Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila
KTLBELB: Bab 27
MENCARI SEMANGAT YANG HILANG
Kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-43.
Tetapi, ramai rakyat negara ini yang merasakan sambutan itu
hanya sesuatu yang disogokkan, kerana mereka sudah sedar
kini betapa semangat untuk menyambutnya sudah lama hilang.
Pada satu ketika yang terdekat, semangat menyambut
ulangtahun kemerdekaan itu memang meriah sekali. Di
sana-sini, bendera negara ?Jalur Gemilang? kelihatan
berkibar dengan megahnya. Di rumah, di kedai, di gedung,
kantor dan pejabat, di kenderaan kepunyaan kerajaan,
syarikat swasta dan kepunyaan peribadi rakyat; kibaran
bendera itu merupakan sesuatu yang dilihat dengan senyuman
panjang oleh sesiapa sahaja. Bukan sahaja anak-anak yang
mencari-cari makna kibaran itu, bukan sahaja para
pengunjung dan pelawat negara yang terus membuat
perbandingan dengan cara negara mereka meraikannya.
Golongan lama warga negara ini kerap mengimbau nostalgia
lama betapa bendera yang berkibar itu membawa seribu makna
mengingatkan zaman muda mereka.
Kini, kibaran Jalur Gemilang itu dilihat sebagai satu
gerak-geri yang sungguh simbolik melambangkan cetusan hati
sanubari sebilangan besar rakyat negara ini yang hidupnya
tertekan. Mereka seolah-olah menantikan kedatangan satu
hari yang lebih bermakna dari itu, entah bila dan kalau pun
muncul berapa lama lagikah agaknya.
Tidak siapa yang dapat menyangkakan, bagaimana semangat
menyambut ulangtahun kemerdekaan itu boleh menurun pada
kali ini. Pada tahun yang lalu, semangat itu masih kuat
lagi walaupun ketika itu majoriti rakyat masih lagi
merasakan kehilangan mantan timbalan perdana menteri Dato
Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kini, sudah masuk tahun ke-dua
beliau dipenjarakan, secara tiba-tiba pula keadaan berubah
serta merta. Semangat keceriaan tahun yang lalu, sudah
berubah rupa. Rakyat sudah menjadi hambar untuk menyambut
ulangtahun kemerdekaan negaranya. Seperti hambarnya rakyat
dengan keputusan kes mahkamah yang terus menambah deraan
terhadap DSAI itu.
Kelunturan Semangat yang Mengejutkan
Pada tahap awalannya, tidak sesiapa yang dapat menjangkakan
munculnya kelunturan semangat menyambut ulangtahun
kemerdekaan itu. Pihak pemerintah telah membuat pelbagai
rencana untuk menentukan semangat sambutan itu terus
menggunung tingginya. Di setiap akhbar perdana, kita dapat
lihat iklan satu muka penuh yang mencanangkan ?Cuti-Cuti
Malaysia?. Sekaligus ia juga mengiklankan muka seorang
menteri yang bekerja keras untuk menggalakkan promosi itu.
Tetapi, rakyat bukannya dungu sangat hinggakan tidak
memahami kenapakah iklan yang mahal seperti itu terpapar
setiap saban hari dan saban minggu? Apakah itu caranya
regim Mahathir memberikan sokongan untuk menanggung
kerugian jualan yang semakin meleset? Dengan duit siapakah
sokongan itu kalau bukan dengan duit rakyat jelata?
Iklan ?Cuti-Cuti Malaysia? itu sebenarnya merupakan
rencana kerajaan yang memerlukan satu perbelanjaan yang
besar. Pelbagai cara telah ditaja dan diadakan. Projek
mengisi buku catatan ataupun Rekod Gemilang Malaysia persis
Guiness Book of Records masih terus dilaksanakan.
