Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Lagi Elok Bersila
KTLBELB:Bab 26
Yang Bergolek dan Bergolak
Ketika Mr. Lee Kuan Yew menceritakan kisah perbualannya di Davos dengan
Mahathir dalam kes penahanan Anwar Ibrahim dulu, menteri kanan Singapura itu
ada membuat beberapa pendedahan seolah-olah dia tidak berapa suka dengan
perbuatan kawan lamanya itu. Sekaligus ramai rakyat Malaysia yang fikir Lee
Kuan Yew cuba memperlekehkan Mahathir. Tetapi, perkara sebenarnya ialah
mereka berdua sedang mencari satu formula baru bagaimana Mahathir boleh
terus berkuasa dan menjadi satu penghalang utama terhadap kebangkitan arus
reformasi di dua belah negara. Kerana itu, Lee Kuan Yew berani
mempersendakan Mahathir di Kuala Lumpur sebelum beliau bertolak pulang.
Kalau Lee mahu berniat serong dengan Mahathir, tentu sekali dia telah
mencadangkan agar Mahathir berundur diri secara hormat selagi ada lagi
secebis perasaan hormat rakyat Malaysia terhadapnya. Dengan kata mudah,
tentu sekali Lee Kuan Yew menasihatkan Mahathir melepaskan jawatannya dan
mengambil peranan sebagai menteri kanan di kabinet Persekutuan pula. Ataupun
apakah Mr. Lee ada menasihatkan Mahathir supaya undur dengan hormat sebelum
terlambat?
Mr. Lee Kuan Yew memang terkenal sebagai seorang negawaran terulung di
rantau ini. Tidak ada lagi sesiapa negarawan (di rantau ini yang masih
hidup) yang mampu menandinginya. Tidak juga Mahathir. Kerana itu dia sudah
dapat melihat betapa rapuhnya Mahathir sekarang. Pelbagai peristiwa yang
berlalu sejak dua bulan yang lalu adalah satu gambaran yang jelas kepada Mr.
Lee betapa Mahathir sedang mencengkam tanah yang dipijaknya laksana seekor
anjing tua yang masih lagi mempunyai hati muda melihatkan gelagat suku
sakatnya di musim mengawan. Lee sudah nampak dengan jelas betapa Mahathir
hanya menantikan hari-hari yang bersejarah untuk menyembah bumi juga. Kerana
itu segala taktik Mahathir untuk terus berkuasa itu dianalisa sebaik mungkin
oleh negara jiran dan juga para analis professional untuk menilai apakah
yang akan terus datang bergolek untuk menjadi isu yang bergolak dan
mencemaskan keselamatan rantau ini.
Kalau Mr. Lee Kuan Yew sudah mampu memahami kedudukan Mahathir sekarang ini,
siapakah lagi yang mampu berfikiran seperti Lee? Tentunya semua kuasa dunia
yang memang mahu melihat bila agaknya Mahathir akan undur ataupun
diundurkan. Tentunya para penganalisa korporat bertahap global yang mahu
melihat risiko pelaburan mereka di rantau ini. Tentunya para hartawan bukan
Melayu yang sudah lama kaya raya di negara ini melalui sistem Kronisme,
Korupsi, Daddykasi dan Detkasi. Selama ini mereka pura-pura akur dengan
Mahathir, tetapi kita tahu mereka pun sudah lama mengatur strategi apa yang
perlu dibawa lari dan bila mesti bersiap sedia untuk lari.
Mampukah Mahathir Menyanggah Sejarah ?
Kalau kita lihat pergerakan dan aktibiti Mr. Lee Kuan Yew sejak dia
meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Singapura dulu, kita akan
faham beliau adalah seorang insan yang tidak mudah memberi nasihat ataupun
kritik terhadap negara luar. Selalunya dia menumpukan fokus kritikannya
terhadap negaranya sahaja. Kalau dia lakukan kritikan terhadap negara luar,
kritikannya itu adalah simbolik untuk menghentam kuasa yang lebih besar
darinya dan juga sebagai ingatan kepada pemimpin muda Singapura yang naik
kerana tunjuk ajarnya. Itu sebabnya penganalis professional mengiktiraf Mr.
