Laman Webantu   KM2A1: 3691 File Size: 4.9 Kb *



'Tidak Melayu Hilang Di Dunia' - Sampai Bila Mau Berslogan Cuma?
By Amin Sapiro

29/1/2001 10:49 pm Mon

Amin Sapiro (tengok Pesta Tahun Ular?.!!)

[Tiada kata seindah bahasa, tetapi bahasa kerap menjadi senjata orang yang berkata untuk berpura sebagai wira bangsa. Orang tua-tua kita memang bijak mengolah kata untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna. Pepatah yang indah-indah itu dicipta untuk mengajar generasi muda berfikir dan mengambil iktibar pengalaman orang dahulu kala.

Dunia orang melayu kini sudah semakin sempit dan tidak berguna kerana semua yang indah sudah diambil oleh tuan yang asalnya tidak berpunya. Itulah yang berlaku di Putrajaya dan berekar-ekar lagi di seluruh negara. Malah banyak tanah FELDA diambil 'percuma' dengan kertas yang tidak berguna sahaja. Sebaliknya pejuang seperti Hamid Tuah di masukkan ke penjara dan dilupakan walaupun jasanya tidak terhingga. Di mana orang Umno jika tidak sedang bergembira di istana dengan hilaian ketawa.....

"Orang Melayu tak akan hilang di dunia?, tapi Melayu akan kehilangan dunianya." (Amin Sapiro 10/04/2000)

Melayu akan hilang di dunia jika Islamnya entah ke mana... kerana Islam kekal sampai bila-bila.
- Editor
]


'TIDAK MELAYU HILANG DI DUNIA' - SAMPAI BILA MAU BERSLOGAN CUMA?

SAMPAI bila orang Melayu akan hidup dalam Slogan saja, sementara kaum lain tanpa slogan sudah mencapai tingkat kemakmuran dan kekuasaan yang semakin memantap.

Kerana terlampau lurus bendul dan bodoh-sombong, orang Melayu sendiri yang mengkuburkan UMNO asal - seolah-olah tidak tahu agenda khianat orang yang sekian zaman berhasrat untuk 'menghilangkan Melayu dari dunia' mereka.

Walaupun orang Melayu paling bijak mencipta 1001 slogan yang hebat-hebat, tetapi kini, pemimpin Melayu jugalah yang bantu Mahathir Mohamad
'meMAMAK-MELBARIkan' UMNO - setelah dibaru(A)kannya!

Masalah orang Melayu paling menyakiti diri sendiri ialah kerana terlalu percaya dengan bujuk-rayu orang-orang yang 'bermulut manis pahit di hati'. Mereka cepat terpukau dengan imbuhan 'emas se bahara'. Mereka sanggup serahkan semua kuasa penentu harga diri dan kedaulatan bangsa kepada orang yang sememangnya beragenda mengautnya dari tangan kita.

Nah! Terimalah padahnya - terkial-kiallah kalian, kerana baru kini merasa diri diperhina dan terkhianat..!! Sejarah bangsa anda sedang dilipat-lipat.

Dah terantuk baru nak tengadah? Ubun-ubun sudah bengkak dan kepala sudah berdarahan - masih fikir itu bukan suatu kezaliman?

Dalam orang Melayu keghairahan berslogan 'Takkan Melayu Hilang di Dunia'; Raja Mandeliar dan Si Kitul sudah mampu memusnahkan empayar Melayu Melaka. Apakah orang Melayu masih terkial-kial dengan agenda replika Madeliar-Kitul melinium 21 ini?

Barang diingat - Jangan orang Melayu asik cakap berdegar-dengar dengan Slogan -tepuk dada tanya selera- saja, sementara -air liur basi berjejeran melihat fulus rasuah disuakan ke pangkuan-. Akhirnya sanggup -kera di hutan disusui, anak dipangkuan mati kelaparan-. Terbukti kini, bangsa sendiri dapat kuah, orang lain dapat isi..!! Nak salahkan siapa?

Maka -ayam pun terlepas cuma tangan bau taik-. Ayam - orang lain yang dapat, tetapi yang menghidu busuk najisnya bangsa sendiri jugak. Itu, sepadan sangatlah dengan ejekan yang biasa di dengar - 'CAKAP TAK SERUPA BIKIN' namanya.

Jika orang Melayu 'tidak mahu Melayu hilang di dunia', baliklah ke pangkal jalan semula; perbetulkan nawaitu dulu - kerat yang busuk dan buangkan jauh-jauh. Jangan terlalu berangan-angan macam 'Mat Jenin', akhirnya jatuh ke perdu kelapa!! Orang lain bertepuk kerana kebodohan kita. Bersorak mereka melaungkan Oiiii.!! Tengok 'Si Luncai terjun dengan labu-labunya - BIARKAN! BIARKAN!!'. Masih lagi 'tak sedar di untung?'. Entahlah!!

Anak-anak muda sekarang sudah sanggup 'menanggung rindu'. Mereka tahu bahawa 'darah mereka pun merah' juga. 'Titik ditampung, tercurah ditadah..!!'

Cuma yang kurang insaf adalah mereka yang punya darah yang sudah tercemar dengan RASUAH dan KUASA yang mendadah dan amat mengkhayalkan!! Mereka inilah yang sanggup jual BANGSA, NEGARA dan AGAMA!! Mereka inilah petualang besar - sanggup menjadi kuda kepang yang ditunggang dicelah kangkang. Mereka sanggup jadi 'penjarah Mega'. Mereka sanggup jadi 'jelatang'..!!

Selagi orang Melayu tidak menginsafi semua ini, sampai bila-bila kalian akan terus begini. Mereka inilah yang lebih berbahaya dari seekor ular senduk dalam selimut anda!!

Pepatah Melayu: 'Kalau jumpa ular??' (teruskanlah..)!!


Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO berkerat Rotan)