar semua pihak, terlihat masih ada ruang
membicarakanya dalam situasi bernada permuafakaan mengikut
tuntutan hala fikir budaya.
Apa juga sengketa pendapat, lebih-lebih isu yang dihunjam
salah tafsir dalam lingkaran politik, sering kali pandangan
mudah kabur, pendengaran didengong hati sendiri, menjadikan
penjelasan orang lain bagai kapas dihembus angin.
Datuk David Chua yang didakwa punca kekecohan berikutan
'keberanian luar biasanya' menjentik kemarahan orang Melayu
sudah menjelaskan kedudukan bahawa kenyataannya telah
disalah tafsir, malah menafikan pernah mengungkit soal itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad sendiri
sudah menerima penjelasan Chua. Justeru, isu itu patut
dipadam terus bukan dibiarkan panas. Kita tak mahu melihat
kecoh menjadi kucar. Barisan muda seharusnya berdepan
dengan masalah ini secara matang. Kenyataan Chua (bertemu
PM) sudah cukup menutup keriuhan tanpa perlu menunggu
arahan PM.
Selepas berperang saraf lebih dua minggu dan sedang Pemuda
UMNO berterusan dengan budayanya, PM terpaksa membuat
penjelasan membendung isu itu dari terus berputaran.
Budaya memupuk perpaduan sarat tersirat menerusi kenyataan
PM di Maputo, Mozambique sebagaimana disiar akhbar tempatan
23 Ogos 2000: "Saya sudah menerima penjelasan beliau (Chua)
dan tidak mahu perkara itu dibesarkan. Saya cuma kata, lain
kali jangan cakap begitu kerana ini benda sensitif." Kalau
PM sendiri bersedia menerima kunjungan Chua bagi mendengar
penjelasannya, mengapa tidak dilihat sebagai pilihan
terbaik oleh barisan pemimpin muda?
Mungkin barisan pelapis lebih berminat terhadap budaya
gedebe yang mampu menguji populariti lantaran peluang
memikul peranan untuk tatapan umum kini terhulur, justeru
soal cara dan budaya hakiki yang lebih bermoral diketepikan
dulu. Apakah degnan memilih budaya toleransi bersemuka
dalam sesi perbincangan akn menjadikan kita dicop sebagai
pemimpin dayus? Seperti bara menunggu marak, kalut ribut
nampaknya terus berbanjar tanpa ada pihak menampil sikap
keterbukaan mencari sudut perdamaian, lalu tidak
semena-mena diseret pula isu Suqiu.
Salah faham yang diulit hasrat pembelaan terlalu
tergesa-gesa tanpa mahu membuka minda menilai secara
berbudaya, menyebabkan berlakunya adegan perhimpunan yang
sebenarnya menyerlahkan ketidakmatangan budaya berpolitik.
Sama ada tindakan berhimpun, berarak, melaung, memaki hamun
dan memanjat pagar bangunan dianggap membantah keceluparan
atau sebagai tiket menampil diri, yang nyata ialah budaya
kekeluargaan sudah diperlekehkan ketika pintu musyawarah
belum pun diketuk.
Kalau kita mengutuk demonstrasi jalanan apakah kita tidak
boleh berbuat demikian terhadap cara membakar semangat di
hadapan Dewan Perniagaan Cina Selangor tempoh hari? Apapun
alasannya, budaya murahan begitu tidak perlu
dipertontonkan. Yang wajar dipapar adalah kematangan, bukan
tindakan kebudak-budakan. Budaya kesantunan Melayu tidak
lagi memuji sikap menongkah arus, jauh sekali menyimpangi
unsur ketertiban. Ini pun tentulah bukan budaya baru.
Menyelak ruang hanya untuk melepaskan pucuk tanpa mahu
manyalur sekelumit cahaya kepada enau lain yang juga mahu
menikmati hidup, tidakkah tamak namanya?
Bantahan berapi-api bukan cara menzahirkan kekuatan malah
jangka panjangnya boleh timbulkan masalah besar iaitu
'budaya ikut-ikutan', lebih kepada resmi 'pak turut', ikut
saja dan tanpa selidik. Jika budaya ikutan ini ditebar, ia
bakal menjadi jala ketidaktentuan. Bukan saja ketenangan
laut berkocak, malah pasti hadir ombak dan badai menampar
seluruh pelusuk alam hingga tiada lagi kelibat kedamaian
yang kelihatan. Jaguhkan pembawa budaya itu? Kita jadi
semakin tidak faham mengapa isu yang sepatutnya boleh
diselesaikan dengan ringkas diheret berlarutan hampir
menandingi rekod Fazida Mat Said dengan ular-ularnya.
Ke mana terlontarnya budaya persefahaman memandangkan semua
yang terbabit mampu berkomunikasi, bukan tidak tahu
berbasa-basi. Atau mungkinkah ini yang dikatakan 'tidak
tahu bahasa'? Benarlah dalam politik, kawan dan lawan sukar
dikenal pasti. Kita tidak nampak nama besar di belakang
Suqiu, mereka (jawatankuasa terbabit) bukan mewakili
masyarakat Cina di negara ini.
