Laman Webantu KM2A1: 2575 File Size: 9.5 Kb * |
Fwd: Di Mana Keperwiraan Yang Sebenar? - Detik By web aNtu 17/8/2000 10:32 pm Thu |
Artikel ini dipetik dari detik-daily:
Penulis: Abu Ubaidah.
Saya berharap artikel ini akan menjawab semua persoalan dan debat dua tiga hari kebelakangan ini dalam bab2 jihad, lembik dsb yg terpapar di beberapa laman web. Memang kita ada jaringan ilmuan!!
Di Mana Keperwiraan Yang Sebenar? Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim, Kebelakangan ini, isu pembangkang lembik dan perlahannya gerakan penentangan
terhadap silsilah kezaliman di Malaysia sering dibangkitkan. Merujuk kepada keluhan
Fathi Aris Omar di www.malaysiakini.com dan beberapa penulisan lain yang
kecenderungannya ke arah tersebut, saya berasa terpanggil untuk memberikan
pandangan berhubung dengan isu ini. Pepatah bijak pandai ahli siasah selalu menyebut bahawa, "mencari kemenangan
adalah tidak sesusah mengisi kemenangan". Sebab itulah ALlah SWT menyatakan di
dalam surah At-Taubah (9):42 "...Sekiranya matlamat (perjuangan kamu) itu dekat dan
perjalanan (yang mesti ditempuh) itu pendek, nescaya mereka akan mengikut kamu.
Akan tetapi mereka merasakan semua itu jauh disebabkan oleh kepayahan (perjuangan
kamu)..." Nabi SAW sendiri menempa kemenangan setelah menempuh ujian dan
cabaran yang tiada bandingannya, bahkan barat sendiri membuat bidalan "kota Rom itu
tidak dibina dalam tempoh yang singkat".
Apakah dengan tidak melimpahkan diri beramai-ramai di jalanraya, atau dengan
bahasa yang lebih mudah, melancarkan 'revolusi' besar-besaran ala 20 September 1998
(meminjam istilah Fathi), maka kita menjadi lembik, lemah, lantas mengecewakan
rakyat? Noktah ini memerlukan kepada penelitian yang mendalam, bahkan beberapa
orang penulis siber yang sensitif dengan perkara ini telah pun membuat maklum balas
berhubung dengan keluhan Fathi Aris Omar itu.
Mungkin saya tidak bijak berteori untuk mengulas isu ini, tetapi marilah sama-sama kita
luangkan masa sejenak untuk meneliti sejarah perjuangan umat Islam kebelakangan ini
yang padanya terdapat banyak iktibar dan pengajaran.
Gerakan Ikhwanul Muslimin Jordan atau lebih dikenali di gelanggang pilihanraya
sebagai "Jabhah Al-Amal Al-Islami" telah bertahun-tahun melancarkan pemulauan
kepada pilihanraya umum di negara berkenaan. Jika di Malaysia, diktatorisma Mahathir
tidak diwartakan di dalam perlembagaan negara, bahkan ia berlaku hasil kecuaian kita
selama ini membiarkan beliau membina kawah berapi yang besar. Akan tetapi, di
negara yang menganut sistem 'raja mutlak' seperti Jordan, peluang untuk membuat
perubahan melalui aktiviti demokrasi termasuk penguasaan ke atas parlimen, adalah
sangat tipis. Bukan kerana ada seorang pemimpin yang zalim seperti Mahathir, tetapi
kerana perlembagaan telah meletakkan kuasa raja berada di kedudukan yang tidak
mungkin boleh dicabar walaupun oleh majoriti parlimen. Ini bermakna, peluang untuk
menuntut keadilan dan perlaksanaan Islam melalui sistem demokrasi di Jordan adalah
jauh lebih tipis berbanding dengan Malaysia (setakat ini). Akan tetapi Jabhah Al-Amal
Al-Islami tidak pula mengambil keputusan untuk melimpah-limpah di jalanraya,
melancarkan revolusi walaupun saban hari satu demi satu ulamak disekat
pergerakannya, walaupun sekadar untuk menghuraikan makna Surah AL-Ikhlas di masjid.
Usaha menyedarkan rakyat tetap berterusan, kuliah-kuliah pengajian tetap digiatkan
kerana di situ letaknya nilai kekuatan yang sebenar. Kerana itulah Hasan Hudaibi pernah
menyebut "Tegakkan negara Islam di dada kamu, nescaya nantinya ia akan tertegak di
bumi kamu!" Begitu juga perihalnya dengan Turki. Setelah berkali-kali berlakunya revolusi bersenjata
di antara rakyat dengan kekejaman kerajaan sekular dan tertera yang dikuasai Yahudi
Donme, bumi khilafah itu masih belum berpeluang untuk merealisasikan impian Islam
dan keadilan sejagat. Turki mempunyai kelebihan yang besar berbanding Malaysia
kerana sebahagian besar rakyatnya berkemahiran menggunakan senjata api, hasil sistem
kerahan tentera yang diamalkan sehingga kini. Bahkan di universiti-universiti, anak-anak
mudanya tidak ada seorang pun yang hidup tanpa perjuangan. Yang sekular dengan
cara sekularnya, yang sosialis dengan cara sosialisnya, dan yang Islamik dengan cara
Islamnya... setiap seorang yang terpelajar memikirkan bagaimanakah cara yang terbaik
untuk menyelamatkan negaranya yang sedang menuju kehancuran itu. Setelah
pemimpin-pemimpin hebat seperti Necmettin Erbakan, Recab Tayyib Erdogan, Kavakci
dan Sevki Yilmaz dihukum penjara, dibuang negara dan disekat dari berpolitik, setelah
Huda Kaya dihukum bunuh kerana mempertahankan hak wanita Islamnya bertudung,
mereka tidak pula mengambil keputusan untuk melancarkan revolusi bersenjata.