Lee Kuan Yew sebagi 'Mr. History of Singapore'
Satu ketika dulu Mr. Lee ada membuat komen betapa perlunya Singapura
memikirkan kemungkinan republik itu berbalik kembali di bawah satu gagasan
dan bendera yang memberinya ruang mencapai kemerdekaan dulu. Dengan ringkas
beliau membawa kejutan di kalangan masyarakat Singapura betapa mungkinnya
Singapura menganggotai Malaysia semula untuk terus berjaya. Lantas, para
pemimpin di Malaysia berlagak sakan sehinggakan pemimpin yang baru laksana
jagung mentah pun turut terbawa dengan sentimen yang palsu itu. Mr. Lee
sebenarnya menyindir rakyat Singapura agar berwaspada untuk bekerja kuat
lagi dan menjamin kejayaan republik itu. Inilah yang tidak difahami oleh
kebanyakan pemimpin Malaysia ketika itu, apatah lagi para pemimpin
Pergerakan Pemuda UMNO yang ikut melatah tak tentu hala. Ada di kalangan
mereka yang berucap betapa Lee Kuan Yew "sudah mendongak muka ke langit
untuk menjilat ludahannya". Sekaligus mereka meninggikan suara untuk
memuji-muja Mahathir Mohamad sehingga tinggi melangit pujiannya. Pernah
terlintaskah di kepala otak pemimpin pemuda UMNO itu kini, apa yang terjadi
selepas Mr. Lee Kuan Yew muncul di bumi Malaysia kali ini? Adakah
dibincangkan masalah Singapura menganggotai Malaysia? Adakah sesiapa di
kalangan pemimin pemuda UMNO yang pernah terfikirkan drama lawak jenaka Lee
Kuan Yew mengenai hal ini?
Siapa Lawan Siapa Kawan ?
Kita nampak berapa tersinggungnya Mahathir dengan perbuatan Mr. Lee Kuan Yew
ketika berada hanya empat hari di Kuala Lumpur. Risikan Malaysia telah
menyatakan siapakah yang ditemui oleh Lee ketika berada di ibukota. Dia
tidak pun menghabiskan masa yang panjang dengan Mahathir untuk memberi
justifikasi kenapa dia perlu empat hari untuk membuat lawatan itu. Dia tidak
pergi ke tempat lain seperti Pulau Pinang ataupun Langkawi. Tidak juga dia
pergi ke tanah tumpah darah asalnya di Perak untuk mengimbau sejarah silam.
Mr. Lee hanya berada di Kuala Lumpur menikmati keindahan Menara kembar
berbentuk 'H' yang mengikutnya adalah satu pembaziran khazanah negara.
Apabila dia menoleh kesebelah menara kembar itu dia terlihat Menara Kuala
Lumpur yang digunakan untuk tujuan kommunikasi, tetapi dia tidak membuat
soalan mengenainya. Dia sudah lama tahu betapa kedua-dua menara yang
berbilion harganya itu adalah satu lambang kepada rakyat malaysia di masa
depan berapa rakusnya seorang pemimpin yang satu ketika dulu bersuara
lantang menghentam Tunku Abdul Rahman Putra. Sayangnya, kita hanya akan
mengetahui perasaan Mr. Lee sebenarnya apabila terbit sebuah memoir khas
(mengenai semua ini) selepas kematiannya. Untuk ketika ini, sudah tentu
perasaannya itu dipendamnya dulu sebagai tanda hormat kepada perhubungan dua
negara yang dikatakan ikrab itu.
Namun, seluruh dunia kini faham bahawa di antara Mahathir dan Daim, siapakah
orang pilihan Mr. Lee ? "Daim," katanya singkat. Kenapa pula begitu, kita
mahu bertanya sedangkan Mahathir dan Lee pernah seangkatan di Singapura satu
ketika dulu dalam dunia kewartawanan dan penulisan. Soalan demikian tentu
tidak berani disoalkan oleh wartawan negara ini kepadanya di sidang akhbar
yang lalu kerana mereka tahu akan bahananya. Begitu juga dengan kisah lain
seperti masalah Stesen Keretapi di Singapura (Pasir Panjang) dan harta
Malaysia daripada Woodlands ke Tanjung Pagar itu. Sekali lagi soalan
mengenai hal itu tidak dikemukakan, seperti juga soalan pandangan beliau
terhadap kes-kes lama di Malaysia yang terbeku dan terpendam sahaja.
Malahan, ada satu soalan penting yang sungguh relevan yang patut dikemukan
oleh wartawan dari Malaysia: kenapakah kerajaan Singapura masih menyekat
caruman rakyat Malaysia yang sudah lama berhenti kerja di republik itu?
