Berikut adalah petikan satu wawancara
Pak Ungku dengan Mingguan Malaysia.
Tajuk: INI SALAH AHLI POLITIK MELAYU
- Professor Di Raja Ungku Aziz
BAHAGIAN SATU:
Awalkata:
Berikutan diturunkan satu sedutan wawancara Pak Ungku
seperti yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 20 Ogos.
Sedutan ini memberi penekanan kepada jawapan Pak Ungku
sementara soalan wartawan Baharum Mahusin dipendekkan di
mana perlu.
MM: Ada pandangan, untuk menggalakkan persaingan, orang
Melayu tidak boleh disuap lagi oleh kerajaan?
Ungku Aziz: Orang yang menimbulkan isu ini membangkitkan
persaingan antara orang Melayu dengan kaum lain. Persaingan
yang wujud dalam dua bidang yang nyata iaitu pendidikan dan
ekonomi. Jika tanpa pilih kasih, jika tanpa sabsidi, orang
Melayu tidak akan mampu bersaing. Ia bukan persaingan
antara helang sama helang. Ia adalah satu persaingan yang
benar-benar tidak adil.
MM: Apakah ketidakadilannya?
Pak Ungku; Masyarakat Melayu dihambat kelemahan dan
kecacatan. Saya beri contoh bidang perniagaan. Di Malaysia
pada hari ini sebenarnya tiada persaingan langsung kerana
bidang perniagaan pada umumnya dimonopoli oleh orang China.
Cara perniagaan disusun di Malaysia berasaskan monopoli
dan rangkaian orang cina. Sejak tahun 1960-an lagi saya
menjalankan menjalankan kajian dan mendapati perniagaan di
Malaysia dibahagi-bahagikan mengikut suku kaum dan dialek
Cina. Dalam susunan ekonomi ini, sesiapa yang tidak
mengikut rentak yang telah disrdiakan oleh monopoli cina
akan tersingkir atau mengalami tekanan.
Kerana rangkaian ini telah begitu tersusun di dalam
monopoli masyarakat Cina, tidak ada ruang untuk orang
Melayu masuk berniaga dalam bidang-bidang yang secara
tradisi dikuasai oleh peniaga Cina. Apa yang berlaku ini
sama seperti tiada persaingan langsung.
MM: Ada setengah orang Melayu berkata berapa lama orang
Melayu hendak dibantu. Kata mereka, kalau persaingan dibuat
secara terbuka, kedudukan orang Melayu akan lebih baik lagi?
This is bullshit, taik lembu. Saya tak begitu yakin. Secara
jujur saya hairan mengapa orang Melayu sendiri hendak
merosakkan bangsa Melayu. Semasa saya menyiasat pada tahun
1950-an dan 60-an, keadaan kampung orang Melayu begitu
dhaif. Sampai sekarang ia masih berlaku.
Hari ini kalau saudara baca kajian, anak-anak Melayu lebih
lemah fizikal mereka berbanding anak-anak bukan Melayu.
Ukuran kepala mereka lebih kecil daripada kepala anak Cina,
anak-anak Melayu lebih rendah dari segi berat dan
ketinggian. Apabila fizikal mereka lebih kecil, apakah
yang boleh kita bayangkan. Ia menunjukkan kemiskinan dan
kekurangan wang. Kerana kemiskinan banyak orang Melayu
tidak dapat memberi makanan berkhasiat kepada anak-anak
mereka seperti yang dilakukan oleh orang cina. Apabila
saudara tidak dapat memberi makanan berkhasiat kepada
anak-anak, bagaimanakah otak mereka hendak berkembang?
MM: Adakah ini menggambarkan bahawa kemewahan dan
kekayaan mempengaruhi pencapaian sesebuah kaum?
Pak Ungku: Kemiskinan orang Melayu merupakan kecacatan
terbesar mereka. Kerana kemiskinanlah, seluruh kehidupan
mereka menjadi cacat. Yang penting ialah apa yang orang
Melayu boleh berikan kepada anak-anak semasa anak mereka
kecil. Bila seseorang budah sudah berusia 15 tahun, kalau
mereka makan 10 biji telur sehari pun itu tidak akan
mengubah sangat orang Melayu. Nasib ini bertimpa-timpa.
Bila budak Melayu sampai ke universiti, mereka mempunyai
beban yang sangat berat kerana kecacatan yang berpunca
daripada kemiskinan. Bagaimanakah anda mahu mereka bersaing
secara adil?
