Laman Webantu   KM2A1: 3664 File Size: 20.4 Kb *



SOH21 - MAHATHIR GANYUT UMNO REPUT
By La Domeng3

26/1/2001 11:00 am Fri


SOH21 – MGUR

MAHATHIR GANYUT UMNO REPUT

Sudah tidak menjadi rahsia kepada kita semua lagi. Orang tua-tua di kampungpun telah mengetahui hal ini melalui anak-anak mereka di bandar; yang telah celik internet kini; betapa Mahathir kini semakin hanyut dalam lautan kemungkaran dan kezaliman ciptaannya sendiri, juga sedang menghadapi tekanan zahir dan batin yang amat tinggi. Hingga lawatan ‘kerja’ ke Jepun baru-baru inipun menimbulkan banyak persoalan dan dicurigai. Buat rawatan muka ke, ada yang bertanya lagi?

Wajarkah kenyataannya yang menyatakan bahawa Jepun mahu belajar dari Malaysia tentang cara-cara Malaysia memulihkan ekonominya? Dunia sudah terbalik agaknya. Tidak malukah Mahathir dengan dasar ekonomi ‘bail-out’ yang diamalkannya sekian lama? Sudah lupakah kita tentang pemergian Mahathir ke Jepun (selepas memecat Anwar Ibrahim) dulu dengan tujuan untuk mendapatkan pinjaman dari kerajaan Jepun? Tiba-tiba kini Malaysia pula hendak mengajar Jepun bagaimana hendak memulihkan ekonomi. Bolehkah dipercayai semua kenyataannya ini?

Percaya atau tidak percaya itu bukanlah persoalannya kini. Yang menjadi tandatanya rakyat semua, benarkah ekonomi Malaysia telah pulih kembali? Jika telah pulih kenapa mesti ada ‘bail-out’ untuk menyelamatkan MAS (atau Tajuddin Ramli?) baru-baru ini? Benar sungguhlah bak kata Aman Rais, “Alahai…untungnya menjadi Tajuddin” – sila rujuk rencana penuh dalam ruangan semasa Agenda, muka surat 24.

Dalam masa yang sama UMNO sudah semakin reput dengan Presidennya yang semakin ganyut; melalut dan hanya menunggu ketibaan saat-saat kehancuran. Pengakuan peribadi oleh salah seorang Naib Presidennya, Muhammad Muhd Taib adalah bukti sahih dan boleh dijadikan pedoman. Beliau juga mengakui seluruh kemelut yang berlaku kini hanya Anwar Ibrahim yang dapat menyelesaikannya juga merasa seronok bila Lunas dimenangi oleh KeADILan / BA.

Kenyataan Aziz Sheikh Fadzir – Naib Ketua Pemuda UMNO juga menambah kenyakinan kita terhadap kebenaran kegawatan masalah kepimpinan yang sedang dihadapi oleh UMNO ketika ini. Beliau mendorong pihak BA supaya meneruskan perjuangan untuk membantai ‘orang tua’ itu. Apa semuanya ini? Adakah ini satu sandiwara lagi? Kenapa tidak berani ‘bantai’ sendiri? Di mana Pemuda UMNO yang dikatakan ‘pahlawan keris telanjang’ yang ingin menegakkan ‘ketuanan Melayu’ dari dulu kini dan selamanya. Sudahlah Aziz. Cukuplah ketua hang tu saja YB Mahfuz panggil ‘Pondan Siam’ . Jangan nanti hang pulak kami panggil “Daghai Lunaeh’.

Kedua-dua kenyataan ini dibuat di Makkah baru-baru ini seperti yang didedahkan oleh YB Azmin Ali dalam satu ceramah khas di Taman Melewar. Pemuda UMNO Johor juga dilaporkan telah meluluskan satu resolusi menuntut supaya Mahathir membebaskan Anwar Ibrahim dengan segera. (Sila rujuk berita penuh dalam Agenda (editor Lutfi – Penerbitan Pemuda)).

