Laman Webantu   KM2A1: 3799 File Size: 6.3 Kb *



BH: Tiada Badan Pantau Pelaburan Tabung Haji
By Karim Sulaiman

16/2/2001 7:27 pm Fri

[Politik sudah mencemarkan Tabung Haji patutlah ia gagal berfungsi untk jemaah haji tetapi lebih banyak berfungsi untuk menghidupkan kroni. Dengan tercetusnya isu ini Mahathir sekali lagi terpaksa menyembunyikan diri, begitu juga para menteri.

Kalau Tabung Haji pun sanggup dicemari, apakah mereka ini boleh diharapkan lagi untuk menjaga dana rakyat yang banyak lagi? Tabung Haji asyik bermain saham yang berisiko tinggi dan masih samar halal-haramnya demi sang kroni. Patutlah berkatnya telah berkurang walaupun sudah berbilion mengumpul wang. Ia sudah lesap dan menghilang di dalam pasaran yang sudah merudum teruk sekarang. Terpaksalah rakyat menunggu masa yang lebih panjang untuk menunaikan ibadah haji yang diimpikan. Tetapi kroni dapat tersenyum panjang kerana sesak nafas terus berkurang sebaik sahaja menerima suntikkan ehsan tabung haji yang 'berwawasan'.
- Editor
]


Sumber: Berita Harian

http://www.emedia.com.my/z/Current_News/ BH/Friday/Frontpage/20010215231004


Tiada badan pantau pelaburan Tabung Haji

Oleh Karim Sulaiman

KUALA LUMPUR, Khamis - Ketiadaan badan khas untuk mengawal selia dan memantau pelaburan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dikatakan satu daripada faktor agensi itu yang kini kerugian dan boleh menjejaskan lagi kedudukannya sebagai badan kewangan Islam yang kukuh.

Bekas Pengerusi dan Pengarah Besar Tabung Haji, Tan Sri Hanafiah Ahmad, berkata agensi itu memerlukan satu badan, undang-undang atau peraturan bagi memastikannya melabur secara berhemat, berdaya maju dan menguntungkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Tabung Haji diletakkan dalam Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) supaya kegiatannya dapat dikawal selia dan dipantau dengan lebih dekat oleh Bank Negara.

Perkara itu, katanya, boleh dilakukan dengan memecahkan fungsi Tabung Haji kepada dua iaitu sebagai sebuah bank dan satu lagi selaku badan berkanun kerajaan, khusus untuk mengendalikan urusan haji umat Islam negara ini.

Beliau berkata, ketika ini kegiatan pelaburan Tabung Haji tidak dikawal selia dan dipantau dengan teliti oleh mana-mana pihak menyebabkan banyak projeknya tidak berdaya maju.

"Tabung Haji adalah badan kewangan Islam gergasi, tetapi tidak mempunyai asas kukuh untuk menampung kedudukannya sekarang dan pada masa depan. Ini disebabkan tiada badan yang boleh mengawal selia atau memantau simpanan dan pelaburannya.

"Kita bimbang jika sistem seperti itu tidak diwujudkan, Tabung Haji akan kerugian atau mungkin ditutup," katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan gesaan supaya Tabung Haji mengkaji semula pelaburannya, terutama projek yang tidak berdaya maju, bagi mengelak kerugian berterusan hingga terpaksa membayar dividen rendah kepada penyimpannya.

Tabung Haji mengisytiharkan dividen 5.5 peratus kepada 4,032,829 pendepositnya bagi tahun lalu berbanding sekitar lapan peratus sebelumnya. Malah, lembaga itu terpaksa menjual sahamnya dalam Nestle untuk dibeli semula oleh anak syarikatnya bagi membayar dividen 8 peratus pada 1998,

Hanafiah yang kini Pengerusi TH Ladang (Sabah dan Sarawak) Sdn Bhd, anak syarikat Tabung Haji, berkata keadaan berbeza ketika penubuhan Tabung Haji sebagai badan berkanun mengikut Akta 1969 apabila sistem kawal selia dan pemantauan diwujudkan dalam urusan agensi itu.

Ketika itu, Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Menteri, manakala ahli Panel Pelaburan pula dilantik oleh Perdana Menteri sendiri. Pengarah Besar dan Pengerusi pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan adanya struktur itu, Ahli Lembaga Pengarah tidak boleh bertindak sesuka hati dalam membuat pelaburan kerana tindak tanduk mereka diawasi dan dipantau Panel Pelaburan.

Bagaimanapun, mengikut Akta Lembaga Tabung Haji (1995), semua kuasa melantik Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah terletak di tangan Menteri.

Hanafiah berkata, bagi mengatasi masalah sekarang, Tabung Haji perlu diletakkan dalam Bafia.

"Perkara ini boleh dilakukan dengan memecahkan fungsi Tabung Haji kepada dua iaitu menjadi bank dan badan berkanun kerajaan yang mengendalikan urusan haji untuk umat Islam," katanya.

Beliau berkata, cadangan memisahkan fungsi Tabung Haji hampir sama dengan bentuk asal agensi itu sebelum menjadi badan berkanun pada 1969.

Sebelum itu, wujud dua badan berasingan iaitu Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang pada 1951 dan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji yang dilancarkan pada 1963. Kedua-dua badan itu digabungkan pada 1969 menjadi Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

Katanya, pemisahan fungsi itu dapat dilakukan sekarang kerana wujud sistem perbankan Islam yang membolehkan umat Islam menyimpan wang tanpa riba untuk ke tanah suci.

"Ketika Tabung Haji ditubuhkan, negara tidak mempunyai bank atau sistem perbankan Islam seperti sekarang dan mereka yang hendak menunaikan haji perlu menyimpan dalam Tabung Haji.

"Tetapi, kita kini mempunyai Bank Islam, Bank Muamalat dan kaunter perbankan Islam, yang membolehkan umat Islam menyimpan wang tanpa riba," katanya sambil mengesyorkan Bahagian Simpanan, Pengeluaran dan Simpanan Tabung Haji sekarang dijadikan bank.

Hanafiah berkata, satu lagi bahagian Tabung haji dijadikan badan berkanun kerajaan yang mengendalikan urusan haji umat Islam.

Melalui cadangan itu, katanya, umat Islam boleh menyimpan wang dalam mana-mana bank Islam, termasuk bank kendalian Tabung Haji yang dicadangkan itu, manakala pengendalian urusan mereka ke Tanah Suci dikendalikan badan berkanun.

"Dengan status bank tadi, Tabung Haji boleh duduk di atas asas kukuh dan mengembangkan institusinya, termasuk dalam pelaburan. Melalui cara ini juga, ada badan mengawal kegiatan bank bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan atau pelaburan yang kurang berhemat," katanya.