"Jadi jawatankuasa ini tidak boleh dianggap golongan
berwibawa. Alangkah malunya jika akibat cakap-cakap
golongan kecil ini menyebabkan perpaduan negara tergugat.
Melayani mereka, samalah melayan kerenah anak-anak kecil
yang masih berhingus. Pergerakan Pemuda UMNO mungkin
melihat dari perspektif bahawa tidak ada mana-mana
golongan, walau sekecil mana pun sekali status mereka,
boleh cuba mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu.
Jika ada, mereka perlu ditentang habis-habisan. Cuma,
mereka juga perlu menyiasat latar belakang kumpulan itu.
Mereka boleh membelasah Suqiu tetapi jangan babitkan
keseluruhan rakyat Cina yang akur dengan Perlembagaan
Negara. Apa yang cuba dielakkan, perkara kecil seperti ini
tidak seharusnya dibiarkan merebak menjadi besar. Dalam
senario politik hari ini, perpaduan kaum amat penting. Jika
isu perkauman disemarakkan, ia tidak membawa apa-apa
kebaikan." (Petikan ruangan Dari Lorong Kiri: Mior Kamarul
Sahid, Berita Harian 21 Ogos, 2000.
Sebenarnya, 17 perkara yang diangkat Jawatankuasa Rayuan
Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) itu
bukan satu tuntutan tapi lebih berbentuk petisyen tanpa
prejudis, apatah lagi kabinet sudah menerimanya kerana
tiada syarat dikenakan. Ia bermakna soal tuntutan tidak
timbul langsung dalam isu berkenaan.
Perkataan Suqiu adalah gabungan dua perkataan iaitu 'su'
dan 'qiu' yang bermakna Rintihan/Keluhan dan Rayuan.
Bahasanya cukup lembut, tapi sayang tidak difahami oleh
mereka yang terlalu marah, sehingga tidak ketentuan. Dalam
budaya kita, apabila orang mengeluh mengenai keperluannya
dan membuat rayuan, ia boleh dipertimbangkan kalau pun
belum tentu dipersetujui atau diluluskan. Yang pasti,
pengertian keluhan dan rayuan sama sekali tidak membawa
makna tuntutan. Bahasa dan budaya sopan bukan untuk
tatapan semata-mata. Ia wajar diamal, diakari dengan subur
malah pemakainnya dalam kehidupan seharian juga perlu
dipastikan tidak menyongsang adat. Justeru, Suqiu adalah
antara contoh permintaan dan pandangan yang dibuat secara
berbudaya dalam lingkungan kesopanan.
Orang politik perlu mengakuri bahaya akar politiking
menjalar yang ada ruang menyelinap. Isu remeh yang
dipolitikkan hampir pasti membuka medan perbalahan,
termasuk budaya yang sepatutnya dipelihara tapi sebaliknya
dilacurkan sewenag-wenangnya. Rentetan isu ini menzahirkan
budaya yang tidak perlu terakam dalam benak teladan,
seperti budaya gedebe tanpa perbincangan. Budaya panas
baran, budaya ikut-ikutan. Budaya pembodek, budaya berebut
jadi jaguh menerusi pertelingkahan adalah amalan basi yang
tidak sesuai dalam iklim perpaduan kaum di negara ini.
Jika diikutkan budaya gedebe seperti yang dipertontonkan,
barang kali ada pula golongan yang bangkit menghentam
tindakan itu kerana dianggap mencemar keriangan dan
keceriaan rakyat negara ini yang sedang bersiap meraikan
sambutan kemerdekaan ke-43 negara. Semangat patriotik
adalah imbasan budaya kasih sayang tidak berbelah bahagi
terhadap negara, maka sewajarnya pencanang kekalutan
ditentang habis-habisan.
Keranamu Malaysia, sepakatlah kita mencari penyelesaian
masalah mengikut lunas perpaduan. Usah kerana nyamuk
seekor, habis kelambu termasuk rumah dan penghuninya
dibakar. Erti kemerdekaan lebih besar daripada menjerat
diri dengan membesarkan perkara yang boleh diperkecil dan
ditiadakan. Merdekalah juga jiwa raga, pemikiran dan
tindakan kita yang hampir terperangkap dengan permainan
putar belit media asing. Merdeka!
Oleh L.C Fang.
Catatan: Kita cedok tulisan ini kerana ia amat relevan
dengan keadaan semasa. Jelas budaya gedebe yang diamalkan
oleh pucuk pimpinan Pemuda UMNO merupakan imbasan apa jenis
manusia yang satu hari nanti memimpin negara ini. Tetapi,
salahkah gelagat mereka itu apabila si Wira Dunia Ketiga
sanggup menganggap Suqiu sebagai kumpulan setanding Al
Ma'unah dan tindak-tanduk mereka yang "tidak banyak berbeza
dengan Komunis?" Nampakkah kita sekarang siapa sebenarnya
yang berlagak kaki gedebe?