Dalam BH – Selasa, 23 Januari, 2001 (ms 23) – Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Pemuda UMNO Lumut dan Pengerusi Biro Latihan peringkat Pusat pula menyatakan bahawa beliau telah ditugaskan untuk merekayasa (menyusun semula) Pemuda UMNO bagi menghadapi sebarang masalah pada masa kini dan akan datang. (UMNO sebenarnya memang bermasalah dulu, kini dan selamanya – LD3). Hai! Pemuda UMNO apa dah jadi? Pemuda UMNO tidak tersusunlah rupanya selama ini. Patutlah mereka kelam-kabut nampaknya kini. Mujurlah debat dengan Pemuda PAS telah dibatalkan oleh Dollah Bedawi. Kalau tidak kalut sakanlah si Hisham tu lagi hendak melarikan diri.
Pemimpin yang baik adalah mereka yang rela dipimpin, bukannya jenis ‘self-centred’ macam Mahathir. Rasanya peserta pertama perlu diberi kursus adalah Mahathir sendiri. Biar dia sedar diri. Apa kata Dr. Zambry? Takkan tidak boleh dicuba sekali-sekali?

Kalau Mahathir sendiri hangpa tak berani nak bagi kursus, tak payahlah hangpa nak buang duit rakyat bina Akademi Latihan Pemuda. Buang masa sahaja. Lagi baik hangpa dalam Pemuda UMNO tu pakat ramai-ramai jilat b****t Mahathir sorang sikit. Ada juga faedahnya….pada Mahathirlah. Setidak-tidaknya kerja si Semah tu ringanlah sikit.

Daripada kenyataan-kenyataan yang dilapor itu, jelaslah kepada kita kini bahawa Mahathir dan UMNO sudah terlalu bermasalah, lemah dan tidak akan berupaya untuk menyelamatkan maruah dan hak bangsa Melayu yang menjadi dasar perjuangan mereka sejak dulu, kini dan selamanya. Orang Melayu khususnya kini sudah tidak boleh lagi meletakkan harapan (walau serendah mana sekalipun) terhadap UMNO untuk memperjuangkan hak mereka. UMNO Baru(a) kini adalah parti keluarga dan kroni Mahathir semata-mata. UMNO yang hanya tinggal nama sahaja sekarang ini adalah ‘alat bantuan pernafasan’ kepada Mahathir dan kroninya. Perjuangan UMNO Baru(a) kini telah diketahui ramai jauh tersasar dari landasan perjuangan yang sebenarnya. (PERINGATAN : Perjuangan UMNO hanyalah untuk kepentingan dunia dan membuncitkan perut semata-mata – LD3.)

Apakah ahli-ahli UMNO di seluruh negara masih tidak nampak perkara ini? Tidak malukah saudara semua ‘diliwat’ begitu sahaja oleh Mahathir selama ini? Kok ada yang berkokokpun jauh di hujung tambak sana (Dato’ Shahrir). Itupun baru kebelakangan ini sahaja. Dulu tidak berani. Walau apapun alasannya syabas tetapi janganlah jadi keras-keras kerak nasi sahaja pulak nanti.

Yang dibawah dagu Mahathir itu buat apa lagi? Hendak bercakap benar sudah tiada gigi? Kenapa mesti tunggu sampai ke Makkah baru berani? Secara terbuka dan jujur kenapa tidak keluarkan kenyataan itu disini? Sudahlah begitu, ada muka tidak malu minta pertolongan orang lain untuk membantai ‘orang tua’ itu lagi? Apalah punya bahlol orang-orang UMNO ni? Saya sarankan kepada semua orang UMNO terutamanya Pak Menteri dan Mak Menteri supaya jangan lagi ‘makan hati’ melihat dan membiarkan telatah lucu Mahathir yang sudah mamai dan lalok itu lagi? Kalau ada yang tidak kena dengan Sang Ketua jangan simpan dalam hati. Curahkan sahaja rasa tidak puas hati. Jangan bercakap dibelakang-belakang lagi. Banyak salah faham akan timbul nanti. Kenapa tidak mahu bercakap kini? Apa, hendak tunggu sampai ‘orang tua’ itu sudah tidak bernafas lagi?

Kalau setakat bercakap mengenai ‘ketuanan Melayu’ ke sana ke mari dan Sang Mamak seorang itu masih engkau orang tidak boleh jinakkan sampai kini, lebih baiklah diamkan sahaja diri dan balik rumah hisap ibu jari. Tidak usahlah menyusahkan orang lain lagi. Kalau ada yang hendak susah hatipun bini bila tengok laki buat perangai macam budak-budak kembali.