Kenapakah wang itu tidak dikirimkan untuk dimasukkan di KWSP Malaysia?
Mungkin juga para wartawan akhbar Malaysia sengaja diajar tidak menyoal
soalan sensitif seperti itu, kerana Mr. Lee Kuan Yew adalah kawan baik
orang-orang Utusan Melayu?
Jikalau kita lihat kenyataan Mr. Lee ketika sidang akhbar dulu itu, nampak
ada satu lakonan juga. Dia tidak banyak menghentam cara negara ini ditadbir
dari perspektif pembaziran wang rakyat. Tentunya Mr. Lee amat faham betapa
banyak bank di Singapura yang mengaut hasil kekayaan ini disebabkan rakyat
Malaysia yang melarikan harta mereka daripada negara ini. Mr. Lee tidak
pernah buat komen akan keadaan pencapaian Malaysia dalam arena pelajaran
kerana dia tahu anak-anak hartawan Malaysia menerima didikan di Singapura
dan bukannya di Kuala Lumpur. Dia tahu semua itu kerana banyak apartment dan
kondominium yang mahal-mahal adalah kepunyaan tauke besar Malaysia dan para
jongos Mahathir untuk tujuan memudahkan mereka berkumpul ramai-ramai di
hujung minggu. Ataupun ketika Mahathir ke luar negara melakukan peranannya
sebagai Wira Dunia Ketiga.
Kalau demikianlah halnya, apakah sebenarnya tujuan Mr. Lee datang ke Kuala
Lumpur? Kalau mahu bertemu dan makan besar dengan orang kenamaan di Kuala
Lumpur dia mampu menunggu ketibaan mereka di Singapura. Dia boleh mengirim
salam dan menjemput mereka ke Sri Temasik untuk bersua muka dan berlawak
jenaka. Dia mempunyai kekuatan untuk mengetahui nombor akaun rahsia mereka
semua di Bank Singapura. Malahan dia tahu nama gundek dan isteri simpanan
para hartawan Malaysia di seberang tambak sana. Tentu sekali Mr. Lee tidak
perlu datang ke ibukota untuk tujuan itu semua kalau lawatannya itu hanya
untuk bersua muka dengan Mahathir sahaja?
Tentu ada sesuatu yang lebih penting daripada apa yang kita tahu secara
terbuka mengenai lawatan Mr. Lee itu. Apakah dia (Mr. Harry Lee) datang untuk
menyaksikan The Royal Circus of London dengan tujuan menentukan gereja mana
di Kuala Lumpur ini yang sepatutnya menerima 5% derma kutipan jualan tiket
setiap hari? Apakah dia datang untuk memberi nasihat kepada Mahathir sebelum
dia bertolak ke Mozambique ? Ataupun apakah dia datang untuk memberi
sokongan kepada Parti Gerakan di atas masalah kepimpinan mereka? Inilah yang
masih menjadi tandatanya para analis masakini. Kerana, tidak ada satu
masalah yang tidak dapat dibincangkan oleh Mr. Lee dengan Mahathir melalui
telefon dan telefaks sahaja. Malahan mereka sentiasa boleh berhubungan
melalui sistem 'teleconferencing' yang sulit dan berahsia. Apa juga
muslihat sebenar pertemuan mereka, rakyat marhaen tidak akan tahu kerana
sistem rahsia di negara ini tidak membolehkan kita mengetahuinya. Sedangkan
di negara yang maju setiap aktibiti pemerintah didedahkan untuk kajian
rakyatnya setelah satu tempoh yang terhad. Tetapi di negara ini apa juga
yang dilakukan oleh pemerintah hanya merupakan hak pemerintah. Rakyat tidak
akan mengetahuinya selagi pemerintah tidak mendedahkannya. Alangkah
lucunya perkara ini sedangkan yang memerintah itu adalah wakil rakyat,
sebenarnya?
Hak Keistimewaan Orang Melayu
Kekecohan mengenai hak keistimewaan orang Melayu tiba-tiba meletup sebaik
sahaja Mr. Lee Kuan Yew berlepas daripada Kuala Lumpur untuk pulang ke
Singapura. Kenapakah kekecohan itu tiba-tiba sahaja meledak ? Kenapakah
Pergerakan Pemua UMNO mampu menunjukkan keberangan mereka mengenai isu ini
sedangkan Perdana Menteri sendiri telah diberitahu oleh David Chua betapa
pendapatnya sengaja disalah-tafsirkan oleh Utusan Melayu?