Pembikinan ?Popia Terpanjang?, ?Lemang Terpanjang?,
?Bendera Terpanjang? dan penyertaan membuat teh tarik yang
paling ramai adalah satu daripada projek yang
melucukan kerana apakah sebenarnya yang dapat dibanggakan
dalam usaha seperti itu? Kini, menteri pelancongan mahu
memperkenalkan pembikinan teh tarik ke seluruh dunia, pula.
Kenapakah gerangannya dan apakah dengan memperkenalkan
teknik membikin teh tarik itu akan mengharumkan lagi nama
Malaysia? Tidak cukupkah ?Malaysia? dipromosikan oleh
seorang diktator tua yang bergelar ?Wira Dunia Ketiga??
Tidak cukupkah promosi yang dilakukan oleh penajaan
terhadap seorang pelayar solo negara yang telah
mencatatkan satu rekod pelayaran dunia? Apakah Malaysia
masih tidak dikenal oleh dunia selepas tersibarnya cerita
bagaimana pelancong asing diculik dan dilarikan ke Pulau
Jolo oleh Kumpulan Al Sayyaf? Sebelum itu tercetus pula
kisah Kumpulan Al Ma'unah yang merompak dua kem tentera
pada satu malam dan melarikan senjata untuk dicuba di tepi
jalanraya.
Iltizam Rakyat Yang Hilang
Setiap pelawat asing kerap senyum sendirian apabila
melihatkan negara yang sungguh indah dan penduduknya
berbilang kaum dan berbilang agama serta berupaya bertutur
berbilang bahasa. Mereka tersenyum kegirangan mengharapkan
keadaan kegemilangan yang ada itu dapat berlaku di negara
mereka sendiri. Mereka kagum dengan kesediaan rakyat
negara ini menyambut ketibaan mereka dan dengan cara hidup
rakyat negara ini menerima keadaan hidup yang ada. Tetapi,
sedarkah setiap pelawat negara apa yang sebenarnya
tersirat di sebalik setiap senyuman rakyat negara ini?
Tidak ada negara lain di dunia ini yang mampu menandingi
keupayaan rakyat negara ini dalam cara bersandiwara secara
selamba. Sejak Perang Dunia Kedua dulu, rakyat negara ini
telah dihujani dengan pelbagai bentuk kesengsaraan. Ketika
Jepun datang memerintah, kedaifan telah mengajar
penduduknya untuk terus hidup walaupun dengan memakan ubi
yang dibakar dan merebus bebunga durian sebagai sayur
harian. Apabila Jepun lari kerana kekalahan, negara yang
diperintah untuk satu waktu yang pendek oleh ?Gerombolan
Bintang Tiga? telah menyaksikan betapa ramainya orang
Melayu yang dibunuh oleh kumpulan ganas ini yang mahu
menegakkan sebuah negara yang berpaksikan Kerajaan China
Komunis. Rakyat negara terutama sekali orang Melayu masih
mampu untuk terus hidup lagi sehinggalah penjajah British
muncul semula dengan iringan Askar Melayu yang bersenjata.
British datang semula dan menumpaskan kumpulan Cina yang
mahu berkuasa selepas tewasnya askar Jepun. Orang Melayu
yang masih taat setia kepada sistem beraja, terus
mengalukan ketibaan British itu. Mereka akur kepada arahan
raja-raja untuk terus taat setia kepada kerajaan British.
Kesetiaan yang membabi-buta itu telah menyaksikan
penjajahan yang lembut tetapi terang-terangan mengambil
tempat unggulan dalam sejarah kehidupan orang Melayu.
Sedikit demi sedikit orang Melayu menjadi satu kumpulan
manusia yang terpinggir daripada arus kemajuan kerana yang
dipentingkan oleh British ketika itu ialah mengambil alih
ketuanan Melayu daripada raja-raja untuk dikuasai oleh
penasihat raja-raja. Sekaligus, orang Melayu mula hidup
berkasta mengikut rentak nafsu-nafsi golongan penasihat
British itu. Secara spontan pula orang Melayu menerima
pelajaran daripada ketuanan yang baru bahawa ?bangsa yang
bergelar Melayu itu adalah satu bangsa yang pemalas dan
tidak tahu membangunkan negaranya.?