Apakah pertemuan PAS-UMNO akan memulihkan imej UMNO ataupun akan meretakkan hubungan sesama parti komponen BA? Pada hemat saya, pertemuan itu wajar diadakan dengan hanya mengambilkira semua syarat yang telah ditetapkan oleh PAS sahaja. Pertemuan untuk kepentingan semua rakyat negara ini wajar diadakan jika perlu sahaja. Jika hanya untuk apa yang disebut sebagai ‘perpaduan Melayu’ semata-mata lebih baik jangan diadakan langsung. Jika syarat pertemuan itu tidak mengikut format yang dipersetujui oleh PAS rasanya tindakan bertemu dan berunding itu akan hanya memberi UMNO dan Mahathir untung sekali lagi. Sesetengah pihak melihat pertemuan itu kelak akan memberi nafas baru kepada Mahathir yang kini sudah semakin semput nafasnya secara peribadi mahupun dalam karier politiknya sendiri.

Dalam menangani kekeliruan isu pertemuan PAS-UMNO yang sudah diketahui ramai itu, pada saya adalah wajar sekiranya PAS Pusat mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi mententeramkan penyokong-penyokong BA yang berada di dalam kekeliruan di seluruh negara.
Ada pemimpin KeADILan di peringkat bahagian marah-marah di depan saya. Katanya, “Presiden PAS telah mengkianati perjuangan BA. Kesepakatan BA akan terancam dan nak buat apa berunding dengan silidah bercabang tu?”

Kenyataan rasmi PAS itu juga nanti akan menyemarakkan kembali keyakinan ahli dan penyokong BA dan sekaligus turut membantu mematikan hasutan jahat dan liar media pro-UMNO yang sememangnya akan terus mempermainkan isu pertemuan ini bagi memporak-perandakan hubungan parti komponen BA yang kita ketahui semakin intim kebelakangan ini. Keintiman ini semakin jelas nampak di mata dan terasa di hati oleh ahli dan penyokong BA selepas kemenangan manis KeADILan/BA di Lunas tempohari.

Dalam kita menghadapi isu nasional ini, pandangan Hassan Karim dalam tulisannya “Menggugat Kubu Selatan BN” di Berita Keadilan keluaran 20 Januari, 2001 tidak harus dipandang ringan dan sepi. Pandangan beliau memang ada benarnya. Kita lihat sendiri keputusan pilihanraya umum 1999 yang lalu betapa negeri Johor dimamah begitu sahaja oleh BN. Jawapannya mudah. Kesepakatan BA hampir tiada.

Untuk makluman dalam pilihanraya umum 1999 lalu, ada beberapa kerusi yang telah dijanjikan untuk PAS dan KeADILan di Johor telah diberikan kepada PRM dan DAP di atas nama persefahaman BA. Malangnya kerusi berkenaan telah menerima kekalahan teruk. Sebabnya mudah sahaja, PRM dan DAP tiada jentera yang mencukupi di kawasan kerusi berkenaan. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika persepakatan BA benar-benar wujud. Kalau kalah sekalipun tidaklah majoritinya hingga mencecah puluhan ribu undi. Tidak tahulah jika ‘pengundi hantu’ telah datang menyerang pada waktu itu?

Lebih malang lagi PAS umpamanya sebagai contoh telah bersedia awal di satu kawasan tetapi disaat-saat akhir kerusi itu di serahkan kepada PRM dengan alasan kawasan itu adalah kawasan tradisi PRM. Ini telah menimbulkan rasa kurang senang dan tidak puas hati dikalangan ahli-ahli PAS sendiri. Terasa seolah-olah usaha mereka sia-sia belaka selama ini.

Maklumlah ceramah diadakan setiap minggu. Para pekerja parti bertungkus lumus siang malam menyiapkan sepanduk tanpa jemu. Hinggakan nama calunpun telah ditulis disepanduk berkenaan tanpa ragu. Tiba-tiba akhirnya orang lain yang masuk bertanding di situ. Siapa yang tidak akan rasa kecewa jika perkara ini berlaku.