Penulis Veteran MGG Pillai telah menulis panjang mengenai hal ini dan
mengatakan betapa Pemuda UMNO itu berlagak sakan tidak kena pada tempatnya.
Bukankah hak keistimewaan Melayu itu sesuatu yang lama termaktub dalam
perlembagaan negara? Dengan hal yang demikian, siapakah yang cuba ditipu
oleh Pemuda UMNO ini? Apakah mereka fikir orang Melayu khasnya dan rakyat
Malaysia amnya sudah begitu jauh kebelakang dalam bidang sejarah? Soalan ini
telah dijawab oleh seorang peniaga gerai makan yang berkata: "Inilah lakonan
Mahathir yang terbaru!!! Yang peliknya pergerakan Pemuda UMNO turut berlakon
sama!!"
Bayangkanlah sendiri begitu hinanya tafsiran rakyat akan perkara ini
terhadap seorang perdana menteri dan juga terhadap pelapis pemimpin negara.
Jikalau rakyat marhaen sedar akan lakonan terbaru ini apakah sebenarnya
tujuan lakonan itu dicetuskan? Apakah ia bertujuan untuk mengalehkan
pemikiran orang Melayu terhadap impak saranan Mr. Lee Kuan Yew mengenai
keputusan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim? Apakah benar, Mr. Lee Kuan Yew
sudah menerima 'advance warning' (amaran awal) mengenai tindakan dunia luar
terhadap Mahathir berasaskan keputusan mahkamah terhadap Anwar? Apakah ini
sebenarnya maksud kenyataan Mahathir yang berbunyi "Kini kita baru tahu
siapa kawan dan siapa lawan...."
Sebenarnya, kita boleh menyoal Mahathir dan juga para pemimpin Pemuda UMNO,
apakah sebenarnya yang membuat mereka melatah sekarang ini mengenai Hak
Keistimewaan Melayu itu? Apakah mereka tidak sedar bahawa golongan yang
paling beruntung dengan Hak Keistimewaan Melayu itu adalah golongan yang
bertapa nun jauh di atas pucuk pimpinan parti yang bergelar UMNO. Di
samping itu yang paling beruntung dalam keistimewaan ini adalah golongan
yang kini mudah dikenal sebagai kumpulan Kroniputra. Inilah segelintir orang
bukan Melayu yang berugama Islam dan berjaya menyamar sebagai orang Melayu
dan syok sendirian setelah diberi pangkat dan tempat dalam UMNO. Mereka ini
lah juga yang berjaya menonjolkan segolongan orang bukan Melayu yang tidak
beragama Islam yang diberi segala keistimewaan oleh Mahathir untuk turut
sama membalon harta negara yang sepatutnya diwariskan kepada keturunan
bangsa Melayu khasnya dan keturunan rakyat Malaysia amnya.
Mr. Lee tahu apa yang sedang di hadapi oleh Malaysia dalam satu dekad yang
terdekat. Malaysia akan menghadapi masalah dalam menangani hutang negara,
seandainya harga minyak turun dan seandainya simpanan minyak dan gas
menurun. Harga minyak boleh turun kalau kuasa besar seperti Amerika mahu
harga itu turun. Kerana itu kita dapati pergolakan di Tanah Arab akan
berterusan semata-mata kerana Amerika mahu mengawal bekalan minyak dan gas
dan juga harganya. Kerja-kerja mengawal itu menjadi mudah kerana Indonesia
masih lemah. Indonesia masih lagi tidur kini, seperti yang kerap berlaku
kepada presidennya di majlis besar negara, baik di siang hari ataupun di
waktu sore. Kalau Indonesia mampu bangkit, industri minyak negara itu
dipergiatkan, besar kemungkinannya simpanan minyak Malaysia akan tergugat
dan ini akan mencetuskan kerisauan kepada pemimpin seperti Mr. Lee. Dia tahu
keharmonian dan kestabilan politik Singapura banyak bergantung kepada
kesinambungan kekayaan yang diperolehi oleh Indonesia dan Malaysia. Untuk
berdekad lamanya, Singapura menjadi kaya raya kerana menapis minyak keluaran
negara Arab dan juga Indonesia. Di waktu yang sama Singapura merupakan
'pejabat pos' besar bagi segala urusan mengenai perkapalan dan pengangkutan
udara dan maritim. Lantas sistem perbankan Singapura terus mantap secara
tidak langsung disebabkan kemudahan perkhidmatan ini.