Semuanya kerana.... jalan kita adalah jalan yang jauh... jalan yang memerlukan kepada
tahap demi tahap... bukan tergesa-gesa melatah bertindak.
Renungilah kata-kata Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berhubung dengan gesaan
anak-anak muda yang mahukan cetusan revolusi itu:
"... Wahai Ikhwanul Muslimin, khususnya mereka yang bersemangat dan yang
tergesa-gesa di kalangan kamu... sesungguhnya jalan kamu itu sudah pun dilakarkan
langkah-langkahnya, dan telah pun ditentukan batas-batasnya. Aku sekali-kali tidak akan
menyalahi batas-batas itu yang mana aku meyakini dengan sepenuh yakin bahawa ia
adalah jalan yang paling selamat untuk tiba ke matlamat. Benar, adakalanya jalan itu
mungkin jalan yang panjang. Tetapi bukanlah itu bermakna sudah tidak ada jalan yang
lain. Sesungguhnya keperwiraan itu terserlah adalah dengan sabar, tekun dan gigih
berusaha serta bersungguh-sungguh beramal. Barangsiapa di kalangan kamu yang
mahu segera mendapatkan buah sebelum ia benar-benar ranum, atau memetik bunga
sebelum masanya, maka aku sekali-kali tidak bersama dengan sikap sedemikian dalam
keadaan yang begitu. Maka lebih baik bagi mereka yang bersikap begitu berpindah dari
dakwah ini kepada dakwah-dakwah yang lain. Akan tetapi, bagi yang bersabar sehingga
bertunasnya benih, tumbuhnya pokok, ranumnya buah dan cukup masanya untuk
memetik bunga, maka balasan atas kesabaran itu adalah di sisi Allah. Sesungguhnya
tidak akan hilang dari kita dan mereka yang sabar itu, ganjaran orang-orang yang
melakukan kebaikan : sama ada menang dan kuasa, atau syahid dan bahagia..."
(Muktamar Kelima Ikhwanul Muslimin petikan Majmu'ah Rasa'il Hasan Al-Banna)
Maka, bawalah bertenang wahai mereka yang cintakan kebenaran. Saya atau sesiapa
sahaja tidak menafikan bahawa senario 20 September 1998 sebagai salah satu cara kita
menyuarakan bantahan dan melahirkan perjuangan. Akan tetapi menyifatkan gerakan
pembangkang sebagai lemah, lembik dan mengecewakan rakyat, apatah lagi di
media-media terbuka, semata-mata kerana tiada kekasaran besar-besaran kelihatan di
tanah air... adalah sesuatu yang tidak wajar. Sekurang-kurangnya pimpinan-pimpinan
senior PAS sendiri, sudah terjun ke medan politik tanah air semenjak kita hanya sebesar
ibu jari kaki. Maka, pilihlah wasilah yang sesuai untuk memberikan pandangan, dan
bukannya memukul kaki-kaki mujahidin ketika kuda-kuda yang mereka tunggangi itu
bertempur di medan musuh. Mahathir dan kezalimannya tidak gentar dengan limpahan-limpahan reformasi di
Dataran Merdeka semata-mata (bahkan boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan
darurat!) Akan tetapi yang menggugat tidur lenanya adalah perubahan minda rakyat
yang semakin mematangi politik. Kematangan yang terserlah dalam keputusan
pilihanraya 1999 yang lalu. Lulusan-lulusan Timur Tengah juga berperanan untuk
menggerakan perubahan minda rakyat kerana kami yakin, masyarakat tidak mungkin
dapat dibangunkan hanya berbekalkan semangat dan tiupan isu, bahkan perubahan jati
diri, kefahaman yang mendalam terhadap agama dan kesedaran berpolitik yang
tersusun... itulah "Quwwah" yang utama.
Maka jika tiba masa berevolusi, berevolusilah kita dengan peraturan-peraturan Islam
yang rapi. Andaikata masanya belum tiba, maka sama-samalah kita menyusun langkah
dan seterusnya memikul agenda perubahan bersama. Kerana itulah ALlah menyebut di
dalam Al-Quran, "...dan hendaklah kamu menegakkan agama, dan janganlah kamu
berpecah belah di dalam (urusan menegakkan agama) itu." Peliharalah kesatuan dan
junjungilah keputusan bersama, hanya dengan cara itu kebatilan dapat ditumpaskan.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd!
Abu Ubaidah Al-Malizi |