Alangkah aibnya catatan sejarah bangsa Melayu yang ditulis
oleh British ketika itu sedangkan sebelum ketibaan mereka
ataupun puak mereka daripada Eropah dulu, Bahasa Melayu
digelar bahasa ?Lingua Franca? dan peradaban Melayu
dipelajari oleh setiap kaum yang mendatang ke balai istana
raja-raja Melayu?
Maka bermulalah satu episod panjang apabila British terus
mencengkam penjajahannya di Kepulauan Melayu itu. Bermula
daripada Arau di Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Tawau
yang terletak dibucu tanah kepulauan Borneo, orang Melayu
dijajah mengikut cara yang menyeronokkan pihak yang
dilantik pada awalnya sebagai penasihat kepada raja-raja
Melayu. Berterusanlah keadaan itu sehingga berlakunya satu
semangat kebangkitan di kalangan rakyat untuk memberontak
dan menyanggah pemerintahan yang berat sebelah. Golongan
penasihat menjadi terkejut dengan semangat kebangkitan itu
dan berlakulah putarbalik pemikiran di kalangan raja-raja
dan juga rakyat jelata yang berbangsa Melayu. Terbantutlah
usaha British yang cuba membuat klassifikasi baru kepada
perkataan Bangsa Melayu. Rencana Malaysan Union tumpas,
walaupun raja-raja Melayu sendiri sudah hampir
menyetujuinya. Tetapi, orang Melayu yang bergelar rakyat
itu yang menyanggahnya. Ketika itu British hanya berjaya
mengubah sejarah bangsa dengan membuat klassifikasi
terhadap orang Bajau, Iban dan Kadazan; terhadap orang
Hulu, Hilir, Bukit dan Sungai; orang Murut, Temoi, Sakai
dan Jelai. Semua itu adalah Melayu pada asalnya tetapi bagi
muslihat penjajahan mereka diberikan taraf baru pula oleh
British agar senang untuk memerintah secara ?Pecah dan
Jajah?.
Di waktu yang sama, semangat untuk mengembangkan pengaruh
Komunis masih bergegar sehinggakan British terpaksa
mengisytiharkan keadaan dharurat di negara ini di mana
kumpulan yang berpaksikan Parti Komunis Malaya itu
diharamkan dan kumpulan itu dikatakan melarikan diri ke
hutan belantara. British pun mengembangkan pasukan
keselamatan untuk mempertahankan negara daripada ancaman
komunis itu yang sebilangan besarnya dianggotai oleh kaum
Cina. Rakyat jelata pun dikerah untuk menjadi polis dan
tentera. Sembilan puluh sembilan peratus anggota pasukan
keselamatan itu diambil daripada orang Melayu bukan kerana
mereka mahu sangat dengan tugas itu tetapi kerana semangat
mereka untuk mempertahankan negara yang ?satu? dan semangat
mereka mahu mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dan
agama Islam anutan mereka.
Dengan lain perkataan, orang Melayu bangkit semula memikul
senjata dan berkorban nyawa dan raga untuk mempertahankan
kedaulatan negara, raja-raja, martabat bangsa dan agama
Islam. Inilah semangat juang orang Melayu yang ditanam di
kalangan mereka sejak British memerintah dulu. Ini jugalah
semangat orang Melayu ketika bersatu-padu menuntut
kemerdekaan daripada British dulu. Seperti yang berlaku
ketika perang melawan Jepun dulu, ribuan nyawa Melayu yang
terkorban mempertahankan semangat yang tertanam di sanubari
mereka sejak lahir dulu. Ratusan keluarga Melayu tergugat
disebabkan keadaan hidup yang daif ketika zaman dharurat
dulu. Tetapi, orang Melayu terus bertahan kerana mereka
mengharapkan keadaan hidup akan berubah apabila kemerdekaan
dapat dicapai.