Faktor ekonomi yang dituliskan di atas sudah tentu memang difahami oleh
Mahathir dan dia tidak perlu satu ingatan ataupun nasihat daripada Mr. Lee
yang mesti datang secara peribadi.
Tetapi, kenapakah berlaku satu demonstrasi di Putra Jaya sebaik sahaja Mr.
Lee menamatkan lawatannya? Kenapakah secara spontan beberapa kumpulan
'rakyat yang perihatin' mampu menunjuk perasaan dan memberikan sokongan padu
kepada Perdana Menteri sehinggakan beliau menangis lagi? Apakah kena
mengenanya lawatan Mr. Lee yang baru berakhir itu dengan lakonan si
diktator tua menangis lagi? Yang leih menakjubkan bagaimanakah begitu ramai
mampu berdemonstrasi tanpa lesen dan iringan kawalan polis?
Bila Diktator Tua Menangis Lagi
"Mahathir menangis lagi, Mahathir menangis lagi" demikianlah ungkapan yang
diulang-ulang di Puduraya di sebelah petang itu kerana lakonan tangisan
seorang diktator tua hanya diketahui olah rakyat setelah mereka menonton
Berita TV Jam 6 petang. Kenapakah ungakapan "PM Menangis tadi,"
diulang-ulang secara bebas di merata ibukota di satu petang itu, seolah-olah
ada satu jentera khas yang melakukan ulang-main tape-recorder yang
tersembunyi?
Memang pelik peristiwa itu, kerana ketika itu negara sedang meraikan
kedatangan dua tetamu besar yaitu Nelson mandela dan juga Yassir Arafat.
Malahan Yassir Arafat terpaksa tinggal lebih lama daripada jadualnya kerana
kerosakan pesawat terbangnya sebelum berlepas ke Jakarta.
Kemunculan dua tetamu khas negara yang bukan calang-calang orangnya selepas
negara menerima ketibaan 'Mr. History of Singapore' sepatutnya merupakan
satu penghormatan yang besar kepada Mahathir dan mampu membuatkan beliau
ketawa panjang sentiasa. Lagipun ketika itu beliau sedang bersiap-siap untuk
ke Moputo dan kemudiannya ke London sebelum terbang ke Chicago untuk berucap
kepada satu forum antarabangsa.
Antara Malaysia dan Mozambique
Pada hari Ahad yang lalu, Mahathir sudah pun berada di Maputo, Mozambique.
Hanya dia seorang pemimpin daripada luar Afrika yang menghadari Southern
Africa International Dialogue 2000 (SAID 2000). Kalau kita kurang arif tentu
kita termakan propaganda yang disiarkan di media kerajaan akan tugas Mahthir
di sana. Maklumlah, pemergiannya itu diiringi oleh lebih 30 orang anggota
delegasinya. Mak uui....alangkah hebatnya? Akan tetapi kalau kita kaji
balik dengan teliti, apa yang disebut sebagai persidangan besar ini hanyalah
merupakan satu persidangan yang ditiru daripada Langkawi International
Dialogue. Pertama kali ianya diadakan di Afrika ialah di Kasane, Botswana
pada tahun 1997. Kemudian di Swakopmund Namibia pada 1998. Tahun lepas di
Victoria Falls Zimbabwe.
Kalau kita kaji sejarah Mozambique kita akan sedar bahawa inilah sebuah
negara yang baru bernafas kembali setelah mengharungi peperangan saudara
lebih dua dekad. Kalau kita teliti negara yang baru bangkit daripada satu
keruntuhan disebabkan peperangan saudara, kita akan sedar kebangkitan itu
adalah sesuatu yang pedih dan masih goyang. Pembangunan yang baru bermula
tentunya mendapat perhatian yang penuh daripada semua agensi PBB dan Bank
Dunia. Tentu sekali semua institusi gereja Kristian bertumpu ke sana kerana
itu sudah menjadi sikap mereka bekerja. Ciri yang unik inilah yang
menyebabkan tidak ada seorang pun pemimpin dunia yang unggul dan ternama
menyertai persidangan ini. Hanya seorang pemimpin negara yang ketagih dengan
jolokan Wira Dunia Ketiga.