MM: Apakah (rakyat) memahami pentingnya apa yang Pak
Ungku temui?
Pak Ungku: Saya fikir mereka akan faham kerana mereka
rasional kecualilah mereka mengambil pendirian di
sebaliknya. Faktanya ialah orang Melayu masih ketinggalan
jauh walaupun terdapat pengecualian. Pengecualiannya ialah
sudah ada orang Melayu tinggal di bandar-banda dan keadaan
fizikal mreka telah berubah, sudah besar-besar, sudah
tinggi-tinggi, sudah menikmati kehidupan yang lebih baik,
mereka hebat, tetapi kumpulan ini adalah minoriti. Untuk
membolehkan majoriti orang Melayu memberi anak-anak mereka
makanan yang berkhasiat, mereka perlu mancapai kedudukan
ekonomi yang lebih baik.
MM: Sejauh mana Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan
mengenai keistimewaan orang Melayu diterjemahkan dalam
dasar kerajaan?
Pak Ungku: Dasar-dasar itu merangkumi Dasar Ekonomi
Baru(DEB) yang dilaksanakan pada tahun 190-an dan 1980-an.
Pada pendapat saya sejak tahun 1990-an terjemahan artikel
153 telah kelam kabut dan kabur.
MM: Siapakah yang kaburkan terjemahan dasar itu?
Pak Ungku: Pertama ialah ahli-ahli politik Melayu, dan
gejala politik wang yang berlaku menyebabkan mereka lebih
memikirkan berapa banyak wang yang mereka dapat daripada
memikirkan nasib orang Melayu. Yang kedua ialah ada
perubahan dari segi falsafah politik dan dalam soal agama.
Masalah pelaksanaan dasar-dasar kekhususnya DEB adalah titik
kelemahan utama, ia bukan kelemahan perlembagaan negara.
MM: DEB kelihatan goyah sekarang. Mengapa?
Pak Ungku: Ia goyah kerana dua sebab. Pertama, serangan
orang bukan Melayu yang kata cukuplah dengan apa yang telah
dilakukan. Kedua, intelektual Melayu yang berperangai
seperti kacang lupakan kulit. Cerdik pandai Melayu sendiri
yang sudah mula kata bahawa tidak payah lagilah ada dasar
membantu orang Melayu Inilah yang terjadi.
Orang in mereka hanya ingat diri sendiri. Mereka tinggal di
Bukit Tunku, ada anak yang semua 'overweight', mereka
okeylah. Tetapi hidup orang Melayu lain tidak macam mereka
ini. Saya minta mereka fikirlah tentang peluang yang kita
perlu berikan kepada orang Melayu. Kita cuma perlu berikan
mereka peluang secara merata untuk mendapat makanan yang
cukup, kesihatan yang baik, pendidikan yang bermutu, dan
selepas lima atau 10 tahun kemudian baru kita boleh
bercakap tentang persaingan.
MM: Mengikut Pak Ungku, golongan intelektual, orang
bijak pandai dan pegawai kerajaan Melayu yang sudah menjadi
hebat ini merasakan dasar ekonomi yang membantu orang
Melayu tidak perlu sangat lagi. Berapa besar pengaruh
mereka dalam pembentukan dasar kerajaan?
Pak Ungku: Mereka berpengaruh kerana mereka berada dalam
kerajaan dan berkuasa dalam parti politik. Malangnya jika
mereka dalam parti politik, kepala mereka hanya ingat
hendap dapat kontrak, hendak dapat jadi orang kenamaan.
Dalam tahun-tahun sebelum kegawatan, mereka risau tentang
bagaimana hendak mendapat pink form, mereka tidak bimbang
tentang latar keterbelakangan orang Melayu. Pada mereka,
apa yang saya kata ini teori semata-mata.
MM: Apabila dasar ekonomi yang pro Melayu ini menjadi
longgar, kelam kabut dan kabur, siapa yang kita perlu
persalahkan?
Pak Ungku: Orang politiklah yang bersalah. Saya tiada
keraguan tentang perkara ini.
MM: Pak Ungku tidak takut nayatakan ini?
Paak Ungku: Tidak....Kerana itulah kerja mereka sebagai
pemimpin. Mereka ialah orang Melayu yang berkuasa tidak
ada orang lain lagi. Kakitangan kerajaan yang melaksanakan
dasar semuanya berada di bawah orang politik. Orang politik
inilah ang mempunyai kuasa, tidak kira siapa mereka.