- 31 Ogos 1957
Inilah tarikh keramat yang menaikkan semula semangat dan
martabat orang Melayu. Yang lebih menonjol ketika itu ialah
martabat raja-raja Melayu yang diberikan kepada yang
berhak. Kemerdekaan itu diisi dengan satu harapan betapa
sekumpulan manusia yang dilantik sebagai wakil kepada
rakyat yang mengundi mereka di pilihanraya umum itu adalah
satu kumpulan yang mewakili rakyat untuk menjadi kerajaan
yang memerintah negara. Rakyat jelata tidak pernah menaruh
sebarang syak wasangka betapa Tunku Abdul Rahman Putra
Alhaj yang menjadi Perdana Menteri Pertama Negara akan
menyeleweng daripada sumpah setianya. Tidak juga kepada Tun
Abdul Razak timbalannya ataupun kepada Tun Dr. Ismail,
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu.
Tunku memimpin negara dengan megah dan dengan penuh
sanjungan rakyat jelata. Tidak ada masalah kerajaan yang
tidak ditanganinya setelah memberitahu rakyat terlebih
dahulu. Tidak ada sebarang masalah yang tidak ditanganinya
tanpa disenangi oleh rakyat. Kerajaan Tunku merupakan satu
kerajaan rakyat yang ditadbir oleh mereka yang benar-benar
bergelar wakil rakyat. Inilah asas keharmonian negara
kerana ia telah hidup membesar dengan penuh pengertian
bahawa kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang disenangi
oleh rakyatnya.
- 13 Mei 1969
Ketenangan dan keharmonian negara tergugat dengan
tercetusnya huruhara yang melibatkan pergeseran kaum di
antara orang Melayu dan Cina. Pergeseran kaum itu berlaku
di Kuala Lumpur pada awalnya tetapi sempat dikekang
daripada menjalar ke seluruh negara. Kepintaran segelintir
manusia yang bergelar wakil rakyat dengan kerjasama
segelintir ketua polis dan tentera bersama segelintir
pemimpin masyarakat berjaya membendung huru-hara itu
daripada menular.
Dunia menjadi terkejut kerana tidak terfikirkan sebuah
negara yang mampu hidup aman damai tiba-tiba bergolak untuk
berantakan. Tetapi, dunia tidak sedar ketika itu betapa
keadaan huru-hara itu adalah kesan mainan dalang yang
mahukan Tunku Abdul Rahman Putra undur daripada jawatannya.
Semua kisah pendalangan itu pernah ditulis dan dibukukan
oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Di dalam buku itu dia ada
menyebut satu nama orang yang membakar semangat membenci
kerajaan pimpinan Tunku itu. Nama orang yang jijik itu kini
merupakan satu nama yang penuh kontroversi sekali lagi.
Ironisnya menjelang 31 Ogos 2000, nama yang dikatakan
sungguh harum itu sudah semakin jijik semula. Kali ini,
kejijikan itu bukan sahaja setakat satu kumpulan tertentu
seperti yang dialami oleh Kumpulan Tunku dulu. Kini,
kejijikan itu dirasai oleh sebilangan besar rakyat jelata
negara ini terutama sekali mereka yang bergelar Bangsa
Melayu.
Yang Usul Balik Ke Asal
Sejak empat puluh tahun yang lalu, ketuanan Melayu yang
diraih kembali daripada British oleh semangat juang orang
Melayu dan diserahkan kepada raja-raja Melayu, kini sudah
bertukar tangan lagi. Dua puluh tahun yang lalu, ketuanan
Melayu itu telah bertukar tangan daripada yang berpaksikan
kedaulatan raja-raja Melayu kepada ketuanan parti politik
yang bergelar UMNO. Namun, sedikit demi sedikit sejak
sepuluh tahun yang lalu, kedaulatan raja-raja Melayu itu
terhakis sehinggakan kehadiran mereka hanya simbolik kepada
ketuanan Melayu sahaja. Ketuanan sebenarnya pun sudah tidak
ada pada UMNO kerana ia sudah bertukar kepada hanya seorang
yang kini berkuasa mutlak hingga mampu mencorakkan cara
hidup orang Melayu itu mengikut ragam nafsu-nafsinya.