Memanglah kita sepatutnya tidak boleh kecewa dengan keputusan BA Pusat dan Negeri. Jika kesepakatan dan kesefahaman jitu telah terbina dari mula, perasaan kecil hati tidak akan timbul tiba-tiba. Harap-harap rasa kecewa itu tidak akan terbawa-bawa lagi sampai ke hari ini. Namun begitu BA harus mengambil inisiatif dalam membetulkan hal ini. Jika tidak, jangan terkilan bila melihat penyokong BA membantu BN khususnya UMNO dalam pilihanraya akan datang nanti.

Menurut rakan saya di Johor, orang Melayu Johor ramai yang masih sayangkan UMNO tetapi kepada Mahathir mereka benci. Kenyataan ini tidak harus di pandang ringan oleh semua pihak dalam BA kini. Sebab Johor adalah benteng terakhir UMNO untuk mempertahankan kuasanya di negara ini. Jika benteng ini dapat dirobohi, tugas dan kerja BA tidak susah lagi. Satu saranan saya, dalam ceramah-ceramah BA di masa akan datang, janganlah disebutkan Negeri Johor sebagai kubu kuat UMNO lagi. Kenyataan ini sebenarnya memberi kemenangan moral kepada UMNO sendiri dan melemahkan BA tanpa disedari. Kita mesti kata Negeri Johor sudah boleh di tembusi. Ini akan memberi keyakinan dalam hati setiap ahli BA secara psikologi.

Dalam kunjungan saya ke Johor baru-baru ini, rakan-rakan BA di sana telah memaklumkan bahawa telah ada unsur-unsur kecewa dan tidak puas hati di kalangan penyokong BA terutamanya dalam KeADILan dan PAS di peringkat akar umbi. Pemimpin BA kata mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak pernah cuba melaksanakan apa yang mereka janji. Kerjasama sesama komponen BA nampak tidak jelas dan kelihatan tidak berseri. Kalau adapun mereka hanya mengadakan majlis ceramah secara bersama. Itupun cuma sekali-sekali.
“Kami di peringkat cawangan juga tidak mendapat perhatian langsung. Semasa pilihanraya dulu, kamilah yang sibuk kesana kemari untuk berkempen, tapi sekarang ini seolah-olah jasa kami itu tidak dihargai langsung dan nasib kami tidak dipedulikan. ” kata mereka lagi yang kebanyakkannya peniaga warung dan penghuni rumah setinggan hingga kini dan juga maklum bahawa Negeri Johor masih diperintah oleh BN dan ketuanya bernama Ghani.

Seperti masalah banjir yang melanda di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru baru-baru ini, hanya PAS dan DAP yang kelihatan turun padang untuk membantu mangsa banjir berkenaan. KeADILan dan PRM hilang entah ke mana tanpa dapat dikesan. Fenomena ini menurut mereka akan menimbulkan kesangsian. Rakyat akan keliru samada kerjasama BA masih berjalan?

Dalam kebanyakan ceramah mereka sering dilaungkan bahawa BA secara kerjasama akan membela nasib rakyat. BN / UMNO sudah tidak relevan lagi.

“Inilah yang sering diulang-ulang oleh pemimpin BA baik dari peringkat Pusat mahupun Negeri”, kata beberapa orang penyokong BA itu lagi. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Seperti baru-baru ini kata mereka, MPJBT (Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah) telah menghantar notis mengenai kenaikan cukai pintu bagi tahun 2001 kepada semua penduduk di kawasan tersebut pada November 1999 lalu tetapi sebaliknya BA hanya mendiamkan diri. Membisu seribu bahasa seolah-olah terkena kancing gigi. Macamlah kenaikan cukai itu tidak boleh dibantah lagi. Secara tidak langsung karenah para pemimpin BA itu telah mengecewakan ahli dan penyokong mereka sendiri.

“Macamana orang nak percaya BA, kalau sorang pegi sana, sorang pegi sini. Macam dah tak seiring lagi.” kata Pak Usop seorang bekas pemandu di jabatan kerajaan yang mengusahakan restoran makanan laut di perkarangan rumahnya ketika di tinjau pandangan peribadinya mengenai BA di kawasannya kini. Menurut katanya lagi jika BA tidak bertindak segera BN/UMNO akan kembali dengan wang berpeti-peti. Masa itu butalah mata orang Melayu Johor kembali.