Mozambique adalah sebuah negara yang kaya dengan emas dan hasil galian yang
lain. Pada awal tahun ini (Februari - Mac) ia telah dilanda banjir besar
yang telah menyebabkan kematian hampir satu ribu manusia. Banjir besar ini
telah membantutkan pembangunan negara itu setelah peperangan saudara
berjaya ditamatkan pada tahun 1992.
Dalam Forum antarabangsa itu kita diberitahu terdapat 400 wakil delegasi
yang turut serta. Beberapa pemimpin negara Afrika telah berucap dengan
menggunakan tajuk yang amat digemari oleh Wira Dunia Ketiga - "Globalisasi
dan bagaimana mahu menentangnya"
Inilah modal Wira Dunia Ketiga kalau dia berucap di mana sahaja. Tetapi
kalau kita tanya pakar yang pernah bertugas di Afrika, apakah yang mereka
amat perlu untuk terus kekal dengan kuasa yang ada?
Mereka akan jawab, "kita mesti terus sokong Amerika, Britain, Jepun, Russia,
China, Peranchis dan Jarman". Belum ada seorang pun di kalangan mereka yang
menyebut kita mesti terus sokong Malaysia. Kenapa? Kerana kita bukannya
diiktiraf sebagai sebuah negara yang dalam kategori kuasa besar.
Jika demikian, kenapakah kita terburu-buru mahu menjadi tenaga pengajar di
Afrika? Apakah muslihat sebenarnya kita berbelanja besar di sana? Selama
ini pun Mahathir amat sering ke benua itu dan menggalakkan syarikat
Malaysia melabur dalam pelbagai bidang. Bagaimanakah prestasi mereka dan
kenapakah banyak sangat syarikat itu yang sedang menghadapi masalah besar di
sana? Bukankah aib kepada Malaysia ketika kebanyakan syarikatnya gagal
beroperasi di sana, kerajaannya pula semakin galak berlagak seolah-olah
pintar dalam pertadbiran negara? Dalam soal ini siapakah yang mahu menipu
siapa?
Setiap negara yang baru betah daripada peperangan-saudara masih lagi
dianggap sebagai negara berisiko tinggi dalam aspek keselamatan. Apatah lagi
dalam segi pelaburan daripada luar. Risiko ini berlaku disebabkan kekuatan
pasukan yang menentang dan menjadi pembangkang kepada kerajaan yang sedang
berkuasa. Contohnya di Mozambique sekarang ini ialah masalah yang dihadapi
oleh Matola Transport Company, STM yang berpusat di Matola. Kegagalan
syarikat bas ini adalah satu pertanda bahawa apa yang dikatakan keadaan
pulih di Mozambique itu akan tergugat.
Di samping itu, Mozambique adalah dibawah kawalan USAID yang memberikan
banyak bantuan kepada pemulihan ekonominya. Pengaruh USAID adalah kuat
sehinggakan ia mampu menentukan kadar faedah bank yang perlu ditetapkan
oleh kerajaan Mozambique. Buat masa ini kadar faedah bank adalah sekitar 8
hingga 10 persen.
Seperti yang berlaku di banyak negara di Afrika, apabila USAID mempunyai
pengaruh menentukan kadar faedah bank, ia membawa erti kuasa dan pengaruh
Amerika Syarikat di negara itu amat kuat. Tidak ada kuasa negara lain yang
mampu menandingi kuasa Amerika di situ. Contoh yang paling baik di
Mozambique ialah kesediaan negara itu menerima sesiapa sahaja daripada
negara jiran yang mahukan suaka politik daripada negara itu. Semua itu
adalah di atas anjuran Amerika juga.
Kini, dengan pimpinan Amerika Syarikat Mozambique sedang membangun dengan
pesatnya. Satu lebuhraya yang menghubungkannya ke Afrika Selaan semakin
siap. Lebuhraya yang dinamakan Maputo Corridor itu merupakan satu jalan yang
bertol yang sedang ditentang oleh banyak pihak di Mozambique. Tetapi ia akan
merupakan satu ujian besar kepada kerajaan yang sedia ada.
Kini, SAID 2000 sudah pun selesai dan para delegasi sudah pasti mula
meninggalkan Maputo.
Kemana Mahathir selepas SAID 2000 ?