Proses penukaran kuasa mutlak itu dapat dilakukannya
melalui pelbagai akta dan perundangan yang diperkenalkan
dan dipinda di mana perlu untuk menentukan kuasa ketuanan
Melayu itu hanya hak mutlak si insan yang satu itu. Semua
lapisan Melayu yang ada, baik daripada golongan istana
hinggalah golongan rakyat Melayu yang melata, menjadi kaku,
bisu dan seolah-olah terpukau membiarkan ketuanan Melayu
itu bertukar tangan. Sekaligus khazanah negara yang
sepatutnya menjadi warisan bangsa bertukar tangan juga.
Orang Melayu masih tidak mampu berbuat apa-apa.
Sejarah Melayu berulang kembali. Penjajah dulu melakukan
proses ?pecah dan jajah?, kini proses itu berulang lagi. Di
zaman British dulu, orang Melayu dikawal pergerakannya
melalui satu jaringan lapuran yang dilakukan oleh satu
kumpulan masyarakat yang datang daripada India dan Pakistan
dan dikatakan beragama Islam. Inilah kumpulan yang menjadi
peniaga kedai mamak dan penjual roti dan susu lembu di
merata negara. Ada juga di kalangan mereka yang merupakan
guru-guru yang akhirnya mengahwini orang Melayu tempatan
untuk membiak hingga beranak-pinak pula. Inilah kumpulan
yang diberikan tanah lesen ?TOL? untuk berniaga dengan
modal yang diberikan oleh British. Inilah juga golongan
yang digalakkan oleh British untuk menonjol sebagai
golongan yang disegani oleh masyarakat sekelilingnya.
Mereka inilah yang merupakan rangkaian talibarut pihak yang
memerintah. Mereka berjaya membesar dan membangunkan
ekonomi mereka kini disebabkan sikap orang Melayu yang
toleran terhadap mereka kerana memikirkan inilah kaum
seagama yang patut diiktiraf sebagai ?saudara?. Tetapi
apakah jadinya?
Sebagai yang lazim, sesuatu tindakan yang tidak sihat dan
yang ditujukan untuk mempengaruhi masyarakat yang bertaqwa,
tidak akan dapat bertahan lama. Berlakulah pelbagai
usaha untuk mengkucar-kacirkan masyarakat Melayu dalam
pelbagai bentuk. Ada yang mencuba melakukan perpecahan
melalui ajaran agama Islam yang songsang, sehinggakan
berani menonjolkan risalah dan dakyah betapa ?Hadis itu
adalah tidak perlu dalam kehidupan ini?. Ada yang berani
melakukan pengaruh yang lebih berani memperlekehkan ajaran
agama Islam itu sehinggakan mengaibkan nabi junjungan
masyarakat Islam. Begitulah seterusnya, penindasan minda
Melayu itu terus diganyang oleh pihak yang mempunyai kuasa
memerintah negara sehinggakan orang Melayu itu berpecah
belah dan berpuak-puak.
Orang Melayu Yang Mudah Mengalah
Ketika British memerintah negara, ada satu falsafah
pemerintah yang menjadi amalan mereka. Amalan itu
berbunyi........ ?Orang Melayu mudah diperintah kalau
perkara ini diberikan perhatian: Islam, raja-raja, gaji,
cuti, perkahwinan, sakit dan mati.?