Tambahnya lagi ada ketua-ketua cawangan BA meletak jawatan selepas pilihanraya lalu. Tinggallah cawangan hidup segan mati tak mahu. Yang ada setengahnya pula tinggal ketua cawangan sahaja, AJKnya pergi tanpa pesan, tiada orang yang tahu. Jumpa di warung selalu tetapi bila panggil mesyuarat langsung tidak nampak muka. Tetapi kalau bercakap pasal kezaliman Mahathir dan kepincangan UMNO dialah orangnya.

Beberapa orang lagi yang saya temui berpendapat, dalam hal ini BA peringkat pusat seharusnya menyusun dan merencanakan serta menggerakkan program yang boleh menyatukan komponen BA di peringkat negeri dan seterusnya hinggalah di peringkat kawasan dan cawangan. Semua program BA hendaklah menggunakan lambang keempat-empat parti komponen. Baik ceramah atau apa sahaja program yang boleh membawa rakyat bersatu di bawah BA. Jangan jadikan sesuatu program itu milik satu parti komponen, PAS sahaja umpamanya. Dalam ceramah PAS contohya, jemputlah wakil dari KeADILan, PRM dan DAP untuk sama-sama menyampaikan ceramahnya. Perbanyakkan majlis dialog bagi membincang dan menjelaskan isu-isu tempatan kerana ini lebih mendekatkan BA kepada rakyat dengan lebih berkesan. Isu nasional bukan tidak boleh dibincangkan tetapi isu-isu dalam negeri sendiri lebih menarik perhatian rakyat tempatan.

Rakyat Johor akan lebih rasa terbela jika isu-isu tempatan selalu diperkatakan dan diperjelaskan. Sebab, banyak isu-isu dan kepincangan pemimpin-pemimpin negeri selama ini tidak didedahkan. Kalau bukan kini bila lagi perkara ini hendak dijelaskan. Jika bukan pemimpin BA tempatan, siapakah lagi yang hendak menjelaskannya. Takkanlah hendak harapkan BN.

Masalah BA banyak cakap sikit buat ini juga timbul di Terengganu. Lawatan peribadi saya menemui rakan-rakan di sana baru-baru ini telah membawa kepada satu perbincangan khusus mengenai perkara itu. Sehingga ini menurut mereka, ADUN Terengganu (PAS) belum lagi menghasilkan sebarang rancangan yang betul-betul berkesan di kawasan mereka masing-masing. Setelah setahun memerintah mereka belum lagi dapat menunjukkan kewibawaan mereka sebagai wakil rakyat BA yang berpengetahuan dan berilmu.

Seperti apa yang saya dengari sungutan dari kaum nelayan yang sama-sama bersarapan dengan saya pada pagi itu di sebuah warung di Ru Renggeh. Mereka menyatakan tidak jauh beza dengan PAS dan BN memerintah, weh. Nasib mereka tetap seperti dulu. Malah kalau BN terus memerintah mereka mungkin boleh senang sedikit walaupun sementara seperti dulu. Sekarang bila mereka menyokong PAS wang Ihsan dinafikan selalu. Perbelanjaan seharian bertambah dari hari keminggu. Anak-anak tetap akan ke sekolah dan wang sentiasa menjadi bahan perlu.
“Kalaulah kerajaan PAS boleh buat sekolah lebih banyak dengan bayaran yang lebih rendah alangkah baiknya,” rintih Pak Sulong yang selama hidupnya bergantung kepada hasil laut. Kalaulah rintihan seperti ini tidak segera disambut alamat keadaan akan bertambah kusut. Lambat laun UMNO/BN akan datang menghasut. Khabarnya usaha UMNO ke arah itu telah mula disebut-sebut. Mereka peduli apa asalkan keuntungan dapat dikaut. Kalau BA kalah nanti jangan merungut.

Kesalahfahaman seperti itu harus diperbetulkan segera. Wakil-wakil rakyat PAS perlu keluar menemui dan mengadakan program yang praktikal untuk rakyat jelata. Salah satu program yang rasanya berkesan adalah program pendidikan dan kebajikan jua. Pendidikan untuk anak-anak dan kebajikan untuk golongan tua yang sudah uzur dan tidak mampu lagi berkerja.