Dalam sistem kita orang yang berkuasa dari segi politik
yang dilantik menjadi menteri. Mereka bertanggungjawab
macam kapten kapal. Jadi apabila berlaku kegoyahan dalam
dasar, mereka kena bertanggungjawab.
BAHAGIAN DUA:
MM: Gambaran yang diberikan sekarang ialah orang Melayu
sudah boleh berdiri atas kaki sendiri. Adakah ini benar?
Pak Ungku: Itu semua hanya imej. Ia hanya gembar-gembur, ia
hanya satu psikologi untuk kata kepada bangsa sendiri
bahawa kita O.K. Fakta yang sebenar ialah kalau kita orang
Melayu betul-betul okey, mengapakah kita semua bimbang
fasal semua ini. Kita ada macam cakap berlapik, dari satu
segi kita kata telah okey. Tetapi dalam perlumbaan yang
sebenar kita tidak okey kita kalah. Saya seorang
nasionalis cara lama. Saya mungkin turun dari kapal
angkasa yang salah, tetapi apa yang saya lihat ialah orang
Melayu masih keterbelakang dalam peperiksaan baik di
sekolah, baik di universiti. Saya sensitif. Saya tahu ada
sesuatu yang tidak kena berlaku.
MM: Seorang nasionalis seperti Pak Ungku memperjuangkan
soal Melayu, pendidikan untuk orang Melayu dan ekonomi
orang Melayu yang kerajaan perlu bantu. Kepada orang seperti
Pak Ungku apa yang terkandung dalam semangat Artikel 153
Perlembagaan Persekutuan perlu terjemahkan dalam dasar dan
dikuatkuasakan, tetapi saya ada jumpa ramai orang melayu
yang menganggap perjuangan ini tidak lagi fashionable?
Pak Ungku: Saya jawab begini. Bila saya jumpa dengan orang
yang bertaraf rendah - kerani, setiausaha, ahli koperasii,
kaum petani, semuanya bila mereka baca laporan Utusan
mengenai isu hak istimewa Malayu, mereka kata mereka sokong
Utusan. Orang yang berpangkat besar pula, mereka mungkin
sokong secara diam-diam tetapi secara terbuka mereka tidak
mahu sokong. Saya tidak pernah paksa orang supaya bersetuju
dengan saya. Saya tidak kejar undi, saya tidak kejar
kekayaaan, dan ini mungkin satu kebodohan saya sendiri.
Dalam memperkatakan mengenai nasib orang Melayu ini, saya
kejar apa yang saya fikir benar dan betul untuk
membangunkan orang Melayu.
MM: Ada sesetengah pemimpin politik Melayu merasa malu
memperjuangkan isu Melayu ini?
Pak Ungku: Itulah sikap mereka. Mereka malu hendak cakap
bahawa orang melayu ada banyak cacing kerana kemiskinan.
Saya tak malu. Sepupu saya arwah Tun Husein Onn - dia kata
saya professor cacing.
Bila dikaji sampel najis anak Melayu di sekolah, bandingkan
dengan sampel najis anak India dan anak Cina, yang banyak
cacing ialah anak Melayu. Itu kajian pada tahun 60-an. Anak
Melayu banyak cacing kerana mereka tidak pakai kasut dan
guna tandas atas tanah. Jadi cacing masuk dalam badan,
melemahkan mereka dan menyebabkan mereka dapat macam-macam
penyakit. Inilah maslaah orang Melayu. Mengapa perlu malu
memperkatakannya?
MM: Adakah nanti orang akan kata apa yang Pak Ungku
bangkitkan, apayang Utusan timbulkan sebagai fanatik dan
penuh dengan sentimen perkauman?
Pak Ungku: Saya ingin bertanya; Sebagai warganegara
Malaysia yang taat setia, apakah karakteristik kaum kita
akan hilang jika kita menjadi orang yang lebih jujur,
bersimpati dan memahami kelemahan kaum lain.
MM: Adakah Pak Ungku menemui bentuk keikhlasan di kalangan
pemimpin dalam isu keistimewaan dan usaha mempertingkatkan
kehidupan orang Melayu?
Pak Ungku: Saya banyak kawan Cina yang rapat dengan saya.