Mengikut rencananya Mahathir sepatutnya menghadiri satu Forum di Cambridge
Universiti. Di situ beliau sudah dijadualkan untuk memberiakan ucaptama di
hadapan para ilmuan yang dijemput khas mendengarnya. Sudah tentu sekali,
ucapan Mahathir sepatutnya menjadi satu isu tarikan yang mungkin disebarkan
luas oleh media massa di sana. Akan tetapi, secara tiba-tiba muncul pula
berita betapa Mahathir tidak jadi berucap di sana kerana adanya satu gerakan
memboikot forum itu daripada kalangan cerdik pandai di England. Kepada
rakyat marhaen, pemboikotan forum itu oleh para ilmuan barat tentulah
merupakan satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Mahathir, malahan kepada
Malaysia. Bahawa berita ura-ura pemboikotan itu muncul ketika Mahathir
sedang berlagak sakan di Maputo tentunya menggugat pemikiran beliau ketika
berada di sana, bukan? Apakah ini sebabnya Mr. Lee Kuan Yew datang ke Kuala
Lumpur untuk menyampaikan berita buruk itu kepada Mahathir sebagai wakil
proksi penaja Forum itu di Cambridge University? Benarkah tekaan kita Mr.
Lee hanya mampu memberikan kiasan kepada rakyat Malaysia akan penarikan
kehormatan kepada Mahathir oleh University of Cambridge itu dengan
mendedahkan berita perbualannya mengenai Anwar di Davos dulu?
Pemboikotan ISNA dan Pertubuhan Islam Dunia.
Pada 14 Ogos yang lalu, ISNA (Pertubuhan Islam Seluruh Amerika Utara) telah
membatalkan cadangan menjemput Mahathir berucap di satu persidangan tajaan
mereka. Kemudian, muncul pula surat yang ditulis oleh Dr. Sheikh Taha Jabir
Al-Alwani mengenai keputusan mahkamah yang menghukum Anwar Ibrahim tanpa
mengambil kira hukum Islam. Aduuuuh......inilah satu tamparan hebat ke atas
keperibadian seorang insan yang sudah maghrib umurnya. Di waktu yang sama
inilah juga satu tamparan yang hebat ke atas sesiapa juga yang pernah
menghakimkan kes Anwar Ibrahim itu. Sekaligus mereka itu telah
mempertontonkan betapa mereka lebih takut kepada Mahathir daripada takutnya
mereka terhadap Allah swt. Bayangkanlah Ariffin jaka pernah satu ketika dulu
merupakan Pesuruhjaya PAS di Negeri Sembilan dan pernah bertanding dalam
pemilu atas tiket PAS.
Soalnya sekarang, apakah ketibaan Yassir Arafat ada kena mengena dengan
berita buruk yang akhirnya menghantui Mahathir itu?
Mahathir yang Semakin Tertekan
Ling Liong Shit selalu menyebut satu peribahasa Parsi yang terkenal: "Ikan
mula busuk daripada kepalanya". Begitulah keadaan UMNO sekarang ini. Dan
begitulah juga keadaan negara Malaysia yang dipimpin oleh insan yang bernama
Mahathir bin Mohammad. Betapa pun beliau berusaha untuk memperbaiki
imejnya ia sudah semakin tercemar. Contoh betapa tertekannya Mahathir
sekarang ialah dengan tindakannya melantik seorang wakil rakyat muda (yang
baru berumur 35 tahun dan baru sahaja memegang amanah rakyat) untuk menjadi
menteri besar Selangor. Mahathir memberi alasan lemah dalam pemilihannya itu.
Dia tidak boleh membandingkan Dr. Khir dengan Isa di Seremban kerana ayah
Isa pernah satu ketika dulu menjadi wakil rakyat. Begitu juga perbandingan
yang digunakannya terhadap Hisyamuddin Onn dan Najib Tun Razak dan juga
Tajol Rosli.
Sepatutnya Mahathir berpegang kepada falsafah meritokrasi dalam pemilihan
menteri besar Selangor. Kini, orang yang diamanahkannya itu sudah
menunjukkan kementahannya berpolitik. Baru diangkat sudah mahu bermandi
darah. Alangkah gobloknya seorang pemimpin muda yang berdarah Jawa...???
Kalaulah Dr. Khir tidak mampu berubah perangai, dia akan merupakan seorang
pemimpin muda Jawa yang akan mengaibkan sukusakatnya.