Kerana itu di waktu penjajahan dulu, kalau ada seorang
askar yang meminta cuti dengan alasan ?neneknya yang mati?,
pegawai pemerintah akan meluluskannya walaupun dia tahu
askar itu sudah banyak kali meminta cuti dengan alasan yang
sama. Pegawai British itu tidak akan mempersoalkan alasan
itu kerana besar kemungkinannya si askar tadi mempunyai
seorang datuk yang mempunya empat isteri.
Sikap toleran British yang memerintah, telah dibalas oleh
orang Melayu dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi
selagi sikap pemerintahan itu dapat menjamin tujuh faktor
yang disebutkan di atas tadi. Kerana itu, apabila British
melakukan pengasingan kaum bukan Melayu dalam kem
perkampungan untuk menjauhkan pengaruh kominis ke atas kaum
yang di berikan penempatan itu, orang Melayu tidak pernah
membantah. Malahan, ramai orang Melayu yang sanggup pula
menerima anak-anak kecil daripada kaum Cina dan India yang
sedang kesempitan hidupnya ketika itu. Hasilnya ramai
anak-anak angkat itu yang membesar sebagai orang Melayu dan
beragama Islam hingga kini.
Toleransi orang Melayu yang semula-jadi itulah yang
meyakinkan British memberikan kemerdekaan kepada
Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.
Pihak British yakin, bahawa sikap toleran Bangsa Melayu
adalah satu aset yang terpenting untuk menjamin
kesejahteraan bekas jajahannya.
Semangat Kemelayuan Yang Mencelaru.
Proses memutarbalikkan minda orang Melayu yang memakan masa
lebih dua puluh tahun oleh satu kumpulan yang mahukan
ketuanan Melayu sudah membuatkan Bangsa Melayu itu menjadi
satu bangsa yang berkecamuk fikirannya.
Sekaligus, kedamaian yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman
Putra Al Haj menjadi tergugat, kerana orang Melayu
diberitahu akan bahaya memanjakan kaum asing yang semakin
kaya raya ketika itu. Tunku Abdul Rahamn ditohmah sebagai
perdana menteri yang amat suka berjudi dan tidak lagi
memikirkan masa depan bangsa Melayu. Pemimpin UMNO yang lain
yang rapat dengan Tunku pun ditempelak sebagai golongan
yang menderhakakan harapan bangsa. Demikianlah, golongan
marhaen Melayu itu dipukau dengan kata hasutan. Apabila
Tunku bersara, pembantu setianya yang dulu naik memerintah
dengan program pemerintahan yang baru. Bangsa Melayu akur
lagi tanpa banyak bantahan. Hutan rimba yang dibuka sanggup
diteroka oleh bekas perajurit sebagai para peneroka.
Sedangkan keadaan hidup di kawasan FELDA, RISDA dan FELCRA
ketika itu memang tidak jauh bezanya dengan keadaan hidup
yang diharungi oleh kumpulan orang Asli.
Balak yang ditebang telah memperkayakan orang tertentu
daripada golongan istana kepada mereka yang baru sahaja
melepaskan perusahaan bijih timah yang sudah tidak laku
lagi. Para pemimpin Melayu yang bergelar wakil rakyat sudah
semakin kehilangan agenda asal ketika mereka dipilih dulu.
Hutan rimba yang semakin galak ditebang telah membeliakkan
mata mereka untuk turut membalon khazanah negara.
Tinggallah orang Melayu di hutan rimba itu untuk
memperkayakan negara dan juga para pemimpinnya. Kawasan
perladangan itu merupakan gelanggang baru kepada orang
Melayu untuk bekerja keras memperbaikki keadaan ekonomi
mereka secara kumpulan. Di malam hari mereka berehat sambil
mengimpikan sesuatu yang lebih baik lagi.