Dengan adanya program pendidikan dan kebajikan yang berkesan rakyat tidak akan mudah salah faham dan dihanyutkan dengan harta dunia sementara. Melalui program itu juga masyarakat akan lebih peka dengan masalah semasa. Setakat ini setelah setahun PAS memerintah, program pendidikan dan kebajikan untuk rakyat yang benar-benar meyakinkan, belum lagi mendapat perhatian wajar dari kerajaan negeri mahupun daripada Tuan Guru Menteri Besar sendiri.

Rakan-rakan saya di sana juga berkata. Setiap wakil rakyat harus mempunyai programnya sendiri di kawasan yang diwakilinya. Dengan adanya program sebegitu rupa, rakyat tidak akan rasa dipinggirkan selepas pilihanraya. Rakyat akan terasa PAS membalas jasa mereka. Ini hakikat yang perlu diterima oleh semua wakil-wakil rakyat terutamanya daripada PAS yang kini memerintah dan berkuasa. Rakyat akan mudah menurut kata jika keperluan mereka dipenuhi dan kehendak mereka tidak diabaikan sentiasa. Perkara inilah yang selalu dilupai oleh ramai orang dengan alasan untuk mempertahankan prinsip diri sendiri dan keluarga.

Saranan yang dikemukakan ini bukanlah bertujuan untuk menunjukkan pandainya saya atau untuk menuding jari menunjukkan kelemahan BA jua tetapi sebagai peringatan kepada semua terutamanya wakil-wakil rakyat BA yang telah dipilih oleh rakyat jelata. Tanpa rakyat siapalah anda semua?

Dalam ceramah semasa berkempen dulu berbagai janji telah dihamburkan untuk meraih simpati rakyat; hingga rakyat terdorong untuk membuat perubahan dalam pucuk pimpinan di peringkat negeri dan negara. Akhirnya dua negeri telah dapat diperintah oleh PAS/BA, Kelantan dan Terengganu juga. Kini di Kedah pula BN telah hilang majoriti 2/3nya. Ini satu petanda baik untuk BA tetapi kena ada caranya dan jangan terleka. Tahun 2004 bukannya lama. Kalau tidak bersedia dari mula jangan sedih kalau nanti tiada orang lagi yang akan pilih kita.

Kita semua maklum bahawa banyak masalah sebenarnya yang dihadapi oleh wakil rakyat BA (maklumlah sesetengahnya baru dipenggal pertama) terutamanya yang masih kurang pengalaman sebagai ADUN, tetapi ini tidak seharusnya dijadikan alasan terus-menerus. Walau apapun alasannya anda telah bergelar wakil rakyat dan mesti pandai mengurus. Wakil kepada rakyat mesti telus. Oleh itu segala suara rintihan rakyat hendaklah didengar dan perlu ditangani segera secara berjurus. Rakyat sudah tiada orang lain selain anda sebagai wakil rakyat untuk mendengar keluhan mereka, kesusahan mereka biarpun seketika. Apakan jadi jika ketika diperlukan wakil rakyat hilang entah kemana, keluar kawasan tanpa pesan?

Apabila seseorang itu telah menerima pencalunan untuk bertanding di satu-satu kawasan, seharusnya calun itu mesti bersedia dari awal. Ahli keluarga terutamanya harus difahamkan tentang kerjaya sebagai wakil rakyat yang memerlukan komitmen yang tinggi di luar rumah. Ahli keluarga juga harus diingatkan supaya menjaga imej mereka sebagai ahli keluarga wakil rakyat BA, supaya rakyat tidak menyatakan bahawa ahli keluarga wakil rakyat BA dan BN sama sahaja temberangnya. Ini akan menjejaskan imej BA keseluruhannya. Ingatlah harapan rakyat terlalu tinggi kepada BA setelah rakyat melihat BN terlalu lemah dan tidak lagi relevan untuk memerintah negara ini.


La Domeng
26.1.2001 – masih teringat lagi keenakkan nasi dagang Ru Renggeh dan wajah tiga orang nelayan tua yang bersusah-payah menurunkan ketulan ais ke bot mereka di Jeti Pulau Kambing.