Yang Bergolek Terus Bergolak?
Keadaan negara semakin mencelaru dan keadaan pasaran saham pun turut
mencelaru juga. Mr. Lee Kuan Yew amat sedar akan fenomena ini kerana dia
sendiri pernah melaluinya. Satu ketika dulu, masyarakat niaga Singapura
memberontak dalam senyap-senyap kerana mereka berpendapat Singapura hanya
mampu membangun kembali kalau Mr. Lee melepaskan jawatannya sebagai perdana
menteri. Sebagai seorang pemimpin yang bertaraf negarawan, Mr. Lee akur
dengan sentimen rakyatnya. Dia mengundurkan diri dan Singapura kembali
membangun dengan pesatnya.
Sayangnya, Mahathir adalah seorang pemimpin negara yang tidak satu kelas
dengan Mr. Lee Kuan Yew, walaupun Mr. Lee tidak pernah menerima jolokan Wira
Dunia Ketiga.
Kalau Mr. Lee tidak berjaya menasihati Mahathir untuk mengundurkan diri
secara terhormat, apakah gerangan yang telah dilakukan oleh Mandela dalam
lawatannya yang singkat itu? Apakah benar Mandela mengulangi kembali nasihat
Yassir Arafat agar Mahathir membebaskan Anwar Ibrahim? Mandela amat faham
akan dilema yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Yang lebih penting lagi
Mandela amat faham dilema yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan
terpenjaranya Anwar Ibrahim. Cuma Mandela mungkin tidak mengingatkan
Mahathir bahawa hak keistimewaan orang Melayu sudah tergugat kini ke mercu
penghinaannya: Dengan menyumbat Anwar Ibrahim untuk satu masa yang panjang
di dalam penjara Mahathir sebenarnya sudah menidakkan hak orang Melayu
melantik Anwar menjadi pemimpin mereka yang sah di alaf baru ini.
Mandela, Lee Kuan Yew dan Yassir Arafat sudah pun datang dan pergi. Tentu
banyak isu yang dibualkan dan tentu ada di antara mereka yang menasihatkan
Mahathir untuk undur secara terhormat. Jika tidak, masakan Mahathir
menangis secara mudah di khalayak ramai selepas mereka berpergian.
Kini, Mahathir berada di luar negara. Dia sedang diserang oleh satu tindakan
yang mengaibkan perwatakannya kerana itulah maruah Mahathir yang
sebenar-benarnya, masakini. Dia telah menghina namanya sendiri dan
mengaibkan ketokohannya sendiri dengan kerja-kerja jijik semata-mata untuk
terus berkuasa. Mungkin ada di antara kerja jijik itu dimulakan oleh para
jongosnya yang memang jijik perangainya sejak lahir lagi. Tetapi, Mahathir
masih waras lagi dan masih mampu berfikir dengan bijak. Kalau tidak masakan
dia boleh berbohong dalam setiap kali berucap kepada rakyat. Hanya Mahathir
'The Compulsive Liar' dan keluarganya yang terdekat yang amat faham akan
keadaan kesihatannya yang sebenar. Apakah dia berfikiran waras setiap masa
ketika dia celik. Ataupun kewarasannya itu sudah semakin terhad ketika dia
berdepan dengan rakyat jelata? Nampkanya Mahathir sedang dihantui satu hukum
'karma' yang dia tahu sebab-mesababnya.
Sebagai seorang tokoh politik yang berasaskan ilmu kedoktoran dan diwarnai
dengan pengalaman lama menulis dan berniaga lama di Pekan Rabu (hehehe),
Mahathir tentu sedar bahawa sebisa-bisa ular ia bertukar kulit dari ekornya,
dan tidak dari kepalanya. Melalui ekornyalah kulit di kepala itu bertukar
dulu. Ambillah iktibar daripada kiasan ini dan berundurlah dengan hormat
sebelum terlambat. Usah cuba menongkat dunia lagi kerana dunia tidak pernah
memerlukan tongkat sesiapa untuk terus berpaksi. Berundurlah sebelum rakyat
bertindak dan sebelum yang datang bergolek menjadi bergolak. Sebisa-bisa
ular, bila menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Tetapi, sebisa-bisa
ular, pergolakan yang dimulakan daripada ekornya akan membuatkan ular itu
bertukar kulit akhirnya.
Marhaintua
25 Ogos, 2000