Kalau dengan saya mereka 'tolerate'. Saya bercakap, saya
buat 'joke' mereka ketawa, saya pun ketawa. Itu di luar, di
dalam hati saya hanya mereka yang tahu. Saya rasa apa
yang orang Melayu hendak amat praktikal. Kita bukan hendak
mengurangkan apa yang orang cina ada, kita cuma mahu
menambah apa yang orang melayu boleh dapat.
MM: Saya bercakap dengan Datuk David Chua. Dia menyatakan
kekesalannya kerana dia belajar di Universiti Malaya pada
awal tahun 70-an, ambil jurusan Pengajian Melayu, jiwa dia
dekat dengan orang Melayu. Bila tiba dalam isu ini, dia
kata orang surat khabar silap tafsir pandangannya. Adakah
pak Ungku fikir dalam isu ini, orang melayu dan akhbar
Melayu silap mentafsir apa yang David Chua cuba sampaikan?
Pak Ungku: Saya ingat tidak silap sebab apabila kenyataan
David Chua dalam majalah FEER (Far Eastern Economic Review)
keluar, ada seorang pekberita agensi beria a#sociated Press
telefon saya. Pemberita itu kata, David Chua buat kenyataan
macam ini dalam FEER, apa yang saya fikirkan.
Saya kata saya tidak akan fikir apa-apa sampai saya membaca
laporan itu. Saya minta anak menantu saya belikan FEER dan
fakskan artikel berkenaan kepada saya. Bila saya dapat baca
laporan itu, saya kata pada diri saya, wah 'this man is in
trouble'. Walaupun ia pendapat David Chua, saya fikir ia
menggambarkan hasrat orang Cina. Semua pemimpin berjuang
untuk mencerminkan hasrat para pengikut. Inilah
kebenarannya.
MM: Tetapi, parti politik Cina cuba menjauhkan diri
daripada kenyataan David Chua?
Pak Ungku: Masyarakat Cina ini saudara kena faham. Apa
yang mereka buat adalah simbolik. Kalau saudara tengok
opera Cina, apabila seseorang pelakon itu memegang sebatang
kayu, ia bukan kayu. Simboliknya ialah dia menaiki kuda.
Budaya orang Cina penuh dengan ciri-ciri simbolik dan
bagaimana mereka memanipulasikan simbolik itu memberikan
mereka fleksibiliti. Dalam kes orang Cina, dalam isu yang
positif MCA akan bercakap bagi orang Cina. Tetapi apabila
ada isu yang tidak sedap 2,000 persatuan Cina akan bercakap
bagi pihak orang Cina. Saya tidak tahu, yang mana satu
kontrol yang mana?
MM: Ada orang yang berpendapat bahawa kontrak sosial
keistimewaan orang Melayu sudah terlalu lama dan tidak
patut diteruskan?
Pak Ungku: Terlalu lama saudara kata? Masa 20 tahun, 40
tahun tidak terlalu lama dalam sejarah. Saudara patut
bercakap tentang satu kurun, barulah ia boleh dikatakan
terlalu lama. Kontrak yang kita ada di negara ini ialah
tertakluk kepada hasil dasar-dasar kita. Keputusan yang
kita mahu-mahukan tidak tercapai di bawah dasar-dasar yang
dilaksanakan selama ini.
MM: Isu ini jadi sensitif dan ada implikasi politik. Saya
fikir kerajaan juga dalam keadaan yang sukar untuk
menentukan sikap mereka. Dalam keadaan ini, apakah yang
para pemimpin Melayu perlu buat?
Pak Ungku: Perkara pertama yang pemimpin Melayu perlu buat
ialah mereka perlu faham dengan jelas masalah orang Melayu.
Mereka tidak boleh ada penyelesaian secara superficial
bagi menangani masalah kemiskinan, pendidikan dan masalah
monopoli kaum lain dalam perniagaan. Yang paling penting
ialah kta mesti faham perbezaan antara imej orang Melayu
dan realiti pencapaian orang melayu. Kita jangan buat satu
gambar dan kata semua dalam gambar itu hebat-hebat belaka.
Tahun 2005 tidak ada kemiskinan lagi. Ini semua 'nonsense'.
Cuba dapatkan gambaran yang sebenar dan kemudian cari
jalan yang lebih efektif untuk menyelesaikan masalah orang
Melayu. Dalam falsafah Cina, mereka kata di tepi laut ada
kerang dan tiram. Kedua-duanya berlawan dan mengepit kerang
masing-masing. Tetapi, seorang nelayan yang berjalan dekat
situ, dia tengok keang dan tiram itu saling berkepitan dia
ambil kedua-duanya balik ke rumah. Dia makan kedua-duanya.