Dengan kudrat Illahi, harga getah naik mendadak dan
dituruti pula dengan harga sawit yang naik mencanak. Harga
balak terus naik lagi, tetapi bahannya sudah berkurangan
kini. Negara membangun lagi apabila harga petroleum semakin
meninggi. Terselamatlah Bangsa Melayu itu dengan penuh
keinsafan betapa kenaikan harga sumber negara itu adalah
satu rahmat yang datang dari Allah SWT sebagai ganjaran dan
pampasan kegigihan mereka untuk bernegara. Sekaligus, orang
Melayu lupa bahawa di waktu yang sama ketuanan Melayu itu
sudah beransur bertukar tangan, dirangkul oleh seorang
insan yang sudah beransur bertukar peranan. Dia bertukar
daripada seorang pemimpin yang disegani kepada seorang
pemimpin yang semakin berani. Secara bedikit dia menukar
agenda kepimpinannya daripada seorang negarawan yang
menonjolkan Bangsa Melayu kepada seorang yang mahu dikenal
sebagai Wira Dunia yang berasal-usulkan Bangsa Malaysia dan
tidak berbangsa Melayu lagi.
Percanggahan Agenda Kehidupan
Percanggahan dalam agenda kehidupan adalah laksana
pertembungan anak-anak sungai di satu cabang air yang
besar. Matlamat kehidupan itu adalah laksana aliran sungai
ke muara. Kalau pertembungan itu berlaku sama kuatnya, akan
berlakulah satu jurang yang dalam di situ untuk air bertemu
air sebelum terjadi pula lurah aliran yang baru. Inilah
yang sedang berlaku sekarang di kalangan Bangsa Melayu.
Pada keseluruhannya masyarakat Melayu itu sudah menjadi
terus mencelaru memikirkan serba-serbi kehidupan mereka
yang telah tergugat oleh satu arus agenda hidup yang tidak
menyenangkan. Mereka telah kehilangan arah sebaik sahaja
ketuanan Melayu bertukar tangan. Kini, sebilangan besar
masyarakat Melayu itu sudah menjadi keliru siapakah
sebenarnya yang mesti mereka pentingkan. Raja-raja Melayu
ataupun wakil rakyat Melayu yang amat mereka hormati sejak
lama dulu?
Untuk mencari jawapannya, orang Melayu menoleh keliling
mereka dan mendapati keadaan hidup yang semakin menekan.
Keadaan korupsi yang semakin menjadi-jadi, daya mengejar
kekayaan dengan cara yang salah di mana meritokrasi dan
kegigihan usaha tidak lagi menjadi ukuran asasnya. Yang
penting sekali ialah penekanan kepada sistem Korupsi,
Kollusii, Daddykasi dan Detkasi adalah ukuran hidup zaman
kini. Semua itu dihayunkan dengan bangganya oleh satu
sistem pemerintahan yang berpaksikan seorang diktator tua
yang mesti terus berkuasa. Apa jadi akhirnya? Parti
politik yang bernama UMNO tidak lagi menjadi parti politik
yang disenangi oleh majoriti orang Melayu.
Dengan kehendak Allah jua, ketika negara hampir merayakan
ulangtahun kemerdekaan ini terjadi pelbagai drama,
sandiwara dan insiden yang mencelikkan mata. Korupsi yang
berjuta harganya yang diamalkan di JPJ melibatkan lebih
satu ratus ribu manusia yang mempunyai lesen memandu haram
mengimbau kenangan akan jumlah kemalangan jalanraya yang
semakin meningkat. Sekaligus, korupsi seperti ini
mengingatkan rakyat akan kisah projek kerajaan yang banyak
terbengkalai sedangkan bayaran lumayan sudah tertunai.
Projek PULAREK yang perlu dibaik-pulih semula, keadaan
Kompleks Stadium Bukit Jalil yang hanya baru dua tahun
usianya tetapi menunjukkan kedaifan pembikinannya, Projek
Ampangan Bakun, Projek Perwaja dan banyak lagi. Semua itu
mengejutkan orang Melayu kepada apakah yang sudah jadi
dengan sistem pemerintahan negara masa kini. Apabila
diambil kira semua itu dan disatukan pula dengan segala
projek mega di Langkawi yang dibina untuk menaikkan nama
Malaysia, semua tandatanya itu merupakan soalan yang
memerlukan jawapannya.