Kalau kita orang Melayu bergaduh sesama sendiri, nasib kita
akan jadi seperti kerang dan tiram. Lama-lama kedua-duanya
mati. Cerita ini adalah simbolik.
MM: Pak Ungku pernah menulis mengenai nasionalisme. Adakah
wujud perubahan dalam semangat cintakan bangsa di kalangan
orang Melayu?
Pak Ungku: Saya fikir orang Melayu sekarang mereka telah
malu untuk mengaku mereka adalah nasionalis. Ini berlaku
dalam kumpulan orang yang berpendidikan Barat dan juga
dalam kumpulan orang yang berpendidikan Islam. Nasionalisme
pada mereka kononnya tidak bagus. Kalau kita lihat hari
ini di seluruh dunia orang Jepun sangat kuat dengan
nasionalisme mereka, orang di China sangat serius dengan
nasionalisme mereka. Mereka sungguh nasionalistik. Di
Malaysia apa salahnya kita berpegang dengan semangat ini.
Sebagai seorang nasionalis, saya mahu bangsa saya menjadi
semakin baik, dan sekurang-kurangnya tidak kurang daripaa
pencapaian kaum lain yang termaji di Malaysia.
MM: Perbincangan kita antara lain membawa kepada satu
kesimpulan bahawa pendirian pemimpin politik Melayu dalam
isu membela nasib Melayu ini telah sedikit goyang. Apa
cabaran Pak Ungku kepada mereka?
Pak Ungku: Orang Melayu mesti jelas. Jangan cuba berfikir
bahawa masalah kita sudah tidak ada. Masalah orang Melayu
sebenarnya banyak dari segi pendidikan, kesihatan dan
peluang-peluang ekonomi. Pada umumnya sudah ada bangsa
Melayu yang jadi jutawan dan 'bilionaire' . Pencapaian
mereka itu bagus, saya tidak menentangnya. Tetapi saya
berasa itu satu kumpulan kecil yang cepat lupakan kulit
mereka. Masalah orang Melayu sekarang ialah kumpulan ini
ingat oleh kerana di sekeliling mereka dia tengok orang
Melayu main golf, orang Melayu ada jawatan dalam pejabat,
orang Melayu dapat saham, maka orang Melayu sudah
berdikari.
Imej ini cuba sebahagian kecil daripada realiti bangsa
Melayu. Malangnya, imej inilah yang difikirkan oleh
ahli-ahli politik Melayu. Dan kalau pemimpin Melayu membuat
ucapan dalam satu-satu majlis, orang Melayu yang duduk
bersandar di bawah itu terdiri daripada kumpulan kecil ini.
Pemimpin Melayu bercakap, tetapi mereka tidak dengar dengan apa
yang orang bawah cakap. 'Feedback' ialah satu benda yang
jarang berlaku dalam masyarakat kita.
MM: apa yang Pak Ungku mahu masyarakat Cina fahami?
Pak Ungku: Saya fikir masyarakt Cina perlu memahami bahawa
mereka perlu membuka ruang supaya orang melayu, orang cina,
orang India dan kaum lain bleh berniaga bersama-sama,
dengan orang cina tolong mereka. Sebab itulah yang kita
hendak capai menerusi DEB iaitu tidak ada satu kaum yang
mnopolikan satu ruang ekonomi. Kita hidup dalam masyarakat
yang berbilang kaum di Malaysia, fikirlah sikit keperluan
bangsa-bangsa lain seperti Melayu dan India. Pertolongan
ini bukan dalam bentuk beri sedekah kepada orang miskin
atau orang buta Melayu, tetapi memberi mereka peluang untuk
mempertingkatkan ekonomi mereka.
MM: Adakah perlu wujud satu institusi dan perubahan
struktur ekonomi baru untuk membantu orang Melayu?
Pak Ungku: Harapan saya sudah sampai masanya untuk kita
menghadapi masalah lama dengan cara baru. Masalah orang
melayu pada hari ini adalah masalah lama, bukan masalah
baru. Saya rasa kalu kita balik semula kepada Dasar Ekonomi
baru ubat itu cukup mujarab. Ia telah dibuktikan dengan
pencapaian orang melayu pada tahun 70-an dan 80-an dari
segi pendidikan, penglibatan dalam bidang ekonomi dan
pelajaran.
-TAMAT-