Kini, ulangtahun kemerdekaan berulang kembali. Tetapi,
rakyat sudah lali dengan segala pujukan yang datang menjela
panjangnya agar rakyat mula berpesta lagi. Seratus bait
pantun mungkin dibaca semula. Titisan airmata si tua
mungkin berjuraian juga ketika membaca segala gurindam dan
seloka mengenai kemerdekaan itu. Mungkin mengenai satu
iltizam yang baru agar rakyat terus berkorban lagi. Semua
itu akan menjadi basi sahaja kerana rakyat sudah lama
menyedari lakonan drama dan sandiwara yang disisip di
dalamnya.
Perayaan Merdeka untuk apa soal mereka kini. Ulangtahun
merdeka untuk siapa pula lagi, tanya mereka kali ini.
Perayaan itu boleh diraikan dengan ratusan juta ringgit
lagi; tetapi rakyat semakin sedar begitulah simboliknya
pembaziran royalti minyak yang sepatutnya tersimpan rapi
sebagai warisan bangsa. Rata-rata, sambutan ulangtahun
kemerdekaan tidak lagi membawa banyak makna kepada orang
Melayu kerana mereka semakin sedar betapa mereka sudah lama
tertipu. Alangkah pedihnya perkara ini, sedangkan itulah
kaum yang bermati-matian dan bergadai golok untuk
menentukan keutuhan negara dan martabat bangsanya?
Kini, orang Melayu masih hidup terumbang-ambing. Setiap
gerak langkah mereka mesti bertepatan dengan keserasian
seorang diktator tua dan hukum hakam ciptaanya. Perkara ini
baru disedari oleh Mufti Johor yang mahukan bakal pengantin
lelaki menjalani ujian air kecing untuk mempastikan
kebersihan bakal calon perkahwinan itu daripada serangan
AIDS. Tetapi siapakah yang menyanggahnya kalau bukan anak
si diktator itu. Sebelum ini adakah sesiapa di kalangan
masyarakat Melayu yang mempersoalkan samada sang suami yang
mengahwini si wanita itu pernah menjalani kursus
perkahwinan? Begitu juga dengan anak lelaki si diktator itu
yang sudah pun berumah tangga. Adakah mereka pernah
menjalani kursus perkahwinan, sebelum mereka berumah
tangga?
Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu lebih selesa
mengenangkan nasib yang ditanggung oleh Anwar Ibrahim dan
keluarganya. Mereka bersedia berfikiran demikian daripada
mengibarkan bendera di kereta mereka. Rupanya rakyat faham
bahawa tambahan hukuman yang ditanggungnya bukan lagi
tambahan hukuman terhadap dirinya dan juga anak dan
keluarganya. Tambahan hukuman itu berarti tambahan
kesengsaraan yang perlu ditanggungi oleh segolongan besar
rakyat negara ini juga. Tidak kira apa kaumnya dan apa
pegangan agamanya. Bilangan Jalur Gemilang yang berkibar di
kenderaan yang bergerak di jalan raya bukan sahaja
berkurangan secara drastiknya. Kibaran setiap bendera yang
ada itu kini membawa satu makna yang amat berbeza daripada
makna yang asalnya. Sebilangan besar rakyat yang
melihatnya kini, menyedari bahawa setiap gerak kibaran
bendera itu adalah lambang gerak hati yang mahukan seorang
diktator tua yang mengetuai regim negara ini berundur
segera. Bersama dengan para juak, jongos dan kumpulan
Kroniputranya. Malahan juga mereka yang sekapal dengannya.
- Marhaintua -
Kucing - 30 Ogos, 2000